Tuesday 29 June 2010

Hanya Dia 31


BAB 31


MAISARA mengerling Fariz di sebelahnya. Pandangan lelaki itu hanya tertumpu di jalan raya. Pandangannya dilemparkan semula ke luar tingkap.
Ingin sahaja dia menghamburkan kemarahannya kepada Fariz kerana tiba-tiba sahaja lelaki itu membatalkan percutian mereka. Dek kerana kehadiran Tarti bersama, didiamkan sahaja rasa marah yang bersarang di dalam hati.
Aiman yang sedang lena di pangkuannya di tatap lama sambil tangannya mengusap ubun-ubun kepala anak kecil itu. Kasihan Aiman!
Maisara mengerling Tarti di belakang dengan cermin tepi. Mata gadis itu tertutup rapat. Kedengaran dengkuran halus. Tarti sudah pun terlena. Mungkin inilah peluangnya untuk bertanya dengan Fariz.
Dia tidak pasti apa yang berlaku. Apa yang dia tahu, setelah Fariz mendapat panggilan, terus sahaja lelaki itu memutuskan untuk pulang dari bercuti. Belum sempat ditanya sebabnya. Pantas sahaja Fariz mengeluarkan arahan kepada dia dan Tarti untuk mengemas semua barang-barang mereka.
Mungkinkah sesuatu yang tidak baik telah berlaku? Telahan Maisara. Tetapi kenapa Fariz tidak memberitahunya. Sedari tadi lelaki itu mendiamkan diri dan bermenung sendirian.
“Kenapa tiba-tiba je ni?” Maisara memecah kesunyian antara mereka.
Fariz tersedar dari lamunannya apabila mendengar teguran itu. Dia mengerling Maisara sebentar.
“Apa?”
“Siapa yang telefon awak tadi?” tanya Maisara lagi tanpa mengulangi soalan sebelumnya.
Fariz terdiam. Perlukah diberitahu siapa yang menghubunginya. Dia khuatir jika Maisara tahu, hubungannya dengan Maisara akan menjadi semakin renggang.
Melihatkan reaksi Fariz, Maisara dapat mengagak sesuatu.
“Awak jangan cuba-cuba nak tipu saya. Ilyana yang telefon?” Maisara cuba menyerkap jarang walaupun dia benar-benar yakin Ilyana yang menghubungi Fariz.
Selama dia mengenali Fariz dia cukup mengenali sikap lelaki itu. Mendiamkan diri lama sebegitu bermakna ada sesuatu yang tidak kena. Pasti Fariz cuba untuk mengarang ayat atau alasan untuk menjawab soalannya.
Tentu sahaja Fariz tidak mahu dia tahu gerangan yang menghubungi Fariz sebentar tadi. Jadi itu bermakna, orang itu adalah seseorang yang bisa membuatkannya menjadi kurang senang. Tidak lain dan tidak bukan, pastinya Ilyana.
“Dia ada masalah sikit. Jadi dia minta saya bantu....” Dengan berat hati, Fariz memberitahu juga.
Maisara mencebik bibirnya sambil pandangannya dibuang ke luar tingkap.
“Saya tak kisah. Bukan saya tak tahu hubungan awak dengan dia. Tapi sekurang-kurangnya, fikirkanlah tentang Aiman. Kesian dia! Ini kali pertama awak bawa dia pergi jalan-jalan, dah jadi macam ni!”
“Aiman?!” Fariz menghembuskan nafas kurang senang. Tidak ada langsungkah rasa cemburu gadis itu pada Ilyana? “Semuanya tentang Aiman? Jadi awak langsung tak kisah?”
Giliran Maisara pula menghembuskan nafas kurang senang. Memang dia cuba berlagak biasa. Sedang di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati dia apabila Fariz sanggup membatalkan percutian mereka semata-mata kerana Ilyana. Kalau dia tahu ini yang akan terjadi, pasti dia berkeras dengan umi untuk tidak mengambil cuti dan mengikut Fariz. Sudahnya, dia sendiri yang sakit hati!

FARIZ menjinjit bagasi lalu di letakkan di ruang tamu. Setelah bersalam dengan Rosnah, Dia menghampiri Maisara.
“Awak dengan Aiman tinggal di sini dulu. Saya nak cepat. Esok kita balik rumah umi.”
Fariz menghulurkan tangan. Maisara menyambut lalu tunduk menyalami Fariz. Fariz tersenyum lalu mengusap lembut rambut isterinya.
Langkah Fariz diekori Maisara dengan ekor matanya. Dia menjeling geram. Kerana Ilyana, Fariz sanggup meninggalkan mereka!
Dia menghampiri Aiman yang sedang ralit bermain dengan kapal terbang mainan. Dia memeluk Aiman lalu mencium pipi gebu itu.
“Kesian anak mama!”
Aiman yang tidak mengerti ketawa apabila dipeluk begitu sambil tangannya menepuk-nepuk pipi Maisara.
“Sara....” tegur Rosnah yang baru datang dari dapur. “Mama dah masak. Kalau lapar, pergilah makan.”
“Nantilah ma,” Maisara tersenyum. “Sara belum lapar lagi.”
“Kalau macam tu, pergilah naik berehat. Bawa Aiman sekali!” ujar Maimun. Maisara hanya menganggukkan kepalanya.
Aiman dipangkunya lalu dia memanjat anak-anak tangga untuk ke kamar Fariz. Sampai sahaja di depan pintu kamar lelaki itu, langkahnya terhenti.
Inilah kali pertama dia akan menjejakkan kaki ke bilik itu selepas mereka berkahwin. Satu perasaan yang aneh menyingkap di dalam hati. Perasaan berdebar dan gusar sehingga membuatkan jantungnya berdegup laju.
Dia kembali teringat kepada arwah Suhana. Bagaimana kalau dia masuk ke dalam kamar itu dan barang-barang Kak Su masih ada tersimpan? Bolehkan dia berhadapan dengan realiti sebegitu. Sedangkan sehingga ke saat ini, walaupun berkali-kali dia berkata kepada dirinya sendiri untuk memaafkan segala yang terjadi antara mereka, tetapi dia tetap tidak dapat melupakannya dan menerima dengan hati yang lapang.
Digagahkan juga hatinya, lalu perlahan-lahan daun pintu dibuka. Terkejut dia melihat pada perhiasan kamar pengantin yang berwarna hijau putih. Ternganga dia sekejap.
Tetapi kemudian dia teringat kembali pada hari pernikahannya. Sepatutnya selepas sahaja mereka diijapkabulkan dia perlu pulang bersama Fariz ke sini. Tetapi dia yang berkeras untuk pulang ke Pantai Miami. Mungkin persiapan ini adalah untuk hari penikahan mereka dahulu.
Ada rasa kesal menerjah di hati. Dia mula merasa dia seperti dia mementingkan diri. Tentu penat mama dan papa menghias semua ini untuk menyambutnya, tetapi dia senang-senang menolak untuk tinggal bersama mereka.
Maafkan Sara.........

AIMAN sudah terlena di katil kecilnya. Selepas dia memandikan Aiman dan memberinya makan, Aiman bermain sehingga letih. Melihat sahaja mata Aiman yang semakin layu, dia mengangkat anak itu lalu menepuknya sehingga dia terlena.
Kini Maisara sendirian di kamar itu. Dia mengerling jam dinding yang menunjukkan jam sembilan malam. Bayang Fariz masih belum kelihatan. Agaknya lelaki itu masih belum puas melepaskan rindunya pada Ilyana.
Matanya meliar memandang sekeliling. Lalu tumpuannya jatuh pada almari baju. Bagai ada sesuatu yang mendesaknya untuk membuka almari itu. Pantas dia berdiri dan menghampiri almari itu.
Tangannya sudah diangkat untuk mencapai cangkuk almari. Dia menguatkan hatinya. Biar apa pun yang dilihatnya, dia akan menerimanya dengan hati yang tenang. Tapi, bolehkah dia menjadi tenang seandainya di dalam almari itu masih tersimpan pakaian dan barang-barang Suhana?
Perlahan-lahan daun pintu ditariknya. Tiada! Dia membuka lagi pintu yang lain. Tiada! Dua lagi pintu almari dibuka. Tiada! Dia kembali pada pintu yang pertama lalu menyelak dan mencari lagi begitu juga dengan pintu yang lain. Tetap tiada!
Satu pun barang-barang Suhana tiada di situ. Dia terduduk di katil. Sangkanya dia hanya akan berperasaan kurang senang sekiranya barang Suhana masih tersimpan di situ. Namun, perasaan yang sama juga singgah di hati apabila mendapati tiada satu pun barang Suhana yang masih tersimpan.
Fariz sudah melupakan Kak Su? Begitu cepat dia melupakan arwah isterinya selepas wanita itu terkorban ketika melahirkan zuriatnya! Begitu mudah Fariz melupakan Suhana setelah cintanya pada Maisara beralih arah kepada Suhana? Bukankah lelaki itu mengorbankan cinta yang diberi Maisara semata-mata kerana Suhana?
Maisara kebingungan. Perasaan apakah yang hadir dalam hatinya? Bukankah sepatutnya dia gembira apabila mendapati tiada satu pun barang Kak Su masih disimpan Fariz? Bukankah dia sepatutnya lega tidak akan merasa sakit hati apabila bayang Kak Su tidak akan menghantuinya sekiranya barang milik Suhana dijumpai di kamar itu?
Apa yang tidak kena dengan dia? Dia benci pada Kak Su kerana merampas cintanya! Tetapi dalam masa yang sama dia marah kerana pengorbanan Kak Su seolah-olah tidak dihargai Fariz.
Kak Su! Kenapa Kak Su sanggup membiarkan perasaan Sara terhimpit begini?! Sampai hati Kak Su!

HAMPIR jam sepuluh tiga puluh malam, Fariz tiba di rumah. Rosnah menyambut kedatangannya setelah Maisara hilang di dalam kamar untuk menidurkan Aiman dan tidak turun semula untuk menunggu Fariz.
Setelah berbual seketika dengan Rosnah, dia melangkah ke tingkat atas.
Dia melirik Maisara dan Aiman yang sudah pun lena. Dia membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak yang masih belum dilaksanakan.
Kemudian, dia berbaring di sofa sambil tangannya diletakkan di dahi. Dia masih berfikir tentang Ilyana.
Dia merasa hairan mengapa tiba-tiba sahaja syarikat pembekal bahan mentah itu dituduh sebegitu? Atau sememangnya benar tuduhan itu? Tetapi seandainya benar, syarikatnya juga akan menghadapi masalah. Tapi tak mungkinlah syarikat itu terbabit dengan kesalahan sebegitu. Tak mungkin!
Hatinya masih berbolak balik sama ada untuk mencurigai Ilyana atau menyokongnya. Selama dia berkerjasama dengan syarikat warisan keluarga Syed Hussin itu, dia tidak pernah menghadapi apa-apa masalah. Mungkin ini adalah satu perbuatan khianat! Ya! Tak mungkin Warisan Syed itu melakukan perkara yang bisa menjatuhkan imej dan kredibiliti mereka.
Kasihan dia melihat Ilyana yang sedang dalam kegusaran. Beria-ia dia memohon Fariz untuk membantunya menyelesaikan segala tuduhan ini.
Dato’ Jamaluddin, pemilik sebuah syarikat pemaju yang juga merupakan teman baik papa telah bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Warisan Syed. Dek kerana itu, Ilyana meminta bantuannya untuk menjadi orang tengah bagi membantunya menyelesaikan perkara ini.
Menurut kenyataan Ilyana, Dato’ Jamaluddin secara peribadi telah datang ke Warisan Syed untuk bersemuka dengan Ilyana. Menurutnya, Warisan Syed telah menipu mereka dengan meletakkan bahan-bahan campuran yang lain pada bahan-bahan mentah yang dibekalkan.
Mengikut keputusan kajian yang di hantar Dato’ Jamaluddin untuk mengkaji kandungan bahan-bahan mentah yang diterima telah menunjukkan terdapat benda asing dan bahan campuran lain kepada bahan-bahan bekalan dari Warisan Syed.
Dia pasti Warisan Syed telah disabotaj oleh pihak tertentu. Pasti Ilyana dalam keadaan tertekan apatah lagi di saat ini kedua orang tua Ilyana berada di luar negara. Dia terpaksa menghadapi semua ini bersendirian.
Fariz menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. Mungkin Ilyana patut menghubungi keluarganya dan meminta mereka pulang ke sini untuk menyelesaikan masalah ini. Itulah jalan pertama yang dapat difikirkannya sekarang.
Kemudian, dia perlu mencari jalan bagaimana mahu meminta bantuan papa untuk berbincang dengan Dato’ Jamaluddin tentang keputusannya untuk membawa perkara ini ke pihak pengadilan.
Tapi mahukah papa membantu Ilyana sedangkan ternyata papa kurang senang dengan Ilyana?
Fariz menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Berserabut kepalanya memikirkan perkara ini. Tapi dia sudah berjanji untuk membantu Ilyana sekadar yang termampu. Sebagai seorang sahabat, dia pasti akan membantu Ilyana selagi Ilyana berada di pihak yang benar.
Semoga Ilyana tabah menghadapi ujian ini!
Di dalam hatinya memohon kepada Tuhan agar memberi ketabahan kepada gadis itu. Masalah yang dihadapi Ilyana sekarang memang agak berat untuk ditanggung.

Monday 21 June 2010

Hanya Dia 30


BAB 30


SELEPAS sahaja menunaikan solat Subuh, Maisara dan Tarti sudah sibuk menyediakan sandwich tuna. Dua bungkus roti Gardenia panjang untuk sepanjang perjalanan hari ini. Fariz masih lagi di kamar menemani Aiman sambil membaca buku.
Selepas menyediakan sandwich, Maisara buru-buru masuk ke dalam kamar untuk menyiapkan barang-barang keperluan Aiman seharian. Sempat lagi dia berpesan kepada Tarti agar tidak lupa membawa air minuman sekali.
Fariz yang sedang membaca, mengalihkan perhatiannya kepada Maisara yang baru masuk ke dalam kamar.
Maisara mengambil beg Aiman, lalu memasukkan beberapa helaian pakaian dan lampin pakai buang. Segala keperluan untuk membancuh susu Aiman juga di susun satu persatu ke dalam beg.
Setelah mengemas semuanya dan pasti tiada satu pun yang tertinggal, Maisara memanjat katil lalu perlahan-lahan memanggil nama Aiman. Tangannya menyapu lembut wajah comel Aiman untuk mengejutkan anak itu dari tidurnya. Kasihan Aiman, tidurnya terpaksa diganggu.
Setelah Aiman berjaga, Maisara memandikannya dengan air suam lalu menyiapkan Aiman dengan pakaian baru untuk memulakan perjalanan. Sebelum mereka berangkat, Maisara sudah pun membancuh sebotol susu untuk Aiman sebagai sarapan pertamanya.
Sebelum mereka terus dengan rancangan perjalanan, mereka bersarapan dahulu di restoran. Sekadar mengambil sarapan yang ringan agar tubuh mereka tidak terlalu berat untuk destinasi mereka yang selanjutnya.

DESTINASI mereka yang pertama untuk hari itu adalah di Air Terjun Telaga Tujuh. Destinasi itu yang pertaman dipilih oleh Fariz kerana mereka masing-masing masih segar dan masih mempunyai tenaga.
Sebelum mereka terus dengan rancangan perjalanan tadi, mereka telah pun bersarapan dahulu di restoran. Sekadar mengambil sarapan yang ringan agar tubuh mereka tidak terlalu berat untuk destinasi mereka yang selanjutnya.
Untuk sampai ke puncak, terdapat enam ratus tiga puluh lapan anak tangga yang perlu di daki. Dan jarak ketinggian air terjun Telaga Tujuh adalah empat ratus lapan puluh meter. Satu perjalanan yang benar-benar meletihkan.
Sudah beberapakali mereka berhenti untuk berehat dan melepaskan penat. Mujurlah anak-anak tangga yang dibina tidak terlalu tinggi. Lebar dan rendah. Sekurang-kurangnya, mereka tidak memerlukan tenaga yang lebih untuk mengangkat tubuh mereka.
Tiba sahaja di anak tangga terakhir, masing-masing sudah rebah melepaskan lelah. Kesempatan ini diambil oleh Fariz dengan merakam gambar-gambar kandid mereka. Maisara menjeling apabila fotonya yang sedang mengurut lengan yang keleguhan diambil Fariz. Lelaki itu hanya tersenyum dengan jelingannya.
Tiba di pondok kayu tiga tingkat, mereka memilih untuk beristirehat di tingkat pertama. Hamparan tikar dan sandwich yang disediakan diatur sempurna. Tarti sedang menggendong Aiman sambil menunjukkan air terjun yang gah melempiaskan amarahnya pada batuan sehingga membentuk tujuh buah telaga itu.
Maisara pula sedang menyusun hidangan dan menuang air sebagai makan tengahari mereka. Sempat juga dia membeli gorengan pisang dalam perjalanan tadi.
Fariz mesih lagi leka dengan kamera dan video camp di tangannya. Pelbagai sudut dirakam sebagai kenangan. Setelah itu dia mendekati Aiman dan Tarti lalu mengambil gambar mereka.
“Aiman.......senyum sayang!”
Aiman yang seperti tahu-tahu gambarnya di ambil tertawa riang sambil tangannya melambai-lambai. Maisara yang memerhati tersenyum gembira melihat Aiman yang mencuit hati.
“Dahlah tu, jom makan!” ajaknya.
Tarti sudah membawa Aiman ke sisi Maisara. Fariz yang mahu menyertai mereka tiba-tiba berhenti untuk menjawap panggilan telefon yang berbunyi.
Ah.....dalam hutan begini masih ada talian!
“Ilyana.....”
Nama yang baru keluar di bibir Fariz membuatkan pandangan Maisara beralih kepadanya. Dengan rasa tidak senang dia memerhatikan langkah Fariz yang menjauhi mereka.

Friday 11 June 2010

Hanya Dia 29


BAB 29


FARIZ beratur untuk membeli tiket masuk ke Underwater World yang letaknya tidak jauh dari resort. Setelah membayar dan mendapatkan tiket, mereka masuk ke dalam.
Walaupun berkali-kali Maisara sudah tiba di Langkawi, tetapi inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke dunia lautan ini.
Memang cukup mengagumkan. Pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang terdapat di situ. Akurium kaca yang sangat tebal digunakan untuk memisahkan antara hidupan laut.
Beberapa kali gambar pelbagai jenis ikan diambil, terpaksa dipadam semula kerana latar belakangnya menjadi gelap. Begitu juga dengan Fariz. Mungkin kerana kacanya terlalu tebal sehingga latar belakangnya menjadi gelap. Hanya ikan-ikan yang menghampiri cermin kaca sahaja dapat diambil gambarnya.
Ketika tiba di kawasan kaca yang luas yang menempatkan hampir dua puluh ekor penguin, Aiman melompat-lompat meminta Maisara mendukungnya. Mungkin telatah beberapa ekor penguin yang tingginya melebihi Aiman, menakutkannya.
Tetapi lama-kelamaan Aiman kelihatan gembira pula melihat penguin-pengguin itu terkedek-kedek berjalan. Berdekeh-dekeh tawanya.
Beberapa foto penguin juga diambil walaupun latar belakangnya tetap nampak gelap. Kemudian, Fariz meletakkan Aiman di kaca yang berlatar belakangkan beberapa ekor penguin yang sedang berdiri memerhatikan mereka, lalu mengambil foto Aiman beberapa keping.
Mereka bergerak lagi berjalan masuk ke dalam. Tiba mereka di akuarium di mana sekeliling mereka adalah hidupan lautan melainkan lantai yang mereka jejaki. Mereka benar-benar terasa seperti mereka berada di dalam laut. Dan lebih menyeramkan, di atas kepala, di kiri dan kanan, terdapat banyak ekor ikan jerung yang sedang melintas. Pergerakkan yang pantas dan renungan mata yang tajam benar-benar melihatkan ikan-ikan jerung itu sebagai haiwan pemangsa yang perlu digeruni.
Melepasi sahaja ikan-ikan jerung itu, hanya ikan-ikan biasa sahaja yang terdapat di sepanjang perjalanan sehinggalah mereka tiba di satu sudut yang menempatkan rumah-rumah lama yang dibina kecil. Beberapa kepingan foto juga diambil dan kemudian mereka bergerak semula.
Kali ini mereka tiba di akuarium yang kecil yang menempatkan beberapa ekor haiwan yang jarang ditemui. Sampai di satu sudut di mana beberapa kuda laut sedang berenang-renang, perhatian mereka tertumpu di situ.
Kuda-kuda laut itu kelihatan bagaikan patung yang sedang bergerak-gerak. Sungguh mengagumkan. Apa yang lebih menarik perhatian mereka, seekor kuda laut yang bewarna hijau muda. Anggota badannya seperti ditumbuhi dedaun hijau. Sekali pandang kelihatan seperti ranting kayu yang bewarna hijau muda dan di kiri kanannya dilitupi dedaunan. Kebanyakan pelancong di situ juga kelihatan benar-benar terpegun melihat kuda laut itu.
Setelah keluar dari akuarium, mereka berjalan-jalan di sekitar tasik dan kemudian mengambil keputusan untuk makan tengahari di situ.
Aiman, yang sudah keletihan tertidur sebaik sahaja Maisara memberinya minum susu. Rasa kasihan pula, kerana Aiman belum pun sempat memakan sesuap nasi. Mujurlah dia membawa bekas kosong. Bolehlah dia menyimpan sedikit makanan untuk Aiman nanti.

DESTINASI mereka yang seterusnya adalah di Gunung Mat Cincang. Mengikut sejarah Langkawi, Gunung Mat Cincang diberi nama sempena nama pahlawan Mat Cincang yang lari bersembunyi di gunung itu. Di percayai Mat Cincang mati di situ dan sehingga kini tidak ditemui.
Setelah beratur hampir satu jam lamanya, akhirnya mereka dapat juga menaiki kereta kabel. Ketika kereta kabel itu mula bergerak, memang terasa takut dan sedikit gayat. Tetapi, Alhamdulillah.....mereka dapat menenangkan diri.
Sepanjang perjalanan menaiki Gunung Mat Cincang, video cam tidak lekang dari tangan Fariz. Begitu asyik dia merakam kehijauan alam dan puncak Gunang Mat Cincang dari kereta kebel yang mereka naiki sehinggalah mereka tiba di puncak. Tidak lupa juga dia merakam gelagat Aiman dan juga Maisara.
Sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki keluar dari kereta kebel itu, satu perasaan yang menyeramkan timbul dari hati Maisara. Masakan tidak, melihat pada titi kayu yang menghubungkan dua puncak di Gunung Mat Cincang itu, sudah menggerunkan hatinya. Tarti juga kelihatan takut.
Namun, sengaja dia memujuk Tarti dengan kata-kata untuk memberanikan pembantunya itu dalam masa yang sama seperti dia berkata kepada dirinya sendiri. Aiman yang tidak tahu bahaya itu sudah berlari-lari kecil. Gembira melihat titi-titi yang luas itu. Sedangkan Maisara sudah terkial-kial mengejarnya.
Fariz yang menyedari kerisauan Maisara, pantas menangkap Aiman dan mendukungnya. Lega hati Maisara melihat Aiman yang sudah berada dengan papanya.
Perlahan-lahan mereka menyusuri titi-titi itu untuk ke salah satu puncak. Di setiap puncak, didirikan satu kawasan yang luas berbentuk bulatan, untuk para pelancong melihat pemandangan.
Tatkala mereka tiba di kawasan yang luas itu, terdapat satu anak tangga untuk naik ke paras yang lebih tinggi. Mereka memberanikan diri untuk memanjat tangga-tangga itu dan ke aras yang lebih tinggi.
Di ketinggian sebegini, jelas mereka dapat melihat bentuk bumi yang membulat. Lautan yang membiru benar-benar kelihatan melengkung. Tidak lama berada di situ, mereka berjalan semula untuk ke puncak satu lagi.
Agak lama juga mereka berjalan-jalan di situ. Setelah matahati mula kelihatan jatuh barulah mereka memutuskan untuk turun dari situ.

MALAM itu seperti janji Fariz, mereka semua ke gerai pizza yang terletak di depan jalan resort.
Pizza sate yang sudah lama diidamkan Maisara, akhirnya dapat juga dinikmati! Tersenyum Fariz melihat wajah Maisara yang sedari tadi ceria setelah dapat makan apa yang diidamkan.

Wednesday 2 June 2010

Hanya Dia 28

BAB 28


FARIZ memasukkan kunci dalam lubangnya. Lalu menolak daun pintu. Bagasi yang dibawa, diangkat satu persatu ke dalam. Tarti juga sedang sibuk menolong Fariz mengangkat bagasi ke dalam.
Maisara yang sedang mendukung Aiman, melirik mereka sebentar. Kemudian pandangannya jatuh semula pada kecantikan persekitaran Bon Ton Resort. Resort ini memang indah. Seperti berada di kawasan perkampungan Melayu. Terserlah keaslian Asia melalui lanskap dan kayu-kayu asli yang digunakan.
Pohon-pohon nyiur terdapat disepanjang resort itu sedang melambai ditiup sang bayu. Udara yang nyaman dan tenang. Setenang air kolam yang berdekatan dengan chalet yang diinapi mereka.
Maisara meletakkan Aiman di bawa. Berlari-lari Aiman dengan gelak tawa yang gembira.
Fariz tersenyum melihat Maisara dan Aiman yang sedang bergembira di halaman yang penuh kehijauan.
“Bapak!” tegur Tarti. “Anu.....biliknya cuma ada satu....Saya, tidurnya di mana?”
Fariz tersenyum. Memang sengaja dia memilih chalet yang hanya mempunyai satu bilik. Sekurang-kurangnya, Maisara tidak akan lari tidur bersama Tarti.
“Ya.....Tarti boleh tidur di ruang tamu. Boleh, kan?”
Tarti memerhatikan ruang tamu yang besar dan indah. Sofa yang lembut serta cahaya lampu yang malap dan dinding kayu yang di cat dengan warna ceria.
Kakinya pantas melangkah lalu duduk di salah satu sofa yang berkembar tiga. Dia menyapu-nyapu sofa itu sambil tersenyum.
“Ya....bisa aja Pak! Ini ruang tamunya juga hebat bangat! Besar! Cantik lagi. Enggak apa-apa kok! Tarti senang di sini aja!”
Fariz tersenyum. Memang dia cukup mengenali Tarti. Gadis yang baru berusia tujuh belas tahun itu, memang mudah dibawa berbincang. Tidak perlu menengking atau memaksa.
“Kamar mandinya, dihujung sana. Di sana, Tarti boleh salin pakaian,” ujar Fariz.
Tarti mengangguk. Kemudian dia bangun untuk masuk ke dalam kamar.
“Kamu nak pergi mana?” tanya Fariz.
“Saya mahu kemas barang Pak Fariz sama Ibu Sara!”
“Tak payah. Semua tu nanti, Sara akan kemaskan,” ujar Fariz.
Memang Tarti pembantu mereka. Tetapi bagi Fariz, tugas seorang isteri tidak perlu diserahkan sepenuhnya kepada pembantu. Biarpun hubungan dingin yang terjalin antara mereka, Maisara tetap perlu memainkan peranannya sebagai seorang isteri.
“Sekarang, kamu panggil Ibu Sara dan Aiman naik ke atas!”
“Baik, Pak!” Tarti menurut arahan lalu berlari anak ke kawasan halaman.
Fariz merebahkan badannya di sofa. Nafasnya ditarik panjang lalu dilepaskan perlahan. Badannya sudah mula terasa letih. Perjalanan dari Pantai Miami ke Kuala Kedah yang memakan masa hampir dua jam, dan kemudian menaiki Feri selama setengah jam lebih sudah cukup membuat separuh tenaganya hilang.
Apabila tiba di Langkawi, setelah mendapatkan penyewaan kereta, dia memandu hingga ke Bon Ton Resort. Memang hari sungguh memenatkan.

MAKAN malam pada malam itu, hanya di restoran di dalam resort. Malas rasanya untuk keluar ke tempat lain memandangkan masing-masing masih lagi keletihan.
Sebuah kedai pizza milik tempatan terdapat di luar resort berhampiran dengan jalan. Sebelumnya, Maisara ingin sangat makan pizza sate di kedai itu. Tetapi Fariz menolak. Lagipun, menurutnya, mereka masih boleh menikmati pizza itu di hari yang lain pula. Sedangkan, sejak dari Pantai Miami dia sudah mula teringat pizza sate yang lazat itu.
Maisara sudah menarik muncung panjang apabila keinginannya di tolak. Sehinggalah makan malam usai, dia masih membisu dan hanya melayan kerenah Aiman. Fariz pura-pura tidak mengerti. Bukan dia tidak biasa dengan sikap dingin Maisara.

MAISARA menepuk-menepuk Aiman sambil melagukan zikir-zikir untuk menidurkan anak kecil itu. setelah Aiman benar-benar terlena, Maisara mula hendak memejamkan mata. Namun, matanya kembali terbuka apabila dia menyedari bukan dia dan Aiman sahaj yang berada di dalam bilik itu.
Maisara melirik Fariz yang sedang asyik membaca buku. Dia pasti, Fariz tidak akan bertindak di luar dari kemahuannya.
Namun, di kamar yang indah disinari cahaya lampu kuning, dan dindingnya di warnai dengan warna merah serta kain kelambu dan alas tidur yang dihiasi dengan warna kuning dan oren, bisa membangkitkan rasa yang berlainan.
“Awak tak tidur lagi?” tanya Maisara.
“Awak tidurlah dulu! Saya masih belum mengantuk!” Tumpuan Fariz yang sedikit terganggu tadi beralih semula pada buku ditangannya.
Maisara menarik nafas lega. Dia mengangkat Aiman lalu meletakkan anak kecil itu tengah katil sebagai pemisah antara dia dan Fariz. Dia berbaring di hujung dinding.
Maisara memejam matanya rapat. Namun, dia masih belum mahu terlelap. Agak lama juga dia dalam keadaan begitu sehingga dia mendengar telefon Fariz berbunyi.
“Oh.....Yana! Ada apa?” kedengaran Fariz menjawap panggilannya.
Ilyana!!
Perasaan kurang senang pantas menerjah di hati Maisara.
Fariz bangun lalu berjalan menuju ke luar kamar. Dia tidak mahu perbualannya dengan Ilyana mengganggu tidur keluarganya.
Maisara pula semakin tidak senang apabila Fariz seakan cuba menjauhkan diri dan tidak mahu panggilannya di dengari. Maisara mengetap bibir menahan rasa tidak puas hati.
Tak guna!!
Dia marah pada Ilyana namun dalam masa yang sama, dia juga memarahi dirinya sendiri. Untuk apa perasaan sedemikian perlu hadir dalam dirinya. Sedangkan dia sedia tahu hubungan Ilyana dan Fariz.
Oh hati!! Kenapa terlalu degil!!