Wednesday 18 November 2009

Takkan Pernah Hilang 5









SAMBIL menjinjit briefcase di tangan, pantas langkah Fariz diayun memasuki bangunan tinggi itu. Kemudian, dia hilang di dalam lif dan muncul semula apabila tiba di tingkat 25. Ketika bergegas untuk tiba di pejabat, sempat juga dia menjawab panggilan daripada mamanya.

“Ya…Ya… Baik, ma. Fariz akan cuba. Tapi paling awal pun dalam pukul 3.00 petang karang.” Setelah berjaya memujuk dan menenangkan mama yang kedengaran cemas, Fariz mematikan talian.

Siti, setiausaha Fariz yang melihat kelibat bosnya menghampiri pantas bangun lalu menegur ketuanya itu. Fariz hanya membalas dengan anggukan lalu daun pintu bilik pejabatnya diselak. Tubuhnya dihempas ke kerusi bagi menghilangkan rasa letihnya. Nafas yang panjang dihembus. Sesekali kepalanya ditelengkan ke kanan dan kiri bagi menghilangkan rasa lenguh. Kemudian dia duduk bersandar sambil fikirannya kembali teringat pada panggilan mama sebentar tadi. Mamanya menelefon dan menyuruh agar dia pulang lebih awal kerana badan Aiman kembali panas.

Sudah empat hari Aiman begitu. Sekejap badannya sejuk dan sekejap badannya akan kembali panas. Dia khuatir mengingatkan keadaan Aiman. Namun menurut Doktor Usman, seorang pakar kanak-kanak, tiada apa yang perlu dirisaukan. Demam Aiman hanya demam biasa.

Mama pula tak sudah-sudah menyuruhnya berjumpa dengan Maisara. Kata mama, Aiman mungkin rindukan Maisara kerana itu demamnya sukar untuk kebah. Abah juga mengiakan kata-kata mama. Mungkin ada benarnya kerana kali terakhir Maisara datang di rumahnya adalah sebulan yang lalu. Tapi sekiranya dia memberitahu Maisara, mahukah gadis itu mempercayai kata-katanya?

Walaupun dalam hati dia yakin Maisara amat menyayangi Aiman, namun dia khuatir jika permintaannya agar Maisara datang ke rumah untuk melawat Aiman ditolak. Dia tahu, selama ini dialah puncanya yang menyebabkan perhatian Maisara terhadap Aiman terbatas. Kerana dia, Aiman menjadi mangsa. Maafkan papa, Aiman…

Fariz menarik nafas, cuba menguatkan hatinya yang berbelah bahagi. Walau apa pun yang terjadi, dia perlu berjumpa dengan Maisara. Demi Aiman!


MAISARA ralit menyusun pasu-pasu bunga di laman belakang sambil menyanyi perlahan, sekadar menghiburkan hati. Sesekali peluh di dahi yang menitik dikesat dengan belakang tangannya. Sejak akhir-akhir ini memang dia agak sibuk setelah dia mula bekerja di sebuah syarikat pembinaan. Walaupun hanya sekadar menjadi kerani dengan gaji yang tidak seberapa, namun dia senang bekerja di situ. Malah, pekerja-pekerja yang lain juga ramah dan senang bekerjasama.

Sedang dia asyik mengangkat pasu-pasu kecil dan menyusunnya, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup pantas. Dia merasakan seolah-olah dirinya diperhatikan. Pantas tubuhnya dialih ke belakang. Terkesima dia sebentar melihat wajah itu. Wajahnya dipalingkan semula. Pasu di tangan diletakkan ke bawah. Langkah kaki diayun untuk masuk ke dalam rumah.

“Tunggu, Sara!” halang Fariz.

Langkah Maisara terhenti. Namun dia tetap tidak berpaling memandang wajah itu.

“Maaf kalau saya mengganggu.”

Maisara melirik kelibat Fariz dengan ekor matanya. Kelihatan lelaki itu masih berkemeja dan berseluar hitam. Mungkin lelaki itu baru pulang dari pejabat.

“Awak tak kerja ke hari ni?” tanya Fariz sekadar berbasa-basi.

Maisara mengherotkan bibirnya lalu memeluk tubuh.

“Sekarang dah pukul 7.00 petang, Encik Fariz.” Sengaja dia berkata begitu untuk menyakiti hati Fariz. Untuk apa lelaki itu datang ke mari? “Kenapa awak datang? Kalau awak nak cari abah, dia ada di depan dengan umi!”

“Saya tahu…” Perlahan suara Fariz. Setibanya tadi, dia telah pun berjumpa dengan mereka dahulu untuk menerangkan tujuannya.

“Dia orang yang beritahu awak ada di sini,” ujar Fariz lagi.

“Untuk apa awak ke sini? Rasanya, antara awak dan saya dah lama tak ada kaitan! Jadi, saya rasa...”

“Ada!” pintas Fariz. “Antara kita masih ada kaitan!”

Maisara ketawa sinis mendengar kata-kata Fariz.

Fariz sedar, ketawa itu penuh dengan sindiran dan dendam.

“Sejak awak dan keluarga awak datang ke sini untuk Suhana, antara awak dan saya telah terputus hubungan. Walaupun pada hakikatnya kini awak adalah abang ipar saya!” Air mata Maisara bagaikan hendak mengalir sewaktu berkata begitu. Bagaimana dia bisa melupakan semuanya?

“Hubungan sebegitu memang telah lama putus.” Fariz mengeluh. “Dan kalau awak tak mahu beriparkan saya juga, saya tak kisah. Tapi masih tetap ada kaitan antara kita!” Fariz memandang Maisara dengan renungan yang mendalam. “Aiman!”

Baru sahaja Maisara hendak membuka mulut pantas nama Aiman keluar dari bibir Fariz sehingga menyebabkan Maisara terdiam. Aiman…

Sudah lama Maisara tidak mendengar nama Aiman. Tiba-tiba sahaja nama Aiman kini bermain di cuping telinganya. Bukan dia tidak merindui bayi itu. Namun setiap kali dia ingin menemui Aiman, hanya wajah Fariz terbayang di ruang ingatan, menyebabkan hatinya berat untuk bertemu dengan Aiman. Tiba-tiba sahaja hatinya dirundung sayu dan rindu. Sudah lama dia tidak menatap wajah comel itu. Rasa rindu tiba-tiba mencucuk tangkai hatinya.

“Aiman sakit, Sara!”

Bagai terkena renjatan elektrik, pantas Maisara berpaling memandang Fariz dan merenungnya dengan mata yang berkaca. “Aiman sakit apa?” Hatinya dirundung gelisah.

“Dia demam,” kata Fariz. “Kata mama, dia rindukan awak.”

Air mata yang ditahan mengalir perlahan ke pipi Maisara. Perasaan bersalah mula menguasai diri. “Aiman…”


“AIMAN!” Tanpa dipelawa masuk, pantas Maisara berlari memanjat anak-anak tangga dan terus meluru masuk ke kamar bayi. “Aiman!” Langkahnya terhenti di muka pintu.

Rosnah, mama Fariz, yang baru menidurkan Aiman berpaling memandangnya.

“Mak cik!” Maisara menghampiri wanita itu lalu tunduk menyalami tangannya.

Rosnah tersenyum lalu mengusap lembut rambut Maisara.

“Alhamdulillah... Syukurlah Sara dah ada di sini.” Rosnah bersuara. “Mama risau. Takut Fariz tidak ke sana dan membawa Sara.”

Maisara hanya diam mendengarnya. Rupa-rupanya, mama Fariz yang menyuruh lelaki itu ke sana dan membawanya datang untuk berjumpa dengan Aiman. Bukan kerana kehendak Fariz sendiri. Tiba-tiba rasa kecewa muncul di balik hati. Namun pantas dimatikan rasa kecewa itu. Untuk apa dia perlu merasa begitu? Bukankah dia mahu melupakan Fariz daripada hidupnya?

“Sara duduklah di sini. Temankan Aiman. Dari tadi dia asyik menangis aje. Risau mama.”

Pandangan mata Maisara jatuh ke wajah Aiman yang sedang terlena.

“Dia baru saja terlena. Sara tolong temankan dia ya...” pinta Rosnah. “Mama turun dulu ya.” Rosnah berlalu pergi.

Mata Maisara kembali tertancap pada wajah Aiman. Dia menghampiri bayi itu dan duduk di sebelahnya. Perlahan-lahan Maisara melekapkan tapak tangannya di dahi bayi itu. Panas! Tubuh Aiman bergerak-gerak. Mungkin sentuhan itu mengganggu lenanya. Tiba-tiba sahaja tangisan Aiman bergema. Pantas Maisara mencapai tubuh kecil itu ke dalam dakapannya.

“Aiman… Aiman…” panggil Maisara.

Tangisan Aiman terhenti sebentar. Kemudian bayi itu membuka matanya setelah mendengar namanya dipanggil. Seperti dia mengenali suara itu.

“Aiman sayang…” panggil Maisara lagi.

Mata Aiman tertancap pada wajah itu lama, sebelum dia kembali menangis. Namun tangisannya kali ini perlahan dan manja, seolah-olah sedang memberitahu Maisara yang dia merinduinya. Tiba-tiba sahaja Maisara turut menangis bersama sambil memeluk bayi itu erat-erat.

“Maafkan mak su, sayang... maafkan mak su…” Maisara yakin dengan naluri hatinya. Memang bayi itu merinduinya!

Di sebalik pintu, senyap-senyap Fariz mengintai ke dalam. Hati lelakinya tersentuh dengan kasih sayang yang terikat antara mereka berdua. Sara…

*************************************

Takkan Pernah Hilang 4









MAISARA membelek-belek dirinya di cermin besar itu. Dia berpusing ke kanan dan ke kiri untuk melihat penampilannya. Setelah berpuas hati dia bergerak mencapai tas tangan dan fail di atas meja. Kemudian kakinya melangkah menuruni anak tangga, satu per satu. Langkahnya diayun menuju ke meja makan.

Khalid dan Maimun yang hampir menyudahi sarapan pagi mereka lantas membuang pandangan kapada Maisara yang sudah pun duduk di sisi mereka.

“Kenapa lama sangat bersiap?” tanya Maimun. Maisara di sisinya hanya tersenyum.

Memang pagi itu Maisara agak terlambat untuk bersarapan bersama mereka. Dia perlu memastikan penampilannya kemas untuk menghadiri temu duga. First impression is important.

“Kejap lagi Pak Kassim akan hantar Sara ke sana,” beritahu Khalid.

“Tak payahlah, abah, Sara boleh pergi sendiri,” bantah Maisara. Dia tidak mahu menyusahkan abah. Dia boleh berdikari sendiri.

“Naik apa? Nak naik Kancil Sara yang selalu meragam tu?” Khalid menggeleng. “Entah-entah belum sampai setengah jalan buat hal lagi.”

Maimun sudah ketawa apabil Khalid berkata begitu.

Maisara mencebik. Dia tahu Kancil yang dibelinya ketika di Perlis itu memang selalu meragam. Maklumlah, kereta second hand. Tetapi itulah harta pertama yang dibeli dengan titik peluhnya sendiri.

“Dah berapa kali abah suruh Sara tolak Kancil tu. Tapi Sara degil!”

“Abah janganlah cakap macam tu. Kancil tu masih boleh digunakan lagi. Bukan selalu dia meragam. Kadang-kadang aje. Itu pun kalau perjalanan jauh,” bidas Maisara.

“Kalau diikutkan, Pantai Miami dengan pusat bandar memanglah tak jauh mana. Tapi abah takut kalau-kalau Sara tersangkut, macam mana? Bila dah tersangkut, perjalanan yang dekat tetap mengambil masa yang lama. Kalau Kancil tu buat hal, bila jammed, jammed teruslah nampaknya Kancil tu,” omel Khalid.

“Betul cakap abah tu, Sara. Karang temu duga ke mana, Kancil ke mana. Tanam anggur lagilah nampaknya,” usik Maimun sambil tersengih.

“Habis, kalau Pak Kassim hantar Sara, abah pergi kerja dengan apa?”

“Kita pergi sekalilah. Lepas dia hantar abah ke pejabat, dia hantar Sara pulak.” Khalid menghirup kopi yang masih berbaki. “Nanti Pak Kassim tunggu sampai habis temu duga.”

Maisara hanya terdiam. Ada betulnya jugak saranan abahnya. Tak perlulah dia bersusah payah pergi sendiri.
“Dah, jom!” Sekilas Khalid melihat jam di pergelangan tangannya. “Temu duga pukul 9.00, kan? Nanti lambat pula.”


MAISARA menarik nafas lega. Setelah mengucapkan terima kasih dia berlalu keluar. Daun pintu ditutup perlahan. Segala-galanya dipastikan sempurna. Sebelum keluar dari pejabat yang terletak di Bangunan Syed Putra itu, sempat dia berbual sebentar dengan seorang staf perempuan, Noni nama timangannya.

“Terima kasih ya, Noni,” ucapnya seraya memandang kepada seorang perempuan dan dua orang lelaki yang masih berada di kerusi menunggu. “Ramai ke yang datang temu duga?”

“Banyak permohonan, tapi cuma empat orang sahaja yang dipanggil. Tapi itu pun untuk jawatan berbeza.”

“Jawatan berbeza? Jawatan yang saya pohon ni?” Maisara mula melebarkan senyuman.

Noni yang memahami apa yang tersirat di hati Maisara mendekatkan bibirnya dengan telinga gadis itu.

“Antara awak dengan perempuan yang sorang lagi tu.” Dia memuncungkan bibirnya, menunjuk ke arah seorang lagi perempuan yang sedang duduk bersama Maisara sebentar tadi.

Maisara mengangguk-anggukkan kepalanya lalu tersenyum memandang Noni. Gadis yang memakai skirt pendek separas lutut dan berkemeja biru lembut ini memang peramah dan mudah mesra.

“Tapi saya harap, awak yang akan diserap masuk. Sebab dari tadi saya tengok perempuan tu langsung tak senyum. Tak mesra alam!”

Maisara tertawa kecil. Ayat Noni yang terakhir itu menggeletek hatinya.

“Saya pun harap macam tu.” Maisara bersuara riang. “Belum dah kerja dah dapat kawan!”

Setelah berbual-bual seketika, Maisara meminta izin untuk pulang. Sebelum dia keluar dari ruangan pejabat, sempat Noni memberitahu segala keputusan akan dimaklumkan selewat-lewatnya tujuh hari berkerja bermula dari esok hari.


DALAM perjalanan pulang ke Pantai Miami, sekali lagi Maisara membelek-belek fail di tangannya. Sijil-sijil penghargaan yang disimpan, dibelek satu per satu. Sengaja dia berbuat begitu untuk menghilangkan rasa bosannya. Sampai sahaja di muka terakhir fail, tangannya terhenti di situ. Matanya tertancap pada foto yang terselit di situ. Pantas wajahnya berubah. Foto Aiman yang diambilnya ketika bayi itu dalam jagaannya, diambil dan ditatap lama. Terasa ada takungan di kelopak matanya.

Aiman…

Perasaan rindu terhadap bayi itu semakin membuak-buak. Lebih dua minggu dia tidak melihat wajah comel itu setelah Fariz mengambilnya. Rindunya kepada tangisan dan senyuman manja Aiman terbayang di ruang ingatannya. Maisara mengerling jam di tangan. Baru jam 11.00. Tentu Fariz masih lagi di pejabat. Inilah masanya!

“Hari ni abah ada meeting di mana-mana tak? Atau keluar berjumpa dengan klien?”

“Tak,” jawab Pak Kassim ringkas. “Kenapa? Sara nak ke mana-mana ke?”

“Kalau tak keberatan boleh tak Pak Kassim hantar Sara ke rumah Fariz? Sara rindukan Aiman.” Sebak suara itu menuturkan kata.

Lantas, Pak Kassim memandu keretanya memasuki pekarangan rumah mewah di Bandar Tanjung Bungah itu. Setibanya di pintu depan banglo tiga tingkat itu, Maisara memberanikan diri. Loceng ditekan. Apabila pintu pagar terbuka, Maisara melangkah masuk ke halaman lalu berhenti di situ menanti orang datang menjemputnya.

“Non Sara!” Kelibat pembantu rumah warganegara Indonesia muncul setelah pintu utama dibuka dari dalam.

“Tarti, ada orang di rumah?” tanya Maisara.

Tarti membuka luas pintu utama lalu menjemputnya masuk. “Jemput duduk, non. Non datang pasti mahu jumpa sama Aiman, kan?”

“Tak ada orang di rumah ke, Tarti?” tanya Maisara sekali lagi kerana soalannya masih belum dijawab. Suasana di rumah besar itu sunyi dan sepi. Maisara mengetap bibir. Rugi seandainya Aiman tidak ada sedangkan dia sudah pun tiba di situ.

“Non duduk bentar ya… Tarti bikin minumannya.” Kelibat Tarti hilang tanpa menjawab soalannya.

Maisara berjalan-jalan sambil matanya memerhati ruang tamu yang luas dan dihiasi indah dengan pelbagai barangan seramik. Terdapat berbagai tulisan khat yang terlekat pada dinding. Terdapat juga pasu-pasu bunga yang Maisara pasti tentu mahal harganya menghiasi sudut-sudut ruangan tamu itu. Tetapi bukan perhiasan rumah itu yang menjadi perhatiannya. Dia masih tertanya-tanya ke mana perginya penghuni di rumah besar itu.

Setelah yakin dan pasti penghuni rumah itu tidak ada, pantas Maisara berlalu pergi tanpa menunggu Tarti datang semula.

“Sara!”

Suara garau itu mematikan langkah Maisara. Maisara cukup kenal dengan suara itu. Tanpa berpaling dan bersuara, langkah diteruskan semula. Namun sekali lagi langkahnya terhenti apabila dia terdengar tangisan Aiman. Dia berpaling. Aiman yang berada dalam dukungan Fariz menangis kuat. Kakinya ditendang-tendang dan tangannya yang digenggam, terkapai-kapai. Aiman menangis sambil memandangnya, seolah-olah bayi itu mahu Maisara mengambilnya.

Sebak mendengar tangisan itu, air mata Maisara juga tumpah dan mengalir ke pipi. Tanpa mempedulikan Fariz, Maisara terus menerpa Aiman dan mengambilnya daripada Fariz. Maisara berpura-pura tidak mengendahkan lelaki itu saat tangan mereka bersentuhan ketika Aiman bertukar tangan. Aiman dipeluk erat dan wajah bayi itu dicium sepuasnya. Tangisan Aiman terus terhenti sebaik sahaja Maisara mengusap dan membelainya.

“Aiman dah minum susu ke?” tanya Maisara walaupun dia tahu Aiman tidak akan menjawab soalan itu. Soalan itu lebih ditujukan kepada Fariz, tetapi dia tidak mahu bertanya terus kepada lelaki itu.

Fariz yang memahami soalan itu ditujukan kepadanya hanya tersenyum. Lalu dia menghenyak tubuhnya berhadapan dengan Maisara.

Maisara mula kelihatan tak tentu arah tetapi dia cuba bersikap selamba. Sesekali matanya mencari kelibat Tarti yang hilang sedari tadi. Mana Tarti ni? Kata nak buat air, tapi tak muncul-muncul pulak!

“Dia baru lepas minum susu,” jawab Fariz. “Sara sihat?”

Soalan Fariz tak bersambut. Maisara terus mengacah-acah Aiman hingga bayi itu tertawa mengekek. Satu perubahan baru bagi Maisara. Sewaktu bersamanya dahulu Aiman hanya tersenyum, tetapi kini bayi itu sedah pandai mengekek. Maisara makin terhibur mendengar Aiman mengekek.

Fariz yang menjadi pemerhati juga ikut tersenyum melihat Aiman yang terhibur dengan acahan Maisara.

Tiba-tiba sahaja Aiman berhenti mengekek. Acahan Maisara tidak bersambut. Kemudian Maisara melihat wajah Aiman berubah merah. Sesekali Aiman meneran. Maisara ketawa kecil.

“Aiman uk-uh ke, sayang?”

“Kenapa? Dia melepas ke?” tanya Fariz.

Maisara menyelak sedikit lampin Aiman. Memang benar telahannya. Mahu tak mahu Maisara terpaksa juga bertanya kepada Fariz.

“Mana lampin Aiman?” tanya Maisara tanpa memandang lelaki di depannya itu.

“Di bilik atas. Marilah saya tunjuk.” Fariz mendahului Maisara ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka untuk memberi laluan kepada Maisara.

Maisara melangkah masuk. Sempat matanya melirik setiap sudut kamar itu. Luas dan ringkas hiasannya. Aiman diletakkan di birai katil. Setelah membuka pakaian Aiman, Maisara membawanya ke bilik air. Tak lama kemudian Maisara muncul dan melihat segala persiapan Aiman telah diletakkan di atas katil. Maisara mengerling Fariz yang berdiri di muka pintu. Bukan dia tidak tahu, sedari tadi mata itu sentiasa memerhatikan pergerakannya. Memang dia agak gemuruh namun sengaja dia berpura-pura tidak mengambil peduli pandangan lelaki itu.

Usai menyiapkan bayi itu, pantas Maisara membawa Aiman turun semula. Sesekali mata Maisara melirik mencari kelibat lain jika ada.

“Awak cari siapa?”tanya Fariz yang menyedari kelakuan Maisara.

“Mana semua orang?”

“Dia orang semua tak ada.” Ringkas sahaja jawapan Fariz. “Sebab tulah saya terpaksa ambil cuti, jaga Aiman. Nasib baik awak datang.”

Fariz bersuara manis. Dia ingin sekali bermesra dengan gadis itu seperti waktu lalu. Mendengar suaranya, jelingan manjanya dan senyumannya. Namun semua itu hanya impian. Dia tahu semua yang dirinduinya itu telah hilang semenjak dia memilih untuk bersama Suhana.

Maisara melirik jam di pergelangan tangannya. Sudah terlalu lama dia di situ. Dia khuatir jika terlalu lama, dia akan menyusahkan Pak Kassim yang sedari tadi masih menunggunya. Lagipun, Pak Kassim perlu menjemput abahnya pulang jam 6.00 nanti.

Setelah meminta diri kepada Fariz, Maisara menyerahkan Aiman kepada lelaki itu. Sebelum itu Maisara sempat memeluk dan mencium Aiman.

“Sara…” Fariz mencapai pergelangan tangan Maisara sebelum sempat dia melangkah pergi. “Selalulah datang ke mari. Saya pasti, Aiman akan rindukan awak!”

Sebaik Fariz berkata begitu Maisara menarik tanggannya dan berlalu pergi. Dia hilang di dalam perut kereta yang kemudiannya pergi dari pekarangan rumah.

Saya juga akan rindukan awak, Sara...

********************************

Takkan Pernah Hilang 3








SUDAH seminggu Aiman berada di Pantai Miami bersama Maisara. Sepanjang masa Maisara berada di sampingnya. Tidak pernah ditinggalkan Aiman sendirian kecuali jika dia perlu ke bilik air. Membancuh susu, memandikan dan menidurkan Aiman bagai sudah menjadi tanggungjawab Maisara selama Aiman di situ. Maisara senang melakukan semua itu. Semakin lama, dia sudah terbiasa dengan semua keperluan Aiman. Bila Aiman menangis kerana lapar, bila Aiman menangis jika lampinnya kebasahan, bila Aiman menangis bila membuang air besar. Semuanya dapat diteka dengan tepat sekali.

Walaupun Aiman masih kecil namun kasih sucinya bagai dapat dirasai Maisara. Aiman sentiasa menangis apabila terjaga daripada tidurnya. Namun, apabila Maisara menghampiri, tangisannya akan terhenti. Dia akan tersenyum apabila Maisara memanggil-manggil namanya. Melihatkan Maisara, Aiman akan menendang-nendang kakinya dan tangannya diangkat tinggi seolah-olah ingin menggapai Maisara dan meminta Maisara mengangkatnya.

Perlahan-lahan Maisara meletakkan Aiman di dalam baby court setelah bayi itu terlena. Tubuh kecil itu dipusing dan dia meletakkan Aiman secara meniarap agar bayi itu tidak mudah terkejut. Rambut Aiman yang jarang-jarang dibelai perlahan, lalu dia menghembuskan nafasnya. Tenang hatinya melihat keadaan Aiman begitu. Dia tidur dengan tenang dan aman. Tidak jemu walau sesaat pun jika terus menatap Aiman begitu.

Hari ini, Maimun akan menghantar Aiman kepada Fariz semula setelah seminggu bayi itu bersama mereka. Hati Maisara merasa gelisah mengenangkan itu. Dia pasti merindui Aiman. Aiman sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Ingin sahaja dia meminta agar Aiman diserahkan kepadanya. Tetapi, siapalah dia. Fariz lebih berhak terhadap anak itu. Mana mungkin Fariz menyerahkan darah dagingnya kepada Maisara, melainkan dia bersetuju dengan permintaan Suhana.

Maisara menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak! Dia tidak mahu memikirkan perkara itu. Mengingatkan sahaja permintaan Suhana dan rayuan Maimun, fikirannya akan jadi tak menentu. Walaupun perasaan sayangnya kepada Aiman semakin mendalam tetapi dia tidak rela melakukaan sesuatu di luar kemahuannya.
“Sara…” Terdengar satu suara garau menegurnya dari belakang.

Maisara tergadah. Degup jantungnya menjadi kencang dengan tiba-tiba. Dia cukup mengenali suara itu. Suara yang sudah lama tidak didengarnya. Suara yang telah lama tidak menyebut namanya. Suara yang selalu mahu dilupakannya. Mengapa suara ini muncul lagi?

Maisara terkaku di situ. Ingin berpaling dan memandang empunya suara itu, dia tidak sanggup. Lantas dia hanya membeku di situ dan membuang pandangannya kepada Aiman. Sungguh, dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Untuk seketika dia terasa semua anggota badannya berhenti berfungsi.

Dia dapat merasakan dirinya semakin dihampiri. Derapan kaki itu semakin mendekat. Melalui ekor matanya, dia dapat melihat susuk tubuh yang telah pun berdiri di sisinya. Degupan jantungnya semakin kencang.

“Sara…” Suara yang memanggilnya itu kedengaran lagi. “Sara apa khabar?”

Maisara memejam matanya rapat. Dia cuba menenangkan hatinya sendiri sedangkan dia tahu bila-bila masa sahaja air matanya akan mengalir. Dia tidak mahu membodohkan dirinya lagi. Sudah terlalu lama dia telah diperbodoh oleh mereka. Apa khabar? Setelah apa yang kau dah lakukan, kau masih bertanyakan khabar aku?

Maisara mengumpulkan kekuatan. Dia tidak boleh berdiri terus di situ. Luka yang tak pernah sembuh semakin parah jika dia masih di situ. Tanpa menjawab soalan itu dan tanpa memandang wajah di sebelahnya, Maisara berpusing lalu langkah diayun untuk meninggalkan ruangan itu. Namun langkahnya terhenti apabila lengan tangannya digenggam. Maisara menutup matanya rapat. Kenapa lelaki itu masih mahu menduga perasaannya? Tidak cukupkah dengan apa yang telah berlaku selama ni? Dia cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu.

“Lepaskan saya!” Akhirnya Maisara bersuara tegas. Sedikit pun dia tidak menoleh kepada lelaki itu.

Terdengar satu keluhan dilepaskan. Perlahan-lahan dia terasa tangannya dilepaskan. Maisara yang membelakangi Fariz terus memeluk tubuhnya sendiri untuk menyembunyikan tangannya.

“Maafkan saya...” Kedengaran perlahan suara itu menuturkan kata.

Buat pertama kali Maisara mendengar ungkapan itu daripada Fariz setelah apa yang terjadi dahulu. Adakah setelah Suhana meninggal baru dia teringat untuk meminta maaf? Maisara tersenyum sinis. Dasar lelaki!

“Awak terlalu bencikan saya?” tanya Fariz. Walaupun begitu besar rasa bersalah yang menggunung dalam hati, dia menguatkan semangat untuk bersemuka dengan Maisara. Dia tidak sanggup membiarkan perkara ini berlanjutan lagi. Dia tahu Maisara tertekan dengan perbuatannya.

“Tak perlulah awak menagih simpati daripada saya setelah apa yang awak dan Suhana telah lakukan pada saya. Apa yang berlaku cukup menyeksa perasaan saya!” Mata Maisara sudah mula terasa panas. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan perasaannya.

Fariz memandang Aiman dan membelakangkan Maisara yang juga membelakangkannya.

“Awak terlalu pantas menjatuhkan hukuman tanpa awak ketahui hakikat yang sebenarnya, Sara,” ujar Fariz lagi. “Saya tahu awak terseksa, tapi sekurang-kurangnya maafkanlah kesalahan Suhana.”

Hati Maisara tersentuh lagi apabila mendengar nama Suhana meniti bibir lelaki itu. Terasa perasaan wanitanya terhiris lagi, biarpun Fariz hanya menyebut nama isterinya.

“Awak tak layak menuduh saya begitu sedangkan segala yang terjadi berpunca daripada awak sendiri!” Jiwa Maisara penuh dengan rasa dendam dan kesakitan.

Tanpa menunggu lebih lama, Maisara berlalu keluar dari kamar itu. Lebih lama dia di situ, dia khuatir jika kemarahan dan kesedihan yang selama ini dipendam tidak dapat ditahan. Dia tidak mahu orang tuanya mengetahui apa yang telah terjadi antara dia, Fariz dan arwah Suhana.

Fariz yang masih di situ menoleh dan hanya memerhati langkah Maisara yang berlalu pergi. Dia tahu perbuatannya cukup mendera gadis itu. Takkan mudah baginya mendapat kemaafan Maisara. Kebencian Maisara kepadanya cukup jelas daripada reaksi yang ditonjolkan.

Fariz mendekati Aiman dan mengusap lembut rambut yang halus itu agar bayi itu tidak terganggu tidurnya. “Maafkan papa, Aiman…” Lesu tutur kata yang diucapkannya.

Perlahan-lahan Fariz mengangkat tubuh kecil Aiman dan membawanya dalam pelukan. Kemudian dia berlalu menuju ke tingkat bawah di mana Khalid dan Maimun sudah sedia menunggu.

“Kalau senang-senang datanglah ke mari bawa Aiman sekali ya, Fariz,” pinta Maimun. “Aimanlah satu-satunya harta yang ditinggalkan arwah Su. Janganlah dipisahkan dia daripada kami.”

Maimun seakan-akan merayu kepadanya. Fariz mengangguk-angguk. Dia sedar, keluarga mertuanya lebih berhak terhadap Aiman berbanding dia dan keluarganya.

“Umi jangan risau, Fariz akan bawa Aiman ke sini bila-bila saja umi mahu,” janji Fariz.

“Kalau ada apa-apa... jangan segan-segan datang ke sini. Walaupun arwah Su dah tak ada, Fariz tetap menantu kami,” ujar Khalid kemudian.

“Fariz faham, abah.” Kemudian Fariz menunduk dan menyalami kedua-dua orang tua itu. “Fariz pulang dulu.”

Sebelum Fariz pergi bersama Aiman, sempat Khalid dan Maimun mengucup cucu mereka. Hati Maimun menangis. Entah bila agaknya Aiman dan Fariz akan datang ke sini lagi. Aiman…


DI balik jendela kamar, Maisara memerhati Fariz membawa Aiman bersamanya. Pintu kereta di sebelah kiri dibuka. Aiman diletakkan di dalam kerusi bayi. Kemudian Fariz ke tempat pemandu dan menghilangkan diri di dalam perut kereta. Tak lama kemudian, kereta Fariz keluar dari pekarangan rumah.

Tirai jendela ditutup. Maisara bersandar di situ lalu melepaskan keluhan. Kenapalah Fariz perlu datang ke mari? Bukankah umi dan abah yang sepatutnya menghantar Aiman ke sana?

Kesal hatinya tidak terkira. Kalau tidak kerana kedatangan Fariz tentu sahaja dia akan memeluk dan mencium Aiman sepuasnya sebelum bayi itu meninggalkan rumah ini.


**********************************

Monday 16 November 2009

Takkan Pernah Hilang 2








SUDAH seminggu lamanya Maisara pulang ke rumah orang tuanya di Pantai Miami. Sejak kedatangan Maimun bulan lalu, hatinya mula menjadi tak keruan. Setiap detik setiap saat rayuan uminya terngiang-ngiang di telinganya. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke Pulau Pinang walaupun kata putus sama ada menerima permintaan umi untuk menikahi Fariz ataupun tidak masih belum diberikan.

Dia tahu kedua-dua orang tuanya masih merasa kahilangan Suhana, justeru dia mengambil keputusan begitu. Biarlah dia pula yang menemani mereka berdua memandangkan kini dia menjadi anak tunggal dalam keluarga itu setelah pemergian Suhana. Kekosongan mereka perlu diisi kembali.

Sebelum pulang ke Pantai Miami dia telah pun menghantar resume kepada beberapa buah syarikat di Pulau Pinang dan buat masa ini dia masih belum mendapat apa-apa balasan daripada mereka. Jadi, setakat ini dia hanya berehat di rumah sahaja.

Maisara yang sudah siap membacuh kopi, terus menghidangkannya di atas meja. Sebentar lagi, abah dan umi akan turun untuk bersarapan. Dapat bersarapan bersama umi dan abah lagi adalah satu perkara yang sangat membahagiakan. Dahulu, setiap hujung minggu dia, arwah Suhana, abah dan umi selalu meluangkan masa bersarapan bersama. Namun, sejak Suhana berkahwin dengan Fariz dia mengambil keputusan untuk pergi membawa diri. Hubungan mereka juga menjadi semakin renggang. Tiada lagi usikan dan gelak tawa mereka berdua yang kedengaran di rumah itu lagi.

“Sara...” panggil Maimun yang sedari tadi memerhati Maisara yang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Sudah lama benar rasanya Maisara tidak menghidangkan sarapan buat mereka. Hati Maimun digamit rasa rindu untuk berkumpul lagi dengan anak-anaknya.

Bila ada Suhana, Maisara pergi dan kini bila Maisara kembali, Suhana pula meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.

Maisara yang sedang ligat menyiapkan sarapan menoleh, memandang Maimun.

“Sarapan, umi,” ajak Maisara. “Sara dah siapakan semuanya. Abah mana?”

Maisara sudah menarik kerusi untuk Maimun. Matanya melirik ke atas, menantikan kehadiran Khalid.

Maimun melabuhkan punggungnya di kerusi yang ditarik Maisara. Dia tersenyum. Layanan yang sama yang sering diberikan Suhana. Jika dahulu, mereka berdua akan berebut untuk menarik kerusi untuknya. “Kejap lagi turunlah abah tu.”

Sebaik sahaja Maimun berkata begitu, kelibat Khalid muncul dari atas.

“Sarapan, abah.” Maisara menjemput Khalid pula.

Khalid mengangguk dan duduk di kerusi yang biasa didudukinya.

Maisara mencedok kuetiau goreng ke dalam pinggan Maimun dan Khalid. Senang hatinya dapat menjamu kedua-dua orang tuanya. Hampir setahun berada di negeri orang, dia sudah rindu dengan rutinnya melayan mereka berdua. Jika ada Suhana dan sewaktu hubungan mereka masih baik, dia juga sering melayan Suhana begitu, juga sebaliknya. Tetapi sekarang, semuanya sudah berubah. Jika Suhana masih ada pun, hubungan mereka akan renggang dan tak mungkin bersatu lagi.

Maimun melirik Maisara yang masih lagi tersenyum. Wajah itu kelihatan ceria sekembalinya ke sini. Tetapi sehingga hari ini masih belum ada kata putus yang keluar daripada Maisara. Dia tidak pernah menyentuh soal Fariz mahupun Aiman. Ingin benar dia bertanya kepada Maisara terus tetapi suaminya, Khalid, mintanya bersabar dahulu. Jangan terlalu didesak Maisara.

“Sejak pulang ke sini. Sara langsung tak ke mana-mana.” Maimun memulakan kata. Sepanjang hari, anaknya itu berkurung di rumah.

Maisara berpaling memandang Maimun. “Kenapa? Umi nak keluar dengan Sara?”

Maisara masih lagi tersenyum. Mungkin umi rindu untuk berjalan-jalan dengannya seperti dulu. Dia juga rindukan saat seperti itu lagi.

Maimun mengangguk. “Apa kata kalau kita pergi melawat Aiman?” usulnya kemudian.

Maisara diam tidak membalas. Melawat Aiman? Ya, memang dia belum pernah lagi melihat Aiman sejak dia di sini. Hati kecil Maisara berbahagi. Sebahagian hatinya mahu sekali melihat Aiman, sebahagian lagi keresahan. Bagaimana jika dia terjumpa lagi dengan Fariz? Dia belum bersedia untuk itu.

Maimun turut membisu dengan kebisuan Maisara. Khalid yang hanya membisu diliriknya seketika. Semenjak pemergian Suhana, Fariz telah berpindah semula ke rumah orang tuanya di Bandar Tanjung Bungah. Aiman dibawa bersamanya. Sebelum itu, dia dan, Khalid pernah meminta Fariz supaya terus tinggal bersama mereka. Namun kata Fariz, dia tidak betah tinggal di situ tanpa kehadiran Suhana.

Khalid memandang Maisara dan Maimun yang masing-masing mendiamkan diri.

“Umi terlalu rindukan Aiman. Dah lama Aiman tak datang ke sini. Tak salah kan kalau Sara temankan umi? Lagipun, Sara belum jumpa Aiman lagi.” Khalid memainkan peranannya. “Abah nak temankan umi, tapi Sara tahu sajalah. Abah sibuk dengan kerja. Tak ada siapa nak temankan umi. Kebetulan Sara dah balik sini, apa salahnya Sara temankan umi?”

Maisara melirik abahnya sebentar sebelum perhatiannya kembali pada kuetiau goreng di pinggannya. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

“Tak baik kita putuskan hubungan persaudaraan biarpun arwah Suhana dah tak ada. Aiman tetap cucu umi dan abah. Aiman tetap anak saudara Sara. Kasihan Aiman. Dia dah tak ada siapa lagi di dunia ni. Sudahlah ibunya meninggal. Takkan kita yang hidup ni pun nak jauhkan diri daripada dia?” tambah Khalid lagi.

Khalid tahu benar keberatan Maisara. Wajahnya jelas menunjukkan begitu. Tetapi apa alasan yang membuatkan Maisara begitu keras hati untuk berbaik-baik dengan keluarga Fariz tidak diketahuinya. Seperti Maimun, dia juga menyedari perkara itu semenjak Suhana mendirikan rumah tangga dengan Fariz. Apakah Maisara merasakan kehadiran Fariz mengganggu hubungannya dengan Suhana? Atau mungkin ada sebab yang lain?

Maimun semakin muram dengan kebisuan Maisara. “Bagaimanalah keadaan Aiman agaknya? Entah boleh entah tidak Fariz menjaga dia.” Sesungguhnya dia selalu terfikirkan tentang itu. Bolehkah Fariz menguruskan Aiman? Bagaimana Aiman melalui hari-harinya sebagai bayi yang masih memerlukan sentuhan seorang ibu?

Maimun semakin muram mengenangkan cucunya. Ada keluhan dari bibir tua itu.

Fikiran Maisara semakin berserabut dengan kata-kata orang tuanya. Bukan dia tidak mempedulikan Aiman. Tetapi dia sendiri serba salah. Dia perlukan lebih waktu untuk menerima semuanya.

“Anak dia… pandai-pandailah dia jaga. Lagipun, orang tua Fariz kan ada untuk tengok-tengokkan Aiman? Janganlah umi risau.” Entah mengapa kata-kata itu terlepas dari bibirnya. Dia terdiam sejurus berkata begitu.
Tersentuh hati Maimun mendengar jawapan Maisara. Langsung tidak berbekaskah di hatinya untuk melihat anak saudaranya sendiri?

“Umi tak fahamlah dengan Sara.” Akhirnya Maimun bersuara. “Sara seolah-olah tak peduli tentang Aiman.”
Maisara tengadah dengan kata-kata Maimun. Rasa bersalah mula timbul. Dia sedar keterlanjuran kata-katanya. Memang dia tidak patut berkata begitu.

“Maafkan Sara, umi. Sara tak bermaksud macam tu…” Maisara menafikan. “Tapi...” Dia kehilangan kata-kata. Bagaimana caranya untuk dia menerangkan rahsia hatinya? Bukan dia tidak mahu melihat Aiman, tetapi dia tidak mahu berjumpa dengan Fariz. Lelaki itu yang menjadi penghalang untuk dia melihat bayi itu.

“Macam ni…” Maisara mendapat akal. “Apa kata kalau umi pergi ambil Aiman dan bawa Aiman ke sini? Biarlah Sara jaga Aiman selagi Sara masih belum dapat kerja.”

Terus mata Maimun menangkap wajah Maisara. Matanya bersinar kembali. Cadangan Maisara ada bernasnya. Manalah tahu seandainya Maisara menjaga Aiman, pintu hatinya akan terbuka untuk menerima Fariz kerana Aiman. “Betul?”

Maisara mengukirkan senyuman melihat wajah Maimun yang sudah tersenyum.

“Betul.” Maisara mengangguk. “Umi bawa Aiman ke sini. Sara akan jaga dia.”

“Tapi umi tak pasti Fariz akan benarkan Aiman tinggal beberapa hari di sini.” Maimun diam kembali. Bagaimana jika Fariz tidak setuju?

“Awak cakap elok-elok dengan Fariz, dengan besan kita. Insya-Allah, dia orang izinkan. Aiman pun cucu kita juga.” Khalid cuba meleraikan kekhuatiran Maimun. “Cuba kamu kata, Maisara yang minta Aiman, untuk jaga beberapa hari. Mesti dia orang benarkan.”

Maimun tersenyum. Tentu sahaja mereka benarkan. Lagipun, besannya juga sudah maklum tentang permintaan Suhana yang mahu Fariz berkahwin dengan Maisara. Mereka pun sukakan Maisara untuk menggantikan tempat Suhana.

Khalid hanya tersenyum melihat senyuman yang sudah terukir pada bibir Maimun dan Maisara. Sekurang-kurangnya, Maisara masih berlembut hati untuk menjaga Aiman. Bukankah itu menandakan dia juga sayangkan anak saudaranya itu?


MATANYA terpaku kepada bayi yang digendong Maimun dalam pelukan. Kedengaran rengekan halus daripada bayi itu. Langkah diayun menghampiri mereka berdua. Bayi itu dipandang Maisara. Satu perasaan gembira dan bahagia timbul dalam dirinya.

Maimun menyerahkan Aiman yang berada dalam dukungannya kepada Maisara. Maisara yang pada awalnya merasa ragu untuk mengambil Aiman, akhirnya membawa Aiman dekat dalam pelukannya. Inilah pertama kali dia memegang bayi sekecil itu. Matanya tertancap wajah comel Aiman. Rasa kasih timbul dalam hatinya. Lantas dia mencium dahi Aiman lama. Kemudian dia membawa Aiman dan duduk di sofa. Dia meletakkan jari telunjuknya agar digenggam jari-jemari kecil Aiman.

Kasihan Aiman. Terasa air panas mula bertakung di kelopak matanya. Namun ditahan agar tidak mengalir. Dia tidak boleh menunjukkan perasaannya di depan umi. Sudah pasti nanti umi akan mengungkit kembali tentang permintaan Suhana untuk menjadi ibu buat Aiman. Sungguh, dia masih belum siap untuk itu.

Dia mengusap pipi gebu Aiman. Bayi itu memandangnya sambil menggeliat dan tersenyum membalas tindakannya. Maisara mengukirkan senyuman bahagia. Setiap usapannya mendapat gelak balas daripada Aiman. Sungguh, Aiman bayi yang cerdik. Jari telunjuknya diletakkan kembali dalam genggaman tangan Aiman. Rasa kasihan pula berputik di hati melihatkan Aiman seolah-olah menyenangi setiap perbuatannya. Mungkinkah benar Aiman memerlukannya?


*************************

Takkan Pernah Hilang (Prolog)





DARI kejauhan kelihatan seorang gadis berbaju kurung dan berselendang putih sedang berdiri di bawah pohon rendang di pekarangan Masjid Jalan Perak. Dia berdiri sambil memerhatikan sanak saudaranya yang lain sedang menguruskan pengebumian arwah kakaknya. Wajah lelaki itu, lelaki yang sering dielaknya daripada bersua juga ada di situ. Wajah itu kelihatan muram dan bersedih. Tentu hatinya hiba berpisah dengan isteri tercinta.
Ketika imam membacakan doa dan talkin, gadis itu juga menadah tangan dan menyedekahkan Fatihah kepada jenazah. Sesekali dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Sungguh dia tidak menyangka semuanya akan berakhir begini. Dia tidak pernah meminta semuanya berakhir begini. Biarpun kenyataan itu pahit, tetapi perpisahan juga adalah sesuatu yang pahit untuk dihadapi. Apatah lagi hubungan mereka berdua masih belum pulih seperti dahulu.
Suhana pergi tanpa memulihkan kekeruhan yang terjadi!
Walaupun peristiwa itu masih berdarah, namun kerana ikatan kasih yang masih bersisa di hati, dia datang juga ke sini untuk memberi penghormatan terakhir terhadap arwah. Apatah lagi jika mengenangkan hubungan mereka terlalu rapat sebelum peristiwa itu berlaku. Kasih sayangnya masih utuh buat insan yang bernama kakak. Biarpun hatinya masih terluka dan berdarah, dia tetap memaafkan dan merelakan segala yang sudah berlaku.
Sebaik sahaja doa dan talkin selesai dibaca, pantas dia melangkah pergi dan meninggalkan pusara itu agar tidak terserempak dengan keluarga dan saudara yang lain. Hanya umi dan abah sahaja yang tahu kedatangannya di situ. Bukan tidak sudi menunjukkan wajahnya. Tetapi dia tidak mahu bertembung muka dengan lelaki itu. Lelaki yang banyak meninggalkan luka berdarah di hatinya.



************************

Takkan Pernah Hilang








KAHWIN? Tersentak Maisara dengan permintaan uminya yang datang dari jauh semata-mata kerana itu. Hanya kerana hendak menyuruhnya berkahwin? Berguraukah umi? Tapi raut wajah umi tidak melihatkan begitu. Raut wajahnya kelihatan muram, sedih dan gelisah.
Maisara mengurut-urut dahinya sambil mata mencuri-curi memandang Maimun yang duduk bertentangan dengannya. Kepalanya yang tidak sakit itu diusap perlahan sambil berfikir. Memang dia agak terkejut apabila mendapat panggilan daripada Maimun pagi tadi, sebelum dia berangkat ke tempat kerja. Setelah Maimun memberitahu kedatangannya ke rumah sewa Maisara, lantas Maisara menghubungi pejabat dan memohon cuti kecemasan.
            “Kenapa secara mendadak ni, umi?” tanya Maisara. Bukan dia tidak mahu berkahwin, tetapi dia belum bersedia untuk itu. Apatah lagi mengenangkan luka lamanya yang belum pernah terubat sehingga kini.
Tanpa menjawab soalan itu, Maimun bangun lalu duduk di samping anak bongsunya. Maimun akui, permintaannya memang keterlaluan dan dalam keadaan mengejut. Namun, hanya kepada Maisaralah dapat disandang harapan. Apatah lagi permintaan itu juga datangnya daripada arwah Suhana. Jika bukan kerana arwah Suhana, sudah tentu dia tidak datang ke mari.
“Memang itulah tujuan umi,” ujar Maimun.
            Maisara berpaling memandang Maimun. “Takkanlah umi datang ke sini semata-mata kerana itu?” tanya Maisara lagi.
            Maimun memandang wajah Maisara sebelum menundukkan wajahnya, memandang lantai. Bagaimana hendak dijelaskan kepada Maisara akan apa yang berlaku? Setujukah Maisara dengan permintaan arwah Suhana sedangkan semenjak Suhana mendirikan rumah tangga, hubungan antara kedua beradik itu menjadi renggang. Di mana silapnya dan apa puncanya tidak diketahui. Baik Suhana mahupun Maisara tidak pernah memberitahu apa-apa kepadanya.
            Wajah Maimun yang suram itu dipandangnya. “Umi... umi...” panggil Maisara.
“Umi!” panggil Maisara agak kuat setelah panggilannya beberapa kali tidak mendapat respons daripada Maimun. Apa yang terjadi sebenarnya? Kenapa tiba-tiba sahaja umi mengusulkan sedemikian? Umi kelihatannya tertekan.
            Maimun memandang Maisara lalu mengukirkan senyuman pahit. Bagaimana harus dijelaskan kepada Maisara tentang permintaan Suhana? Mahukah Maisara bersetuju?
Raut wajah Maimun yang muram dipandang Maisara. Kecilkah hati orang tua itu setelah mendapat reaksi negatif daripadanya?
“Umi…” panggil Maisara seakan-akan memujuk.
“Bukan Sara tak nak kahwin. Tapi belum masanya. Lagipun, Sara belum ada sesiapa sebagai calon menantu, umi,” jelas Maisara. Ah… bagaimana untuk Maisara jelaskan apa yang berlaku sebenarnya? Perkara yang selama ini dipendam sehingga dia membawa diri ke negeri Indera Kayangan. 
            Walaupun peristiwa itu sudah berlalu dan Suhana juga telah pergi meninggalkan semuanya, namun tiada satu pun ingatannya terhadap perkara itu luput daripada kotak ingatannya. Memang dia telah memaafkan setiap kesalahan arwah Suhana, namun memaafkan tidak bermakna segalanya akan hilang daripada ingatan. Dek kerana peristiwa itu, dia sentiasa membataskan pergaulan dengan lelaki, apatah lagi jika lelaki itu semakin cuba menghampirinya. Bukan dia tidak ada keinginan untuk mencintai dan dicintai, tetapi kepercayaannya sudah lama hilang.
            “Bagaimana kalau umi kata…” Dalam keadaan ragu-ragu Maimun meneruskan jua hajatnya. “Yang… umi dah ada calon untuk Sara?”
            “Umi!” Terkejut Maisara mendengarnya. Umi sudah ada calon? Kenapa umi lakukan semua ini? Dia bukannya anak dara yang sudah lanjut usianya untuk umi khuatir jika masih belum berumah tangga! Usianya baru mencecah 25 tahun. Masih punya banyak waktu untuk memikirkan soal itu.
“Sara belum bersedia, umi!” Maisara menggenggam tangan Maimun erat. “Sara tak mahu serahkan hidup Sara kepada orang yang Sara tak kenal!”
            Maimun menghela nafasnya. Berat hatinya untuk berterus terang dengan Maisara. Tetapi apabila menimbang semula permintaan Suhana, dia juga merasakan itulah yang terbaik demi bayi yang ditinggalkan Suhana.
“Calon yang umi maksudkan bukannya orang lain. Melainkan… abang ipar Sara sendiri. Fariz!” Ada sinar harapan yang ingin dipancarkan. Sesungguhnya, dia memang berharap benar Maisara akan bersetuju dengan cadangannya.
            Fariz?! Terlopong mulut Maisara mendengar calon yang disebut umi. Waktu dirasakan terhenti. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu dan hari ini nama itu kembali menyingkap cuping telinganya. Maisara tersandar pada kerusi. Kenapa perlu Fariz? Bukan sahaja wajah, malah bayang lelaki itu juga dia tidak mahu lihat. Terbayang wajah Fariz yang melambai-lambai kepadanya sambil memeluk Suhana. Mereka berdua mentertawakannya lalu berlalu meninggalkan dia, menangis sendirian.
           Melihatkan reaksi Maisara, Maimun tahu anaknya itu keberatan untuk menerima Fariz dalam hidupnya.
“Sara…” panggilnya lembut sambil mengusap-usap lengan Maisara. Bagaimana lagi harus dilakukan jika Maisara menolak cadangannya? “Aiman perlukan Sara...”
            “Sara bukan menolak, umi. Tapi, kalau Fariz yang umi maksudkan, Sara tak boleh terima.” Maisara menutur dengan lembut. Maisara kemudiannya beralih memandang Maimun. Tangan Maimun yang sedang mengusap lengannya dicapai lalu digenggam erat.
“Fariz abang ipar Sara. Suami arwah Kak Su.” Satu per satu ayat disebut. “Rasanya tak sanggup Sara gantikan tempat arwah.”
Sungguh, dia tidak pernah terfikirkan tentang itu. Sudah lama dia buang jauh seorang lelaki yang bernama Fariz daripada hidupnya.
            “Tapi ini permintaan Suhana sendiri!” tegas Maimun. “Itu bermakna Suhana meletakkan harapan yang tinggi kepada Sara untuk gantikan posisinya sebagai isteri Fariz dan ibu untuk Aiman.”
            Permintaan Kak Su? Maisara kebingungan. Kenapa Suhana tega melakukan semua ini? Merampas kebahagiaannya tatkala dia sudah memasang angan-angan untuk membina mahligai bahagia dan sekarang menambahkedukaannya dengan permintaan sedemikian. Permainan apakah yang sebenarnya dirancang Suhana dan Fariz?! Satu lagi agenda untuk menyakiti hatinya?!
            “Sebelum Suhana dibawa masuk ke wad bersalin, dia ada beritahu umi tentang hajatnya.” Maimun sudah mengalirkan air mata.
Walaupun sebulan telah berlalu, namun segalanya masih kuat di minda Maimun. Kubur arwah Suhana juga masih merah. Aiman yang masih kecil ditinggalkan. Bayi itu perlukan ibunya. Kasihan Aiman. Bukan sahaja kasih sayang, malah sentuhan daripada ibunya juga tidak sempat dirasai. Masih terngiang-ngiang permintaan Suhana di telinganya.
            “Ampunkan kesalahan Su, umi…. abah….” Air mata tak henti-henti mengalir dipipinya. Sesekali dia mengerang kesakitan. “Beritahu Sara… Su minta ampun pada Sara. Seandainya sesuatu yang buruk berlaku pada Su, jangan biarkan bayi Su merasa kehilangan. Su berharap, Sara dapat gantikan tempat Su… Su banyak dosa dengan Sara. Tolong, umi… beritahu Sara, Su minta maaf. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Su, melainkan Sara.”
            Tiba-tiba sahaja Maimun memeluk Maisara lalu menangis tersedu-sedu di bahu Maisara. Dia mengongoi seperti anak kecil. Bagai terdengar-dengar dan terngiang-ngiang di telinganya tangisan bayi itu. Seolah-olah memanggil-manggil ibunya dan meminta ibunya memeluk dan menyusukannya.
            “Kasihan Aiman!” Maimun terus menangis. “Belum sehari pun dia hidup di dunia, ibunya pergi tinggalkan dia! Kasihan cucu umi.”
            “Sudahlah, umi. Sabar... Semuanya dah tertulis.” Maisara mengusap-usap belakang Maimun bagi menenangkannya. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu menenangkan umi. Bukan dia tidak kasihankan Aiman. Tetapi dia tidak rasa yang dia sanggup untuk menjadi ibu buat anak Fariz dan Suhana.
            Maimun mengangkat kepalanya lalu menyapu air mata dengan hujung lengan baju kurung yang dipakainya. Dia memandang Maisara. “Ini permintaan terakhir Suhana. Dia mahu Sara menggantikan tempat dia! Umi merayu pada Sara, tunaikanlah permintaan Suhana demi Aiman.”
            Hati Maisara tersentuh melihatan rayuan uminya. Besar sangatkah dia sehingga sanggup membiarkan uminya sendiri merayu begitu kepadanya? Tetapi hatinya berat untuk menerima permintaan umi. Namun, luka semalam masih berdarah!
            “Sara minta maaf umi... Sara tak boleh... ” Melihatkan air mata yang semakin membasahi pipi Maimun, Maisara juga ikut-ikutan menangis. Sebak dadanya melihat tangisan itu.
            “Kasihanilah Aiman. Dia perlukan Sara!” Maimun masih terus memujuk.
            Apa yang bisa dikatakan Maisara? Terus menolak? Bukankah itu akan melukakan lagi perasaan umi? Tetapi untuk menerima bulat-bulat permintaan yang menyakitkan hati, sudah tentu tidak!
“Apa kata Fariz?” Mahu juga dia tahu tentang lelaki itu. Takkanlah begitu mudah Fariz mahu menggantikan tempat Suhana di hatinya? Sedangkan dia sendiri terbuang dek perasaan Fariz kepada Suhana.
            “Fariz setuju untuk memperisterikan Sara,” ujar Maimun.
            Maisara memejamkan matanya. Fariz bersetuju? Siapakah dirinya untuk Fariz? Hanya sebagai pengganti Suhana? Terlalu sakit untuk menerima kenyataan itu!
“Takkan terlalu mudah untuk Fariz cari pengganti Kak Su?” Maisara mengetap bibirnya, menahan perasaan.
            Sangka Maimun, Maisara sedang bersedih kerana dengan mudah Fariz mahu menggantikan cinta Suhana.
“Fariz sayangkan Kak Su. Sampai sekarang, sayangnya pada Kak Su takkan pernah berubah. Fariz bersetuju menerima Sara setelah tahu itu permintaan Suhana.” Maimun bertutur dengan hati-hati, takut jika kata-katanya melukakan perasaan Maisara. “Lagipun, Aiman perlukan kasih sayang Sara sebagai ibunya. Saralah satu-satunya ibu saudara yang Aiman ada. Umi yakin, lama-lama nanti perasaan cinta akan tumbuh dalam hati Sara dan Fariz.”

            Sungguh, Maimun berhati-hati dalam kata-katanya agar tidak melukakan hati Maisara. Namun, tanpa disedari kata-kata Maimun itu memang sudah melukakan lagi perasaannya yang sedia terluka. Maisara menahan sebak di dada. Jadi benarlah, dia hanya sebagai pengganti buat Suhana. Tiada langsung keutamaan dirinya di sini. Dia hanya sebagai pengganti!


Oder sekarang: order@fajarnovels.com.my

Saat Hati Merelakan 3


Zila memandang jam yang tergantung di dinding ruang tamu kemudian beralih memandang jam di tangannya. Sudah hampir satu jam setengah dia menunggu Qismyna di situ. Rasa malu dan segan mula menguasai diri. Mujurlah Puan Suria ramah orangnya.


Sedari tadi juga dia cuba menghubungi Qismyna namun gadis itu tidak menjawab panggilannya..

“Kenapa? Risau je nampaknya,” tegur Puan Suria walaupun dia tahu kegusaran Zila.

“Eh, tak delah mak cik. Cuma.......dah lama saya kat sini. Qis pun tak balik-balik.” Zila memaksa dirinya mengukirkan senyuman. “Saya rasa saya nak minta diri dulu.”

“Assalamualaikum….” Terdengar suatu suara dari luar.

“Waalaikumsalam.” Mereka berdua menjawab serentak.

“Zila tunggu dulu. Mak cik pergi tengok. Rasanya Qis tu......” Puan Suria melangkah bangun. Jangkaannya tepat. Kelihatan Qismyna berada di muka pintu sedang membuka kasut. Di tanggannya menggenggam beberapa beg plastik.

“Pergi mana tadi?” Qismyna berpaling mendengar suara di belakangnya.

“Ah, mak,” dia tersenyum. “Pergi kubur arwah Mak Cik Salmah.......lepas tu singgah kedai buku,” ujarnya sambil menunjuk buku-buku yang dibelinya. Puan Suria menggelengkan kepalanya. Memang dari dulu anak gadisnya minat membaca.

“Engkau ni. Baru sampai tu, bawak-bawaklah berehat dulu. Ini tidak.” Puan Suria menggelengkan kepalanya.

“Alah mak ni. Qis tak ke mana-mana mak. Lepas melawat kubur arwah Mak Cik Salmah, Qis singgah kedai buku je. Kan Qis dah minta izin semalam.”

“Zila ada di dalam. Dah lama dia tunggu kau.”

“Zila?” keningnya berkerut. Qis bangun mengangkat punggung lalu beredar ke ruang tamu. Puan Suria membontotinya di belakang.

“Zie!” panggil Qismyna. “Kenapa kau tak call aku dulu? Kalau tak aku dah balik awal.”

“Apasal pulak aku tak call? Engkau yang tak jawab fon!” beritahu Zila. Qismyna segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg galas.

“Empat belas missed call!!” Qismyna tercengang. “Sorry…aku on silentlah.” Qismyna memohon maaf setelah menyedari kesilapannya.

Puan Suria berlalu meninggalkan mereka berdua. Maya menghampiri Zila dan duduk berhampirannya.

“Ada apa kau datang cari aku ni?”

“Tak de apa yang penting. Cuma……Adam,” ayat Zila mati di situ. Wajah Qismyna mula kelihatan garis-garis kekeliruan.

“Apa sebenarnya ni?”

“Tadi, aku pergi shopping di Gama. Aku singgah Prangine Mall. Aku nampak Adam.” Kali ni, Qismyna memang benar-benar terkejut. Mulutnya ternganga sedikit.

“Kau nampak Adam di Prangine Mall?!” Dia terdiam seketika. Bibirnya ditarik cekang. “Aku ingatkan dia takkan datang ke sini lagi,” ujarnya perlahan namun masih boleh didengar.

“Aku pasti, lelaki yang aku nampak di sana tadi adalah Adam,” tegas Zila. “Dia masih macam dulu. Tak berubah.” Qismyna hanya terdiam tidak membalas kata-kata Zila. “Sebab tu aku datang sini. Nak beritahu kau.”

“Kau jumpa dengan dia?” tanya Qismyna. Zila menggelengkan kepala.

“Hanya dari jauh.” Zila memandang wajah sahabatnya yang mula kelihatan murung. “Maaf, aku bukan sengaja nak tambahkan penderitaan kau. Cuma, aku rasa kau perlu tahu. Aku nak kau bersedia.”

“Tak pe, Zie. Kau tak perlu nak minta maaf. Cuma, kalau boleh aku nak jauhkan Adam dari minda aku.” Qismyna memandang wajah Zila.

Zila menghembuskan nafasnya. Bolehkah Qismyna buang Adam dalam ingatannya? Sedangkan lima tahun dia membawa diri ke negeri orang pun, Adam masih belum hilang dari kenangannya.

“Ah.....sebenarnya kau ke mana tadi Qismyna?” tanya Zila mengubah tajuk perbincangan apabila melihat Qismyna kelihatan sedikit runsing.

“Aku ke kedai buku Popular. Saja beli buku sikit,” jelasnya.

“Kat mana?” tanya Zila lagi.

“Prangine Mall,” jawab Qismyna ringkas.

“Kau tak terserempak dengan Adam?” tanya Zila pantas. Tak sangka Qismyna jugak ada di tempat yang sama. Qismyna menggeleng. Mujur dia tak terserempak dengan Adam di sana. Dia belum bersedia menghadapi kenangan silamnya sekali lagi.

“Zie!” Qismyna menarik nafasnya. “Aku dah tak nak ingat pasal Adam. Kerana dia aku jauh dari keluarga aku!” Qismyna bersuara sedih. “Aku menyesal sebab terlalu ikutkan perasaan.” Zila mula rasa bersalah melihat keadaan Qismyna.

Kalaulah dari dulu Qismyna bertegas untuk melupakan Adam, sudah tentu perkara sebegini takkan berlaku.

“Maafkan aku Qismyna.” Dia menyentuh tangan Qismyna. Cuba untuk menenangkan sahabatnya itu. “Aku sentiasa menyokong kau dan keputusan kau untuk melupakan Adam memang tepat! Tak guna kau masih ingatkan Adam. Nanti kau juga yang merana.”

“Aku benar-benar menyesal. Mujurlah keluarga aku masih terima aku walaupun aku dah banyak lukakan perasaan mereka.”

“Baiklah Qis. Aku janji. Aku takkan sebut apa-apa tentang Adam.” Qismyna mengukirkan senyuman padanya. “Okeylah. Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, call aku.” Qismyna mengangguk.

Setelah menghantar Zila hingga ke muka pintu, lantas Qismyna berlalu ke kamar tidurnya di tingkat atas. Dia menutup pintu dengan rapat lalu merapati tilam empuknya dan berbaring. Setiap butir kata-kata oleh Zila satu persatu terngiang-ngiang di telinganya.

‘Kenapa Adam perlu kembali lagi?’ Dia melepaskan keluhan. Sekilas dia teringat kembali pertemuannya dengan Kak Laila sebentar tadi sewaktu di kedai buku. Laila adalah kakak angkat dan juga teman rapatnya sewaktu dia berkerja separuh masa di sebuah pasar mini yang terletak di Bandar Bayan Baru.

Sedang dia membelek buku-buku yang terdapat di kedai tersebut, dia ditegur oleh seseorang.

“Eh, Kak Laila!” ujar Qismyna separuh menjerit. Terpancar cahaya kegembiraan diwajahnya. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Laila.

“Akak ingat kau dah lupakan akak.”

“Mana boleh saya lupakan akak,” balas Qismyna. Setelah penat berpusing-pusing sambil bergelak ketawa di sekitar pameran, mereka berhenti rehat di sebuah gerai berhampiran.

“Kau hilang macam tu je. Kau balik pun tak beritahu. Sampai kenduri akak pun akak tak tahu macam mana nak jemput kau,” ujar Laila. “Akak ke rumah kau, tanya dengan mak kau. Katanya, kau dah lama tak balik Penang.”

“Saya bukan tak nak balik kak. Tapi saya sibuk.” Qismyna memberi alasan.

“Sibuk sampai langsung tak de masa nak balik?! Banyak sangat ke kertas kerja yang kau kena buat?” Laila menggelengkan kepalanya. Qismyna hanya mendiamkan diri. Mungkin ini adalah balasan padanya yang menghilangkan diri selama lima tahun. Ke mana-mana saja dia pergi, pasti orang yang mengenalinya akan mengutarakan pelbagai persoalan. “Atau.....kau masih ingat peristiwa lama?” Laila cuba menjerat Qismyna.

“Perkara tu dah lama berlaku, kak. Saya dah tak ingat lagi tentang semua tu.”

“Betul ke?” Laila cuba merenung mata Qismyna. Qismyna memandang ke arah lain. “Tapi.......Qismynaa yang ada di depan akak sekarang adalah Qismyna yang akak jumpa lima tahun dulu. Sikit pun tak berubah.” Qismyna membatu. “Akak tahu apa yang ada dalam hati kau, Qis.”

“Kak,” Qismyna mengetap bibir menahan perasaan. “Saya tak nak ungkit kisah silam. Semuanya dah berakhir. Antara saya dan Adam tak mungkin lagi. Saya pasrah,” ujarnya. “Biarlah yang lepas tu lepas.”

Laila memerhatikan Qismyna yang sedang merenung ke tempat lain. Dia tahu dan dia yakin dengan gerak hatinya bahawa gadis itu masih kecewa dengan kisah lalu.

“Apa rancangan Qis?” Laila menukar topik perbualan.

“Buat masa ni, saya nak rehat dulu. Lepas tu baru saya nak atur perjalanan hidup saya,” balasnya.

Qismyna meletakkan tangannya di atas kepala. Otaknya masih ligat memikirkan tentang Adam. Dia tahu, dia tak berhak lagi untuk berfikir tentang lelaki itu. Namun, fikirannya masih diganggu dengan percintaan mereka.

Dia menghembuskan nafas sebentar. Dia memandang sekitar bilik tidurnya. Tiada satu pun peninggalan Adam yang masih tersimpan. Semuanya telah dibuang sebelum dia berangkat ke Johor Bahru. Tapi kenangan bersama Adam masih tersimpan kemas dilubuk hatinya.

Dia beristighfar sebentar.

‘Qis! Kau harus bakar semua kenangan kau dengan Adam! Mesti! Mesti! Mesti!’ Hati kecilnya memberi semangat.

.

Saat Hati Merelakan 2



QISMYNA dan Zila mempercepatkan langkah. Hari-hari terakhir macam ni memang ramai pengunjung yang bersesak-sesak untuk menyambut kepulangan mereka yang dinanti. Di satu sudut kelihatan beberapa orang pelajar perempuan sedang bergembira mengambil beberapa foto kenangan. Di sudut lain pula mereka menyaksikan pertemuan antara keluarga. Berpelukan dan bertangis-tangisan. Bertembung pipi sesama sendiri.


Tiba-tiba hati Qismyna terusik. Kini dia sedar, kerana peristiwa silam dia tidak pulang ke Pulau Pinang selama lima tahun walaupun pada cuti semestar. Hanya pada hari perkahwinan kakaknya dan sewaktu Mak Cik Salmah, pengasuhnya meninggal dunia sahaja dia pulang ke sana.

Mak Cik Salmah meninggal dunia pada tahun lepas. Kematian Mak Cik Salmah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri Qismyna. Dia tidak sempat menatap wajah Mak Cik Salmah buat kali yang terakhir.

Sebaik sahaja dia tiba di rumah, Mak Cik Salmah telah pun selamat disemadikan. Keluarganya begitu marah padanya kerana mengasingkan diri dari mereka sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menghubunginya. Khabar itu pun diketahui melalui sepupunya, Fauzan.

Ayahnya, Tuan Malik langsung tidak menghiraukan Qismyna. Kehadiran Qismyna di rumah itu bagai tidak diperlukan. Qismyna tahu, itu semua disebabkan oleh sikapnya yang mementingkan diri.

Sejak dari itu, sesekali dia menghubungi keluargannya jika ada kelapangan. Tetapi Tuan Malik dan Puan Suria langsung tidak mahu menjawab panggilannya. Hanya Almi dan Ariff yang masih bersimpati padanya.

Mereka mula menaiki teksi ke perhentian bas ekspress. Perjalanannya mengambil masa yang panjang. Bas yang dinaiki akan bertolak pada jam lapan malam. Masih ada lebih kurang setengah jam untuk menunggu.

Setelah hampir sepuluh jam mereka berada di dalam bas, akhirnya mereka tiba di destinasi yang dituju. Badan pun sudah terasa lenguh.

Di sana Zila berpisah dengan Qismyna kerana keluarganya datang menunggu kepulangannya. Manakala Qismyna pula, akan mengambil teksi dan pulang sendirian ke rumah yang telah lama ditinggalkan. Bukan keluarganya tidak sudi menjemputnya, namun dia sendiri tidak memberitahu tentang kepulangannya kepada mereka.

Tidak susah untuk mendapat teksi di Perhentian Bas Ekspress Sungai Nibong. Terlalu banyak teksi di sini yang sedia menghantar penumpangnya ke tempat yang ingin dituju. Setelah mendapat sebuah teksi yang akan membawanya pulang, Qismyna pantas menyerahkan bagasinya kepada pemandu dan terus memasuki perut teksi itu.

Qismyna memandang di sekelilingnya. Pulau Pinang sudah jauh berbeza. Cuaca semakin panas. Mungkin kerana banyak pokok-pokok telah ditebang untuk tujuan pembangunan.

“Pak cik, sampai di selekoh depan tu, Pak cik belok kanan ye,” beritahu Qismyna. Pemandu teksi yang usianya hampir mencecah enam puluhan itu mengangguk tanda memahami permintaan penumpangnya. Jiwa Qismyna bergelora. Perasaan rindu pada mak dan ayahnya semakin membuak-buak. Tidak sabar rasanya ingin bersua dengan orang yang amat bermakna dalam hidupnya.

Teksi itu berhenti didepan sebuah rumah teres dua tingkat yang halamannya dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan. Maya membayar upah lalu mengeluarkan barang-barangnya dari but teksi dengan dibantu oleh pemandu tersebut.

Maya memandang persekitarannya. Segala-galanya telah berubah termasuklah rumahnya. Sekiranya dahulu rumahnya dihiasi dengan warna hijau natura, kini dihiasi dengan warna biru langit pula. Pasu-pasu bunga yang menjadi hiasan halaman juga sudah berubah tempat. Malah, rumahnya kelihatan lebih menarik dari dulu.

“Assalamualaikum…..” Maya memberi salam sambil terjenguk-jenguk ke dalam mencari kelibat orang tuanya.

“Waalaikumsalam…” Setelah salam bersambut, muncul seorang wanita yang separuh umur di muka pintu.

Puan Suria memandang gadis di depannya. Dari atas hingga ke bawah. Dia mengukir senyuman. Hatinya berbunga riang.

“Qis!!” garis-garis kegembiraan jelas terukir diwajahnya.

“Mak!” Mereka berpelukan dan bertangis-tangisan.

Hati ibu mana yang tak merindui anaknya. Walaupun anaknya itu melakukan kesalahan, namun anak tetap anak yang tidak dapat dibuang dari hidup seorang ibu.

Setelah pelukan dileraikan, Qismyna bersalaman dan memberi ciuman kepada emaknya. Berkali-kali kata maaf diucapkan. Puan Suria sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya sedia memaafkan anaknya itu.

“Mak, ayah mana?” tanya Maya setelah melangkah masuk bersama ibunya.

“Ayah kau ke masjid. Ada bacaan Al-Quran lepas Subuh,” balas Puan Suria. “Mari duduk,” tangan Maya ditarik. Lantas mereka melabuhkan punggung di perkarangan tamu.

“Kenapa tak bagi tahu nak balik?” Puan Suria bertanya.

“Saja je nak suprisekan mak dan ayah.” Maya melentokkan kepalanya di bahu emaknya. Lama rasanya tidak bermanja dengan ibu kesayangannya. Puan Suria memeluk erat bahu anak bongsunya.

“Mak Yam! Oh Mak Yam!” Puan Suria memanggil pembantu rumahnya. Tak lama selepas itu kelihatan seorang wanita berlari-lari anak menghampiri mereka berdua. Maya agak terkejut melihat pembantu rumahnya.

“Ini pembantu baru?” dia merenung wajah emaknya. Wajah Mak Yam tidak tumpah seperti wajah arwah Mak Cik Salmah.

“Mak Yam ni adik arwah Mak Cik Salmah,” beritahu Puan Suria. Maya bangkit lalu bersalaman dan mencium tangan Mak Yam.

Mak Yam tersenyum. Ternyata anak bongsu Tuan Malik dan Puan Suria sama seperti abang dan kakaknya yang menghormati orang tua tanpa mengira status dan pangkat. Hati kecilnya memuji Puan Suria yang pandai mendidik anak-anak.

Walau pun Mak Yam dan arwah Mak Cik Salmah hanya pekerja di rumah itu, namun mereka semua telah menganggap Mak Yam dan juga arwah Mak Cik Salmah sebagai saudara sendiri.

“Mak Yam, Mak Yam tolong buatkan lepat pisang dan teh tarik untuk anak saya. Kemudian, minta Pak Mat angkat barang-barang diluar tu ke atas ya.” Mak Yam menganggukkan kepalanya lalu beredar menuruti perintah. Qismyna terharu, emaknya masih ingat makanan dan minuman kegemarannya.

“Kenapa selama kau ada di sana kau tak pernah balik? Lima tahun Qis! Hanya dua kali saja kau balik.” Ada nada terkilan dari suaranya. “Ramadhan, Syawal pun kau tak balik. Kau langsung tak fikirkan perasaan kami semua.” Qismyna mula rasa bersalah. Dia diam sebentar. Sukar baginya untuk menjelaskan perkara sebenarnya.

“Qis minta ampun, mak. Kan Qis dah beritahu mak yang Qis nak tumpukan perhatian pada pelajaran. Lagipun, tiap-tiap pagi raya Qis telefon mak, kan?”

“Tapi tak sama, Qis!” Puan Suria memandang Maya. “Kau belum menjadi ibu. Tentu kau tak faham perasaan mak. Walaupun mak sedih dengan kehilangan Mak Cik Salmah yang selama ini menjadi sahabat mak, tapi disebalik tu mak bersyukur. Kerana kehilangan dialah Qis mula kembali menghubungi kami.”

“Qis minta ampun! Qis memang pentingkan diri sendiri. Qis menyesal!” Maya menitiskan airmata. “Lepas kehilangan Mak Cik Salmah, baru Qis sedar kesilapan Qis. Qis mohon keampunan dari mak!” Dia sudah tersembam di pangkuan Puan Suria.

Puan Suria membelai dan mengusap-ngusap rambut Qismyna tanda telah memaafkan segala kesilapannya.

“Raya tahun ni masih ada, kan. Tahun ni kita raya sama-sama. Tentu meriah, kan.” Qismyna melangut memandang Puan Suria. Puan Suria tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.

“Qis janji dengan mak. Qis takkan ke mana-mana lagi.” Maya mengangkat tangannya bersumpah.

“Janji?”

“Janji?!” tegas Qismyna.

Tiba-tiba Qismyna merasakan ada seseorang sedang memerhatikan mereka. Perlahan-lahan dia memalingkan wajahnya ke belakang.

Kelihatan Tuan Malik sedang berdiri di muka pintu. Matanya tepat memandang jauh ke dalam anak mata Qismyna.

Walaupun ada perasaan takut dalam hatinya untuk berdepan dengan ayahnya, namun Qismyna tetap menghampiri Tuan Malik.

Sebaik sahaja dia sampai di depan Tuan Malik, langkahnya terhenti. Dia cuba untuk bertentang mata dengan ayahnya namun dia tidak mampu. Lalu wajahnya ditundukkan ke bawah memandang lantai. Menantikan dirinya dimarahi dan dijatuhkan hukuman.

Tanpa di sangka, Tuan Malik terus mendakap erat tubuh anak bongsunya itu. Qismyna tergamam sebentar. Tetapi kemudian airmata gembira menitis di pipinya. Dia membalas pelukan Tuan Malik sambil bibirnya tak henti-henti memohon ampun dari ayahnya.

Puan Suria yang masih memerhati mengukir senyuman bahagia bersama linangan airmata.

Saat Hati Merelakan 1





FIKIRANNYA melayang jauh mendengar lagu kegemarannya yang diputar di corong radio. ‘Kerana hati ini telah dilukai’ nyanyian Kris Dayanti, cukup menyayat hati. Dia menutup radio sebaik saja lagu itu habis dimainkan. Lantas diarinya dicapai. Pena mula bergerak menulis, mencorakkan rahsia hati.


Dalam kehidupan ini, penuh ranjau dan duri yang terpaksa kita tempuhi. Suka dan duka adalah lumrah kehidupan kepada insan yang bergelar manusia. Hanya semangat yang kental dan ketabahan yang tinggi saja yang mampu menetapkan hati seseorang itu agar terus berada di landasan kebenaran.


In life, we cannot be too greedy. Adakalanya kita diberi pilihan dan adakalanya kita tak punya pilihan. Pengorbanan, inilah yang dinamakan pengorbanan. Kadang-kala kita terpaksa membuat pilihan walaupun pilihan itu akan melukakan perasaan kita sendiri. Tapi kita harus berani menanggung risiko, kerana melakukan sesuatu tanpa kerelaan takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.


Yang penting, doa dan tawaqal harus diiringi dalam setiap langkah kita. Kita harus yakin pada Yang Maha Esa. Tuhan itu Maha Adil. Suatu hari nanti kebahagiaan pasti menjelma. Hanya masa dan keadaan saja yang akan menentukan bila hadirnya ia.

Qismyna menutup diari biru yang sentiasa menjadi sahabat setianya.

‘Adam…..’ nama itu meniti di bibirnya. ‘Kenapa aku masih ingatkan dia? Lima tahun dah berlalu. Mungkin kini dia bahagia bersama isteri dan….anak-anaknya….mungkin. Mana tahu dia telah menerima gadis pilihan keluarganya sebagai isteri.’

Zila yang baru melangkah ke bilik memandang Qismyna sambil tersenyum melihat sahabatnya yang sedang termenung sendirian.

“Hai Qis.....termenung jauh nampak. Ingat orang kat bulan ke?” usiknya. Qismyna tersedar lalu berpaling ke belakang memandang suara yang menegurnya.

Zila menghampiri dan duduk di sebelah Qismyna yang sudahpun bangun dari pembaringan.

“Ingat orang kat bulan tak pe, Zie. Jangan jadi pungguk rindukan bulan sudah,” sampuk Nina yang baru keluar dari bilik mandi sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala.

Zila dan Qismyna beralih memandang tuan empunya suara itu. Qismyna bersandar di kepala katil.

“Aku bukannya apa, cuma berfikir tentang masa depan. Tak lama lagi kita semua akan berpisah. Masing-masing bawa haluan masing-masing.” Qismyna menghembus nafasnya. “Aku ingat, sebelum pulang aku nak spend masa lebih sikit kat sini.”

Itu bukanlah niat sebenar mengapa Qismyna ingin berada lebih lama di Johor Bahru. Tetapi keyakinan yang cuba dikumpulnya masih belum mencukupi. Berat rasa hati untuk kembali semula ke Pulau Pinang yang banyak menyimpan memorinya bersama Adam. Dia masih ingat lagi kata-kata Adam di pertemuan terakhir mereka.

“Kenapa dunia ni tak pernah adil? Setiap orang yang saya sayang akan tinggalkan saya.”


Dia bukanlah cinta pertama Adam, namun Adam adalah cinta pertamanya. Adam….

“Ya......walaupun kita semua akan berpisah dan kembali semula kepada keluarga masing-masing, yang penting ingatan dan kenangan selama kita bersama tak mungkin dilupakan.”

Nina sudah meloloskan dirinya di tengah Qismyna dan Zila. Kedua-dua tangannya memegang tangan Qismyna dan Zila. Mereka bertiga tersenyum sambil pegangan tangan mereka dieratkan.

Qismyna dan Zila mungkin tidak terlalu merasa perpisahan ini berbanding Nina kerana mereka berdua memang berasal dari negeri yang sama, Pulau Pinang tetapi Nina kampungnya jauh di seberang laut.

Hampir tiga tahun mereka berkongsi bilik yang sama. Banyak pengalaman dan kenangan yang ditempuhi bersama.

“Kau dah book flight?” tanya Zila sengaja mengingatkan.

“Dah!” Nina mengangguk. “Yang itu awal-awal lagi aku dah ready.”

Persiapan untuk kembali semula ke Sarawak memang sudah dilakukan. Dia tidak mahu terlalu terburu-buru menyiapkan segalanya. Biar segalanya awal dan teratur.

Entah bila agaknya mereka akan bersua semula. Mungkin ketika konvokasyen nanti. Masing-masing sudah mula menyimpan kerinduan dalam hati. Yang pasti, setiap pertemuan akan berakhir dengan perpisahan.



WES memandang jauh keindahan yang terbentang di depan matanya. Ombak saling berkejaran memukul di persisiran pantai. Setelah lima tahun meninggalkan negeri ini, akhirnya dia kembali. Di sinilah cintanya pada Farahymma berputik dan disinilah cinta yang disemai terkubur meninggalkan kenangan yang tak mungkin dilupakan.

‘Di mana gadis itu menghilang?’ Terasa kerinduan bagai menyucuk-nyucuk tangkai kasihnya yang masih berbunga.

Dia menyeluk koceknya lalu mencapai telefon bimbitnya yang sedang melagukan lagu ‘Beautiful Girl’ nyanyian dari Sean Kingston. Panggilan dari Sabah. Lantas dia mematikan talian. Tak ingin dia menjawab panggilan dari tunangnya. Tunang yang tak pernah dicintai walaupun dicuba berkali-kali. Pertunangannya bersama Manisa tidak pernah dipersetujui. Semuanya telah dirancang dan dia terperangkap dalam kehendak keluarganya sendiri.

‘Ya….melakukan sesuatu tanpa kerelaan takkan ada kebahagiaan menanti dihadapan. Di manakah gadis itu? Apakah dia sudah berkahwin?’

Farahymma atau gadis yang dikenali sebagai Farah, seorang gadis yang amat dicintainya dan sangat memahaminya. Walaupun tanpa bicara, Farahymma tahu sama ada dirinya menghadapi masalah atau tidak. Yang penting Farahymma mempunyai sifat penyayang dan menghormati dirinya sebagai seorang lelaki. Jauh berbeza dengan tunangnya.

“Cinta perlukan pengorbanan, kan? Tak salahkan kalau saya berkorban untuk orang yang saya sayang.” Masih kukuh kata-kata Farahymma diingatannya.

“Farah!!!!!”

Wes menjerit sekuat hati melepaskan rasa rindu yang bergunung dalam dadanya.

Wes melepaskan nafas yang panjang. Puas hatinya dapat menjerit sebegitu. Dia memandang sekeliling. Mujurlah di awal pagi begini masih tiada orang di sana.

Sekali lagi Nokia N90 miliknya menyanyikan lagu ‘Beautiful Girl’. Pantas dia mengeluarkan dari kocek seluar. Tertera nama Manisa, tunangnya. Setelah berkira-kira dia menekan punat hijau, menjawab panggilan Manisa dengan rasa tidak senang.

Wes mendengus geram. Hatinya mula terbakar dengan sikap Manisa. Dia menghempas telefon bimbitnya dengan kasar sebaik sahaja bercakap dengan tunangnya itu.

“Ketenangan!! Ketenangan!! Di mana ketenangan?!” dia bersuara keras.

Manisa sentiasa membuat hari-harinya suram. Manisa dan keluarganya sering memaksanya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya. Keluarganya memang suka menyebelahi Manisa. Bukan dia tak pernah cuba untuk menyayangi Manisa. Tapi Manisa tak seperti Farahymma. Mereka sering bertelagah sesama sendiri walaupun mengenai hal yang sebesar kuman.

Pada mulanya sewaktu dia memberitahu tentang pertukarannya ke Pulau Pinang, Manisa melarang keras dia ke sana. Namun setelah melihat dia bersungguh-sungguh Manisa mendesak agar mereka dikahwinkan segera agar dia boleh mengikutinya ke Pulau Pinang. Mujurlah semua itu masih belum menjadi kenyataan.

Sebentar tadi Manisa menghubunginya untuk memberitahu kedatangannya ke Pulang Pinang pada bulan depan. Dia bertekad, dia akan bertegas. Kini dia kembali semula semula di sini. Di mana hatinya di tinggalkan. Kesempatan ini akan digunakan untuk menjejaki semula Farahymma.

‘Tapi….masih adakah ruang untuk diri ini setelah lima tahun aku menghilang?’