Friday 30 December 2011

Last Kopek For this Year - Selamat Tinggal Mr. Angry Bird!










Assalamualaikum..... Ini adalah N3 Mr. angry bird yang telah diedit semula. Saya mohon maaf sebab lambat post sedangkan saya dah janji Selasa lepas. Maaf ya, bukan sengaja. PC saya kena virus dan masih belum okey sampai sekarang. Bagi anda yang telah membaca harap sudi membaca sekali lagi (versi yg telah diedit).


____________________________________________________________________________________________

Bila disebut tentang lelaki, aku memang ada satu perasaan yang agak menjengkelkan. Kenapa? Susah untuk aku huraikan kenapa, sebab pengalaman aku banyak yang negatif tentang lelaki. Keindahannya hanyalah sementara tapi duka yang ditinggalkan makan masa bertahun lamanya untuk dilupakan. Maklumlah, perempuankan makhluk Allah yang sangat setia pada cinta.

Hati perempuan milik aku yang sememangnya rapuh pernah terluka dahulu. Dan lukanya dah sembuh sekarang, tapi parutnya tetap ada. Sebab tulah aku sangat takut untuk menjalinkan hubungan yang lebih ‘mendalam’ dengan lelaki. Tapi jauh di sudut hatiku, aku memanglah teringin untuk mengecapi syurga dunia dengan menjadi isteri seseorang. Dan harapanku, tentu saja aku mahu syurga itu terus kekal ke alam akhirat. Tapi disebabkan rasa takut yang ada dalam diri, maka harapan yang satu ini memang jauh untuk dicapai. Sebab? Kalau aku nak jadi isteri tentulah aku perlu menjadi isteri kepada lelaki, kan? Takkan nak jadi isteri kepada perempuan, nauzubillah…..

Aku tak punya apa-apa kelebihan. Aku punya kekurangan dan kelebihan sendiri, sama seperti manusia yang lain. Cuma, aku ada satu sikap buruk aku yang mungkin perempuan lain boleh terima tapi tak semua lelaki boleh terima. Nak tahu? Aku agak berpandangan negatif pada lelaki yang suka pada sesuatu watak kartun atau watak dari permainan komputer. Contohnya, Transformer, Naruto dan sebagainya. Bayangkan, sebagai lelaki dewasa yang sepatutnya bersikap matang, bolehkah mereka obsess dengan watak-watak sebegini? Aku yakin ramai perempuan di luar sana yang bilamana dia melihat ada lelaki sebegini dia akan kata…’eauwww!!’ dengan rasa geli-geleman, kan?

Ada juga sesetangah lelaki yang turut berpandangan seperti aku pada lelaki yang berwatak sebegini. Namun, ada juga yang tak kisah. Janji, kata mereka, si lelaki itu tahu tanggungjawab dan matang. Pelik betul bunyinya. Kalau matang, takkanlah masih tertipu dengan watak-watak yang merapu sebegini!

Di pejabat, aku mengenali seorang lelaki yang berwatakan agak pendiam. Bercakap bila perlu dan masanya banyak dihabiskan dengan kerja. Jika ada kelapangan, dia lebih suka membaca. Secara jujurnya, aku melihat dia memang lain dari yang lain. Dia berani bersuara jika dia berada di pihak yang benar dan dia langsung tak kisah jika ada yang memandang sinis padanya.

Walaupun meja aku dan dia tak jauh, hmm…. senang cerita, meja dia depan saja dengan meja aku. Tapi, nak dengar suara dia merapu atau bergurau tak tentu hala, bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Payah sungguh nak dengar suaranya kecuali dia berbicara tentang sesuatu yang serius. Mungkin sebab tulah, agaknya, ramai di ofis memanggilnya, Mr. Angry Bird.

Aku pun sebenarnya tak faham kenapa gelaran tu melekat dekat dia. Masa awal-awal aku ditukarkan ke bahagian ni, ramai jugalah staf kat sini yang aku terjah dan bertanya mengapa panggil si mamat ni Mr. Angry Bird? Bila dah banyak bertanya, maka banyaklah versi cerita yang aku dapat. Tapi, pokoknya tetap sama iaitu Mr. Angry Bird ni agak baran sikit bila orang mula cari pasal dengannya.

Jadi, maknanya dia cuma baran kalau orang cari pasal dengan dia saja. Kalau orang tak cari pasal, tentu dia okey. Yang lebih penting, watak angry bird dalam game kat internet tu, kiranya tak de langsung kena mengena dengan Mr. Angry Bird. Nasib baiklah gelaran tu melekat bukan sebab Mr. Angry Bird ni obsess dengan watak angry bird. Kalau tak, dah lama aku akan kata- ‘eauwww!!’ Cuma orang kat ofis ni je yang pandai-pandai bagi gelaran tu dekat dia.

Setiap pagi bila aku masuk ke ofis, perkara pertama yang aku semak, adalah tray masuk. Bukan apa, kat department ni, cuma aku dan Mr. Angry Bird saja yang bertugas di unit proses. Jadi, aku kenalah berbaik-baik dengan dia, kan. Kalau tak, aku jugak yang susah nanti. Bak kata pepatah yang aku bina sendiri, air yang tenang jangan dicampak batu. Hehehe….

Lepas dah asingkan dokumen masuk untuk aku dan Mr. Angry Bird, so aku pun berjalan ke tempatnya untuk letak dokumen yang dituju untuknya. Masa aku nak letak dokumen dan fail-fail di atas meja Mr. Angry Bird ni tiba-tiba saja aku lihat satu objek berbulu yang berwarna merah dan hanya berkepala atas meja Mr. Angry Bird. Terbeliak biji mata aku melihat patung angry bird ada atas meja Mr. Angry Bird. Eh, takkanlah Mr. Angry Bird benar-benar suka dengan angry bird? Macam tak logik pulak.

“Ehem…” satu deheman itu membuatkan aku sedar dari terus membeku di depan meja Mr. Angry Bird. Dokumen-dokumen yang aku pegang, masih kaku ditanganku. Sebenarnya, aku tak tahu nak buat apa. Rasa seperti semua fungsi tubuh aku mati di situ. Hanya jantungku saja yang berdegup pantas.
Dalam kegugupan tu, sempat juga aku menangkap tindakannya yang mencapai patung angry bird yang berbulu merah tu ke dalam lacinya. Lantas dia terus mencapai dokumen yang masih ada di tanganku.

“Thanks! Kalau dah tak ada apa-apa awak boleh teruskan kerja,” ujarnya dengan nada yang mendatar.

Mendengar suaranya saja, terus tubuh aku terasa berfungsi semula. Tak tunggu lebih lama, aku terus duduk di tempat aku. Sempat aku menyembunyikan wajahku dibalik moniter yang menghalang pandangan Mr. Angry Bird dan kemudian terus aku berkata, ‘eauwww….’ Dan aku rasa, itulah perkataan ‘eauuww’ yang paling sopan sebab ianya langsung tak keluar melainkan hanya di dalam hati.

Aku mencuri pandang Mr. Angry Bird. Dia begitu tekun menjalankan kerjanya. Tak hairanlah jika dia menyandang pingat Pekerja Cemerlang tiga tahun berturut-turut. Melihat dia begitu, aku pun terus melaksanakan tanggungjawab ku seperti biasa.

Dalam sibuk melaksanakan kerja pun, masih sempat lagi aku terfikir tentang sesuatu. Bila aku pandang sekeliling dan aku lihat di unit lain, masing-masing membuat kerja tetapi dalam ketegangan melakukan tugasan masing-masing, masih ada juga gelak tawa dan gurau senda. Di unit satu lagi, aku lihat Kak Nim mulutnya terkumat kamit. Aku tahu sangatlah apa yang dilakukannya. Lain tidak, tentu saja dia tengah menyanyi mengikut rentak radio yang dipasangnya.

Cuma di unit proses ini saja aku rasa macam aku sedang berada di rumah mayat. Sunyi dan sepi. Cuma yang kedengaran, detak detup keyboard yang ditekan Mr. Angry Bird. Laju sungguh mamat ni menaip! Jauh sungguh perbezaan antara aku dengan Mr. Angry Bird. Dia begitu fokus dengan kerjanya biarpun dalam suasana yang sunyi begini. Sedangkan aku, aku sudah terasa berada di awang-awangan dan terbayangkan bantal dakap yang empuk dan tilam yang begitu lembut. Hai….kalaulah aku boleh memasang radio seperti Kak Nim kan bagus! Tapi aku takut kalau itu mengganggu konsentrasi Mr. Angry Bird.

Hampir saja aku melentokkan kepalaku di atas meja. Namun, deringan telefon terus membingit memaksa aku untuk bangun dan mencapai ganggang telefon. Geram aku dengan Mr. Angry Bird ni! Tak tahukah nak angkat telefon sedangkan telefon ada atas mejanya. Saja nak menyusahkan aku!
Usai mengucapkan ayat klise setiap pekerja di situ, kedengaran suara Encik Akim yang mahu bercakap dengan Mr. Angry Bird.

“Awak, call untuk awak dari encik Akim!”

“Thank!” Ganggang telefon beralih tangan. Aku kembali ke mejaku dan meneruskan tugas. Di sebabkan Mr. Angry Bird ni lebih dikenali dengan Mr. Angry Bird sampai aku sendiri pun tak pernah tahu namanya. Sebab tulah, kalau bercakap dengan dia, aku selalu panggil ‘awak-awak’ gitu je. Dan sebenarnya, aku pun malas nak ambil tahu namanya. Sebab? Sebabnya, aku pun tak rasa dia tahu nama aku. Kalau tak tentu saja bila bercakap dengan aku dia akan sebut nama, kan? Ini tak, dia pun selalu bahasakan aku dengan panggilan ‘awak’.

“Awak, saya kena ikut Encik Akim ke bilik meeting sekarang. Awak tolong siapkan dokumen ni hari ni juga ya. Urgent!” Terus dia hulurkan dokumen setebal kamus dewan padaku. Aku hanya mengangguk.

Betul tak apa yang aku kata? Dia pun bahasakan aku awak. Nampak sangat dia tak tahu nama aku! Walaupun pada dasarnya, pangkat aku dan Mr. Angry Bird ni sama ja, namun kerana pengalamannya begitu luas jika nak dibandingkan aku yang baru setahun jagung di syarikat ni, maka hubungan aku dengan dia ibarat pegawai dan pembantu. Tapi aku tak kisah sangat pun. Sebab dari caranya, walaupun dia seakan memberi arahan tetapi intonasi suaranya dan sikapnya tidak keras dan penuh dengan hemah.
______________________________________________________________________________

Tengahari tu, aku cuma habiskan waktu lunch di pantri sebab teman baikku, Tini tak datang kerja. Memanglah rasa ralat sangat bila makan tengahari sendirian. Lagipun, aku tak ramai kawan di ofis ni. Sebab tulah aku cuma makan biskut kering cecah milo panas di pantri. Kemudian, aku kembali semula ke unit proses. Niat di hati nak berehat sekejap sebelum jam dua.

Masuk je di unit proses, aku lihat Mr. Angry Bird ada di tempatnya. Siap pasang lagu rap lagi! Apa kena dengan mamat ni! Biasanya, selagi belum tepat pukul dua petang, takkan nampak batang hidung dia. Dah tu pasang lagu rap lagi!. Bedenyut-denyut kepala aku mengikut rentak lagu yang dipasangnya.

Aku masuk juga ke unit proses tanpa memperdulikannya. Aku lihat dia bersandar di kerusi sambil matanya terpejam. Mungkin dia mahu berehat sekejap. Tapi bolehkah berehat bila pasang lagu yang entah apa-apa macam tu?

Dalam aku sedang perhatikan dia, tetiba saja dia buka mata dan terus pandang aku. Dengan rasa terkejut, terus aku pandang tempat lain. Janganlah dia nampak aku sedang perhatikan dia! Malu aku!

“Awak, dokumen yang saya bagi tu awak dah siapkan?” tanya Mr. Angry Bird.

“Dah,” ringkas aja jawabku. Hati aku tertanya-tanya, adakah dia lihat aku perhatikan dia? Janganlah hendaknya. Kalau dia perasan aku perhatikan dia, manalah aku nak letak muka aku ni?.

“Awak, boleh saya minta tolong sikit?” Aku cuba berbahasa.

“Tolong apa?”

“Boleh perlahankan lagu tu tak? Kepala saya sakitlah dengar lagu tu,” Aku pun buatlah muka kesian sebab nak minta simpati. Takkan nak cakap kasar-kasar pulakkan? Kang Mr. Angry bird terus patuk aku pulak. Naya!

Dia terus tutup lagu yang dimainkan di komputernya. Baiknya hati Mr. Angry Bird ni, aku minta perlahankan tapi dia tutup.

“Maaflah, saya ingatkan awak keluar lunch sebab tu saya pasang lagu ni,” ujarnya. “saya tahu, biasanya orang perempuan memang tak suka lagu macam ni. Biasanya, orang perempuan suka lagu yang mendayu-dayu, cinta-cinta…..ala-ala lagu siti Nurhaliza, kan?”

Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Apa kena dengan Mr. Angry Bird ni? Tetiba je ramah semacam.
“Tapi lagu yang saya dengar ni, banyak unsur nasihat dibandingkan lagu cinta-cinta yang hanya membuai perasaan je.”

Lagu nasihat? Terkedu aku sekejap. Manalah aku tahu lagu tu lagu nasihatkah, lagu motivasikah, sebab satu butir perkataan pun aku tak dapat tangkap. Maklumlah, rap! Dah tu, english version pulak. Bukan senang nak tangkap perkataan english bila dah laju macam tu.

“Awak, saya nak tanya sikit ni,” ujarnya. Aku pandang dia. Wajahnya nampak macam serba salah. Tiba-tiba je aku rasa tak sedap hati. Mesti ada yang tak kena.

“Ada apa awak?” tak sabar tunggu dia bercakap.

“Hmm…..tentang projek kita di utara, awak yang proses dokumen dia, kan?” Dia pandang aku.
Aku mengangguk. Ish….kenapa dia tanya macam tu? Mesti ada yang tak kena ni. Tapi apa? Matilah aku!!

“Macam ni, tadi masa saya pergi meeting, diorang bangkitkan isu tentang projek di sana. Kononnya, banyak dokumen hak milik yang kita bekalkan salah dan tertukar dengan hak milik yang lain.”

“Eh, betulkah?” Rasa macam tak percaya pulak. Seingat aku biasanya, bila aku terima maklumat dari peguam, aku pastikan dokumen tu betul dengan harta pemilik.

“Setiap kali bila awak terima dokumen dari lawyer, ada awak semak senarai harta?”

Pantas saja aku mengangguk.

“Tak apalah, mungkin ada silap di mana. Tapi, make sure lepas ni awak teliti dengan lebih sebelum proseskan segala maklumat. Nanti Encik Akim mengamuk lagi pulak.”

“Dia marahkah?” Kali ni aku dapat rasakan darah mula hilang dari wajah aku. Manakan tidak, projek di bahagian utara, memang aku yang proses semua data. Kalau salah, sudah tentunya kesalahan aku!

“Tak pe, diorang tu bukan tahu siapa yang buat bahagian utara, selatan. Yang diorang tahu bagi arahan. Bila salah, mengamuk tak tentu pasal. Awak jangan risau, saya dah uruskan semuanya. Cuma, awak kena proses lain semua data tu.”

Aku menghembus nafas lega. Nasib baiklah ada Mr. Angry Bird ni. Walaupun sepatunya aku yang bertanggungjawab atas kesalahan yang aku dah lakukan, tapi ternyata Mr. Angry Bird ni lebih bertanggungjawab dari apa yang aku sangkakan.

“Terima kasih,” AKu mengukirkan senyuman.

Mr. Angry Bird hanya mengangguk.  Kenapa dia tak balas senyuman aku? Kedekut senyuman sungguhlah Mr. Angry Bird ni! Senyuman tu,kan satu sedekah! Senyumlah sikit! Bukan kena bayar pun!
______________________________________________________________________________

Masuk ofis saja pagi tu, aku benar-benar terkejut melihat Mr. Angry Bird menggeledah meja dan lacinya. Tak cukup dengan itu, habis semua laci di unit proses digeledahnya. Tinggal meja dan laci aku saja tak diusiknya. Wajahnya mencuka terus. Nak tegur pun aku takut.

“Awak, awak ada nampak tak…..” dia pandang aku. Aku pun pandang dia. Aku masih terus menunggu sambungan ayatnya. Nampak apa?

Aku lihat dia menggeleng lalu terus menggeledah. Kenapa dia tak sambung ayatnya? Apa yang dicari? Penasaran sungguh! Kalau dia beritahu aku, pasti aku tolong dia carikan.
“Awak cari apa?” Aku beranikan diri bertanya. Dia langsung tak pedulikan aku dan terus mencari. Bila dah penat, dia menyusun semula unit proses seperti sediakala. Entah apa-apalah Mr. Angry Bird ni, bila ditanya membisu. Lantaklah!

Lepas aku kemas dan asingkan dokumen antara aku dan Mr. Angry Bird, aku menerima panggilan dari Kak Nim. Kak Nim pelawa aku dan Tini untuk bersarapan dengannya. Seingat aku belum pernah Kak Nim pelawa kami berdua keluar bersama. Tapi tak kisahlah, kata orang berteman biar beribu. Bercinta biar satu, tapi cinta yang satu itulah yang masih terus aku cari. Buat masa ni, aku masih belum jumpa lelaki yang boleh aku serahkan cintaku yang satu itu.

Jadi, seperti perancangan, kami bertiga bersarapan di gerai Mamu Kassim di pinggi jalan bangunan pejabat. Sambil menikmati roti canai dan teh tarik aku terpandangkan susuk tubuh Mr. Angry Bird yang baru berjalan keluar dari bangunan pejabat. Mungkin keluar untuk sarapan, barangkali.

“Apa dah jadi? Pagi-pagi lagi akak tengok Mr. Angry Bird tu dah mengamuk tak tentu hala?” tanya Kak Nim. Aku hanya mengangkat bahu.

“saya pun tak tahulah, kak. Bila tanya, diam je. Rasanya, ada barang dia yang hilang agaknya,” ujarku.

“Barang apa?” sampuk Tini pulak.

“manalah aku tahu. Kalau aku tahu, dah lama aku tolong dia cari.”

“Kau tak cuba tanya?” tanya Tini lagi.

“Dah tanya. Tapi dia diam je. Lantaklah! Orang nak tolong cari tapi dia jual mahal.” AKu menjeling. Kalau Mr. Angry Bird beritahu aku, pasti barang dia dah jumpa. Dalam bilik tu cuma aku dan dia saja. Manalah tahu aku ada ternampak barang dia.

“Ni mesti dia cari patung angry bird dialah tu!” kak Nim sudah ketawa kecil.

“Patung angry bird?” Aku lihat Tini sudah ketawa berdekah-dekah. AKu pandang Kak Nim. Lain macam je lagaknya. Aku diam sekejap. Rasa tak sampai hati pulak nak gelak. Barangkali patung angry bird yang aku nampak tempoh hari. Tapi, bukankah dia dah simpan dalam laci?

“Macam mana akak tahu?” Penasaran jugak aku. Sedangkan aku yang bertanya tak dijawab, inikan orang yang diluar unit proses.

“Ni semua kerja Azmilah ni. Saja nak mengusik Mr. Angry Bird tu. Adakah patut dia sembunyikan patung angry bird tu!” beritahu Kak Nim.

“Tapi, setahu saya, patung angry bird tu dia dah simpan dalam laci. Macam mana Azmi boleh ambil?” berkerut dahi aku memikirkannya. Melampau sungguh Azmi kalau dah ambil hak orang sampai dalam laci!

“Taklah. Azmi kata dia nampak atas meja. Mr. Angry Bird tinggal patung angry bird dia atas meja sebab tulah dia ambil dan sorok.”

“Azmi ni melampaulah! Kalau nak mengusik pun agak-agaklah!” Aku masih terbayang wajah kusut Mr. Angry Bird sewaktu menggeledah unit proses tadi.

“Aik? Semacam je kau ni membela Mr. Angry Bird tu..” usik Tini pula. Aku hanya mengerling.

“Tak adalah….tapi, kan tak baik Azmi buat macam tu! Tu, kan barang orang? Kalau ye pun nak bergurau, dah lepas tu pulangkanlah!” Tak pasal-pasal aku pulak yang emosional. Memang bila difikirkan perkara ni kecil je. Azmi cuma nak bergurau dengan Mr. Angry Bird. Tapi bila aku terbayang wajah gelisah Mr. Angry Bird tadi, aku rasa macam patung angry bird tu sangat berharga dan bukan satu benda yang boleh dibuat main oleh pemiliknya.

“Hai!!!” Tetiba saja kelibat Azmi terus muncul di depan kami. Panjang umur sungguh budak ni.

“Kau dari mana ni Azmi?” tanya Kak Nim.

“Baru balik dari hantar suratlah kak,” ujarnya.

“Azmi, engkau ada ambil patung angry bird, Mr. Angry Bird punya?” aku terus bertanya Azmi. Aku lihat, Kak Nim, Tini dan Azmi berpandangan. Pelik benarkah bunyi soalan aku ni? Azmi mengerling aku.

“Kau ni apahal tiba-tiba saja ambil berat pasal Mr. Angry Bird ni?” tanya Tini. Aku diam. Aku bukanlah kisah sangat dengan Mr. Angry Bird ni, tapi aku rasa mereka patut pulangkan lebih awal patung tu. Aku takut benda yang sekecil ni akan jadi besar pulak. Yang peliknya, mengapa Tini bersekongkol dengan mereka?

“memanglah aku nak pulangkan. Siapa kata aku nak ambil! Aku pun tak lalulah dengan patung bodoh macam tu!” Azmi mengeling aku tajam.

“Kalau tak lalu, apasal ambil? Kau jangan cuba jolok sarang tebuan. Korang semua tahu, kan Mr. Angry Bird tu kalau marah macam mana? Kang aku jugak yang jadi mangsa!” Aku tak dapat bayangkan kalau Mr. Angry Bird tu marah nanti. Kalau boleh aku tak nak perkara tu terjadi. Walaupun selama aku bekerja di sini aku belum pernah melihat Mr. Angry Bird tu marah-marah, tapi dari cerita-cerita yang aku dengar cukup membuatkan aku berjaga-jaga agar kemarahan Mr. Angry Bird tidak tercetus.

“Alah…kau ni!! Takut sangatlah dengan Mr. Angry Bird tu!!” Azmi terus membuka beg galasnya dan melemparkan patung angry bird pada aku. “Nah, ambil!! Bagi pada Mr. Angry Bird kesayangan kau tu!”

“Melampau sungguhlah kau ni!” Aku mengutip patung angry bird yang sudah terjatuh atas lantai. Badannya yang sudah diselaputi dengan debu dan pasir aku sapu. “Aku bukan takut! Tapi korang kalau nak bergurau, agak-agaklah sikit!”

Aku menjeling Azmi dan terus aku meluru ke pejabat meninggalkan yang lain. Geram sungguh aku dengan Azmi!

Aku terus meluru masuk ke dalam lif untuk balik semula ke unit proses. Aku mahu tinggalkan patung angry bird ni di dalam laci Mr. Angry Bird untuk menunjukkan seolah-olah patung itu sentiasa ada di situ. Mungkin dengan cara itu, Mr. Angry Bird akan fikir, dia cuai ketika mencari sehingga tak jumpa patung kesayangannya. Sedangkan patung itu tersimpan elok di dalam laci.

Sampai saja di unit proses langkah aku terus kaku sebaik saja Mr. Angry Bird terpacak di depanku sambil matanya menangkap terus patung angry bird yang ada ditanganku. Lidah aku terus kelu dan aku rasakan bagai aku tak mampu menggerakkan anggota tubuhku. Hanya yang mampu aku lakukan, tunduk diam membisu dan menggenggam erat patung angry bird. Tadi, aku cuma nampak Mr. Angry Bird keluar dari bangunan ofis. Bila masa pulak dia datang semula?
Aku dapat rasakan langkah kaki Mr. Angry Bird yang semakin menghampiri dan kemudian berhenti betul-betul di depanku. Aku pun tak tahu mengapa aku terdiam bagai orang bodoh di situ. Tentu saja Mr. Angry Bird akan salahkan aku.

“Boleh awak pulangkan patung saya?” Keras sekali nada Mr. Angry Bird. AKu menghulurkan patung itu padanya. “Patung macam ni banyak dijual di kedai. Di pasar malam pun melambak. Takkanlah gaji bulanan awak tak mampu nak beli sampai sanggup ambil hak orang?”

Aku diam terus. Aku pun tak tahu mengapa aku boelh jadi sebegitu pengecut untuk takut pada satu kesalahan yang langsung aku tak lakukan.

“Awak boleh anggap apa saja pada saya. Awak boleh permainkan saya sebab patung ni. Tapi awak tak berhak ambil hak saya! Patung ni, sangat bermakna untuk saya. Kalau awak hilangkan dan nak ganti dengan yang baru, nilainya takkan sama! Faham!” Terus dia keluar dari unit proses. Sempat lagi bahunya melanggar bahu aku dengan kasar. Nampak sungguh ketara kemarahannya. Apa yang aku mampu lakukan hanya melepaskan satu keluhan yang aku sendiri tak pasti untuk apa.
______________________________________________________________________________

Sejak dari kejadian tu, hubungan aku dengan Mr. Angry Bird semakin dingin. Bak kata orang, dalam dunia unit proses, tinggal dua insan yang mana satu darinya adalah spesis itik dan satu lagi dari sepsis ayam. Walaupun dari keluarga burung, tetapi punya dunia yang berlainan. Begitulah ibaratnya.

Adakalanya bila aku menerima dokumen yang terlalu banyak untuk di proses, waktu itulah akan bergemanya lagu rap dari meja Mr. Angry Bird. Memang dia sengaja nak menyakitkan hati aku dan buat otak aku ni mereng sampai tak boleh nak fokus dengan kerja. Sikap timbang rasanya pada aku semakin berkurang. Dah tak ada sikap pertahankan aku bila aku melakukan kesalahan. Semuanya diserahkan bulat-bulat atas bahuku.

Kalau diikutkan hati aku, mahu saja aku ceritakan perkara yang sebenarnya. Tapi bila difikirkan kembali, aku khuatir jika Mr. Angry Bird akan marah pada Azmi. Sebab baru-baru ni aku ada lihat dia bertegang urat dengan Azmi. Atas sebab apa aku tak tahulah pulak. Aku pun tak ada dengar khabar-khabar angin tentang hal tu. Biarlah, satu hari nanti pasti kebenaran akan muncul juga.

Kadang-kadang fokus aku hilang bila mengingatkan Mr. Angry Bird. Apa tidaknya, bila orang yang membenci kita ada di begitu dekat dengan kita, memang suasananya agak menyesakkan. Dahlah tu, di tangan aku sekarang ada satu dokumen yang meragukan. Nak ditanya, takut. Kalau tak tanya, aku juga yang akan buat salah. Bak kata orang, malu bertanya sesat jalan. Tapi dalam kes aku sekarang, bukan malu bertanya, tapi takut!!

Aku berfikir sekejap. Terus mata aku menangkap sejambak bunya lily putih yang aku letakkah atas mejaku. Kelmarin bunga itu tiba di atas mejaku. Siapa pengirimnya, aku tak tahu. Tapi disebabkan bunga tu cantik aku simpan je. Tapi hari ni, bunga lily putih ni dah layu. Mungkin sebab suasana yang langsung tak ceria di unit proses ni buat dia tak nak hidup lebih lama.
Aku mengeluh sekejap. Kalau malu bertanya sesat jalan tapi, kalau takut bertanya pun sesat jalan. Tak apalah, cuba tanyalah. Akhirnya, aku putuskan begitu.

“Awak, saya nak tanya sikit boleh?” Nak tak nak, aku terpaksa bersuara juga.

“Saya bukan kaunter pertanyaan!” Jawapannya terus membuat aku terdiam. Macam mana ni? Takkan aku nak masuk bilik Encik Akim dan tanya pada dia. Kadang-kadang encik Akim sendiri tak tahu. Memang dah jadi adat, kadang-kala orang atas ni bukan tahu apa-apa berbanding orang bawahan. Hanya tahu mengarah je! Yang lain, orang bawahan yang buat! Tak mengapalah, aku buatlah saja. Nasiblah kalau nak jadi apa-apa pun. Aku dah habis fikir.

Lepas saja aku siap memproses untuk hari itu, terus aku membungkus dokumen-dokumen untuk menghantarnya keluar. Sebelum aku keluar dari unit proses, sempat aku mencapai bunga lily putih dan campakkan terus dalam tong sampah. Dari layu begitu, baik aku buang terus. Tapi yang sebenarnya, apa yang aku lakukan itu hanya melepaskan geram kerana sikap Mr. Angry Bird. Aku tahu, Mr. Angry Bird menoleh padaku sebaik sahaja dia melihat sejambak bunga lily putih itu aku buang ke dalam tong sampah. Biar dia tahu aku sedang marah pada dia. Dia ingat, dia saja boleh marah?

Lepas aku serahkan ke bahagian pos, terus aku ke pantri sekejap. Rasa culas nak masuk semula ke unit proses bila dah jadi macam ni.

Di pantri aku lihat Tini sedang berbual dengan Kak Nim. Sejak akhir-akhir ni, aku lihat Tini lebih rapat dengan Kak Nim berbanding aku. Dia pun dah nampak lain sangat. Macam ada benda yang tak kena je. Rasa macam terasinglah pulak dengan dengan kawan sendiri. Bila diorang buat tak kisah dengan aku, jadi aku pun buatlah tak kisah dengan diorang. Malas aku nak fikir tentang sikap manusia ni. Lantaklah, kalau korang cakap dengan aku, aku cakap dengan korang. Kalau tak masing-masing bawa diri sudahlah!

Aku ambil cawan dan masukkan serbuk kopi dan gula, kemudian mengambil air panas. Sikit pun aku tak dengar suara mereka berdua menegur aku. Memanglah aku kata lantak, tapi dalam pada tu, hati aku terusiklah jugak. Kenapa tiba-tiba je jadi macam ni. Tak de angin, tak de guruh, tiba-tiba saja hujan! Apa yang aku dah buat?! Takkan sebab aku bela Mr. Angry Bird diorang pulaukan aku. Diorang tu semua benci sangatkah dengan Mr. Angry bird?!

Beberapa minit dalam pantri buat aku terasa macam dah berjam aku kat situ. Usai aku habiskan secawan kopi, terus aku keluar. Kebetulan memang dah waktu jam tengahari. Aku masuk ke unit proses dan mencapai beg tangan dan terus keluar. Mr. Angry Bird yang asyik menghadap komputer. Sikit pun pandangan matanya tak jatuh pada aku. Aku benar-benar rasa terhimpit dengan situasi ni. Situasi yang aku sendiri tak faham puncanya! Mana dengan masalah aku dengan Tini dan Kak Nim lagi!

Waktu turun anak-anak tangga ke bawah, tiba-tiba saja Azmi yang sedang meluru naik ke pejabat melanggar aku.

“Rabunkah apa kau ni?!” Dia terus menjerit pada aku dan meluru ke atas. “Kalau dah dasar rabun, pergilah buat spek! Menyusahkan orang je!”

Dia yang langgar aku, tapi aku pulak yang ditengkingnya! Tiba-tiba saja aku rasa macam nak nangis. Sudahlah Mr. Angry Bird salah sangka pada aku sampai langsung tak mahu bantu aku dalam urusan kerja. Tini dan Kak Nim pulaukan aku. Ini, aku diherdik pulak dengan Azmi. Aku memang tak suka dengan Azmi sejak dari awal aku masuk ke department ni. Dia jenis yang tak menghormati orang lain dan suka menengking. Aku yang pekerja baru ni memang dah banyak kali ditengkingnya walaupun dia tu cuma budak penghantar surat je.

Bila diingatkan balik, macam manalah aku boleh jadi berani marahkan dia tempoh hari sebab dia ambil patung angry bird milik Mr. Angry Bird tu.

Dalam aku cuba menahan kesedihan hati aku, tiba-tiba saja muncul satu tangan yang menghulurkan tisu. Aku terus mencapai sebab aku dah termalu alah bila ada orang lihat aku menangis. Kemudian, barulah aku memandang si empunya diri. Mr. Angry Bird sedang berdiri terpacak di depan aku. Dia menjungkitkan keningnya bagai bertanyakan, mengapa aku menangis. Aku hanya menggeleng dan terus berlalu pergi. Huh!! Ada hati lagi nak tanya sedangkan salah satu sebabnya berpunca dari dia!
______________________________________________________________________________

Pada hari tu, lepas makan tengahari aku menerima arahan supaya masuk ke kamar kerja Encik Akim. Memang jantung aku berdegup kencang. Awal-awal lagi hati aku dah merasakan semaunya pasti ada kena mengena dengan  dokumen yang aku hantar tempoh hari. Berkali-kali aku pesan pada diri aku untuk tabah biarpun aku akan dimarahi nanti.

Sampai di depan kamar kerja Encik Akim, aku mengetuk pintu lalu membukanya. Kelihatan Encik Akim dengan wajah masamnya menyambut aku.

“Encik Akim panggil saya?” aku bertanya walaupun sudah terang dan nyata memang aku dipanggil.

“Apa ni?” terus dia melempar bungkusan yang mengandungi dokumen-dokumen yang aku hantar di kaki aku. Terkejut aku dengan tindakannya. Airmata aku cuma tinggal nak tumpah saja bila diperlakukan sebegitu. “Buat apa syarikat bayar awak kalau kerja macam ni yang awak buat? Langsung tak berguna!”

Aku memang tak kisah kalau kena marah, kena tengking, kena maki sebab itu memang salah aku. Aku akan terima hukuman dari kesalahan yang aku dah buat. Tapi, bila dah masuk bab baling-membaling, aku rasa aku belum boleh terima. Terasa sangat diri aku begitu hina.

Airmata aku memang dah ada dipenjuru sangat-sangat. Tinggal nak tumpah kat pipi je. Tapi aku diam je sebab dia memang berhak marah pada aku atas kesalahan yang aku dah buat.  Jadi, dalam mengutip semua dokumen yang berterabur tu, aku pujuk hati aku agar menerima semua cemuhan dari encik Akim. Belum aku mendengar cemuhan seterusnya, satu ketukan kedengaran di pintu. Kemudian muncullah Mr. Angry Bird di situ.

Kenapalah di saat macam ni dia boleh muncul! Sudahlah dia melihat aku menangis masa ditengking Azmi, kali ini dia muncul lagi saat hatiku semakin sebak.

“Maaf Encik Akim, saya dengar dokumen untuk projek utara tu dipulangkan?” tanya Mr. Angry Bird.
“Macam mana awak tahu?” tanya Encik Akim.

“Baru sekejap tadi wakil dari pihak kerajaan telefon. Katanya, mereka pulangkan semua dokumen tu dan minta kita bekalkan dokumen yang tepat dengan pemilik harta sebenar.” Aku mencuri pandang Mr. Angry Bird. “Diorang berikan tempoh sebulan untuk kita serahkan semula dokumen tu. Encik Akim jangan risau, sebenarnya ini bukan salah kita hundred percent. Pihak lawyer yang salah hantar dokumen. Salah kita, cuma tak berhati-hati sewaktu memproses.”

“Bukan salah kita?” tanya Encik Akim.

“Salah kita juga, tapi kesalahan kita tak besar. Sepatutnya pihak guaman bertanggungjawab sepenuhnya sebab dah salah bekalkan maklumat. Encik Akim jangan risau, saya akan uruskan.”

“Terima kasih. Tak apa, awak boleh keluar.” Arah Encik Akim. Bayang Mr. Angry Bird pun hilang di ruangan itu.

Dokumen-dokumen yang aku kutip aku letakkan semula di atas meja encik Akim.

“Saya minta maaf Encik Akim. Saya akan betulkan semula kesalahan yang dah saya buat,” ujar aku. “kalau tak ada apa-apa, saya minta diri nak teruskan tugas saya.”

“Duduk dulu,” arahnya.

Aku pun hanya menurut perintah. Aku duduk berhadapan dengannya dan menunggu kata-kata lanjut.

“saya minta maaf sebab dah berkasar dengan awak tadi,”

“Tak mengapa Encik Akim. Itu dah memang tanggungjawab encik,” Aku hanya mengukirkan senyuman. Walaupun aku sikit pun tak ada mood nak senyum, aku paksakan diri untuk senyum demi sebuah kemaafan.

“Maafkan saya, ya,” Sekali lagi dia mengucapkan kata maaf dan seraya itu tangannya menepuk-nepuk tangan aku yang ada di atas meja. Terpempam aku seketika. Suara hati aku berkata, ‘angkat tangan! Angkat tangan!’ Tapi aku terlalu lambat bertindak sehingga akhirnya, pintu kamar kerja Encik Akim dibuka dari luar dan muncul Kak Nim di situ.

“Encik Akim, ada kecemasan!” ujarnya dan aku perhatikan matanya menangkap tepat tangan Encik Akim yang sedang menepuk-nepuk tanganku. Barulah aku menarik tangan aku dari bersentuhan dengan Encik Akim.

Ya Allah! Mengapalah aku terlalu bodoh sangat?! Akal ku pantas berfikir tetapi aku terlalu lambat bertindak sehingga semuanya bakal mencetuskan fitnah yang besar dalam hidupku!
______________________________________________________________________________

Kenapa dengan awak ni?” tiba-tiba saja Mr. Angry Bird bersuara. Aku hanya menjeling. Aku betul-betul tak niat nak berbual atau bertengkar dengan sesiapa. Untuk saat ini aku hanya mahu bersendiri. Aku mehu memujuk hati aku yang sedang parah berdarah.“Awak dengar tak apa yang saya cakap?” tanyanya lagi.

“Awak jangan kacau saya boleh tak? Saya tak de moodlah nak cakap dengan awak!” Tak tahulah dari mana aku dapat kekuatan untuk balas balik omongan Mr. Angry Bird sedangkan sebelum ni aku sangat berhati-hati bila bercakap dengannya.

“Tak de mood? Awak ingat mood awak je! Awak tak fikir langsung apa yang orang lain kata pada awak?” Dia memandang aku. Aku bukan tak tahu apa yang sedang heboh diperkatakan di ofis ni. Sebab tulah aku jadi macam ni. Betul-betul bercelaru!

“Orang sedang bercakap tentang saya, bukan awak. Tak payahlah awak susah-susahkan diri sebab saya.”

“Saya tak de masa nak susahkan diri saya sebab awak. Awak tu tak pandai jaga diri, sebab tulah jadi macam ni!”

“Yang awak sibuk-sibuk sangat tu apasal?” Kali ni menang aku berani bersuara dengan Mr. Angry Bird. Kalau selama ni aku lebih banyak mendiamkan diri, namun disebabkan fikiran aku yang kusut ni, aku dah mula melawan setiap kata-katanya.

“Saya menyibuk? Memang saya menyibuk! Kalau saya tak menyibuk tentu awak dan kena hamput dengan Encik Akim!”

Aku pandang Mr. angry Bird. Lama. Jadi, dia ingat aku dah termakan budi dengan dia? Aku sikit pun tak minta dia tolong aku! Dia sendiri yang masuk ke dalam bilik Encik Akim dengan kerelaan hatinya sendiri. Jadi kenapa aku perlu dikaitkan di sini?

“Terima kasih atas jasa baik awak!” Aku terus bangun dan ingin keluar dari unit proses. Belum pun kaki aku melangkah keluar dari situ, Mr. angry Bird terus menutup pintu unit proses. Aku terpana memandang dia. Aku lihat dia seakan cuba mengawal kemarahannya.

“saya minta maaf. Bukan niat saya nak cari pasal dengan awak. Saya cuma nak tolong awak.” Suaranya kedengaran lembut sekali. Hilang separuh kesedihan dan kemarahan aku.

“Saya nak keluar,” ujar aku semula. Aku memang tak sanggup nak tunggu lagi di sini.

“Awak duduk, saya ada hal nak bincang dengan awak,” dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Entah mengapa satu perasaan damai mula terasa. “…please..”

Akhirnya, aku mengalah aku kembali duduk semula di tempatku.

“Awak tunggu kejap.” Dia hilang untuk sementara sebelum dia muncul dan membawa segelas air untukku. Aku betul-betul tergamam dengan layanan baiknya padaku. Tatkala teman lain, malah teman rapatku juga sedang sibuk menjaja tentang keburukanku, dia pula sedang cuba menenangkan hati ini. Aku benar-benar rasa terharu dengan sikapnya.

“Saya tahu apa yang orang lain sedang bercakap tentang awak tu benar atau tidak. Tapi dari sudut pandangan saya, awak seorang gadis yang baik. Walaupun kita tak rapat tapi kita dah berkerja bersama hampir setahun. Setakat ni saya lihat awak pandai menjaga diri dan maruah awak. Mungkin apa yang sedang berlaku tak sepatutnya berlaku.”

“Memang semua ni tak patut berlaku. Dan apa yang Kak Nim lihat tak seperti yang sebenarnya. Saya yang bodoh sebab biarkan semuanya terjadi.”

Terus terang aku katakan, memang jiwa wanita terlalu sensitif dan sangat mudah untuk mengalirkan airmata. Begitu juga dengan aku. Aku juga wanita yang tak dapat dipisahkan dengan airmatanya. Tapi selagi boleh aku akan menahan diri dari menangis di depan orang, apatah lagi di depan lelaki yang aku sendiri tak begitu rapat dengannya. Tapi berlainan ketika ini, tiba-tiba saja airmata aku mengalir di depan Mr. Angry Bird. Cepat-cepat aku sapu. Aku tak mahu dia terperasankan hal itu.

“Beginilah awak, dosa membuat fitnah itu lebih besar dari melakukan zina. Tetapi jika kita sendiri yang membuka ruang untuk orang lain melemparkan fitnah, kita juga berdosa. Jadi, saya harap, awak lebih berhati-hati.”

Untuk seketika, dia diam seketika. Aku juga tak punya ayat untuk membalasnya. “Awak berehat di sini sajalah. Saya keluar dulu,” dia bangun untuk keluar dari unit proses tapi sebelum dia pergi sempat dia hulurkan bungkusan tisu untuk aku. Ops…..dia perasan akan airmataku! Malunya!
______________________________________________________________________________

Pejam celik, pejam celik dah sebulan berlalu. Maknanya, dah sebulan juga aku dipulaukan di ofis ni. Hanya Mr. Angry Bird saja yang sudi bercakap dengan aku. Tapi itu pun dalam hal kerjalah. Lebih dari tu, hanya satu perkataan iaitu, sabar.

Sabar tu memanglah sabar. Tapi bila aku protes, dia akan kata, “Ingatlah, Allah s.w.t ,mengajar dan mengujuk kita tentang bersabar, berbaik sangka dan terus berusaha menerusi mafhum firman-Nya: ‘kesuali orang yang bersabar dan mengerjakan amal soleh, maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.’ (surah Hud 11:11). ‘Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha) perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.’ (surah al-Baqarah 2:195).”

Bila dia cakap macam tu, terus aku terdiam. Terkunci mulut aku!

Bila aku fikirkan balik, kalau aku terus diam begini masalah takkan selesai. Ada baiknya aku berjumpa dengan Tini dan minta dia jelaskan apa yang buat dia marah sangat dengan aku sampai muka aku langsung dia tak nak pandang.

Jadi, waktu jam makan tengahari aku bergegas mengekori Tini dan Kak Nim yang sudah mahu ke gerai berdekatan.

“Tini!” Terus aku tarik tangannya. Tini yang kelihatan berang, terus menarik tangannya dari bersentuhan dengan aku. Jijik sangatkah aku ni? Memang jiwa aku terusik dengan tindakannya. “Apa salah aku Tini sampai kau buat aku macam ni?”

Tanpa menjawap apa-apa Tini hanya mengerling pada aku dan mula memusing bdannya untuk pergi. Tidak! Aku takkan benarkan Tini pergi sebelum aku tahu apa yang terjadi sebenarnya! Untuk sekali lagi aku menarik tangannya.

“Lepaslah!!” Kali ni Tini menarik tangannya dengan kasar. Pang!! Satu tamparan melekat di muka aku. Tergamam aku di situ. Kenapa? Untuk apa? Hukuman yang aku terima ini untuk kesalahan apa? Apa salah aku pada kau Tini? “Kau bukan kawan aku. Orang macam kau ni tak layak berkawan dengan sesiapa pun!!” Terus dia pergi dari situ.

Sungguh, aku melihat jauh ke dalam anak mata Tini. Aku melihat api kebencian sedang meruap dalam dirinya untuk aku. Tapi aku tak tahu apa puncanya! Kalau benar kau sahabat ku Tini, mengapa kau lakukan begini? Jika aku benar-benar bersalah padamu sepatutnya kau berterus terang dan bukan meninggalkan aku dengan seribu pertanyaan dan penderitaan.

Aku mengenali Tini sebelum mula bekerja di syarikat ini lagi. Malah, Tini yang membantu aku mendapatkan pekerjaan di sini. Tapi mengapa semuanya terjadi begini?

Aku terus naik ke pejabat. Selera makan aku sudah tiada sejak Tini menjauhkan diri. Aku lihat suasana ofis sudah gelap. Perlahan-lahan aku masuk ke unit proses tanpa membuka walau satu lampu sekali pun. Aku mahu bersendirian di dalam gelap. Aku meraba-raba kerusi untuk duduk. Sebaik saja punggungku mencecah lantai kerusi, terus aku menangis. Menangis sehingga teresak-esak. Aku tak pernah sesebak ini. Aku begitu kecewa dengan tindakan Tini.

“Awak, sabarlah. Semuanya akan berahir tak lama lagi.” Tiba-tiba saja satu suara kedengaran. Aku benar-benar terkejut. Hilang semua rsa sebak bertukar pulak kepada rasa takut. Dalam bilik yang gelap dan bersendirian, suara siapa pulak yang menegur aku? Tak tunggu lagi aku terus bangun dan memetik suis lampu.

“Mr. Angry Bird?!” Terkejut aku. Ingatkan siapa. Dek kerana terkejut itulah, aku tak sedar aku sudah terpanggil dia dengan nama ‘Mr. Angry Bird’.

“Mr. Angry Bird awak panggil saya?” Aku lihat wajahnya kelat. Gulp!! Telan air liur aku dibuatnya. Rasa macam nak tersedak dah ni. Alamak!!! Mati aku!!!

Aku terus kaku di tepi suis lampu. Tak tahu nak buat apa. Macam seorang pesalah yang sedang menanti untuk dihukum.

“Yang awak tercegat kat tepi tu buat apa? Dinding ni kuat lagi. Beratus tahun boleh tahan lagi bangunan ofis ni. Lainlah kalau ada tsunami nanti.” Dia mengetuk-ngetuk dinding unit proses.

Aku mencebik. Menyampah aku! Sempat lagi dia menyindir! Aku kembali duduk di kerusiku. Hilang semua rasa nak nangis tadi. Yang ada cuma rasa malu pada Mr. Angry Bird. Mana taknya, sudahlah aku meraung teresak-esak kat sini didengarnya, lepas tu aku boleh tersalah panggil dia Mr. Angry Bird. Malu……sangat!!! Tapi nak buat macam mana, sebab nak cover malu, aku pun buat-buat bodoh je.

“Awak okey?” tanyanya. Kali lembut pula intonasinya. Memang unit sungguh Mr. Angry Bird ni. Cepat marah dan cepat sejuk pulak orangnya. Dan yang paling best, dia sejuk sendiri tak payah susah-susah nak pujuk.

Disebabkan dia dah keluarkan pertanyaan macam tu, tiba-tiba saja aku terfikir, mengapa tak aku tanyakan pada dia apa yang sebenarnya buat orang kat ofis ni pulaukan aku. Manalah tahu kalau-kalau dia tahu punca sebenar. Aku tak rasa sebab peristiwa aku dan Encik Akim tempoh hari. Sebabnya, dari hari sebelum kejadian tu, Tini dan Kak Nim dah mula tunjuk angin dengan aku.
“Awak, awak tahu tak kenapa orang kat ofis ni benci dengan saya?” Dia pandang aku. Lama. Macam pelik dengan pertanyaan aku.

“Awak jangan buat fitnah. Mana ada orang dalam ofis ni bencikan awak.” Dia bermain tarik tali. Mustahillah dia tak tahu sedangkan selama ni dia yang asyik suruh aku bersabar.

“Awak janganlah main-main. Saya serius ni!” Aku menjeling.

“Diorang tu tak bencikan awak, tapi diorang bencikan saya!” ujarnya.

Langsung tak masuk akal!! Kalau orang kat ofis ni bencikan dia kenapa aku yang dipulaukan? Kenapa Tini meluat nak pandang muka aku?

“Awak jangan main-mainlah. Tadi masa saya bercakap dengan Tini, saya boleh lihat dia betul-betul bencikan saya. Malah dia terus…….” Mahu saja aku beritahu yang aku baru saja ditampar oleh kawan baikku sendiri.

“Macam nilah. Saya cuma boleh suruh awak bersabar. Satu hari nanti, awak akan tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jangan risau, everything will be okay.”
______________________________________________________________________________

Sejak dari petang kelmarin hati aku berdegup kencang. Macam ada sesuatu yang tak kena. Mata kiri aku pulak asyik berdetip. Kata orang, kalau mata kiri berdetip tandanya orang tu nak menangis. Ish….Nauzubillah!!!

Astaghfirullahala’zim….. terus aku beristighfar bila terfikirkan hal tu. Bukannya apa, kalau kita dah percaya macam tu takutlah pulak termasuk kepercayaan karut dan termasuk perkara-perkara syirik. Aku selalu ingatkan diri aku untuk beriman dengan enam rukun iman dan bukan percaya kepada perkara karut marut macam ni.

Kalaulah benar bila mata kiri berdetip tanda nak menangis, kenapa sebelum-sebelum ni mata aku tak berdetip pun? Tapi aku tetap menangis jugak!

Aku ke ofis macam biasa. Tapi suasana di unit proses memang agak berlainan. Biasanya Mr. Angry Bird akan datang dulu dan buka semua lampu. Kiranya, bila aku sampai ofis, unit proses dah kelihatan ceria. Tapi pagi ni, pintu masih berkunci dan lampu tak terpasang.
Lepas suis lampu di buka aku aku masuk ke dalam unit proses. Nasib baik aku tak tinggal kunci unit proses di rumah. Maklumlah aku sering terlupa nak bawa kunci. Tapi aku tak kisah sangat sebab biasanya Mr. Angry Bird yang akan buka pintu.

Ternganga aku sekejap bila aku terpandangkan ada satu patung angry bird yang berwarna merah diletakkan di atas meja aku. Terus aku duduk di kerusi. Patung angry bird itu diletakkan di atas satu nota yang ditinggalkan untuk aku.

Assalamualaikum…….
Awak, saya harap pemergian saya ni tak mengejutkan awak. Mungkin kita tak terlalu rapat tapi saya dah terbiasa dengan kehadiran awak sebab awak rakan setugas saya.
Saya tak pandai nak karang ayat. Tapi, apa yang saya nak nasihatkan awak. Awak seorang wanita yang baik dan bukan mudah untuk jadi wanita sebenarnya. Sebab, wanita membawa maruahnya dan seluruh maruah keluarganya di saat dia melangkah keluar dari rumahnya.
Apa saja yang boleh mendatangkan fitnah dan sakit hati orang, jauhkanlah kerana hati manusia tidak sama. Mungkin niat kita baik tapi orang akan menganggap sebaliknya. Hargailah diri awak sebagai wanita kerana wanita itu terlalu berharga.
Dalam kelembutan dan kebaikan wanita, awak perlukan keberanian untuk pertahankan diri. Jangan mudah mengalah dengan persekitaran yang hanya mahu menjatuhkan awak. Tabahkanlah hati, biar awak keseorangan di dunia awak tidak tidak berseorangan jika Allah sentiasa ada di hati awak. Semoga awak sentiasa bahagia.
 Dan untuk kali terakhir ni, saya nak terangkan satu perkara agar awak tak salah faham lagi dengan saya. Angry bird yang awak nampak atas meja saya tempoh hari adalah patung kesayangan saya. Tapi saya bukan obsess dengan  angry bird. Patung tu milik anak buah saya, Imaan yang berusia dua tahun. Sekarang ni, kakak saya dan suaminya dah berpindah ke Sydney dan membawa Imaan bersama. Jadi angry bird tulah pengubat rindu saya pada Imaan. Memang Imaan sayang sangat kat angry bird tu, tapi saya dah curi dan beli yang lain untuknya sebab saya mahu bau Imaan yang ada di patung tu.Di sini saya hadiahkan satu lagi angry bird yang sama untuk awak. Tapi baru punya yang saya beli di kedai. Yang imaan punya, saya masih simpan. Jaga angry bird tu baik-baik ya.
Salam.
P/S kalau awak mahu kebenaran, awak boleh jumpa dengan Kak Maria dari unit personel. Dia tahu segalanya dan dia boleh terangkan pada awak.


Mr. Angry Bird dah pergi? Macam tu saja tanpa pamit pada ku? Dia ingat dengan tinggalkan satu patung angry bird dan nota macam tu berbaloi? Tak tahulah kenapa tiba-tiba saja aku rasa nak marah dengan Mr. Angry Bird. Sampai hati dia pergi! Sampai hati dia tinggalkan aku sorang-sorang kat sini!

Aku bangun dan terus ke meja Mr. Angry Bird. Habis lacinya ku buka. Aku mahu lihat sama ada barang peribadinya masih ada atau tidak. Tapi ternyata, lacinya kosong. Hanya yang aku jumpa sekeping potret seorang wanita bersaiz 3R. wanita yang ayu berselendang itu ku tatap lama.

Memang bukan gambar asli, hanyalah sebuah potret tetapi sudah cukup untuk membuatkan jantung aku bergetar. Siapa wanita ni? Aku membalikkan gambar itu dan tertera satu nama-‘Farida’.
Cemburu! Aku tak tahu kenapa aku perlu cemburu! Aku tak ada apa-apa hubungan pun dengan Mr. Angry Bird. Tambahan pula, hubungan kami taklah rapat mana pun. Cuma setakat urusan kerja. Tapi kenapa perasaan ini perlu hadir. Itupun ketika Mr. Angry Bird sudah tidak ada di sini.

Subhanallah….Aku mencintainya…
Subhanallah… Aku menyayanginya….
Dari ufuk timur hingga ke barat..
Selalu di hatiku..
 

Aku menuju ke unit personel dan mencari Kak Maria. Unit personel terletak di tingkat bawah, dan aku sendiri agak kurang mengenali staf di unit ini sebab unit ini agak terasing dari unit yang lain.

“Boleh saya jumpa dengan Kak Maria?” aku bertanya pada seorang wanita. Wanita itu memandang aku dan matanya terancap pada patung angry bird yang ada dalam pelukan aku.

“Saya Maria. Saya tahu awak akan datang sini jumpa saya.”

“Mr. Angry Bird yang beritahu pada akak?” Mata aku terasa panas dan dada aku terasa sakit sangat bila aku menyebut namanya. “Kenapa dia pergi?”

Kak Maria pandang aku lama.

“Awak nak tahu apa yang berlaku kat ofis ni atau awak nak tahu kenapa dia pergi?” tanya Kak Maria. Memang aku nak sangat tahu apa yang berlaku di ofis sampai aku dipulaukan. Tapi untuk sekarang ni, jiwa aku lebih memerlukan jawapan mengapa Mr. Angry Bird pergi dari ofis ni.

“Saya dah tak peduli dah apa yang berlaku kat sini, apa pandangan orang pada saya. Saya cuma nak tahu kenapa dia pergi?” Sebak sungguh hati ini bila teringatkan dia. Apa yang berlaku di sini dah tak penting untuk aku.

“Apa yang berlaku di sini dan apa yang membuatkan Mr. Angry Bird pergi adalah atas sebab yang sama.”

“Maksud akak?” Semakin penasaran aku dibuatnya.

“Selama tiga tahun dia di sini dan ditugaskan di unit proses. Mungkin di mata kasar kita, kerjanya adalah sama dengan apa yang awak buat setiap hari. Memproses segala maklumat. Tapi disebalik itu, dia ditugaskan untuk menjadi mata-mata di sini. Terlalu banyak permainan kotor di syarikat ni. Apatah lagi berkaitan pembelian asset hartanah. Itu adalah tugas utamanya. Awak tahu sebab apa awak dipulaukan?” Aku menggeleng.

“Sebab yang sangat kecil iaitu awak membela dia ketika mereka sedang mempermainkan dia. Sejak rahsianya terbongkar, ramai pekerja di sini yang mahu jatuhkan dia termasuk kawan-kawan awak yang lain. Azmi, dia salah seorang pekerja yang dibuang kerja tak lama lagi. Banyak maklumat dan dokumen yang kita hantar tak sampai ke tempat yang sepatutnya.  Tapi kita punya bukti sebelum ni. Tapi sekarang, kita dah ada bukti. Itupun atas bantuan dia.”

“Tak mungkin Tini juga terlibat.” Walau apa pun hubungan aku dengan Tini sekarang, aku tak rasa Tini sanggup main kotor untuk memiliki eset hartanah.

“Tak, Tini langsung tak terlibat. Yang buatkan dia marah dengan awak sebab Encik Akim. Awak tahu tak, yang Encik Akim dan Tini ada hubungan istimewa?”

Hubungan istimewa? Aku tak pernah tahu tentang itu! Sampai hati Tini yang mengaku kawan baik tapi banyak perkara yang dirahsiakan dariku!

“kalau tentang kes saya dengan Encik Akim, rasanya mustahil sebab tu Tini marahkan saya. Sebab, sebelum tu lagi dia dah tarik muka dengan saya.”

“Semuanya sebab Azmi dan Kak Nim. Masa kita buka projek di bahagian utara dulu, mereka dah salah gunakan kuasa untuk mendapatkan hartanah bagi ahli keluarga mereka. Macam yang awak tahu, syarikat ni ada peraturan sendiri. Tak ada yang istimewa untuk keluarga dan kaum kerabat. Kalau nak membeli asset hartanah kita, mereka perlu melalui prosedur yang sama dengan yang lain. Tapi disebabkan rahsia mereka dah terbongkar, mereka menyimpan dendam. Awak juga menjadi mangsa sebab awak baik dengan Mr. angry Bird.”

“awak pernah terima bunga?” Aku mengangguk. Ya, sebelum kejadian antara aku dengan Encik Akim, memang aku ada terima sejambak bunga lily. Tapi aku tak tahu siapa pengirimnya. “Bunga tu Azmi yang berikan pada awak, tapi dia beritahu Tini yang encik Akim hadiahkan untuk awak. Bila dah kecoh cerita pasal awak dengan Encik Akim, Tini mengamuklah!”

“Macam mana akak tahu bunga tu dari Azmi?”

“Mr. Angry Bird yang beritahu. Kebetulan kedai bunga yang Azmi pergi tu, milik adik perempuan dia. Tugas dia di sini dah selesai. Jadi, sebab tulah dia pergi. Azmi akan dibuang kerja dan Kak Nim akan dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar peraturan syarikat.”
Aku diam seketika. Banyak rupanya jasa Mr. Angry Bird kat syarikat ni. Patutlah ramai sangat orang bencikan dia.

“Akak boleh beritahu saya di mana dia sekarang? Selama ni dia dah banyak buat baik dengan saya. Tapi saya tak sempat pun nak cakap terima kasih pada dia.”

“Maaflah, tapi akak tak tahu dia ada di mana.”

“saya nak sangat jumpa dengan Mr. Angry Bird untuk kali yang terakhir.”

“Kalau boleh, jangan panggil dia Mr. Angry Bird. Lebih baik panggil nama betulnya. Kalau awak nak tahu, nama dia yang sebenar…”

“jangan!” pantas aku menghalang. “jangan beritahu namanya yang sebenar. Kalau boleh, saya mahu berjumpa dan berkenalan dengan dia sekali lagi. Dan waktu tu, saya akan tanya sendiri pada dia, siapa nama sebenarnya.”

Sungguh, aku mahu ulangi semula detik perkenalan kami kerana peda perkenalan yang lalu kami tak berkesempatan berkenalan dengan cara yang baik. Aku hanya mengenalinya dengan panggilan Mr. Angry Bird.
______________________________________________________________________________

Tahun ini sudah sampai ke penghujung, macam biasa setiap hujung tahun pasti syarikat akan memberi penghargaan kepada pekerja cemerlang. Aku benar-benar tak menyangka Kepujian yang tiga tahun berturut-turut menjadi milik Mr. Angry Bird beralih tangan padaku. Ini semua berkat tunjuk ajar darinya.

Aku menerima dua tiket penerbangan ke London. Apa yang boleh aku buat dengan tiket ni. Nak beri pada mak dan abah, mereka tak nak. Jadi, aku pun berilah pada Kak Maria. Boleh dia pergi bercuti dengan suaminya.

“Ini, hadiah untuk awak. Awak kena pergi tahu!” Kak Maria memberikan satu sampul coklat untuk aku. Kemudian, dia terus pergi sambil tersenyum-senyum. Aku membuka sampul dan melihat ada sekeping tiket penerbangan ke Sydney. Jadi, Kak Maria sudah menukar hadiah untukku pula. Rezeki Allah….

Aku mencapai patung angry bird yang diberikan oleh Mr. Angry Bird. Aku pasti terbang ke Sydney bersamanya!
_____________________________________________________________________________

-Sydney-


Hmmm….memang segar udara disni. Biarpun cahaya matahari memancar tetapi udaranya nyaman sekali. Patung angry bird aku sangkut di beg galasku dan ditanganku terdapat sebuah video camp. Sesekali berada di negara orang, terasa teruja untuk merakam segala keindahan di tasik ini. Sesekali mereka yang sedang bersenam melintasiku akan mengukirkan senyuman. Mungkin senang melihat orang asing di negara mereka ataupun mereka pelik melihat hijap yang ku pakai ini.

Tak kisahlah apa alasan mereka perhatikan aku, yang penting aku tak mahu rugi untuk merakam segalanya selama aku di sini. Sedang aku sibuk merakam, tiba-tiba saja satu susuk tubuh tertera di skrin video camp.

Lelaki itu sedang tersenyum sambil memandang aku. Aku kenal wajah itu, tapi dia kelihatan berlainan. Aku melangutkan wajahku dan melihat susuk itu berada lebih kurang lima puluh meter saja dari aku. Aku melihat kembali wajahnya di skrin video. Aku zoomkan wajahnya.

Mr. Angry Bird! Mana bisa aku lupa seraut wajah itu. Cuma apa yang berlainan padanya, ialah senyuman! Dia sedang tersenyum sambil memandang aku. Itu senyumannya yang pertama aku lihat memekar di wajahnya. Dia sangat manis bila tersenyum begitu.

Mungkin kerana rasa terharu dan rasa syukur yang tidak terhingga, airmataku menitis. Aku terus memandangnya. Aku tak tahu sama ada mahu mendekatinya atau membiarkan dia datang padaku. Aku berharap sangat yang dia yang akan melangkah mendekatiku bersama senyuman yang masih terus menghiasi wajahnya.

Subhanallah….Aku mencintainya…
Subhanallah….Aku menyayanginya…
Dari ufuk timur hingga ke barat..
Selalu di hatiku…


Sekali lagi lagu Indah Dewi Pertiwi bagai kedengaran mengalun di telingaku. Lagu untuk sinetron Indonesia itu bagai mendayu-dayu menyanyikan perasaanku.

Tiba-tiba, aku terperasankan sesuatu. Kelihatan susuk tubuh seorang gadis yang baru saja melintasi aku datang dari belakang dan berjalan pergi. Kelihatannya bagai gadis itu sedang menuju pada Mr. Angry Bird. Aku perhatikan semula di skrin video. Rupanya, senyuman Mr. Angry Bird itu bukan untukku tapi untuk gadis yang melangkah menghampirinya. Kehadiran aku di situ langsung tidak di sedarinya.

Pedih rasa hati ini melihat situasi yang berlaku di depan mata. Walaupun ketika Mr. Angry Bird pergi, aku hanya bersedih tapi aku tak merasa kehilangan. Namun sekarang ini, aku benar-benar merasa kehilangan. Sunggguh! Kehilangan itu Sesuatu yang sangat menyedihkan. Aku merasa kehilangan walaupun pada dasarnya aku masih belum memilikinya.

Benih cinta yang aku jaga untuk disemai akhirnya terpaksa aku lemparkannya tanpa sempat aku melakukan apa-apa. Ya, memang aku mahu bersama Mr. Angry Bird sejak aku mula sedar tentang perasaanku bila dia pergi. Tapi cinta tak harus memiliki. Aku ingin sekali manjadikan kisah ini seperti bait-bait lagu Anuar Zain- Cinta Harus Memiliki tapi apa yang boleh aku buat kalau itu bukan takdir untukku.

Melihat wajah Mr. Angry Bird yang sedang tersenyum berseri, membuatkan aku berfikir. Mungkin aku bukan insan yang akan berada didampingnya, tetapi aku tetap inginkan kebahagiaannya. Dan aku yakin, dia sedang bahagia di saat ini.

Aku mencapai angry bird yang tergantung di beg galasku. Aku memang ingin sekali tahu siapa nama sebenar Mr. Angry Bird dari mulutnya sendiri. Tapi semuanya tak mungkin terjadi lagi. Biarlah siapa pun nama sebenarnya, Mustakim? Mukhriz? Muhsin? Atau apa saja namanya, hanya doa saja yang mampu aku balas untuk setiap jasa baiknya.

Aku menggantung patung angry bird di ranting pohon yang menghiasi sekeliling tasik. Rasanya aku dah tak perlukan angry bird ni. Dia bukan untukku. Selamat tinggal angry bird……selamat tinggal… Mr. Angry Bird. Semoga bahagia kekal menjadi milikmu. Semoga senyuman manis yang menghiasi wajahmu terus mekar. Inilah kali pertama dan kali terakhir aku melihat senyuman itu?












-----------------------------------------------------------------------------------------------

buat pembaca yang saya kasihi, sad ending, memang agak menyedihkan, betul tak? Insyaallah, jika saya ada idea, mungkin saya akan sambung kisah ini dengan tajuk N3nya, Welcome back Mr. angry bird. insyaallah .....





Thursday 22 December 2011

HANYA DIA (NEW N3)

Assalamualaikum buat semua pembaca. Dah terlalu lama saya menghentikan N3 untuk Hanya Dia. Alhamdulillah.....manuskrip Hanya Dia telah diluluskan dan akan keluar ke versi cetak tak lama lagi. Syukur pada Allah, ini adalah karya kedua saya yang akan ada di pasaran. Mungkin ada di antara dah lupa jalan ceritanya. Jadi, di sini saya postkan N3 baru agar dapat anda mengimbas semula perjalanan kisah hidup Maisara, Fariz, Zack dan Suhana. Jangan lupa, ikuti juga karya baru saya-Putera Arab yang di ambil dari kisah Hanya Dia tetapi kali ini heronya adalah Zack pula. Zack akan digandingkan dengan heroin yang muda bernama Audra Laily. Setiap N3 baru Putera Arab saya link-kan dengan penulisan2u. Harap anda sudi mengikuti karya yang tak sehebat penulis yang ternama lain.


Apa-apa pun, jutaan terima kasih buat anda yang sudi menjadi follower blog ini dan sentiasa terjah masuk ke blog PSB ini. Sebagai penulis baru, saya sangat menghargai kesudian anda singgah di blog ini walaupun adakalanya tiada N3 baru yang dipos. Sangat2lah terharu dengan kehadiran anda walaupun bila melihat traffic, mungkin hanya ada satu atau dua orang sahaja yang melayari dalam satu tempoh masa. Dan kerana satu dua orang inilah, akhirnya bilangan pengunjung bertambah dan bertambah. Dan harapan saya, blog PSB ini suatu hari nanti akan menjadi peneman anda bila kesepian.

Saya mohon maaf juga kepada anda, jika karya2 di sini atau nukilan saya di sini kurang memuaskan hati anda. Atau ada bentuk penulisan saya yang kurang disukai. Bak kata pepatah, bukan mudah untuk memenuhi keinginan semua orang. Namun, mungkin dengan kritikan dan komen2 anda saya dapat menulis dengan lebih baik lagi. Tapi jika ada punya kritikan atau apa-apa sahaja anda boleh terus luahkannya.

Okeylah ya, rasanya saya dah terlalu banyak mencuri waktu dan kesabaran anda untuk membaca N3 baru. Jangan marah ya...Last but not least, saya sangat menghargai anda semua kerana tanpa anda karya-karya saya yang tak seberapa ini mungkin takkan tercetak, kan? Saya percaya, bagi semua penulis, jika pembaca merasakan karya mereka bagus itu bukan hanya kerana bakat mereka yang menjadikan karya itu bagus. Tetapi bagi semua penulis, karya mereka bagus kerana mereka memiliki pembaca yang juga bagus!

Selamat membaca!

Salam....

******************************************

HANYA DIA


SURAH YAASIIN selesai dibaca. Lalu dia menutup dan mengucup buku Yaasiin ditangannya. Setitis airmatanya mengalir.

Maafkan Sara Kak Su. Maafkan Sara......Sara menyesal dengan apa yang telah berlaku. Sudahlah hidup Kak Su menderita, Sara tambahkan lagi penderitaan Kak Su. Kalaulah Sara tahu sebabnya, Sara takkan buat begini. Kenapa Kak Su rahsiakan semuanya dari Sara?

Airmata yang setitis itu akhirnya menjadi esakan. Selama hampir dua tahun Suhana pergi, barulah ini pertama kali dia duduk di hadapan pusara arwah.

Fariz disebelahnya, menggosok-gosok belakang Maisara untuk menenangkannya.

“Maafkan Sara....” sayu suaranya sesayu pandangannya pada pusara itu.

“Sudahlah sayang, ini semua suratan,” pujuk Fariz.

“Tapi Sara dah banyak buat salah dengan Kak Su,” teresak-esak Maisara bersuara.

“Dahlah sayang. Jangan salahkan diri sendiri. Semua yang berlaku bukan salah sesiapa. Semuanya dah kehendak Dia. Apa yang berlaku ada sebab dan hikmahnya. Apa yang boleh kita buat sekarang, banyakkan sedekah Al-Fatihah untuk Suhana. Semoga roh dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.”

“Tapi sejak abang berkahwin dengan Kak Su, hubungan kami dah renggang. Walaupun Kak Su cuba dekat dengan Sara, tapi Sara tak pernah pedulikan dia. Tentu Kak Su makan hati dengan sikap Sara.” Airmata yang mengalir disapu dengan selendang yang menutupi kepalanya.

Fariz menarik nafas panjang. Dia mengetap bibir. Memang benar kata Maisara. Hati Suhana sering terluka setiap kali Maisara menjauhkan dirinya. Tetapi Suhana tidak pernah marah atau berkecil hati. Hanya penyesalan sahaja yang keluar dari bibirnya. Menyesal kerana melukakan hati Maisara, adik kesayangannya.

Fariz mengambil tangan Maisara dan menggenggamnya kemas dan di bawa ke dadanya. “Selama abang menjadi suami Suhana, sikit pun dia tak marah atau makan hati dengan sikap Sara. Apa yang selalu dikesalinya, hanyalah kerana dia telah melukan hati Sara. Tiada sikit pun di dalam hatinya ada perasaan benci atau marah sebab dia sangat sayangkan Sara. Percayalah, abang yakin walau sehingga ke akhir hayatnya, sayangnya pada Sara tak pernah padam.”

Mendengar sahaja kata-kata Fariz, airmata Sara semakin laju mencurah. Fariz memeluk bahu Maisara dan menggosok-gosok perlahan. “Sabarlah sayang. Pasti Suhana sekarang sedang bahagia melihat kita. Abang yakin itu!”

Kata-kata semangat dari Fariz membuatkan Maisara berhenti menangis lalu melangut memandang Fariz di sebelahnya. “Betulkah?” Dia masih mahukan kepastian.

Fariz mengukir senyuman lalu mengangguk dengan yakin. Maisara tersenyum puas. Mungkin benar kata Fariz. Suhana tetap sayang padanya dan mungkin saat ini Suhana sedang tersenyum melihat segala amanahnya ditunaikan dengan sempurna.

Fariz mencapai sejag air putih yang dipenuhi dengan bunga-bungaan di dalamnya lalu menyirami pusara itu. setelah itu diserahkan pula pada Maisara. Baki air yang masih tinggal di dalam jag itu disiram semuanya oleh Maisara. Lalu pusara itu ditaburi lagi dengan bunga-bungaan.

“Mari!” Fariz memimpin Maisara untuk berjalan pulang. Sebaik sahaja tiba di gerbang pintu pusara, sekali lagi Maisara berpaling.

Selamat tinggal Kak Su. Insyaallah, lain kali Sara datang lagi bersama Aiman, permata hati Kak Su.



ILYANA bertekad, walau apa pun berlaku, dia tetap mahu berhadapan dengan walidnya itu. Sejak Zack kembali ke Warisan Syed, walid sentiasa melebihkan lelaki itu. Entah kenapa tiba-tiba sahaja walid boleh menyerahkan segala urusan pejabat kepadanya. Bukankah Zack anak Syed Zarkasyi, abang yang dibenci oleh walid?

Sampai sahaja di pintu pagar Rumah Warisan, Ilyana membunyikan hon beberapakali sehinggalah pintu pagarnya di buka. Dia memandu masuk dan berhenti betul-betul di hadapan pintu utama.

Keluar sahaja dari perut kereta, dia terus melangkah ke dalam. Tanpa salam atau bertegur sapa dengan Che Enon yang membuka pintu, Ilyana terus meluru masuk ke kamar kerja Syed Hussin.

“Tuan Syed tak ada, Cik Ilyana,” beritahu Che Enon setelah menyedari wanita itu mencari walidnya.

“Walid tak balik lagi? Tapi tadi dia dah balik dulu!” ujar Ilyana. Dia sendiri melihat walid keluar dari bangunan Warisan Syed.

“Belum lagi. Cik Ilyana tunggulah dulu. Kejap lagi Tuan Syed baliklah.”

Ilyana memandang Che Enon yang sedang memegang foto album ditangannya. Dia menjeling sekilas lalu melangkah ke ruang tamu. Tentu Che Enon sedang bersenang lenang melihat foto album sebentar tadi! Pantang tuan rumah tiada, ada saja yang mencuri tulang! “Che Enon tolong buatkan air untuk saya!” arahnya.

“Cik Ilyana nak minum air apa?” tanya Che Enon sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat.

“Macam biasalah Che Enon! Fresh Orange!” ujar Ilyana kasar sambil menjeling wanita tua itu. “Takkanlah setiap kali balik sini, saya nak kena beritahu!”

Che Enon menelan air liurnya. Sikap Cik Ilyana tak ubah seperti walidnya, Tuan Syed. Jauh sekali berbeza dengan Syarifah Nurain yang lemah lembut itu. Tempoh hari ketika Ilyana datang, dia menyediakan jus oren tetapi diminta jus epal. Dengan rasa takut di hatinya, dia meletakkan foto album di tangannya dan terkoncoh-koncoh melangkah ke dapur.

Ilyana duduk bersandar sambil matanya tajam memandang Che Enon yang berlalu pergi. Kemudian, matanya menangkap foto album yang baru diletakkan Che Enon di depannya. Dia mencapai foto itu. Walaupun dia tahu, foto album itu milik Che Enon tetapi biarlah, dia tidak kisah. Bukankah semua yang ada di sini adalah haknya? Dia berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya.

Satu persatu helaian di selak. Kelihatan foto-foto Che Enon di zaman mudanya. Gambar ketika perkahwinannya dengan suami dan gambar-gambar keluarganya juga ada sekali. Gambar anak Che Enon yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan juga ada. Dia menyelak kesemua foto-foto sehinggalah tiba di helaian terakhir.

Seraut wajah seseorang yang dikenali turut termuat di situ. Berkerut keningnya cuba mengecam gerangan di dalam foto itu. Dua orang gadis yang sedang tersenyum dan mengenakan pakaian jururawat itu ditenungnya lama. Salah seorang dari mereka seakan pernah dilihatnya.

“Minum Cik Ilyana,” tegur Che Enon yang tiba bersama segelas jus oren ditangannya. Che Enon menunduk hormat dan berpaling untuk pergi.

“Nanti Che Enon!” Ilyana menghalang. “Siapa perempuan ni?” Foto dua orang gadis yang berbaju putih itu diunjukkan pada Che Enon.

Che Enon mencapai. “Oh, ini foto Syikin dan Suhana! Bekas jururawat di sini!” ujat Che Enon.

Ilyana terdiam sambil berfikir. Jadi ini Suhana, kakak Maisara. Bekas jururawat walid! Patutlah selama ini dia sering merasa seperti dia pernah melihat wajah itu. “Tak pelah!” Ilyana menyerahkan semula foto album itu kepada Che Enon tanpa menyerahkan kembali foto Suhana dan Syikin.

“Foto tu.....” Che Enon menunjukkan foto ditangan Ilyana. “Cik Ilyana nak buat apa dengan gambar tu?”

“Sibuklah Che Enon ni! Foto ni saya simpan! Sudahlah! Pergi sana! Menyibuk je!” tengking Ilyana.

Che Enon berlalu hampa. Hanya itulah satu-satunya foto Suhana dan Syikin yang ada dalam simpanannya. Terpaksa pula diberi kepada Ilyana.

Ilyana memasukkan foto itu ke dalam begnya. Dia sendiri pun tidak pasti kenapa dia perlu mengambil foto itu. Semua yang berlaku hanyalah spontan. Tiba-tiba sahaja dia mahu menyimpan foto itu.

Baru seteguk dua dia menelan jus oren yang disediakan Che Enon, dia mendengar bunyi enjin kereta di halaman. Pasti itu walid! Dengan segera Ilyana berjalan ke muka pintu. Memang benar telahannya.

Syed Hussin yang baru melangkah keluar dari kereta berpandangan mata dengan Ilyana seketika. Kemudian dia berpaling ke tempat lain dan berjalan masuk ke dalam rumah. Ketika dia berselisih dengan Ilyana langsung tiada sapaan di antara mereka.

Ilyana mencebik. Memang dia benci keadaan begini. Dia berpaling dan melihat Syed Hussin yang sudah melepasinya. “Walid!”

Langkah Syed Hussin terhenti. Dia berpaling memandang Ilyana. “Begitu cara kamu bercakap dengan orang tua kamu?!” Tajam matanya merenung Ilyana.

Ilyana menjeling sambil nafas yang panjang untuk menenangkan dirinya. Dia tidak mahu terbawa oleh amarahnya sehingga walid membuangnya dari keluarga. “Maaf walid! Yana ada hal nak bincang dengan walid,” ujarnya.

“Mari!” Syed Hussin berpusing dan menuju ke kamar kerjanya.

Ilyana membontoti di belakang.

“Ada apa?” Syed Hussin bersandar di kerusi sambil memandang Ilyana yang berdiri di hadapannya.

“Yana cuma nak tahu kenapa walid terlalu beri perhatian pada Zack? Walid dah lupakah wasiat yang ditinggalkan arwah atok dulu? Sepatutnya walid cari jalan macam mana nak hapuskan Zack dari menjadi waris utama.”

Syed Hussin ketawa sinis. Tahu benar dia persis apa yang ada dalam hati anak perempuannya itu. “Kamu takut semuanya akan dirampas oleh Zack?” tanya Syed Hussin. “Dari awal lagi sepatutnya kamu lahir dari rahim ibu mu sebagai anak lelaki. Jika tidak, pasti semua ini tidak akan terjadi!”

“Walid!!” Terkejut dia dengan omongan itu.

“Jangan pernah meninggikan suara pada orang yang lebih tua dari mu!!” Tengking Syed Hussin.

Ilyana terdiam. Hatinya membengkak. Walid memang keterlaluan berkata begitu padanya. Bukan kehendaknya untuk menentukan jantinanya sendiri. Dia lebih bersyukur menjadi seorang perempuan dari menjadi seorang lelaki jika berperangai seperti walid dan arwah atuknya, Syed Hakim.

“Ibu mu juga tidak berguna! Sudahlah melahirkan anak perempuan, kemudian tidak bisa melahirkan pula!”

“Walid tak sepatutnya kata macam tu! Semuanya dah takdir! Jangan salahkan ummi dengan apa yang terjadi. Selama ini ummi dah berkorban macam-macam untuk walid!” sayu hati Ilyana mendengar uminya dicerca sebegitu. “Kalau walid benar mahukan waris lelaki, kenapa walid tak lakukan seperti wasiat atuk?” tanya Ilyana.

“Kamu fikir semudah itu untuk melakukannya? Apa kamu tahu tentang urusan orang-orang tua?!” Syed Hussin menjegil memandang Ilyana.

Syed Hussin bangun lalu menghadap jendela kacanya. Dia merenung jauh. Dia sendiri tidak pasti adakah rancangan yang sudah diatur akan membuahkan hasil seperti yang dirancang. Tetapi segalanya sudah diatur dengan sempurna. Tidak lama lagi, dia pasti dia akan menjadi satu-satunya waris yang akan mewarisi Warisan Syed.

“Usahlah kamu khuatirkan tentang hal ini. Cukuplah sekiranya kamu tahu, suatu hari nanti Warisan Syed tetap akan utuh berada di tangan keluarga kita! Warisan Syed tidak mungkin jatuh ke tangan pengkhianat!” ujar Syed Hussin dengan pasti.

Ilyana tahu benar siapakah pengkhianat yang dimaksudkan Syed Hussin. Kasihan Syed Zikri, kerana menjadi mangsa keadaan. Tapi apa boleh buat, semuanya berkenaan dengan harta. Seandainya, Syed Hakim tidak lembut hati memasukkan nama Syed Zikri, pasti semua ini tidak akan berlaku. “Apa rancangan walid?” tanya Ilyana. Jika walid merancang sesuatu pastinya rancangan yang besar. Walaupun dia juga berniat untuk menghapuskan Zack dari menjadi waris utama, namun dalam masa yang sama dia tidak mahu nyawa Zack terancam. Cukuplah seandainya Zack terkeluar terus dari keluarga Syed Hakim.

“Kamu tidak perlu tahu!”

Ilyana menjungkitkan keningnya. Buang masa jika dia terus bertanya tentang rancangan walid. Seperti biasa, pastinya walid akan menyimpan rahsia darinya.

“Kelmarin ummi telefon Yana,” beritahu Ilyana tentang Sharifah Nurain yang masih lagi berada di Paris. “Hujung minggu ni, ummi akan balik Malaysia. Yana harap, hujung minggu ni walid tak bekerja. Bolehlah kita berkumpul bersama,” cadang Ilyana. Sudah lama dia mengimpikan untuk berhimpun bersama keluarganya.

“Tengoklah jika walid tidak sibuk,” keras nadanya. Tiada langsung tanda kegembiraan mendengar isterinya akan pulang. “Sudahlah! Kalau kamu tidak ada urusan penting lebih baik kamu pulang!” Syed Hussin mencapai fail tanpa mengendahkan Ilyana.

Ilyana mengeluh kehampaan dan kekecewaan disertai sedikit api kemarahan. “Yana pulang dulu!” ujar Ilyana dengan hambar lantas memusingkan tubuhnya untuk melangkah pergi.

“Ilyana!” Panggil Syed Hussin semula. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan sesuatu.

************************************************

Thursday 15 December 2011

Si Pencabut Kalbu







Haikal membetul-betulkan rambutnya. Setelah membelek-belek sekejap penampilannya di cermin, dia pun melangkah keluar dari tandas. Azmi sudah tertongok menunggu dia di balik tembok.

“Wei….!!! Apa kau buat lambat sangat ni?!” ujar Azmi setelah melihat kelibat Haikal sudah pun keluar dari tandas.

“Orang pergi tandas buat apa?” tanya Haikal kembali. Sengaja mahu mengenakan Azmi.

“Itu orang pergi tandas. Tapi, kalau Haikal yang pergi tandas, tak de kerja lain asyik belek rambut! Muka!” Dia mencebik.

“Wei! Jaga mulut sikit!” Haikal sudah memandang sekeliling. Malu jika pelajar lain terdengar. Nanti dikatakan mat cermin pulak. Dia beralih memandang Azmi. “Kau jangan nak buat fitnah! Jatuhlah maruah aku sebagai Pencabut Kalbu!”. ‘Si Pencabut Kalbu’, itulah gelaran yang diberikan untuk Haikal. Manakan tidak, dengan susuk tinggi lampai, kulit sowo matang dan wajah tampan yang dimilikinya sentiasa membuatkan pandangan para gadis tak mempu beralih dari menatap wajahnya. Tambahan lagi, Haikal menyandang sebagai kepten pasukan sofbol di kolej. Itu menambahkan lagi popularitinya. Di tambah pula dengan kepandaiannya menggunakan kata-kata manis untuk memikat para gadis.

“Yelah…! Yelah…! Jomlah pergi kantin! Aku dah lapar dah ni. Petang karang, ada latihan sofbol pulak.” Azmi bersuara. Malas mahu memanjangkan pertengkaran.

“Jom! Jom! Jom!” Haikal mendahului Azmi. Azmi mengejar langkahnya.

Sampai sahaja di kantin mereka beratur di gerai nasi campur. Setelah mendapatkan hidangan tengahari masing-masing, mereka melangkah ke sebuah meja yang terletak bertentangan dengan taman.

Ketika itu mereka melintas sekumpulan pelajar perempuan yang sedari tadi asyik memerhatikan Haikal. Haikal yang sememangnya sudah perasan sedari tadi akan pandangan mata pelajar-pelajar perempuan itu, memberikan satu senyuman buat mereka. Kemudian dia mengenyitkan matanya.

Kedengaran pelajar-pelajar perempuan itu ketawa seakan-akan suka mendapat perhatian dari Haikal. Haikal melabuhkan punggungnya bertentangan dengan Azmi.

Azmi menggelengkan kepalanya melihat sikap Haikal yang gemar melayan gadis-gadis yang suka padanya. Apa yang seronoknya menjadi kegilaan para gadis? Apa yang dilihatnya, hidup Haikal semakin rumit bila ada gadis yang bergaduh sesama mereka kerana berebutkan Haikal.

“Sudah-sudahlah tu Haikal! Lemas aku menengoknya!” Azmi menyindir. Haikal mengerling Azmi.

“Alah…..diorang tu cuma nak perhatian je. Bagi perhatian sikit, cukuplah! Bukannya aku syok sangat dengan budak-budak tu!” balasnya. “Kau tu bukan apa, jeleslah tu!”

“Tak de maknanya aku nak jeles dengan kau ni! Walaupun aku ni tak handsome macam kau, tak de banyak peminat perempuan macam kau, tapi aku bahagia dengan kekasih aku, Wina. Kau ada?” Sengaja Azmi mengusik Haikal. Sudah banyak perempuan yang dibawa keluar Haikal, tapi tak satu pun yang berjaya membuatkan Haikal setia pada mereka.

Haikal menguis-nguis nasi dipinggannya. Memang benar, kadang-kadang dia yang cemburu dengan kebahagiaan Azmi. Hidupnya simple, tapi sentiasa ceria.

“Nak buat macam mana. Bukan senang nak cari perempuan yang betul-betul ikhlas cintakan kita! Habis kuat yang ada, macam pompuan-pompuan tu semua!” muncungnya dipanjangkan menunding gadis-gadis yang masih lagi cuba mencuri memandanganya.

“Habis perempuan macam mana yang kau nak? Yang pakai tudung?” tanya Azmi setelah melirik kumpulan tadi.

“Pakai tudung? Pleaselah! Rimas aku tengok. Dah macam hantu bungkus dah!” Tergeleng-geleng kepala Haikal.

“Hei! Apalah engkau ni!” Azmi menggeleng lagi kepalanya. “Perempuan yang bertudung itu menunjukkan mereka tu mengikut suruhan Allah!”

“Tapi tak semua perempuan yang bertudung tu baik. Cuba kau tengok, bila kita lepak kat taman je, balik-balik nampak perempuan yang bertudung tengah syok berdating dengan balak masing-masing.”

“Betul kata kau. Tapi kita tak boleh menilai dari luar je. Walaupun mereka buat salah, tapi sekurang-kurangnya mereka tetap menunaikan perintah Allah untuk menutup aurat! Kan itu lebih baik?”

Sekilas Haikal terpandangkan sekumpulan pelajar perempuan yang bertudung.

“Cuba kau tengok sana,” muncungnya diarahkan pada kumpulan pelajar perempuan itu. “Pakai tudung, tapi pakai baju budak umur lapan tahun. Sama je perempuan zaman sekarang! Pakai tudung pun belum tentu masuk syurga.”

“Tapi orang yang tak pakai tudung confirm tak masuk syurga sebab dah ketepikan perintah Allah!” Azmi memandang sekilas sekumpulan pelajar yang memakai tudung itu.

“Pakai tudung saja tapi tak menutup aurat dengan sempurna pun berdosa jugak!” Haikal masih menegakkan pendapatnya.

“Apalah engkau ni! Terlalu pandang serong sangat dengan orang. Orang tak pakai tudung, kau kata. Orang pakai tudung pun kau kata!” Azmi menggeleng. “Berdosakah tak, itu semua kerja Tuhan!”

“Aku bukannya apa. Kita sebagai lelaki kalau nak cari perempuan kena berhati-hati! Perempuan ada banyak jenis dalam dunia. Disebabkan perempuan, lelaki boleh hancur tau! Perempuan ni, ibarat racun!”

Azmi menggaru-garukan dagunya. “Entahlah! Tapi bagi aku, kalau kita cari perempuan yang baik, baiklah yang kita jumpa. Tapi kalau kita cari sebaliknya, sebaliknya jugaklah yang kita terima,” balasnya. “Tapi lelaki macam kau ni pun bahaya jugak! Semua perempuan kau layan. Kau kasi ayat cinta, usung sana, using sini! Kalau tak, tak delah gelaran Si Pencabut Kalbu tu melekat dekat kau.” Sindir Azmi lagi.

“Aku layan suka-suka je. Tapi, aku belum pernah nak ambil kesempatan pada mana-mana perempuan. Kadang-kadang, gatal diorang tu lebih dari aku tau! Eeeii……rimas aku!” Haikal menggoyangkan badannya tanda geli.

“Entahlah Haikal. Aku nak cakap lebih-lebih pun, aku ni bukannya pandai sangat. Tapi kata orang, kalau nak cari perempuan acuan masjid, cari di masjid. Kalau nak cari perempuan acuan disko, cari di disko. Tak adanya kau jumpa perempuan acuan masjid di disko!” ujar Azmi. “Itu kata oranglah. Tapi menjadi tanggungjawab kita juga sebagai seorang lelaki. Kan Allah jadikan kita sebagai seorang pemimpin? Sepatutnya kita memimpin perempuan, bukannya ambil kesempatan.”

“Aku sebenarnya tak kisah bertudungkah tak. Tapi kalau boleh biarlah yang moden sikit. Aku bukannya apa. Bila aku tengok perempuan yang pakai tudung, rasa macam….” Haikal membuat muka. “…..tak de feel tau! Tambah-tambah kalau ada perempuan yang pakai tudung labuh. Nak pandang pun tak nak! Aku hairanlah macam mana diorang boleh berbungkus macam tu dengan cuaca yang panas macam ni!” Tergeleng-geleng kepala Haikal.

“Kalau perempuan moden yang kau cari, modenlah yang akan kau dapat!” balas Azmi seraya menghentikan perbicaraan mereka tentang isu ini. Malas mahu berdebat lebih lanjut, tambahan pula dia sendiri kurang ilmunya bila bercakap soal agama.

Haikal membisu. Dia mencapai straw untuk menyedut milo ais yang dibelinya. Namun tiba-tiba sahaja dia tersedak dan milo ais yang di sedutnya ke dalam mulut tersembur apabila tubuhnya dilanggar seseorang dari belakang. Haikal terbatuk-batuk.

“Maaf, saya tak sengaja!” Kedengaran suara halus meminta maaf.

Haikal yang masih tersisa batuknya, bangun lalu menoleh ke belakang. Seorang gadis yang berbaju kurung dan bertudung sedang memandangnya dengan rasa bersalah.

“Maaf, saya tak sengaja!” ujar gadis itu lagi.

“Tak sengaja?” tanya Haikal. Dia memandang gadis itu dari atas ke bawah. Jangan-jangan gadis itu segaja menarik perhatiannya. Ramai juga antara pelajar perempuan yang membuat macam–macam alasan semata-mata untuk menarik perhatiannya. Tapi gadis di depannya ini bertudung dan berbaju kurung. Cirri-ciri yang kurang diminatinya. Haikal tersenyum. “Tak pe….tak pe….saya faham. Awak nak berkenalan dengan saya, kan? Awak student baru? ”

Gadis itu kelihatan terpinga-pinga.

“Apa maksud awak?”

“Alah! Saya faham! Saya dah biasa dah dengan semua ni!” Haikal tersenyum sambil melirik Azmi yang hanya memerhatikan mereka.

Gadis itu memandang temannya di sisi. Temannya hanya menjungkitkan bahu.

“Apa maksud awak ni?” Wajah gadis itu berubah merah.

“Tak payahlah nak buat-buat tak faham. Saya tahu, awak nak berkenalan dengan saya, kan? Sebab tulah awak pura-pura langgar saya.”

“Excuse me!” Gadis itu kelihatan terkejut dengan kata-katanya. “Saya tak sengaja langgar awaklah! Saya tak kenallah awak ni siapa! Tak de masa saya nak berkenalan dengan orang macam awak!”

Haikal kelihatan terpinga sekejap dengan reaksi yang ditunjukkan gadis itu.

“Oh….jadi awak betul-betul tak sengaja langgar sayalah?!” Haikal menjungkitkan keningnya. “Tak pelah kalau macam tu.” Entah kenapa jauh di sudut hatinya terasa sesuatu yang tidak menyenangkan dengan jawapan gadis itu. Belum ada lagi gadis yang menolaknya mentah-mentah begitu. “Cuma, kalau ada terdetik di hati awak nak berkenalan dengan saya, saya harap baik awak lupakan saja. Sebab, saya tak berminat dengan gadis yang berbungkus macam awak ni!” Sengaja Haikal berkata begitu. Dia merasa keberatan dengan layanan yang diterima.

“Awak ingat ingat saya sudi nak berkenalan dengan lelaki hidung tinggi macam awak?” Gadis itu benar-benar menunjukkan rasa kurang senangnya dengan Haikal.

“Baguslah kalau sama-sama tak sudi. Tak delah masa terbuang!” balas Haikal kembali.

“Whatever! By the way, saya cuma nak minta maaf sebab langgar awak. That’s it!” terus gadis itu menarik tangan temannya dan pergi dari situ.

Sebaik sahaja gadis itu dan temannya pergi, kedengaran tawa Azmi bergema. Haikal memandangnya.

“Apahal kau ni wei!” Haikal kembali duduk. Dia sudah termalu sendiri.

“Itulah kau! Suka-suka hati kau je! Kau ingat semua perempuan nak cari perhatian kau?!” Semakin kuatlah ketawa Azmi. Ini baru bertemu buku dengan ruas. Kalau tak, semua perempuan akan cair melihat Haikal.

“Manalah aku tahu. Kau ingat tak, dulu, ada seorang awek yang pura-pura langgar aku sebab nak berkenalan dengan aku?”

Azmi menganggukkan kepalanya. Dia masih ingatkan peristiwa itu.

“Tapi tak bolehlah kau ingat semua perempuan tu nak cari perhatian kau!”

“Aku serkap jarang je tadi!”

“Dah tu, apasal kau tak minta maaf. Siap sakitkan hati budak tu lagi!”

“Saja nak cover malu aku ni!” Jeling Haikal.

Berdekeh-dekeh tawa Azmi dengan jawapan Haikal.

***********************************************************

“Siapa lelaki tadi tu?! Berlagak semacam je!" tanya Ayla pada Hani. “Menyampah!”

“Kalau kau nak tahu, itulah Haikal, Si Pencabut Kalbu!” ujar Hani.

“Si Pencabut Kalbu?” Berkerut dahi Ayla.

“Itulah gelaran untuk Mat Romeo tu.”

“Owh….” Terangguk-angguk kepala Ayla. “Berlagak semacam je. Macamlah aku nak sangat berkenalan dengan dia. Kenal pun tidak!”

Hani tertawa kecil.

“Haikal tu memang ramai peminat perempuan. Macam-macamlah peminat dia buat untuk tarik perhatian dia. Jadi, aku tak salahkan dia kalau dia pun ingat kau cuba nak dekat dengan dia.”

Ayla menjeling Hani.

“Perempuan yang tak betul saja tergila-gilakan lelaki perasan macam tu!” Ayla mendengus. “Kalau ramai peminat perempuan sekali pun, takkanlah semua perempuan dalam kolej ni tergila-gilakan dia? Dahlah tu, siap perli lagi! Boleh dia kata aku ni gadis berbungkus!” Itu yang paling tak disukai Ayla.

“Gadis bertudung macam kita ni memang bukan taste Haikal. Semua perempuan-perempuan yang keluar dengan dia, tak ada yang bertudung. Dia minat perempuan yang up to date. Kalau setakat pakai tudung macam kita ni, dia tak pandang,” ujar Hani. “Walaupun aku ni student lama kat sini, tapi kalau aku yang langgar dia tadi, mesti dia tanya aku ni student baru ke?”

“Owh….jadi Haikal tu memang pandang serong dengan perempuan macam kita? Dia ingat, perempuan yang moden tu semua, up to date ke? Kita, kalau nak up to date, bukan dari segi pakaian, tapi pemikiran. Bagi aku, orang yang kolot sekarang ni bukan kita, tapi Haikal!” Ayla menghembus nafas geramnya. “Islam dah bawa tamadun yang baru dari zaman jahiliah. Tapi, manusia sekarang yang kembali pada zaman jahiliah dan diorang ingat cara hidup diorang tu, up to date?”

“Dahlah tu Ayla, kalau nak fikir tentang semua ni, memang tak habis fikir!” ujar Hani. “Okeylah, aku nak balik hostel. Kau nak ikut?”

“Tak! Aku ada latihan sofbol petang ni!” balas Ayla.

“Kalau macam tu, aku pergi dulu, ek?” balas Hani namun kemudian dia berpaling kembali. “For your information, Haikal adalah kapten pasukan sofbol. So, selamat berkenalan dengan Si Pencabut Kalbu!” Hani terus berlalu pergi.

“Ya Allah!” Ayla mengeluh. Nampaknya jodoh pertemuannya dengan Haikal akan berlanjutan.

Ayla mencapai beg galasnya dan terus ke bilik persalinan. Setelah menukar baju kepada baju sukan, dia bersama teman sepasukan yang lain yang ditemui di bilik persalinan beriringan ke padang.

Ayla merupakan pelajar baru di kolej itu yang ditawarkan untuk menyambung pelajarannya di sana kerana pihak kolej berminat dengan bakat Ayla sebagai pemain sofbol. Setelah berfikir panjang, akhirnya dia menerima tawaran dari pihak kolej dan menyambung pengajiannya di sini.

“Biasanya kita berlatih bersama pasukan lelaki,” ujar Anis, ketua pasukan sofbol perempuan ketika mereka beriringan ke padang. “By the way Ayla, selamat datang dalam pasukan kita.”

“Thanks!” Ayla tersenyum. Kedatangannya memang disambut baik oleh ahli pasukan.

“Boleh aku tanya sesuatu. Itu pun kalau tak keberatan,” Wajah Anis terlukis garis keraguan.

“Tanyalah!”

“Kau selesakah berpakaian begini?” Anis memandang Ayla yang bertudung dan mengenakan baju T berlengan panjang dan track bottom.

Ayla tertawa kecil. Dia memandang Anis dan ahli pasukan yang lain. Mereka memakai baju T berlengan pendek,dan seluar track bottom panjang. Ada juga yang memakai track botton separas lutut.

“Aku pakai macam yang korang pakai jugak. Cuma lengan tangannya panjang dan aku bertudung.”

“Itulah yang aku maksud aku. Kau tak rasa rimaskah bertudung waktu bersukan. Tak ganggu?” tanya Anis lagi.

“Aku adalah pelajar dari kolej lain. Dan kolej ini menawarkan aku untuk belajar di sini kerana mahukan aku di dalam pasukan sofbol. Jadi, buktinya?” Rasanya tak perlu dijelaskan dengan lebih terperinci. Anis dan teman yang lain sepatutnya lebih tahu.

“Hai Anis!” Satu suara menyapa mereka berdua. Kedua-duanya berpaling ke arah pemilik suara itu.

Terkedu Ayla seketika apabila melihat kelibat Haikal di situ. Inilah dia, Si Pencabut Kalbu sudah tiba. Haikal juga terkesima sebentar melihat Ayla. Kemudian dia menarik tangan Anis dan menjauhi Ayla. Ayla membiarkan sahaja lalu menyertai teman-teman yang lain yang sedang memanaskan badan.

“Apa hantu bungkus tu buat kat sini?” tanya Haikal.

Anis ketawa kegelian. “Kenapa you panggil dia hantu bungkus! Jahatlah you ni!” Anis menampar manja bahu Haikal. “Dialah pemain sofbol baru team kita!”

“Biar betul!!” Jelas sekali Haikal tak dapat menerimanya. “Dengan pakai macam tu, macam mana dia nak main?”

Anis hanya mengangkat bahunya. Kemudian Anis meninggalkan Haikal keseorangan apabila ada teman yang lain memanggilnya.

Haikal melihat Ayla berjalan ke bangku sebentar untuk meneguk air botolnya. Haikal menghampiri gadis itu.

“Boleh mainkah ni?”

Ayla menjeling Haikal yang berdiri di sebelahnya. Ada bau-bau sindiran dri kata-kata itu. Ayla hanya mendiamkan diri. Ayla mencapai bet semula dan berjalan untuk turun ke padang.

“Saya adalah kepten pasukan lelaki dan perempuan!” Geram Haikal apabila Ayla tidak memperdulikannya.

“Setahu saya, kapten pasukan perempuan adalah Anis.” Ayla bukan sengaja bersikap sombong begitu. Tapi hatinya masih sakit dengan pertemuannya dengan Haikal tadi.

“Betul! Anis adalah kapten pasukan perempuan. Tapi saya adalah kapten untuk kedua-duanya.” Haikal bergerak menghampiri Ayla. “Awak boleh mainkah?” tanya Haikal sekali lagi.

“Sepatutnya sebagai kapten pasukan awak kena lebih peka dengan setiap perkembangan pasukan. Takkanlah awak tak tahu, saya ditawarkan ke sini demi pasukan ini?”

Haikal mencekak pinggangnya. Bukan dia tak tahu tentang itu. tapi dia tak sangka perempuan seperti ini yang dipilih oleh jurulatih mereka. Dia sikit pun tak percaya perempuan di depannya ini mampu bermain dengan baik. Apa yang boleh dilakukan oleh gadis seperti Ayla. Tahan lasakkah gadis itu?

“Okey, fine! Saya tak kisah kalau awak bertudung di kelas. Tapi, bila turun padang, awak sepatutnya tanggalkan tudung awak. Macam mana awak nak main dengan berbungkus macam ni?! Kita bermain di tengah padang, bawah matahari terik! Bukan dekat padang yang ada salji untuk awak tutup-tutup macam ni!”

“Owh! Baru saya faham! Awak ada masalah dengan pakaian saya!” Terangguk-angguk kepala Ayla. “Jangan risau! Inilah diri saya yang sebenarnya. Jurulatih pasukan awak memilih saya bukan kerana penampilan saya tapi kerana bakat saya!”

Haikal menghembus nafas geram. Dia tak percaya coach Rahman yang memilih Ayla. Mungkin ada silapnya di sini. Sayangnya, coach Rahman pula tak dapat turun padang hari ini.

“Sepatutnya perempuan macam awak, yang berbungkus habis satu badan ni, duduk kat kat rumah lepas waktu kelas! Masakkah! Kemas rumahkah! Padang ni, tak sesuai untuk orang macam awak! Ini, tempat orang-orang yang tahan lasak je!”

“Saya tak sangka, kolot sungguh cara awak berfikir!”

Panas telinga Haikal dengan ucapan Ayla.

“Baiklah! Awak ikut saya! Sebagai ketua pasukan saya berhak menguji awak!” Haikal berlalu turun ke padang dengan bola sofbol di tangan kanannya dan menyarung sarung tangan coklat yang besar di tangan kirinya.

Ayla hanya memerhati tingkah Haikal dengan rasa terkilan. Sayang sungguh! Wajah yang kacak tak mencerminkan kecerdikan akalnya!

Ayla yang memegang bet terus ke petak pemukul. Haikal pulak sudah ke posisi pembaling. Ayla melirik penangkap bola di belakangnya sambil meletakkan muncung betnya di tanah. Dia memerhatikan pasukan perempuan yang sudah berada di tepi padang setelah diberi arahan oleh Haikal. Pasukan lelaki sudah mula menjaga base masing-masing.

“Kalau awak betul-betul boleh main, saya nak awak buat satu pukulan home run!”

Ayla memukul tanah beberapa kali sebelum mengangkat betnya ke sisi. Dia sudah bersedia untuk memukul. Fokusnya sudah terarah pada Haikal. Dia tahu, Haikal adalah seorang pembaling yang hebat! Bola yang dilontarkannya memang laju.

Haikal membetulkan gerak langkahnya lalu melontarkan bola dengan sekuat tenaga. Fokus Ayla terus sahaja pada bola yang dilontarkan. Lontaran pertama dibiarkan penangkap bola menangkapnya.

“Strike!” jerit Azmi yang menjadi pengadil.

Bola dikembalikan kepada Haikal. Bola yang dilontarkan Haikal memang betul-betul laju. Ayla perlu lebih fokus!

Sekali lagi Haikal melontarkan bola. Ayla sudah siap untuk memukulnya. Pang!! Pukulan Ayla yang tepat menyebabkan bunyi yang kuat. Bola yang dipukul Ayla melanbung tinggi. Pemain perempuan yang berada di tepi padang sudah ternganga melihat pukulan Ayla.

“Move back!!” Jerit Haikal pada penjaga base belakang. Bola Ayla memang kuat melambung. Ayla mengambil kesempatan untuk berlari. Base satu, base dua, base tiga….Bolanya yang melantun tinggi sudah hampir jatuh. Penjaga base sudah bersedia untuk menyambut bolanya. Ayla melajukan lariannya.

Bola yang dipukul Ayla jatuh ke tanah dan tidak berjaya ditangkap dengan baik oleh penjaga base. Bola dikutip dan dilontarkan pada Haikal.

"Safe!!"

Tapi sayangnya, Ayla sudah berjaya melakukan home run sebelum sempat Haikal membaling bola itu kepada penangkap bola yang sudah sedia menanti di base akhir.

Pemain perempuan bersorak girang dengan prestasi yang ditunjukkan Ayla. Pemain lelaki sudah kembali ke tepi padang.

“Akhirnya, team perempuan dah jumpa pemukul home run!” ujar seorang pemain lelaki kepada Haikal sambil menepuk bahu Haikal. Rata-rata semua pemain gembira dengan Ayla. Tetapi tidak bagi Haikal. Sepatutnya dia gembira Ayla menyertai pasukan mereka. tetapi di sebelah pihak, dia tidak senang dengan kehadiran Ayla.

Ayla perasan raut wajah yang ditunjukkan Haikal. Ayla berjalan mendekati Haikal yang sedang meneguk air botolnya. Dia berpura-pura ke situ untuk mengambil tualanya di dalam beg. Tanpa melihat Haikal, dia berkata,

“Peribahasa Inggeris yang popular ada mengatakan, ‘don’t judge a book by it cover!’” Setelah itu dia melangkah semula ke dalam padang.

Haikal melirik gadis itu dengan berang.

***********************************************************

Azmi dan Haikal berdiri di koridor sambil memerhatikan pelajar lain yang sedang mundar mandir di situ. Seketika kemudian Haikal terlihat Ayla yang berbaju kurung cotton berwarna biru sedang berjalan bersama temannya sambil berbual riang.

Terimbas semula kehebatan Ayla di benak Haikal. Dia benar-benar tak sangka, gadis yang kelihatan kekampungan itu bisa beraksi hebat di padang.

“Ayla!” Tiba-tiba sahaja Azmi bersuara sambil pandangannya menyorot langkah Ayla dan temannya. “Hebat betul budak tu!” Azmi masih teringat pukulan Ayla minggu lepas ketika sesi latihan sofbol. Haikal di sisinya sudah mencebik.

“Apa yang hebatnya? Kebetulan saja dia boleh pukul bola aku!”

“Untuk seorang perempuan yang berjaya pukul bola engkau, tu dah kira hebat tau!”

“Tak de maknanya!!” Haikal masih tak dapat menerima pujian Azmi pada Ayla.

“Aku tak fahamlah dengan kau ni Haikal! Apalah yang kau benci sangat dengan Ayla tu? Kau ingat aku tak perasankah apa yang kau dah buat dekat dia masa latihan sofbol hari tu?”

“Engkau ni mulalah nak main tuduh-tuduh ni? Apa pulak yang aku dah buat dekat budak tu?” Haikal semakin berang dengan Azmi. Semuanya gara-gara Ayla.

“Selama kita berlatih dengan pasukan perempuan, belum pernah kau baling bola laju macam tu. Biasanya, kau cuma guna separuh tenaga bersesuaian dengan tenaga perempuan. Tapi, aku lihat, kau gunakan sekuat tenaga untuk Ayla!”

Haikal mendengus geram. Tak sangka Azmi dapat menghidu tindakannya.

“Tapi, nak buat macam mana, kan?” balas Azmi lagi. “Allah tu Maha Adil. Dia sentiasa berada di pihak yang benar!” Azmi menepuk belakang Haikal lalu berlalu pergi.

Hati Haikal semakin pedih dengan teguran Azmi. Dengan rasa berang dia berlalu menuju ke kelas Ayla.

Sampai sahaja di sana, kuliah masih belum dimulakan. Pensyarah juga masih belum masuk ke bilik kuliah. Dia maju ke pintu kelas Ayla.

“Hai!” Dia menegur seorang gadis yang duduk di sisi pintu kelas.

“Haikal!!” Gadis itu kelihatan teruja melihat Haikal di depannya. Senyumannya melebar. “Hai!!”

Haikal hanya tersenyum melihat senyuman gadis itu yang memekar indah.

You cari siapa, Haikal?” tanya gadis itu. Namun, di dalam hatinya berharap benar Haikal datang untuk menemuinya. “You datang nak jumpa I?” Dengan lagak manja dia gadis itu bertanya.

Haikal tersenyum melihat reaksi gadis itu padanya. Semua gadis yang ditegurnya akan menunjukkan reaksi manja sebegitu. Tapi mengapa bukan Ayla? Dia bukanlah kisah sangat dengan Ayla. Apatah lagi dia langsung tak berminat dengan gadis bertudung. Tapi mengapa Ayla bagai tak punya apa-apa perasaan saat melihatnya? Mungkin ada gadis lain yang tak jatuh hati padanya. Tapi sekurang-kurangnya, mereka tetap akan menoleh untuk kali kedua bila melihatnya! Tetapi tidak Ayla.

You, Nina, kan?” tanya Haikal. Nina menganggukkan kepalanya. “You orang mana ek? Dari raut wajah you, tak nampak macam orang sini!” Haikal sudah mula mengayat.

I orang kelate,” ujar Nina malu-malu.

“Oh…orang Kelate. Jadi, betullah apa yang mummy I cakap! Dulu I tak percaya,” Semakin hebat Haikal menanam tebu di pinggir bibirnya.

Mummy you cakap apa?”

Mummy I cakap, gadis Kelate lawa-lawa, comel-comel. Sekarang ni, bila I tengok you, baru I percaya apa yang mummy I cakap!”

Tersenyum simpul Nina dengan kata-kata manis Haikal.

You suka kalau I ajak you keluar?” tanya Haikal. Perempuan, memang terlalu mudah untuk digunakan!

Gadis itu ternganga dengan rasa teruja.

“Betulkah you nak ajak I keluar ni?” dadanya berdegup kencang. Rasa macam tak percaya pula. “Kalau you sudi, sejuta kali I mahu!”

“Kalau you setuju nak keluar dengan I, you kena tolong I. Boleh?” Haikal mula memasang perangkapnya. Pantas sahaja Nina mengangguk.

Haikal mengeluarkan sesuatu dari begnya. Dia sudah merancang dari malam tadi. Kotak hadiah itu juga sudah disediakan sebelum datang ke kolej pagi ni.

I dengar, ada student baru dalam kelas you?” tanya Haikal.

“Ada! Kenapa?”

“Ada seorang kawan I tu, dia minat sangat dengan Ayla. Jadi dia minta tolong I bagi hadiah ni pada Ayla.” Haikal menyerahkan kotak itu pada Nina.

“Siapa kawan you tu?”

“Mana boleh I bagitahu you. Dia ni secret admirer Ayla. Nanti dia marah I kalau I bagitahu orang lain. You tolong sampaikan saja hadiah tu untuk Ayla.”

“Okey!” Nina tersenyum.

“Petang ni I tunggu you, okey?”

“Bye!” Nina melambai pada Haikal. Haikal memberi satu flying kiss untuknya. Setelah pasti gadis itu tidak melihatnya, Haikal bersembunyi di balik tembok. Dia melihat gadis itu menuju ke arah Ayla.

“Ayla!” panggilnya. Ayla mengangkat kepalanya. “Ini ada hadiah untuk awak.”

“Dari siapa?” tanya Ayla sambil memandang sahaja hadiah yang dihulurkan Nina padanya.

“Dari secret admirer awak,” Nina menghulurkan lagi.

“Maaflah, tapi saya tak boleh terima. Awak pulangkan saja hadiah tu.”

“Pulangkan?” Berkerut wajah Nina. “kenapa nak pulangkan? Orang dah bagi, ambil sajalah!”

“Saya takkan ambil kalau saya tak tahu siapa pemberinya,” balas Ayla.

“La….awak tak nak?” tanya Nina dengan hampa. “Kalau tak nak bagi saya jelah!” tanpa menunggu balasan dari Ayla dia terus membuka kotak itu. Rugi rasanya kalau hadiah diterima tapi dipulangkan.

“Lipas!! Lipas!! Lipas!!” Nina terus melempar kotak itu. terkejut Ayla dan pelajar-pelajar yang lain. Masing-masing sudah menjerit sambil melarikan diri apabila lebih dari lima ekor lipas merangkak dan terbang ke sekitar kelas. Terutamanya pelajar perempuan.

Haikal yang bersembunyi di luar sudah ketawa berdekeh-dekeh. Memang kelakar! Tapi sayangnya, bukan Ayla yang menjadi mangsanya.

************************************************************

Dari jauh Ayla memerhatikan Haikal sedang mengikat tali kasutnya. Melihat sahaja wajah Haikal tiba-tiba sahaja darahnya mendidih. Dia yakin, apa yang berlaku pagi kelmarin semuanya gara-gara Haikal. Walaupun Nina berkeras yang Haikal hanya menyampaikan untuk kawannya, tapi dia yakin semua itu perbuatan Haikal!

Ayla menghampiri Haikal. Haikal masih ralit membetulkan kasut sukannya tanpa menyedari kehadiran Ayla.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikummussalam,” Haikal mendongak kepalanya memandang Ayla. Dah agak dah! Siapa lagi yang akan berjumpanya dengan memberi salam sebegitu.

“Kenapa awak lambat datang latihan hari ni?” Terus sahaja Haikal bertanya.

Ayla menjeling. Meluat dia dengan soalan Haikal. Dia melirik teman-teman lain yang sudah pun berada di padang.

“Saya dah inform dengan Anis yang saya ada kelas pertahankan diri lepas kelas tadi. Sebab tulah saya datang lambat hari ni,” beritahu Ayla. “Haikal, saya tahu awak yang beri lipas-lipas tu untuk saya, kan?” Ayla terus ke titik persoalan.

Haikal terdiam seketika.

“Awak jangan main tuduh-tuduh. Berdosa besar hukumnya, tahu?! Sepatutnya orang macam awak yang habis tutup satu badan ni, tahu tentang hukum memfitnah orang!”

Ayla mendengus. Dia tahu tentang itu. malah dia juga tiada bukti tentang itu. Tapi kata hatinya menyatakan semuanya helah Haikal!

“Firasat saya menyatakan begitu!!”

“Firasat? Firasat tak laku dalam soal keadilan. Awak masuk court sekali pun, firasat awak tak de siapa nak dengar. Yang penting, bukti!”

“Saya memang tak tahu dan tak de bukti! Tapi Allah tahu! Sebab Allah Maha Mengetahui setiap yang terang dan yang tersembunyi!” Ayla menjeling Haikal dengan tajam dan terus berlalu ke padang untuk menjalankan latihannya.

Haikal mendengus geram. Dia masuk ke padang.

Coach Rahman datang sesi latihan petang itu Dia memecahkan corak latihan yang biasa. Dia meletakkan seorang pemain lelaki bersama seorang pemain perempuan untuk menaikan prestasi pemain perempuan agar standing dengan permainan pasukan lelaki.

Ayla digandingkan dengan Rafii. Rafii merupakan penangkap bola bagi pasukan lelaki. Coach Rahman sengaja menggandingkan mereka berdua kerana dia mahu membentuk Ayla yang biasanya berada di posisi first base untuk menjadi pembaling bola menggantikan Anis kerana Ayla mempunyai kekuatan tangan. Anis juga tak keberatan dengan keputusan coach Rahman.

Usai penat berlatih, mereka berehat di tepi padang sebantar. Namun, Rafii dan Ayla masih teruskan latihan. Ayla masih bersemangat untuk berlatih menjadi pembaling.

Dari jauh, Haikal yang sedang berehat bersama teman yang lain terus memerhati Ayla dan Rafii. Sesekali kelihatan mereka berbual dan ketawa. Gandingan mereka tampak serasi.

“Cuba kau tengok tu!” Haikal memuncungkan mulutnya mengunjuk pada Ayla dan Rafii. Azmi dan Anis berpaling melihat mereka. “Berlagak bagus je!”

Azmi tersengih melihat tingkah Haikal. Haikal tak pernah obsess dengan mana-mana wanita sebelum ini. Tak sangka Ayla betul-betul menarik perhatian Haikal walaupun dalam bentuk yang kurang baik.

“Apa yang kau sakit hati sangat dengan Ayla tu?” Azmi cuba memancing.

Haikal menjeling Azmi. Soalan itu dibiarkan berlalu. Pandangannya beralih pada Anis.

You tak rasa apa-apakah? Si Ayla tu dah rampas posisi you sebagai pitcher?”

“Kenapa pulak I nak rasa apa-apa? Baguslah Ayla jadi pitcher. Dah lama sangat pasukan perempuan tak dapat apa-apa kemenangan. Berlainanlah dengan korang. So, bagi I dan team perempuan yang lain, kehadiran Ayla sangat-sangat dihargai!” Anis kemudian berlalu pergi. Malas dia mahu melayan kerenah Haikal yang bencikan Ayla. Satu pasukan sofbol sudah masak dengan layanan Haikal pada Ayla.

“Inilah yang aku tak suka dengan Ayla. Dulu, semua orang dengar cakap aku. Aku ni, kan kapten! Tapi sejak adanya Ayla, semua perhatian beralih dekat dia. Team perempuan sekarang ni pun dah tak de yang bela aku!”

Azmi ketawa besar dengan kata-kata Haikal.

“Kau tu bukan apa! Cemburu dengan Ayla. Kalau dulu, semua orang dengar cakap kau! Lebih-lebih lagi peminat-peminat perempuan kau yang ada dalam team sofbol kita ni. Tapi sekarang ni, peminat-peminat perempuan kau pun dah beralih pada Ayla. Diorang pun tahu siapa yang betul dan siapa yang salah.”

“Engkau ni kawankah lawan? Tak habis-habis nak kutuk aku!”

“Sebab aku kawanlah aku cakap macam ni. Kalau aku ni lawan kau, kau buatlah apa pun, aku akan angkat kau tinggi melangit,” balas Azmi. “Sudah-sudahlah rasa dendam kau dengan Ayla. Dia tak buat apa pun kat kau!”

Seketika kemudian, coach Rahman membunyikan wiselnya. Mereka kemudiannya di arahkan untuk masuk ke padang dan memulakan permainan. Pembaling dan penangkap pasukan perempuan dimasukkan dalam pasukan lelaki. Manakala pembaling dan penangkap pasukan lelaki di masukkan dalam pasukan perempuan. Namun petang itu, setelah berbincang dengan coach Rahman, Haikal meminta Nazmi iaitu pembaling kedua untuk bermain sebagai pembaling menggantikannya. Haikal sendiri sudah mengambil posisi di base belakang.

Ayla sudah berada di tengah padang sebagai pembaling, dan Anis diarahkan untuk menjadi penangkap. Mereka berada di tengah padang bersama penjaga base lelaki termasuk Haikal. Pasukan perempuan sudah menunggu giliran masing-masing untuk memukul bola. Sebelum memulakan permainan, Rafii yang diarahkan untuk menjaga base pertama menghampiri Ayla dan berkata sesuatu. Haikal hanya memerhatikan sahaja dari belakang. Nampaknya, Rafii begitu bersemangat melatih Ayla.

Permainan dimulakan. Ayla membaling bola. Namun bolanya tersasar. Rafii mendekati Ayla dan berkata sesuatu. Hati Haikal semakin panas melihat situasi itu. Di depannya sendiri, Rafii sudah berlagak sebagai ketua pasukan. Dia tahu, coach Rahman yang meminta Rafii melatih Ayla. Tapi dia tidak senang dengan situasi yang sedang dilihatnya. Bukankah sepatutnya sebagai ketua pasukan, dia yang lebih berhak untuk melatih pemain baru walaupun orang itu adalah Ayla.

Sekali lagi Ayla membaling bola. Bolanya berjaya di pukul. Bola melantun tinggi tetapi tak terlalu jauh. Kebetulan bola menuju ke arah Haikal. Haikal pun menangkapnya dengan mudah.

“Out!!” Kedengaran suara coach Rahman yang menjadi pengadil dalam latihan itu menjerit. Si pemukul keluar dari padang.

Haikal mahu membaling semula bola itu kepada Ayla. Tetapi Ayla sedang berbual sesuatu dengan Rafii. Anis mengangkat tangan meminta Haikal membaling bola itu kepadanya. Haikal melirik Rafii dengan rasa marah. Dia membaling kuat bola itu kepada Anis. Namun, tiba-tiba sahaja Ayla yang beralih tempatnya dan bola yang sepatutnya terus menuju kepada Anis terkena belakang badan Ayla. Satu bunyi kuat kedengaran apabila bola itu mengena badan Ayla.

“Auwwhh…!!!” Ayla terus terduduk. Belakangnya berdenyut kuat.

“Ayla!!!” Mereka yang lain terus berlari pada Ayla. Haikal tersenyap di tempatnya.

*************************************************

Haikal berdiri di depan pintu bilik rehat. Tangannya sudah di angkat untuk mengetuk pintu. Tapi tindakannya terhenti. Niat di hati mahu melihat keadaan Ayla yang masih berehat di dalam. Tapi keegoannya menghalang. Jauh di sudut hatinya terbit rasa bersalah walaupun dia sedikit pun tidak terlintas untuk membaling bola itu pada Ayla.

Ayla memusing badannya ke kiri dan kanan. Setelah berehat di bilik rehat dan mendapat bantuan kecemasan kesakitannya terasa kurang. Mujurlah tidak terlalu teruk kecederaannya walaupun kedengara bunyi yang kuat ketika bola itu melantun terus ke badannya.

Ayla keluar dari ruangan rehat itu untuk menuju ke padang semula. Tak disangka, sebaik sahaja dia membuka pintu, kelibat Haikal tercegat di depannya. Haikal kelihatan gelabah apabila melihat dia.

“Awak okey?” tanya Haikal.

Ayla hanya menjeling. Dia melangkah keluar tanpa memperdulikan Haikal. Dia tidak tahu sama ada Haikal sengaja atau tidak ketika membaling bola itu padanya. Tapi di saat ini, hatinya sudah membara pada Haikal. Nak melihat Haikal pun dah naik meluat.

“Saya tanya awak okeykah tak? Kenapa awak ni sombong sangat?!” Haikal berang melihat Ayla yang berlalu tanpa memperdulikannya.

Langkah Ayla terhenti. Sudahlah tidak meminta maaf, dia diherdik pula.

“Awak datang sini saja nak sakitkan hati saya? Sudahlah awak sakitkan badan saya, sekarang nak sakitkan hati saya?”

Haikal terdiam seketika. Panahan mata amarah dari Ayla terus ke wajahnya.

Look, apa yang berlaku tu tak sengaja. Saya tak ada niat nak cederakan awak,” Haikal melembutkan sedikit suaranya.

“For the first time we met, you seem to hate me so much! What have I done to make you hate me?! Tell me!!” Sewaktu berkata begitu, hati Ayla tersentuh. Dia sendiri tidak tahu apa punca permusuhan antara mereka berdua.

Haikal tertunduk. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia melayani Ayla begitu.

“Haikal!” tiba-tiba sahaj muncul Rafii dan Azmi di situ. “What’s going on here?!” Rafii melemparkan pandangan kurang senang pada Haikal sebelum beralih pada Ayla. “Awak okey?”

“Saya okey,” jawab Ayla. Tanpa menunggu lebih lama dia meninggalkan mereka bertiga disitu.

“Apa yang kau dah buat? Kalau kau benci sangat dengan Ayla, takkan sampai buat dia macam tu?” tergeleng-geleng kepala Azmi.

“It was an accident! I have no intention to do that!” Kenapa semua orang tak mahu percayakan dia?

“Sudahlah Haikal. Coach Rahman nak jumpa kau. You must be responsible to yourself and be ready to responsible to what you had done,” ujar Rafii.

Dengan berat hati Haikal kembali semula ke padang bersama Azmi dan Rafii. Sebaik sahaja sampai di padang, semua mata sudah terarah kepadanya. Bagaikan seorang pesalah yang menantika hukuman, Haikal hanya menundukkan kepalanya.

“Jadi Haikal, ada apa-apa yang kamu nak cakap untuk bela diri?” tanya coach Rahman. Sebagai jurulatih, dia sendiri sudah maklum tentang sikap Haikal pada Ayla. Tetapi dia tidak tahu sama ada apa yang baru sahaja berlaku sama ada di sengajakan atau tidak. Tetapi dia tetap perlu selesaikan masalah yang berlaku.

Haikal yang merasa terlalu kesal dengan apa yang sudah berlaku melirik seketika pada Ayla. Ayla menjelingnya tajam. Terlihat benar dirinya dibenci oleh gadis itu. Haikal melepaskan satu keluhan. Dia sudah bersedia jika diberikan hukuman.

“Terpulang pada pada coach dan Ayla serta rakan-rakan yang lain. Tapi, terus terang saya katakan di sini….” Haikal menarik nafas panjang. Dia memandang Ayla. “Ayla, saya tak tahu apa yang buat saya kurang senang dengan awak. Mungkin juga kerana awak berlainan dengan perempuan yang lain.”

“Pertama kali kita bersua, pertengkaran yang menjadi bunga-bunga perkenalan. Dari situ hati saya sudah terdetik rasa kurang senang pada awak. Saya….” Haikal menggelengkan kepalanya. Dia sedar, rasanya mula timbul pada Ayla kerana kehadirannya tidak memberikan apa-apa impak pada Ayla. Tapi tak mungkin dia menerangkan itu pada semua yang ada di sini.

“Tapi apa yang berlaku tadi, memang tak sikit pun tak ada niat saya untuk sakitkan awak Ayla. Terpulang pada pandangan awak. Kalau awak rasa saya bersalah, awak hukumlah saya.”

Ayla terdiam. Benarkah Haikal berkata begitu padanya. Bukan sahaja Ayla, yang lain juga terdiam melihat Haikal. Inilah kali pertama kebaikan hati Haikal pada Ayla kelihatan. Jujur sekali!

“Jadi, Ayla?” tanya coach Rahman memecah kesunyian. Jauh di hatinya mengharapkan Ayla akan memaafkan kesalahan Haikal.

Ayla melirik Haikal. Walaupun masih terdetik rasa marahnya pada Haikal, namun sedikit sebanyak kata-kata Haikal itu telah menyiram rasa marahnya.

“Saya juga tak suka dengan awak sebab awak tak sukakan saya. Tapi kata orang, kemaafan adalah dendam yang terindah. Apa yang berlaku hari ini, saya akan anggap ianya tak pernah berlaku.”

Kedengaran kata-kata lega dari teman-teman sepasukan. Masing-masing senang dengan keputusan Ayla. Namun berlainan bagi Haikal. Keputusan Ayla untuk memaafkannya terasa beban di dalam hati.

****************************************************

Usai latihan petang itu, Haikal mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Ayla. Melihat sahaja Ayla yang berjalan sendirian ke hostel, Haikal menghampirinya.

“Ayla,” tegur Haikal.

Ayla melirik Haikal seketika kemudian memandang semula ke depan sambil meneruskan langkahnya.

I don’t want to talk to you. It’s better if we pretend like we don’t know each other!”

But I have right to say something. Yet, I’m still team captain.”

Kali ini Ayla menghentikan langkahnya dan berpaling pada Haikal.

“Kalau awak nak bercakap tentang pasukan kita, kenapa bukan di padang tadi?”

“Okey, maafkan saya. Saya cuma….” Haikal menghembuskan nafasnya.

Akhirnya kata-kata maaf yang dinantikan Ayla keluar juga dari mulut Haikal. Begitu besarnya ego Haikal sehingga kata maaf amat berat untuk diucapkan. Entah mengapa, bibir Ayla mengukirkan senyuman.

“Awak tahu tak, saya sebenarnya tak pernah bencikan awak. Saya tak de sebab untuk bencikan awak. Cuma, sikap awak yang suka pandang rendah pada gadis yang bertudung macam saya ni….” Ayla menggelengkan kepalanya. “Saya tak suka sikap awak yang itu. Saya tahu, sebagai manusia, kita punya pilihan dan kehendak sendiri. Mungkin awak suka gadis moden, tapi janganlah terlalu memandang rendah pada gadis bertudung seperti saya. Saya tahu, bertudung tak semestinya saya ni sempurna. Saya juga manusia biasa yang boleh lakukan kesilapan.”

“Itu yang saya tak faham tentang awak. Cuba awak lihat gadis bertudung yang lain di kolej kita. Tak ramai yang terlibat dengan aktiviti lasak. Semuanya pilih aktiviti yang lemah lembut, sesuai dengan penampilan mereka yang bertudung. Kalau ada yang bertudung menyertai aktiviti lasak, ramai yang tanggalkan tudung ikut kesesuaian keadaan. Tapi kenapa bukan awak? Saya tak rasa ada lelaki yang macam saya suka dengan perempuan yang bertudung tapi melakukan aktiviti yang tidak sesuai dengan penampilannya.”

Ayla menarik nafas panjang. Haikal agak keterlaluan dalam menyatakan pendapatnya. Apa, gadis bertudung tak boleh melakukan aktivti lasak? Rasanya tak salah selagi dia tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan agama.

“Apa yang saya lakukan bukan untuk menarik perhatian lelaki. Saya tidak memandang lelaki dan saya juga lebih senang jika lelaki tidak memandang saya.”

Haikal seakan tidak percaya dengan kenyataan Ayla. Adakah Ayla ni jenis yang suka pada kaum sejenis. Gadis seperti apa yang tidak mahu mendapat perhatian lelaki dan tidak suka menjadi perhatian?

Melihat kebingungan Haikal, Ayla bersuara, “Awak nak dengar satu kisah?”

Soalan Ayla itu membuatkan Haikal terdiam seketika sebelum menganggukkan kepalanya.

“Saidina Ali r.a pernah mengatakan, ‘Ketika waktu petang kami duduk bersama Rasulullah s.a.w bertanya kepada kami mengenai apa yang baik bagi seorang perempuan. Kami tidak memiliki jawapan atas pertanyaan itu. Ketika kembali kepada Fatimah, aku bertanya, ‘Wahai puteri Muhammad, sesungguhnya Rasulullah bertanya kepada kami tentang suatu permasalahan dan kami tidak mengetahui jawapannya.’ Fatimah bertanya, ‘Apa yang Baginda tanyakan?’ Aku menjawab, ‘Baginda bertanya tentang sesuatu yang baik bagi seorang perempuan?” Fatimah berkata, ‘Kamu tidak mengetahui apa jawapannya?” Kataku, ‘Tidak.’ Fatimah menyampaikan, ‘Tidak ada yang lebih baik bagi seorang perempuan daripada dia tidak memandang kepada seorang lelaki dan lelaki juga tidak memandangnya. Ketika waktu petang, kami duduk bersama Rasulullah s.a.w, aku berkata kepadanya, ‘Wahai Rasulullah, tuan telah bertanya kepada kami tentang suatu masalah dan kami masih belum memberi jawapannya. Tidak ada yang lebih baik bagi seorang perempuan daripada dia tidak memandang kepada seorang lelaki dan lelaki juga tidak memandangnya.’ Baginda bertanya, ‘Siapa yang mengatakan itu?” jawabku, ‘Fatimah.’ Baginda lantas bersabda, ‘Fatimah benar. Kerana dia adalah sebahagian dariku.”

Usai menceritakan tentang kisah itu, Ayla lantas berpaling dan meninggalkan Haikal yang masih terpinga-pinga mencari maksud di sebalik kisah itu.

*******************************************************

“Ayla!” panggil seorang gadis. Ayla yang sedang berehat di kantin merenung gadis di depannya lama. Dia masih belum dapat menangkap gadis yang bertudung di depannya.

“Hei!! Akulah!!” Lantas gadis itu terus duduk di depannya dengan wajah yang merona merah kerana menahan malu melihat reaksi Ayla yang tidak mengenalinya.

“Anis!!” Barulah Ayla dapat menangkap seraut wajah dan senyuman manja Anis. “Ya Allah!! Subhanallah!! Maaflah, aku tak cam tadi!”

Anis menjeling, pura-pura merajuk dengan Ayla.

“Maaflah. Aku betul-betul tak cam. Syukur pada Allah. Tapi macam mana….?” Pertanyaan Ayla mati di situ.

“Entahlah. Sejak aku kenal kau, hati aku mula terdetik nak berhijrah macam ni. Selama ni aku rasa, kalau aku bertudung, minat aku pada sukan akan terbatas. Tapi bila lihat kau….” Anis memandang Ayla. “Walaupun kau tak buat apa-apa atau nasihat apa-apa, tapi semuanya bermula dengan kau!” Tangan Ayla digenggam erat. “Aku nak jadi seperti kau!”

“Anis!” Ayla menggenggam erat tangan Anis. “Kau berubah kerana diri kau sendiri dan atas kehendak Allah. Jangan terlalu memandang tinggi pada aku. Aku hanya menusia biasa. Walaupun aku bertudung dan menjaga aurat, tapi aku sendiri masih tercari-cari bagaimana untuk berada di landasan kebenaran. Kita ni manusia yang selalu lupa pada nikmat Allah.”

Anis hanya tersenyum. Ada benarnya kata Ayla. Tiada manusia yang sempurna baik bertudung atau tidak. Sekurang-kurangnya, bila bertudung kita sudah menjalankan perintah Allah.

“Kau tahu tak, kedatangan kau beri impak yang besar pada pasukan kita. Tak terkecuali Si Pencabut Kalbu tu!”

“Haikal?” tanya Ayla. Bercakap tentang Haikal, dia melihat Haikal sudah jauh benar berubah. Haikal tidak seperti apa yang dilihatnya di awal perkenalan mereka. Haikal yang sudah terkenal dengan sikapnya yang suka memikat para gadis, sudah berubah menjadi pemuda yang kurang bercakap. Bila di kolej, dia menumpukan perhatian pada pelajaran dan hanya bersama Azmi dan teman lelaki yang lain. BIla di padang, dia fokus pada latihan dan bila perlu sahaja dia akan berbual dengan pemain wanita atas tujuan tertentu.

“Apa yang sebenarnya kau dah buat dengan dia?” soalan Anis itu membuatkan Ayla terlopong seketika. “Kali terakhir aku lihat Haikal bersikap macam tu ketika hari dia baling bola pada kau. Petang tu, lepas latihan, dia ada jumpa kau, kan?”

Ayla mengangguk sambil cuba mengingati kembali hari itu.

“Tapi aku tak de buat apa-apa dengan dia.”

“Mungkin kau tak buat apa-apa. Tapi ada kau cakap apa-apa?” tanya Anis.

“Aku cuma…..” Seketika kemudian Ayla teringat kembali kisah Saidina Ali r.a yang diceritakan kepada Haikal. Takkanlah kerana itu? Ayla tersenyum. “Aku gembira dengan perubahan kau dan juga Haikal. Rasanya, gelaran Si pencabut Kalbu tu dah tak sesuai dengan dia,” gurau Ayla.

Anis hanya ketawa mendengar itu.

***************************************************

Lima tahun kemudian……..



Di dalam kamarnya, Haikal mencapai foto yang diletakkan di tepi katil. Foto pasukan sofbol ketika di kolej dahulu di tatapnya lama.

Begitu pantas masa berlalu. Rata-rata teman lama semuanya sudah membawa haluan masing-masing. Hanya Azmi masih kekal menjadi sahabatnya. Anis juga sering menghubunginya. Anis sudah berumahtangga bersama seorang jejaka dari selatan tanahair.

Pandangan matanya jatuh pada seraut wajah yang banyak memberi kesan dalam hidupnya. Ayla….

Sejak peristiwa dia membaling bola sehingga mencederakan Ayla, dia telah banyak berubah. Malah, dia sudah banyak membataskan dirinya dari terlalu bebas bergaul dengan wanita termasuk Ayla sendiri, kecuali jika berkaitan dengan pelajaran atau aktiviti kolej. Selebihnya, dia tidak pernah membawa mana-mana perempuan keluar lagi.

Dari kisah yang diceritakan Ayla, dia sedar kisah Ayla itu lebih ditujukan buat wanita. Tapi dari kisah itu, dia menyimpulkan bahawa bukan sahaja wanita, tetapi lelaki juga sepatutnya menjaga pandangan matanya.

Kali terakhir dia berbual dengan Ayla secara santai tanpa berkaitan dengan aktiviti kolej adalah ketika hari terakhir mereka di kolej.

“Awak dah terlalu banyak berubah,” Ayla mengukirkan senyuman padanya.

Dia sendiri tidak tahu untuk berkata apa. Hanya di dalam hatinya menyatakan perubahan yang berlaku adalah kerana Ayla.

“Ayla, saya minta maaf tulus dari hati saya. Saya tahu, sebelum ni saya dah banyak menyakitkan hati awak.”

Ayla hanya ketawa.

“Awak memang banyak menyakitkan hati saya. Tapi itu hanya ketika di awal perkenalan kita. Lepas tu, awak tak pernah mengganggu saya atau menyakitkan hati saya. Bagi saya, awak tak pernah ada salah pada saya,” Ayla tertunduk seketika dan kemudian mengangkat kembali wajahnya. “Saya juga minta maaf kalau ada menyakitkan hati awak secara sengaja atau tak sengaja.”

Giliran Haikal pula tersenyum.

“Baiklah, kita maafkan kesalahan masing-masing,” ujar Haikal. Kini, tibalah giliran untuk mengucapkan kata perpisahan. “Selamat tinggal Ayla. Saya harap, suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi.”

“Insya-Allah. JIka takdir menetapkan begitu, kita pasti berjumpa lagi.” Ayla sudah memusingkan badannya tetapi kemudian dia berpaling semula pada Haikal. “Selamat tinggal, Si Pencabut Kalbu!”

Haikal hanya tertawa mendengarnya.

“Gelaran tu dah tak sesuai untuk saya!”

“Gelaran itu masih sesuai untuk awak. Tapi lebih indah jika gelaran itu diberikan untuk awak hanya dari seorang wanita sahaja. Jadilah Si Pencabut Kalbu dalam hati seorang wanita. Satu-satunya wanita yang benar-benar telah menyerahkan kalbunya pada awak!”

****************************************************

“Ayla!!!” Anis terus meluru memeluk Ayla dengan erat. “Ya Allah!! Datang jugak kau! Aku rindu sangat dengan kau!” Tubuh Ayla di dakap dengan lebih erat lagi.

“Aku pun rindu sangat dengan kau Anis!” Ayla membalas pelukan Anis.

“Terima kasihlah sebab sudi datang,” Ada airmata terharu mengalir di pipi Anis. Ayla menyapu airmata itu.

“Maaflah, baru kali ni aku dapat luangkan masa untuk datang ke majlis ulangtahun perkahwinan kau. Tahniah ya! Dah lima tahun kau jadi isteri orang!” Ayla menatap mata yang penuh rasa terharu itu.

“Tak pe! Aku tahu, bukan senang kau nak datang sini.”

“Mana anak kau Anis?”

“Kejap ya!” Anis menghilang dan kemudian datang bersama seorang bayi lelaki yang beru berusia empat bulan. “Empat tahun lebih bernikah, baru aku disahkan hamil. Inilah anak sulung aku, Taufiq. Taufiq adalah anugerah dan hadiah yang paling bermakna untuk ulangtahun kali ni.”

“Alhamdulillah…Syukur!” Ayla tersenyum. “Comelnya dia!!” Pipi gebu Taufiq dicubit.

“Ayla, kau tolong pegangkan Taufiq. Aku nak masuk dalam kejap. Nak tengok sama ada semua hidangan dah siapkah belum.” Anis menyerahkan Taufiq pada Ayla.

“Ramaikah yang kau jemput?”

“Tak ramai! Kita-kita je,” Anis terus meluru ke dalam.

“Kita-kita je?” Tak mengerti Ayla. Siapa yang dimaksudkan Anis dengan kita-kita tu?

“Assalamualaikum….”

“Waalaikummusslam…” Ayla menoleh ke belakang. Matanya terancap pada seraut wajah. “Haikal?”

“Ayla?” Wajah Haikal berubah. Lantas matanya melirik bayi yang digendong Ayla. “Ayla apa khabar?”

“Alhamdulillah….Haikal datang seorang?” Mata Ayla melirik liar. Manalah tahu Haikal datang bersama orang lain. Mungkin isteri dan anaknya.

“Saya masih solo. Jadi bawa diri sendiri sajalah,” ada nada terkilan di situ. “Anak Ayla? Suami tak datangkah?”

Ayla mengukirkan senyuman. Dia hanya menggeleng.

“Siapa nama anak Ayla?”

“Taufiq,” senyuman masih belum lekang dari bibir Ayla.

“Comel! Macam ibu dia jugak!” ujar Haikal.

“Si Pencabut Kalbu masih belum jumpa wanita yang boleh dicabut kalbunya?” Ayla bergurau. Haikal tertawa kecil.

“Haikal!!” Muncul Anis di situ. “Bila kau sampai?” Dia memandang Ayla dan Haikal silih berganti. “Ni dah jumpa dahlah ni?”

“Dah dua-dua terpacak kat sini, dah jumpalah ni!” balas Haikal. Ayla hanya tersenyum.

“Taufiq….Mari sayang anak mama.” Anis mengambil Taufiq.

“Aku rasa dia mengantuk dah tu. Tidurkanlah dia dulu. Dah banyak kali menguap tu!” ujar Ayla.

“Taufiq ngantukkah sayang…..Jom mama tidurkan! Korang berdua borak dululah! Kang aku datang yek!” Anis hilang semula.

Haikal menoleh memandang Ayla yang masih tersenyum melihat Anis dan Taufiq.

“Jadi, itu anak Anis?”

Mendengar soalan Haikal itu, Ayla sudah tertawa. Haikal senang sekali melihat tawa Ayla itu. Ayla nampak begitu manis sekali. Pandangannya tentang wanita bertudung seperti Ayla sudah jauh berubah.

“Ada saya kata itu Taufiq tu anak saya?”

“Awak masih single macam saya?” tanya Haikal. Ayla hanya tersenyum.

“Si Pencabut Kalbu sendiri masih belum berpunya, jadi tak hairanlah wanita seperti saya masih belum berpunyakan?”

“Sebenarnya, saya dah jumpa seorang wanita yang ingin saya cabut kalbunya dan sunting dia untuk menjadi isteri. Tapi, saya tak pasti sama ada wanita itu sudi memberi kalbunya pada saya.”

“Kenapa awak tak tanya?”

“Sebab wanita yang satu ni, lain dari yang lain. Tak ramai Pencabut Kalbu yang berani dekat dengan wanita seperti dia.”

“Jadi, bukan bermakna dia satu-satunya wanita yang lain dari yang lain, kan?”

“Ya, memang susuah cari wanita seperti dia. Tapi saya tak nafikan mungkin ada wanita lain seperti dia. Tapi hanya dia yang istimewa di hati saya. Hanya dia yang saya mahukan kalbunya.”

Ayla tersenyum melihat wajah Haikal yang agak tegang.

“Berterus terang sajalah dengan dia. Mana tahu dia mahu terima,” usul Ayla.

Haikal diam agak lama. Seketika kemudian dia memandang Ayla.

“Kalbu awak masih belum diminta siapa-siapakan?”

Alya menundukkan wajahnya. Terasa malulah pula bila Haikal bertanya begitu. Dia menggelengkan kepala. Haikal menghembuskan nafas lega.

“Kalau saya mahu minta kalbu awak, mahukah awak memberinya?” tanya Haikal.

Ayla terus tertunduk. Dia segan untuk mengangkat wajahnya. Dia memberanikan diri melirik Haikal seketika. Dia memberikan sebuah senyuman lalu menghilangkan diri di dalam.

Haikal membatu disitu. Walaupun Ayla tidak berkata apa-apa nemun senyuman dan lirikkan matanya dapat dibaca. Dia yakin Ayla bersetuju menyerahkan kalbunya. Insya Allah, jika tiada aral melintang dia akan membawa keluarganya untuk berjumpa dengan keluarga Ayla.

“Akhirnya, Si Pencabut Kalbu sudah berjumpa dengan kalbu yang telah lama dimahukannya.”