Wednesday 24 February 2010

Hanya Dia 15

BAB 15
MAISARA memerhati sekeliling rumah sambil sesekali matanya meliar mencari-cari kelibat Aiman yang sedari tadi tidak kelihatan.
“Sara cari siapa?” tepukan di bahu Maisara menyebabkan dia sedikit terkejut lalu berpaling ke belakang.
“Ah.....mama....” Dia menghembus nafas seketika lalu matanya jatuh kepada kek harijadi yang dipegang Rosnah.
“Kek Aiman?” tanya Maisara. Memang di atas kek itu ada tertulis ‘Selamat Hari Lahir Aiman’. Tetapi apa yang menjadi tanda tanya kepada Maisara, di mana kek yang di buatnya khas untuk Aiman?
“Ah’a...... Fariz yang minta mama keluarkan kek ni untuk Aiman potong nanti. Kek yang Sara kasi tu ada mama simpan dalam peti sejuk.”
Maisara mengukirkan senyuman pahit. Walaupun senyumannya itu pasti nampak tidak ikhlas, dia masih cuba untuk memaniskan wajahnya.
Sampai hati.....
“Sara duduklah dulu mama nak atur meja di depan,” ujar Rosnah pantas apabila melihat wajah Maisara yang sudah berubah. “Umi dan abah datang tak?”
Maisara menganggukkan kepalanya menandakan umi dan abahnya akan datang.
“Tapi mungkin lambat. Sebab abah ada kerja sikit,” ujar Maisara. Rosnah menganggukkan kepalanya lalu melangkah pergi.
“Mama!” panggilan Maisara membuatkan langkah Rosnah terhenti. “Mana Aiman?”
“Aiman ikut Fariz jemput kawan dia,” beritahu Rosnah.
Kawan? Kawan yang bagaimana sehingga perlu dijemput?
Hati maisara mula berdolak dalik. Mana mungkin kawan-kawan biasa jika sehingga perlu berjemput.
“Kenapa? Sara nampak tak selesa?” tanya Rosnah apabila melihat riak wajah Maisara mula berubah.
“Tak.... “ Maisara menafikan sedangkan memang benar dia cukup merasa tidak selesa bersendirian di situ. “Ada apa-apa yang Sara boleh bantu?”
“Tak perlulah Sara. Sara kan tetamu.” Rosnah tersenyum. “Tapi kalau Sara rasa bosan, Sara boleh tolong mama layan tetamu di luar.”
Maisara memerhati kelibat Rosnah yang berlalu pergi bersama kek harijadi Aiman di tangan. Memang dia terasa hati melihat kek itu. Tetapi dia sedar Fariz berhak memberikan yang terbaik buat Aiman. Jika dibandingkan kek yang dibuatnya memang tidak sebesar yang kek yang dibawa Rosnah sebentar tadi.
Aiman........

MATA Maisara memerhati seorang gadis yang sedang mendukung Aiman. Fariz di sebelah mereka tersenyum riang. Sesekali gadis itu mengerling ke arahnya. Cepat-cepat dia melarikan bola matanya apabila mata gadis itu jatuh padanya.
Sebaik sahaja lagu selamat dinyanyikan. Fariz dan gadis tersebut bersama-sama memegang tangan Aiman untuk memotong kek. Nampak bagai satu keluarga yang sempurna. Entah mengapa rasa cemburu mencuit tangkai hati Maisara.
Setelah itu kek dipotong, Faris dan gadis itu bersama-sama mencium pipi gebu Aiman. Tarti yang tiba-tiba muncul lalu mengambil gambar mereka bertiga menambahkan lagi kedukaan di hati Maisara. Tiba-tiba sahaja dada Maisara menjadi sebak. Bukankah sepatutnya dia yang berada di sisi Fariz dan menyambut harijadi Aiman sebegitu?
Pantas Maisara melarikan diri ke dalam apabila merasakan titisan airmatanya bagai tidak dapat ditahan lagi.
Kakinya melangkah menuju ke bilik air lalu menguncikan diri di dalam. Buat seketika dia merasakan kehilangan. Kehilangan Aiman......Kehilangan permata hatinya yang satu.......Kehilangan Fariz.........

“SARA!!” Ketukan di pintu yang bertalu-talu menyebabkan Maisara bergegas menyapu airmatanya. Mukanya dicuci lalu dilap hingga kering. Pintu bilik air dibuka. Kelihatan Rosnah tegak berdiri di depannya.
“Ada apa mama?” Maisara cuba menyembunyikan kesedihannya dengan senyuman.
“Sara......okey ke?” Mata Maisara yang kelihatan sedikit merah dan wajahnya yang sembam cukup untuk membuatkan Rosnah pasti hati Maisara sedang terluka.
“Okey......” Maisara tersenyum mesra. “Ya, mama! Ada apa?”
Rosnah tersenyum lalu menarik tangan Maisara. Maisara hanya mengikuti langkah Rosnah.
Maafkan mama kerana terpaksa melukakan hati Sara!
“Mama nak kenalkan Sara dengan ‘kawan’ Fariz,” ujar Rosnah dengan gembira.
Melihatkan wajah Rosnah yang kelihatan ceria membuatkan Maisara mula tidak tentu arah. Hatinya mula merasa tidak keruan. Wajahnya pula yang tiba-tiba kelihatan tidak bermaya.
Kawan? Hmm….
“Fariz!” tegur Rosnah apabila mereka tiba di depan Fariz dan kawan perempuannya.
Fariz yang sedang rancak berbual menoleh ke arah Rosnah. Melihatkan Maisara disamping mamanya, Fariz mula mengerti.
“Mari!” Fariz menghulurkan tangan kepada gadis yang memakai gaun biru lembut di sisinya. Gadis itu yang sedang mendukung Aiman bangun di sisi Fariz.
“Sara, kenalkan Ilyana.” Fariz memandang Ilyana. “Yana, kenalkan Maisara.”
“Sara.” Maisara cuba berwajah manis.
“Yana.” Gadis itu menyambur huluran tangan Maisara.
“Boleh saya….” Maisara mengunjuk ke arah Aiman. Ilyana yang mengerti dengan permintaan Maisara menyerahkan Aiman kepadanya.
“Sayang anak mama…..” Maisara mengucup kedua-dua pipi Aiman dengan penuh kasih-sayang. “Happy birthday sayang….”
"Maaf, Sara nak pinjam Aiman sekejap.” Kemudian Maisara membawa Aiman jauh dari mereka. Walaupun dia perasan mata-mata yang memandangnya yang tiba-tiba pergi membawa Aiman, namun dia pura-pura tidak mengerti. Dia mahukan bersendirian dengan Aiman.

MAISARA membelai-belai rambut Aiman yang sedang nyenyak tidur. Sesekali dia akan mengucup dahi itu.
Betapa sebentar tadi dia merasakan dia akan kehilangan Aiman. Namun berdua bersama Aiman begini, hatinya bagaikan terpujuk sendiri.
Maisara menepuk bahu Aiman perlahan apabila bayi itu bergerak-gerak seperti tidurnya terganggu. Wajah comel Aiman direnung lama.
Tiba-tiba wajah Ilyana melintas di fikirannya. Terbayangkan Ilyana perasaan takut mula menerjah di hati Maisara. Ternyata dia kurang selesa dengan kehadiran Ilyana.

Saat hati Merelakan 30

PAGI itu mereka sekeluarga ke Lapangan Terbang Bayan Lepas untuk menghantar Encik Wahid sekeluarga pulang ke Sabah. Sebagai tanda ucapan terima kasih, Puan Suria telah memberikan sehelai tudung yang cantik dan mahal harganya untuk Puan Wati.


Untuk si kembar Lina dan Maria telah diberikan sepasang baju kurung songket. Tuan Malik pula menghadiahkan sebatang paip berwarna coklat kehitaman buat Encik Wahid. Antik dan menarik.

Mereka semua rasa begitu terharu menerima pemberian tersebut. Sewaktu mengucapkan selamat tinggal, mereka berpelukan.

Qismyna yang juga berada di sana turut merasa sedih apabila melihat ibunya, Puan Suria dan Puan Wati mengalirkan airmata. Malah Lina dan Maria juga menangis sambil berpelukan dengan abang mereka, Wes.

Wes pula cuba memujuk adik-adiknya agar jangan bersedih dan berjanji akan melawat mereka di sana jika ada kelapangan.

Qismyna tidak menyangka seorang lelaki seperti Wes yang kelihatan kasar dan angkuh itu amat penyayang dengan adik-adiknya. Entah mengapa tiba-tiba dia tersenyum sendiri melihat gelagat Wes yang amat lembut memeluk ibu dan ayahnya.

Tanpa disangka sebaik saja Qismyna bersalam dengan ibu mertuanya, Puan Wati, tiba-tiba sahaja dia menarik Qismyna dalam pelukannya. Qismyna kelihatan tergamam sebentar tetapi kemudian dia membalas pelukan itu.

Sewaktu melepaskan pelukan, Puan Wati tersenyum dan dia mengusap pipi kanan Qismyna. Entah kenapa, tiba-tiba Qismyna berasa begitu sayang untuk melepaskan mereka semua pulang ke Sabah. Dan sewaktu dia bersalam dan mencium tangan ayah mertuanya, lelaki itu tersenyum sambil mengusap rambutnya dengan penuh kasih sayang.

Lina dan Maria juga memeluknya setelah bersalam dan mencium tangannya. Sewaktu adik-adik iparnya berbuat begitu, Qismyna dapat merasakan yang dia bukan sahaja ada Zurin sebagai adiknya, tetapi juga si kembar.

Apabila Encik Wahid sekeluarga melangkah pergi sambil melambaikan tangan kepada mereka, Qismyna tiba-tiba sahaja mengalirkan airmata. Dia menjauhi ahli keluarganya yang lain. Dia tidak mahu mereka melihat airmata di pipinya. Dia menyapu airmata yang mengalir dan kembali semula bersama yang lain.

Dia merasa kesal kerana melayani keluarga mertuanya dengan buruk. Dia merasa bersalah kerana marah dan bencikan Wes, dia tidak melayani mereka dengan baik. Betapa kejamnya dirinya dan betapa mulianya keluarga mertuanya. Walau pun dia tidak memperdulikan mereka, namun mereka masih menunjukkan rasa mesra dan kasih sayang kepadanya.

Wes menghampiri Qismyna dan berdiri di sisinya. Sambil melihat keluarganya yang semakin hilang dari pandangan Wes berbisik di telingan Qismyna tanpa didengari mereka yang lain.

“Jangan sedih. Nanti saya bawa awak jumpa dengan mereka.” Pantas sahaja Qismyna beralih kepadanya dengan rasa terkejut.



WES membuka jam ditangannya lalu diletakkan di atas meja solek. Matanya memerhatikan Qismyna melalui cermin meja solek itu.

Qismyna sedang membelek-belek majalah di tangannya. Dengan memakai t-shirt dan track bottom pada malam hari, gadis itu kelihatan seperti hendak bersenam dan bukan untuk tidur.

Sejak berkahwin gadis itu sentiasa mengenakan pakaian sedemikian ketika tidur. Mungkin juga kerana mereka telah berkongsi bilik dan tiada kehidupan peribadi membuat gadis itu selalu mengenakan pakaian sedemikian.

Sedangkan Wes tahu, malah dia pernah membuka almari Qismyna dan melihat pelbagai jenis gaun tidur yang tergantung di dalamnya. Mungkin kerana kehadirannya, gadis itu tidak mengenakan lagi pakaian sedemikian.

Wes melintasi Qismyna untuk ke bilik mandi sambil ekor matanya melirik ke arah gadis itu. Qismyna langsung tidak memperdulikannya dan sibuk dengan majalah di tangannya.

Selesai mandi, Wes mengenakan pakaian dan Qismyna masih seperti tadi. Wes mengeluh seketika. Entah mengapa malam itu dia merasa sunyi sekali. Dia ingin bercerita dan berbual-bual dengan seseorang. Tetapi dengan siapa?

Dia bangun dan menuju ke beranda. Melayani perasaan. Mengingati semula saat-saat sewaktu dia mula-mula mengenali isterinya itu. Mengingati sikap Qismyna yang angkuh dan cepat melata bila dicabar. Dia tersenyum sendiri mengingati itu semua.

Ini merupakan hari pertama dalam ingatannya di mana kenangan Farahymma tidak bermain di kotak ingatannya dan buat pertama kali juga Qismyna berada di ingatannya.

Qismyna yang sedang asyik membelek majalah Destinasi tiba-tiba sahaja bangun. Muka surat yang memaparkan keindahan Sabah dan destinasi pelancongan yang menarik di sana menarik perhatiannya. Tiba-tiba sahaja hatinya terpanggil untuk melawat keluarga mertuanya di sana.

Pantas sahaja kakinya di hayun mendekati Wes yang sedang asyik dalam lamunannya. Dia berdehem kuat agar Wes menyedari kehadirannya. Mendengarkan, deheman Qismyna, lantas Wes berpaling. Dia mengalihkan badannya dan bersandar di dinding.

“Awak ada cuti lagi tak?” tanya Qismyna memulakan bicara.

“Ada.” Wes mengangguk. “Cuti perkahwinan yang saya ambil tujuh hari tu, saya dah batalkan tiga hari. Campur dengan baki cuti lima hari, semuanya masih ada lapan hari,” terang Wes. “Kenapa?”

“Saya........” Qismyna tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia takut jika dia meluahkan keinginannya Wes akan menyindir dan mentertawakannya. “Tak de apalah........” Qismyna ingin melangkah pergi namun Wes sempat menyambar pinggangnya. Sekilas matanya menangkap muka surat majalah yang dipegang Qismyna. Kini dia mengerti.

Qismyna tergamam sekerika. Dadanya berdegup kencang. Wes memegang kedua-dua bahunya dan mengalihkan badan Qismyna agar gadis itu berhadapan dengannya. Qismyna hanya menundukkan kepala sambil menahan getaran di dada.

“Kenapa?” tanya Wes dengan lembut. Qismyna membuka mulutnya sedikit, cuba untuk menjawab soalan Wes. Tapi entah mengapa lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata.

Dia sendiri tidak pasti perasaan aneh yang hadir dalam dirinya kini. Kenapa dia berdebar-debar apabila berhadapan dengan lelaki itu?

“Kenapa ni? Awak nak cakap apa sebenarnya?” tanya Wes lagi. Kali ini tidak selembut tadi tetapi tidak juga kasar. Cuma intonasi suaranya agak serius.

“Tak de apa.” Qismyna tiba-tiba sahaja diserang rasa marah. Dia tidak tahu mengapa Wes berkata serius begitu sedang sebentar tadi lelaki itu kelihatan romantik.

Dalam diam Qismyna menyumpah dirinya kerana hanyut dalam dunia khayalannya. Betapa bodohnya dirinya membiarkan dirinya terbuai-buai dengan tindakan Wes sedangkan dari awal dia tahu lelaki itu angkuh dan sombong.

Pantas kakinya dihayun meninggalkan beranda dan masuk ke biliknya semula. Sempat juga dia menghadiahkan jelingan kepada Wes sebelum memboloskan dirinya di dalam kamar tidur.

Wes terpinga-pinga dengan kelakuan Qismyna. Kenapa gadis itu tiba-tiba meradang dengannya. Gila!!!

Saat Hati Merelakan 29

WES duduk di sudut hujung sekali menantikan kedatangan Farahymma. Sewaktu dia tiba tadi, dia telah pun melihat senarai tugas yang terletak bersebelahan pintu masuk cyber cafe itu. Setelah mengetahui Farahymma bertugas sebagai juruwang di coffee brek iaitu restoran kecil yang terdapat di cyber cafe itu, terus kakinya malangkah ke sana.


Namun dia hampa. Bila dia tiba di situ, bukan Farahymma yang berada di kaunter pembayaran. Apabila di tanya, kata pekerja di sana, Farahymma bercuti.

Namun firasat Wes lain. Dia yakin mereka semua berbohong. Sebelum melangkah masuk dia telah perhatikan sama ada motorsikal Farahymma berada di parkir atau tidak. Dia yakin itu hanyalah alasan kerana gadis itu tidak mahu berjumpa dengannya.

“Baik engkau pergi. Tanya apa yang dia nak. Customer pun belum ramai lagi. Dua jam lagi tea brek. Nanti ramai orang,” pujuk Linda. “Lagi pun, Salmi cuti hari ni. Kalau dapat tahu dekat Cik Qis, tak de orang nak backing kau pulak.”

Farahymma mengeluh sebentar. Benar juga kata Linda. Salmi tak ada, petang nanti orang ramai. Kalaulah Wes buat hal, tak haru ke? Ada baiknya dia berjumpa dengan lelaki itu sebelum dia buat benda yang bukan-bukan.

Dia melangkah keluar dan terus berdiri di depan lelaki itu sambil memeluk tubuh. Wes tersenyum memandangnya. Terasa seolah-olah kemenangan berpihak kepadanya.

“Katanya.....cuti....” Wes mengusik. Farahymma menjeling lalu menarik kerusi di depan Wes dan melabuhkan punggungnya.

“Ada apa lagi?” soalnya.

“Tak salahkan kalau sekadar menziarah dan bertanya khabar?”

“Tak salah.....” Farahymma cuba berdiplomasi. “.....tapi tak kena tempat. Saya kan tengah kerja. Lagi pulak, awak tak patut jumpa saya di sini. Kalau bos saya nampak tak pasal-pasal saya kena buang kerja.”

“Dia tak boleh buat apa-apa,” sampuk Wes pantas. Farahymma mencebik.

‘Dia ingat dia tu siapa! Kang kena buang kerja bukan dia yang susah. Aku jugak. Dahlah susah nak dapat kerja zaman sekarang ni. Belajarlah setinggi mana pun belum tentu menjanjikan pekerjaan yang diimpikan.’ Farahymma mengomel sendiri.

“Awak ada share ke?” sindir Farahymma. Wes menggeleng.

‘CC ni isteri saya yang punya. Kira saya punya jugaklah, kan.’ Mahu saja dia cakap begitu. Tapi hanya tersangkut di dalam hati saja.

“Awak jangan risau. Saya kenal dengan tuan punya premis ni.” Wes menghirup kopi. “Dia takkan buang awak punya. Lagi pun saya dah minta izin,” bohongnya.

‘Ye ke tak kena buang. Kang kalau si Qismyna tu nak balas dendam terusnya dibuang gadis kesayangan aku, tak ke haru nak cari kat mana Farahymma menghilang.’

“Ada apa hal awak cari saya lagi?” ujar Farahymma serius.

“Saya rasa tak de salahnya kalau kita tak putuskan hubungan. Sekurang-kurangnya anggaplah saya ni kawan awak,” ujar Wes serius. Tapi ujaran itu bagaikan tidak ikhlas dari hatinya. Sesungguhnya dia mengharapkan lebih dari seorang kawan. Tetapi itu sudah lebih dari mencukupi baginya. Dia tidak mahu kehilangan gadis itu.

“Ikhlas?” tanya Farahymma sambil mengangkat kening sebelah. Wes menggangguk dan berpura-pura senyum sekadar memaniskan muka. “Tak mengharapkan lebih?” Wes menggeleng pula. “Okey, kalau macam tu.....” Farahymma menghulurkan tangan. “......friend...”

Wes mengukirkan senyuman lalu menghulurkan tangan menyambut huluran tangan Farahymma.

“Friend.”

“Saya tak nak lepas ni awak ungkit kisah-kisah silam. Awak pun tahu, kan yang saya dah bertunang.”

“Saya janji,” balas Wes ringkas sambil mengangkat tangan kanannya seperti bersumpah. Farahymma tersenyum. Hatinya senang sekali. Harap-harap hubungan persahabatan yang baru di bina tidak lagi mengganggu jiwanya yang lara.

“Boleh saya tanya sesuatu?”

“Apa?”

“Saya pelik. Kenapa awak kerja kat sini?” Wes bertanya soalan yang ingin ditanyanya dari dulu. Persoalan yang ada kalanya timbul dibenak tetapi tidaklah terlalu penting baginya.

“Dah kerja ni saja yang sesuai untuk saya.” Wes menggaru dagunya sebentar.

“Dengan ijazah yang awak ada, awak boleh minta kerja yang lebih baik.” Wes mengangkat keningnya. Serius.

Farahymma terlopong seketika. Bagaimana lelaki itu tahu?! Dia keliru sekejap lalu kembali tersenyum. Mungkin juga lelaki itu telah mengetahui perkara sebenarnya yang berlaku dalam hidupnya selepas dia ditinggalkan.

“Sekarang ni susah nak cari kerja. Banyak persaingan. Kerja macam ni pun dah bersyukur.”

“Mana awak tahu saya ada ijazah?” tanyanya kembali. Namun dia dapat mengagak siapa orangnya.

“Rashid. Awak ada jumpa dengan dia, kan?” Farahymma hanya mengangguk. “Awak sambung belajar di Negeri Sembilan?” Farahymma mengangguk lagi.

Tiba-tiba saja perhatian mereka terganggu dek suara orang bertengkar. Lantas mereka mengalihkan pandangan. Malah kebanyakan pelanggan dan pekerja yang berada di situ turut beralih pandangan.

Kelihatan dua orang lelaki dan seorang perempuan sedang bertengkar. Wes cuba mengecilkan matanya untuk melihat lebih jelas. Farahymma tiba-tiba saja bangun.

“Cik Qis!” ujarnya perlahan tetapi jelas di pendengaran Wes.

‘Qis?’ pantas Wes meninggalkan Farahymma dan menuju ke arah mereka bertiga. Farahymma hanya mengekori langkah Wes dengan ekor matanya. Kelihatan Fauzan sedang bercakap-cakap dengan lelaki yang tidak dikenali seolah-olah sedang menenangkan lelaki itu. Qismyna pula menjauhkan diri dari mereka berdua. Wes menghampiri dan berdiri di sebelah Qismyna. Pantas Qismyna menoleh apabila terasa seseorang di sebelahnya.

“Kenapa?” tanya Wes. Qismyna tidak menjawab hanya menjeling sambil memeluk tubuh. Wes terus perhatikan Fauzan yang telah pun membawa lelaki asing itu pergi dan mereka bercakap di luar.

Qismyna pantas masuk semula ke biliknya. Wes pula meluru keluar ke sisi Fauzan. Fauzan yang melihat Wes sedikit terkejut.

“Kenapa?” Wes bertanya.

“Ini soal saya dengan Qis. Awak tak de hak masuk campur!” belum sempat Fauzan menjawab soalan Wes, lelaki itu membidas sambil matanya terarah pada Fauzan.

“Bertenang.......awak tak boleh paksa dia. Kita dah dewasa. Bertindak cara orang dewasa.” Fauzan masih lagi berlembut.

“Look....... berapa kali saya beritahu. Ini hal saya dengan Qis. Saya cuma nak jumpa dengan dia dan berbincang itu saja.” Intonasi suara yang digunakan lelaki itu lembut sedikit.

“Maaf saya mengganggu.” Wes menyampuk. “Ada apa sebenarnya?” Pandangan lelaki itu beralih kepadanya.

“Awak ni siapa? Sepupu yang mana pulak?” Lelaki itu kelihatan kurang senang dengan kedatangan Wes. Wes dan Fauzan berpandangan sebentar.

“Wes, ini Adam. Kawan lama Qis.” Fauzan mengenalkan. Wes menghulurkan tangan untuk bersalam. Lelaki itu menyambut dengan kasar.

“Saya Wes.” Wes menjungkitkan keningnya tanda kurang senang dengan sikap Adam. “Ada apa hal awak nak jumpa dengan Qis?”

“Itu bukan urusan awak,” jawab lelaki itu bosan.

“Excuse me! Apa-apa saja berkenaan dengan Qismyna adalah tanggungjawab saya.” Wes bersuara tegas. “Tentu ada sebab kenapa Qis tak nak berjumpa dengan awak. Kalau ada apa-apa yang mustahak, awak boleh berbincang dengan saya?”

“Awak siapa dengan Qis? Penting sangat ke tanggungjawab awak tu?!” Kesabaran lelaki itu kembali hilang. Dia berpaling pada Fauzan lalu ingin melangkah semula ke dalam mencari Qismyna. Pantas tangan Wes memegang lengannya.

“Awak nak tahu siapa saya?” Wes merenung lelaki itu tajam.

“Wes!” tiba-tiba Qismyna muncul. Dia menghampiri mereka bertiga. “Baiklah. Kita pergi.” Dia menarik tangan Adam dari genggaman Wes. Wes merenungnya tajam.

“Awak tunggu saya di kereta. Nanti saya datang.” Adam tersenyum. Sempat dia melemparkan jelingan tajam pada Wes sebelum berlalu pergi.

“Tolong jangan masuk campur urusan saya!” Qismyna bersuara perlahan namun keras nadanya. Wes hanya membontoti Qismyna yang berlalu pergi dengan ekor matanya. Fauzan di sebelah menepuk-nepuk bahunya memintanya bersabar.

Qismyna benar-benar rasa tidak selesa dengan apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi apabila Adam beberapa kali datang mencarinya di cafe. Dia tidak mahu reputasinya menjadi buruk dan pelanggannya tidak mahu datang ke sini lagi.

Dia hairan mengapa lelaki itu masih mencarinya. Tidakkah dia tahu bahawa Qismyna kini telah pun mendirikan rumahtangga.

Walaupun sebentar tadi Wes hampir mengenalkan dirinya adalah suami Qismyna, namun Qismyna sempat menghalang. Bagi Qismyna, biarlah orang mengetahui dia telah berumahtangga tetapi dia tidak mahu mereka tahu siapa suaminya.



QISMYNA melempar tas tangannya dia atas katil lalu menghempas tubuhnya kasar ke atas tilam. Matanya melirik jam di dinding. Hampir menunjukkan tepat jam sembilan malam. Kelibat Wes masih belum kelihatan.

Qismyna bangun lalu mencapai tuala untuk membersihkan dirinya. Selesai bersolat dia turun ke bawah. Kelihatan Zuril berseorangan di ruang tamu sedang leka menonton televisyen.

Matanya melirik di setiap genap rumah itu. Sunyi. Ibu dan ayahnya juga keluarga mertuanya tidak kelihatan.

“Mana yang lain?” tanya Qismyna. Zuril mengalihkan pandangannya dari peti televisyen. Dia mengerutkan keningnya.

“Oh......” Zuril yang tadinya tidak mengerti siapa yang dimaksudkan Qismyna kini mengerti. “Diorang semua keluar. Makan ikan bakar.”

“Zuril tak ikut ke?” Qismyna menghampiri lalu duduk di sebelah Zuril. Zuril mengalihkan pandangan sebentar pada Qismyna lalu kembali menghadap peti televisyen.

“Tak. Zuril baru balik dari kelas. Diorang semua dah keluar dari petang tadi.”

“Lambat Zuril balik. Ada kelas tambahan ke?” Qismyna mencapai surat khabar pagi tadi dan membelek-beleknya sebentar.

“Tak. Cuma study group je.” Pandangannya kembali semula pada cerita yang tertinggal tadi. Qismyna meletakkan surat khabar di tepi.

“Cerita apa?”

“Fast And Furiuos,” jawab Zuril ringkas.

“Lumba haram?” tanya Qismyna sambil matanya di jatuhkan di kaca televisyen. Zurin hanya mengangguk.

Qismyna mengetap bibir. Matanya masih melirik ke kaca televisyen namun fikirannya melayang mengingati peristiwa petang tadi. Dia tertanya sendiri apa yang di buat Wes di cyber cafenya siang tadi. Atas urusan apa Wes ke sana?

Walaupun dia telah mengetahui Wes adalah seorang pengurus besar di Visma Corporation dan bekerjasama dengan HappyWebCafe, namun dia tidak pernah memberi kebenaran Wes untuk menjejak kakinya ke sana.

Kemudian ingatannya melayang mengingati pertemuannya dengan Adam. Selepas berlaku pertengkaran itu mereka ke Balik Pulau. Di atas bukit di mana cinta mereka pernah termeterai suatu ketika dulu. Dia memang rindukan suasana begini. Berdua-duaan dengan Adam. Tapi entah mengapa hari itu, dia tidak merasa selesa bersama dengan Adam.

Mungkinkah perasaan ini hadir kerana dia telah menjadi seorang isteri? Mungkin juga Tuhan mewujudkan perasaan ini agar dia tahu batas-batas seorang isteri bersama lelaki lain selain suaminya.

Mungkin juga benar apa yang dirasakan. Dia memang tidak selesa selama berada bersama lelaki itu. Tetapi lebih menyakitkan hati apabila Wes tiba-tiba sahaja muncul.

Kehadiran Wes di sana benar-benar menyesakkan pernafasannya. Dia tidak menyangka Wes akan mengekori mereka berdua. Kemudian, pertengkaran yang berlaku di HappyWebCafe bersambung semula di sana. Mujurlah, tidak ada sesiapa melainkan mereka bertiga.

“Rina tahu kau datang sini?” Sengaja dia bertanya soalan itu untuk melihat reaksi Adam. Adam diam seketika sebelum bersuara.

“Untuk pengetahuan kau, aku dan Rina tak de apa-apa lagi. Ikatan pertunangan kami dah pun putus.” Qismyna kelihatan sedikit keliru mendengarnya. Ikatan pertunangan? Bukankah sewaktu dia dan Rina bertengkar dulu, wanita itu mengatakan mereka berdua sudah berkahwin?

“Kau dan Rina belum berkahwin?” Qismyna mengerutkan keningnya.

“Belum. Rina berbohong hari itu,” ujar Adam dengan bersungguh-sungguh. Qismyna merasa ragu dengan kata-kata Adam.

“Tapi kenapa kau tak menentang waktu dia berkata begitu?” bertanya lagi. Walau pun dia tiada hak untuk bertanya soalan itu, namun dia mahu Adam berterus-terang dengannya. Dia penat dengan segala tindak-tanduk Adam selama ini. Jadi dia perlu tahu kebenaran agar lelaki itu tidak lagi mengganggunya.

“Aku cuma tak nak keruhkan keadaan. Aku tahu, apa yang berlaku hari itu sedikit sebanyak menjejaskan reputasi kau.”

“Jadi, apa yang berlaku hari ini tak menjejaskan reputasi aku?” sindir Qismyna. Adam diam lagi.

“Aku minta maaf. Aku cuma mahu hubungan kita seperti dulu.”

“Semua tu dah menjadi kenangan yang tak mungkin berulang, Adam.” Qismyna memeluk tubuhnya seraya berpaling dari memandang Adam. “Sekali pun kau dan Rina dah berpisah, untuk aku kembali pada kau seperti dulu......” Qismyna menggelengkan kepalanya. “...mustahil.....”

“Kenapa? Tak de langsungkah ruang kemaafan untuk aku Qis?” Adam bersuara sayu. Qismyna berfikir sebentar. Nampaknya, Adam masih belum mengetahui statusnya lagi.

“Maaf, Adam. Kita memang tak boleh kembalikan semula kenangan silam. Aku bukan seperti yang kau sangka.....” Mengapa terasa berat untuk dia mengatakan kebenaran. “......Aku sebenarnya....dah kahwin.”

Adam terkesima sebentar. Sukar untuk dia menerima kata-kata Qismyna. Dia terdiam sebentar. Tidak.....tak mungkin Qismyna telah berkahwin. Adam pasti, ini pasti helah gadis itu agar dia tidak mengganggunya lagi. Adam kembali tersenyum.

Dia memberanikan diri menyentuh tangan Qismyna. Qismyna tidak menepis. Walau pun tidak merasa selesa dengan sentuhan Adam, namun dia tidak tahu mengapa dia tidak cuba menarik tangannya dari pegangan lelaki itu. Lelaki itu menyetuh pipi Qismyna dan menarik wajah Qismyna agar memandang ke matanya. Qismyna hanya menuruti.

“Kau masih cintakan aku.” Adam bersuara pasti. Lantas Qismyna menarik tangannya dan bergerak menjauhi lelaki itu. Dia menyumpah-nyumpah dirinya di dalam hati. Mengapa dia begitu bodoh membiarkan lelaki itu menyentuh dirinya sehingga lelaki itu membuat andaian sebegitu.

‘Berdosanya aku membiarkan lelaki ini menyentuhku.’ Dia menghembus nafas kekesalan.

Adam yang berdiri di belakangnya hanya memerhati. Memberi ruang kepada gadis itu sebentar. Setelah agak tenang, Qismyna berpaling memandang Adam kembali. Di gagahkan dirinya untuk membalas renungan lelaki itu.

“Kau tak ada ruang di hati aku lagi Adam. Aku dah berumahtangga. Kenapa kau masih tak faham?”

“Kenapa Qis?” Adam berlembut. Qismyna membisu dan berpaling. Tiba-tiba saja Adam menghampiri dan terus memeluknya erat. Qismyna yang terkejut berasa lemas dalam pelukan lelaki itu.

Dia menolak tubuh Adam jauh darinya. Namun pelukan lelaki itu semakin kuat. Walau pun ikatannya dengan Wes adalah secara tak sengaja, namun dia masih tetap isteri kepada lelaki itu. Dan apa yang berlaku sekarang amat tidak menyenangkannya.

Sedang menolak tubuh Adam, tiba-tiba saja dia terasa tubuh Adam melayang dan terus menghempap bumi. Adam bangun lalu menggosok dagunya yang terasa pedih. Qismyna berpaling. Alangkah terkejutnya dia melihat kelibat Wes di situ.

“Awak! Apa yang awak buat kat sini?” suaranya meninggi. Sesungguhnya dia tidak suka Wes mengekorinya. Tanpa banyak bicara, Wes menarik tangan Qismyna agar mengikutinya. Adam yang melihatkan keadaan itu menjadi geram lalu bangun dan cuba menumbuk muka Wes.

Wes yang menyedari tindakan Adam pantas menepis dan menumbuknya sekali lagi di pipi kiri. Adam terkebelakang. Bibirnya berdarah.

“Aku tak rela engkau sentuh isteri aku!” Wes merenung tajam. Adam terdiam. Terkejut!

Tanpa memperdulikan Adam Wes terus menarik tangan Qismyna dan mengarahnya masuk ke dalam perut kereta. Qismyna hanya menuruti walaupun dalam hatinya menyumpah tindakan lelaki itu. Tetapi dalam masa yang sama dia berterima kasih kerana dia terselamat dari terus melakukan dosa.

Malah hatinya juga terusik apabila Wes berkata begitu. Dia tidak tahu mengapa dadanya berdebar-debar.

‘Aku tak rela engkau sentuh isteri aku!’ terngiang-ngiang kata-kata Wes itu di telinganya.

Sepanjang perjalanan Qismyna hanya berpeluk tubuh dan memandang ke luar. Wes juga membisu hinggalah dia menghantar Qismyna ke cafe semula.

“Kak!” Zuril menjerit sambil menggoncangkan badan Qismyna. Qismyna yang sedang mengelamun tersentap lalu memandang tepat ke wajah Zuril.

“Kenapa kakak ni? Berangan yek?” Zuril tersenyum mengejek.

“Suka hati akaklah nak berangan ke apa!” Qismyna cuba menyembunyikan wajahnya yang telah merah kerana malu dengan kelakuannya.

“Ingat malam pertama ke?” usik Zuril. “Maklumlah....kahwin tanpa cinta. Bila dah kahwin mesti romantik.” Zuril menggulungkan-gulungkan hujung rambutnya dengan hujung jari.

“Abang Wes tu romantik tak, kak?” Zuril berpaling memandang Qismyna. Qismyna memandangnya sekilas lalu melemparkan jelingan kurang senang dengan pertanyaan Zuril. Zuril menarik muncung panjang bila Qismyna langsung tidak memberi respon dengan soalannya.

Tiba-tiba kedengan suara orang berdehem di belakang mereka. Lantas mereka berpaling ke belakang. Wes menjeling sekilas lalu memanjat anak tangga menuju ke bilik. Zuril dan Qismyna berpandangan. Apakah gurauan Zuril tadi telah didengari oleh Wes? Dengan pantas Qismyna mengekorinya dari belakang, sempat dia menjeling Zuril yang tersengih-sengih memandangnya..

Sebaik saja sampai di bilik, Qismyna menutup daun pintu rapat-rapat. Dia mahu berbicara dengan Wes dan dia khuatir jika perbincangan itu berakhir dengan pertengkaran. Kerana itu dia menutup daun pintu rapat-rapat kerana dia tak mahu pertengkaran itu diketahui oleh sesiapa.

Wes memandang Qismyna sekilas. Qismyna berjalan dan duduk di birai katil sambil memeluk tubuhnya. Wes tidak memperdulikan Qismyna dan terus membuka baju dan masuk ke bilik mandi.

Selepas lima belas minit dia keluar dari kamar kecil itu. Qismyna masih lagi membatu seperti tadi. Setelah siap berbaju tidur Wes ingin terus menuju ke sofa dan tidur. Di situlah tempat tidurnya selepas mereka bertengkar dahulu. Namun tiba-tiba rasa kasihan berputik di hatinya. Dia tahu Qismyna ingin berkata sesuatu padanya. Lantas dia menghampiri dan melabuhkan punggungnya di sisi Qismyna.

“Awak ada sesuatu nak cakap ke?” Wes melembutkan suaranya. Qismyna menghela nafasnya seketika lalu berpaling. Memandang anak mata lelaki itu. Wes membalas renungannya. Tiba-tiba saja satu perasaan aneh menyelinap ke hatinya. Lantas dia memandang semula ke depan.

“Saya....” tiba-tiba saja suaranya bagaikan tidak mahu keluar dari kerongkong. Sedangkan sedari tadi dia menunggu kedatangan Wes untuk berbicara dengannya.

“Kenapa?” Wes mengerut keningnya. Qismyna berdiam diri sebentar. Cuba menenangkan hatinya.

“Saya tak suka awak masuk campur urusan peribadi saya.” Qismyna memejam matanya. Bukan ini yang ingin dikatakan sebenarnya. Wes mengeluh seketika.

“Saya tak de niat nak masuk campur urusan peribadi awak. Tapi selagi awak menjadi isteri saya, awak adalah tanggungjawab saya.”

“Saya bukan tanggungjawab awak. Saya tak mahu ada sebarang hubungan antara kita,” suaranya masih mendatar. Wes mengeluh seketika.

Tanpa menjawab dan memberi respon terhadap kata-kata Qismyna, Wes terus mengangkat punggungnya untuk pergi dari situ.

“Nanti!” panggil Qismyna. Langkah Wes terhenti. “Terima kasih....” Walau pun perlahan namun Wes masih dapat mengkap suara itu. Tanpa memandang belakang Wes berlalu ke tempat pembaringannya sambil tersenyum.

Sebenarnya, itulah yang ingin dikatakan Qismyna. Tapi entah mengapa perkara yang lain pula terkeluar dari mulutnya. Ya....memang berat untuk mengungkapkan perkataan itu lebih-lebih lagi kepada seseorang yang tidak disukai.

Sambil berbaring Wes berfikir. Persoalan yang bermain di fikirannya mengenai Qismyna, Adam dan Fauzan telah terjawab apabila dia berjumpa dengan Fauzan petang tadi. Tak disangka, dalam sikap keras hati dan degil yang diperlihatkan Qismyna, rupanya gadis itu adalah seorang pencinta yang sejati sehinggakan kekasih hati yang telah meninggalkannya masih belum dapat dilupakan.

‘Kisah kau seperti aku Qis. Kau bagaikan Farah yang aku tinggalkan. Dan aku ibarat Adam yang meninggalkan kau. Mungkinkah kerana itu Tuhan menentukan jodoh kita bersama untuk membalas setiap perbuatan aku?’

Saat Hati Merelakan 28

QISMYNA merenung siling pejabatnya. Entah apa yang difikirnya hingga pandangan matanya bagai menembusi siling itu. Tangan kanannya pula memusing-musing pen di atas meja.


Fauzan yang baru tiba langsung melabuhkan punggungnya berhadapan Qismyna. Kedatangannya langsung tidak mengganggu lamunan Qismyna. Lalu dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu benar-benar hanyut dalam lamunannya.

“Aku minta maaf Fauzan,” tiba-tiba Qismyna bersuara menyebabkan Fauzan mengangkat kepala.

“Kau tahu aku datang?” terkejut dia kerana menyangkakan gadis itu masih hanyut dalam anganannya. Qismyna mengalihkan badannya bertentang dengan Fauzan.

“Tak de jodoh kita Qis. Aku tak salahkan kau. Semuanya satu kemalangan. Lagi pun sekarang kau dah jadi isteri Wes.”

Qismyna mendengus marah. Dia tidak suka Fauzan menyebut tentang pernikahannya. Fauzan tahu Qismyna tidak dapat menerima apa yang berlaku. Tapi entah mengapa dia merasakan ada kesesuaian antara Qismyna dan Wes. Seolah-olah jodoh itu bagaikan satu hadiah dari Tuhan.

“Mak Ngah dan Pak Ngah masih marahkan aku ke?”

“Tidak.” Fauzan menggeleng. “Mereka dah terima hakikat. Mereka tahu kau dan Wes tak bersalah.” Masih kedengaran keluhan dari bibir halus itu. “Terimalah takdir ini dengan hati yang terbuka,” nasihat Fauzan.

“Lagi pun.....aku lihat semua orang merestui perkahwinan kau dengan Wes.”

“Kau.....langsung tak terkilan ke dengan apa yang berlaku?” Qismyna tidak berpuas hati. Bagaimana lelaki itu begitu tabah menerima bakal tunangnya dulu kini menjadi milik orang?

Walau pun perkahwinan ini amat mendera perasaan Qismyna namun dia bersyukur, sekurang-kurangnya perasaan bersalah kerana menipu hatinya dengan menerima Fauzan tidak lagi menghantui dirinya.

“Ya, memang aku terkilan. Tapi kita harus terima ketentuan Tuhan dengan hati yang pasrah. Dah bukan jodoh kita.” Ikhlas Fauzan berkata demikian.

“Dan aku harap...” Fauzan bersuara lagi. “Kau belajar menerima Wes dalam hidup kau. Aku kenal dia.” Qismyna diam seketika.

“Aku tak nak bercakap tentang dia.” Qismyna mengerling Fauzan.

“Nak tak nak....aku rasa....kau kena juga cakap dengan dia.” Lambat-lambat Fauzan menghabiskan ayatnya. Qismyna mengerutkan keningnya tanda tidak faham. “Sekarang ni, Wes ada kat depan pintu. Dia nak jumpa dengan kau.”

Pantas Fauzan bangun lalu membuka daun pintu. Terlihat kelibat Wes di depan pintu biliknya yang sedang tersenyum padanya. Senyuman itu kelihatan begitu sinis di mata Qismyna.

Fauzan melangkah keluar dan digantikan pula dengan Wes. Wes menutup daun pintu dengan rapat dan tanpa dipelawa dia terus duduk di kerusi berhadapan dengan Qismyna.

“Hai....” sapa Wes. Qismyna menjeling tajam lalu menjatuhkan pandangan matanya pada kertas-kertas kerja yang bertaburan di atas mejanya. Dia pura-pura tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu sedang hatinya sedang memberontak supaya menolak lelaki itu keluar dari biliknya.

“Saya tak suka awak datang kerja dalam cuti bulan madu kita.” Wes sengaja menyakitkan hati Qismyna. Qismyna jijik mendengar kata-kata Wes.

“Tolong sikit!” Qismyna menjeling lagi. “Kalau dengan awaklah, bukan cuti bulan madu tau tapi bulan racun!” Wes tergelak sedikit. Dia terasa kelakar apabila Qismyna berkata begitu. Qismyna mencebik. Meluat.

“Agenda untuk hari ni.....kita akan pergi berkelah di Batu Feringghi.”

Qismyna menghentak pen ditangannya. Dia benci apabila di arah begitu. Belum sempat dia membuka mulut, dengan pantas Wes menyuruh dia diam.

“Sebelum awak kata apa-apa, ada baiknya awak tengok kat luar tingkap.”

Qismyna memandang Wes dengan seribu pertanyaan. Tetapi kemudian dia bangun dan menuju ke tingkap lalu memandang ke luar.

Kelihatan tiga buah kereta di parkirkan di hadapan pejabatnya. Kereta-kereta itu memang dikenalinya. Kereta ayah, kakak dan abangnya. Dan di dalam kereta itu, seluruh ahli keluarganya termasuk keluarga mertuanya ada bersama. Kini dia mengerti.

“Awak ingat saya akan ikut awak kalau awak bawa mereka semua tu?!” keras nadanya.

“Tak....tak.....” Wes mengelengkan kepalanya. “Jangan salah faham. Bukan saya yang bawa mereka untuk pujuk awak. Saya tak de keinginan langsung nak keluar dengan awak.” Wes sengaja menyakitkan lagi hati Qismyna.

“Sebenarnya mereka yang rancang untuk berkelah dan saya dipaksa untuk datang bersama awak, okey.”

“Saya tak nak pergi. Kalau awak yang dipaksa, awak jelah yang pergi.” Qismyna duduk semula di kerusinya sambil membuka jadual kerjanya.

“Kenapa? Awak takut kalau awak keluar dengan saya.....sesuatu akan terjadi antara kita?” Wes cuba memancing keegoan gadis itu. Ya....gadis itu memang ego.

“Sesuatu? Sesuatu macam mana tu?” Qismyna bertanya keras. “Oo.......maksud awak, saya akan jatuh cinta pada awak?” soalan Qismyna dibalas dengan anggukan.

“Sorry.......setakat keluar dengan awak, saya takkan jatuh cinta. Malah, kalau awak keluar dengan orang gila pun belum tentu dia akan jatuh cinta dengan awak, tahu!”

“Memanglah. Orang gila mana ada perasaan.”

“Awak tu yang tak de perasaan!” Pantas Qismyna mencapai tas tangannya dan berlalu pergi tanpa menunggu Wes.

Sebaik saja dia sampai di bawah, dia terpaksa pula menaiki kereta bersama Wes. Sedangkan pada masa itu dia ingin menumpang Ariff memandangkan hanya Manisa sahaja yang menjadi penumpangnya. Ibu dan ayah mertuanya menumpang kereta ayahnya. Ibunya, Puan Suria juga bersama mereka.

Manakala satu lagi kereta diisi oleh Zainal, kakaknya, Almi, Zurin, Maria dan Lina. Tetapi Ariff menolak dengan alasan dia ingin berdua-duaan dengan Manisa. Dan Maya pula terpaksa berdua-duaan dengan Wes. Menyampah!



DIA berbaring di atas kerusi malas yang terletak di halaman depan rumah itu sambil matanya memandang jauh kepekatan malam yang tidak disinari dengan cahaya bulan dan bintang. Malam itu begitu kelam sekali berbanding dengan hari-hari yang lain.

Qismyna mengeluh. Dia sendiri tidak pasti ini keluhan yang ke berapa yang telah dilepaskan. Apabila mengenangkan perkelahannya pada hari itu, satu lagi keluhan dilepaskan.

Sedari kecil dia memang suka pada perkelahan. Tetapi perkelahan pada hari itu merupakan kenangan perkelahan yang terburuk sekali dalam hidupnya.

Tiada siapa pun yang sudi berdekatan dengannya. Zurin, sibuk bermain bola bersama si kembar. Ariff pula sentiasa di sisi Manisa. Mereka yang lain juga seperti tidak mengendahkannya. Hanya Wes saja yang rajin melayaninya.

Tetapi layanan yang diterima bukanlah layanan yang baik dan istimewa melainkan sindiran dan pertengkaran. Argh!!!! Lelaki itu memang setan!

Sedang dia asyik dengan lamunannya tiba-tiba dia merasakan seperti seseorang sedang memerhatikannya. Lantas dia berpaling dan mendapati Wes berada berdekatan dengannya. Dia bangun dan cuba untuk berlalu pergi dari situ.

Tetapi dengan pantas Wes menyambar pergelangan tangannya dan menggenggamnya kuat. Qismyna cuba menarik tangannya. Wes memegang dengan lebih kuat sehingga Qismyna terasa sakit.

“Lepaslah! Sakit!” Dia minta dilepaskan tetapi lelaki itu langsung tidak mengendahkan permintaannya. Malah Wes tersenyum sinis melihatnya.

“Sakit?!” tanya Wes dengan penuh sindiran. Qismyna cuba menarik lagi tangannya. Namun, genggaman lelaki itu begitu kuat.

Lantas Wes bangun dan berdiri berhadapan dengan Qismyna. Tubuhnya begitu hampir dengan Qismyna sehingga gadis itu terpaksa melangkah ke belakang sedikit. Tetapi Wes menarik tangannya sehingga dia terhenjak ke hadapan dan tubuhnya terkena dengan tubuh Wes.

Dia menolak tubuh Wes dengan tangan kanannya yang tidak dipegang lelaki itu.

“Awak.........nak apa?” tanya Qismyna dengan suara yang perlahan. Sebenarnya dia ingin menengking lelaki itu tetapi entah kenapa perlahan pula suara yang terkeluar. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba jiwanya bergetar. Dan bibirnya seperti tidak dapat berkata-kata. Dia cuba bertentang mata dengan lelaki itu. Tetapi aneh, kenapa dia tidak dapat berbuat demikian. Lantas matanya dialihkan ke arah yang lain.

Wes tersenyum. Dia terasa lucu melihat gadis itu yang kelihatan tidak begitu selesa berhadapan dengannya. Tapi, dia tidak tahu mengapa malam itu Qismyna kelihatan manis apabila berada dalam keadaan tak keruan seperti itu.

“Saya nak pulangkan ni.” Wes meletakkan sesuatu di dalam tangan Qismyna. Lantas Qismyna melihat apakah barang yang diberikan Wes. Handphone? Dia hairan bagaimana handphonenya boleh berada di tangan Wes.

“Macam mana.....” belum sempat Qismyna menghabiskan ayatnya pantas sahaja Wes menjawab.

“Awak tertinggal tadi. Jadi saya simpankan untuk awak.” Seperti mengetahui apa yang bermain di fikiran Qismyna, lantas Wes menerangkan keadaan yang sebenar.

Kemudian Wes melepaskan genggaman tangannya dan berlalu pergi dari situ. Qismyna masih lagi kelihatan terpinga-pinga. Sambil melangkah pergi, Wes tersenyum sumbing. Dia terasa seperti kemenangan berpihak kepadanya apabila berjaya membuat gadis itu gusar dan tak tentu arah.

Qismyna membelek-belek telefon bimbit ditangannya lalu menekan punat-punat telefon. Terasa ingin menghubungi Zila dan meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya. Andainya Zila berada di sini tentu mereka akan berkongsi masalah bersama-sama.

Qismyna mengerut dahinya. Semua nama yang ada di dalam phone book tidak dikenalinya. Dia menekan punat back untuk melihat wallpaper. Tetera gambar Wes.

Argh!!! Itu bukan telefon bimbitnya. Itu telefon bimbit milik Wes! Qismyna menggelengkan kepala. Terimbas semula kejadian tempoh hari di mana dia tertukar telefon bimbitnya dengan seorang lelaki ketika dia cuba melarikan diri dari Adam.

Ya.....Baru dia teringat. Lelaki itu.......Wes!!! Patutlah dia sering merasakan dia pernah melihat Wes sebelum ini.

Monday 22 February 2010

Hanya Dia 14

BAB 14
ZACK yang sedang sibuk dipejabat dikejutkan dengan berita kedatangan Pengarah Infera Emas. Bergegas dia mengemas dan bersiap sedia menantikan kedatangan orang kedua terpenting di dalam syarikat.
Tak lama kemudian interkom di mejanya berbunyi.
“Encik Zack, Encik Faris dah sampai dan on the way naik ke atas,” suara Sofia membuatkan Zack semakin tidak senang duduk.
Setelah itu Zack keluar bersama Sofea dan menunggu Fariz di depan lif. Tak lama kemudian lif VIP yang memang dikhaskan untuk tetamu dan golongan tertentu berhenti di depan mereka.
Sebaik sahaja lif terbuka, kelihatan Fariz melangkah keluar. Dia kelihatan tidak terkejut melihat kelibat Zack dan Sofia yang sedia menunggunya di situ. Sambutan sebegitu sentiasa diterimanya.
Zack dan Sofia mengiringi Fariz hingga ke dalam kamar kerja Zack. Sofia pula terus ke pantry dan membancuh dua gelas kopi untuk mereka dan kemudian menghantarnya.
“Silakan Encik Fariz,” pelawa Zack. Fariz mengangguk sambil tersenyum lalu meneguk sedikit kopi pekat itu lalu meletakkan semula cawan di atas meja. Matanya liar memandang kepada setiap sudut di kamar itu. Hanya sekadar untuk melewatkan masa.
“Maaf kalau kedatangan saya mengganggu urusan kerja Encik Zack,” Fariz memulakan bicara setelah agak lama menyepikan diri.
“Oh tidak....” Zack tersenyum sambil kepalanya digeleng. “Maaf kalau saya bertanya. Apa tujuan sebenarnya kedatangan Encik Fariz ke mari?”
Fariz memandang wajah Zack sebentar lalu tersenyum. Tubuhnya disandarkan ke kerusi untuk menyelesakan diri.
“Serasa saya sejak Encik Zack mula bekerja di sini kira-kira dua tahun yang lalu, belum pernah sekali pun saya datang melawat di sini.”
“Ya....” Zack tersenyum lagi. “Tapi kita biasanya bertemu di jamuan makan malam syarikat.”
“Hmm....tapi tak sempat untuk berkenalan dengan lebih rapat. Maklumlah, jamuan sebegitu terlalu ramai kakitangan yang hadir.” Kelihatan Zack mengangguk-angguk menyetujui kata-kata Fariz.
Dia sedia maklum. Orang seperti Fariz tidak mungkin mengenali dengan baik kesemua kakitangan di syarikat. Apatah lagi jika jamuan seperti itu yang dihadiri hampir semua kakitangan. Walaupun ada beberapa kali dia menyapa Encik Fariz dan Haji Ismail, mana mungkin mereka mengingatinya lagi.
“Tapi itu tidak bermakna saya tidak mengenali teraju utama di setiap anak syarikat dan juga ketua-ketua bahagian,” ujar Fariz seolah-olah dapat membaca fikiran Zack. Zack yang tergamam di awalnya kembali tersenyum.
“Oh ya......Kalau Encik Fariz mahu kesemua maklumat dan fail-fail yang berkaitan dengan kewangan Nusmefa Emas, saya boleh minta Sofea ambilkan.”
“Tak....tak perlu Encik Zack,” Fariz menegah. “Sebenarnya saya ada maksud lain.”
“Maksud Encik Fariz?”
“Tujuan kedatangan saya ke mari sebenarnya tak ada kena mengena dengan Nusmefa Emas.”
Fariz bingkas bangun lalu berjalan menghampiri jendela. Dia memerhatikan di luar jendela lalu memusing kembali tubuhnya memandang Zack.
“Saya datang ke sini kerana Maisara.”
Mendengar nama Maisara dengan tiba-tiba sahaja Zack bingkas bangun dan berdiri berhadapan dengan Fariz.

ZACK mendengus nafasnya kencang. Sebaik sahaja Fariz berlalu pergi habis segala fail-fail di atas mejanya dilempar untuk melempiaskan amarahnya.
Tak guna!!
Dia menumbuk cermin jendela dengan kuat. Terngiang-ngiang amaran Fariz di telinganya.
Ya! Memang benar Fariz berhak mengarah kepadanya. Tetapi bukan berkaitan soal hati! Hatinya miliknya. Tiada siapa yang boleh mengarahnya agar menjauhi Maisara!
Dia menghenyak tubuh di kerusinya dengan kasar. Kemudian dia bangun dan melangkah ke meja Sofea.
“Tolong kemaskan bilik saya!!” Keras arahan yang diberikan Zack sehingga bias membuatkan bahu Sofea terangkat kerana terkejut dengan suara lantang Zack.
Sebaik sahaja Zack berlalu keluar, ramai kakitangan yang bangun menghampiri Sofea. Masing-masing tertanya dengan sikap Zack yang tiba-tiba berang. Masing-masing membuat kesimpulan sendiri kenapa tiba-tiba Zack jadi begitu setelah kepulangan Fariz.

FARIZ masih lagi terdiam di dalam keretanya. Dia masih berfikir tentang kewajaran tindakannya memberi arahan kepada Zack agar menjauhi Maisara.
Dia tahu dia tidak berhak untuk berbuat begitu. Namun, dia harus pastikan Maisara hanya akan menjadi miliknya dan bukan orang lain. Lagi pula, dia perlu menjaga amanah arwah Suhana.
Maafkan aku Zack. Bukan maksud ku untuk mementingkan diri. Semuanya kerana Suhana dan Aiman.

Friday 19 February 2010

Saat Hati Merelakan 27

WES berjalan mengelilingi kawasan rumah itu. Setibanya di belakang halaman, dia terlihat sepohon pokok mangga telur yang besar dan berbuah banyak. Di bawah pohon itu terdapat sebuah buaian besi.


Wes menghampiri dan melabuhkan punggungnya di atas buaian itu. Dia melihat kawasan sekeliling yang dipenuhi dengan bunga-bunga kertas yang berwarna-warni. Tenang dan mendamaikan.

Di waktu pagi begini, matahari masih belum menampakkan wajahnya. Jalanraya tidak begitu banyak kenderaan yang lalu lalang.

Dia bercuti selama seminggu. Tapi dia sendiri tidak tahu agenda yang perlu diisi selama percutiannya. Keluarganya akan pulang lusa. Dia ada terfikir untuk membawa mereka berjalan-jalan melihat seluruh Pulau Pinang. Apatah lagi mengenangkan adik-adiknya tidak pernah menjejakkan kaki di negeri itu.

Lina dan Maria, dua adik kembar seirasnya yang begitu manja dengannya. Mereka baru berusia enam belas tahun. Malah jarak umur mereka tiga belas tahun. Mungkin kerana itu, adik-adiknya rapat dengannya. Malah dia juga amat menyayangi mereka.

Sepintas kemudian dia teringat kepada isterinya, Maya Qismyna binti Malik. Cantik, tetapi agak pemarah dan kurang sabar. Mungkin kerana membenci sebab itulah dia berkelakuan begitu padanya. Ya, mana-mana gadis jika berada di tempat Qismyna akan berkelakuan yang sama dengannya.

Tetapi pada pandangannya, Qismyna adalah seorang gadis yang berterus-terang dan tak menyembunyikan perasaannya. Ini kerana secara terus terang gadis itu memberi layanan yang buruk kepada keluarganya. Tetapi syukurlah ibu dan ayahnya mengerti. Malah mereka menasihatinya agar sentiasa bersabar dengan sikap Qismyna. Ibu dan ayah mertuanya juga sering memintanya bersabar.

Segalanya kebetulan. Perjalanan hidup yang tidak dirancang sama sekali. Dalam perancangannya hanya Farahymma yang akan menjadi suri hidupnya. Namun keadaan tak mengizinkan begitu.

Seketika kemudian fikirannya merewang mengimbas semula malam kelmarin yang sepatutnya menjadi malam pertama impian setiap pasangan yang berumahtangga. Namun, malam itu berlalu dengan pertengkaran antara dia dan Qismyna.

Selepas saja dia melangkah keluar dari bilik mandi, Qismyna telah menghilangkan diri. Dia tidak pasti Qismyna di mana. Selepas bersiap, niat di hatinya ingin turun ke bawah mencari Qismyna. Belum sempat dia melangkah gadis itu telah muncul semula dengan berbaju T dan track bottom. Mungkin dia telah mandi di bilik air bawah.

Mereka bertentang mata sebentar sebelum Qismyna melemparkan jelingan padanya dan berlalu membuka almari. Dia hanya memerhatikan saja setiap pergerakan Qismyna.

Maya mengeluarkan comforter dan menghamparkannya di bawah. Dua biji bantal di sediakan sekali. Lalu dia menghadap semula pada Wes. Wes yang sedarinya hanya memerhati berpeluk tubuh seolah-olah menanti apa yang ingin di katakan Qismyna.

“Awak tidur bawah,” Qismyna terus melabuhkan badannya di atas tilam dan berpaling ke belakang.

“Kenapa pula saya kena tidur bawah. Kalau awak tak suka saya tidur dengan awak, awak jelah yang tidur kat bawah.” Tanpa memperdulikan reaksi Qismyna, Wes terus meletakkan badannya di sebelah Qismyna. Dengan pantas Qismyna terus duduk dan merenung tajam pada Wes. Wes yang tidak mahu mengalah, ikut duduk dan membalas renungan Qismyna.

“Awak memang melampau!” Qismyna bersuara geram walau pun perlahan. Mungkin dia tidak mahu mengganggu ketenteraman orang di dalam rumah itu yang barangkali sudah pun lena di buai mimpi.

“Awak jangan mimpilah nak sentuh saya. Untuk pengetahuan awak, hanya orang yang saya sayang saja yang layak berada di atas katil ini. Bukan awak!”

“Siapa? Kekasih? Tunang? Oh....lupa pulak. Ex-bakal tunang, jadi kekasih lah, kan?” Wes menepuk dahi. Qismyna mencebik geram. “Apa hak kekasih awak? Saya suami awak tahu.” Wes tersenyum sinis.

‘Inilah masanya untuk menunjukkan kuasa sebenar seorang suami.’ Wes tersengih lagi. Mungkin kerana geram, Qismyna bingkas turun dari katil.

“Hanya orang yang saya cintai saja layak manyentuh tubuh saya, faham!” Kali ini suaranya agak tinggi. “Walau pun kita telah bernikah, tapi bagi saya awak bukan sesiapa dalam hidup saya.”

“Awak pun bukan sesiapa dalam hidup saya,” balas Wes kemudian. “Saya ada pilihan hidup sendiri. Seseorang yang jauh lebih baik daripada awak.”

“Kalau macam tu, tak susah. Lepaskan saya!” Qismyna merenungnya tajam. “Awak sebenarnya dah rancang semua ni. Awak memang sengaja nak musnahkan hidup saya, kan?” Wes pura-pura tidak mengendahkan Qismyna.

Qismyna yang melihat kelakuan Wes yang tidak mengendahkannya merasa amat marah dan geram. Lelaki itu seperti tembok yang berdiri tegak tapi tidak mempunyai telinga. Kemudian dia tersenyum. Dia mendapat akal.

“Atau.....awak sebenarnya dah jatuh cinta dengan saya? Sebab tulah awak rancang semua ni. Supaya awak boleh bersama dengan saya.” Dia tersenyum sinis.

“Saya jatuh cinta pada perempuan yang sombong macam awak? Perempuan yang tak tahu mengucapkan terima kasih bila ditolong?” dia ketawa mengejek. “Jangan-jangan awak takut kalau kita berkongsi katil, awak akan jatuh cinta dengan saya dan merayu pada saya jangan ceraikan awak.” Wes sengaja membakar kehangatan perdebatan mereka.

“Tolong....sikit! Setakat berkongsi katil tak memungkinkan saya untuk berkongsi hati dengan awak!” Qismyna begitu yakin dengan setiap pengucapannya. “Kalau saya jatuh cinta dengan awak, saya akan potong rambut saya hingga paras telinga.”

Pandangan mata Wes jatuh pada rambut lurus Qismyna yang melepasi paras bahu. Maya memiliki rambut lurus yang cantik semulajadi dan kelihatan lembut. Sayang jika rambut itu dipotong.

‘Ah...tak mungkin aku akan lakukan itu. Adam tak suka aku berambut pendek. Rambut ku mesti panjang. Sekurang-kurangnya melepasi paras bahu.’

Wes kaget dengan kata-kata Qismyna. Seolah-olah syarat untuk jatuh cinta sesama mereka akan diikat dengan perjanjian. Tapi bunyinya seperti menarik juga. Nampak gayanya ada pertandingan dalam rumahtangga ‘paksanya’. Wes termenung seketika kemudian bersuara.

“Baiklah, saya pula akan hias setiap sudut bilik ini dengan bunga matahari. Itu tandanya saya telah jatuh cinta pada awak.”

‘Jangan harap. Sampai mati pun aku takkan hiaskan bunga matahari untuk kau. Aku hanya akan hiaskan jika yang menjadi suri hidupku adalah Farah kerana itu adalah bunga kegemaranku. Tapi sayang, Farah lebih menyukai mawar merah. Lagipun, aku bukannya reti bab hias-menghias ni.’

Qismyna terkejut dengan balasan dari Wes. Dia sendiri kurang pasti, adakah dia penyebabnya hingga perjanjian ini termeterai? Ah...nampak gayanya memang dia perlu menunggu lebih lama lagi untuk dibebaskan. Tapi untuk menarik balik....Tak mungkin! Ego menguasai diri. Dia takkan kalah dalam pertarungan ini.

‘Apa dia ingat aku akan jatuh cinta dengan tidur sekatil dengan dia?!’

Qismyna mematikan pertengkaran mereka dengan melabuhkan semula badannya di atas katil. Sempat dia memberi amaran agar Wes tidak sesekali menyentuh dirinya. Wes turut berbaring di sebelahnya.

Namun, dia tidak terus tidur di situ. Setelah pastikan Qismyna telah lelap, dia bangun dan tidur di atas comforter yang disediakan Qismyna sebentar tadi. Dia sebenarnya tak ingin bermusuh dengan isterinya itu, tapi ada kalanya dia geram kerana isterinya sukar di bawa berbincang. Walau pun mereka baru bernikah selama sebulan, namun sedikit sebanyak Wes dapat membaca sikap Qismyna.

Wes menghembus nafas panjang. Dia memandang mentari pagi yang mula menampakkan dirinya. Wajah Farahymma muncul bersama sinaran mentari sambil tersenyum padanya.



QISMYNA melangkah menuruni satu persatu anak tangga. Di pertengahan, dia menghentikan langkah kakinya. Dia melihat ibunya dan ibu mertuanya sedang rancak berborak. Dia membuang pandangannya ke luar rumah.

Kelihatan Zurin sedang berbual mesra dengan Maria dan Lina. Sesekali mereka ketawa gembira. Qismyna menghembuskan nafas. Dia terasa sunyi di dalam rumah yang besar dan dihuni ramai orang itu. Dia terasa disisihkan dari mereka.

“Qis......mari turun, nak.” Terdengar suara halus menegurnya. Dia berpaling.

Puan Wati tersenyum padanya lalu menganggukkan kepala seperti mengajak Qismyna mendekatinya. Pandangan Qismyna beralih kepada Puan Suria.

Puan Suria memberi isyarat agar Qismyna menuruti permintaan ibu mertuanya. Qismyna mengetap bibir. Lambat-lambat dia menghampiri mereka lantas duduk di samping ibunya.

“Lusa ibu dah nak balik Sabah,” ujar Puan Wati. “Nanti kalau ada masa Qis datanglah melawat ibu di Sabah dengan Wes. Ibu teringin nak kenalkan Qis dengan kawan-kawan ibu.”

“Ibu dan ayah mertua Qis ni asalnya orang Kuantan. Tapi dah hampir sepuluh tahun menetap di Sabah,” beritahu Puan Suria. Qismyna mengangkat keningnya.

Patutlah Wes dan juga keluarganya yang lain begitu fasih berbahasa Melayu semenanjung. Qismyna cuma tersenyum.

“Tapi, tak lama lagi, ibu dan ayah akan kembali semula ke semenanjung,” beritahu Puan Wati lagi.

“Bila?” Walaupun tidak suka, Qismyna cuba juga untuk berinteraksi dengan wanita itu. Puan Wati pula merasa senang dengan pertanyaan Qismyna. Rasanya, inilah pertama kali Qismyna berbual dengannya.

Sewaktu mula-mula dia mendapat berita tentang perkahwinan yang memalukan antara anaknya dan Qismyna, mereka sekeluarga merasa amat marah.

Namun, setelah Tuan Malik dan Puan Suria menjemputnya datang ke sini, mereka cuba untuk membina hubungan baik dengan keluarga itu. Lebih-lebih lagi bila mengetahui apa yang berlaku adalah kerana salah faham. Mereka menjadi simpati kepada Wes dan juga Qismyna kerana terperangkap dalam keadaan itu.

Mungkin Wes tidak merasakan apa-apa. Tetapi bagaimana dengan gadis seperti Qismyna. Tentu saja gadis itu lebih tertekan berbanding dengan anak mereka.

Setibanya mereka di sini, mereka menjadi lebih terkejut apabila melihat Manisa juga berada di sini. Rupa-rupanya, Manisa telah bertunang dengan anak Tuan Malik. Patutlah sewaktu Tuan Malik sekeluarga menjemputnya di Lapangan Terbang, dia merasakan mereka pernah bersua sebelum ini.

Syukurlah, hubungan Wes dan Manisa kelihatan lebih baik berbanding dulu. Dahulu, Wes dan Manisa tidak boleh bersama. Bila bersama mereka akan bertengkar. Tetapi kini mereka boleh berbual dan berbincang bersama. Malah mereka kelihatan seperti kawan yang rapat.

“Enam bulan lagi, ayah akan dinaikan pangkat dan kami akan berpindah ke semenanjung. Tapi tak tak tahu lagi di mana.” Puan Wati dan Puan Suria tersenyum sesama sendiri. “Sebelum kami berpindah, ada baiknya Qis ke Sabah. Dapatlah juga Qis bermalam di rumah ibu sebelum kami berpindah ke sini.”

“Kalau boleh, Wati mintalah Wahid jumpa dengan bosnya dan minta supaya dia ditukarkan ke sini,” cadang Puan Suria.

Qismyna mengusap lehernya. Dia rasa tak senang dengan cadangan ibunya. Andai kata mertuanya berpindah ke sini, tentu hidupnya akan menjadi lebih huru-hara.

“Tak tahulah, kak. Tapi Wati ada dengar cerita yang Abang Wahid akan ditukarkan ke Kuala Lumpur.” Puan Wati mengetap bibir. “Tapi tak pe, nanti Wati minta Abang Wahid berbincang dengan bosnya.”

Puan Suria tersenyum mendengar persetujuan Puan Wati. Dia gembira seandainya mereka berpindah ke sini. Tentu hubungan keluarga ini semakin rapat. Apatah lagi bila mengingatkan Puan Wati sekeluarga adalah satu-satunya besan yang dia ada.

Zainal, menantunya yang berkahwin dengan anak perempuannya Almi adalah anak yatim piatu dan tiada saudara mara. Mengenangkan Zainal dan Almi, dia merasa sedikit kesal. Walau pun mereka telah mendirikan rumahtangga hampir dua tahun, namun tanda-tanda anaknya itu akan melahirkan zuriat masih belum ada.

“Mak.....ibu....” panggil Qismyna. Puan Wati tersenyum gembira mendengar panggilan ibu dari Qismyna. “......Qis nak ke luar dulu. Ambil angin sekejap.”

Puan Suria dan Puan Wati tersenyum sambil pandangannya mengekori Qismyna yang berjalan ke belakang.

Qismyna mengaturkan langkahnya ke dapur. Dia melihat pintu belakang yang terbuka lalu menuju ke situ. Di pintu itu dia berdiri dan matanya liar melihat-lihat siapa yang berada di halaman belakang.

Matanya menangkap susuk tubuh seseorang yang sedang berhayun di buaian. Dia pasti, itu tentu Wes. Hanya dia satu-satunya lelaki yang masih berada di rumah itu memandangkan Tuan Malik dan Ariff sudah ke pejabat. Ayah mertuanya pula, Encik Wahid juga tiada kerana mengikuti mereka untuk melawat pejabat.

Dia berpaling untuk melangkah ke dalam. Tetapi tiba-tiba dia terdengar satu suara kasar menegurnya. Dia berpaling ke belakang. Wes berdiri tidak jauh darinya.

“Saya ada hal sikit nak bincang dengan awak.”

Maya berkira-kira perlukah dia menurut permintaan Wes atau pun berlalu begitu sahaja. Akhirnya, kakinya melangkah ke luar dan duduk di atas buaian. Wes menghampiri Maya dan duduk di sisinya.

Maya memeluk tubuh sambil pandangannya berpaling dari melihat lelaki di sebelahnya.

“Bincang apa?” tanyanya dengan kasar.

“Cuti.....saya nak bincang pasal cuti. Kita cuti seminggu, kan? Jadi, apa rancangan awak.”

“Awak panggil saya sebab nak bincang pasal hal ni?” Qismyna mencebik mukanya. “Rancangan saya tak de kaitan dengan awak. Macam mana awak nak uruskan cuti awak, terpulang kepada awaklah.” Qismyna menjeling sekilas pada Wes sebelum melangkah bangun meninggalkan lelaki itu.

Wes membontoti langkah Qismyna dengan matanya. Lalu dia menggeleng-gelengkan kepalanya dengan tindakan gadis itu.

“Degil!” Wes mendengus geram.

“Apa?!” tiba-tiba Qismyna muncul semula.

Wes agak terkejut melihat Qismyna masih di situ. Sangkanya Qismyna telah pun melangkah masuk ke dalam rumah.

Qismyna menghampiri lelaki itu dan berdiri tegak di depannya sambil memeluk tubuh. Qismyna mengangkat-ngangkat keningnya. Wes mengerutkan keningnya lalu mengangkat-ngangkat semula keningnya pada Qismyna.

“Apa awak cakap kat saya tadi?! Berani mengata belakang tapi depan senyap!”

“Heh!” Wes ketawa sinis. “Awak ingat saya takut dengan awak?!” Tangan kirinya mencekak pinggang. “Saya cakap awak degil! De....giiiil!!!”

Qismyna mengetap bibir menahan rasa geram. Dia mencekap pinggangnya sambil matanya terjegil memandang Wes. Wes rasa ingin ketawa melihat gadis itu tetapi dia menahan tawanya.

“Saya degil?! Suka hati awak je nak nilai orang. Awak tu kenal sangat ke dengan saya?” Qismyna menjeling. “ Baru kahwin sebulan dah berlagak,” ujarnya perlahan tetapi dapat ditangkap oleh Wes.

“Sebulan tu dah cukup untuk saya kenal awak. Degil! Sombong!” Wes sengaja menyakitkan hati Qismyna. Qismyna mengetap bibir menahan rasa marah.

“Saya malaslah nak layan awak. Saya nak pergi kerja. Awak habiskanlah cuti awak sorang-sorang.” Qismyna terus berlalu pergi.

Saat Hati Merelakan 26

ZILA menimang-nimang bayi perempuannya yang dinamakan, Siti Aisyah sempena nama isteri Nabi Muhammad s.a.w. Bayi perempuan yang baru berusia dua puluh hari itu berkulit cerah dan banyak menyerupai ayahnya, Johan.


Setelah menyusukan bayinya, Zila mendodoi bayi perempuannya sehingga tidur. Kemudian, dia mencapai telefon bimbit untuk menghubungi Qismyna. Lama rasanya dia tidak berhubungan dengan Qismyna. Kali terakhir dia menelefon sahabatnya itu ketika dia selamat melahirkan Siti Aisyah.

Qismyna juga tidak menghubunginya. Mungkin gadis itu sibuk untuk hari pertunangannya. Memang Zila sengaja melefon Qismyna hari ini kerana hari ini adalah hari pertunangan Qismyna dan Fauzan. Zila tesenyum gambira apabila panggilannya dijawab.

“Apa khabar kau? Tentu sibuk dengan majlis pertunangan, kan?” ujar Zila setelah memberi salam.

“Maaflah. Sebab tak sempat tanya khabar kau. Anak kau macam mana? Sihat? Kau sihat?” Kedengaran suara ceria Qismyna dibalik sana apabila mendapat panggilan darinya.

“Alhamdulillah......semuanya sihat. Aku ni pun dah semakin sihat.” Zila tertawa gembira. “Johan bukan main suka. Balik saja kerja, anak yang ditanya. Langsung tak rasa letih berulang alik dari Penang ke sini.” ujar Zila. Qismyna tersenyum mendengar kegembiraan sahabatnya.

“Maaflah Zie. Aku belum ada kesempatan melawat kau dan ‘anak saudara’ aku tu,” ujar Qismyna dengan rasa terkilan. Memang dia teringin sekali melihat bayi Zila, namun masalah yang menimpanya amat menghimpit perasaan.

“Tak pe......aku faham. Kau jangan risaukan aku. Nanti dah habis pantang, kau boleh melawat aku di rumah nanti.” Zila tersenyum. “Macam mana dengan majlis pertunangan kau? Dah selamat ke? Maaflah aku tak dapat tolong kau siapkan hantaran.”

Qismyna mengeluh mendengar pertanyaan Zila. Keluhan yang perlahan itu, jelas kedengaran di telinga Zila. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu.

“Kenapa Qis? Kau masih tak dapat terima Fauzan dalam hidup kau?” tanya Zila. “Biar kita memilih orang yang mencintai kita dan rela berkorban demi kita daripada orang yang kita cintai tetapi tak tahu menghargai kita.”

“Bukan itu masalahnya.....” Qismyna bersuara lemah.

“Habis tu kenapa?” tanya Zila dengan penuh kerisauan.

“Aku dah pun kahwin.”

“What?!!” Zila terkejut. Dahinya berkerut. Tetapi tiba-tiba dia ketawa. “Kenapa? Fauzan dah sabar sangat nak jadikan kau isteri dia? Kelakar betullah korang berdua ni. Aku ingatkan hari ni korang bertunang, rupanya kahwin terus!” Zila mengusik Qismyna sambil tertawa senang.

“So, sekarang cerita sikit kat aku kenapa kahwin tergesa-gesa sangat ni,” pinta Zila sebaik sahaja tawanya reda.

“Aku......aku kena tangkap basah.” Terasa seperti Qismyna menelan suaranya sendiri.

“What?!!” Kali ini Zila yang sedang duduk terus terbangun sambil mulutnya ternganga luas.

“Tapi itu semua salah faham! Aku tak buat apa-apa pun dengan lelaki tu! Dia cuma tolong aku je!” suara Qismyna mulai serak. Airmatanya mula hendak mengalir.

“Lelaki tu? Siapa?” Zila mulai keliru. Akhirnya Qismyna menceritakan satu persatu masalah yang menimpa dirinya. Zila yang mendengar merasa sebak dengan nasib yang menimpa Qismyna.

Tak disangka, hari yang disangkakan hari pertunangan Qismyna dan Fauzan bertukar menjadi majlis perkahwinan Qismyna dan lelaki yang dikenali sebagai Wes.

“Malam tu jugak aku dinikahkan dengan lelaki tu. Majlis hari ni bagi menggantikan majlis pertunangan aku dengan Fauzan untuk menutup malu keluarga,” cerita Qismyna sebelum menamatkan perbualan. Simpati dia mendengar suara Qismyna yang menangis sewaktu bercerita padanya.

Zila termangu sebentar sebaik sahaja mematikan talian. Dia tak menyangka nasib Qismyna akan jadi begitu. Dia sentiasa mengharapkan Qismyna akan menerima Fauzan dalam hidupnya dan melupakan Adam. Tetapi lain pula jadinya.

Jiwanya benar-benar kacau dengan masalah Qismyna. Bagaimana dia dapat menolong sahabatnya itu? Dia sendiri berada jauh dari Qismyna untuk menenangkan gadis itu. Tiba-tiba dia teringatkan Laila, kakak angkat Qismyna.

Qismyna pernah menemukan dia dengan Laila satu ketika dulu. Walaupun mereka berdua tidak rapat, tetapi sesekali mereka ada juga berbalas khabar.

Dengan pantas Zila menghubungi Laila. Dalam hatinya hanya ingin meminta pertolongan Laila menemani Qismyna yang sedang kesedihan kerana dia tahu Qismyna sedang keseorangan.

Selepas berbual seketika dengan Laila dan menceritakan peristiwa yang menimpa Qismyna, Zila mematikan talian. Sangkaannya benar, Qismyna tidak menceritakan masalahnya pada Laila. Dan Laila pula tidak dapat membantu Qismyna kerana dia berada di Cameron Highland mengikuti suaminya berkursus.

Zila mengeluh panjang. Bagaimana dia dapat membantu Qismyna?

“Maafkan aku, Qis.”



QISMYNA menghempas tubuhnya di atas katil empuk itu. Dia memandang sekeliling. Melihat pada setiap hiasan bunga-bungaan yang memenuhi sekitar ruangan bilik yang telah dihuninya sekian lama, pada kain cadar yang beropol, berwarna kuning keemasan.

Kini dia keseorangan di dalam biliknya sendiri yang kelihatan terlalu asing. Bilik yang tidak sepatutnya dihuni dan dikongsi bersama lelaki yang tidak dikenali. Bilik yang kini menjadi milik perkongsian tanpa kerelaan. Argh! Kenapa semua ini terjadi?!

Dia bangun dan bergerak perlahan menghampiri cermin antik yang tergantung di dinding. Dia melihat dirinya sendiri yang berbaju kebaya songket warna emas. Bersanggul tinggi dan memakai net putih. Dia sendiri bagai tidak percaya melihat dirinya begitu.

Dia kembali duduk semula ke birai katil. Satu keluhan dilepaskan. Terbayang wajah mak dan ayah yang begitu marah padanya. Wajah kehampaan Fauzan dan kebencian yang ditunjukkan Mak Ngah dan Pak Ngah. Dia tahu mereka semua marah padanya. Dia telah memalukan seisi keluarga. Dia telah menghampakan semua harapan mereka. Tapi itu bukan salah dia. Kenapa dia harus di hukum pada kesalahan yang tidak dilakukan?

Dia tahu Fauzan sedaya upaya mempertahankan dirinya. Fauzan tahu apa yang berlaku kerana malam itu dia telah menghubungi Fauzan melalui ‘lelaki itu’.

Hari itu juga keluarga mentuanya ada bersama. Mereka telah tiba petang kelmarin. Tetapi dia langsung tak memperdulikan kehadiran mereka, malah dia hanya berhadapan mereka sewaktu makan beradap. Walaupun mereka mengukir senyuman mesra sewaktu bersalam dengannya namun dia tak pasti apakah tanggapan mereka terhadapnya.

Dia tak pedulikan itu semua. Dia tak perlu memperdulikan perasaan mereka. Mereka dan suaminya bukan sesiapa dalam hidupnya.

Dia melirik sebentar ke luar jendela. Memerhati pada tetamu yang semakin berkurangan. Hari menganjak petang. Kelihatan beberapa orang pekerja mengemaskan sisa-sisa makanan dan mengutip sampah.

Qismyna bergerak ke katil. Menyandarkan badannya di kepala katil lalu melepaskan keluhan yang panjang.

Dia pernah menyimpan angan untuk melangsungkan majlis perkahwinannya secara besar-besaran dan penuh dengan adat. Namun, apa yang berlaku sekarang begitu jauh dari anganannya.

Hanya majlis yang ringkas. Tiada persandingan dan tiada kemeriahan. Pengantin hanya menunjukkan diri semasa upacara makan beradab. Setelah itu, mereka hanya bersalam dengan tetamu yang hadir. Dan kemudian, dia berkurung diri di dalam bilik dan Wes entah ke mana.

Sedang dia hanyut dalam lamunannya, pintu bilik terbuka dari luar. Bunyi kuakkan pintu itu mematikan lamunan Qismyna. Lantas matanya teralih pada susuk tubuh yang sentiasa ingin dielakkannya sejak kejadian malam itu.

Qismyna berpaling. Tak ingin melihat lelaki itu. Terasa ada henyakkan di sebelahnya.

Wes yang berada di sebelah Qismyna termenung sejenak memikirkan bait-bait perkataan yang harus dikatakan. Dia tahu disaat begini pasti api kemarahan gadis yang baru dinikahinya sebulan yang lalu masih marak. Dia tidak mahu menambahkan lagi api kemarahan gadis itu. Apatah lagi kini dia diperlu menetap di rumah keluarga mentuanya, memandangkan dia seorang perantau dan hanya menginap di rumah syarikat.

Walaupun keadaan bertambah baik dan keluarga mertuanya kelihatan tidak lagi marah, namun kenyataan tidak dapat diubah. Mereka sebenarnya telah pun dinikahkan pada malam kejadian itu lagi. Hanya keluarga Qismyna saja yang dipanggil pada malam itu memandangkan keluarganya di Sabah. Tanpa dapat membela diri. Dengan alasan mereka telah memalukan seluruh penduduk di kawasan tersebut.

Dan dari cerita yang didengar, penduduk di situ telah lama memerhatikan sepasang kekasih yang sering memadu asmara di sana. Dan pada malam itu, mereka telah berpakat untuk menangkap pasangan kekasih itu dan menikahkan mereka.

Walau pun berkali-kali Wes dan Qismyna menafikan mereka bukanlah orang yang dikatakan, namun penduduk di situ tidak percaya. Dan akhirnya, mereka dinikahkan.

“Saya dah terangkan pada keluarga awak apa yang berlaku pada malam tu.” Wes diam seketika. Cuba mendapat respon dari Qismyna. Namun gadis itu hanya berdiam diri. Melihat gadis itu hanya kaku, Wes menyambung kata-katanya.

“Mereka dah tak marah lagi pada awak.”

“Tak ada gunanya mereka tahu. Takkan dapat mengubah apa-apa.” Qismyna bersuara perlahan. “Melainkan.....” dia diam seketika. “...awak lepaskan saya.”

Wes kelihatan terkejut dengan permintaan Qismyna. Dia tidak menyangka secepat itu Qismyna minta dilepaskan. Dia sendiri sebenarnya tidak mahu meneruskan pernikahan yang tidak dirancang ini. Apatah lagi di saat ini, cinta Farahymma masih beraja di hati.

Tetapi, kedua-dua orang tua mereka memujuk agar mereka berdua cuba untuk hidup bersama. Malah, sebaik saja majlis kenduri dia telah pun berbincang dengan ayah dan ayah mentuanya. Mereka mahu hubungan ini diteruskan walau pun apa yang berlaku bukanlah seperti yang dirancang. Mereka perlu menjaga nama baik keluarga.

“Saya pun inginkan begitu. Tapi kita tak boleh pentingkan diri...”

“Apa maksud awak?” Qismyna memintas percakapan Wes sebelum lelaki itu menerangkan hal yang sebenar. “Entah-entah awak yang rancang semua ni? Awak saja nak perangkap saya?!” Timbul perkara yang bukan-bukan di benaknya.

“Awak......cubalah jangan naik angin dulu. Dengar dulu apa yang saya nak cakap...”

“Betulkan apa yang saya cakap? Ini semua rancangan awak!” Qismyna menumbuk-numbuk bahu Wes dengan kuat. Wes yang tak tahan dengan kelakuan Qismyna menarik tangan gadis itu dalam genggamannya. Qismyna meronta minta dilepaskan. Wes menguatkan genggamannya.

“Kalau awak tak duduk diam, kat sini juga saya rogol awak!” Wes mengugut. Qismyna terdiam mendengar ugutan itu. Jelas kelihatan lelaki itu menggunakan kuasa veto ke atas dirinya. Tak guna!

Demi melihatkan keadaan Qismyna begitu, Wes melepaskan genggaman tangannya. Pantas Qismyna menyembunyikan tangannya. Dia tidak mahu lelaki itu menyentuhnya lagi. Wes tersenyum melihatnya seperti memahami keengganan Qismyna.

Wes bangun lalu menghadap jendela. Langsir dibukanya sedikit lalu memandang jauh kepekatan malam. Kelihatan bulan dan bintang bagai beriringan menyanyikan lagu cinta. Ah! Malam begini amat sesuai sekali untuk berkasih-kasihan. Tapi dengan siapa? Qismyna? Wes tergelak sedikit. Tentu gadis itu pasti menentang habis-habisan.

Qismyna yang sedari tadi memerhatikan kelakuan Wes merasa pelik kerana tiba-tiba lelaki itu ketawa sendiri. Gila! Bentaknya.

“Saya tak kenal awak pun. Kenapa pula saya nak buat macam tu pada awak?” Wes cuba berlembut. “Begini, kita cuba pertahankan perkahwinan kita untuk sekurang-kurangnya setahun. Lepas tu baru kita fikirkan jalan seterusnya.”

“Kenapa lama sangat? Saya nak awak ceraikan saya malam ni jugak.” Qismyna membentak seperti anak kecil.

“Saya pun kalau boleh nak buat macam tu. Tapi kita kena jaga maruah keluarga kita. Lagi pun mereka sendiri mahukan perkahwinan kita diteruskan. ” Wes menjeling Qismyna yang merenungnya.

“Dia orang yang mahukan? Awak yang mereka-reka cerita. Maklumlah, lelaki....sekurang-kurangnya kalau tak bercinta pun, ‘ikan’ depan mata takkan ditolak! Apatah lagi halal.” Qismyna cuba memancing kemarahan Wes. Lantas dia teringat kejadian malam itu. Wes memang sengaja nak mengambil kesempatan!

“Kalau dah tahu, baguslah.” Wes membuka beg bajunya yang masih belum dimasukkan ke dalam almari. Lantas dia membuka baju Melayu yang dipakainya di depan Qismyna.

Qismyna berpaling. Malu melihat seluruh badan Wes yang hanya ditutupi tuala mandi. Dia hanya memerhati setiap kelakuan Wes melalui ekor matanya.

“Kejap lagi abang habis mandi, kita memadu asmara ya sayang....” satu cubitan hinggap di pipi Qismyna. Pantas dia menepis. Wes ketawa. Seronok mempermainkan gadis yang sombong itu. Gadis itu mamang tak boleh berkompromi.

Saat Hati Merelakan 25

QISMYNA menutup daun pintu dengan rapat. Perlahan-lahan dia menghenyak tubuhnya di atas tilam. Fikirannya keliru. Perasaan sedih, kecewa, marah bercampur baur. Dia mengetap bibir menahan perasaan hati.


Pandangannya tertumpah pada hantaran untuk pertunangannya dengan Fauzan yang tersusun indah di biliknya. Perasaannya menjadi tak keruan.

Tak disangka perkara sebegini berlaku dalam hidupnya. Terasa bagaikan mimpi. Sebentar tadi dia adalah seorang gadis yang di dalam dilema dengan kisah cinta yang tak pasti. Tiba-tiba, hanya dek kerana salah faham, dia telah menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang tidak dikenali.

Dia berbaring. Matanya melilau memandang segenap ruang kamarnya. Lantas tumpuannya terarah pada siling di atas. Bagaikan skrin layar, satu persatu peristiwa yang berlaku sebentar tadi bermain-main di ruang matanya.

Kerana berdua-duaan dalam gelap dan dalam keadaan mencurigakan, mereka berdua telah dibawa ke Pejabat Agama Islam. Setelah disoal siasat dan pelbagai soalan diutarakan, kedua-dua orang tuanya dihubungi.

Walaupun berkali-kali dia merayu dan menerangkan bahawa lelaki itu hanya menolongnya, namun mereka tidak percaya. Dia melihat lelaki asing yang ditangkap bersamanya juga berusaha menerangkan perkara sebenar. Tetapi tiada sesiapa pun yang percaya.

Menurut mereka, penduduk di kawasan tersebut telah banyak kali mengadu kepada mereka tentang perbuatan sumbang pasangan kekasih yang dipercayai orang luar kawasan itu. Untuk menjaga nama baik kawasan mereka, mereka meminta Pejabat Agama menikahkan pasangan yang memalukan dan mencemarkan nama baik mereka.

Kebetulan pula pada malam itu keretanya rosak dan Wes pula datang membantu. Dan akhirnya, mereka berdua pula yang tertangkap.

Sebaik sahaja melihat kelibat Tuan Malik dan Puan Suria yang datang bersama-sama Ariff, pantas Qismyna bangun dari kerusi dan menerpa mereka. Tanpa sempat Qismyna bersuara, pantas tangan Tuan Malik melayang menampar pipi halus itu. Qismyna tergamam dan yang lain terdiam. Semua mata memandang ke arah mereka.

Wes yang merasa bersalah dengan apa yang berlaku, lantas bangun untuk menghampiri mereka. Dia pasti lelaki itu tentu ayah kepada gadis tersebut. Langkahnya terhenti apabila melihat lelaki yang menampar gadis itu menghampirinya.

Tuan Malik berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Tanpa memberi apa-apa reaksi Tuan Malik bersuara.

“Kahwini anak saya dan bersihkan nama baik saya.” Perlahan tetapi tegas. Itulah yang dapat dirasakan Wes. Wes mengangguk tanpa bangkangan.

Setelah melihat anggukan lelaki itu, Tuan Malik menghampiri salah seorang pegawai Jabatan Agama Islam di situ.

Wes mengeluh resah. Pandangannya jatuh pada gadis yang akan dinikahinya. Gadis itu kelihatan tidak bermaya. Wajahnya muram dan tiada seri. Tiba-tiba Wes terasa bahunya disentuh. Dia berpaling.

“Ariff?!”

Sewaktu lelaki asing itu melafazkan ijab, Qismyna menutup matanya rapat-rapat mengharapkan semua itu adalah mimpi semata-mata. Dia bermohon kepada Tuhan, apabila dia membuka mata segala-galanya akan menjadi seperti sediakala.

Qismyna menutup matanya sebentar dari merenung siling dan membayangkan peristiwa pahit itu. Kemudian dia membuka matanya kembali. Segala bayangan hilang.

Dia melepaskan keluhan untuk sekian kalinya. Dia belum bersedia menjadi isteri kepada seorang suami. Apatah lagi suami yang tidak dicintai. Dan lebih menyedihkan jika suami itu bukan sahaja tidak dicintai, malah langsung tidak pernah dikenali.

Qismyna melangkah bangun menuju jendela dan membukanya. Dia merenung jauh bulan diangkasa. Terang dan mendamaikan. Tetapi suasana yang damai dan menenangkan itu tidak dapat menenangkan hatinya yang dibaluti kepiluan.

‘Bulan, seandainya kau tahu perasaan ku tika ini, pasti kau tidak akan menyinari cahayamu seindah ini. Pasti kau akan bersembunyi di balik kegelapan malam dan menyembunyikan dirimu.’



SELESAI sahaja bersolat Subuh, Tuan Malik termenung di atas sejadah. Selepas sahaja pulang dari Pejabat Agama Islam, dia langsung tidak dapat melelapkan matanya walau pun untuk seketika.

Semua yang terjadi bagaikan mimpi. Siapa sangka anak gadis yang dididik dengan pengetahuan agama yang sempurna sanggup memalukan keluarga sendiri. Panggilan yang diterimanya pada pukul tiga pagi benar-benar mengejutkan.

Apa yang akan dikatakan jiran-jiran dan sanak saudara? Fikirannya kacau. Hatinya menjadi semakin tak tenteram apatah lagi bila memikirkan hari pertunangan Qismyna dan Fauzan semakin hampir. Apa yang harus dikatakan pada lelaki itu. Bagaimana agaknya penerimaan keluarga Zulkifly?

Tuan Malik memajamkan mata sambil beristighfar sebentar. Memohon kekuatan dan semangat dari yang Esa. Setelah itu dia melipat sejadah dan menyimpan kopiah yang dipakai.

Dia keluar dari bilik dan menuju ke bilik tetamu di mana menantu yang tidak dikenalinya ditempatkan. Sesampai sahaja di depan pintu bilik tetamu itu, langkahnya terhenti. Dia merapatkan telinganya ke daun pintu. Terdengar suara serak lelaki itu sedang berzikir.

Dia menyelak sedikit daun pintu yang tidak tertutup rapat itu. Kelihatan anak muda itu begitu kusyuk melagukan zikir-zikir yang memuji kebesaran yang Esa. Sedikit sebanyak api kemarahan yang dipendamkan terpadam.

Dia mengaturkan langkah menuju ke dapur. Puan Suria dan Mak Yam yang sedang menghidangkan sarapan menoleh ke arahnya. Tanpa memandang dan menegur mereka, Tuan Malik menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya.

“Abang tak ke pejabat hari ni?” tanya Puan Suria.

“Tak.....biar kita selesaikan dulu semua masalah.” Tuan Malik melepaskan keluhan yang panjang.

Puan Suria tahu fikiran suaminya terganggu. Sepanjang malam suaminya tidak dapat melelapkan mata. Puan Suria sendiri begitu. Ibu bapa mana yang dapat melelapkan mata jika sesuatu yang buruk menimpa anak-anaknya.

“Puan, Tuan, ada baiknya kita dengar dulu penjelasan budak-budak tu” ujar Mak Yam yang telah mengetahui apa yang terjadi setelah diceritakan oleh Puan Suria. “Saya tak rasa Cik Qis akan buat macam tu. Tentu ada salah faham.”

“Nasi dah jadi bubur Mak Yam. Dah tak boleh patah balik” ujar Puan Suria.

Tak lama kemudian pandangan mereka jatuh pada susuk tubuh seorang lelaki yang baru tiba di situ. Mak Yam mengagak, lelaki asing ini sudah tentu suami Cik Qismyna.

“Mari duduk. Sarapan bersama,” pelawa Tuan Malik tanpa ada kemesraan dari nada suaranya.

Tanpa bersuara Wes menghampiri mereka. Dia duduk berhadapan dengan Puan Suria dan bersebelahan dengan Tuan Malik. Tak lama kemudian, Ariff turun dan menyertai mereka.

Dia menegur dan berbual dengan Wes seperti tiada apa-apa yang berlaku. Wes merasa lega sedikit dengan kehadiran Ariff di situ. Sekurang-kurangnya perasaan bersalah dan tidak selesanya kurang sedikit.

Sesekali matanya tercari-cari kelibat gadis yang dinikahinya semalam. Hatinya tertanya-tanya adakah gadis itu masih bersedih dan menangisi nasibnya.

“Assalamualaikum.....” semua di situ berpaling dan menjawab salam Zurin yang baru turun dari biliknya.

Zurin yang baru tiba agak terkejut melihat Wes. Hatinya tertanya-tanya siapakah lelaki itu. Pagi-pagi lagi sudah bertandang ke rumah orang. Mungkin kawan Ariff, dia cuba mengagak.

“Abang dan Pak Cik tak ke pejabat ke hari ni?” tanya Zurin setelah melihat mereka berdua hanya berpakaian biasa.

“Hari ni semua orang cuti termasuk Zurin.” Tuan Malik memandang Zurin. Zurin terkejut sedikit mendengar kata-kata Tuan Malik. “Hari ni Zurin tak payah masuk kelas. Ada hal yang perlu kita bincangkan. Nanti Zurin telefon Kak Almi dan Abang Zainal. Suruh mereka datang sini.”

“Ariff, telefon Pak Ngah bagi pihak ayah. Minta mereka sekeluarga datang ke rumah.” Ariff hanya mengangguk.

Saat Hati Merelakan 24

QISMYNA melepaskan keluhan yang panjang. Hatinya sakit. Malam-malam beginilah keretanya tiba-tiba mati. Dia cuba menghidupkan enjin lagi. Tapi hampa. Dia menumbuk stereng melepaskan marahnya.


Lantas dia keluar dari kereta dan memeriksa di mana silapnya. Tapi dia buntu. Argh! Manalah dia tahu apa yang tak kena. Dia langsung tak tahu tentang kereta. Apatah lagi nak mengesan dan membaiki kereta yang rosak.

Tangannya cuba mengetatkan wayar-wayar yang tersambung. Manalah tahu ada yang longgar menyebabkan keretanya tak boleh bergerak. Tapi hampa. Dia mengeluh lagi. Dia tahu keluhan itu menunjukkan dia telah berputus asa. Dia memang tak suka mengeluh. Tapi apa boleh buat. Dengan keadaan sekarang memang dia sudah berputus asa.

Dia menyandarkan tubuhnya di kereta dan memandang sekeliling. Hari telah pun menganjak malam. Dia menoleh sekilas jam di tangannya. Hampir jam sembilan tiga puluh malam.

Masih ada dua tiga buah kederaan yang melalui jalan itu. Namun, tiada siapa pun yang sanggup memberhentikan kereta dan memberi pertolongan. Hanya sekadar memandang ke arahnya dan berlalu pergi.

Dia sendiri tidak kisah. Maklum benar dengan masalah keadaan sekarang. Ramai benar kaki-kaki penipu yang berpura-pura memerlukan pertolongan dan akhirnya, orang yang memberi pertolongan di rompak dan dicederakan. Yang lebih malang, jika ada yang mangsa yang cuba berkeras mempertahankan haknya, akan dibunuh. Argh! Kejam sungguh manusia zaman sekarang. Manusia? Layakkah mereka bergelar manusia?

Qismyna berteka-teki seorang diri sambil melihat-lihat kenderaan yang berlalu tanpa menghiraukannya. Tiba-tiba dia teringat berita yang dibaca pagi tadi.

Mengenai lima orang pemuda yang menyamar menjadi anggota polis dan menahan sepasang kekasih. Yang lelaki dibunuh dan teman wanitanya dirogol dan diliwat hingga mati.

Rogol?! Jantungnya berdegup kencang apabila teringatkan perkataan itu. Dia tidak mahu menjadi mangsa rogol! Pantas dia mengunci dirinya di dalam kereta. Lalu dia mencapai telefon bimbit untuk menghubungi Ariff. Dalam hatinya berdoa agar Ariff menjawab panggilan telefonnya.

Maklumlah, sejak bertunang Ariff semakin sibuk. Apatah lagi sedari dulu dia memang seorang workholic. Dan sekarang, sejak bertunang dengan Manisa, dia menjadi lebih sibuk. Setiap kali kelapangan Ariff sentiasa bersama Manisa. Tapi dia tak kisah. Malah dia berterima kasih kerana Manisa talah berjaya mengubah abangnya itu.

Mak dan ayahnya juga suka dengan Manisa dan keluarganya. Pendek kata kira okeylah tu. Manisa pun baik dengannya dan Zurin. Tapi dia tak pasti bila mereka akan menamatkan pertunangan mereka ke jinjang pelamin.

Manisa juga telah diserap masuk ke dalam A2-M Sdn Bhd. Itu pun hanya sementara untuk tidak memisahkannya dengan Ariff. Apabila Manisa dan Ariff berkahwin, Datuk Arshad mahu mereka tinggal bersama-sama di Sabah dan Ariff akan berkerja di syarikat milik keluarga itu.

Dalam perancangan Tuan Malik, Ariff bakal menggantikan tempatnya. Namun, takdir menentukan sebaliknya.

Qismyna mengeluh seketika memikirkan ayahnya. Kasihan melihat lelaki itu terpaksa memikirkan semula hal syarikat setelah Datuk Arshad memohon agar melepaskan Ariff untuk bekerja dengannya di Sabah. Apatah lagi memandangkan Manisa satu-satunya pewaris keluarga itu.

Tuan Malik ada meminta abang iparnya, Zainal untuk bekerja dengannya. Namun, menantu lelakinya itu menolak atas alasan dia gemar dengan kerjayanya sekarang sebagai seorang peguam. Dia sendiri tidak pasti apa perancangan yang akan dibuat Tuan Malik.

Qismyna tersentak seketika. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Sepatutnya dia menelefon Ariff tetapi fikirannya melayang mengingatkan ayahnya.

Kemudian dia melihat telefonnya. Bateri kong! Sekarang macam mana? Apa yang perlu dilakukan. Matanya liar memandang sekeliling mencari-cari jika ada pondok telefon yang berdekatan. Tiada. Dia mengeluh. Untuk keluar dan meminta pertolongan, dia takut.

“Macam mana ni?!” dia menampar dahinya.



WES mengerling jam di deskboard. Hampir pukul satu pagi. Wes menggosokkan mata sebentar untuk menghilangkan rasa ngantuk. Badannya juga terasa letih sekali. Memang malang sungguh nasibnya. Dia sudah berkira-kira untuk pulang awal hari itu kerana telah berjanji untuk makan malam bersama Manisa dan Ariff.

Tetapi di saat akhir dia terpaksa membatalkan temujanji dengan mereka kerana harus menemui klien.

Dua hari lepas memang dia ada menerima e-mail dari salah satu kliennya yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Dia telah menyiasat kes ini dan mendapati kesilapan bukanlah berpunca dari Visma Corporation.

Namun penjelasan yang diberikan tidak diterima. Akhirnya, dia terpaksa berjumpa dengan wakil syarikat itu. Dan lebih malang lagi, perjumpaan yang dijangkakan akan tamat sebelum jam sepuluh malam berlanjutan hingga jam dua belas setengah malam.

Sebaik sahaja membelok ke kanan untuk memasuki Jalan Permai, dia terlihatkan sebuah kenderaan yang tersadai di tengah jalan. Dia memperlahan kereta. Dari belakang dia melihat nombor plat kenderaan itu. Ah! Itu kereta Fauzan! Dia cukup kenal Honda Accent hitam itu. Dia melepasi kereta itu untuk melihat pemandunya. Perempuan? Keningnya berkerut.

Wes memberhentikan kereta lalu keluar dan menghampiri kereta itu. Ya! Dia memang tidak silap. Itu kereta yang digunakan Fauzan ketika mereka bertemu di Pantai Teluk Bahang. Mungkin gadis itu adalah saudara Fauzan.

Atas dasar kasihan dan mengenali Fauzan dia menghampiri kereta itu. Dia membongkok dan menjeguk ke dalam. Kelihatan seorang gadis yang sedang enak di buai mimpi. Kasihan sungguh gadis ini. Mungkin terlalu letih agaknya. Seakan dia pernah melihat gadis itu. Tapi dia kurang pasti di mana.

Amat bahaya jika dibiarkan gadis itu terus di situ. Tambahan pula diwaktu begini, jalan di situ memang sunyi walaupun berdekatan dengan kawasan perumahan.

Wes mengetuk-ngetuk cermin kereta. Gadis itu kelihatan terkapa-kapa. Dia memandang sekeliling sebelum pandangannya jatuh pada Wes. Mungkin dia terlupa di mana dia berada sekarang.

Gadis itu masih memandang Wes. Wes memberi isyarat agar cermin kereta diturunkan. Gadis itu kelihatan ragu-ragu namun akhirnya dia menurunkan juga cermin keretanya. Itu pun hanya separuh.

“Kereta awak rosak?” Wes memulakan bicara. “Saya Wes,” dia mengenalkan diri. “Awak tak perlu takut. Saya kenal Fauzan. Ini kereta dia kan?”

Tanpa menantikan jawapan, Wes lantas mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya lalu menghubungi Fauzan. Dia bercakap sebentar lalu menyerahkan telefon kepada Qismyna. Qismyna menyambut.

Lega hatinya apabila mendengar suara Fauzan. Selepas bercakap sebentar, dia menyerahkan kembali telefon kepada lelaki itu. Kini baru dia yakin untuk menerima pertolongan dari lelaki yang tidak dikenalinya itu. Dia membuka pintu lalu keluar dari kereta.

“Saya Qismyna, Maya Qismyna. Panggil Qis aje.” Qismyna mengenalkan diri.

“Iskandar. Panggil Wes,” Wes mengenalkan dirinya sekali lagi. “Kereta rosak ke?” Qismyna menganggukkan kepala.

Wes menghampiri enjin di belakang. Dia memeriksa punca kerosakan lalu melangkah ke keretanya untuk mengambil peralatan yang sentiasa tersedia di bonet keretanya. Setelah itu dia kembali semula.

Qismyna hanya menunggu di sebelahnya. Dia memerhatikan Wes membaiki keretanya. Melihat dari cara Wes, dia yakin keretanya akan kembali berfungsi.

Kasihan juga dia melihat Wes yang berpeluh-peluh di malam yang dingin itu. Mungkin kerana rimas, Wes membuka butang bajunya sedikit dan menyinsing baju hingga ke siku.

‘Boleh tahan. Handsome!’ Qismyna bersuara nakal di dalam hati kemudian dia tertawa kecil. Wes berpaling mamandangnya apabila mendengar tawa dari gadis itu.

“Kenapa?”

Qismyna terpinga-pinga. Dia terasa malu sendiri. Tiba-tiba dia terpandangkan kotoran di hidung Wes. Ah kebetulan. Itu yang digunakan Qismyna untuk dijadikan alasan.

“Hidung awak. Kotor!” Wes menyapu hidungnya dengan belakang tangan.

“Tunggu.” Qismyna hilang kemudian kembali dengan tisu ditangannya. Lalu tisu itu diserahkan kepada Wes. Wes menyambut lalu mengelap hidungnya lagi.

“Bukan! Sini.” Qismyna menunjukkan tempat yang kotor dengan menjadikan hidungnya sebagai contoh. Wes cuba mengagak tempat yang dimaksudkan Qismyna.

Qismyna mencebik. Akhirnya mengambil tisu dari tangan Wes lalu menyapu sendiri di tempat yang dimaksudkannya. Wes terkedu dengan kelakuan Qismyna. Melihatkan wajah Wes, Qismyna jadi malu sendiri.

Mengapalah tangannya gatal berbuat begitu. Apatah lagi pada orang yang hanya beberapa minit baru dikenalinya. Qismyna menyumpah di dalam hati.

“Maaf. Saya tak sengaja.” Qismyna memohon maaf tanpa memandang wajah lelaki itu. Wes hanya tersenyum melihat wajah gadis itu merona merah lalu kembali pada kerja yang tertangguh tadi.

“Okey siap.” Wes tersenyum pada Qismyna. Qismyna mengukir senyuman gembira. “Boleh cuba start.” Qismyna kembali ke tempat pemandu dan menghidupkan keretanya. Alangkah gembiranya apabila keretanya berjaya di hidupkan.

Wes menutup semula bonet kereta lalu menghampiri Qismyna di depan. Sewaktu dia berada di sisi Qismyna dengan tak semena-mena dia tersepak batu lalu tersandung ke depan dan menghempap tubuh Qismyna hingga gadis itu terbaring di atas kedua-dua tempat duduk depan.

Kedua-dua mereka terkejut dan terdiam. Sempat Wes menghidu keharuman Lavendar dari tubuh Qismyna. Tiba-tiba perasaannya melonjak. Wangian itu seolah-olah membelai naluri lelakinya. Lantas dia merenung tepat ke wajah Qismyna mengharapkan sesuatu darinya.

Qismyna kecut perut melihat keanehan yang tiba-tiba ditunjukkan lelaki itu. Dia bukanlah budak tadika yang tidak mengerti renungan itu. Dia menyumpah pada dirinya dan juga Fauzan kerana percaya pada lelaki itu.

Qismyna menguatkan semangatnya. Dia tidak harus terus menyerah. Dia perlu mempertahankan dirinya walau apa pun kemungkinan yang akan terjadi. Dia menampar kuat pipi Wes. Wes terngadah.

“Astaghfirullahalazim....” Kedengaran Wes mengucap panjang. “Maaf.” Wes menjadi kalut lalu mengangkat tubuhnya dari gadis itu. Pantas Qismyna berdiri.

Tiba-tiba mereka berdua terkedu dan tergamam apabila melihatkan di depan mereka berdiri lima orang lelaki yang siap berjubah dan berkopiah putih. Mereka berdua berpandangan.....