Friday 22 January 2010

Takkan Pernah Hilang 10




MATANYA memerhatikan keletah Aiman yang sedang leka bermain. Sengaja dibiarkan Aiman bermain sendiri setelah sebakul mainan ditaburkan di depannya. Sesekali apabila Aiman menepuk pahanya, baru dia akan melayani Aiman sebentar sebelum fikirannya kembali merewang memikirkan kata-kata umi dan abah semalam.
            Dia mengeluh seketika. Semalam, sekali lagi umi dan abah mengingatkan dia tentang amanah arwah Suhana. Dia tahu, tak baik melambat-lambatkan permintaan insan yang sudah tiada. Namun, dia perlukan waktu untuk meyakinkan dirinya. Sedikit lagi waktu untuk dia cuba melenyapkan segala kedukaan yang ditanggungnya selama ini.
            Tetapi, dia sendiri tidak pasti adakah dia dapat melupakan semuanya walau seribu tahun masa yang diberikan. Dia tidak menyalahkan umi dan abah yang sentiasa mendesaknya. Sesungguhnya, mereka berdua tidak tahu apa yang berlaku antara dia, Fariz dan arwah Suhana. Malah, tiada siapa yang tahu mengenainya.
            “Cinta boleh dibaja, Sara. Apa yang penting sekarang ni, amanah!” Walaupun lembut nada yang dituturkan Khalid namun Maisara tahu dalam lembut abahnya itu, ada tegasnya.
            “Sara perlukan waktu!” Maisara cuba berkompromi.
            “Abah ada berbincang dengan Fariz. Dari pihak Fariz memang tiada halangan. Malah, Fariz sendiri bersetuju dengan amanah Kak Su,” ujar Khalid sambil menyelak langsir dan membuang pandangannya ke luar. “Abah dapat rasakan, masih ada ruang dalam hati Fariz untuk diisi oleh Sara.” Tika ini anak mata Khalid sudah jatuh ke dalam anak mata Maisara. “Fariz ikhlas.”
            Ikhlas? Maisara ingin ketawa apabila mendengar perkataan itu. Seandainya abah tahu kisah sebenar, perkataan ikhlas itu pasti tidak akan keluar dari mulut abah.
            “Dicintai adalah lebih baik dari mencintai Sara, dan Fariz.....cintakan Sara!” kata-kata Khalid itu benar-benar membuatkan Maisara terdiam. Dia mula merasa ingin menangis.
            Abah......seandainya kau tahu....
            “Ma...ma....ma...” Aiman menepuk-nepuk paha Maisara.
Serentak dengan itu, fikiran Maisara kembali kepada Aiman. “Kenapa sayang?” Maisara mengusap rambut Aiman.
Aiman mengunjuk mainannya kepada Maisara.
            Maisara melayani Aiman sebentar. Ketika Aiman sudah mula ralit dengan mainannya kembali, ingatan Maisara merewang pula mengingatkan Maimun yang datang ke biliknya selepas itu.
            “Kenapa umi lihat Sara seperti membenci Abang Fariz?” tanya Maimun.
            Perkataan abang yang digunakan Maimun di pangkal nama Fariz membuatkan Maisara mencebik. Baginya, lelaki seperti Fariz tak layak dihormati seperti itu. Dia tahu apa yang dilakukan umi dan abah semuanya untuk menyatukan dia dengan Fariz. Mula-mula, abah sarankan dia membahasakan dirinya ‘mama’ kepada Aiman. Dia turuti. Bukan kerana rasa terpaksa, tetapi dia lakukan dengan penuh keikhlasan kerana Aiman sudah disayangi bagai anak sendiri. Kemudian, keluarga Fariz melayaninya seperti dia sudah sah menjadi menantu mereka. Dan sekarang, mereka mula meletakkan pangkal ‘abang’ apabila merujuk kepada Fariz.
            “Kenapa umi tanya macam tu?” Maisara pura-pura tidak mengerti. “Sara bukan bencikan Fariz, cuma Sara masih belum kenal rapat dengan dia. Sebab tulah.....”
            “Kalau macam tu kenapa tak beri ruang pada diri Sara untuk kenal dengan dia lebih rapat?” tanya Maimun lagi. Bukan dia tak tahu, malah dia cukup menyedari layanan Maisara pada Fariz. Tidak pernah menantunya itu dilayan dengan baik oleh Maisara. Walaupun tatkala Suhana masih ada, Maisara tidak pernah mahu beramah mesra dengan abang iparnya itu. Kerapkali dia cuba menjauhkan diri dari Suhana dan Fariz sehingga akhirnya dia berpindah ke Kangar, Perlis.
            “Sara anak umi. Naluri seorang ibu tidak pernah silap. Walaupun Sara menafikan, tapi umi dapat rasakan. Ada sesuatu yang tidak kena antara Sara dengan Fariz, kan?” Maimun menatap wajah di sebelahnya.
            Maisara tergamam Sesungguhnya, memang benar kata umi naluri seorang ibu tidak pernah silap. Adakah itu beerti dia perlu menceritakan semuanya pada umi? Tidak!!! Pasti umi akan merasa kecewa dengan Fariz.
            Biarlah umi dan abah menyanjungi lelaki itu. Biarkanlah umi dan abah sentiasa menyayangi Fariz. Biarkanlah.....demi Aiman!! Dia khuatir jika umi dan abah tahu perkara yang sebenar, mereka tidak mahu menerima Fariz lagi. Jika perkara itu terjadi, bagaimana pula dengan Aiman. Dia tidak sanggup berpisah dengan Aiman. Walaupun dia amat kecewa dengan sikap Fariz dan arwah Suhana, tetapi Aiman tetap disayangi. Sayang yang tiada batasnya!
            Teganya Suhana meletakkan dia dalam dilema begini sedangkan mereka berdua adik beradik yang sangat menyayangi antara satu sama lain. Segala rahsianya dikongsi bersama Suhana. Kenangan bersama arwah, tak pernah dilupakan.
            “Kak Su!!” Maisara menerpa masuk ke dalam kamar Suhana lalu membuang dirinya di atas katil. Suhana yang sedang membaca majalah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah Maisara. “Kak Su baca apa?” Leher Suhana dirangkulnya lalu kepalanya dilentokkan ke bahu Suhana. Memang sedari kecil Maisara terlalu manja dengan Suhana. Suhana pula tidak pernah kedekut untuk memanjakan adiknya.
            “Ni kenapa ni? Mesti ada apa-apa,” Suhana cuba meneka. Biasanya begitulah tingkah Maisara jika ada sesuatu yang ingin dimintanya.
            “Tak de! Mana ada apa-apa!” Maisara mencebikkan bibirnya pura-pura merajuk. Suhana tersenyum melihat muncung Maisara yang sudah panjang ke depan.
            “Yelah tu.....” Suhana sudah menutup majalahnya. “Okey, sekarang, straight to the point!” Wajah Maisara sudah dipandangnya. Tangan kanannya menongkat dagu. Menunggu kata-kata selanjutnya dari Maisara.
            “Sebenarnya.......” Maisara teragak-agak untuk meluahkan keinginannya.
Suhana masih lagi menunggu sambil menongkat dagunya. Keningnya terangkat-angkat sebagai isyarat menyuruh Maisara meneruskan kata-katanya.
“Sara nak kenalkan kawan Sara dengan Kak Su,” bantal Suhana dipeluknya sambil hujung bantal dipintal-pintalnya. Suhana hanya tersenyum melihat reaksi Maisara yang malu-malu kucing.
            “Ha....ini mesti nak kenalkan boyfriend Sara dengan Kak Su, kan?” usik Suhana.
Wajah Maisara sudah merona merah. Bertambah galak Suhana mengusik Maisara. “Bukanlah!!! Kawan je!” Maisara menarik muncung panjang lagi apabila Suhana asyik mengusiknya.
            “Okeylah! Whatever!!” Suhana mengalah. “Bila nak jumpa?”
            Soalan Suhana itu membuatkan Maisara tersenyum kembali. Maknanya, Suhana sudah bersetuju untuk berjumpa dengan Fariz! “Yeah..!” Maisara bertepuk tangan seperti anak kecil. “Sayang Kak Su!!” pipi Suhana dikucup bertalu-talu.
Suhana mula menepis apabila merasa rimas.   “Sudah! Sudah! Karang Kak Su tak nak pergi!” ugut Suhana.
Maisara memeluk bahu Suhana. “Esok petang kita pergi, okey?!!”
            Seperti yang dijanjikan petang esoknya, Suhana dan Maisara ke Taman Belia. Setelah meminta izin dari Maimun dan Khalid untuk keluar berjogging, mereka menaiki Honda LC 135 bewarna hijau milik Suhana. Setelah memakirkan motosikal di parking lot, mereka berdua yang memakai T-shirt dan track bottom, mula berjogging.
            Sesekali mata Maisara liar mencari kelibat yang ingin ditemuinya. Setibanya di satu selekoh, Maisara terpandangkan susuk tubuh yang memakai T-shirt tanpa lengan dan berseluar pendek sedang menghampiri dari arah yang berlainan. Dadanya bergetar kencang.
            Entah bagaimanalah penerimaan Kak Su tentang dia?
            Suhana menghentikan lariannya apabila Maisara berbuat begitu. Kelihatan Maisara sedang mengukirkan senyuman kepada seorang lelaki. Lelaki yang dilihatnya juga sedang tersenyum kepada Maisara sedang berjogging lalu berhenti apabila tiba di depan mereka.
            “Kak Su,” panggil Maisara. “Kenalkan, ini Fariz!”
            Fariz menghulurkan tangan tanda perkenalan. Suhana menyambutnya.
            “Fariz, this is my sister, Suhana! The one and only!” Salam perkenalan yang dihulurkan Fariz disambut Suhana dengan senang hati.
            Sedari itulah hubungan mereka semakin rapat. Setiap kali Maisara ingin menemui Fariz, Suhana sering menjadi penemannya. Di mana-mana sahaja, mereka sentiasa keluar bertiga untuk mengelakkan rasa curiga kedua orang tua Maisara dan Suhana.
            Tatkala itu, Maisara masih belum bersedia untuk mengenalkan Fariz dengan keluarganya, kerana itulah dia sering meminta Suhana merahsiakan hubungannya dengan Fariz. Dia merasakan kewujudan Fariz di hatinya terlalu awal untuk diketahui kedua orang tuanya. Dia perlukan lebih waktu untuk memikirkan arah hubungan mereka yang sebenar.
            Mungkin kerana itu, akhirnya Fariz memilih Suhana untuk menjadi penyerinya. Tetapi bukankah sepatutnya Fariz berterus terang dengannya seandainya hatinya telah berubah?

Saat Hati Merelakan 18

MANISA memeluk tubuh sambil memandang jauh kawasan sekitar dari tempat di mana dia berdiri. Wes yang duduk di bangku berhampiran, memerhati orang ramai yang kebiasaannya datang ke Kebun Bunga untuk bersenam. Majoritinya berbangsa Cina walaupun ramai juga yang berbangsa Melayu.


“Tak sepatutnya kita datang ke tempat yang ramai orang untuk menyelesaikan masalah kita,” ujar Manisa menyebabkan padangan Wes jatuh semula padanya. Sekilas Manisa melempar pandangan pada sekumpulan pelajar sekolah yang membuat lawatan ke situ lalu duduk bersebelahan dengan Wes.

“Kau terlalu berlainan dari apa yang aku kenal.”

“Berlainan? Aku masih Manisa tunang kau yang keluarga kau meminang lima tahun lalu,” ujar Manisa seakan menyindir. Wes tersenyum tawar.

“Maksud aku, kau kelihatan tegas dan berani berbanding sebelum ni yang aku kenal. Manja dan adakalanya menjengkelkan. Maaf.” Wes berkata secara jujur.

“Ya...aku tahu kau tak suka pada gadis yang terlalu manja seperti aku. Tapi aku hanya bersikap macam tu pada lelaki yang aku sayangi. Tapi sekarang aku tak perlu untuk bermanja dengan kau lagi memandangkan antara kita tak wujud perasaan yang sama. Aku memang suka bermanja pada orang yang suka manjakan aku.”

Wes mengetap bibir mendengar kata-kata Manisa. Dia tahu kata-kata itu penuh dengan kekecewaan dan sindiran.

“Maafkan aku kerana menghampakan perasaan kau.” Untuk sekian kalinya Wes mengucapkan kata-kata maaf.

“Aku tak kisah. Aku tak pernah paksa kau untuk sayangkan aku. Cuma aku agak kecewa kerana kau tak berterus terang dengan aku.” Manisa mengetap bibirnya. “Untuk apa kau nak jumpa aku?”

“Aku rasa kau sendiri tahu maksud aku mengajak kau keluar. Aku nak selesaikan masalah kita. Aku tak mahu masalah kita berpanjangan dan tiada penghujungnya,” jelas Wes.

“Mudah saja untuk selesaikan masalah kita,” ujar Manisa lantas mengeluarkan cincin pertunangan mereka lalu menghulurkan pada Wes. Wes melihat cincin itu kemudian memandang Manisa. Pandangannya silih berganti antara cincin itu dan Manisa. Lalu dia menyambut huluran Manisa.

“Maafkan aku. Aku benar-benar rasa bersalah.” Wes memohon maaf. Jelas ditelinga Manisa walaupun suaranya perlahan.

Manisa mengetap bibir. Walaupun dia pernah menyimpan impian untuk hidup bersama dengan Wes, dia perlu akur cinta Wes bukan untuknya. Dia perlu belajar untuk menerima segala ketentuan Illahi.

“Manisa, aku berharap kita masih lagi berkawan dan tidak bermusuhan.”

“Tak...aku takkan menganggap kau sebagai musuh aku. Mungkin dah bukan jodoh kita. Nak buat macam mana, kan? Kita cuma merancang. Kalau jadi...jadilah. kalau tak jadi.....nak buat macam mana?” Manisa mengangkat kedua-dua bahunya.

“Terima kasih Manisa,” ucap Wes. Hatinya benar-benar lega dengan pengakuan Manisa. “Jadi apa perancangan kau? Kau akan pulang semula ke Sabah?”

“Ya.” Manisa mengangguk kepala. “Aku akan hubungi orang tua aku di sana. Beritahu mereka tentang kita. Dan selepas tu, aku akan pulang ke sana bersama Ariff. Kami bercadang nak mendirikan rumahtangga dalam waktu yang terdekat ni,” Wes menganggukkan kepalanya. Dia gembira mendengar berita itu. Sekurang-kurangnya dia tidak akan merasa bersalah kerana mempersiakan Manisa selama ini.

“Aku berdoa agar kau hidup bahagia dengan Ariff,” ujar Wes ikhlas dari hatinya.

“Thanks. Aku juga berharap agar kau dapat apa yang kau cari dalam hidup kau.” Manisa mencapai tas tangannya lalu berdiri. “Aku minta diri dulu.” Wes mengangguk lalu Manisa meneruskan langkahnya meninggalkan Wes keseorangan.

“Apa yang aku cari dalam hidup aku, akan jadi milik orang lain tak lama lagi,” ujar Wes perlahan dengan nada hampa.



“KAKAK!” Zurin menyergah Qismyna yang sedang asyik membaca di katilnya.

“Ah, Zurin!” Qismyna mengurut-ngurut dadanya. “Terkejut akak.” Dia menampar bahu Zurin. Zurin ketawa. Qismyna tersenyum sambil menggeleng kepalanya.

“Kakak baca buku apa tu?” Qismyna menunjuk muka depan buku itu. “Sweet Dream” Zurin membaca tajuk di depannya. “Best?” tanyanya. Qismyna mengangguk.

“Kak....” Zurin berbaring di sebelah Qismyna. Qismyna mengenjak tubuhnya sedikit untuk memberi ruang pada Zurin. “Abang Fauzan tu baik, kan?” Qismyna mengerut keningnya mendengar bicara Zurin. Kemudian dia tersenyum.

“Dia memang baik. Baik sangat. Dia sepupu dan sahabat kakak dunia dan akhirat,” ujar Qismyna. Sesungguhnya, dia teramat berhutang budi dengan Fauzan. Mengingatkan kebaikan Fauzan padanya dan juga keluarga, rasa tak terhitung banyaknya. “Kenapa? Dah jatuh hati dengan dia ke?” Pantas Zurin menggeleng.

“Abang Fauzan tu dah macam abang Zurin sendiri dan kakak pulak dah macam kakak Zurin sendiri,” balasnya sambil tersenyum. Walau pun agak pedih namun dia ikhlas berkata demikian. “Zurin tengok, Abang Fauzan tu selalu perhatikan kakak.”

“Perhatikan akak? Perhati macam mana tu?” Qismyna kurang mengerti apa yang cuba disampaikan Zurin.

“Zurin rasalahkan kak, Abang Fauzan tu sebenarnya sukakan akaklah.” Zurin bersuara menyuarakan rasa hatinya. Qismyna mengetap bibir sambil mengerutkan dahinya. Kemudian beralih semula kepada Zurin.

“Suka macam mana tu maksud Zurin?” Qismyna bertanya lagi walaupun dia sudah dapat mengagak apa yang dimaksudkan Zurin.

“Kakak ni lambat pick-uplah.” Zurin memuncungkan bibirnya lalu meneruskan kata. “Abang Fauzan tu sebenarnya ada hati dengan kakak!”

Qismyna terlopong. Dia tidak pernah menyangka Fauzan mempunyai perasaan begitu padanya. Fauzan tidak pernah menunjukkan reaksi berlebihan padanya apatah lagi berterus terang dengannya.

“Nanti dulu.” Qismyna bingkas bangun lalu menghadap Zurin. Zurin juga ikut bangun lalu berbalas pandang dengan Qismyna. “Mana Zurin dapat semua cerita ni?”

“Dari perhatian Abang Fauzan pada akak dah cukup untuk menjelaskan semuanya,” Zurin berbohong walaupun sebenarnya dia tahu dari mulut Fauzan sendiri. Dia telah berjanji dengan Fauzan untuk merahsiakan perbualan mereka hari itu. Namun, dia telah bertekad untuk satukan Fauzan dan Qismyna. Dia mahu insan-insan yang baik ini bersatu.

“Tak mungkin.” Qismyna memejam matanya sebentar. Kalau dia tahu Fauzan ada menyimpan perasaan begitu padanya, dia tidak akan mengharapkan pertolongan Fauzan dalam apa-apa jua perkara pun.

“Kenapa? Akak tak suka pada Abang Fauzan ke?” tanya Zurin apabila melihat riak wajah Qismyna berubah. Qismyna menggeleng.

“Mungkin Zurin salah sangka. Abang Fauzan memang begitu. Sejak dari kecil lagi kami memang dah rapat,” ujar Qismyna cuba melenyapkan prasangka Zurin dan juga sekadar menyedapkan hatinya sendiri. “Abang Fauzan dan akak dah macam adik dan abang. Tak mungkin wujud perasaan lain selain tu.”

“Tapi Abang Ariff tak de pun rapat dengan akak macam Abang Fauzan.” Zurin masih lagi cuba menyakinkan Qismyna.

“Abang Ariff dan Abang Fauzan lain. Tak sama.” Qismyna menghembuskan nafasnya. Tiba-tiba dia rasa seperti nak pitam mendengar berita ini.

“Beginilah. Kita matikan je soal ni kat sini.” Zurin menghembuskan nafas kehampaan lalu dia mengangguk. Walau apa pun, dia perlu pujuk Qismyna untuk menerima Fauzan. Itu azamnya.

Saat Hati Merelakan 17

SAMBIL menunggu Qismyna yang sedang sibuk di pejabatnya, Fauzan menghabiskan masanya di bakery. Sesekali dia memerhati keadaan sekeliling. Memang tak dinafikan, cafe ini semakin lama semakin ramai pelanggannya. Bukan saja dikalangan remaja, malah orang dewasa juga. Mungkin kerana itu setiap hari Qismyna akan ke cafe untuk melihat semua urusan dalam keadaan baik.


Sedang dia melayan perasaan sendiri, Qismyna muncul di sisi sambil mengukirkan senyuman. Lantas gadis itu duduk berhadapan dengannya.

“Ada apahal nak jumpa aku ni?” tanya Qismyna.

“Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Fauzan kembali.

“Tak delah macam tu. Takkanlah orang yang banyak tolong aku selama ni tak boleh datang jumpa aku.” Qismyna berpaling pada kaunter lalu memesan segelas coke pada Hanafi yang bertugas pada hari itu. Lalu kembali berpaling memandang Fauzan. “Kenapa tak bagi tau awal-awal nak datang sini?”

“Aik.....sejak bila pulak nak kena buat appointment dulu ni....? Maklumlah orang dah sibuk sekarang ni,” sindir Fauzan.

“Kau janganlah cakap macam tu. Kecil hati aku tau.” Qismyna mencebik lalu tersenyum semula. “Hari ni kau sibuk tak?”

“Tak. Kenapa?” Fauzan menghirup coke sambil matanya memandang Qismyna.

“Aku sebenarnya nak keluar dengan Zurin. Aku nak temankan dia daftar untuk melanjutkan pelajaran,” beritahu Qismyna. “Dia muda lagi. Rugi rasanya kalau dia tak sambung belajar.”

“Betul jugak tu,” balas Fauzan. “Nak sambung belajar kat mana?”

“Aku nak masukkan dia ke IPJ.”

“Oh.....macam tu. Kau nak aku temankan ke?” tanya Fauzan.

“Kalau kau nak temankan, boleh juga. Tak payahlah aku drive.”

“Tak de masalah. Aku pun tak sibuk hari ni.”

“Kalau macam tu, kau tunggu sini kejap. Aku ke dalam ambil beg. Lepas tu kita balik jemput Zurin. Ok?” Qismyna mengangkat keningnya. Fauzan mengangguk. Dia memerhati kelibat Qismyna yang menghilangkan diri. Sebentar kemudian Qismyna kembali dengan membawa beg tangannya.

“Jom,” ajak Qismyna. Fauzan bingkas bangun dan mengekori langkah Qismyna yang meninggalkannya.





FARAHYMMA mengetap bibirnya menahan marah apabila melihat kelibat Wes yang mendekatinya. Dia bosan apabila Wes sering datang mengganggunya di situ. Bukan dia membenci Wes, namun dia marah pada Wes. Setiap kali Wes datang, semakin itu sukar baginya untuk melupakan lelaki itu. Baginya, Wes hanyalah kenangan silam yang tidak patut hadir di masa depannya.

Mujurlah sebentar tadi dia melihat kelibat Qismyna keluar dari cafe itu bersama sepupunya, Fauzan. Jika tidak, tentu dia akan dimarahi oleh majikannya itu. Walaupun mereka sentiasa di awasi oleh Salmi, penyelia di situ, namun Salmi masih boleh dibawa berbincang dan juga memahami.

“Sayang...” tegur Wes tatkala Farahymma sedang menyusun buku di rak. Farahymma tidak terus menjawab teguran Wes padanya.

“Apahal awak datang sini?” Farahymma bersuara kasar. Wes menelan air liurnya. Dia tidak tahu bila gadis itu akan berhenti membencinya.

“Saya nak jumpa awak,” balas Wes lembut. Farahymma mengerling Wes tajam lalu berjalan menuju ke kaunter depan. Dia menyerahkan buku-buku di tangannya kepada Shita yang berada di situ. Wes hanya memerhatikan dari jauh. Dia tidak mahu mengganggu Farahymma yang sedang bekerja.

“Kau tolong check balik buku-buku ni sepatutnya ada di rak mana? Semua dah bercampur aduk. Label pun dah terkeluar ni.” Farahymma menunjukkan buku-buku itu pada Shita. Shita membelek-belek semua buku yang diterimanya.

“Okey...aku akan check,” lantas Shita membawa ke semua buku ke meja belakang. Tatkala itu, Salmi yang melihat kelibat Wes di situ menghampiri Farahymma.

“Dia datang cari kau ke?” tanyanya sambil memuncungkan bibirnya pada Wes. Wes yang kelihatan dari jauh sedang memerhatikan mereka. Farahymma berpaling pada Wes sebentar lalu memandang Salmi semula. Dia mengangguk perlahan.

“Kau pergilah jumpa dia. Dengar apa dia nak cakap. Selagi kau buat macam ni, selagi tu dia akan ganggu kau,” ujar Salmi. “Pergilah. Aku beri masa pada kau. Kau bagilah peluang pada dia. Aku tak nak dia terus ganggu kau kat sini. Kalau Cik Qis tahu, nanti dia marah. Aku juga yang kena.” Farahymma yang menundukkan kepalanya langut memandang Salmi sebentar lalu mengeluh.

Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Wes yang duduk di meja hujung sambil membelek-belek sebuah majalah. Wes yang terlihat kelibat Farahymma menghampirinya tersenyum. Akhirnya.....

Farahymma menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di hadapan lelaki itu. Dia sempat menjeling tajam sebelum membuang pandangannya ke tempat lain.

“Hmm....cakaplah.” Farahymma bersuara kasar. Wes di hadapannya hanya tersenyum. Majalah yang dibeleknya sebentar tadi di tutup lalu dia memandang wajah gadis di depannya.

“Boleh tak jangan terlalu berkasar dengan saya,” pinta Wes. Farahymma memandang wajah Wes.

“Jangan buang masa saya. Tak payah nak belit-belit, nak bunga-bunga. Straight to the point sudahlah.” Masih dengan nada kasar. Wes mengetap bibirnya.

“Saya tak nak awak salah sangka dengan saya. Saya masih seperti dulu. Wes yang awak kenal lima tahun lalu. Cinta saya pada awak tak pernah berkurang walau sedikit pun.” Wes menghembuskan nafasnya. “Saya rindukan awak. Saya rindukan kenangan kita yang lalu.”

“Apa pun yang awak kata, segalanya takkan berubah,” ujar Farahymma sambil melemparkan pandangan sinis kepada Wes.

“Kenapa tak?” tanya Wes. Farahymma menggeleng kepala sebentar.

“Saya tak sanggup nak hancurkan perasaan wanita lain hanya kerana cinta yang belum tentu akan membahagiakan saya.”

“Farah.....” panggil Wes lembut. “Saya mengaku, saya memang dah bertunang. Sejak saya pulang ke Sabah dulu, saya cuba bertahan dengan pertunangan ni. Tapi saya......” Wes berhenti seketika. “Saya tak dapat lupakan awak.”

“Awak belum berkahwin?!” Farahymma mengerutkan keningnya. Wes mengangguk. “Kenapa?”

“Entahlah....setiap kali kami cuba di satukan, macam-macam perkara yang berlaku,” terang Wes. Farahymma menjungkitkan keningnya. “Saya rasa, jodoh saya bukan dengan dia. Saya cuma terbayangkan awak. Setiap detik, setiap saat, saya sentiasa rasa dekat dengan awak. Saya mahu hubungan kita seperti dulu,” ujar Wes walaupun dalam hatinya sering menidakkan apa yang diinginkan.

Memang benar, Farahymma sentiasa berada di hatinya namun dalam soal jodoh, dia menjadi tidak pasti.

“Tunang awak macam mana?”

“Kalau awak kembali pada saya, saya akan tinggalkan dia.” Wes memandang Farahymma tajam. Itulah tekadnya sejak dia menjejakkan kaki ke Pulau Pinang.

“Kalau saya kembali pada awak, awak akan tinggalkan dia?” Farahymma mengangkat kening. Wes mengangguk. “Kalau saya tak terima awak, maknanya awak takkan putuskan pertunangan awak dengan dia.” Farahymma cuba membuat kesimpulan. “Saya rasa, kan.....awak sebenarnya tak tahu apa yang awak mahukan dalam hidup awak. Awak tak de prinsip. Tak tahu tujuan dan matlamat awak yang sebenarnya. Sebab tu awak hanya tahu menghancurkan perasaan orang lain,” ujarnya tegas walaupun dalam nada yang perlahan.

“Kalau awak betul-betul sayangkan saya dan mahukan saya, sepatutnya awak tak tinggalkan saya semata-mata untuk mengikut kehendak keluarga awak. Awak sendiri menghancurkan hati dan perasaan awak sendiri. Akibatnya, orang lain turut merasa! Lepas awak dah bertunang, awak ikat tunang awak walaupun awak tak yakin jodoh awak dengan dia. Dan sekarang awak kembali pada saya dan mengatakan, awak akan putuskan pertunangan awak kalau saya kembali pada awak?” Farahymma menggeleng kepala sebentar sambil ketawa sinis. “Awak memang tak tahu apa yang awak mahukan.”

Wes terpana dengan kata-kata Farahymma. Setiap kata-kata yang dikeluarkan amat menyucuk-nyucuk tangkai hatinya. Tetapi, kata-kata Farahymma itu ada benarnya. Memang dia tak ada prinsip. Wes menghembus nafasnya.

“Saya mengaku. Saya silap. Berilah peluang pada saya untuk menebus segala kesalahan saya.” Wes menundukkan kepalanya.

“Saya tak pernah salahkan awak. Saya tak pernah berdendam dengan awak. Semua yang berlaku saya anggap takdir. Cuma, saya tak dapat nak lupakan apa yang berlaku. Sebab tu, saya tak mahu awak ganggu hidup saya lagi.”

“Tapi saya mahu hubungan kita seperti dulu.” Wes mengangkat muka memandang Farahymma.

“Itu tak mungkin. Saya dah bertunang,” ujar Farahymma perlahan. “Walaupun saya tak cintakan dia, saya hormatkan dia dan saya percaya dia akan memberikan kebahagiaan pada saya. Saya juga percaya, satu hari nanti saya akan cintakan dia sepenuh hati saya. Dan yang penting, saya tahu apa matlamat dia bersama dengan saya. Dia cintakan saya.”

“Dan apa pulak matlamat awak menerima dia dalam hidup awak walau pun tanpa cinta?” Wes masih mahu berdebat dengan Farahymma. Rasa marah dan kecewa menguasai diri. Dia tidak mahu gadis itu terlalu mengikut perasaannya. Mungkin gadis itu kecewa dengannya lantas membuat keputusan untuk menerima lelaki lain dalam hidupnya.

“Bahagia! Kerana itu yang saya cari dalam hidup saya. Dan saya yakin, insan yang dapat memberikan kebahagiaan kepada saya adalah dia. Cinta dia suci.....lebih suci dari awak kerana awak tak ada matlamat sewaktu bersama saya dulu.”

“Saya tak de matlamat?” Wes menghembuskan nafasnya. Mungkin juga benar kata Farahymma. Jika dia ada matlamat hidup dengan gadis itu tentu sahaja gadis itu takkan ditinggalkan tanpa memperjuangkan cintanya. “Awak tahu apa matlamat dia?!”

“Saya kenal dia sejak kecil. Teman sepermainan saya. Saya tahu hati budi dia. Setiap kali saya dalam kesusahan, hanya dia yang akan menghulurkan bantuan. Sewaktu dia meluahkan perasaan dia pada saya, awak tahu apa dia kata.....” Farahymma merenung Wes. “Matlamat hidup dia selama ini adalah melihat saya bahagia. Walaupun saya pernah menolak cinta dia dulu, tapi dia sentiasa menerima dengan hati yang terbuka. Kesabaran, keprihatinan dan keikhlasan dia yang membuatkan saya tak dapat menolak lamaran dia.”

“Awak termakan budi. Sebab tu awak terima dia, kan?!”

“Saya memang terhutang budi dengan dia. Tapi itu bukan alasan kenapa saya terima dia. Saya terima dia sebab saya yakin, kebahagiaan yang saya cari selama ni, hanya ada pada dia. Walau pun saya tak cintakan dia, tapi dia amat penting buat saya. Terlalu penting dalam hidup saya!”

Farahymma meluahkan segala isi hatinya yang terpendam selama ini. Lima tahun dia memendam perasaan kecewanya pada lelaki itu. Tapi kini dia berasa puas kerana dapat meluahkan semuanya.

Walaupun hatinya sakit dengan peristiwa lalu, namun dia kuatkan diri untuk meneruskan kehidupan.

Wes memandang lemah wajah gadis di hadapannya. Dia sudah kehabisan kata. Bunga-bunga cinta yang diharapkan akan tumbuh subur, akhirnya layu sebelum dibaja.



SEBAIK saja pendaftran untuk melanjutkan pelajaran diselesaikan, Fauzan membawa Qismyna dan Zurin menaiki kereta kabel ke puncak Bukit Bendera. Satu destinasi pelancongan yang cukup terkenal di Pulau Pinang. Walau pun pada hari-hari biasa, masih ramai pengunjung yang berpusu-pusu membanjiri kaki bukit itu.

Selesai beratur panjang untuk membeli tiket, mereka kemudiannya bergerak menaiki kereta kabel yang sedia menanti di stesyen yang berhampiran. Mujurlah pada hari itu, kereta kabel telah tiba ketika mereka sampai disitu. Adakalanya, mereka terpaksa menunggu kenderaan tergantung itu. Tetapi, masa yang diambil tidak terlalu lama. Perjalanan ke puncak dan ke kaki bukit, cuma memakan masa selama setengah jam sahaja.

Sambil melihat pemandangan, mereka berbual sambil ketawa. Rasa gembira di hati masing-masing. Buat pertama kalinya Qismyna menjejakkan kaki semula di sini setelah lima tahun berada di negeri orang. Begitu juga dengan Fauzan yang baru pulang dari Australia setelah menamatkan pengajiannya di sana.

Zurinlah insan yang paling gembira di antara mereka bertiga. Inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke Pulau Pinang dan dapat bersiar-siar seperti itu. Sewaktu di tempat asalnya, dia tak pernah berpeluang untuk bergembira begitu memandangkan kehidupan keluarganya hanya sederhana dan tidak mampu untuk bersenang-senang. Sungguh pun begitu, dia sentiasa bersyukur kerana mereka sekeluarga masih mampu untuk mencari sesuap nasi tanpa meminta bantuan dengan orang lain.

Sebaik saja tiba di puncak, mereka berjalan-jalan sambil melihat-lihat keindahan pemandangan Pulau Pinang dari puncak. Kemudian mereka menyewa tiga buah basikal dan mengayuhnya mengelilingi kawasan bukit.

Sepanjang perjalanan, banyak tempat-tempat istirehat yang disediakan. Banyak juga kawasan-kawasan yang dijadikan tempat melihat pemandangan dari atas. Sebaik saja tiba di jalan mati di hujung perjalanan, mereka menghentikan kayuhan mereka di sebuah pondok kecil yang disediakan.

Mereka menyapu peluh di dahi kemudian melabuhkan punggung mereka di bawah pondok itu. Masing-masing membisu menghilangkan kepenatan. Qismyna kemudian bangun lalu menghampiri tebing curam. Dia melihat sekeliling kemudian menghirup udara nyaman sedalam-dalamnya kemudian menghembus keluar.

Fauzan yang berada berhampiran memerhatikan gadis itu sambil di bibirnya mengukir senyuman. Suka benar hatinya jika dapat berdekatan dengan Qismyna begini.

Seketika kemudian Qismyna berpaling dan kembali semula ke tempat duduknya yang tadi. Dia berpaling sebentar pada Zurin di sebelah kanannya, kemudian berpaling pula pada Fauzan disebelah kirinya.

“Aku nak ke tandas kejap. Korang tunggu aku kejap ek.” Qismyna melangkah pergi menuju ke tandas awam yang berhampiran. Fauzan mengangguk sambil mengukirkan senyuman. Matanya menemani langkah Qismyna sambil mengukirkan senyuman.

Zurin yang kebetulan berpaling pada Fauzan melihat lelaki itu tersenyum sendirian. Dia mengerutkan keningnya lalu memerhati di mana pandangan mata Fauzan tertumpah. Kemudian, dia terlihat pada Qismyna yang baru saja melangkah masuk ke dalam tandas awam.

Dia menghembuskan nafas sebentar. Tiba-tiba jiwanya rasa berdebar. Dia berpaling semula pada Fauzan dan lelaki itu masih seperti tadi. Entah mengapa dia merasakan sesuatu dalam diri Fauzan.

“Kak Qis tu baik, kan.” Teguran Fauzan mengejutkan Zurin. Lantas gadis itu berpaling padanya lalu menganggukkan kepala tanda setuju. “Zurin kenal Kak Qis berapa lama?”

“Tiga tahun,” jawab gadis itu ringkas. Giliran Fauzan pula menganggukkan kepalanya. “Abang?”

“Abang?” tanya Fauzan kembali. Zurin mengangguk lagi. “Abang kenal Kak Qis sejak kecil. Kami kan sepupu. Zurin dah lupa?”

“A’ah. Zurin lupalah bang.” Zurin mengetap bibirnya. “Abang.....bolehkah sepupu jatuh cinta sesama sendiri?” soal Zurin.

“Kenapa pula tak boleh? Sepupukan bukan mukhrim. Jadi, sepupu boleh kahwin sepupu.”

“Abang dengan Kak Qis macam mana?” tanya Zurin cuba mencungkil isi hati Fauzan.

“Macam mana apa?” Fauzan tersenyum dalam kekeliruan.

“Maksud Zurin....abang dengan Kak Qis tu....ada apa-apa ke?” tanya Zurin yang tersekat-sekat soalannya di kerongkong. Soalan Zurin menyebabkan Fauzan tertawa kecil.

“Tak. Kami tak ada apa-apa.” Jawapan dari Fauzan menyebabkan Zurin menghembuskan nafas kelegaan. Sangkanya Fauzan menyimpan perasaan pada Qismyna. “Tapi....” Fauzan menyambung semula percakapannya. “Abang berharap sangat suatu hari nanti Kak Qis dapat membaca isi hati abang.” Kata-kata Fauzan membuatkan nafas Zurin sedikit sesak. Airmatanya hampir mengalir namun ditahan. Bimbang jika Fauzan mengesyaki sesuatu.

“Abang sayangkan Kak Qis?” tanya Zurin perlahan.

“Ya.” Fauzan mengangguk. “Sejak kecil lagi abang dah jatuh cinta dengan Kak Qis. Semakin lama semakin sayang. Walaupun abang pernah tinggalkan Malaysia dan sambung belajar di Australia, perasaan sayang abang pada Kak Qis tak pernah berubah.”

“Kak Qis memang beruntung.” Zurin cuba mengukirkan senyuman semanis mungkin. Seolah-olah merestui isi hati Fauzan pada Qismyna.

Sebentar kemudian mereka terlihat kelibat Qismyna yang baru saja keluar dari tandas awam dan berjalan perlahan menghampiri mereka berdua. Fauzan kemudian berpaling pada Zurin.

“Zurin mesti janji dengan abang. Rahsiakan apa yang kita bualkan hari ni,” ujarnya. Zurin mengangguk.

“Hai....sembang apa ni? Nampak serius je?” tanya Qismyna setelah berada dengan mereka.

“Mana ada kak. Sembang kosong je,” balas Zurin.

“Jangan bohong. Kalau tak serius, kenapa diam bila akak sampai?” Qismyna bertanya sambil menjeling pada Fauzan yang tersenyum padanya.

“Sudahlah tu.” Fauzan bangun lalu mencapai basikalnya. “Jom, kita teruskan perjalanan kita.” Dia terus mengayuh. Qismyna dan Zurin mengekori dari belakang.

“Betul Abang Fauzan tak de cakap apa-apa dengan Zurin?” tanya Qismyna lagi minta kepastian.

“Tak delah kak.” Zurin bersuara lalu mengayuh basikalnya laju meninggalkan Qismyna di belakang. Qismyna terkedu melihat sikap Zurin yang acu tidak acu padanya. Dia merasakan sesuatu namun pantas ditolak perasaan negatif yang menghampirinya. Melihatkan dirinya yang ketinggalan, Qismyna turut memecut laju basikalnya.





SEPANJANG malam itu Zurin berkurung di dalam bilik. Tidak turun makan bersama yang lain, malah juga tidak berbual bersama seperti selalu. Tuan Malik dan Puan Suria merasa bingung melihat keadaan Zurin. Sejak pulang petang tadi bersama Fauzan dan Qismyna, dia terus mengasingkan diri.

Apabila ditanya pada Qismyna, katanya mereka tidak berselisihan faham apatah lagi bertengkar. Fauzan juga mengakui kata-kata Qismyna. Malah Fauzan juga bingung mengapa tiba-tiba Zurin jadi begitu.

Zurin yang mangurung diri di dalam bilik hanya termenung. Setiap butiran perbualannya dengan Fauzan petang tadi bagai pita rakaman yang sentiasa berputar mengulangi bait-bait perkataan yang dibualkan.

“Tapi.....abang berharap sangat suatu hari nanti Kak Qis dapat membaca isi hati abang.” Kata-kata itu bagai menusuk hati mudanya yang bercambah untuk menyintai seorang lelaki.

Dia benar-benar merasa hampa dan kecewa. Selama hidupnya sembilan belas tahun, inilah pertama kali dia merasa demikian pada seorang lelaki. Namun, kecewa tanpa menikmati cinta itu.

Zurin mengeluh sebentar lalu menarik nafasnya yang tersangkut kerana banyak menangis. Dia bangun lalu duduk menghadap cermin di meja soleknya. Dia memerhatikan wajahnya yang muram dan mata yang merah. Dia perhatikan wajahnya di dalam cermin lama. Entah mengapa perasaan benci pada diri sendiri tiba-tiba menerpa.

‘Mengapa aku terlalu tamak untuk memiliki sesuatu yang bukan milik aku? Untuk apa aku bersedih atas perasaan yang tidak diciptakan untukku? Untuk apa aku marah pada insan yang banyak menolong aku? Hanya kerana cinta yang bukan ditakdirkan untukku? Gila?!’

Bagai ada suatu perasaan yang hadir menolaknya supaya berfikir secara waras. Zurin menggeleng kepalanya sebentar. Rasa menyesal mula terbit di hatinya. Dia menghembuskan nafasnya

Dia bangun lalu menuju ke bilik air. Mencuci mukanya dan kemudian mengambil wuduk. Lantas dia mengerjakan solat Isyak yang masih belum disempurnakan. Di akhir solat, dia berdoa memohon pada Tuhan agar sentiasa menunjukinya ke jalan yang lurus dan jauhkan syaitan laknatullah darinya.

Setelah melipat telekung dan sejadah dia mendekati meja soleknya. Melihat jika matanya masih merah atau tidak. Setelah memastikan segala-galanya sempurna, dia melirik pada jam dinding yang menunjukkan angka sebelas. Di waktu begini biasanya semua penghuni telah masuk ke kamar tidur masing-masing.

Dia memegang perutnya yang memulas minta diisi. Sejak pulang petang tadi dia langsung tidak menjamah apa-apa. Dan sekarang perutnya mula terasa lapar. Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga. Dia tidak mahu penghuni rumah itu terbangun gara-gara kebisingan yang buatnya. Dia mahu ke dapur untuk mencari sisa-sisa makanan yang pasti ditinggalkan untuknya.

Dia merasa aneh kerana rumah itu masih terang benderang. Tidak seperti selalu yang telah dimatikan lampunya sebaik saja angka jam menunjukkan sepuluh tiga puluh minit malam. Langkahnya kemudian dihalakan ke ruang tamu. Dia terkejut melihatkan keluarga itu termasuk Fauzan berada di situ. Qismyna yang terlihatkan kelibat Zurin lantas menghampirinya.

“Zurin okey?” wajahnya kelihatan bimbang. Zurin mengangguk.

“Kenapa?” tanya Zurin. “Apa yang dah berlaku?”

“Kitorang semua risaukan Zurin berkurung dalam bilik,” ujar Tuan Malik. Zurin tertunduk rasa bersalah bersarang dalam diri. Kerananya semua orang di dalam rumah itu bimbang.

“Zurin kenapa?” tanya Qismyna.

“Zurin tak de apa-apa kak,” balas Zurin sambil memandang wajah Qismyna. “Zurin tak berapa sihat je.”

“Zurin sakit?!” jelas kebimbangan di wajah Maya. Zurin menggeleng lalu berbisik di telinga Qismyna.

“Sakit perempuan,” bohongnya. Qismyna tersenyum mendengar jawapan Zurin. Mereka yang lain berpandangan. Mula meneka-neka apa yang dibisikkan Zurin yang menyebabkan Qismyna tertawa kecil.

Itu hanyalah alasan Zurin untuk menutup apa yang berlaku sebenarnya. Biasanya, itulah alasan yang diberikan perempuan jika mereka ingin merahsiakan isi hati mereka pada sesiapa. Dan biasanya, orang pasti terpedaya dengan alasan itu. Memandangkan wanita memang mudah berubah sikap dan emosi pada waktu itu.

Friday 15 January 2010

Takkan Pernah Hilang 9




“MAISARA!” Suara yang memanggil itu membuatkan Maisara yang sedang kusyuk menatap skrin komuternya beralih.
            “Encik Zack!” Terpandangkan susuk tubuh itu dihadapannya dengan pantas Maisara berdiri sebagai tanda hormat. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
            Zack memandang Maisara di dalam gelap. “Tak......cuma......” Zack memerhati sekeliling pejabat yang sudah mulai kosong dan gelap kerana lampu telah dimatikan. Rata-rata pekerja di situ semuanya sudah hilang untuk makan tengahari. “Awak puasa ke?”
            “Oh....tak....” Maisara tersenyum setelah mengetahui maksud bosnya itu. “Saya tak keluar hari ni. Saya pesan dengan Hanum,” terang Maisara. “Saya ada kerja sikit yang perlu disiapkan.”
            Zack mengangguk. “Hanum?” Zack berfikir sebentar. Dia cuba mengingati siapakah Hanum yang dimaksudkan Maisara. “Oh.....budak office sebelah tu, kan?”
            Maisara mengukir senyuman sambil kepalanya terangguk-angguk.
            Apalah Encik Zack ni! Fariz yang tak de kaitan dengan company ni pun kenal kebanyakan staff kat sini. Boleh dia tak kenal! Ops!! Apahal pulak aku teringat kat Fariz!
            Zack melirik di atas meja Maisara dan di skrin komputernya. “Perlu disiapkan segera?” dia bertanya.
Giliran Maisara pula memandang di mana tumpuan Zack terarah. “Oh....tak! Cuma, saya nak siapkan cepat. Lagipun, rasa malas nak keluar sebab tu saya hanya pesan pada Hanum.” Maisara menelan air liur. Sememangnya kerja yang ingin disiapkan bukanlah perlu dilakukan dengan segera. Takut pula dia kalau Encik Zack salah faham.
“Kalau macam tu, jom!!”
            “Jom?” Terkebil-kebil mata Maisara. “Jom apa, Encik Zack?”
            “Temankan saya lunch!” Ada nada serius dari percakapannya.
            “Saya?!!” Berdegup jantung Maisara dengan ajakan itu. Takkanlah dia nak keluar makan tengahari dengan Encik Zack? “Tapi....Hmm....” Tergagap-gagap Maisara untuk menolak.
            “Kenapa dengan awak?” tanya Zack walaupun dia boleh membaca keengganan gadis itu dari perlakuannya. “Awak tak sudi?”
            “Bukan!” pantas Maisara menafikan. “Bukan tak sudi. Tapi saya dah pesan makanan dengan Hanum.” Sememangnya dia kurang selesa dengan ajakan itu. Nanti apa pula kata teman sepejabat yang lain? Pasti mereka akan menyangka yang bukan-bukan tentang dia dan Encik Zack.
            “Maknanya, awak sudilah keluar lunch dengan saya, kan?” Zack mengangkat keningnya. Itu yang mahu diketahuinya. Adakah Maisara sudi atau tidak?
            Maisara masih membatu di situ. Dia sendiri tidak tahu sama ada mahu mengangguk atau menggeleng. Akhirnya, dia mengangguk juga. Tak mungkinlah dia akan berterus terang dengan menggelengkan kepalanya di depan Encik Zack untuk menunjukkan ketidaksudiannya.
            Zack tersenyum melihat anggukan itu. “Kalau macam tu, jomlah. Makanan yang awak pesan dengan Hanum nanti bawa balik. Tak pun kasi saya je. Tak payahlah saya keluar beli makan malam ni.” Zack sudah berjalan pergi tetapi langkahnya terhenti dan berpaling semula ke belakang apabila menyedari Maisara tidak mengekorinya. “Jom!!”
            Dengan rasa ragu-ragu, Maisara melangkah jua membontoti bosnya itu.

            MAISARA memandang suasana Restoran Selera Rasa yang dipenuhi dengan pelanggan. Dari gaya dan penampilan, Maisara dapat mengagak kebanyakan pelanggan di situ rata-ratanya adalah pekerja pejabat sepertinya. Mungkin mereka semua dari pejabat yang berhampiran kerana tak banyak kereta yang diparkir di hadapan restoran itu. Nasi goreng USA yang dipesannya memang sedap. Tak seperti nasi goreng USA yang pernah dimakannya sebelum ini. Cukup rasa pedasnya.
            Sedari tadi Maisara dan Zack bagai hilang di alam sendiri. Masing-masing diam membisu menikmati hidangan tengahari. Sesekali mata Maisara mencuri pandang wajah dihadapannya. Ada rasa kesal kerana tidak berkeras untuk tidak menerima pelawaan lelaki itu. Entah apalah gossip yang akan melanda sekiranya staf lain mengetahui dia dan Encik Zack keluar makan tengahari bersama. Tanpa disedari dia melepaskan keluhan.
            “Kenapa?” tanya Zack tiba-tiba apabila terdengar keluhan itu. Wajah di hadapannya itu diperhatikan. Bukan dia tidak tahu sedari tadi wajahnya menjadi perhatian gadis itu. Sengaja dia tidak mengambil peduli.
            Maisara membalas pandangan Zack. “Uh?” Maisara bertanya kembali. Soalan Zack memang tidak difahami.  Tiba-tiba sahaja Encik Zack bertanya kenapa.
            “Keluhan tu, untuk apa keluhan tu?” Zack sudah menghentikan kunyahannya dan mula memberi perhatian sepenuhnya kepada Maisara.
            Kini barulah Maisara menyedari keluhannya telah didengari lelaki itu. perlukah dia berterus terang dengan kegusarannya pada Encik Zack? “Tak....cuma saya risau kalau-kalau ada staf lain yang ternampak kita berdua.” Maisara berterus terang.
            Zack mengangkat keningnya. Lalu bibirnya disapu dengan tisu yang disediakan. “Kenapa kalau diorang nampak kita berdua? Salah ke? Awak sendiri, saya pun sendiri. Jadi apa salahnya dari bersendirian kita berteman.” Tajam matanya memandang Maisara. menunggu maklum balas dari gadis itu.        
            Maisara sudah mula gelabah.
            Alamak dia ni! Apasallah lambat pick-up! Takkan tak faham maksud aku kot! Gossip babe! Siapa yang suka? Orang yang bergossip je suka. Orang yang kena gossip?
            “Bukan macam tu Encik Zack,” ujar Maisara. “Mana tahu kalau diorang salah sangka pulak bila lihat kita berdua macam ni.”
Zack memandang wajah Maisara yang terlukis garis-garis kerisauan. “Ataupun awak sebenarnya risau. Takut-takut boyfriend awak terserempak dengan kita?!” Zack sudah mula menyerkap jarang. Sengaja dia berkata begitu.
            “Boyfriend? Saya mana ada boyfriend!” pantas Maisara menjawap. Merona merah wajahnya dengan tuduhan Encik Zack.
            Zack sudah mula tersenyum sumbing melihat reaksi Maisara yang agak menggelabah apabila disergah dengan soalan begitu. Bagi Zack, Maisara cukup sempurna dari segi luarannya. Cantik, menarik dan low profile. Kali pertama ketika Maisara diperkenalkan kepadanya ketika gadis itu bersetuju untuk bertukar ke bahagian kewangan, dia sudah mula tertarik untuk mengenali Maisara dengan lebih dekat. Namun, dia tidak mahu terburu-buru tanpa menilai gadis itu dengan mendalam. Setelah hampir setahun gadis itu bekerja di bawahnya, hatinya semakin tertarik untuk mengenali Maisara. Inilah langkah permulaan yang diambilnya.
            “Jadi apa masalahnya?” tanya Zack lagi.
            “Entahlah Encik Zack. Saya bukannya apa. Cuma, saya tak suka jadi bahan bualan orang.” Maisara meluahkan kegusarannya.
            “Oh ya!” Zack mengangguk-anggukkan kepalanya. “Mulut orang tak sama dengan mulut tempayan! Tapi biarlah. Apa salahnya.”          
Maisara melirik Zack. Mudah sungguh jawapan yang diberikan Zack. “Encik Zack tak takut kalau girlfriend encik nampak kita berdua?” Maisara bertanya kembali.
Zack tersenyum memandang Maisara. “Awak fikir kalau saya ada girlfriend saya nak keluar makan tengahari dengan awak?”
Maisara diam. Adakah itu tandanya Encik Zack masih belum berpunya? Sukar untuk dipercaya! Lelaki yang berpangkat dan mempunyai rupa seperti Encik Zack masih belum berteman. Patutlah Sofia, setiausaha Encik Zack selalu mencari jalan untuk mendekati lelaki itu.
“Tak percaya?” Bagai boleh dibaca airmuka Maisara. “Saya masih mencari!”
Maisara menelan air liurnya. Jangan-jangan dia juga menjadi perhatian Encik Zack. Mintalah dijauhkan! Dia belum bersedia untuk menjalin apa-apa hubungan dengan lelaki. Tambahan sekarang sejak adanya Aiman dia lebih berhati-hati. Bukan semua lelaki yang boleh menerima seorang anak seperti Aiman untuk masuk ke dalam hidup mereka.

            SETIBANYA di pejabat, Maisara pantas melarikan diri ke tempatnya. Dia tak mahu ada sesiapa yang mengetahui dia dan Encik Zack keluar bersama untuk makan tengahari. Dia menghembuskan nafas kelegaan apabila punggungnya mencecah kerusi. Beberapakali selepas dia beristighfar, dia kembali menjalankan tugasnya.
            “Sara!” terdengar sayup-sayup suara yang memanggil namanya. Maisara menghentikan kerjanya dan cuba mengamati apakah benar dia mendengar namanya dipanggil.           
            “Sara!” Kali ini Maisara yakin pendengarannya tidak silap.   Maisara berpaling ke belakang. Matanya liar mencari arah suara yang di dengarnya. Akhirnya, dia menangkap susuk tubuh seorang gadis di balik dinding  pantry.
            “Woi Hanum!” panggil Maisara dengan suara yang ditahan. Dia memandang sekeliling. Khuatir jika ada orang yang memerhatikan mereka.
            Hanum menjengulkan wajahnya di balik dinding. Dengan perlahan-lahan dia menghampiri meja Maisara. Mujurlah meja gadis itu agak terlindung sedikit.
            “Apahal kau datang sini?” Maisara memerhati sekeliling lagi. “’Naya aku kalau Encik Zack nampak!”
            “Alah.....takut apa. Dia tak marah punya!” Hanum bersuara yakin.  
            “Yelah tu!” Maisara menampar bahu Hanum. “Kalau kau tak takut dengan dia, apahal pulak kau terhendap-hendap macam penyamun?” Hanum tertawa kecil mendengar bebelan Maisara. “Apahal kau datang sini? Karang kalau Mr. Lim cari, baru kau tahu!”
            “Tak delah. Saja je aku datang nak interview kau. Mr. Lim tu, kau jangan risaulah. Kalau kantoi karang, pandai-pandailah aku kelentong dia,” ujar Hanum kembali. “Ini lagi penting dari tu!”
            Dada Maisara yang sudah tenang kembali berdegup. Interview? Jangan-jangan Hanum sudah mengetahui tentang dia dan Encik Zack. Ah....masalah betullah! Maisara sudah mula mengarang alasan.
            “Engkau ke mana tadi?” Hanum sudah memulakan intronya. Seraya dengan itu dia meletakkan nasi bungkus yang dipesan Maisara di atas meja.
            “Thanks!” ujar Maisara.
            “Most welcome!” Hanum tersenyum. “So, kau pergi mana?” Terjungkit-jungkit keningnya mengusik Maisara.
            Maisara mengetap bibir. Jangkaannya benar. Hanum pasti sudah melihat dia dan Encik Zack bersama sebentar tadi.
            “Ha....aku tahu. Kau jangan nak kelentong. Baik kau cakap terus terang dengan aku!” Hanum berkata seperti dia sudah mengagak Maisara akan memberi alasan yang tidak benar.
            “Kau bercakap macam kau dah tahu je?” Maisara sudah memandang Hanum dengan tajam.
            “Jadi betullah apa yang aku dengar! Kau dengan Encik Zack......” Hanum sudah ternganga seolah-olah sukar untuk menerima apa yang didengarinya tadi.
            Maisara mula tak senang duduk. Sangkanya Hanum mungkin ternampak dia dengan Encik Zack. Namun lain pulak yang berlaku.     “Macam mana kau tahu? Siapa yang beritahu kau?” Maisara mula menggelabah.
            “Siapa lagi? Aku dengar secretary Encik Zack, si Sofia tu sedang bergossip dengan Mila di pantry sebelah!”
            Memang benar kata Hanum. Ketika dia berjalan ke pantry untuk mengambil air kosong, dia terdengar Sofia dan Mila sedang berbual. Suara Sofia yang kedengaran seperti marah cukup untuk dia mendengar semuanya dengan jelas.
            Bukan dia tak tahu, malah boleh dikatakan satu tingkat dua belas tahu tentang perasaan Sofia pada Encik Zack. Tapi sayang, Encik Zack seperti tidak berminat dengan Sofia. Alih-alih, Maisara dengan Encik Zack pula keluar bersama. Tentu sahaja Sofia tidak senang duduk.
            “Alamak!!! Matilah aku!!!” Maisara mengetap bibirnya. Apa yang dikhuatirkan akhirnya berlaku juga. “Keluar ‘paper’ muka depanlah nampaknya!”
            “Ha! Itulah! Kau macam tak kenal perangai Sofia yang berlagak diva tu! Kenapalah kau pergi kacau buah hati dia?!” Hanum menepuk dahinya. Turut merasakan apa yang dirasakan Maisara.
            “Encik Zack yang ajak aku keluar tadi! Kalau aku tahu, tak de maknanya aku nak ikut dia!” Maisara sudah memuncungkan bibirnya.
            “Sara!!!” teguran kasar itu menyebabkan Maisara dan Hanum tersentap. Masing-masing berpaling ke arah suara itu. Wajah Sofia yang kemerahan dipandang sekilas.
            “Eh Hanum! Kau buat apa kat sini?” Sofia mengalihkan perhatiannya pada Hanum. Wajah Hanum dipandang tajam. Hanum menjeling Maisara sekilas. Dia tahu kawannya itu akan berhadapan dengan masalah. “Baik kau ‘blah’ sebelum aku beritahu Mila.”
            “Yelah....yelah....aku pergilah ni!” Hanum berlalu pergi namun sempat dia melihat wajah Maisara seperti menagih simpati darinya. Memang dia tak sampai hati nak meninggalkan Maisara dengan Sofia dalam keadaan begitu. Namun dia cukup kenal dengan sikap Mila dan Sofia yang suka mengadu kepada bos tentang kakitangan di situ. Tambahan pula, Mila adalah staf yang paling dipercayai Mr. Lim. Lain pula dengan Encik Zack, walau apa pun yang diadu Sofia kepadanya, dia lebih suka menyelidiki terlebih dahulu tanpa menerima bulat-bulat apa yang dikatakan Sofia.
            “Kau apahal dengan Encik Zack tengahari tadi?” mencerlung mata Sofia memandang Maisara.
Maisara cuba menenangkan dirinya. “Kenapa dengan aku dan Encik Zack?” soalan Sofia dibalas soalan oleh Maisara. Sudah ternyata Encik Zack dan Sofia tidak punya hubungan yang rasmi. Jadi, Sofia tak berhak mempersoalnya begitu.
            “Kau tahu,kan Encik Zack dengan aku macam mana?!”
            “Aku tak fahamlah Sofia!” Maisara mula mendapat kekuatan untuk membela dirinya. “Tak kisahlah macam mana pun kau dengan Encik Zack tu, langsung tak de kena mengena dengan aku!”
            “Engkau sekarang ni dah pandai menjawap ek?!” Sofia mencekak pinggang. Angin Sofia makin bertambah apabila Maisara yang biasanya tidak banyak bercakap dan agak pendiam orangnya mula bersuara.
            “Maaflah Sofia kalau kau tak suka aku keluar dengan Encik Zack. Tapi aku dengan Encik Zack memang tak de apa-apa. Kami cuma keluar makan je,” Maisara cuba berlembut. Dia tahu, kalau dia juga berkeras seperti Sofia, perkara ini sukar untuk diselesaikan.
            “Sofia!” Kedatangan Nisa melegakan Maisara. “Encik Zack panggil!” Nisa bersuara sambil matanya dikenyitkan kepada Maisara apabila Sofia memerhatikan kamar kerja Encik Zack.
            Perhatian Sofia yang terganggu sebentar tadi kembali kepada Maisara yang masih lagi berdiri di depannya.
            “Lagi sekali aku dapat tahu kau keluar dengan Encik Zack, kau tahulah nasib kau!!” Kata-kata itu bagai satu ugutan buat Maisara. Sebaik sahaja berkata begitu, Sofia melangkah menuju ke bilik Encik Zack.
Nisa juga berlalu pergi namun sempat dia berpesan kepada Maisara agar berhati-hati dengan Sofia.
            Maisara menghenbuskan nafas kelegaan. Mujurlah Nisa berbaik hati mahu membantunya.
            Menurut kata Nisa sebentar tadi, apabila dia terlihat Sofia menghampiri meja Maisara dia sudah dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Justeru itu dia ke bilik Encik Zack dan memberitahu lelaki itu. Kerana itulah Encik Zack memanggil Sofia masuk ke biliknya.
            Sekali lagi Maisara menghembuskan nafas kelegaan.

Saat Hati Merelakan 16

MANISA duduk di birai katil. Dia kaku di situ sebentar lantas dia meletakkan badan di atas tilam. Fikirannya masih tak menentu dek peristiwa petang tadi. Dia betul-betul tidak menyangka dengan apa yang dah berlaku. Adakah salahnya? Atau salah Wes? Dia mengeluh seketika. Dia pasti dia tidak salah, tapi kenapa dia harus rasa bersalah?


Dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas kepala. Berfikir sebentar. Dan kemudian mengenangkan kembali kejadian yang berlaku petang tadi.

Petang tadi dia berjalan-jalan di sekitar Bukit Jambul. Kerana terlalu bosan berjalan seorang diri, lantas dia menelefon Ariff. Sekadar untuk berbual-bual. Setelah menyatakan kebosanannya, Ariff mencadangkan agar dia ke HappyWebCafe.

Setelah menamatkan perbualan dengan Ariff, dia terus ke HappyWebCafe seperti yang dicadangkan Ariff. Sedang dia berjalan-jalan dia ternampak kelibat Wes yang sedang berbual dengan seorang gadis. Kelihatan seperti mereka sedang bertengkar. Kerana perasaan ingin tahu bersarang di sanubari, lantas dia menghampiri mereka berdua. Sebaik saja melihat Manisa, Wes kelihatan terkejut.

“Apa awak buat kat sini? Siapa perempuan ni?” tanya Manisa. Wes tergamam sebentar. Perempuan yang dilihatnya bersama Wes sebentar tadi menghilangkan diri.

“Jom! Ikut saya!” Wes berlalu dan Manisa mengekori langkah Wes. Wes memandu laju tanpa menghiraukan pertanyaan demi pertanyaan yang dilemparkan Manisa. Sebaik saja sampai di sebuah gerai dipersimpangan jalan Kampung Seronok, lantas Wes meletakkan keretanya di tepi jalan.

Mereka keluar dari perut kereta dan menuju ke gerai yang cukup terkenal dengan mee rebusnya yang enak. Setelah memesan dua pinggan mee rebus dan dua gelas air, Manisa kembali mengutarakan soalan yang sama.

“Siapa perempuan tu?” Wes mengeluh sebentar sebelum menjawab pertanyaan Manisa.

“Saya rasa dah tiba masanya saya beritahu awak perkara yang sebenarnya,” ujar Wes. “Saya tak cintakan awak, Manisa. Saya terima awak pun sebab orang tua kita,” Wes berhenti sekejap. “Maafkan saya. Saya tak bermaksud nak lukakan atau permainkan awak. Tapi.....kita tak sesuai bersama.” Manisa mengetap bibir mendengar kata-kata Wes.

Dia tidak tahu mengapa Wes sanggup melakukannya sedemikian rupa. Dia menerima Wes dalam hidupnya juga bukan kerana cinta. Tapi, kehendak orang tua. Setelah dia ditunangkan dengan Wes, sedaya upaya dia membina cinta dalam hatinya untuk Wes. Walaupun adakalanya cintanya itu bagai sembilu yang menghiris hati dengan layanan yang diterimanya.

“Perempuan tadi ialah bekas kekasih saya. Saya tinggalkan dia kerana awak. Tapi saya tak boleh lupakan dia.”

“Sebab tu awak datang ke sini? Untuk berjumpa dengan dia dan membelakangi saya?!” tanya Manisa dengan peraan marah di hati. Dia menggeleng kepala kesal. Kata-kata Wes bagai menghiris tangkai hatinya.

“Sebelum bertunang dengan awak, saya langsung tak kenal siapa awak. Nak jatuh cinta? Sorry........tapi kerana keluarga kita, saya terima awak. Saya belajar sayangkan awak. Tapi apa yang saya dapat? Nothing!.” Manisa menangkup mukanya dan kemudian memandang wajah Wes semula.

“Kalau saya mengganggu hidup awak, saya minta maaf. Tapi, awak sepatutnya beritahu saya awal-awal kalau saya ni cuma beban untuk awak.” Manisa terus berlalu dari situ tanpa menyentuh makanan yang dipesan.

Manisa menghembus nafasnya lagi. Sejak pulang dari bertemu Wes entah berapa kali dia menghembuskan nafas kekesalan. Menyesali apa yang berlaku dan tertanya-tanya pada diri. Adakah dia yang bersalah? Dia mengeluh untuk sekian kalinya.

Memang benar, sebelum ini Wes pernah memberitahunya yang Wes tidak menyintainya. Tetapi, Wes tidak pernah memberitahu cintanya telah diserahkan kepada perempuan lain.

Seandainya Wes berterus terang dari awal, tentu sahaja perkara begini tidak akan berlaku.





BUAT pertama kalinya Wes merasa perasaan bersalah wujud dalam dirinya pada Manisa. Sejak dahulu, dia sentiasa menyalahkan Manisa kerana hadir dalam hidupnya. Dan sekian kalinya dia merasa Manisa tidak layak untuknya. Manisa tidak mampu membahagiakannya. Dia sentiasa hidup dalam bayangan silam cinta Farahymma. Sentiasa mengharap cinta itu kembali lagi.

Dan buat pertama kali juga, dia melihat Manisa begitu marah dan serius dalam percakapannya. Tidak seperti hari-hari lain. Dia sentiasa ingin dibelai dan tutur katanya begitu manja hingga membuatkan Wes kadang-kala merasa geli dengan kemanjaannya.

Wes mengeluh. Dia menguakkan rambutnya ke belakang. Adakah Manisa yang bersalah atau dia yang menjadi puncanya? Dia yang bersalah kerana menerima Manisa tapi tidak mampu untuk membahagiakan Manisa. Argh.......dia mengeluh lagi. Bukan dia tidak cuba, tapi...... dia menjadi keliru sendiri. Tertanya kembali. Diakah yang bersalah atau takdir yang menentukan segalanya? Mungkin kerana hati yang tidak ikhlas menyebabkan segalanya menjadi tak keruan. Benarlah......melakukan sesuatu tanpa kerelaan, takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.



ARIFF menekan punat-punat telefon. Mendail nombor Manisa. Hatinya menjadi keruan. Sedari tadi dia menghubungi Manisa namun tetap tidak dijawab. Dia mula resah. Bimbang sesuatu yang tidak diingini menimpa gadis itu.

Dia menuruni anak-anak tangga lalu menuju ke dapur. Kelihatan Qismyna dan Zurin sedang berbual-bual dengan Mak Yam sambil menyediakan makan malam. Qismyna dan Zurin mengalih pandangan pada Ariff. Ariff kelihatan risau dan tidak tentu arah.

“Kenapa abang?” tanya Qismyna.

“Mak mana?” tanya Ariff kembali tanpa menjawab soalan Qismyna.

“Mak dengan ayah keluar. Ada kenduri di masjid,” beritahu Qismyna.

“Petang tadi, ada tak kawan abang datang ke cafe Qismyna?” soal Ariff lagi. Qismyna menggeleng.

“Kawan yang abang ceritakan tu?” tanya Qismyna kembali. Ariff mengangguk. “Qismyna ada tunggu dia tadi. Tapi, tak de orang pun yang cari Qismyna kecuali......” Qismyna terdiam. Dia teringat semula peristiwa petang tadi di mana Adam datang berjumpa dengannya. Dan kemudian, muncul Rina sehingga mencetuskan pertengkaran di antara mereka.

“Kecuali apa kak?” tanya Zurin menyampuk.

“Kawan kakak,” jawab Qismyna. “Entahlah abang....Qis sendiri pun tak pernah jumpa kawan abang tu. Mungkin dia datang tapi tak cari Qis. Manalah tahu.” Qismyna mengagak. “Tapi kenapa abang nampak risau sangat?”

“Abang call dia banyak kali tapi tak de balasan. Abang risaulah.” Ariff bersuara cemas.

“Kawan Abang Ariff tu......lelaki ke.... perempuan?” tanya Zurin lambat-lambat. Bimbang bercampur segan kerana masih belum mengenali Ariff dengan rapat walaupun telah menetap di rumah itu hampir tiga bulan lamanya.

“Perempuan.” Ariff menjawab perlahan. Zurin mengangguk sambil mengangkat keningnya.

‘Ni mesti kes cinta,’ detik hati kecil Zurin sambil tersenyum.

“Abang Ariff pergilah cari dia kat tempat yang selalu dia pergi,” balas Zurin. Ariff memandang Zurin. Benar juga apa yang dikatakan Zurin. Tanpa bercakap lebih panjang, Ariff bangun dan terus memecut keretanya.

Qismyna memerhatikan Ariff yang tergesa-gesa meninggalkan rumah. Kemudian di mengerling Zurin di depannya.

“Hai.......macam ada pengalaman je....” usik Qismyna. Zurin ketawa kecil.

“Adalah sikit. Tapi tak pernah bercinta.”

“Macam mana tu? Ada pengalaman tapi tak pernah bercinta?” Qismyna keliru. Zurin ketawa lagi.

“Kakak ni! Tak semestinya kita kena bercinta dulu baru ada pengalaman.” Qismyna termangu seketika. Benar juga kata Zurin. Adakalanya pengalaman cinta orang sekeliling juga boleh memberi pengalaman pada kita.

Pengalaman cintanya dengan Adam, bahagianya hanya bertahan seketika. Tetapi luka yang ditinggalkan bertahun-tahun lamanya untuk disembuhkan. Mungkin dia yang bodoh kerana menyanjungi Adam tanpa ada batasan. Walaupun percintaan mereka hanya bertahan selama dua tahun, namun Adam adalah cinta pertama dan terakhir untuknya.

Tetapi semenjak dua menjak ini perasaannya pada Adam semakin menipis. Adakah cintanya pada Adam kian hilang? Dia sendiri tak pasti dengan perasaannya kini.

Yang pasti, hati kecilnya sering merasa tak selesa setiap kali berjumpa dengan Adam.

Mungkinkah ini petanda cinta di hatinya kian pudar untuk lelaki itu? Dan adakah itu bermaksud dia perlu membuka pintu hatinya untuk insan lain?



MANISA menarik nafasnya yang agak tersangkut-sangkut. Dia menyeka airmatanya yang mengalir. Bahunya disentuh lembut. Lantas dia berpaling ke belakang. Ariff tersenyum padanya. Pantas dia mengalih pandangannya ke depan semula. Khuatir matanya yang merah dilihat lelaki itu.

Ariff melabuhkan punggungnya di sebelah. Dia gembira kerana berjumpa Manisa di situ. Jangkaannya tepat. Manisa berada di Persiaran Gurney, tempat pertama kali mereka berjumpa. Namun kegembiraannya bertukar kerisauan apabila melihat keadaan Manisa. Gadis itu menangis. Tapi kenapa?

“Kenapa ni?” Ariff bersuara sambil memandang nun jauh kepekatan malam yang hanya kelihatan lampu-lampu di seberang. Walaupun tidak dapat menangkap keindahan pantai, namun deruan ombak masih kedengaran.

Pertanyaan Ariff masih tiada balasan. Manisa disebelah hanya membisu. Ariff mengalihkan kedudukannya mengadap Manisa. Manisa hanya menunduk dan sesekali kedengaran nafasnya ditarik. Ariff memberanikan diri untuk menyentuh tangan Manisa.

“Apa masalahnya?” Ariff bertanya lembut. Seketika kemudian Manisa mengangkat kepala sambil menitiskan airmata.

“Maafkan saya kerana membohongi awak,” ujar Manisa dalam sedu sedannya. Ariff kehairanan. Apa yang dimaksudkan Manisa? “Saya dah bertunang.”

Bagaikan kejutan elektrik, pantas Ariff menarik tangannya yang memegang tangan Manisa. Dia mengalihkan tubuhnya ke depan. Dia terpempam seketika. Dia tidak menyangka sama sekali Manisa sanggup permainkan rasa kasih yang bersarang di sanubari. Kenapa gadis itu tidak berterus terang dari awal sebelum tunas kasih dalam dirinya bercambah menjadi bunga cinta?

“Kami bertunang kerana kehendak keluarga. Bukan kerana cinta.” Manisa mula bercerita tentang kisahnya pada Ariff. Bermula dari pertunangan mereka hinggalah peristiwa petang tadi. Ariff mendengar penuh teliti. Dia mula merasa kasihan dengan nasib yang menimpa Manisa.

“Saya dah buat keputusan,” ujar Manisa. “Saya akan putuskan pertunangan kami. Demi untuk kebahagiaan masing-masing. Saya tak sanggup lagi nak pertahankan hubungan yang hanya pada nama.”

“Awak dah fikir masak-masak?” tanya Ariff. Dia tidak mahu Manisa membuat keputusan dan akhirnya akan menyesali keputusan yang dibuat.

“Dah lama saya fikirkan. Cuma...saya ragu-ragu bila teringatkan keluarga kami. Tapi saya yakin....keputusan inilah yang terbaik.” Manisa bersuara yakin.

“Macam mana kalau dia....maksud saya, tunang awak nak kembali pada awak?”

“Tak mungkin. Saya tak pernah cintakan dia walaupun setiap hari saya setia pada dia,” balas Manisa. Memang benar, sejak dari dulu dia tidak mengasihi Wes tetapi sentiasa menyelitkan rasa setia pada lelaki itu.

“Dia juga tak pernah menyintai saya. Dia cintakan perempuan lain.”

“Habis tu, kenapa awak sedih sangat?” tanya Ariff yang masih belum dapat membaca apa yang tersirat di hati kecil itu.

“Saya sedih bukan kerana dia tak cintakan saya. Saya sedih kerana kesetiaan saya hanya sia-sia. Kalau dari dulu saya ikut kata hati saya, tentu sekarang banyak perubahan dalam hidup saya.”

“Manisa,” panggil Ariff lalu menggenggam erat tangan gadis itu. Cuba menenangkan gadis itu yang masih dibawa perasaan.

“Selepas awak putuskan pertunangan awak, saya nak ambil awak sebagai isteri saya yang sah. Awak setuju?”

Dia tahu lamarannya adalah di masa yang tidak sesuai. Namun dia tidak sanggup lagi untuk memendam perasaannya yang semakin lama semakin berbunga untuk gadis itu.

“Saya tidak memaksa. Saya pun tak mahukan jawapan sekarang. Awak fikirlah selama mana yang awak mahu. Saya akan menunggu.”

Manisa memandang Ariff dengan seribu perasaan. Matanya bertentang mata Ariff. Bersinar mata itu mengambarkan betapa dia tidak menyangka Ariff ikhlas padanya. Bunga-bunga cinta kian mekar di hati. Manisa tersenyum lalu mengangguk. Melihatkan anggukan Manisa, Ariff tersenyum lantas menarik bahu Manisa merapatinya.

Saat Hati Merelakan 15

SEORANG wanita tua menghampiri kaunter bakery. Linda yang kebetulan pada hari itu ditugaskan untuk menjadi juruwang dan mengambil pesanan, melemparkan senyuman mesra pada wanita itu. Dia melihat di tangan kanan dan kiri wanita itu memegang beberapa beg plastik yang berisi buku-buku latihan. Mungkin saja wanita tua itu baru saja keluar dari stationary shop.


“Boleh saya bantu, mak cik.” Linda berbahasa.

“Apa yang ada di sini?” Wanita itu melirik pada pastries yang disediakan. “Roti saja ke?”

“Ya. Di sini kami cuma menjual pastry saja,” ujar Linda lembut. “Kalau mak cik nak makanan berat, dekat depan kedai sana ada gerai. Macam-macam ada. Sedap-sedap pulak tu.”

“Kalau macam tu, tak apalah, nak. Bagi Mak cik roti coklat tu dua dan roti keju dua.” Dia menunjuk-nunjuk roti yang dimaksudkannya.

Linda mengambil dan menbungkus roti-roti tersebut dan dimasukkan ke dalam beg plastik. Setelah wanita tua itu membayar harga yang ditetapkan, Linda menyerahkan bungkusan plastik tersebut sambil mengucapkan terima kasih.

Qismyna yang kebetulan baru tiba di cafe menghampiri terus melangkah menghampiri Linda.

“Selamat tengah hari Cik Qis,” tegur Linda. Qismyna tersenyum.

“Selamat tengah hari,” ucap Qismyna kembali. Dia memandang sekeliling. “Eh, awak, Mie dan Razin saja? Lan mana?” tanyanya sambil memandang sekeliling.

“Lan MC hari ni Cik Qis. Cirit birit,” beritahu Linda.

“Salmi dah tahu?”

“Dah. Salmi yang beritahu saya tadi,” kata Linda. “Kejap lagi, Sofea sampailah. Dia akan gantikan Lan.” Qismyna mengangguk mendengar kata Linda.

“Lambat Cik Qis datang hari ni,” tegur Linda kerana semua kakitangan di situ sedia maklum yang Qismyna sentiasa berada di cafe dari jam sembilan pagi untuk menyemak semua laporan di pejabatnya.

“A’ah.....Saya ada hal pagi tadi,” beritahu Qismyna. “Tak pelah, sementara tunggu Sofea biar saya gantikan,” ujar Qismyna. Qismyna melangkah ke dapur belakang dan sebentar kemudian melangkah ke depan kembali. “Mana apron yang selalu Lan guna?”

“Belakang pintu,” ujar Linda. Qismyna terus mengambil apron ditempat yang dimaksudkan. Apron yang bewarna merah itu dikenakan di badan. Kemudian, dia ke dapur menolong Mie membakar roti. Razin pula sedang menguli tepung. Sedang dia asyik menolong Mie dan Razin, muncul Linda di situ.

“Kenapa?” tanya Qismyna.

“Ada orang nak jumpa Cik Qis.”

“Siapa?” dahinya dikerutkan.

“Entah.” Linda mengangkat bahu.

Qismyna menuju ke luar dengan tangan dan bajunya dipenuhi serbuk-serbuk tepung. Dia tergamam sebaik saja melihat lelaki di hadapannya. Lelaki itu memerhatinya dari atas ke bawah dan kemudian ke atas semula.

Kerana tidak mahu menimbulkan masalah, Qismyna mendekati Adam dan mengajaknya ke sebuah meja yang terletak di sudut hujung bakery itu. Adam membontoti gadis itu.

“Awak nak apa datang cari saya kat sini?” soal Qismyna perlahan tapi keras. Dia tidak mahu jika ada di antara pekerjanya yang mendengar perbualan mereka.

“Nak jumpa dengan awak,” balas Adam. “Dah lama saya cari awak. Hari ni baru saya jumpa. Berilah peluang pada saya. Biar saya jelaskan......”

“Peluang? Peluang apa yang awak nak. Saya dah beri peluang pada awak untuk membuat pilihan. Ada saya paksa awak untuk pilih saya? Tak........kan? Apa yang awak nak lagi?” Qismyna bersuara keras.

“Saya cuma nak beritahu awak, saya masih belum berkahwin dengan pilihan keluarga saya.” Adam bersuara dengan jelas. Qismyna terkesima sebentar. Tiba-tiba ingatannya bagai dilayang untuk memutarkan kembali ingatannya sewaktu terlihat Adam sedang bermesra dengan seorang wanita di Sunshine Square.

“Belum berkahwin......Jadi, apa kena mengena dengan saya?”

“Qis....please!”

“Wanita yang bersama awak di Sunshine Square tu siapa? Teman wanita? Tunang? Isteri atau.....” Qismyna mengangkat bahu. “Baik betul hati dia kasi awak pegang sana sini,” sindir Qismyna. Adam mengeluh sebentar.

“Okey.....dia tunang saya! Pilihan keluarga saya! Tapi saya tak nak berkahwin dengan dia!” tegas Adam.

“Itu bukan masalah saya!” Qismyna menjawab dengan tegas juga.

“Qis look!. Saya datang sini sebab saya cari awak. Saya nak bina kembali hubungan kita.”

“Untuk apa? Sedangkan terang-terang awak dah tinggalkan saya! Dan dari apa yang saya lihat, awak bahagia dengan dia.” Qismyna merenung tajam lelaki di depannya.

“Saya tak bahagia dengan dia!” suara Adam meninggi sedikit.

“Who cares?!!” Qismyna bingkas bangun. Lantas Adam menarik tangan Qismyna.

“Hai!” Kedengaran satu suara menegur. Qismyna dan Adam berpaling. Lantas Adam melepaskan tangan Qismyna.

Seorang perempuan berdiri di hadapan mereka. Dengan wajah yang masam dia memandang Adam dan Qismyna silih berganti. Melihatkan wajah itu, Qismyna telah dapat mengagak ada perkara buruk yang akan terjadi. Itulah perempuan yang dilihatnya bersama Adam tempoh hari.

“Awak Qismyna?” tanyanya kasar pada Qismyna.

“Awak siapa?” Qismyna bertanya kembali.

“Saya Rina. Isteri Adam,” balas wanita itu, sedikit menekan suaranya. Qismyna melirik kepada Adam.

“Apa ni Rina?!” Adam menatap wajah itu dengan amarah. Marah kerana wanita itu mengaku dia suaminya.

“You....shut up!” Rina menunding jari pada Adam, kemudian menoleh semula pada Qismyna. “You tak malu ke? Nak jadi perampas suami orang?”

“Excuse me...... Siapa yang nak rampas suami awak? Setakat dia nilah....” Qismyna menunding pada Adam. “.....saya tak hairan tau!” Qismyna melihat Rina dengan perasaan marah. Rina mencebik seraya memandang Qismyna dari atas ke bawah.

“Awak tak hairan dengan dia ke, atau dia yang tak nak kat awak? Awak tengoklah diri awak. Setakat perempuan macam awak ni, bukan tandingan saya.” Sindirnya tajam sambil melihat keadaan diri Qismyna yang dikotori dengan tepung.

“Stop it, Rina.” Adam memegang tangan Rina. Rina menepis.

“Do not interfere, okey. I’m not talking to you.” Adam mendengus dengan sikap Rina. “Eh, perempuan.” Rina menolak bahu Qismyna. “Lagi sekali aku nampak kau goda suami aku, siap engkau.”

“Tolonglah. Aku bukan perempuan murahan nak rampas suami orang. Cuba kau tanya suami kau. Siapa yang tergilakan siapa.”

“Kau jangan nak tuduh suami aku tergila-gilakan kau pulak.” Rina menolak tubuh Qismyna. Tolakannya agak kuat menyebabkan Qismyna terkebelakang sedikit.

“Ni dah kira kurang ajar ni. Aku cuma main mulut. Kau melebih pulak.” Kemarahan Qismyna hampir ke puncak.

“Kenapa kau tak puas hati?!” balas Rina. Adam cuba menarik Rina lagi. Berkali-kali ditarik berkali-kali Adam ditolak Rina.

“Kau jangan masuk campur Adam. Ini antara aku dengan dia,” ujar Qismyna. Adam mula merasa bosan melihat mereka. Dia melepaskan keluhan panjang.

“Rupanya kau masih tak puas hati?!” sindir Rina dengan memek muka yang menjengkelkan.

“Memang!!” Qismyna menolak tubuh Rina dengan kuat. Tolakan yang kuat ini menyebabkan Rina terjatuh. Dia mendengus geram. Dia bangun dan ingin menghampiri Qismyna. Adam menahannya lagi.

“Sudah Rina. Jom kita balik.” Dia memegang tangan Rina. Rina meronta dengan kuat. Hampir saja pegangan itu terlepas. Terus saja Adam memeluk pinggang Rina untuk menghalangnya dari menghampiri Qismyna.

“Aku takkan balik selagi perempuan gila tu tak minta maaf dari aku!!” jerit Rina.

“Siapa gila?! Kau yang gila!” Qismyna masih belum berpuas hati.

Mie, Linda dan Razin yang kebetulan berada di situ berpandangan sesama sendiri. Mereka sendiri kaget melihat apa yang berlaku. Lantas menoleh ke arah orang ramai yang semakin menumpukan perhatian pada adegan percuma itu.

“Sebelum apa-apa jadi baik korang pergi tengok. Biar aku jaga kaunter.” ujar Razin pada Mie dan Linda. Mereka berdua mengangguk dan menuju menghampiri Qismyna.

“Sabar...cik....sabar.” ujar Linda pada Rina.

“Korang ni siapa nak masuk campur urusan orang?” balas Rina dengan kasar.

“Sudahlah! Malu orang tengok. Ini tempat berniaga. Kalau nak cari gaduh, tunggulah....kat tempat lain!” ujar Mie pula. “Baik encik bawa isteri encik ni balik dulu,” katanya pada Adam.

“Saya takkan balik selagi perempuan gila tu tak minta maaf pada saya!” Rina memeluk tubuh dan berpaling ke tempat lain dengan angkuh.

“Hei...kenapa pulak saya nak kena minta maaf pada awak?! Awak tu yang patut minta maaf pada saya. Datang tempat orang kemudian buat kacau kat sini!” Qismyna mendengus.

“Selagi awak tak minta maaf pada saya, saya takkan pergi dari sini!”

“Sudahlah Rina. Mari kita balik.” Adam menarik tangan Rina. Rina menepis lagi.

“Sudahlah Cik Qis. Cik mengalah sajalah. Malu orang tengok,” ujar Mie sambil berbisik. Qismyna memandang sekeliling. Memang benar kata-kata Mie. Mereka sekarang menjadi tumpuan.

“Baiklah....awak tunggu sini!” Qismyna bergerak ke dapur belakang. Lantas dia menggenggam serbuk tepung di kedua-dua tangannya lalu kembali menampakkan diri. Mereka yang lain masih menunggu.

“Awak nak saya minta maaf bukan?” Qismyna bertanya pada Rina.

“Of course!” Rina menjeling. Qismyna menghampiri Rina kemudian membaling tepung di genggaman kirinya. Balingan tepung itu mengenai tepat wajah Rina. Mereka semua terkejut dengan tindakan Qismyna. Mulutnya terlopong.

“You?!” dia menunding jari pada Qismyna. Qismyna mengangkat keningnya seolah-olah mengejek Rina. Mereka yang berada di situ hampir tertawa melihat keadaan Rina termasuk Adam sendiri.

“Maaf Cik Rina.....saya tak sengaja.” Qismyna melembutkan suaranya sambil mengejek.

“Dah! Jom kita balik!” Adam menarik tangan Rina. Kali ini dia tidak menepis. Sebelum berlalu dia sempat menoleh pada Qismyna.

“Jaga kau!!” dia menjerit.

Qismyna melepaskan keluhan. Sakit di hati masih terasa. Memang dia tidak menyangka dia akan bertindak begitu sebenarnya. Sekali lagi dia melepaskan keluhan kemudian berpaling memandang Mie.

“Saya nak awak bersihkan tempat ni semula,” ujar Qismyna lantas melihat tangan kanannya yang masih memegang tepung. Dia mendengus lalu mencampakkan tepung dalam genggamannya ke belakang. Kemudian terus berlalu pergi.

Mie dan Linda tergamam melihat lelaki yang baru tiba itu. Qismyna membaling tepung itu tanpa melihat ke belakang. Akibatnya, tepung itu terkena pada seorang pelanggan.



WES mengibas-ngibas rambutnya yang dipenuhi serbuk putih itu. Kemudian menyapu bajunya yang turut terkena. Dia mencium serbuk itu dan merasa dengan lidah.

“Tepung!” ujarnya. Sementara menyapu serbuk-serbuk tepung yang melekat di bajunya, dia melihat-lihat sekeliling mencari kelibat orang yang bertanggungjawab mengotorkan dirinya. Dia menyedari orang itu ialah perempuan tetapi tidak dapat melihat wajahnya kerana perempuan itu membelakangi dirinya. Kemudian datang seorang lelaki menghampirinya.

“Maaf, encik.” Lelaki itu membantunya membuang serbuk-serbuk tepung di bajunya.

“Awak pekerja di sini?” tanya Wes.

“Iye....” Lelaki itu mengangguk. Dari wajahnya kelihatan benar perasaan bersalah.

“Siapa yang baling tepung kat saya?” tanya Wes lagi.

“Hmm....Cik...Qismyna. Maaflah encik. Cik Qis tak sengaja tu,” jawab lelaki itu dengan ragu-ragu.

“Cik Qismyna? Pemilik cafe ni?” Lelaki itu mengangguk lagi menjawab pertanyaan Wes. Dia tidak menyangka sama sekali lelaki itu mengenali Qismyna. Wes mengangguk.

Dia tidak menyangka gadis yang bernama Qismyna yang dikenali namanya tetapi tidak pernah bersua muka, rupa-rupanya boleh tahan juga sifat pemarahnya.

Sedari tadi dia berada di situ bersama-sama beberapa pengunjung yang lain asyik memerhatikan kejadian yang baru berlaku. Tetapi dia tidak tahu puncanya. Malah dia yakin mereka yang menonton kejadian tadi juga tidak tahu punca pertengkaran sebentar tadi kerana dia ada terdengar bisikan mereka yang bertanya sesama sendiri sebab-sebabnya.

“Tak pelah...siapa nama awak?”

“Suhaimi. Panggil saja Mie,” ujar lelaki itu. Wes mengangguk.

“Sebenarnya saya datang sini, sebab nak cari Farahymma,” beritahu Wes mengenai tujuan asalnya.

“Farahymma......hari ini dia bertugas di bahagian stationary. Encik boleh cari dia kat sana,” balas Mie.

“Terima kasih,” ucap Wes lalu melangkah ke stationary shop. Dia memerhati keadaan sekeliling. Mencari-cari kelibat Farhymma. Lantas matanya menangkap tubuh Farahymma yang sedang memegang sebuah kotak kecil. Dia menghampiri gadis itu. Farahymma kelihatan terkejut melihat Wes berada di situ.

“Awak buat apa kat sini?” Farahymma mendengus lalu memerhati sekeliling. Bimbang dilihat oleh Salmi, penyelia di situ. “Baik awak pergi. Saya tengah kerja.”

“Nanti!” Wes menahan Farahymma yang ingin berlalu pergi. “Tolonglah....” rayunya.

“Tolonglah apa?! Saya tengah kerja. Nanti tak pasal-pasal saya kena marah.” Dia terus berlalu tanpa memperdulikan Wes.

“Saya tunggu awak!” jerit Wes pada Farahymma yang menuju ke dalam. Farahymma sempat menoleh dan menjelingnya tajam.

Wes berpusing-pusing di situ. Sesekali matanya liar memerhati mencari kelibat Farahymma yang masih di dalam. Dia tegas akan menunggu di situ sehinggalah Farahymma bersetuju untuk menemuinya. Kali ini dia takkan mengalah. Dia perlu berterus terang dengan Farahymma.

Kemudian matanya menangkap susuk tubuh seorang gadis yang baru keluar dari pintu yang sama Farahymma masuk sebentar tadi. Gadis yang memakai blaus biru dan berseluar jeans itu dipandangnya lama. Cantik orangnya. Berambut lurus melebihi paras bahu. Rasanya dia pernah bertemu dengan gadis itu. Tetapi dia tidak pasti di mana.

Mungkinkah gadis itu adalah Qismyna. Ah.....sayang sekali kerana dia tidak melihat gadis itu mengenakan pakaian apa sewaktu kejadian itu tadi. Namun, apa yang menarik perhatiannya, dari riak air muka gadis itu seolah-olah memendam seribu perasaan yang tak dapat dibacanya. Dia menghembus nafas sebentar.

Untuk apa dia berfikir tentang orang lain sedangkan masalahnya sendiri masih belum dapat diselesaikan. Dia melirik pada buku-buku latihan dan semua peralatan tulis yang terdapat di disitu. Sengaja diambil dan dibeleknya. Namun, matanya masih memberi perhatian pada pintu di mana Farahymma masuk ke dalam. Namun, kelibat Farahymma masih belum kelihatan.