Friday 7 December 2012

BERJUTA KEMAAFAN (BLOG PSB AKAN BERSAWANG)

Assalamualaikum buat semua pembaca di sini.

saya memohon berjuta kemaafan kerana buat masa sekarang saya akan membiarkan blog ini 'bersawang' seketika. saya perlukan waktu untuk menyiapkan manuskrip PUTERA ARAB. Insya- Allah, manuskip ini akan dihantar untuk penilaian. jadi, saya perlukan waktu untuk seketika. saya perlukan masa untuk fokus kepada manuskrip ini.

MOhon berjuta kemaafan ya jika blog ini sepi buat seketika. Insha Allah sebaik sahaja manuskrip PUTERA ARAB telah siap dan telah dihantar untuk penilaian, N3 baru akan di update di blog ini. saya perlukan pengertian dan sokongan dari anda semua.

terima kasih.......

Friday 30 November 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 14










AUDRA menghirup jus tembikai. Hatinya masih panas terbakar dengan apa yang baru berlaku sebentar tadi. Zana dan Zaid di depannya juga tak berani bersuara melihat wajah masamnya. “Geram betul aku dengan perempuan tu!” Audra sudah mula bersuara untuk meluahkan sakit hatinya. Sedangkan sedari tadi, Audra hanya membisu.
Zana memandang Zaid sekilas. Sesungguhnya, dia memang tidak tahu pucuk pangkal apa yang berlaku sebentar tadi. Mahu di tanya pada Audra, wajahnya masam terus. Sekarang, barulah sahabatnya itu mahu berbicara.
“Apa yang berlaku sebenarnya ni?” Mungkin hati Audra sudah sejuk sedikit. Biasanya, jika Audra terlalu geram untuk sesuatu perkara dia akan membisu sehinggalah kemarahannya reda sedikit. Waktu itu, baharulah Audra akan bercerita padanya apa yang telah berlaku.
“Aku tak sengaja terpijak kaki dia. Aku tak nampak!” Audra menghembus nafas geram. “Aku dah minta maaf. Berkali-kali! Tapi, entah perempuan tu! Berlagak semacam je!” Memang jelas raut wajah Audra menunjukkan dia benar-benar sakit hati dengan apa yang telah terjadi.
“Kau terpijak kaki dia? Teruk tak luka dia?” tanya Zana sampai berkerut dahinya. Dia cuba melakarkan semula visi wanita tadi. Rasanya sebentar tadi, dia tidak melihat di mana-mana anggota wanita itu yang tercedera atau berdarah.
“Luka?” Audra menggeleng geram. “Luka kecil je! Tak delah sampai berdarah! Act je lebih!” Audra menjeling Zana. “Cubalah kau tanya Zaid ni!” Audra sudah menolak perkara itu kepada Zaid.
Zana memandang Zaid di sebelahnya. Dia menjongketkan keningnya sebagai mengubah persoalan itu pada Zaid. Apa yang dah jadi?
Zaid mengelus lehernya yang tidak sakit. Sebenarnya, dia malas mahu campur dalam urusan ini. Tetapi, nak tak nak dia perlu menjawab soalan Zana itu bagi pihak Audra. “Memang bergaris sikit je! Tak de apalah sangat!” jawab Zaid. Pandangannya beralih memandang Audra yang duduk di depan Zana. “Biasalah Audra, orang ada duit. Anak datuk, girlfriend pengarah company tu pulak! Sebab tulah berlagak macam tu!” Zaid cuba menenangkan juga Audra walaupun dia sebenarnya tidak tahu untuk berkata apa.
“Ah’ah, betul tu!” ujar Zana sekadar untuk menyejukkan hati Audra. “Biasalah orang-orang kaya macam ni. Tak payah ambil kisah sangatlah,” sambung Zana. Kemudian, dia menoleh memandang Zaid pula. “Tapi Zana harap Zaid tak macam tu!” Zaid juga berasal dari keluarga berada. Tapi dia yakin Zaid bukan sejenis dengan Emily yang sombong tadi.
Zaid tersenyum sambil tergeleng-geleng kepalanya. Curiga Zana jatuh pula kepadanya.
Zana sudah menongkat dagunya. “Jangan-jangan disebabkan hal ni, nanti si Emily tu minta boyfriend jangan ambil kita bekerja di sana,” duga Zana. Kalau perkara itu terjadi, habislah cita-citanya untuk menjadi sebahagian dari Warisan Syed.
“Tak apa. Saya, kan ada." Sekali lagi Zaid menawarkan pekerjaan di syarikat daddynya kepada Zana.
Zana hanya tersengih-sengih dengan pelawaan Zaid itu. Sudah sekian kali Zaid mahu dia bekerja dengan syarikat milik ayahnya. Namun bagi Zana, sukar untuk bekerja bersama orang yang disayangi. Lebih baik bekerja di tempat lain. Walaupun pada hakikatnya dia dan Zaid tidak ada hubungan istimewa, namun perasaan sayang yang telah wujud di dalam hatinya untuk Zaid tak pernah berubah.
“Biarlah! Aku pun tak hairanlah kalau tak dapat kerja kat situ! Lagi bagus!” Audra memandang Zana. “Makin lama, aku makin sakit hati dengan Syed Zikri ni!” Jus tembikai dikacaunya dengan kasar menggunakan straw. Sekadar untuk melepaskan geram.
“Ish! Yang engkau ni tak pasal-pasal sakit hati dengan Tuan Syed kenapa pulak? Yang cari pasal dengan kau tadi tu awek dia!” ujar Zana.
Audra memandang Zana. “Memanglah apa yang berlaku tadi tak de kena mengena dengan Syed Zikri. Tapi sejak aku kenal dengan nama Tuan Syed Zikri ni, api kemarahan asyik membakar dada ni tau! Dah penuh syaitan dalam diri aku!” Audra menyedut lagi jus tembikai untuk menyejukkan hatinya.
“Engkau tu yang tak pandai kawal kemarahan kau tu!” Zana menghembus nafas perlahan. “Cuba bawa beristighfar sikit. Jangan ikut sangat api kemarahan kau tu.”
“Lantaklah! Kot hitam dia tu, aku takkan ganti sampai bila-bila!”
“Tapi berdosalah kalau kau tak ganti! Barang orang tu! Allah marah!” ujar Zana mengingatkan Audra yang sudah menjeling padanya.
Ada benarnya juga kata Zana. Tapi buat masa sekarang memang dia tidak dapat menggantikan semula kot hitam itu. Dia perlu bekerja dan mengumpulkan wang dahulu. Audra memicit kepalanya.
“Itulah kau! Kata orang, buat baik berpada-pada. Sekarang tengok apa dah jadi. Dah bersusah payah dengan niat baik kau tolong Tuan Syed, macam-macam pulak yang jadi kat kau!” ujar Zana lagi.
Audra diam. Berfikir. “Tapi, aku tak delah menyesal tolong kemaskan rumah dia hari tu. Aku anggap, apa yang aku buat hari tu sebab aku tolong Che Enon. Cuma, apa yang aku kesalkan, kenapa sejak aku mengenali nama Syed Zikri ni, aku akan jumpa dengan orang-orang pelik yang ada hubungan dengan dia. Contoh, Encik Zack dan hari ni, si Emily kerek tu!”
Zana hanya ketawa kecil. Kata-kata Audra tidak ada salahnya. Hanya dia kasihan pada Tuan Syed Zikri yang tak semena-mena disabitkan juga kesalahan yang dia tak lakukan. Iaitu, kesalahan menyakiti hati Audra.
“Kalau aku tahu aku akan sakit hati sejak berjumpa dengan dia, lebih baik aku sakitkan hati dia dulu. Patutnya, waktu aku tolong Che Enon kemaskan Rumah Warisan aku dah lekat gambar Putera William tu kat seluruh Rumah Warisan. Baru dia tahu!” Geram Audra bila mengingatkan itu semua.
Zana ketawa kecil. Rasa kelakarlah pulak. Dalam keadaan begini pun Audra masih belum lupakan Putera Williamnya. “Sabar jelah Audra! Sabar tu, kan separuh dari iman. Dah nasib kita nak berjumpa dengan orang-orang macam ni!”
“Sabar tu memanglah sabar. Tapi,” Audra bersandar di kerusi. “Bila aku ingatkan balik, buang masa aku je bersimpati dengan Syed Zikri tu sampai sanggup buang masa aku kemaskan rumah dia!”
“Bila sebut je tentang Tuan Syed ni, aku selalu jadi mushkil” Zana bersuara sambil sebelah tangan kirinya menongkat dagu dan sebelah tangan kanannya mengetuk-ngetuk meja.
“Ehem,” Zaid di sebelah Zana sudah berdehem. Belum sempat Zana memberitahu kemushkilannya itu, Zaid sudah menyampuk. “Siapa Tuan Syed yang dari tadi korang bualkan ni?!”
Audra dan Zana berpaling memandang Zaid. Terlupa pulak mereka yang Zaid tidak tahu hujung pangkal permulaan mereka mengenali Tuan Syed Zikri.
“Kita orang bercerita pasal Pengarah Warisan Syed!” Zana menerangkan.
“Korang kenal?” tanya Zaid. Kalau tak silap dia, syarikat itu merupakan salah satu syarikat pembekalan bahan mentah yang terkenal. Banyak syarikat pembinaan bekerjasama dengan syarikat itu.
“Kenal-kenal macam tulah,” balas Zana. “Sebenarnya, kitorang pernah pergi rumah dia!”
“Wah!” bagai ada perkara yang membuatkan Zaid merasa kagum sehingga Audra dan Zana berpandangan sebelum menjatuhkan pandangan mereka kepada Zaid semula. “Korang pergi rumah Syed Zikri? Daddy pernah cerita tentang keluarga Syed ni. Dulu, cerita tentang dia orang ni memang meletup! Penuh dengan konterversi!”
“Kita orang dah tahu kisah diorang,” jawab Audra. Dia sudah tidak berminat untuk ambil tahu kisah keluarga itu. “Yang penting sekarang, aku dah tak peduli dah kalau tak dapat kerja dengan syarikat tu!”
“Janganlah macam tu, Audra!” Zana sudah membuat muka seposennya dan tangannya menyentuh tangan Audra. Dia tak mahu Audra berundur kerana hal yang remeh begini kerana dia yakin, Audra pasti terpilih nanti.
“Kiranya, korang berdua ni kenallah dengan Syed Zikri?” Zaid bertanya penuh minat. Sedari tadi pabila dia mendengar pertengkaran antara Emily dan Audra dan kemudian perbualan antara Audra dan Zana, dia sudah penasaran tentang itu.
“Kenal tapi tak pernah jumpa,” balas Audra.
“Kita orang tahu kisah dia dan keluarga dia. Cuma, kitorang tak tahu bagaimana orangnya!” Zana memanjangkan lagi kenyataan Audra.
“Aku dengar cerita, Tuan Syed Zikri banyak bawa pembaharuan kepada Warisan Syed. Ramai kakitangan yang senang bekerja dengan dia berbanding pengarah lain sebelum ni.”
Audra memandang Zaid. Begitu jugaklah yang dikatakan Che Enon.“Entahlah. Tapi, cuba korang tengok girlfriend dia. Sombong! Kalau dia pun bukan dari spesies yang sama, takkanlah dia orang boleh couple, kan? Tentu dia dengan girlfriend dia tu, Emily, sama je!”
Zana sudah tersengih-sengih dengan luahan Audra. Entah apa-apalah Audra ni. kesimpulan yang di buat Audra terlalu melulu tanpa mengenali si empunya diri. "Tak baiklah kau tuduh Tuan Syed macam tu."
“Kau ketawa ni kenapa? Aku tengah sakit hati ni!" Audra menjeling Zana. "Yang kau ni asyik panggil Syed Zikri, 'Tuan Syed' kenapa? Dia bukan bos kau." Sebal Audra dengan sikap Zana yang banyak membela Syed Zikri darinya. "Dah teringin sangat nak kerja di Warisan Syed-lah tu!"
“Sudahlah tu Audra! Marah tu marah jugak tapi jangan melebih-lebih. Kang, marah bertukar jadi marah-marah sayang,” usik Zana, sengaja mahu menambahkan kemarahan Audra.
“Banyaklah!”
Zana dan Zaid hanya tersenyum melihat kemarahan Audra itu. Begitulah Audra, selagi marahnya belum redah dia akan terus menunjukkan perasaannya. Namun, apabila marahnya redah semuanya akan dilupakan. Melainkan jika ada orang yang mengungkitnya semula.

ZACK pantas mengalihkan pandangannya apabila pintu kamar kerjanya terbuka dari luar. Muncul Emily dengan wajah yang mencuka dan Farah yang cuba menghalang Emily dari mengganggunya.
“Kenapa ni?” tanya Zack sambil matanya silih berganti memandang kedua-dua wanita di depannya.
Farah memandang Zack. Air liurnya ditelan, takut dimarahi oleh Zack kerana dia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
“Oh, Zack!” Ternganga Emily melihat penampilan Zack yang baru. “What happen to you? What happen to your hair?” Dia menghampiri dan berdiri di depan meja Zack. “Oh, You look more handsome! I like!” Emily sudah mencantumkan kedua-dua tangannya sambil memandang Zack dengan hati yang berbunga. Ternyata dia sukakan penampilan baru Zack.
Tanpa memperdulikan Emily, Zack beralih memandang Farah. Matanya terus menikam anak mata Farah “Farah?” Apa semua ni? macam mana Emily boleh masuk ke sini? Bagaikan mahu bertanya semua itu kepada Farah namun kehadiran Emily di situ membuatkan Zack hanya mampu bertanya menyebut nama Farah.
“Maaf, Tuan Syed. Saya dah cuba halang Cik Emily dari masuk tapi Cik Emily tak nak dengar.” Farah memandang Emily sekilas dengan rasa menyampah. Cik Emily memang begitu. Suka menerpah masuk ke pejabat Tuan Syed Zikri sesuka hatinya sahaja.
“Miss Emily, please!” Emily sudah membetulkan panggilan Farah. Dia memang tak suka orang memanggilnya ‘Cik Emily’. Farah yang sudah membuat muka menyampahnya dijeling Emily. Bukan dia tak tahu pembantu peribadi Zack itu tidak suka padanya.
“Miss Emily,”Farah membetulkan semula panggilannya.”Sorry.” Dia terlupa yang Emily lebih gemar dipanggil sebagai Miss Emily.
Zack memandang Emily yang berlagak bodoh di depan mejanya bila mendengar aduan Farah. “Tak mengapalah Farah. Awak boleh keluar. Terima kasih.” Zack beralih memandang Farah yang sudah mengangguk tanda mengerti arahannya.
Kemudian, Farah hilang di balik pintu.
“You ni kenapa? Kalau Farah kata I tak nak diganggu, jadi jangan ganggu I!” Zack memang sudah bosan dengan Emily yang sering mengganggunya di pejabat. Kalau wanita itu tahu menghormati kerjanya dan kakitangannya, tak mengapalah juga dia sering muncul. Tetapi, bila dia datang sini sahaja, dia akan berlagak seperti syarikat ini miliknya.
“Zack!” Dengan lemah gemalai dan penuh kemanjaan dia menghampiri Zack dan berdiri disebelahnya. Tangan kanannya sudah memegang kerusi Zack. “You tahu tak apa yang dah berlaku pada I tadi?”
Zack menghembuskan nafas kurang senang. “Manalah I tahu. Ia bukannya bomoh boleh tahu apa semua you buat. Even bomoh pun kalau diorang tahu, diorang tak sudi nak ambil tahu hal peribadi you!” ujar Zack, malas mahu melayan kerenah Emily.
“You ni, kan Zack! Tak kesiankan I langsung! You tengoklah kaki I ni!” Dia menunjukkan kakinya yang sudah bergaris kerana dilanggar Audra ketika di ruang masuk tadi.
Zack sudah menggaru keningnya. Malas rasanya mahu melayan kerenah Emily. Namun, demi menjaga perasaan Emily, Zack melihat juga kaki Emily. “Kenapa?” Dahi Zack sudah berkerut seribu. Dia tidak melihat apa-apa perbezaan atau apa-apa tanda di kaki Emily. “You masih ada sepasang kaki. Tak ada yang kurang,” jawab Zack.
Emily sudah mencebik. Bukan dia tidak tahu Zack sedang menyindirnya. “Ini semua budak Audra tu punya pasallah!” sambung Emily sambil membantak manja pada Zack. Tubuhnya dipeluk
 “Audra?!” Tiba-tiba sahaja minatnya untuk mendengar luahan Emily naik sehingga paras tertinggi. Pantas Zack mengalihkan tubuhnya untuk memandang Emily. Dek kerana pergerakannya yang kalut itu dan dalam masa yang sama juga menggerakkan kerusinya, Emily hampir sahaja terjatuh. Kebetulan, Emily sedang bersandar di kerusi itu dengan meletakkan tangan kanannya di belakang kerusi Zack sebagai sokongan.
 “Zack!” Emily terus menjerit kerana terkejut. Nasib dia tidak terjelepuk jatuh di lantai. Kalau tak, malulah dia! Di depan Zack pula tu! Tapi kalau jatuh tadi, kan bagus juga. Boleh dia menagih simpati Zack. Tanpa berfikir panjang, dia pun pura-pura jatuh. “Aduh!”
Zack terkedu melihat Emily yang tiba-tiba sahaja terjatuh. Rasanya tadi, Emily masih stabil dan bisa berdiri walaupun dia hampir membuat Emily jatuh. “You ni kenapa tiba-tiba boleh hilang balancing ni?” Dia pasti itu hanyalah lakonan Emily.
Zack menghembus nafas kurang senang. Jika dia tidak fikirkan yang Emily anak Datuk Jamaluddin, rakan bisnesnya, sudah lama dia menghalau Emily dari sini. Dengan rasa kurang senang, Zack menyambut juga huluran tangan Emily dan membantunya berdiri.
“Thank you.” Emily sudah tersengih-sengih. “You are so sweet!” Satu cubitan singgah di pipi Zack.
Zack hanya menggelengkan kepalanya. “Kalau you tak nak jatuh, baik you duduk di kerusi di depan I ni. Kerusi di depan I ni I sediakan untuk tetamu duduk. Bukan untuk pameran sampai tetamu I kena berdiri di tepi I dengan manja macam you.” Walaupun penuh dengan makna sindiran tetapi Zack masih menuturkannya dengan nada yang lembut.
Emily tahu Zack menyindirnya. Dia berjalan dan duduk di kerusi yang berhadapan dengan Zack. “I nak manja-manja dengan boyfriend I sendiri pun tak boleh!” Dia memuncungkan bibir. Pura-pura merajuk dengan harapan Zack akan memujuk.
“Emily, berapa kali I beritahu you. I anggap you hanya sebagai kawan. Papa you dengan I rakan niaga! So, jangan harap sesuatu yang lebih dari hubungan kawan, okey!” Sudah berapa kali Zack menegaskan hal yang sama. Namun, Emily tetap menyatakan yang mereka adalah sepasang kekasih.
“Sekarang ni memanglah you tak sayang dengan I. Tapi I akan pastikan suatu hari nanti kita tetap akan bersama sebagai seorang suami isteri.” Sudah lama Emily mengimpikan untuk menjadi puan besar di Rumah Warisan. Bodohlah kalau ada sesiapa yang menjauhi Zack bila ada peluang untuk mendekatinya.
Zack membisu. Lagi dilayan Emily, lagi pening kepalanya. “Ada apa you datang sini jumpa I?”
“Oh, I lupa!” Baru dia teringat tujuannya datang ke sini. “I datang sini sebab nak jumpa dengan you. I rindu sangat dekat you!” Emily sudah meliuk lentukkan badannya untuk menarik perhatian Zack. “Jom kita keluar, nak?” Tangan Emily sudah menggagau untuk mencapai jari jemari Zack.
Namun dengan pantas Zack menarik tangannya. “Sorrylah Emily. I busy. Mungkin lain kali,” tolak Zack.
 Emily mencebik. Begitulah Zack, setiap kali dia datang sini, ada sahaja alasan Zack untuk menolak pelawaannya. “Eh, you tahu tak, tadi masa di bawah I jumpa dengan salah seorang pelajar yang datang untuk temuduga!” Dia teringat semula tentang perkara itu.
Zack memandang Emily. Dia hampir terlupa tentang itu. Kini, Emily sudah mendapat perhatiannya. “Audra?”
Emily sudah tersenyum apabila Zack mula memberi perhatian padanya. “Budak tulah. Audra! Nama bukan main. Tapi kampung betullah!” Dia sudah masukkan jarum. Tapi sayangnya jarum itu sedang melukai hati Zack. Terasa dicucuk tangkai hatinya.
“Kenapa dengan dia?” jeling Zack sambil melirik fail ditangannya, cuba menenangkan diri. Tak mahu terbawa-bawa dengan perasaan.
“Dia pijak kaki I! Sakit tau! Dah tu kurang ajar pulak!” Emily melepaskan amarahnya. “Boleh pulak budak hingusan macam dia mainkan I!”
“Dia mainkan you?” Zack memandang Emily. “Apa yang dia dah buat?” minat Zack terhadap Audra naik satu paras lagi. Bukan calang-calang gadis kalau bisa mempermainkan anak Datuk Jamaluddin yang sombong ni.
“Boleh dia kata dia ada satu benda yang I dan seluruh dunia tak de! Sakit hati I bila dia cakap macam tu. Tak logik betullah bila dia cakap macam tu. Budak kampung macam dia ada benda yang I tak de! Menyampah!” Jelas dari raut wajah Emily yang dia benar-benar tercabar dengan gadis yang bernama Audra.
“Apa dia benda tu?” Zack semakin tertarik dengan cerita Emily.
“You tau apa bendanya?!” Emily mendekatkan sedikit wajahnya dengan Zack. “I ingatkan, maybe dia betul-betul ada something yang I tak boleh beli! You tahu apa dia?”
Zack menggelengkan kepala.
“Dia kata dia ada perasaan simpati untuk orang macam I!” Emily menumbuk meja tetapi tidak kuat. “Tak guna betul budak tu! Berani dia mainkan I. Siaplah kalau I jumpa dia nanti!” Masih terbayang-bayang di ruang mata Emily bagaimana sinisnya sindiran Audra ketika itu.
Zack tersenyum. Dia semakin kagum dengan Audra. Sayangnya dia tidak dapat melihat apa yang sebenarnya berlaku. Audra memang seorang gadis yang berani jika dia berani menentang Emily berdepan begitu. Kebanyakkan orang yang dilihatnya, termasuk Farah sendiri, apabila Emily selalu menyatakan bahawa dia anak Dato’ Jamaluddin dan kekasih kepada Pengarah Warisan Syed, ramai yang tidak berani berlawan kata dengan Emily.
Apatah lagi untuk seorang pelajar yang datang untuk temuduga di Warisan Syed. Dia pasti saat pertengkaran itu, Emily pasti mencanang tentang status dirinya sebagai anak kepada Dato’ Jamaluddin. Dan pastinya juga, wanita itu akan memberitahu bahawa dia adalah kekasih Tuan Syed Zikri.
 “Logikkah Zack, dia nak bersimpati dengan I? Sepatutnya dia bersimpati dengan diri dia sendiri sebab dia tu budak kampung!” Emily memeluk tubuhnya. “Lepas tu boleh pulak dia kata hanya polis bodoh saja yang akan ambil aduan I bila I ugut nak buat repot polis.”
Senyuman Zack makin lebar. “Betullah tu! Mana ada polis yang nak ambil aduan you tentang seorang gadis yang terpijak kaki you?!” Zack memandang Emily.
Excuse me! Kaki I sakit tau!” Emily tidak berpuas hati apabila Zack membela Audra.
“Kaki you tak ada apa-apa. Masih cukup kaki kanan dan kiri. Jari you pun tak putus. Tak berdarah dan tak luka.”
“Tapi kaki I bergaris, okey!”
“Itu aje?”
“Itu aje?” Emily sudah mengajuk soalan Zack lalu mendengus geram. Tidak bersimpati langsungkah Zack dengan keadaan dirinya? “I, seorang wanita yang sangat menjaga penampilan diri dari hujung rambut sampai hujung kaki! Bila kaki I bergaris, tak kisahlah sikitkah banyakkah, tentu sahaja akan jadi perkara yang besar untuk I!”
Zack menarik nafas panjang. “Polis, masih banyak lagi tugas dan kes yang dia orang kena selesaikan dari nak layan kes tak masuk akal you tu!” ujar Zack. “Tapi kalau you nak teruskan juga dengan niat tu, teruskanlah. Jangan sampai you perbodohkan diri you sendiri sudahlah.”
Emily mencebik. Namun dibiarkan sahaja kata-kata Zack. Dia memeluk tubuh dan bersandar di kerusi. Zack memang menyakitkan hati! Tak pernah walau sekali pun lelaki itu membela dirinya! “Eh, you tahu tak dia pesan apa kat I?” Tiba-tiba sahaja dia teringat semula pesanan gadis itu. “Dia kata, kot hitam you dia dah buang. Dia suruh you beli sendiri!” Emily merenung wajah yang sudah berkerut di depannya. “You kenal dia?”
Zack bersandar di kerusi sambil matanya tidak lekang memandang Emily yang sudah penuh dengan persoalan. “Dia pesan macam tu dekat you?”
Emily mengangguk.
Sebelah kening Zack sudah terjongket. “Macam mana pulak I boleh timbul dalam pergaduhan you dengan dia?” Tentu sahaja sangkaannya tentang Emily benar. Pasti Emily mencanang bahawa dia adalah teman wanita Tuan Syed Zikri.
Emily sudah tidak senang duduk. Alasan apa yang perlu diberikannya pada Zack. Tentu Zack marah jika dia memberitahu hal yang sebenar di mana dia mengaku Zack adalah kekasihnya. “Tak, I cuma bagitahu dia Pengarah Warisan Syed ni, kawan I. Supaya dia takut sikit dengan I!”
“Habis tu, dia takut ke?” Nampak sangat yang Emily sedang berbohong. Tetapi dia malas mahu bertengkar dengan Emily. Emily pasti akan cuba menegakkan benang yang basah.
Emily menggeleng. “Kalau tak silap I dia kata, dia tak kisah pun kalau you tak ambil dia bekerja. Sejak dia kenal you, hidup dia dah bermacam-macam masalah!” Emily kembali memandang wajah Zack dengan tajam. “Apa hubungan you dengan budak ni? you kenal dia ek?”
Zack memandang semula fail di depannya. “Dia calon penolong akauntan di sini! So, I minta you jangan kacau dia lagi. I perlukan dia di sini!” ujarnya tanpa memandang Emily.
Come on lah, Zack. Yang datang untuk interview tu sepuluh orang, kan? Takkan you nak pilih dia jugak! Lagipun, dia sendiri kata dia tak suka dengan you!”
Kata-kata Emily itu membuatkan Zack mengangkat semula wajahnya. “Macam mana you boleh tahu ada temuduga di sini? Dan macam mana pulak you boleh tahu semuanya ada sepuluh calon? You pasang spy untuk intip Warisan Syed?”’
“Mana ada!” Pantas Emily menyangkal. Memang dia ada pasang spy. Tapi bukan untuk mengintip Warisan Syed tetapi untuk mengintip pergerakan Zack.
“Kalau dia tak suka dengan I, itu masalah dia. Yang penting sekarang, dia yang paling layak sekali nak bekerja di sini. She have good knowledge in account. Even my accountan, Sariza also give credit to her!”
“Hei, hei, nanti dulu! Dia cakap tentang kot hitam dan you ni bawa masalah dalam hidup dia. You kenal dia bukan baru hari ini, kan?” Emily sudah menghidu sesuatu.
Zack memandang Emily. Lama dia terdiam. Malas dia mahu menceritakan semuanya pada Emily, lagipun kalau Emily tahu, rancangannya akan gagal. “Sebenarnya, dia anak saudara pembantu rumah I” Hanya idea itu sahaja yang timbul di benaknya. “Dia ada tolong makcik dia kemaskan rumah I hari tu. Dia tak sengaja terbuangkan kot hitam I. Tapi I tak kenal pun dia siapa. Macam mana rupa dia. Lagipun hari ni, bukan I yang handle interview. So, I tak sempat nak berkenalan dengan dia. I Cuma tahu nama dia, Audra.”
Emily menarik nafas lega. Khuatir juga jika ada hubungan yang dirahsiakan antara Zack dan gadis tadi. Tapi tak mungkinlah Zack dengan budak tu. Dia tu cuma anak saudara orang gaji di rumah Zack. “Heh! Anak saudara orang gaji! Tapi berlagak bijak!” Emily sudah membuat memek muka yang menyampah.
“Emily, Ada satu perkara yang I nak minta tolong dengan you,” ujar Zack. Rasanya, Emily tak perlu tahu rancangannya. Tapi, kalau dia tak masukkan Emily dalam sebahagian rancangan itu, pasti rahsianya dengan mudah akan terbongkar.
Mendengar permintaan Zack dengan suara yang lembut begitu, membuatkan Emily menjadi teruja. “You nak I tolong you? You cakap je! I sanggup lakukan apa saja untuk you! Apa saja!” Bersungguh-sungguh Emily cuba mendapatkan kepercayaan Zack.
Walaupun ada terselit rasa kurang senang dengan tingkah Emily, Zack hanya membiarkan saja aksinya yang mengada-ngada itu. “Sebenarnya, I ada misi untuk menyiasat setiap pekerja baru yang diterima bekerja di sini. I nak pastikan semua pekerja I clean! So, bila pekerja baru mulakan tugas di sini, I akan menyamar jadi Enzik Zack, pembantu peribadi Tuan Syed Zikri. Kalau boleh, siapa saja yang baru bekerja di sini takkan tahu yang I ni adalah Tuan Syed. Kalau you datang sini, jangan sesekali layan I macam I ni Pengarah Warisan Syed!”
“Oh,” Mulutnya bermuncung panjang sambil terangguk-angguk. “Itu je? Bagus! Bagus sangat rancangan you tu. Tambah-tambah kalau Audra yang akan terpilih nanti. You kena siasat habis-habis budak tu. Maklumlah, budak kampung. Mana tahu, bila datang sini ada niat tak baik! You kena hati-hati dengan orang yang nampak baik. Kadang-kadang luar je baik. Dalam dia lebih jahat, tahu!"
Zack mendengus perlahan. “Emily, I nak pesan satu perkara pada you!” Zack memandang tepat ke dalam anak mata Emily. Dia mahu Emily ambil serius kata-katanya. “Bila dia dah bekerja di sini, I tak nak you ganggu dia! Kalau I dengar ada apa-apa masalah bersabitkan you dengan Audra, tambah-tambah lagi kalau I dapat tahu you cari pasal dengan dia sampai rahsia I terbongkar, I takkan teragak-agak beri arahan kepada sekuriti untuk halang you masuk dari Warisan Syed.”
“Sampai hati you Zack!" Emily sudah tercengang. Tak disangka Zack akan lebih berpihak pada Audra. Geramnya pada Audra naik satu takah lagi. “You bela dia lebih dari I?”
“Sorry, I bukan nak bela siapa-siapa. Cuma, I nak suasana yang aman untuk semua staf I. I mahu mereka dapat bekerja dengan tenang dan aman. Andai kata ada sesuatu yang menganggu staf-staf I dari memberikan komitmen dengan kerjaya, anasir itu akan I ambil tindakan yang keras.”
“Anasir? You kata I anasir? How dare you!" Dada Emily sudah berombak. Dia memandang Zack dengan perasaan yang memohon simpati dan amarah yang sama banyak.
Don’t get me wrong. I tak maksudkan you. I bercakap secara umum!”
“You ni! Memang melampau!” Emily mencapai beg tangannya dan keluar dari pejabat Zack dengan hati yang membungkam. Disebaliknya dia juga berharap Zack akan mendekatinya dan memujuknya.
Namun, Zack tetap diam di kerusinya dan hanya memerhatikan Emily yang sudah hilang dari pandangan. Setelah Emily pergi, baharulah Zack dapat menarik nafas lega. Mujurlah Emily sudah pergi. Kalau tidak pastinya Emily akan mengajaknya untuk makan tengahari bersama.
Zack melirik jam di pergelangan tangan. Sudah hampir waktu makan tengahari. Esok dia akan bercuti satu hari untuk melaksankan misi seterusnya.
Dia sudah tersenyum simpul. Dia sendiri tidak menjangka hatinya akan terpaut pada saat itu. Pada hari di mana Audra menghantukkan kepala di hidungnya sehingga berdarah. Tak pernah ada mana-mana gadis yang berani melakukan itu. Walaupun dia belum benar-benar mengenali Audra, tetapi gadis itu istimewa.


Friday 23 November 2012

Ilham Hati 11








IZZ BERSANDAR di badan kereta sambil memeluk tubuh dan memandang terus ke arah pintu pagar sekolah. Dia melirik jam ditangan. Bila-bila masa dari sekarang, pasti loceng sekolah akan berbunyi menandakan tamat waktu persekolahan pada hari itu.

Belum pun sampai satu minit dia berfikir demikian, terdengarlah bunyi deringan loceng sekolah. Nyaring dan membingitkan telinga. Izz menarik nafas lega. Akhirnya, penantiannya berakhir juga. Dia berdiri tegak sambil memerhatikan ke dalam kawasan sekolah. Sesekali kepalanya terjenguk-jenguk mencari kelibat Tania dan Amani.

Dalam hatinya sudah tidak sabar mahu mengetahui keadaan Amani yang baharu memulakan sesi persekolahan setelah lama berhenti belajar. Apakah Amani dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru? Dapatkah Amani mengejar kembali pelajaran yang telah lama ditinggalkannya?

Amani hanya memerhatikan tingkah laku pelajar-pelajar di kelasnya yang sudah terburu-buru berlari keluar dari kelas. Dia membiarkan sahaja mereka semua berebut sesama mereka. Dengan tenang dan tanpa berniat mahu terburu-buru seperti pelajar yang lain, Amani menyimpan satu persatu buku-buku latihan yang baharu dibelinya pagi tadi bersama Izz di koperasi sekolah. Buku itu dimasukkan dengan cermat ke dalam beg sekolah. Bagaikan buku-buku itu adalah harta yang paling berharga di dalam dunia ini.

“Kakak! Jomlah! Loceng dah bunyi!” Tania menerpa pada Amani yang masih mengemas beg sekolahnya. Kebetulan, Amani juga ditempatkan di dalam kelas yang sama dengan Tania. Tania gembira bukan kepalang apabila melihat kelibat Amani bersama dengan pengetua masuk ke kelasnya pagi tadi. Namun, sepanjang hari, Amani berpura-pura tidak mengenalinya. Malah, Amani langsung tidak mahu bercampur dan bergaul dengan teman-teman sekelas yang lain.

Amani tidak mengendahkan Tania yang sudah duduk di depannya. Dia masih menunggu di situ walaupun kesemua bukunya telah siap dikemaskan. Dia memerhatikan ke luar tingkap kelas. Pelajar-pelajar dari kelas bersebelahan juga sedang berpusu-pusu keluar. Masing-masing mahu cepat. Entah apa yang dikejarkan mereka.

“Kakak! Loceng dah bunyi!” Tania bersuara lagi. Kali ini suaranya dikuatkan sedikir. Fikirnya, Amani tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi.

“Aku tak pekak!” Mencerlung mata Amani memandang Tania.

Tania menelan air liurnya. “Kakak tunggu apa?” Semua pelajar mahu cepat pulang. Tapi Amani masih membatu di situ.

Amani mendengus kasar. Dia malas mahu melayan Tania. Bibir itu tidak pernah berhenti dari bersuara. Ada sahaja yang mahu dikatakan!

“Kakak tak nak balik lagi?” tanya Amani perlahan. Dia sudah takut dengan reaksi Amani tetapi dia tidak mahu meninggalkan Amani di situ sendirian. Kali ini Tania menerima jelingan yang tajam sebagai balasan dari soalannya. Mungkin, Amani perlukan waktu lebih lama di situ. “Tak apalah. Saya pergi dulu. Saya tunggu akak di depan pintu sekolah ya.” Tania dengan wajah murungnya terus bergerak meninggalkan Amani.

“Tania!” Satu suara menyapa Tania yang baharu melangkah keluar dari kelas.

Amani hanya memerhatikan susuk tubuh seorang pelajar lelaki menghampiri Tania. Wajah Tania yang masam pada awalnya terus berubah ceria apabila lelaki itu muncul. Kemudian, mereka berdua beriringan berjalan pergi dari situ. Barangkali itu adalah teman lelaki yang sering dikatakan Tania kepadanya.

Setelah suasana sudah kelihatan sedikit tenang dan tidak lagi pelajar-pelajar yang buruan keluar dari kelas masing-masing, baharulah Amani bangun lalu mencapai beg sekolahnya dan berjalan pergi dari situ. Dia berjalan perlahan-lahan dan lambat-lambat sambil matanya terus memandang ke bawah.

Sampai sahaja di pintu pagar, langkah kakinya terhenti. Apabila dia mengangkat wajahnya, matanya menangkap seraut wajah Izz yang sedia menanti bersama senyumannya. Di sebelahnya, Tania sedang berdiri sambil memandangnya. Tania melambai-lambai padanya bersama senyuman yang ceria. Pandangan Amani terhala kepada Izz semula. Pandangan mereka berdua kaku di situ.

Melihatkan Amani yang masih terus berdiri tegak di situ, Izz juga mengangkat tangan dan melambai pada Amani, memanggilnya agar mendekati mereka. Namun sayangnya, Amani hanya menjeling lalu berjalan pergi. Izz terkedua seketika apabila melihat langkah kaki Amani yang sudah menjauhi mereka.

Tania sudah ternganga di situ. "Kak Amani nak ke mana tu Abang Izz?" Tania sudah memandang Izz. Kenapa Amani berjalan pergi? Bukankah papa telah berpesan agar mereka ke kedai peralatan persekolahan dan membeli barang-barang keperluan Amani usai tamat hari persekolahan? Amani mahu ke mana?

Izz mendengus. Hilang senyuman di bibirnya dan digantikan dengan ketapan di bibir. Amani memang degil! Sangat sukar untuk mengawal Amani! Sejak pagi tadi, ada sahaja sikap Amani yang bertentangan dengan arahannya. Amani memang sengaja memancing marahnya. "Masuk dalam kereta!" Izz memberi arahan dengan tegas kepada Tania.

Pantas Tania mengangguk lalu bergegas masuk ke dalam kereta dan duduk bersebelahan dengan Izz. Tania mendiamkan diri di sisi Izz. Mulutnya sudah dimuncungkan. Dia tahu, Izz benar-benar marah dengan sikap Amani. Wajah Izz menunjukkan demikian. Dia khuatir memikirkan apa yang bakal terjadi. Izz tak pernah menunjukkan reaksi sebegini apabila bersamanya.

Izz memandu kereta lalu memotong langkah Amani dan memberhentikan keretanya di tepi. Sempat dia menangkap mata Amani yang melirik padanya saat kereta memintas gadis itu. "Tania tunggu di sini!" Izz terus keluar dari kereta. Berdentum bunyi pintu kereta dihempasnya sehingga Tania yang berada di dalam kereta terangkat bahunya kerana terkejut.

Dari dalam kereta, Tania memandang ke luar. Kelihatan Izz sedang melangkah mendekati Amani. Dadanya bergetar kencang. Dia menelan air liurnya kerana takut.

Melihat sahaja kereta yang dipandu Izz baharu sahaja memotongnya dan kemudian terpakir di tepi jalan, langkah Amani menjadi perlahan. Kemudian, dia melihat susuk tubuh Izz keluar dari kereta dan sedang menghampirinya. Mata Amani dan mata Izz terus berpandangan. Pasti Izz mahu memaksanya untuk pulang bersama mereka.

Amani melarikan pandangan matanya apabila mata Izz masih terus terpaku menatapnya dari jauh sambil kakinya melangkah mendekati Amani. Kemudian, Amani meneruskan langkahnya seolah-olah tidak memperdulikan Izz yang sedang menghampiri.

Wajah Izz semakin merah menahan marah apabila melihat Amani terus melangkah pergi dan cuba berjalan di seberang jalan untuk mengelak dari bertembung dengannya. Dia mempercepatkan langkah memotong beberapa pelajar yang datang dari arah bertentangan. Dia semakin menghampiri Amani yang juga datang dari arah bertentangan. Ke mana Amani mahu pergi sedangkan dia sudah berada di hadapan gadis itu yang perlu melalui jalan yang sedang dilaluinya?

"Amani!" Izz sudah berdiri di depan Amani dan menghalangnya dari terus melangkah.

Amani memandang ke tempt lain. Dia tidak mahu memandang wajah Izz yang sudah kemerahan itu. Amani bergerak ke tepi untuk melangkah pergi, namun dengan pantas Izz menangkap pergelangan tangan Amani.

Terus mata Amani memandang Izz. Pandangan mereka bertaut seketika. Amani menjeling lalu menarik tangannya dan bergerak ke tepi untuk meneruskan langkahnya. Dengan pantas, Izz terus memegang beg galas yang dipakai Amani di belakang badannya sehingga langkah Amani terhenti lagi.

"Awak tak dengar arahan yang Tuan Helmi?!” tanya Izz sambil memandang Amani yang sedang membelakangkannya.

Amani hanya membisu dan menyentap beg galasnya dari genggaman Izz dan dia berjaya melakukannya. Tindakan Amani membuat Izz bertambah geram dengannya. Lantas Izz terus menarik beg galas Amani dengan lebih kuat sehingga tubuh Amani terus kebelakang. Mujurlah dia sempat mengimbangi badannya, jika tidak tentu dia sudah terlentang di atas tubuh Izz yang berada di belakangnya.

Apabila Amani sudah berdiri tegak dan dapat mengimbangi semula tubuhnya, dia terus berpaling memandang Izz dengan tajam.

"Saya bercakap dengan awak, bukan dengan bayang-bayang awak!" ujar Izz dengan nada yang tinggi.

“Jangan ganggu saya!!" Amani mengetap bibirnya rapat-rapat.

Izz mendengus kasar. “Kenapa awak degil sangat?!”

Malas mahu meneruskan pertengkarannya dengan Izz, apatah lagi di sekeliling mereka masih penuh dengan para pelajar yang sedang beransur pulang, lalu Amani memusing semula tubuhnya untuk pergi.

Tanpa berkata apa-apa, Izz terus memegang tangan Amani dengan kuat dan terus menariknya sehingga ke kereta. Izz membiarkan sahaja mata-mata yang sudah memandang mereka.

Tania yang terus memerhatikan sedari tadi terkedu melihat Izz yang sedang menarik tangan Amani dengan kasar. Berkali-kali Amani hampir tersandung apabil Izz terus menarik tangannya. Sebaik sahaja Izz dan Amani sampai di tepi kereta, Tania pantas memalingkan wajahnya ke depan tanpa memerhatikan mereka berdua. Belum pernah lagi dia melihat Izz melakukan perkara sebegini. Wajah Izz kelihatan bengis dan garang. Hilang segala ketampanannya.

Izz membuka pintu belakang bahagian kanan. Dia menarik tangan Amani agar masuk ke dalam kereta sehingga Amani terduduk di kerusi belakang. Amani cuba bangun kembali namun Izz terus menolak tubuh Amani agar masuk ke dalam kereta dan terus menutup pintu dengan rapat.

Amani yang sudah berada di dalam kereta memandang Izz yang masih berdiri di sisi pintu. Dia benci dengan Izz! Dia benci pada lelaki yang suka menunjukkan kekuasaannya! Izz sama sahaja dengan lelaki lain! Tak guna!

Setelah Izz bergerak untuk masuk ke dalam kereta, Amani mengambil kesempatan membuka semula pintu kereta untuk keluar.

Namun, Izz lebih pantas. Seolah-olah dia bisa membaca apa yang bakal dilakukan Amani. Terus sahaja dia mencapai lengan Amani sebelum sempat gadis itu pergi. Terus tubuh Amani di sandarkan di badan kereta. “Awak jangan cabar kesabaran saya!”

"Lepaslah!" Amani masih terus membentak. Dadanya berombak laju. Wajah Izz dipandang lama. Kolam matanya sudah terasa panas. Dia menolak tubuh Izz. Tubuh Izz terkebelakang sedikit. Amani terus memandang Izz dengan tajam.

“Kenapa ni?” Tiba-tiba satu suara menegur mereka.

Pantas Izz dan Amani memandang empunya suara. Kelihatan seorang guru lelaki tegak di hadapan mereka. Sedari tadi guru itu memerhatikan sikap Izz dan Amani.

Tania yang masih membatu di dalam kereta sudah ternganga apabila melihat guru disiplin berada di situ. Dia tahu, mereka sedang berhadapan dengan masalah. Dengan pantas Tania keluar dari perut kereta dan menghampiri Cikgu Haqq, guru disiplin sekolah.

“Cikgu!” Tania sudah berdiri di sisi Izz.

Cikgu Haqq memandang mereka bertiga. “Kamu semua ni ada masalah?”

“Tak, cikgu.” Dengan pantas Tania menjawap.

“Sebenarnya, saya datang nak ambil adik-adik saya,” ujar Izz pula.

Cikgu Haqq memandang Tania dan kemudian Amani. Dia memang telah lama mengenali Tania. Amani pula, dia baharu sahaja bertemu dengan Amani pagi tadi ketika gadis itu berada di pejabat untuk daftar kemasukan pelajar baru.

“Kamu berdua saudara?” tanya cikgu Haqq kepada Tania dan Amani.

“Ya!” Tania mengangguk sambil tersenyum. Dia suka sekali apabila Cikgu Haqq berkata begitu. terasa seperti dia mempunyai kakak sebenar.

Berlainan pula dengan penerimaan Amani. Bersama dengan hembusan nafas yang kasar dan jelingan yang tajam, Amani masuk ke dalam perut kereta. Berdentum pintu dihempasnya.

Terkejut Cikgu Haqq dengan sikap Amani. Seorang gadis yang memiliki seraut wajah yang comel mempunyai sikap yang tidak menghormati orang lain. Apatah lagi di depannya, seorang guru disiplin. Tergeleng-geleng kepala Cikgu Haqq. Nampaknya, dia perlu lebih memerhatikan pelajar baru ini.

“Maaf, cikgu. Saya minta diri dulu.” Tania sudah berlari-lari anak masuk ke dalam kereta semula. Dia agak malu melihat gelengan kepala Cikgu Haqq apabila melihat sikap Amani. Di dalam kereta, Tania terus menundukkan wajahnya.

“Saya minta maaf dengan sikap adik-adik saya.” Izz memohon kemaafan.

“Kamu abang mereka?” tanya Cikgu Haqq.

“Bukan abang kandung. Tapi, mereka berdua di bawah tanggungjawab saya.” Izz menerangkan perkara yang sebenar. “Saya bertanggungjawab atas segalanya tentang mereka berdua.”

Terangguk-angguk kepala Cikgu Haqq. Dia sedia tahu tanggungjawab Izz kepada Tania. Dia sudah biasa melihat kelibat Izz di sekolah bersama Tania. Malah, Tuan  Helmi juga salah seorang dari ahli jawatan kuasa Persatuan Ibubapa dan Guru di sekolah itu. Tuan Helmi telah memaklumkan kepada pihak sekolah tentang pekerjaan Izz yang ditugaskan untuk menjaga Tania.

Cuma, dia belum pernah melihat Izz bersama Amani. Apatah lagi keadaan mereka berdua kelihatan mencurigakan sebentar tadi. Mujurlah tiba-tiba Tania keluar dari kereta. Jika tidak, pasti dia akan menyangka Izz sedang menculik Amani.

“Tak mengapalah. Dah tanggungjawab seorang abang. Apatah lagi jika ada adik perempuan,” ujar Cikgu Haqq. “Tak apalah. Saya minta diri dulu.” Cikgu Haqq menghulurkan salam.

Izz menyambut tangan Cikgu Haqq. “Assalamualaikum,”

“Waalaikummussalam.” Cikgu Haqq bergerak pergi.

Izz menoleh memandang Amani. Kemudian, dia masuk ke tempat pemandu. Dia terus memandu kereta dengan laju. Satu suara tidak kedengaran dari bibirnya. Radio juga dimatikan. Suasana di dalam kereta benar-benar sepi.

Tania masih terus tertunduk. Tak berani mahu mengangkat wajahnya apabila melihat wajah kelat Amani dan Izz. Namun, dia tidak suka dengan situasi begini. Terasa dia berada di dalam bilik mayat. Dingin dan sunyi. Izz dan Amani masih tenggelam dalam api kemarahan. Mungkin dia bisa menceriakan semula suasana. Tania mengukirkan senyuman semula. Dia menoleh kepada Amani di belakang.

"Kak, kita ke kedai alatan tulis ya. Kita beli barang sekolah yang baru untuk akak!" Tania memberanikan diri bercakap dengan Amani.

"Berapa kali aku nak beritahu kau, aku bukan kakak kau!" jerit Amani yang masih dikuasai dengan kemarahan terus melepaskannya pada Tania.

Tania terdiam. Mulutnya terus terkunci. Dia kembali tertunduk seperti keadaan asalnya.

Izz sudah mengetap bibir mendengar tengkingan Amani pada Tania. Tania di sebelahnya sudah menikus sambil tertunduk. "Awak boleh bersopan sikit tak bila bercakap?" Izz melirik Amani dengan cermin pandang belakang.

Amani mengerling Izz yang sedang memandu. Satu senyuman sinis dilempar. "Bersopan? Macam yang awak lakukan pada saya?" soalnya dengan nada begitu sinis sekali. "Sangatlah bersopan!" sindir Amani lagi.

Izz menarik nafas perlahan dan panjang. Lalu, dia menghembuskannya dengan perlahan, cuba menenangkan diri. Dia membiarkan sahaja sindiran Amani dan terus memandu.

"Saya nak balik!" ujar Amani kemudiannya. Dia masih belum berpuas hati dengan Izz.

Tania sudah memandang Izz apabila mendengar permintaan Amani. Izz hanya pura-pura tidak mengerti. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Adakalanya bercakap dengan Amani perlu pura-pura tidak dengar.

Amani mengetap bibirnya apabila tiada respon dari Izz. Izz masih terus memandu ke arah berlawanan dengan jalan pulang. "Awak pekak ke? Saya nak balik!" suara Amani sudah seakan menjerit.

“Tapi kak, papa pesan," Tania cuba mencelah.

"Aku tak ada papa!" pantas Amani bersuara. Hatinya terasa sakit. Sakit dengan perbuatan Izz yang kasar padanya. “Aku tak nak berhutang lagi! Kau faham tak!”

"Tapi ini bukan hutang. Papa lakukan semua ini dengan ikhlas." Tania cuba menerangkan niat baik Tuan Helmi.

“Ikhlas?! Kau ingat, aku akan percaya. Orang-orang macam kau orang semua ni hanya tahu mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain!” Dengus Amani.

“Awak sepatutnya bersyukur sebab Tuan Helmi sanggup membantu awak dan Puan Zaiton!” Izz sudah mula bersuara.

“Bersyukur? Saya akan lebih bersyukur kalau semua perkara ni tidak berlaku!” Amani terus memandang ke luar tingkap.

Izz memberi signal kiri lalu memakirkan kereta di bahu jalan. Izz memusing tubuhnya memandang Amani. "Jadi, awak betul tak nak beli barang-barang sekolah yang baru?" tanya Izz. Dia sudah malas mahu memaksa Amani melakukan seperti apa yang diarahakan Tuan Helmi. Seandainya mereka tiba di kedai dan Amani tetap berkeras tidak mahu membeli apa-apa barang, semuanya akan jadi sia-sia. Masa mereka akan terbuang begitu sahaja.

Amani menjawap pertanyaan Izz dengan jelingan matanya.

Jelingan itu sudah cukup untuk membuatkan Izz mengerti dengan kekerasan hati Amani yang menolak mentah-mentah kebaikan orang lain. Izz memusing tubuhnya dan mula memandu semula. Dia memandu ke kawasan Setia Sentosa.

Sampai sahaja di jalan masuk ke Setia Sentosa, Izz menghentikan kereta di bahu jalan kecil yang memasuki Setia Sentosa. Kemudian, dia keluar dari kereta dan membuka pintu kanan di bahagian belakang, di mana Amani sedang duduk.

Tania memerhati tingkah Izz dengan penuh tanda tanya. Kenapa Izz berhenti di sini? Apa yang mahu dilakukan lelaki itu?

Izz terus membuka pintu dan menarik Amani keluar dari kereta dengan kasar. Lalu, dia menutup semula pintu kereta.

Amani mendengus. Dia menjeling Izz dengan penuh rasa benci! Sikap Izz sangat menyakitkan hati! Dia membuang pandangan matanya ke tempat lain. Dia tidak mahu membalas pandangan mata Izz yang terus memerhatikannya dengan tajam.

“Saya tahu, awak tak suka terhutang budi, kan? Sebab tu, awak tak nak naik kereta ni, awak tak nak beli barang-barang sekolah yang baru. Semua tu buat awak rasa terbeban, kan?” tanya Izz.

Amani hanya membisu dan pura-pura tidak mendengar pertanyaan itu.

“Kalau awak rasa terhutang budi dan terbeban dengan semua kebaikan Tania dan Tuan Helmi, saya pasti awak takkan keberatan berjalan kaki untuk balik ke rumah. Selamat tinggal!” Izz terus masuk ke dalam kereta dan memandu meninggalkan Amani.

Tania di sebelah Izz  sudah terlopong. Mulutnya ternganga sambil memandang ke belakang, melihat kelibat Amani semakin ditinggalkan. Panahan mata Amani yang memandang ke arah mereka semakin hilang. "Abang Izz tinggalkan Kak Amani? Macam mana dengan dia?" Tania sudah cemas. Wajah Izz dipandang. Dia langsung tidak percaya Izz sanggup meninggalkan Amani di situ.

"Pandai-pandailah dia jaga diri dia sendiri!" Izz memandang Tania sekilas.

"Tapi," Jelas diraut wajah Tania, dia tidak bersetuju dengan tindakan Izz. "Papa tentu marah kalau dia tahu kita tinggalkan Kak Amani."

Izz cuba mengukirkan senyuman buat Tania. Dia tahu persis apa yang ada dalam hati Tania. Bukan sahaja Tuan Helmi tidak bersetuju dengan tindakannya, malah Tania juga tidak sampai hati meninggalkan Amani di situ. Amani beruntung kerana orang-orang yang dibencinya ini menyayanginya.

"Biarkanlah. Sesekali kita perlu ajar dia agar tahu menghormati orang lain!" Izz melirik Tania yang sudah tertunduk itu. "Kalau papa Tania marah, biar saya yang tanggung akibatnya," pujuk Izz.

“Macam mana kalau jadi apa-apa pada Kak Amani?” Tania sudah mengukirkan raut wajah simpati. Dia mahu Izz berpatah balik dan mengambil Amani semula. Dia tidak sanggup membiarkan Amani di situ.

"Jangan risau,” pujuk Izz lagi. "Insyaallah takkan jadi apa-apa pada Amani. Biasanya, kalau saya dan Pak Bakar tak dapat ambil Tania pulang dari sekolah, Tania juga selalu berjalan pulang sendiri, kan?"

“Tapi, Tania dah biasa dengan keadaan di sini. Ini tempat Tania, kampung Tania! Amani tak biasa dengan keadaan di sini.”

Izz hanya tersenyum. “Saya percaya, Amani sudah terbiasa dengan apa jua keadaan. Dia tahu jaga dirinya sendiri.” Tania benar, Setia Sentosa bukan tempat Amani. Namun, Izz sendiri merasakan pendapatnya tidak salah kerana dia tahu Amani lebih bijak menjaga dirinya berbanding Tania. Amani telah merasakan perkara yang lebih dasyat berbanding apa yang dikhuatirkan Tania.

Tania menarik nafas panjang dan menghelanya perlahan. Dia berharap tindakan Izz benar. Dia tahu, Amani pernah merasakan penderitaan yang lebih dari ditinggalkan seperti tadi. Dia masih ingat bagaimana keadaan Amani pada kali pertama Amani melangkah masuk ke dalam Ilham Hati. Amani pastinya tahu menjaga diri. Izz benar. Tetapi Izz silap dalam satu perkara. Amani seorang gadis, sama sepertinya. Seorang gadis bisa merasa dirinya kuat tetapi hakikatnya, sebesar mana kekuatan seorang gadis, mereka masih perlukan perlindungan. Keselamatan seorang gadis tidak pernah terjamin apabila dibiarkan sendirian.

“Apa yang perlu Tania katakan kalau Makcik Zaiton bertanya tentang Amani?” tanya Tania sambil matanya memandang ke luar tingkap.

Izz hanya membisu. Jawapan apakah yang patut diberikan kepada Tania? Namun, dalam benaknya mula timbul persoalan yang lain. Apakah Zaiton akan sedar dan bertanya tentang Amani?

---------------------------@@@@-----------------