Monday 24 May 2010

Hanya Dia 27


BAB 27


“TAK NAK!!” Maisara menjeling Fariz tajam.
“Awak janganlah macam ni! Saya dah book tiket!” Fariz cuba memujuk.
“Kenapa awak buat keputusan sendiri? Kenapa tak nak bincang dengan saya dulu!” Maisara memeluk tubuh.
“Okey.....Sorry, okey......” Fariz cuba berlembut. “Bukan saya tak nak berbincang, tapi saya nak buat suprise! Hadiah perkahwinan saya untuk awak!”
Suprise?! Yup! Memang suprise sangat-sangat! Awak langsung tak tanya saya. Saya setuju ke tak.......Terus je awak booking tiket nak pergi Paris! Pleaselah......Kita bukan loving couple!”
Fariz melepaskan keluhan. Memang sukar untuk menawan hati Maisara sekarang. Apa sahaja yang dilakukan semuanya salah dimata Maisara.
“Baiklah......kalau awak dah tak nak.” Akhirnya Fariz mengalah. “Jadi, sekarang awak nak pergi mana?”
“Kita pergi yang dekat je!” Maisara masih berfikir. Dia memandang Fariz semula.
Tatkala ini dia benar-benar tidak merasa untuk pergi ke mana-mana bersama Fariz. Ikutkan hati, dia langsung tak mahu pergi berbulan madu. Semuanya kerana umi. Kalau tidak kerana umi, dia takkan bersetuju.
“Kita pergi dalam Malaysia?” tanya Fariz. Maisara mengangguk.
“Kalau macam tu, apa kata kita pergi........Pulau Tioman....atau.....Cameron Highland.....” cadang Fariz.
“Jauh!” Maisara menggeleng.
“Jauh?” Giliran Fariz pula menggeleng. “Dekat macam mana lagi yang awak nak?”
“Langkawi!”
“Langkawi?” Tercengang Fariz seketika. “Langkawi bila-bila masa je kita boleh pergi! Kita pergi Cameron Highland, okey?”
Maisara merenung Fariz tajam. Sememangnya dia cuba tidak mahu memberi ruang dan kesempatan kepada lelaki itu. Sudah beberapa kali sebenarnya dia telah pergi ke Langkawi. Lagipun, biasanya dia hanya pergi sehari dan kembali semula ke Pantai Miami. Mungkin inilah kesempatan untuk dia berjalan-jalan ke seluruh Langkawi.
“Kalau awak nak pergi Cameron Highland, awak pergi sorang yek!” Maisara berlalu. Sempat dia menghadiahkan jelingan kurang senang pada Fariz.
Fariz terus terdiam. Hanya keluhan hampa dilepaskan.

“SYARAT?” Fariz mengerutkan dahinya.
Wajah Maisara yang kelihatan kelam disinari cahaya purnama direnung dengan penuh tanda tanya.
“Seperti yang awak tahu, saya bersetuju kerana Aiman! Sebab saya tak nak orang lain yang tak layak untuk mendidik Aiman menjadi mamanya.”
Tak lain dan tak bukan yang dimaksudkan Maisara adalah Ilyana. Fariz mengerti itu. Tetapi sekarang, untuk meyakinkan Maisara bahawa dia dan Ilyana tiada apa-apa hubungan mungkin agak sukar. Tak mungkin gadis itu mahu menerimanya. Biarlah masa yang menentukan segalanya.
Fariz mengerti. Maisara meletakkan syarat untuk menjadi isterinya. Maknanya, dirinya langsung tidak bermakna untuk gadis itu. Memang dia sedikit kecewa. Namun, dia perlu terima hakikat cinta Maisara telah hilang untuknya.
Walau apa pun, akan ku pastikan cinta itu hadir semula dalam hati kau, Sara!
“Jadi, apa syaratnya?”
Maisara memusingkan tubuhnya memandang Fariz. Dia melihat jauh ke dalam anak mata lelaki itu. Kecewa dan sedih. Itulah yang dapat dirasakan tatkala anak mata Fariz direnungnya. Benarkah perasaan itu yang dirasakan Fariz? Akalnya menyangkal tetapi hatinya mengiakan.
Tak mungkin Fariz merasa kecewa atau sedih. Kalau benar, untuk apa? Kerana dia meletakkan syarat? Atau kerana Fariz merasakan sekiranya mereka menjadi suami isteri, hubungannya dengan Ilyana akan menjadi sukar?
“Perkahwinan kita mesti dirahsiakan! Dan dalam hubungan ni, hanya ada hubungan saya dengan Aiman. Antara kita tiada langsung hubungan suami isteri. Awak dengan jalan awak, dan saya dengan jalan saya!”
Fariz mengeluh tatkala syarat itu diucapkan.
Seperti jangkaannya! Pasti syarat itu yang diletakkan Maisara. Biarlah! Satu hari nanti, gadis itu akan sedar betapa besarnya cintanya pada Maisara.
“Baiklah. Saya setuju. Tapi saya ada satu permintaan,” ujar Fariz setelah agak lama mendiamkan diri.
“Walaupun awak tak nak ada apa-apa ikatan dengan saya, tapi hakikatnya tetap awak kena terima. Awak boleh pilih jalan awak sendiri. Cuma satu yang saya minta, jangan keluar dengan lelaki lain tanpa pengetahuan saya! Itu je!”
“Baiklah! Saya setuju!”
Pantas Maisara bersetuju tanpa sebarang bangkangan. Yang penting, Fariz bersetuju dengan syarat yang diberi. Bukan dia mementingkan diri. Tetapi dia tidak mahu rasa cinta berputik lagi untuk lelaki itu. dia tidak mahu terluka lagi.

FARIZ menghampiri Maisara yang sedang bersiar-siar di halaman rumah. Maisara yang sedang asyik mengelamun, sedikit terkejut apabila lelaki itu menegurnya.
“Baiklah,” ujar Fariz. “Saya setuju, kita pergi Langkawi!”
Maisara tersenyum dalam diam.
Okey, tapi ada satu lagi. Kita kena bawa Aiman sekali!”
“Aiman?!” Fariz mengeluh lagi.
Kalau Aiman di bawa bersama, bukan honeymoon namanya!
Okey! Kalau nak bawa Aiman, kena bawa Tarti sekali.”
Fariz bersetuju juga dengan kehendak Maisara. Tak mengapa.....hatinya memujuk. Asalkan Maisara mahu pergi bersamanya, itu sudah memadai.
“Kenapa? Saya boleh jaga Aiman!” Maisara tidak bersetuju. Untuk apa dibawa pembantu sedangkan dia sendiri boleh menguruskan Aiman?
“Saya tahu dan saya yakin, awak boleh jaga Aiman! Tapi kalau Tarti ada, sekurang-kurangnya dia boleh meringankan tugas awak! Kita pergi bercuti, sayang. Mesti letih!”
Sayang?! Rasa nak muntah pulak!
Maisara mencebik. Tak kisahlah macam mana pun. Tapi benar juga kata Fariz. Jika mereka membawa Tarti bersama, tugas menjaga Aiman dapat dibahagi dua.
Okeylah!” Maisara bersetuju.
Setelah memberi kata putus, Maisara memalingkan tubuhnya untuk pergi dari situ. Namun, pantas Fariz mencapai lengannya untuk menghalang Maisara dari pergi.
“Saya ada hal sikit nak bincang dengan awak?”
Maisara sudah mula mengerutkan keningnya. Hal apa? Adakah tentang tengahari tadi? Sangkanya, Fariz sudah melupakan hal itu.
“Untuk sekali lagi, saya nak ingatkan awak. Saya tak nak awak keluar dengan lelaki lain tanpa pengetahuan saya!”
Maisara sudah menelan air liurnya.
“Saya tahu. Tapi, pasal tengahari tadi tu, saya tak dapat nak buat apa. Kalau saya menolak, cuti saya takkan diluluskan!”
“Sekurang-kurangnya, awak boleh beritahu saya, kan?”
Maisara terperangkap dengan soalan Fariz. Di dalam hati, dia menyumpah dengan kebodohannya.
“Saya tak nak terserempak awak dengan mana-mana lelaki lagi. Expecially, Zack!”
Maisara mengangguk.
Perkahwinan mereka dirahsiakan tanpa pengetahuan sesiapa. Mungkin kerana itu, alasan untuk memohon cuti yang agak lama, agak sukar untuk diluluskan. Tetapi dia tidak menyangka Zack akan mengambil kesempatan dari itu dengan mengajak Maisara keluar bersama.
“Lepas ni, kalau awak nak mohon cuti dan Zack bagi syarat bodoh pada awak, awak terus bagi pada saya. Saya akan luluskan!”
Tanpa sebarang respon, Maisara melangkah untuk pergi. Sekali lagi Fariz menahannya.
“Ingat, kalau awak boleh abaikan permintaan saya yang satu tu, saya juga akan abaikan syarat awak!”
Mendengar sahaja kata-kata yang berbaur ugutan itu, pantas membuatkan Maisara berpaling dan merenung fariz tajam.
“Are you threatening me?”
“Yes! If you think so!”

Monday 17 May 2010

Hanya Dia 26


BAB 26


MAISARA membelek wajahnya untuk kali yang terakhir di cermin. Kemudian dia beralih menghampiri Aiman yang sedang tidur di atas katil. Pipi Aiman dicium. Tas tangannya di capai sebelum melangkah keluar dari kamar. Sempat lagi dia melirik Fariz yang masih terbaring di sofa sebaik sahaja dia menunaikan solat Subuh pagi tadi.
Sebaik sahaja anak-anak tangga dituruninya kedengaran suara Maimun menegurnya. Lantas dia berpaling memandang uminya di tingkat bawah dan kemudian menghampirinya.
“Sara nak ke mana ni?” tanya Maimun.
Maisara tersenyum. Terasa kelakar dengan soalan itu.
“Pergi mana? Pergi kerjalah umi!”
Maimun tercengang seketika dengan jawapan Maisara. Maisara faham dengan reaksi yang ditunjukkan umi. Tetapi dia hanya mendiamkan diri.
Maisara melangkah menuju ke dapur untuk menhidangkan sarapan yang telah disediakan Maimun. Maimun mengekori langkah anaknya.
“Mana Fariz?” tanya Maimun perlahan sambil matanya liar mencari kelibat menantunya.
“Ada kat atas. Tidur!” jawab Maisara sambil tangan kanannya ligat menyusun pinggan-pinggan di atas meja.
“Sara nak pergi kerja?! Sara tahu tak, Sara tu baru bernikah semalam dengan Fariz?! Takkan hari ni dah nak pergi kerja?!” Menyinga wajah Maimun walaupun suaranya diperlahankan.
Maisara mengerling uminya dengan ekor mata.
“Alah......umi ni.....Sara tak de cutilah....” Dia memeluk bahu Maimun, meminta simpati dari uminya itu. mengharapkan agar Maimun akan menghentikan omelannya.
Janganlah umi membebel pagi-pagi ni....
“Sara jangan nak bagi alasan macam-macam. Kan umi dah pesan ambil cuti perkahwinan! Takkanlah bos Sara tak benarkan?!”
Macam manalah dia nak ambil cuti perkahwinan sedangkan dia merahsiakan semua ini dari teman-temannya. Maisara menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di situ. Nasi goreng dicedoknya masuk ke dalam pinggan.
“Tengok tu, umi cakap dia buat tak tahu je!” Maimun mencekak pinggangnya. “Dahlah makan pun tak tunggu suami!”
“Alah.....umi ni!!” Selera makannya terus hilang. “Fariz tengah tidur kat atas tu. Biarlah! Lagipun Aiman belum bangun lagi!”
Maisara bangun lalu mencapai tangan Maimun lalu tunduk menyalaminya.
“Ni kenapa ni tak makan?” tanya Maimun sambil pandangannya jatuh pada sepinggan nasi goreng yang diambil Maisara tadi.
“Umi makanlah! Sara dah hilang selera!” ujar Maisara. “Umi tolong tengok-tengokkan Aiman, okey?”
“Tahulah umi!” ujar Maimun sambil mengerling Maisara tajam. “Pergi kerja, ambil cuti!”
Maisara terdiam tanpa membalas arahan ibunya. Kemudian dia melangkah keluar. Sempat dia mengerling Maimun yang masih merenungnya tajam.
Dia mengeluh......
Memang salah aku.....
Ah.....Kenapa mulutnya begitu celupar berkata begitu dengan umi? Dia tahu, umi hanya mahukan yang terbaik untuknya.
Maaf umi......

Sebaik sahaja Sofea meletakkan semua surat-surat dan fail di atas mejanya, Zack mula menyemak satu-persatu dokumen yang terdapat dalam ‘in-tray’ nya.
Terlihat sahaja borang permohonan cuti yang ditandatangani Maisara, pantas tangannya mencapai borang itu dan membaca satu persatu ayat yang tertulis. Namun, dahinya berkerut apabila Maisara tidak menyatakan dengan lengkap tujuan cuti yang dipohonnya.
“Seminggu?” Dagunya disapu berkali-kali.
Pantas dia menekan punat interkom lalu meminta Sofea memanggil Maisara untuk masuk ke pejabatnya.
“Baik Encik Zack!” Sofea dengan rasa kurang senang menurut juga arahan itu.
“Maisara! Maisara!Tak habis-habis Maisara yang dicari!” Omel Sofea.
Dia menghampiri Maisara yang sedang menatap komputer sambil tangannya pantas bergerak manaip segala maklumat yang diberi.
“Sara,” Sofea memeluk tubuh di depan meja Maisara sambil menjelingnya. Pandangan Maisara beralih.
“Encik Zack panggil!” Sofea terus berlalu selepas berkata begitu. Satu jelingan dilemparkan lagi untuk Maisara.
Maisara mengeluh seketika. Dia pasti, tentu ia ada kaitan dengan permohonan cuti yang diambilnya. Dengan perlahan Maisara bangun lalu menuju ke bilik Zack.
Daun pintu diketuk. Apabila terdengar suara Zack yang menyuruhnya masuk, Tombol pintu dipegang. Dia menarik nafas sekali lagi untuk menenangkan dirinya lalu tombol pintu dipulas dan daun pintu dikuak.
“Encik Zack panggil saya?” Maisara berdiri tegak di depan Zack.
Zack melangutkan wajahnya lalu menyandarkan tubuh di kerusi. Maisara di depannya diperhatikan lama sehingga gadis itu tertunduk memandang lantai. Zack tersenyum. Dia memang suka melihat reaksi Maisara yang agak malu-malu apabila ditenung begitu.
“Awak ada masalah?” Soalan Zack itu membuatkan Maisara mengangkat wajahnya semula. Sempat dia menangkap boring permohonan cuti yang dipegang Zack.
“Tak. Cuma saya adahal peribadi sikit nak diuruskan sebab tu saya minta cuti lama sikit,” terang Maisara.
“Lama sangat ni.....” Berkerut dahi Zack. “Besar sangat ke hal peribadi awak tu?”
“Hmm.....” Maisara tertunduk. Tidak tahu untuk menjawab apa.
Zack yang memerhatikannya mengetapkan bibir.
“Tak pelah......” Zack bersuara. “Saya boleh luluskan cuti awak tapi bersyarat!” Wajah Maisara ditenung. Maisara mengangkat wajahnya.
“Syarat?”
“Tengahari ni, keluar makan dengan saya, okey?”
Maisara diam seketika. Berat hatinya untuk menerima pelawaan itu. Terasa berdosa pula jika dia yang kini berstatus isteri, keluar bersama lelaki lain. Tetapi seandainya dia menolak, mungkin cutinya akan dikurangkan.
Zack menarik nafas panjang. Dia masih menunggu kata putus dari Maisara. Namun, melihatkan kebisuan itu, dia sedia tahu keengganan Maisara. Mungkin Maisara tidak mahu perkara yang sama berulang sewaktu dia keluar makan tengahari bersamanya dahulu.
“Kenapa? Awak tak sudi atau awak takut Sofea marahkan awak?”
“Tak....Bukan macam tu Encik Zack.....” ujar Maisara. “Cuma saya segan je,” Maisara cuba mencari alasan lain. Sedangkan dalam hatinya kini sudah mula rasa bersalah.
“Tak de apa yang nak disegankan!” Zack tersenyum. “Okey, tak pelah. Saya luluskan cuti awak, tapi ada satu lagi syarat!”
Maisara sudah mengangkat kening. Terkejut dia apabila Zack memberitahu ada syarat yang lain.
“Bila dah bercuti, jangan pulak awak call minta cuti disambungkan, okey,” Zack tersenyum. “Nanti saya rindu.....”
Tertunduk terus Maisara apabila Zack berkata begitu. Terasa jantungnya berlari laju. Lidahnya terus kelu tidak terkata apa-apa.
“Tak pelah. Awak boleh sambung kerja!”
Arah Zack apabila melihat tubuh Maisara yang sudah tegak berdiri bagaikan patung. Ingin sekali dia melihat gadis itu tersenyum gembira apabila dia berkata begitu. Namun ternyata, Maisara tidak mempunyai apa-apa perasaan padanya.
Walaupun begitu, dia tetap akan cuba untuk memenangi hati Maisara kerana perasaannya pada Maisara, kini pasti adalah.......cinta.
Maisara yang masih tertunduk, hanya menganggukkan kepalanya tanda faham arahan itu. Kemudian dia memusingkan badannya dan melangkah perlahan. Terasa berat sekali kakinya untuk diangkat keluar dari situ. Ayat yang baru sahaja diluahkan Encik Zack, terasa seperti telah membuat seluruh tubuhnya berhenti berfungsi.
“Maisara.....” panggil Zack lagi. Langkah Maisara terhenti sekejap.
“Tengahari nanti, tunggu saya, okey!”
“Tapi Encik Zack.......” Tubuh Maisara teralih.
“Tak de tapi-tapi,” Zack membuang pandangannya pada dokumen-dokumen di atas mejanya. “Saya sibuk. Kita jumpa tengahari nanti!”
Maisara mengeluh lalu berjalan keluar.
Encik Zack ni memang suka mendesak!

MAISARA melirik jam ditangannya. Hampir jam satu tengahari. Dia melirik pula pejabat Encik Zack. Masih belum ada-tanda-tanda lelaki itu akan keluar dari kamar kerjanya. Teman sepejabatnya satu persatu sudah mula beransur pergi. Lampu di ruang pejabat juga sudah di tutup.
Mana Encik Zack ni? Lapar dah ni.....
Maisara memegang perutnya yang sudah memulas minta diisi. Jam di tangan di lirik lagi.
“Sara!”
Satu suara garau menegurnya. Tersenyap Maisara seketika kerana terkejut. Apa lelaki itu buat di sini?
“Awak belum keluar makan lagi?” suara itu bertanya.
Maisara berpaling ke tuan empunya suara itu. Kelihatan Fariz sedang tegak berdiri sambil memegang briefcasenya. Di satu sudut lain kelihatan Mr. Lim sedang berbual dengan seseorang.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Maisara kembali.
“Saya dan Mr. Lim ada meeting dengan klien,” jawap Fariz sambil matanya melirik Mr. Lim sekejap. “Awak tunggu siapa?” tanya Fariz lagi.
Maisara mengetap bibir. Lidahnya mula terasa kelu. Macam mana Fariz boleh berada di sini. Sedangkan apa yang dia tahu, lelaki itu telah pun memohon cuti selama seminggu. Apa yang perlu dikatakan kepada Fariz? Mana mungkin dia memberitahu dia sedang menunggu Encik Zack untuk makan tengahari bersama.
Fariz masih lagi menunggu jawapan Maisara. Perasaannya dapat meneka sesuatu yang tidak enak. Kerana itulah dia mengambil keputusan untuk datang ke Nusmefa Emas. Kebetulan ketika dia berjumpa Mr. Lim, lelaki itu memberitahu dia akan menghadiri mesyuarat dengan wakil dari syarikat penjualan hartanah. Mungkin ini kesempatannya untuk mendapatkan maklumat tentang tanah-tanah yang bernilai untuk dimajukan.
“Encik Fariz!” Satu suara menegur.
Fariz dan Maisara beralih kepada suara itu. melihatkan kelibat Zack yang sedang berjalan menghampiri mereka. Jantung Maisara sudah berdegup. Dia melirik Fariz yang masih lagi memandang Encik Zack.
Zack menghampiri Fariz lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Fariz menyambut.
“Lama tak jumpa Encik Fariz! Apa khabar?” Zack cuba bermesra.
Sejak dia tahu, Maisara adalah adik ipar Encik Fariz, dia telah bertekad untuk menjalinkan hubungan baik dengan Encik Fariz. Mungkin dengan cara itu, Encik Fariz akan menerimanya bersama dengan Maisara.
“Alhamdulillah........” Fariz membalas dengan senyuman.
“Sebenarnya, kami nak keluar lunch. You wanna join us?”
Pandangan mata Fariz beralih kepada Maisara. Maisara tertunduk apabila mendapat renungan tajam dari lelaki itu.
“Tak pelah......saya ada meeting dengan Mr. Lim,” ujar Fariz.
“What’s up? Why everyone is gathering? Is there any important discussion is going on?” Mr. Lim menghampiri mereka.
No....nothing! Jom Mr. Lim!” Fariz terus berlalu. Sempat dia melemparkan pandangan kurang senang pada Zack.
Zack mengangkat keningnya sambil matanya masih terus memerhatikan kelibat Mr. Lim dan Encik Fariz yang berlalu pergi.
“Wow!! Abang ipar awak tu, macam tak suka dengan saya je!” Zack kembali memandang Maisara.
Gadis itu hanya tersenyum.

Tuesday 11 May 2010

Hanya Dia 25





BAB 25



ILYANA menyelak langsir yang menutupi cermin tingkap lalu membuang pandangannya ke luar jendela. Dia menyandarkan tubuhnya di dinding dan memandang ke bawah dari tingkat tiga puluh bangunan itu.
Matanya mencerlung memandang manusia-manusia yang kelihatan seperti semut sedang bergerak menuju ke destinasi masing-masing. Pandangannya jatuh pula kepada deretan kereta-kereta yang di parkir di situ lalu memandang pula pada kereta-kerata yang menyusuri jalan raya.
“Fariz!!” Nama itu tiba-tiba meniti di bibirnya.
Dengan rasa marah Ilyana menutup langsir dan kembali semula ke kerusinya dan menyandarkan tubuhnya di situ. Matanya meliar pula memandang segenap sudut pejabatnya.
Kamar pejabatnya besar dan luas. Segala sudut hanya perabot-perabot mewah yang tersusun. Dinding-dindingnya pula tergantung indah lukisan-lukisan yang dibeli dengan harga ribuan ringgit. Di sebelah kiri, terdapat pula sebuah pintu yang memisahkan pejabatnya dengan kamar peribadi yang dikhas untuknya.
Kamar itu lengkap dengan set kamar tidur, kamar mandi dan tandas peribadinya. Sebuah almari besar juga diletakkan disudut dan almari itu dipenuhi dengan baju-baju untuk memudahkannya menukar pakaian pada bila-bila masa. Kamar itu digunakan untuk merehatkan diri setelah dia keletihan menguruskan perniagaannya.
Syarikatnya yang menguruskan segala keperluan bahan-bahan mentah untuk pembinaan mempunyai beberapa buah kilang. Adakalanya dia terpaksa menggantikan tempat abah dan turun ke kilang apabila terdapat masalah yang berkaitan dengan mesin-mesin pemprosesan.
Walaupun bosan dengan kerja-kerjanya, namun kerana dia satu-satunya pewaris Syed Hussin dan Syarifah Nur Ain, terpaksalah dia berkecimpung juga dalam perniagaan ini.
Segala-galanya sempurna untuk Ilyana. Apa sahaja yang diigini pasti didapatkan. Walid dan umi sentiasa menurut kemahuannya. Tetapi kenapa hal yang satu ini amat sukar untuk dimiliki?
Fariz!!!
Mengingatkan lelaki itu, hatinya berdarah kembali. Sejak dia mengenali Fariz ketika belajar di London dahulu, lelaki itu sudah menarik perhatiannya. Namun, di mana kekurangannya Fariz hanya menganggap dia sebagai kawan dan tidak lebih dari itu. Alasannya, dia menumpukan perhatian pada pelajaran.
Selepas menamatkan pelajaran, Fariz hilang entah ke mana. Semua kawan-kawan di tanya tentang Fariz. Tetapi tiada satu pun yang tahu mengenainya. Selepas tiga tahun baru dia menemui Fariz semula. Itu pun secara kebetulan apabila syarikat Fariz menandatangi kontrak dengan syarikatnya untuk pembekalan bahan-bahan mentah.
Berjumpa Fariz semula bagai mendapat nyawa baru untuknya. Mulanya memang dia agak terkejut apabila mengetahui status Fariz. Namun, dia cuba untuk menerima Fariz sebagai duda anak satu.
Tetapi setiap kali dia ingin mendekati lelaki itu, ada sahaja halangan yang terpaksa ditempuhinya. Maisara!
Kenapa perempuan itu perlu menjadi penghalangnya seandainya tiada sekelumit kasihnya pada Fariz. Begitu juga dengan Fariz. Mengapa Maisara juga yang perlu dipilihnya? Takkan semuanya kerana Aiman dan kerana arwah isterinya?
“Argh!!!”
Ilyana menghentak mejanya. Genggaman tangannya dikuatkan.
Segala anganan dan impiannya berkacai tatkala Fariz membawa berita tentang persetujuan Maisara.
Terbayang di ruang mata Ilyana, Fariz dan Maisara sedang bergembira menyambut hari pernikahan mereka hari ini dan dia......keseorangan merawat hatinya yang luka.
Walaupun pernikahan ini dirahsiakan dan hanya diketahui oleh mereka yang tertentu seperti permintaan Maisara. Namun dia juga telah dijemput oleh Fariz untuk menyaksikan pernikahan mereka. Tetapi apakan daya, dia tidak sanggup untuk melihatnya!
Bam!! Sekali lagi Ilyana menumbuk mejanya.
Walau sekalipun mereka telah bersatu, aku akan pastikan Fariz tetap akan menjadi milik aku!!

Sebaik sahaja ucapan ijab dan Kabul dilafazkan, mereka mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh Tuan Khadi.
Walaupun Maisara melakukan semua ini demi Aiman, entah mengapa sebaik sahaja kata sah kedengaran dari saksi-saksi, hatinya tersentuh dan airmatanya jatuh juga di pipi.
Fariz mengerling Maisara sebentar selepas sahaja doa selesai di baca. Tatkala ini dia dapat merasakan di dalam hatinya bagai ada bunga-bunga indah yang berkembangan. Kemudian, Fariz yang berbaju melayu bewarna putih berjalan menghampiri Maisara.
Maisara hanya menundukkan wajahnya tatkala Fariz duduk berhadapan dengannya. Wajahnya mula merona merah seolah-olah dapat merasakan wajahnya direnung oleh lelaki itu.
Rosnah yang berada di sebelah Fariz menyerahkan cincin. Fariz menyambut lalu jari jemari kanan Maisara di ambilnya. Dia terasa jari jemari itu kesejukan. Mungkin Maisara merasa gemuruh. Lalu dia menyarungkan cincin emas putih yang ditengahnya diletakkan sebatu berlian.
Maisara menunduk bersalam dan mencium tangan lelaki itu. dia dapat merasakan satu ciuman singgah di dahinya. Tiba-tiba sahaja dia terasa bahagia......
“Ma....ma....ma.....” Kedengaran suara halus memanggilnya.
Aiman terkedek-kedek melangkah menghampirinya. Maisara menjulurkan kedua-dua tangannya. Aiman ketawa sambil mengaturkan langkahnya. Sebaik sahaja tiba di depan Maisara, lantas Maisara memeluknya dengan erat.
“Sayang anak mama!”
Fariz tersenyum gembira melihat Maisara dan Aiman yang sedang berpelukan. Di dalam hati dia bersyukur kepadaNya. Akhirnya harapan Suhana termakbul. Walaupun dia tahu Maisara melakukan semua ini kerana Aiman. Tetapi dia berjanji, dia akan mengembalikan semula cinta Maisara yang telah hilang.

MAIMUN melirik Maisara yang sedang leka bermain dengan Aiman. Sedari tadi anak kecil itu yang dilayannya. Suaminya Fariz langsung tak diendahkan.
Walaupun Maisara telah menerangkan kepadanya bahawa dia menerima Fariz semata-mata kerana Aiman dan dalam masa yang sama sekadar menunaikan amanat arwah Suhana, namun dia mahu anaknya itu lupa kewajipannya sebagai seorang isteri.
Walaupun dia tidak cintakan Fariz, namun syurga seorang isteri adalah ketaatan kepada suaminya.
Sejak pulang dari masjid tadi, Fariz membawa haluannya sendiri setelah Maisara kelihatan tidak berminat untuk berdekatan dengannya.
Malam sebelumnya, dia telah mengingatkan Maisara untuk mengemas pakaiannya kerana setelah mereka pulang dari masjid, Maisara perlu pulang bersama-sama Fariz ke Tanjung Bungah.
Tetapi sebaik sahaja mereka ingin berangkat pulang dari masjid, Maisara berkeras tak mahu pulang bersama Fariz. Akhirnya, setelah berbincang dengan kedua besannya, mereka bersetuju, Fariz dan Maisara akan pulang ke Pantai Miami. Fariz rela beralah asalkan Maisara dapat dipujuknya kembali.
Maisara yang masih berbaju kurung putih satin direnungnya lama dari jauh.
Sebagai ibu dia sentiasa mengimpikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Pernah dia berniat untuk membuat majlis perkahwinan yang terindah untuk mereka. Namun, cita-citanya itu hanya sekadar anganan. Baik ketika perkahwinan Suhana dahulu mahu pun perkahwinan Maisara.
Dahulu, ketika Suhana meluahkan niatnya untuk mendirikan rumahtangga, dia menangis kerana terlalu gembira. Tetapi harapannya untuk melihat anak sulungnya itu bersanding dalam suasana yang meriah tidak kesampaian apabila Suhana hanya mahukan majlis yang ringkas sekadar dihadiri oleh sanak-saudara yang dekat, jiran tetangga dan sahabat handai.
Berkali-kali dia cuba memujuk Suhana, namun Suhana tetap menolak. Dia tetap dengan keputusannya untuk diraikan dengan majlis ringkas.
Akhirnya, diturutkan sahaja permintaan anak sulungnya itu. Dan dia bertekad takkan membiarkan perkara yang sama berulang untuk Maisara.
Tetapi apa yang berlaku sekarang sama seperti ketika perkahwinan Suhana dahulu. Namun, ia jauh lebih ringkas dari majlis perkahwinan Suhana. Hanya akad nikah di masjid dan jamuan kecil.
Maimun menghembus nafas kecewa. Mengenangkan anaknya itu, dia menjadi sebak. Dia tahu, tak sepatutnya dia menyalahkan Maisara. sedangkan mereka semua sedia tahu dari awal lagi tentang keengganannya untuk menerima Fariz.
Hanya kepada Fariz sahaja dapat disandang harapan untuk menyemai cinta antara mereka berdua.

Monday 3 May 2010

Hanya Dia 24



BAB 24




“SARA!!” jeritan Maimun mematikan lamunan Maisara.
“Ya, mak! Sara datang ni!” Maisara menjerit dari kamarnya.
Dia membelek-belek wajahnya di cermin kemudian memusing-musing badannya untuk melihat penampilannya. Setelah berpuas hati, dia melangkah menuruni anak-anak tangga lalu mendapatkan kedua-dua orang tuanya.
Kemudian mereka bertiga memasuki perut kereta.
Dalam perjalanan untuk ke rumah Fariz, Maisara hanya membisu melayani perasaannya sendiri. Perbualan antara umi dan abah langsung tidak diendahkan.
Malam ini mereka sekeluarga telah dijemput oleh Rosnah dan Ismail. Makan malam biasa yang bertujuan untuk berkumpul antara kedua keluarga Aiman.
Kedua-dua keluarga sudah bersetuju untuk mengadakan jamuan makan setiap hujung bulan, memandangkan sudah setahun berlalu dan Maisara masih tetap membuat keputusannya. Mereka melakukan ini semua demi Aiman. Agar anak kecil itu tidak akan terpisah antara salah satu keluarga.
Ketika memberitahu cadangan ini kepada Maisara, dia hanya bersetuju tanpa bangkangan. Senang hati Khalid dan Maimun.
Setibanya di banglo tiga tingkat itu, mereka disambut dengan penuh mesra. Walaupun Maisara sering ke rumah itu sama ada untuk mengambil Aiman atau menghantar Aiman pulang, kehadirannya amat ditunggu-tunggu oleh mereka semua.
Setelah bersalaman dan berpelukan dengan Rosnah, Maisara terus mendapatkan Aiman. Aiman bersorak girang melihat Maisara dan yang lain.
Pipi gebu Aiman dicium bertalu-talu. Walau sebanyak mana pun pipi itu dicium, rindunya pada Aiman tetap tidak pernah hilang.
Maisara tahu sepasang mata Fariz tidak lekang dari melihatnya. Namun, sengaja dia pura-pura tidak perasankan itu. Melihatkan Fariz, dia teringatkan Ilyana dan pelukan mereka. Hatinya menjadi sakit setiap kali paparan itu yang menerjah di ruang matanya.
Fariz sekadar melihat gelagat Maisara yang leka dengan Aiman. Sedari tadi dia cuba menghampiri Maisara, namun gadis itu kelihatan dingin sekali hingga sukar untuk dia mendekati.
Sara......Kalaulah kau tahu betapa aku terlalu rindukanmu........
Setelah berbual seketika dengan mereka, Maisara menyerahkan Aiman kepada Maimun lalu dia melangkah ke dapur. Kasihan dia melihat Tarti seorang diri menghidangkan jamuan.
Ismail yang melihatkan Maisara berlalu pergi lantas beralih memandang Khalid.
“Macam mana? Masih belum ada apa-apa?”
Khalid yang cukup mengerti soalan itu hanya menghembus nafas hampa lalu menggelengkan kepalanya.
Ismail berpaling kepada Fariz. Memang dia tahu sejarah Fariz dan Maisara. Namun seperti janjinya kepada Fariz, dia akan merahsiakan perkara itu. Lagipun, dia sendiri tidak diberitahu mengapa Fariz memilih Suhana dahulu. Biarlah ia menjadi rahsia Fariz.....
“Fariz tak cuba dekatkan diri dengan Sara?” tanya Maimun walaupun dia sendiri tahu Maisara yang kerap menjauhkan dirinya dari Fariz.
“Entahlah umi......” Hanya itu saja yang mampu dijawabnya.
“Umi adalah jugak bertanyakan Sara tentang hal ni. Tapi, masih belum ada keputusan,” Maimun mengetap bibirnya.
“Walau macam mana pun, selagi Sara belum menolak, bermakna masih ada harapan!” suara Rosnah untuk menghilangkan kesugulan mereka.
Wajah mereka yang lain bersinar. Benar kata Rosnah. Selagi Maisara belum memberi kata putus, selagi itulah mereka masih mempunyai harapan.
“Betul kata mama!” Fariz bersemangat semula. “Fariz akan lakukan apa saja untuk menyatukan Sara dengan Aiman!”
“Itu saja ke alasan kamu?” sindir Rosnah.
Bukan dia tidak tahu perasaan Fariz. Walaupun Fariz sentiasa memberi alasan semuanya kerana Aiman, namun jauh disudut hatinya nampak jelas Fariz juga mencintai adik iparnya itu.
Fariz tersenyum sumbing mendengar sindiran mamanya.
Sedang mereka berbual, muncul Maisara menjemput mereka semua ke meja makan. Kemudian Maisara mengambil Aiman dari pangkuan Rosnah dan membawanya bersama untuk menjamu hidangan.

MAISARA mengerling ibubapanya dan ibubapa Fariz yang sedang rancak berbual sambil melayan cucu mereka. Berkekek-kekek Aiman ketawa apabila disakat mereka. Ceria sungguh anak itu.
Sengaja Maisara membiarkan saja anak kecil itu bersama mereka. Sekurang-kurangnya dapatlah juga cucu yang satu itu bermanja dengan atuk-atuk dan nenek-neneknya. Selama ini mereka masing-masing terlalu sibuk dan masa yang terluang untuk Aiman bisa dikira dengan jari.
Dia meliar seketika di laman depan. Sedari tadi dia mencari Fariz tapi lelaki itu langsung tidak kelihatan. Dia melangut ke atas dan mengosongkan fikirannya. Cuba menenangkan diri.
Setelah berfikir panjang dan memikirkan segala kemungkinan, akhirnya keputusan telah dibuat. Mungkin inilah jalan yang terbaik untuk Aiman.
Sejak akhir-akhir ini, kisah anak-anak malang yang didera sama ada oleh pengasuh, penjaga atau ibu bapa sendiri sentiasa bermain di fikirannya. Teganya mereka yang bernama manusia itu mencederakan anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Lebih menyedihkan apabila ibu bapa sendiri juga sanggup melakukan sedemikian.
Tidakkah mereka merasa kasihan melihat anak-anak kecil itu menangis dan meraung apabila tubuh kecil mereka disakiti?
Si ibu itu, tidakkah dia merasa kasih pada anak yang dikandung selama sembilan bulan dalam rahimnya sendiri? Sehingga tergamak membuang anak-anak yang tidak berdosa bagai membuang bangkai binatang?
Ya Allah........Kasihanilah anak-anak itu.......
Titisan airmata Maisara jatuh ke pipi. Pantas dia menyeka. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan diri.
Sejak dia mengenali Aiman, memang jiwanya agak sensitif tentang perkara-perkara sebegini. Mendengar sahaja ada bayi yang dibuang atau ada anak-anak yang didera, laju sahaja airmatanya tumpah.
Dia tidak mahu Aiman mengalami nasib yang sama dengan anak-anak malang itu. Biarlah dia menjadi lilin yang sanggup membakar diri demi masa depan seorang anak kecil yang bernama Aiman.
“Sara?!” tegur Fariz.
Sejak beberapa ketika yang lalu dia berdiri di belakang Maisara dan memerhatikan gadis itu yang hanyut dalam dunianya sendiri. Tiba-tiba sahaja dia melihat Maisara mengangis? Kenapa? Apa yang membuatkan gadis itu bersedih?
Maisara keget seketika mendengar suara di belakangnya. Tetapi kemudian dia berpaling ke belakang memandang Fariz.
“Kenapa?”
Maisara menggelengkan kepalanya lalu perlahan-lahan melangkah ke depan dan duduk di bangku.
“Ilyana apa khabar?” tanya Maisara.
Fariz tidak menjawap terus soalan itu. Dia berjalan mendekati bongkah kayu yang berdekatan dengan bangku yang sedang diduduk oleh Maisara lalu melabuhkan punggungnya di situ. Dia mengetap bibir seketika.
“Macam biasa.”
Maisara mengerling Fariz.
“Saya tahu saya tak berhak masuk campur dalam hidup awak,” Maisara bersuara. “Tapi rasanya, kalau berkaitan dengan Aiman.......” Maisara menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa?” Berkerut dahi Fariz.
“Soal awak nak kahwin dengan Ilyana, itu terpulang pada awak. Tapi, saya......” Kelu lidah Maisara untuk menerangkan maksudnya.
Argh......Tak kisahlah perigi cari timba ke.......timba cari perigi ke.....kau tetap kena cakap Sara!!!
Maisara menggenggam tangannya kuat-kuat seolah-olah memberi kekuatan pada dirinya sendiri. Matanya dipejam rapat.
“Saya tetap nak jadi mama Aiman!” Maisara tertunduk.
Fariz mengetap bibirnya melihat reaksi Maisara yang sedikit aneh.
“Tapi, kan saya dah beritahu awak! Kalau awak nak jadi mama Aiman, awak kena kahwin dengan saya!”
Bodoh Fariz!! Kenapa kau tak faham-faham!!
Wajah Maisara merona merah menahan malu dan marah. Walaupun di posisi sebegini di mana Fariz tidak dapat melihat wajahnya, namun Maisara terasa darahnya menyelubungi seluruh wajahnya.
“Itulah.....maksud saya.....” Perlahan sahaja suaranya. “Saya nak jadi mama Aiman!” Maisara mesih tertunduk.
Suasana sepi seketika. Fariz masih memerhati Maisara sambil dahinya berkerut cuba memahami maksud gadis itu.
Tiba-tiba Fariz ternganga. Rasanya seperti dia sudah dapat menangkap maksud Maisara. Kemudian matanya bersinar.
“Maksud awak? Awak setuju nak jadi satu-satunya mama Aiman?” soal Fariz inginkan kepastian. Maisara menganggukkan kepalanya sekali.
Syukur Ya Allah........
Fariz menadah tangan memanjat kesyukuran pada Yang Esa.
“Tapi.........” Maisara bersuara. “Saya harap awak berterus terang dengan Ilyana. Beritahu dia, saya takkan halang hubungan dia dengan awak. Saya buat semua ni semata-mata kerana Aiman. Saya tak kisah pun kalau awak nak berkahwin dengan dia atau mana-mana perempuan sekali pun.”
Fariz diam seketika sambil tertunduk ke bawah. Perasaannya agak terguris sedikit. Memang dia berharap masih ada cinta Maisara untuknya. Namun seandainya cinta itu telah hilang dan Maisara menerimanya hanya kerana Aiman, dia redha.
“Awak jangan risau. Kalau awak yang jadi isteri saya dan mama Aiman, bermakna tiada isteri lain untuk saya dan tiada mama lain untuk Aiman.”
Tersenyap Maisara seketika. Kata-kata itu kedengaran lahir dari hati yang ikhlas. Dia dapat merasakannya.
Namun pantas sahaja rasa kejujuran yang dirasakannya dari kata-kata Fariz terhapus apabila bayangan pelukan Fariz dan Ilyana terlintas di ruang mata.
Argh.......aku takkan tertipu lagi dengan pembohongan Fariz! Cukuplah sekali!
“Saya masuk ke dalam dan beritahu mereka semua tentang berita baik ni!” Fariz bangun untuk melangkah ke dalam.
“Nanti Fariz!” Maisara menghalang. Fariz berpaling memandang Maisara.
“Saya setuju........tapi bersyarat!”
“Syarat?!!”