Monday 27 August 2012

Ilham Hati 8









"ASSALAMUALAIKUM," Tania menyapa semua yang ada di ruang makan termasuklah Mak Eton dan Kak Min.

"Waalaikummussalam...!" jawab kesemua mereka.

Zaiton mengukirkan senyuman buat gadis yang baru muncul. Pastinya gadis itu adalah Tania, anak Tuan Helmi. Sebentar tadi, memang Tuan Helmi ada bercerita serba sedikit tentang keluarganya. Siapa sangka, Tuan Helmi, lelaki yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu, adalah pemilik perusahaan ini. Dan, yang paling penting, Tuan Helmi adalah duda anak satu. Alangkah bahagianya hidup dia jika dapat memiliki seluruh Ilham Hati ini. Kalau tak miliki sepenuhnya pun, memadailah kalau dapat bersenang lenang di sini. Masa depannya dan Amani pasti cerah jika mereka tinggal di sini.

"Ini pastinya Tania, kan?" satu senyuman manis diukir untuk gadis manis itu.

Tania sudah tersenyum lebar. Dia menanggalkan beg sekolah yang digalasnya dan meletakkannya di tepi. "Makcik ni, mak Amani?" Walaupun sedia tahu, Tania masih bertanya sekadar untuk berbahasa.

Zaiton mengangguk. "Marilah makan!" Zaiton cuba mewujudkan suasana yang mesra antara dia dan Tania.
Wajah Zaiton dipandangnya lama. Zaiton memang cantik, secantik Amani. Namun, wajah Zaiton penuh dengan kelembutan, berlainan dengan Amani. Suaranya lembut, pandangan matanya penuh keayuan. Sangat berbaza dengan Amani. Sekali pandang, Tania sudah merasa selesa dengan Zaiton. “Makcik apa khabar?”

“Baik.” Senyuman Zaiton semakin lebar. Tania kelihatan seperti seorang gadis yang polos pada pandangan Zaiton. Gadis seperti Tania sangat mudah untuk di dekati. Tidak seperti Amani, walaupun Amani anak kandungnya namun Amani sangat sukar untuk didekati.

"Macam mana dengan sekolah?" Zaiton bertanya lagi.

"Hebat! Tania gembira sangat!"  Tania memang sangat suka jika ada yang bertanya tentang dirinya. "Hari ni, Tania terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan tilawah." Gembira sekali ketika dia bercerita.

"Alahamdulillah...!!!" Wajah gembira dan ceria sudah terukir di raut Tuan Helmi. "Papa tak sangka anak papa berjaya juga melayakkan diri untuk tilawah. Papa tumpang bangga!" Siapa yang tak bangga jika anaknya berjaya melayakkan diri dalam pertandingan seperti itu. Itulah juga yang dirasakan Tuan Helmi.

Tilawah? Maksudnya, tilawah Al-Quran? Zaiton sudah cemerlut. Namun, wajahnya masih mengukirkan senyuman. Nampaknya, memang sukar untuk meletakkan dirinya dalam keluarga ini. Tentu mereka akan pandang rendah pada dirinya nanti. Dia tak ada ilmu tentang agama, bahkan sembahyang sahaja dia tak pernah. "Tahniah ya, Tania!"Zaiton masih menunjukkan wajah manisnya. "Tentu suara Tania sedapkan bila membaca Al-Quran."

Terima kasih, makcik!" Tania mencapai mangkuk nasi dan mencedok nasi ke dalam pinggan. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. "Mak Eton dan Kak Min tak makan sekali?" tanya Tania apabila melihat kelibat Mak Eton masuk ke ruang makan dari ruang dapur untuk membawa segelas air buatnya.

"Kami dah makan tadi. Tania makanlah!" ujar Mak Eton. "Tuan, ada apa-apa lagi yang tuan mahu?" tumpuan Mak Eton beralih kepada Tuan Helmi pulak.

Tuan Helmi menggeleng, tanda tiada apa yang diperlukan lagi. "Terima kasih, Mak Eton." Tuan Helmi tetap mengucapkan terima kassih kepada Mak Eton.

Mak Eton menganggukkan kepalanya lalu bergerak pergi dari situ.

"Malam nanti Puan Zaiton boleh tumpang di bilik Amani. "Pandangannya jatuh pada Zaiton pula.

"Di mana bilik Amani?" Dia mahu tahu juga bagaimana kamar yang diinapi anaknya itu. Adakah dia tinggal di tempat mewah atau sekadar di ruang untuk pekerja.

"Sebenarnya, Mak Eton dan anaknya Min tinggal bersama-sama saya. Kerja mereka adalah untuk menyediakan hidangan buat keluarga saya dan juga untuk makan tengahari pekerja di sini." ujar Tuan Helmi, tidak menjawap pertanyaan Zaiton.

Untuk pekerja Tuan Helmi? Rasanya pekerja Tuan Helmi ada dalam dua puluh orang. Ketika berjalan masuk tadi, dia sudah memerhatikan kawasan sekitarnya. Sempatkah mereka berdua menyiapkan hidangan tengahari kepada pekerja setiap hari? Terlintas soalan itu di benak Zaiton.

"Selama mereka berdua bekerja di sini, Alhamdulillah.... Tiada apa-apa masalah dalam penyediaan makanan. Lagipun, mereka hanya menyiapkan makan tengahari bagi setiap pekerja sahaja. Biasanya, waktu sarapan dan minum petang, pekerja akan dibenarkan keluar ke Kampung Indah Mentari. Kebanyakan pekerja Ilham Hati adalah penduduk kampung ini juga," ujar Tuan Helmi sekaligus menjawap persoalan Zaiton yang hanya tersangkut di dalam hati.

"Tentang tempat tidur Zaiton, saya tak menyediakan tempat yang lebih untuk pekerja saya tinggal di sini. Hanya Mak Eton dan Min, juga seorang anak angkat saya." Pandangannya terancam pada wajah jelita Zaiton. Sedari tadi Zaiton hanya mengukirkan senyuman yang indah. Memang senyumannya mempesonakan! Senyumannya masih sama seperti dulu.

 "Jadi, saya sediakan sebuah bilik untuk Amani di dalam rumah saya. Puan Zaiton boleh tinggal dengan dia. Lagipun, bilik itu memang khas untuk dua orang." Ya, hampir keseluruhan kamar di dalam rumahnya disediakan katil queen saiz bergantung pada ruang bilik. Hanya di kamar Tania, diletakkan katil single saiz walaupun kamar Tania lebih besar dari kamar tetamu yang lain. Sengaja dia melakukan begitu, agar Tania punya lebih ruang di kamarnya untuk melakukan aktiviti yang lain selain tidur dan berehat.

Lega hati Zaiton apabila mendengar kata-kata Tuan Helmi. Nampaknya mereka telah diberi kelebihan dari pekerjanya sendiri. Dia akan cuba pastikan, setelah di melangkah masuk ke dalam rumah Tuan Helmi, takkan ada peluang lagi untuk dia keluar dari situ! Satu lagi senyuman mempesonakan diukir buat Tania yang sedang memerhatikannya dengan senyuman. Mungkin dia perlu mulakan dengan anak Tuan Helmi dahulu.

"Oh ya, Tania selalu masuk pertandingan tilawah?" tanya Zaiton.

Tania menggeleng. "Ini baru kali pertama. Selama ni, dah banyak kali Tania cuba, tapi tak pernah berjaya." Tania masih tersenyum walaupun menceritakan kisah yang tidak menggembirakan. Sesekali dia menarik tudung kepalanya ke belakang. "Nasib baiklah ada Abang Izz. Dia yang syorkan Tania kelas Tarannum dan mengaji Al-Quran. Setiap hari, dia yang menghantar Tania." Cerita Tania dengan ramah sekali. “Tapi, Tania bacaan Tania masih banyak kelemahan.”

"Izz tu yang....." seraut wajah seorang anak muda terlintas di ingatannya.

"A'ah... Yang selalu pergi jumpa makcik tu, Abang Izz lah!" Lantas sahaja Tania mengiakan. "Dia tu anak angkat abah dan juga kekasih Tania!" Tania sudah tersenyum simpul.

Tuan Helmi pula sudah ketawa besar. Tania tak sudah-sudah menyatakan Izz itu adalah kekasihnya. Sedangkan dia tahu, bagi Izz tiada hubungan seperti itu antara mereka. Izz hanya menganggap Tania sebagai adik dan sepatutnya pun begitu. Tapi, biarlah. Tania masih terlalu muda untuk jatuh cinta. Bila dia dewasa kelak, Tania akan tahu yang perasaan sebenarnya pada Izz adalah kasih sayang seorang adik terhadap abangnya.

"Wah! Kekasih Tania ya," Zaiton sudah tersenyum. "Segak kekasih Tania ya. Tentu dia selalu jaga Tania." Zaiton cuba mewujudkan hubungan yang lebih rapat lagi dengan Tania.

"Hmmm.." Tania mengangguk laju, mengiakan kata-kata Izz. "Tapi dulu, lima tahun abang Izz tinggalkan Tania sebab sambung belajar. Dia baru saja balik." Tania berfikir seketika "Lebih kurang lima-enam bulan sudah."

Terangguk-angguk kepala Zaiton apabila menerima input itu. Maknanya, Izz seorang pemuda yang berpelajaran tinggi, bukan orang sebarangan. Jadi, dia perlu pastikan hubungan baik terjalin antara mereka berdua.

"Kalau macam tu, Tania kenalah belajar tinggi-tinggi macam Abang Izz," ujar Zaiton.

Tania menganggukkan kepalanya. "Tania memang nak belajar tinggi macam Abang Izz." Tania berbalas senyuman dengan Zaiton. "Nanti makcik datang bilik Tania ya. Boleh kita berbual panjang-panjang." Makcik Zaiton terlalu berbeza sikapnya dengan Amani. Amani begitu sombong dan dingin. Makcik Zaiton pula, terlalu ramah. Malah, orangnya cantik sangat! Tania mula jatuh kasih pada wanita ini.

Tuan Helmi yang sedari tadi menjadi pemerhati hanya tersenyum. Entah kenapa perasaannya terasa berlainan sekali dengan kehadiran Zaiton di sini. Tania juga kelihatan gembira dengan kehadiran Zaiton. Apakah kebahagiaan akan menjadi miliknya sekali lagi?

"Assalamualaikum...." Sapa seseorang dan kemudian kelihatan susuk tubuh Izz masuk ke ruang makan.

"Waalaikummussalam....." jawab mereka serentak.

"Mari makan, Izz." panggil Tuan Helmi.

Izz masuk dan duduk bersila bertentangan dengan Tuan Helmi.

"Mana Amani?" soal Tuan Helmi apabila melihat Izz datang bersendirian.

"A'ah.... mana Amani?" Zaiton mula khuatir jika Amani sudah melarikan diri dari tempat ini. Sedari tadi dia di sini, dia baharu teringat akan Amani yang masih belum ditemui.

"Amani…” Izz merasa sedikit berat untuk menyatakan tentang Amani. “Dia ke tasik. Katanya, sekejap lagi dia jumpa dengan Puan Zaiton," beritahu Izz. Sebenarnya, Amani tidak berkata begitu, sengaja dia menambahkan cerita. Kalau dia menceritakan hal sebenar, pasti Tania dan Tuan Helmi akan tertanya-tanya seperti dirinya juga. Tapi tak mengapa, dia akan siasat lebih lanjut  latar belakang kehidupan Amani dan Puan Zaiton.

Zaiton sudah menarik nafas lega. Namun tidak bagi Tuan Helmi. Kenapa Amani tak terburu-buru datang berjumpa dengan ibunya? Tidak rindukan dia pada ibunya itu? Macam ada yang tak kena sahaja dengan hubungan kedua beranak ini. Tiba-tiba sahaja senyumannya mati di situ. Amani, ada sesuatu dalam diri gadis itu yang membuatkan Tuan Helmi terus berfikir tentangnya.

"Mak Eton!" panggil Tuan Helmi. Kelibat Mak Eton muncul. "Amani dah makan?" tanya Tuan Helmi.

Mak Eton menggeleng. "Dia tak datang sini. Mungkin dia makan di kampung," fikir Mak Eton.

"Tak apalah...." Tuan Helmi mengangguk. Mak Eton berlalu pergi. Tak mungkin Amani makan di kampung. Dia pasti, satu sen pun, Amani tidak punya dalam simpanannya. Jika tidak, Amani tidak akan pengsan kerana kelaparan.

"Amani memang begitu! Dia suka bersendiri. Nanti, pandai-pandailah dia cari makan," ujar Zaiton untuk melenyapkan prasangka Tuan Helmi yang sudah mula kelihatan. Tuan Helmi kelihatan terlalu bersimpati dengan Amani. Ini satu peluang baik! Zaiton mencapai cawan tehnya, lalu menghirup perlahan.

"Hmmm...."Tuan Helmi hanya mengangguk, menerima alasan Zaiton walaupun dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Izz," Tuan Helmi beralih kepada Izz. "Esok, saya nak kamu ke sekolah. Uruskan pendaftaran Amani. Saya mahu Amani sambung belajar."

"Baik tuan!" Pantas sahaja izz menerima arahan itu. Sikap Izz yang cekap dalam melaksanakan perintahnya membuatkan Tuan Helmi semakin sayang padanya.

Tania yang mendengar keputusan padanya sudah tersenyum ceria. "Amani akan sekolah dengan Tania?" Matanya membulat memandang Tuan Helmi.

Tuan Helmi menganggukkan kepala untuk menyakinkan Tania.

Tania memandang Zaiton dengan wajah yang gembira. "Makcik tentu gembira, kan?"

Gembira? Langsung tidak! Zaiton terus tersenyum dan mengangguk. Dia lebih suka jika Amani bekerja dengan Tuan Helmi. Sekurang-kurangnya dapatlah Amani membantunya menambahkan pendapatan.

Izz pula hanya memerhatikan kelakuan Zaiton yang ternyata kurang ikhlas. Namun, cepat-cepat ditepis prasangkanya itu. Tak mungkin seorang ibu akan menganiaya anak kandungnya sendiri!

"Esok, Abang Izz akan hantar Tania dengan Amani ke sekolah?" Tania memandang Izz.

Izz yang tersenyum memandang wajah ceria Tania, mengangguk. Ah Tania, dia memang sentiasa ceria. Tiada prasangka buruk langsung dalam benak fikirannya melainkan semuanya baik-baik belaka. Itulah yang dikhuatirkan Izz tentang Tania.

"Kalau boleh, tolong tengok-tengok kan Amani, ya," ujar Zaiton pada Izz. "Bukan apa, Amani suka memberontak sikit. Makcik takut, dia akan lari dari sini."

"Kenapa Amani nak lari? Awak kan dah ada di sini?" Memang Tuan Helmi keliru dengan situasi Zaiton dan Amani. Masalah mereka telah pun diselesaikan, tapi mengapa Zaiton merasa begitu.

"Sebenarnya, dari kecil lagi Amani sudah hidup berdikari. Dia tak suka terhutang budi dengan orang. Apa yang Tuan dah lakukan pada kami, adalah satu bantuan yang sangat besar. Saya takut, Amani akan merasa terhutang budi. Semakin tinggal di sini, semakin banyak bantuan yang tuan hulurkan. Kami takkan mampu membayarnya. Sebab tulah, untuk mengelak dari terhutang budi dengan tuan, saya takut Amani akan lari dari sini." Memang itulah diri Amani yang sebenarnya.

Izz mengangguk. Dia bersetuju dengan apa yang dikatakan Zaiton. Amani memang kelihatan seorang gadis yang degil dan tidak mahu menerima bantuan orang lain. "Makcik jangan risau, saya akan jaga Amani. Dia tak akan ke mana-mana."

"Terima kasih." Zaiton menarik nafas lega dengan janji Izz.

"Tania pun ada. Tania boleh tengok-tengok kan Amani."Tania berbaik hati menawarkan diri. "Sekarang ni, Tania belajar di tingkatan empat. Amani pun sama dengan Tania?" Tania baru terfikirkan tentang itu.

"Tania baru enam belas tahun?" tanya Zaiton. "Amani sepatutnya ambil SPM tahun ni,” sambung Zaiton tanpa menunggu jawapan Tania.

"Uh?" Tania terkejut. Sangkanya Amani seusia dengannya. "Kalau Amani dah berhenti belajar lepas PMR dulu, maknanya Amani perlu mulakan dari tingkatan empat semula."

Tuan Helmi mengangguk. "Betul tu! Banyak pelajaran yang Amani tertinggal. Kalau boleh, saya nak Amani ambik semua subjek seperti Tania." Dia menoleh pada Zaiton.

"Macam mana dengan yuran pelajaran? Tak mahalkah kalau nak ambil semua subjek?" Zaiton sudah gusar apabila mengingatkan angka-angka yang perlu dikeluarkan untuk membiaya pelajaran Amani.

"Kamu tak perlu bimbang tentang itu, Zaiton. Kalau kamu tak mampu, saya akan tanggung sepenuhnya pengajian Amani." Tuan Helmi benar-benar ikhlas mahu melihat gadis yang berpotensi seperti Amani berjaya dalam hidupnya. Masa depan Amani masih jauh, masih banyak peluang. Dia tak mahu masa depan Amani menajdi gelap tanpa mereka berusaha untuk melakukan apa-apa.

"Saya orang susah, tuan. Bukan saya tak mahu Amani belajar, tapi saya perlu fikirkan juga tentang belanjanya."

"Saya rasa, kita dah bincangkan perkara ini tadi, Zaiton. Saya akan beri kamu perkerjaan. Kamu pasti dapat menampung persekolahan Amani. Tapi, Kalau kamu tetap rasa tak mampu, saya akan tanggung sepenuhnya."

"Tapi, saya dah banyak terhutang dengan tuan. Wang Jalil yang tuan bayarkan, saya juga perlu jelaskan."

Tuan Helmi menarik nafas panjang. "Beginilah Zaiton. Saya dah beritahu awak tadi, tentang hutang Jalil, jika awak ada wang lebih, baru awak bayar."

"Tapi...."

"Tak ada tapi-tapi lagi Zaiton! Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi!" Tegas Tuan Helmi sehingga membuatkan Zaiton terdiam.

Namun di dalam hanya, dia sangat gembira mendengar setiap kata-kata Tuan Helmi. Nampaknya Tuan Helmi sangat mudah menghulurkan budi pada mereka. Rugi lah dia Kalau dia tak gunakan peluang ini sebaiknya!


IZZ membuka pintu gudang dan melangkah ke dalam. Dia terus melangkah ke bahagian dalam. Melihat sahaja kelibat Amani, dia sudah tersenyum. Firasatnya benar, Amani pasti masih di sini. Izz menghampiri gadis itu yang sedang terduduk di lantai sambil memeluk lututnya.

"Nah!" Dia menghulurkan sebungkus roti kepada Amani. Amani hanya mengerling roti yang dihulur dan kemudian memandang ke depan semula."Makanlah, nanti awak sakit lagi. Bertambah pula hutang awak kalau terpaksa dirawat," ujar Izz.

"Saya kenyang!"

"Uh?" Izz menjungkitkan keningnya, namun kemudian di tersenyum pula. Amani tentu berbohong sebab mahu mengelak dari terhutang budi padanya pula. "Orang yang tak makan, mana boleh kenyang!" Semakin lebar senyuman Izz. Plastik yang membungkus roti dibukanya lalu dihulurkan semula pada Amani. "Kata Mak Eton dan Kak Min, awak masih belum makan!"

Nak tak nak, Amani mengambil juga roti itu. Izz sudah tersenyum apabila melihat Amani sudah menggigit roti yang dibawanya. Air kotak yang dibawa untuk Amani, di buka strawnya dan dicucuk ke dalam lubang. Lalu dihulurkan pada Amani.

"Tania nampak gembira bertemu dengan mak awak,"Izz sudah masuk ke persoalan itu. Dia mengerling Amani. Tiada reaksi yang ditunjukkan gadis itu. "Tuan Helmi berbesar hati membawa mak awak datang ke sini untuk awak. Dia dah selamatkan mak awak dari Pakcik Jalil. Tania pun gembira berjumpa dengan mak awak. Tapi awak? Awak langsung tak pedulikan kehadiran mak awak. Awak dan mak awak ada masalah?"
Amani tidak memperdulikan soalan Izz. Dia hanya mengunyah roti dan menyedut minuman kotak yang diberikan Izz untuknya.

"Bolehkah ikatan seorang ibu dan mak terputus?" Tiba-tiba sahaja Izz bertanya seperti itu pada Amani. "Hubungan antara ibu dan anak takkan putus."Izz menjawap soalannya sendiri. "Kalau ada pun, mungkin itu hubungan awak dan Puan Zaiton!" Izz sengaja berkata begitu.

Amani mengerling pada Izz. "Macam mana hubungan saya dengan mak saya akan terputus bila awak dan Tuan Helmi pandai-pandai bawa dia ke mari bila saya mahu pergi dalam hidup dia!" Sungguh, suara itu perlahan namun intonasinya sangat keras.

Izz memandang Amani dengan seribu persoalan. Mereka berpandangan seketika. Izz dapat merasakan, Amani benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya. "Awak ni memang pelik, Amani!" ujar Izz. "Saya tak pernah jumpa orang macam awak!"

Dengan satu kerlingan yang tajam untuk Izz, Amani bangun dan berjalan menuju ke ruang meja. Tak guna dia terus berbicara dengan orang yang tidak pernah tahu tentang hidupnya!  Kata-kata Izz dibiarkan sahaja.

"Saya tak fahamlah dengan awak ni!" Sekali lagi Izz berkata sambil membontoti Amani.

"Awak tak perlu cuba nak faham saya!" Tegas Amani. "Saya tak pernah suruh!"

Izz sudah tersenyum sinis. Izz mengangkat badannya dan duduk di atas meja. Orang seperti Amani takkan pernah beri peluang pada orang lain untuk memahami dirinya. "Awak tak suka terhutang budi kan?" soal Izz.
Amani membisu sambil dia membuka laci dan mencapai buku rekod di dalamnya. "Apa yang awak arahkan, saya dah siapkan semuanya!" Amani menyerahkan buku rekod pada Izz.

Izz mencapai buku rekod yang dihulurkan Amani. "Huh? Awak dah siapkan semuanya?" Terkejut Izz. Untuk pekerja baru seperti Amani yang masih belum terdedah dengan corak-corak yang pernah dihasilkan oleh Ilham Hati, adalah sesuatu yang sangat menakjubkan apabila Amani melaksanakan tugasnya secepat ini. Hampir seratus lima puluh corak yang ada di dalam gudang ini, dan Amani berjaya siapkan rekod dengan cepat! "Awak pasti kerja awak ni betul?"

Amani hanya menjeling. "Awak boleh semak semula kerja saya!" Amani memusing badannya. Dia mahu keluar dari gudang ini. Tetapi kemudian dia berpaling semula pada Izz yang masih termangu di situ. "Saya tak suka terhutang dengan sesiapa!" Amani menjawap soalan Izz yang dibiarkan berlalu begitu sahaja sebentar tadi.

Izz melangut dari membelek buku rekod dan memandang Amani. "Kalau macam tu, awak perlu bersedia untuk 'terhutang' lagi dengan Tuan Hemi," balas Izz. Satu senyuman sudah terukir di bibirnya. Amani pasti tidak suka dengan berita yang dibawanya.

"Maksud awak?"

"Untuk hari ini sahaja, awak dan Puan Zaiton telah terhutang budi dan terhutang wang ringgit dengan Tuan Helmi," beritahu Izz. Amani masih tegak berdiri menunggu penjelasan Izz selanjutnya. "Untuk lepaskan awak dan Puan Zaiton dari Pakcik Jalil, Tuan Helmi telah menyerahkan wang pada Pakcik Jalil. Bukan sepuluh ribu, tapi tiga puluh ribu."

"Tiga puluh ribu?!" Amani sudah ternganga.

"Sepuluh ribu untuk tiket nombor yang awak dah koyak kan. Sepuluh ribu lagi untuk melepaskan mak awak pergi dari situ. Sepuluh ribu lagi adalah sebagai perjanjian yang Pakcik Jalil tak akan mengganggu awak dan Puan Zaiton lagi selepas ini." Izz sudahkah tersenyum melihat wajah Amani yang sudah tegang. "Ada lagi selain tu," sambung Izz. "Selain terhutang wang dengan Tuan Helmi, awak dan Puan Zaiton juga telah terhutang budi dengan Tuan Helmi." Izz berjalan mendekati Amani. "Kalau awak nak tahu, mulai esok, awak akan mula bersekolah semula. Saya yang akan hantar awak!"

Sekolah? Amani sudah tidak keruan. Ya, memang itu yang dia impikan, tapi bukan dengan cara meraih simpati orang sebegini. Mak memang melampau! Dia perlu berjumpa dengan mak segera! Amani berpusing untuk pergi.

"Awak nak jumpa dengan mak awak?" tanya Izz.

Pertanyaan Izz itu membuatkan Amani berpusing kembali dan memandang Izz. Macam mana Izz tahu? Dia memandang Izz yang masih terus tersenyum memandangnya.

"Awak tak perlu bertanya pada mak awak, ini keputusan Tuan Helmi. Tuan Helmi yang  berkeras mahu awak menyambung semula pelajaran awak," beritahu Izz. "Awak tentu tak setuju, kan?” Izz masih lagi tersenyum pada Amani.  “Kalau awak nak jumpa dengan Puan Zaiton, dia ada di rumah bersama Tania." Dia pasti, Amani akan berjumpa dengan ibunya, bukan kerana rindu, tapi kerana mahu dapatkan penjelasan.

Amani terus berpusing dan meninggalkan gudang. Langkahnya dihayun laju menuju terus ke Syurga Ilham Hati. Sampai sahaja di Syurga Ilham Hati, dia terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke kamar Tania yang bertentangan dengan kamar yang ditinggalnya.

Sampai sahaja di depan kamar Tania, dia mendengar ada suara-suara yang sedang berbual dengan mesra. Sesekali kedengaran tawa gembira mereka. Amani sudah mencebikkan mukanya. Dia tidak menyangka, terlalu ramai orang bodoh yang tinggal di dalam rumah besar ini. Tanpa mengetuk pintu, Amani terus membuka kamar Tania.

Tania dan Zaiton yang sedang gembira berbual bersama terus terdiam apabila Amani terus menyerbu masuk begitu. Amani terus kaku di muka pintu sambil memberikan pandangan yang tajam pada Zaiton.

Zaiton yang seakan mengerti maksud pandangan Amani itu, beralih memandang Tania. "Tania, makcik jumpa Amani sekejap ya." Dia terus bangun dan menuju pada Amani. Pintu kamar Tania ditutup rapat. Terus sahaja dia menarik tangan Amani dan membawa Amani masuk ke kamar yang bertentangan kerana Tania telah memberitahunya itu adalah kamar yang dihuni Amani.

Masuk sahaja dalam kamar Amani, Zaiton terus menutup pintu dengan rapat. Dia memandang Amani yang sudah memandangnya dengan rasa marah. "Kau cuba tengok sekeliling kau Amani! Tempat ini adalah syurga. Kita berhak ada di sini!" Zaiton memandang sekelilingnya kamar itu dengan harapan yang membara. Dia sudah menyimpan cita-cita yang besar untuk terus berada di sini.

Amani mendengus. Setelah beberapa hari mereka berpisah, hanya ini yang mampu dikatakan Zaiton pada pertemuan pertama mereka semula? Tidak bertanya khabar, apatah lagi ungkapan rindu!  "Kenapa mak datang sini?"

"Kau tak suka mak datang sini? Kau kan anak mak!" Zaiton memandang Amani. Biarpun hubungan mereka tidak seperti ibu dan anak yang lain, dia tetap sayangkan Amani. "Takkan mak nak biarkan kau merayau tak tentu hala."

Amani ketawa sinis. Tak sanggup biarkannya merayau tak tentu hala? Bukankah itu yang terjadi padanya sehinggalah Tuan Helmi ‘mengutipnya’? "Wah! prihatinnya mak pada saya!" perlinya. "Sebab tulah saya dihalau keluar terus dari rumah seorang diri, kan?"

"Bukan mak yang halau kau! Pakcik kau yang halau!" Zaiton tergagap-gagap,cuba membela diri. "Siapa suruh kau koyakkan tiket nombor dia?" Kesalahan dilemparkan pada Amani.

"Memang Pakcik Jalil yang halau saya, tapi apa yang mak buat?" Amani menjungkitkan keningnya. Sesungguhnya, mak hanya terdiam dan memerhatikan saja dia dihalau keluar oleh Pakcik Jalil.

"Mak tak boleh nak buat apa-apa," Zaiton mempertahankan dirinya. Memang, dia tak tahu nak berbuat apa ketika Jalil mengusir Amani. Kalau diikutkan hatinya, dia mahu keluar bersama Amani. Namun, awal-awal lagi Jalil telah memberi amaran padanya. Dia mahu Zaiton tinggal di situ dan bertangungjawab untuk membayar semula kerugiannya kalau dia mahu Amani tinggal semula bersama mereka.

Amani mengerling Zaiton dengan rasa menyampah dan meluat. "Mak dah hancurkan hidup saya, dan sekarang mak masuk dalam hidup orang lain dan mahu hancurkan hidup mereka pulak?" Mencerlung mata Amani memandang Zaiton. "Saya takkan benarkan perkara itu berlaku!"

"Mak tak ada niat macam tu!!" Zaiton menafikan. "Mak datang sini sebab mahu mulakan hidup baru dengan kau! Tuan Helmi dah beri peluang pada kita. Inilah satu-satunya peluang yang kita ada untuk menjamin masa depan kita."

"Dengan menghancurkan kebahagiaan orang lain?"

Zaiton menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan. Dia memandang Amani. "Boleh tak jangan buruk sangka dengan mak? Mak tak ada niat apa-apa pun!"Zaiton masih cuba mempertahankan dirinya.

Amani memandang ibunya. Lama. "Kalau macam tu, mak perlu pergi dari sini."

Riak wajah Zaiton berubah. Dia terkejut dengan kehendak Amani. "Kau macam mana?" Dia tak akan tinggalkan Amani sendirian di sini.

"Saya akan berkerja di sini hingga semua hutang pada Tuan Helmi selesai. Mak, cari rumah sewa dan cari kerja. Lepas hutang pada Tuan Helmi selesai, saya akan pergi pada mak," usul Amani walaupun dia tahu Zaiton tak akan bersetuju dengan cadangannya.

"Kau nak biarkan mak hidup sendiri? Kau pulak, ada dekat sini?!" Zaiton langsung tidak bersetuju dengan cadangan itu.

"Kenapa? Sebab mak tak boleh nak goda Tuan Helmi?" Amani memeluk tubuhnya sambil merenung tepat pada Zaiton yang sudah agak gelabah apabila disergah begitu.

Memang dia punya rancangan untuk menggoda Tuan Helmi. Tapi dia tak mungkin meninggalkan Amani sendirian lagi. Apa yang dia lihat, kehidupan Amani akan lebih terjamin jika mereka terus tinggal di sini. Begitu juga dengan kehidupannya! "Kamu tahu tak masa depan kita akan lebih terjamin di sini!" Zaiton sudah menghembus nafas kurang senang. Bagaimanalah caranya mahu membuat Amani mengerti tentang itu?

Amani ketawa sinis. "Bukan masa depan saya yang terjamin sahaja, kepentingan hidup mak jugak terjamin," sindirnya lagi.

"Memang! Memang mak mahu kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri!" Akhirnya, Zaiton mengakui juga niatnya. "Tapi mak juga fikirkan kau. Kau tahu tak, Tuan Helmi dah berbaik hati mahu sekolah kan kau semula! Mana ada orang yang sanggup tolong kita sampai begini sekali! Masa depan kita, terletak di sini!" Zaiton menunding pada tanah. "Di Ilham Hati!"

Amani menjeling Zaiton. "Saya tak ada masa nak pergi sekolah! Saya perlu bekerja untuk langsaikan hutang kita pada Tuan Helmi!" Mengingatkan sahaja hutang mereka pada Tuan Helmi, dada Amani menjadi sesak. "Hutang kita dah terlalu banyak dengan Tuan Helmi. Bertahun baru kita dapat bayar semuanya." Amani memicit-minit dahinya. "Semuanya sebab mak!" Amani memusingkan tubuhnya dan memandang Zaiton dengan penuh kemarahan.

"Kenapa mak yang salah pulak!" Suara Zaiton juga semakin meninggi, mungkin berang dengan tuduhan Amani yang meletak semua kesalahan padanya. "Kau yang datang sini dulu! Kalau bukan sebab kau, diorang tak datang cari mak!"

"Saya dah beritahu pada mak, jangan datang sini! Kalau mak tak datang sini, hutang yang perlu saya bayar pada Tuan Helmi takkan mencecah ribuan ringgit!" Dada Amani sudah berombak sehingga dia terlupa yang dia sedang berhadapan dengan ibunya sendiri. "Disebabkan mak, hutang saya yang hanya beberapa ratus saja dah jadi lebih dari tiga puluh ribu!"

"Tiga puluh ribu?" Zaiton tercengang di situ. Bagaimana hutang mereka boleh jadi sebanyak itu?

"Kenapa? Mak tak tahu tentang itu?" Amani merasa jelak melihat raut wajah yang berpada-pura tidak bersalah itu. Dia ketawa sinis. "Mak sendiri yang berurusan dengan Tuan Helmi dan mak pura-pura tak tahu? Harga tiket judi yang saya koyakkan tu hanya sepuluh ribu. Kalau diikutkan, sepuluh ribu tu langsung tak berguna. Saya tak perlu bayar pun untuk tiket tak guna tu! Tapi disebabkan sikap tamak mak, sepuluh ribu tu dah jadi tiga puluh ribu!" Amani mendengus, geram.

Zaiton terdiam. Bagaimana hutang sepuluh ribu itu boleh menjadi tiga puluh ribu? Takkanlah Tuan Helmi mengenakan bunga untuk mereka? Sedangkan, lelaki itu kelihatan ikhlas mahu membantu mereka.

Amani memandang wajah Zaiton yang kelihatan kebingungan itu. "Mak jangan buat-buat lupa!" Amani sudah bosan melihat wajah itu. "Kalau mak lupa, biar saya ingatkan. Sepuluh ribu, untuk harga tiket. Tambah lagi sepuluh ribu untuk Pakcik Jalin lepaskan mak, dan sepuluh ribu lagi sebagai perjanjian agar Pakcik Jalil takkan ganggu kita lagi!"

Zaiton terkedu. Sungguh! Dia memang tidak tahu tentang hal itu. Sangkanya, Tuan Helmi hanya membayar sepuluh ribu ringgit untuk Jalil.

Amani menggeleng. "Tak sangka, dalam bijaknya Tuan Helmi, dia tetap bodoh bila berdepan dengan perempuan macam mak!"

Berdesing telinga Zaiton mendengar cemuhan Amani. Pantas dia mencapai lengan Amani dan menggenggamnya kuat. Kemudian, satu tamparan yang kut singgah di pipi Amani. Pang!

Amani terus memegang pipinya. Sakit! Memang tamparan itu terasa pedihnya! Tapi hatinya lebih pedih dengan sikap Zaiton. "Tu saja yang mak boleh buat?" tanya Amani dengan penuh sindiran. Ada takungan air di kolam matanya. Tajam matanya memanah ke dalam anak mata Zaiton yang mula rasa bersalah dengan tindakannya. "Saya lebih bersyukur kalau mak bunuh saya dari kecil lagi!"

Amani terus berlalu pergi dan meninggalkan Zaiton yang sudah sarat rasa bersalah kerana menampar Amani.




Thursday 9 August 2012

Pulanglah Sayang










(Ramadan 1)

Mata Zehra terpaku pada sepasang kekasih yang sedang berpegangan tangan sambil bergurau senda. Sesekali kedengaran tawa mereka bergema. Dia terus memerhati sehingga mata Si gadis itu bertaut dengannya. Gadis itu memerhatikannya agak lama lalu menjelingnya sinis. Bagaikan gadis itu sedang mentertawakannya. Gadis itu kembali bergurau senda dengan kekasihnya. Zehra, langsung tak dipedulikannya.

Zehra yang masih bingung dengan apa yang dilihatnya terus berlalu. Sungguh, saat ini dia terasa seperti dipermainkan. Begitu mudah si gadis itu melupakan apa yang telah berlaku? Tak mungkin! Ada sesuatu yang tidak kena di sini!

Dahulu, Ain begitu berkeras menyatakan dia menyintai dan menyayangi Fattah dan Fattah juga menyintai Ain. Namun, apabila bertanya pada Fattah, Fattah sentiasa menidakkan perkara itu. Bagaimana cinta Ain pada Fattah? Telah berubah?

Sekembalinya ke rumah, Zehra terus membisu. Otaknya ligat memutarkan apa yang telah dilihatnya tadi sehingga Limah sendiri tertanya-tanya mengapa Zehra bersikap begitu.

"Ada apa Zehra?"

Zehra memandang ibunya. "Tadi, Zehra lihat Ain."

Berkerut dahi Limah. "Ain? Kenapa dengan Ain?"

"Ain dengan lelaki lain!"

"Takkanlah!" Limah tercengang. Masih terbayang di wajah Limah wajah Ain yang tersedu sedan, meminta dan merayu pada Zehra agar memutuskan pertunangannya dengan Fattah. Bukankah Ain terlalu menyintai Fattah sehingga sanggup merendahkan dirinya dan merayu sebegitu?

Apakah kerana Fattah dituduh sebagai seorang penagih membuatkan cinta Ain berubah. Tapi, bukankah Ain telah mengetahuinya dahulu dan memberitahu pada Zehra?

------------------------------------------------------------

(9 bulan lalu)

Zehra memandang wajah Fattah dan Ain silih berganti. Tiada terpalit senyuman diwajah Zehra. Ain sudah menjeling pada Zehra dengan pandangan yang penuh meluat. Zehra selalu tiba di saat dia mahu mendekatkan diri dengan Fattah! Menyibuk!

“Zehra, Zehra jangan salah sangka dulu,” pantas Fattah bersuara sebelum sempat Zehra berkata apa-apa. Dia tak mahu Zehra salah sangka dengan apa yang dilihatnya.

Zehra memandang terus pada Fattah. “Zehra tak cakap apa-apa pun, Abang Fattah.” Memang sedari tadi dia hanya membisu dan memerhatikan layanan Fattah pada Ain tanpa mereka berdua sedari. Namun, setelah Fattah menyedari kehadirannya di situ, lantas Fattah terus menghampirinya.

Zehra memandang Ain pula. Ain yang sedang berdiri di sebelah Fattah sambil memegang basikalnya sudah membuat memek muka meluat apabila melihat Zehra. Apa yang Fattah buat bersama Ain dalam keadaan berdua-duaan begini? Dia tidak mahu curiga pada Fattah, namun dia sebagai tunang Fattah sendiri pun tak pernah berdua-duaan dengan Fattah sebegini. 

“Abang cuma bantu Ain. Rantai basikal Ain terkeluar. Jadi, abang tolong betulkan. Betulkan Ain?” Fattah memandang Ain supaya Ain membenarkan kata-katanya. Hatinya resah jika Zehra salah sangka padanya. Dia tak mahu kepercayaan Zehra padanya tercalar. Apatah lagi Zehra sudah sering terserempak dia dan Ain ketika bersama. Dia sendiri sudah penat memberitahu Ain yang hatinya hanya untuk Zehra. Namun, Ain terus-terusan merayu padanya.

Ain sudah tidak senang dengan kenyataan Fattah. “Abang! Kita memang dah janji nak jumpa di sini, kan?” tegas Ain pada Fattah lalu menjeling Zehra sekali lagi.

Hati Zehra semakin meruntun. Wajah Fattah ditatapnya. Ain berbohong atau Fattah yang cuba berselindung?
“Ain?! Apa Ain cakap ni?!” Fattah kelihatan terkejut dengan kenyataan Ain.

Tanpa banyak bicara, Ain meninggalkan mereka berdua.

“Zehra, abang…..”

“Tak apalah, Abang Fattah. Tak perlu terangkan apa-apa.” Zehra terus memusingkan badannya dan berlalu. Bukan dia tak perlukan penjelasan Fattah, namun saat ini dia tak boleh menerima bulat-bulat apa yang keluar dari bibir Fattah. Biarlah, suatu hari nanti kebenaran pasti terbukti jua.


Sehari kemudian…..


“Aku tak peduli! Aku tetap nak kau putuskan pertunangan kau dengan Abang Fattah!” Ain memandang Zehra dengan tajam.

“Kenapa aku perlu putuskan. Abang Fattah tunang aku,” balas Zehra.

“Abang Fattah sayangkan aku! Kami dah lama bercinta. Kau tu yang jadi batu api!” Jelas kelihatan dada Ain berombak menahan rasa marahnya. Dia dah lama memendam perasaan pada Fattah. ALih-alih, Zehra yang menjadi tunang Fattah.

“Kalau betul Abang Fattah cintakan kau, kenapa dia bertunang dengan aku?” Sikit pun kata-kata AIn tak masuk ke dalam hati Zehra.

“Kau macam tak kenal Abang Fattah. Dia kan anak yang baik. Apa kata orang tua, semua dia ikut. Pakcik Hassan dan Makcik Zainab sukakan kau, sebab tulah dia orang nak jodohkan Abang Fattah dengan kau. Tapi Abang Fattah cintakan aku.”

Zehra tertunduk. Memang benar, dia dan Fattah bertunang bukan kerana cinta. Namun, dalam hatinya sudah lama jatuh kasih pada Fattah. Fattah seorang pemuda yang baik. Sentiasa menjalankan tanggungjawabnya pada keluarga dan orang-orang kampung. Lebih-lebih lagi, pada agama. Hati siapa yang tak gembira bila keluarga Fattah datang merisiknya. Tak fikir panjang, dia terus setuju dengan pinangan itu.

“Macam nilah, Ain. Kalau benar kau bercinta dengan Abang Fattah, kau minta Abang Fattah putuskan pertunangan kami. Aku akan terima.” Dia tak sanggup memutuskan pertunangan ini. Biarlah Fattah sahaja yang melakukannya.

“Abang Fattah takkan putuskan pertunangan korang! Sebab dia nak jaga hati Pakcik Hassan dan Makcik Zainab. Kau sajalah yang putuskan!”

“Aku tak boleh.” Zehra menolak. “Aku pun mahu menjaga hati mereka termasuk hati mak dan ayah aku.” Zehra menarik nafas panjang. “Insya-Allah, kalau ada jodoh kau dengan Abang Fattah, Allah akan membukakan jalan.” Zehra berlalu pergi membawa hati yang walang.

------------------------------------------------------------


(Ramadan 2)


Dari jauh, Zehra memerhatikan susuk tubuh Makcik Zainab sedang menunduk, menyapu halaman rumahnya. Sudah lama dia tidak melawat Makcik Zainab dan Pakcik Hasan. Kali terakhir adalah pada ketika Fattah melangkah keluar dari kampung ini. Entahkan mereka akan menerimanya atau tidak.

"Assalamualaikum, makcik." sapa Zehra.

Zainab mengangkat tubuhnya tegak. "Waalaikummussalam." Pandangannya terus terpaku pada wajah Zehra yang sedang mengukirkan senyuman. Sudah lama Zehra tidak ke sini. Dia terasa kekok pula menerima kehadiran Zehra. Namun dia tetap mengukir kan senyuman.

Zehra segera menghulurkan salam apabila melihat senyuman itu. Nyata, Makcik Zainab masih menerimanya di sini. Salamnya bersambut. "Makcik apa khabar?"

"Alhamdulillah...." ujar Zainab. "Zehra?"

"Alhamdulillah, Zehra sihat."

"Mak dan ayah?"

"Mereka pun sihat," balas Zehra. "Ini, Zehra ada bawakan lauk untuk berbuka nanti."

"Terima kasih, Zehra. Susah-susah saja Zehra ni." Zainab menyambut bungkusan makanan dari Zehra. "Marilah Zehra. Kita berbual dulu. Zehra pun dah lama tak ke sini." Seraya berkata begitu, Zainab melangkah dan duduk di pankin, di bawah pohon rambutan. Zehra mengikut langkah Zainab.

"Dah lama, kan?" ujar Zainab tanpa menjelaskan dengan lebih dalam.

Namun, Zehra pantas menangkap maksud itu. Zehra menarik nafas yang panjang. Entah kenapa dia merasakan dia telah melakukan kesilapan pada keluarga ini. "Zehra minta maaf makcik."

Terus Zainab memerhatikan Zehra. "Kenapa nak minta maaf pulak? Zehra tak salah apa-apa." sungguh, Itulah yang ada dalam hatinya. Dia tak salahkan Zehra jika gadis itu memutuskan pertunangannya dengan Fattah. Zehra berhak berbuat begitu. Namun, apa yang dikesalkan adalah kerana Zehra telah hilang kepercayaan pada Fattah. Sedangkan, dia kenal siapa Fattah. Fattah tak mungkin lakukan semua itu.

Sebak dada Zehra mendengar kata-kata itu. "Maafkan Zehra sebab putuskan pertunangan dengan Abang Fattah."

Zainab hanya mengukir senyuman hampa. "Tak mengapalah Zehra. Bukan jodoh kamu berdua. Jodoh itu kan, Allah yang menentukan." Dia menerima segalanya dengan redha. Namun, siapa yang tak kepingan untuk bermenantukan gadis seperti Zehra. Lemah lembut tutur katanya apabila berbicara dengan orang tua. Pandai membaca Al-Quran. Tubuhnya, sentiasa mengenakan pakaian yang menutup aurat.

"Abang Fattah sihat?" tanya Zehra. Tiba-tiba sahaja dia merindui bekas tunangnya itu.

"Alhamdulillah.....Fattah sihat." Walaupun Fattah telah meninggalkan kampung ini kira-kita lapan bulan yang lalu, namun anak lelakinya itu sering menghubungi mereka. Sekalipun, mereka tak pernah dibiarkan risau tentang dirinya. Setiap kali menghubungi mereka, pasti dia akan berkata, 'Fattah baik, Fattah sihat, Fattah bahagia di sini. Mak dan abah jangan risau, pandai-pandailah Fattah jaga diri.' Namun, hanya naluri seorang ibu yang mengetahui betapa kecewanya anaknya itu.

"Abang Fattah balik beraya nanti?" Dia sangat mengharapkan kepulangan Fattah, walaupun mereka sudah tidak punya apa-apa hubungan. Dia tahu, dia tak sepatutnya merasa begitu.

"Fattah dah terlalu kecewa. Mungkin dia takkan pulang ke sini."

Kata-kata Zainab itu membuatkan Zehra menitiskan air mata. Dia sendiri tidak menjangkakan airmatanya akan mengalir untuk Fattah.

Zainab yang sedar ada tangisan dari Zehra, terus memandang Zehra.

"Kenapa Zehra? Zehra sendiri yang tak mahu dengan Fattah, kan?" tanya Zainab. "Zehra dah tak percayakan Fattah, kan?" dia mahu mendengar dari mulut Zehra sendiri. Apa benar Zehra sudah tidak boleh menerima Fattah lagi?

Hati Zehra terguris mendengar soalan itu walaupun dia sebenarnya tidak patut merasakannya. "Tak mengapalah, makcik." Pantas Zehra menyeka air matanya lalu mengukirkan senyuman. Zehra pulang dulu." Zehra terus mencapai tangan Zainab dan mencium tangan itu. Pantas Zehra bangun untuk pergi. Dia tak mahu memanjangkan perkara itu lagi.

"Zehra!" Langkah Zehra terhenti dengan panggilan Zainab. "Datanglah selalu di sini. Makcik suka Zehra datang." Dia sayangkan Zehra. Mungkin Fattah tidak dijodohkan dengan Zehra, namun dia tetap tak mahu kehilangan Zehra.

Zehra mengukir senyuman manis dan mengangguk. Pasti! Dia pasti datang melawat Makcik Zainab dan Pakcik Hassan lagi. Apatah lagi apabila Fattah telah meninggalkan kampung ini.

Zehra berpusing lalu pergi. Dia sendiri tak mengerti tentang perasaannya. Gerak hatinya menyatakan, dia berada di situasi yang salah. Dia telah memilih jalan yang salah! Keputusan yang salah! Tak sepatutnya dia putuskan pertunangannya dengan Fattah.

-----------------------------------------------------------
                                                                                                                                                                            
(9 bulan  yang lalu......)


"Betul Zehra! Aku tak tipu!" Sedaya upaya Ain cuba menyakinkan Zehra. "Kau tengok aku!" Ain memegang kedua bahu Zehra agar gadis itu memandangnya. "Aku serius!"

Zehra mengeluh. Ain memang serius. Tapi dia tak percaya dengan cerita yang disampaikan Ain. "Maaflah Ain. Tapi aku lebih percayakan Abang Fattah."

“Kau percayakan Abang Fattah? AKu lebih kenal siapa Abang Fattah jika dibandingkan dengan kau!” tegas Ain.

Zehra hanya menarik nafas panjang. “Abang Fattah hanya tunangan aku. Jika dia menjadi suami aku nanti, Insya-Allah aku akan jadi orang yang paling mengenalinya.” Sungguh, tuduhan Ain pada Fattah sangat berat. Namun, dia malas untuk bertegang urat dengan Ain. Ain berbicara tanpa bukti. Jadi, dia tak perlu terlalu memikirkan soal itu.

“Kau masih mahu Abang Fattah jadi suami?!” Ain bagai tak percaya dengan kata-kata Zehra. “Kalau aku jadi kau, dah lama aku tinggalkan Abang Fattah.”

“Tapi kau sendiri yang merayu pada aku agar berikan Abang Fattah pada kau, kan?”

Ain terdiam seketika. Giliran Ain pula mengeluh. "Terpulang lah..." wajah Zehra dipandangnya dengan rasa terkilan. "Kau jangan menyesal pulak!"

Sedikit sebanyak, kata-kata Ain itu berbekas juga di hak Zehra sehingga dia langsung memberitahu Limah tentang itu.

"Biarkanlah Zehra. Kata-kata orang ni adakalanya tak boleh dipercayai. Selagi tak ada bukti  yang Fattah melakukan itu, biarkan. Tapi, dalam masa yang sama jangan simpan harapan yang terlalu tinggi pada Fattah. Mak takut Zehra akan terluka nanti."

Walaupun Limah berkata begitu, namun riak kurang senang jelas terukir di wajahnya.pasti Limah juga tidak senang dengan berita yang dibawa Zehra. Siapa yang tidak resah jika bakal menantu dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah?

"Tapi Zehra tak percaya Abang Fattah begitu," ujar Zehra. Kalau dilihat dari sikap Fattah, langsung tidak menunjukkan begitu.

Limah setuju dengan pendapat Zehra. Setiap solat Fardhu, Fattah sentiasa di masjid bersama Ziyad, ayah Zehra. Setiap kali hujung minggu, Fattah selalu ambil kesempatan mengaji Al-Quran setelah selesai menunaikan solat Subuh. Tak ada yang kurang pada lelaki itu. Lelaki sebeginikah yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah?

----------------------------------------------------------

(Ramadan 3)

Berkerut dahi Zehra memandang pada Ain yang terhendap-hendap. Gelagat Ain mencurigakan hati Zehra. Apa Ain buat di hutan kecil, di hujung jalan kampung ini? Zehra bersembunyi di belakang pokok untuk mengelak Ain dari melihatnya. Hatinya begitu mendesah agar dia mengikuti langkah Ain yang semakin jauh ke dalam hutan. Dengan langkah berjaga-jaga, Zehra terus mengintip langkah Ain walaupun dia sedar, mungkin dia berada dalam keadaan yang membahayakan.

Sampai di sebuah pondok kecil di tengah hutan itu, Ain menghentikan langkah. Zehra bersembunyi lagi di belakang pokok apabila mata Ain meliar memandang sekeliling.

Setelah memerhatikan agak lama, Ain mengetuk pintu pondok kecil itu. Pondok kecil itu terbuka. Ain masuk ke dalam.

Apa yang dilakukan Ain di dalam? Zehra ingin mendekati untuk melihat apa yang berlaku di dalam pondok itu. Namun, sebelah pihak dalam dirinya menegah dan memintanya hanya menunggu di situ. Akhirnya, Zehra kekal di situ.

Setengah jam Zehra di situ, baharulah kelihatan pintu itu dibuka semula. Muncul Ain bersama dua orang lelaki. Seorang dari lelaki itu adalah teman Ain yang dilihatnya bersama Ain tempoh hari. Seorang lagi lelaki.....Zehra terus memerhatikan susuk tubuh yang sedang membelakangkannya. Zehra berdoa di dalam hati agar dia bisa melihat raut wajah itu.

Dengan izin Allah, Tiba-tiba lelaki itu menukar tempat dengan teman lelaki Ain ketika mereka sedang berbual. Wajahnya jelas di mata Zehra sehingga Zehra ternganga di situ. Bukankah itu Abang Kamal? Sepupu dan teman baik Fattah? Dada Zehra berdegup laju. Seingatnya, Abang Kamal sangat bermusuhan dengan Ain. Tetapi, apa yang dilihatnya ini? Sandiwara apakah ini? Apatah lagi melihat mereka berita sedang memegang bungkusan tepung di tangan. Tidak! Itu bukan tepung. Bungkusan itu pernah dilihatnya!

----------------------------------------------------

(8 bulan lalu)

Terpempam Zehra dengan berita yang dibawa sekumpulan pemuda yang juga orang kampung di situ. Masing-masing sudah kelihatan bengang dengan apa yang berlaku. Sebentar tadi, Zehra sekeluarga telah dipanggil ke rumah ketua kampung. Siapa sangka, tunang yang disayangi telah melakukan perkara yang diluar dugaan.

Fattah telah ditangkap oleh orang kampung setelah mereka terjumpa bungkusan dadah di dalam beg galasnya. Fattah sedang bermati-matian membela dirinya, menyatakan dirinya tidak bersalah. Namun, apa gunanya cuba menegakkan benang yang basah seandainya bukti nyata sudah di depan mata.

"Percayalah! Saya tak lakukan itu semua!" Fattah masih terus membela diri.

"Tok, ini semua salah faham! Saya yakin ada orang yang cuba perangkap Fattah. Fattah takkan lakukan semua ni!" Hanya Abang Kamal sekeluarga termasuk keluarga Fattah yang cuba membela Fattah.

"Tapi kami jumpa dadah ni dalam beg Fattah waktu di surau tadi," ujar Bidin, salah seorang pemuda kampung yang melihat bungkusan itu.

"Betul tok! Kami pun ada waktu tu!" sampuk beberapa orang pemuda lagi. Kononnya, ketika di surau, sewaktu mereka baharu selesai menunaikan solat Isyak, Fattah meminta Bidin mengambil beg galasnya. Sewaktu mengambil beg itu, beg itu dalam keadaan terbuka. Ketika Itulah bungkusan dadah itu terjatuh saat Bidin mengangkat beg galas milik Fattah.

“Ini dah melampau. Kau bawa najis dadah tu masuk ke dalam surau! Kau nak permainkan agama!!” Pak Mail mengangkat tangannya lalu menampar pipi Fattah dengan kuat.

Zehra memejam matanya saat itu. tak sanggup melihat adegan itu. kecewa! Sedih! Segala perasaan wujud dalam dirinya. Bagaikan hatinya telah berkecai menjadi debu. Kenapa Abang Fattah sanggup buat begini? Lupakh dia pada Allah?

Ketua kampung terdiam agak lama. Sukar untuk menerima keadaan itu. Tiada siapa menyangka Fattah akan melakukan perkara begitu.

"Kita laporkan sahaja pada polis. Ini kes berat ni tok!" cadang Pak Mail.

"Jangan tok! Saya rasa ini semua perangkap. Ada orang yang mahu perangkap Fattah!" Abang Kamal masih terus membela.

Hasan hanya terdiam sambil tangannya mengusap bahu Zainab yang sudah tersedu-sedu. Hati ibu dan bapa mana yang tak berkecai apabila anak yang menjadi harapan menconteng arang ke muka mereka.

“Saya kenal Fattah! Dia anak saya. Fattah takkan buat begitu!” Zainab masih terus pertahankan Fattah.

“Demi Allah tok! Saya tak lakukan perkara macam ni!" Fattah bersuara lagi. “Mak, ayah…” Fattah memandang orang tuanya. “Fattah tak buat perkara terkutuk macam ni!”

“Mak percaya nak. Mak percaya!” ujar Zainab dengan linangan airmata.

"Kamu ada musuh?" tanya ketua kampung.

Lama Fattah terdiam, lalu dengan perlahan dia mengelengkan kepalanya. Dia memang tak punya musuh, tetapi memang ada orang yang memusuhinya dalam diam.

Ketika itu Zehra hanya memerhati tanpa berkata apa-apa. Namun, resah dan hiba hatinya hanya Allah yang mengetahui. Kata-kata Ain tempoh hari tentang Fattah terus terngiang-nganga di telinganya. Apakah ini buktinya kata-kata Ain itu benar?

Sejak kejadian itu, akhirnya ketua kampung memutuskan agar Fattah keluar dari kampung ini. Itu pun atas desakan orang kampung. Kononnya, pemuda seperti Fattah yang suka mempermainkan agamaNya perlu keluar dari kampung ini. Jika tidak, mereka akan membuat laporan polis. Ketua kampung yang masih belum menerima bulat-bulat tuduhan pada Fattah, menurut kemahuan orang kampung.

-------------------------------------------------

(Ramadan 3)


“Kau biar betul Ain! Kau nak kahwin dengan jantan tu?” tanya Kamal sebaik sahaja teman lelaki Ain pergi.
“Kenapa tak boleh?” Ain menjeling.

“Bukankah kau suka dengan Fattah? Bila Fattah dah tak ada, kau gantikan dia dengan budak tak guna tu?”

“Apa aku nak buat lagi? Aku memang suka sangat dengan Abang Fattah. Tapi Abang Fattah tak suka pada aku.” Ain mendengus. “Entah apa yang ada pada Zehra tu pun aku tak tahu! Aku lagi cantik dari Zehra!”

“Kan sekarang mereka dah putus tunang. Kenapa kau tak cuba ambil kesempatan pikat Fattah? Kau kan tahu kat mana Fattah tinggal.”

Ain tertunduk. Memang dia sangat cintakan Fattah. Tapi Fattah tak pernah beri kesempatan padanya untuk mendekati Fattah. Kerana kecewa, dia bertemu dengan Mizal, teman lelakinya sekarang. Bersama Mizal, dia menemui kebahagiaannya dan dalam masa yang sama dia juga menemui kehancuran hidupnya. Dia mengenali dadah dari Mizal. Dan akhirnya, dadah menjadi kecintaan padanya.

“Abang Fattah takkan terima aku lagi. Kau ingat, lelaki sebaik Abang Fattah tu akan terima perempuan macam aku? Seorang penangih?” Ain memandang Kamal.

“Tapi, Fattah juga macam kita. Kita dan dia, sama-sama hamba dadah. Jadi?” tanya Kamal.

“Kau jangan bercakap buruk tentang Fattah! Abang Fattah bukan penagih!” Walaupun dia bencikan Fattah sebab menolak cintanya. Namun, dia tak suka bila nama Fattah diburukkan.

“Agaknya kau dah lupa. Fattah dihalau keluar dari kampung sebab dadah!”

“Aku yang perangkap dia!” ujar Ain dengan tegas. “Aku benci bila Abang Fattah tetap tolak aku. Jadi,aku minta Mizal perangkap Abang Fattah. Dadah dalam beg galas Fattah tu, milik Mizal!” Tanpa berselindung lagi, Ain terus menerangkan perkara yang sebenar.

“Astaghfirullahal a’zim……..” Zehra yang masih bersembunyi di situ terus terduduk. Ya Allah, betapa berdosanya dia kerana mencurigai Fattah yang tidak bersalah itu. “Abang Fattah….” Airmata Zehra terus mengalir apabila mengingatkan Fattah.

------------------------------------------------------

(8 bulan lalu)


Zehra mendekati Fattah yang sedang menunggu di bawah pohon cermai. Ada bagasi di sisi Fattah. Tentu lelaki itu sudah bersedia untuk melangkah pergi dari kampung ini.

“Assalamualaikum…” sapa Zehra.

“Waalaikummussalam,” balas Fattah seraya menoleh memandang Zehra. Fattah mengukirkan senyuman pahit buat Zehra.

“Ada apa Abang Fattah nak jumpa dengan Zehra?” hati Zehra seakan tertutup untuk bertemu dengan Fattah.
“Abang akan pergi Zehra.” Ada nada sedih dari suaranya. “Zehra percayakan abang, kan?”

“Entahlah bang. Zehra tak tahu…” dalih Zehra.

“Zehra tak percayakan abang.” Nampak jelas di wajah Zehra. “Terpulanglah pada Zehra sama ada nak percayakan abang atau tak.” Tiada gunanya mendesak Zehra agar percaya padanya. Insya-Allah, suatu hari nanti Zehra akan tahu sendiri. “Cuma, abang minta Zehra tunggu abang. Boleh?”

Zehra diam.

“Boleh tak Zehra tunggu abang?” Sekali lagi Fattah bertanya. Besar harapannya agar Zehra sanggu menanti kepulangannya.

“Entahlah, bang. Tapi, Zehra….”  Zehra serba salah.

Melihatkan Zehra, Fattah sudah dapat mengagak apa yang ada dalam hati Zehra. Dia telah hilang kepercayaan Zehra.

“Tak apalah. Abang faham.” Sugul sahaja wajah Fattah.

“Abang,” Zehra menarik nafas yang panjang. Perlahan-lahan dia menarik cincin pertungannya yang terlekat di jari lalu dia menghulurkan pada Fattah. “Mungkin, jodoh bukan milik kita.”

Fattah yang sudah sebak di dada, mencapai juga cincin yang dihulurkan Zehra. “Tak mengapalah Zehra. Biarlah masa depan kita, Allah yang tentukan. Abang akan mendoakan kebahagiaan Zehra.”

“Terima kasih, bang.”

-------------------------------------------------------------

(Ramadan 3)

Perlahan-lahan Zehra menyusup keluar dari hutan itu. Dengan hati-hati, akhirnya dia tiba di lorong kecil. Namun, malang tak berbau. Tiba-tiba sahaja sebuah motorsikal berhenti di depannya.

Lelaki yang menunggang motorsikal itu memandangnya. Tentu lelaki itu kehairanan kenapa dia baharu keluar dari hutan itu. Zehra terus memandang lelaki itu. Rasa hatinya sudah terdetik rasa kurang enak. Lelaki itu memerhatikannya dengan tajam. Dia tak kenal siapa lelaki itu. Lelaki itu, bukan orang kampung ini. Lelaki itu seakan mahu menuju ke dalam hutan di mana dia baharu keluar tadi.

"Kau buat apa dalam hutan tu?" tanya lelaki itu dengan sedikit ada keras.

"kau siapa?" Zehra terus bertanya tanpa rasa takut.

Lelaki itu turun dan motorsikal ya. Zehra pasti, tentu lelaki tentu salah seorang dari mereka. Tentulah lelaki itu takut rahsianya mereka terbongkar jika dia tahu apa yang berlaku di dalam hutan itu.

Dengan berani, Zehra terus berpandangan dengan lelaki itu. Lelaki itu yang terus memerhatikan Zehra ketawa sinis melihat keberaniannya.

"kau tu perempuan je. Kau ingat kau boleh lawan aku?"

"huh! Kau kau benar anak jangan. Jangan hanya berdiri dan tahu mengugut!" Zehra membalas. Mujurlah dia sentiasa berseluar panjang di dalam walaupun dia sering mengenakan baju kurung. Ilmu silat yang dipelajari masih tersimpan kemas di dadanya.

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak seakan mempermainkan Zehra. “Kau tentu dah lihat apa yang ada di dalam tu, kan?” Isyarat mata lelaki itu menunjukkan kepada hutan itu.

Zehra tersenyum sinis. “Aku tahu, dan aku dalam perjalanan ke rumah ketua kampung.” Sinis sekali Zehra melemparkan senyumannya buat lelaki itu.

Lelaki itu mendengus. “Kau ingat aku akan biarkan sahaja. Sebelum sempat kau hancurkan kami, aku akan hancurkan kau dulu.”

“Dengan segala hormatnya,” Zehra hanya memerhatikan langkah lelaki itu yang berpusing-pusing di kelilingnya. Dia hanya menunggu bila lelaki itu akan bertindak. Ilmu silatnya hanya akan digunakan untuk mempertahankan diri bukan untuk memulakan pergaduhan.

“Iyah!!!” lelaki itu cuba menerkam Zehra. Pantas Zehra mengelak dan menghadiahkan satu tumbukan di belakang badan lelaki itu sehingga dia terjatuh. Nampak jelas lelaki yang sedang berhadapan dengannya ini tidak punya ilmu persilatan.

Dek kerana geram dengan tindakan Zehra dan juga kerana malu dijatuhkan oleh seorang perempuan, lelaki itu bangkit semula. Dia terus terusan menyerang Zehra. Sayangnya, Zehra lebih pantas pergerakannya sehingga lelaki itu rabah ke tanah dan tak mampu untuk mengangkat tubuhnya lagi.

Kini, Zehra merasa bersyukur kerana abah dan mak menghantarnya untuk mempelajari ilmu pertahankan diri. Kata-kata abah benar, seorang gadis perlukan ilmu persilatan untuk mempertahankan dirinya!

“Beritahu pada aku. Siapa kau dan apa yang kau buat di sini? Mereka di dalam tu, semua kawan kau?” Zehra mencekak baju lelaki itu.

“Kami tak buat apa-apa. Kami tak kacau orang kampung. Aku datang sini sebab nak ambil barang aku!” ujar lelaki itu.

“Barang kau? Dadah?!” Tempik Zehra lagi.

Dengan tidak berdaya, lelaki itu mengangguk.

Jadi, benarlah apa yang dilihatnya itu dadah? Ain dan Abang Kamal juga terbabit? Astaghfirullahal A’zim…..

“Zehra!” Tiba-tiba satu suara menegurnya. Hassan tiba di situ dengan menaiki motosikalnya. “Ada apa ni?” Terkejut Hassan melihat pemuda yang sudah terbaring ke tanah di sisi Zehra itu.

“Mereka ni semua dah burukkan nama kampung kita. Dia!” Zehra menunjukkan pada lelaki itu. “Kawan-kawannya ada di dalam.”

“Tak apa…..Zehra pergi jumpa tok penghulu dan beritahu. Biar Pakcik tunggu di sini,” ujar Hassan walaupun dia tidak tahu hujung pangkal apa yang dikatakan Zehra.

“Baiklah, pakcik.”

------------------------------------------------------

(Ramadan 3)

Kecoh satu kampung dengan penangkapan Ain, Kamal dan beberapa pemuda dari luar. Tiada siapa pun yang percaya kampung mereka telah dicemari dengan najis dadah. Tambahan pula, Ain dan Kamal juga terbabit.

“Terima kasih Zehra. Kalau bukan kerana kamu, tentu kita semua takkan tahu tentang perkara ni,” ujar ketua kampung. Kedengaran suara-suara dari orang kampung yang turut mengiayakan kata-kata ketua mereka.

Zehra hanya tersenyum. Dia gembira dengan penangkapan mereka namun dalam masa yang sama, peristiwa ini mengingatkannya pada Fattah. Abang Fattah, masihkah ada kemaafan untuk Zehra?

Mata Zehra menangkap susuk tubuh Zainab dan Hassan disebalik keramaian orang kampung yang membanjiri rumah ketua kampung. Zehra mendekati mereka.

“Pakcik, terima kasih sebab bantu Zehra.”

Hassan hanya tersenyum dan mengangguk. “Pakcik tak buat apa-apa pun Zehra.”

“Pakcik, makcik, Zehra nak minta maaf.” Aimata Zehra bergenang lagi. “Zehra dah tahu. Abang Fattah tak bersalah.” Airmata Zehra terus tumpah. “Makcik, boleh tak kalau Zehra nak jumpa dengan Abang Fattah?” Zehra memandang wajah Zainab. “Tolonglah makcik………….”

“Nantilah. Makcik tanya dengan Fattah dulu.” Kasihan pula melihat Zehra. Tapi, dia tak akan beritahu di mana Fattah berada tanpa keizinan Fattah.

Zehra terus memeluk Zainab dengan erat. Sebak hatinya mengingatkan segala kesalahannya pada Fattah. “Makcik, tolong beritahu Abang Fattah, Zehra minta maaf pada dia. Zehra menyesal.”

Zainab mengusap-ngusap belakang Zehra. “Insya-Allah….”

-------------------------------------------------------------

(25 Ramadan)

Fattah dah maafkan Zehra. Namun, Fattah tak mahu berjumpa dengan Zehra. Itulah yang dikhabarkan Zainab pada Zehra. Hancur luluh perasaan Zehra saat mendengar keputusan Fattah. Tentu hati Fattah terlalu hancur dengan keputusannya yang memutuskan pertunangan mereka.

Abang Fattah, maafkanlah Zehra! Hatinya terus meraung namun dia masih cuba mengawal diri dan menerima kenyataan hidup. Fattah, masih belum melupakan apa yang berlaku.

“Zehra,” Limah menepuk bahu Zehra. “Jom!” Limah menarik tangan Zehra.

Hari ini, mereka akan ke pekan untuk membeli persiapan raya. Jauh di sudut hati Zehra, dia langsung tidak merasa gembira untuk menyambut perayaan kali ini. Semuanya suram tanpa Fattah. Kalaupun Fattah tak mahu menerimanya semula, cukuplah jika Fattah pulang. Biar dia melihat Fattah dari jauh.

Tapi, kata makcik Zainab, Abang Fattah tak mahu pulang. Pulanglah Abang Fattah….

Di pekan……………


Matanya memangkap susuk tubuh Fattah yang sedang memilih baju Melayu bersama seorang wanita. Kaku langkah Zehra di depan kedai itu. Abang Fattah dengan wanita lain? Wanita pengganti dirinya?

Fattah yang sedang sibuk membelek-belek baju Melayu, terpandang susuk tubuh Zehra yang terpaku di depan kedai di mana dia berada. Pandangan Zehra terus mati padanya.

“Zehra?”

“Siapa?” tanya Safiyyah.

Fattah menoleh seketika pada Safiyyah.

“Zehra,” ujar Fattah sekali lagi. Langkah Fattah terus menghampiri Zehra dan berdiri di depannya.

Safiyyah mengikut Fattah dari belakang.

“Zehra?” Sekali lagi Fattah menyebut nama Zehra. “Zehra datang dengan siapa?”

Zehra menunduk seketika. Dia memujuk hatinya agar mengukirkan senyuman dan cuba mengawal perasaannya. Zehra mengangkat semula wajahnya. Satu senyuman dilemparkan buat wanita di sebelah Fattah.

“Zehra datang dengan mak dan ayah.” Ketika berkata begitu, Ziyad dan Limah muncul.

“Fattah!!” Ziyad terus memeluk tubuh itu. Dia begitu rindu pada Fattah. Ketika di kampung, Fatta sering menjadi penemannya ke surau dan ke mana-mana sahaja. Sejak Fattah pergi, dia sendirian.

“Pakcik apa khabar?” tanya Fattah setelah pelukan dileraikan.

“Alhamdulillah,” Ziyad menyapu air jernih yang bergenang di kolam matanya. “Siapa ni?” tanya Ziyad apabila melihat wanita di sebelah Fattah.

“Ini Safiyyah. Safiyyah, kenalkan ini Zehra, Pakcik Ziyad dan Makcik Limah.”

Sempat Zehra menyambut huluran tangan Safiyyah sebelum dia terus tenggelam bersama perasaannya. Benar, Fattah telah menemui penggantinya.

-------------------------------------------------------------

(30 Ramadan-Petang)


Zainab memeluk Zehra dengan erat. Sebak hatinya melihat kesugulan wajah Zehra. Tiada apa yang bisa dilakukan lagi untuk memujuk Zehra.

“Abang Fattah takkan balik?” tanya Zehra sekali lagi. Sudah sering dia bertanya soalan itu.

Zainab menggeleng kepala.

“Tak mengapalah.” Zehra cuba mengukirkan senyuman. “kasihan pakcik dan makcik. Hanya beraya berdua saja.” Kasihan pada dirinya juga. Orang yang ditunggu, takkan pulang untuk menyambut Syawal bersama.

“Tak mengapalah. Biarlah Fattah sejukkan dirinya dulu. Marahnya pada orang kampung masih belum reda.”

Zehra hanya membisu. Bukan sahaja pada orang kampung, dia tahu marah Fattah lebih pada dirinya. Fattah kecewa kerana dia tidak percaya pada Fattah.

“Nanti pagi raya, Zehra datang rumah makcik ya. Sekurang-kurangnya hilanglah rindu makcik pada Fattah.”
Zehra mengangguk. Dia pasti datang ke sini. Walaupun Fattah tiada, cukuplah dia dapat melihat orang tua Fattah.

-----------------------------------------------------------

(1 Syawal)


Takbir bergema. Syahdu dan sayu menyusup ke dalam jiwa. Zehra terus menitiskan airmatanya. Di pagi mulia ini, insan bergembira menyambut Syawal. Kanak-kanak tertawa riang. Namun, hatinya di runtun duka.
Benar, bukan dia seorang sahaja yang mungkin berduka. Ramai lagi manusia yang tidak bernasib baik sedang menitiskan air mata. Namun, airmata ini terus mengalir walaupun tanpa paksaan. Dia berduka atas kebodohannya sendiri.

Jauh dalam sudut hatinya, dia masih mengharapkan kepulangan Fattah. Dia menantikan kepulangan Fattah walaupun kepulangan Fattah nanti melukakan perasaannya. Dia masih ingat pada wanita yang bersama Fattah tempoh hari. Biarlah dia tidak dapat bersama dengan Fattah, asalkan Fattah pulang semula ke kampung. Itu sudah cukup baginya.

“Zehra!” Limah mengetuk pintu.

Pantas Zehra menyeka airmatanya. Dia berdiri di depan cermin dan membetulkan pakaiannya. Lantas, dia membuka pintu.

“Ada orang cari Zehra.”

Zehra melangkah keluar. Terkejut dia melihat Safiyyah berdiri bersama senyumannya.

“Zehra,” Safiyyah bersalam dengan Zehra.

“Safiyyah buat apa dekat sini?”

“Saya datang dengan Abang Fattah,” ujar Safiyyah.

“Abang Fattah balik?” terpancar keceriaan di mata Zehra. Namun, keceriannya itu hilang semula apabila menyedari Fattah pulang bersama Safiyyah.

“Saya datang sini sebab Makcik Zainab yang suruh.”

“kenapa?”

“Makcik Zainab kata, dia ada pesan ketupat dekat Zehra. Dia minta saya ambilkan.”

Zehra terangguk-angguk. Memang dia berniat untuk ke rumah Makcik Zainab untuk menghantar ketupat, sekali gus beraya dengannya.

“Marilah. Kita pergi sekali. Saya pun memang nak jumpa dengan makcik dan pakcik sebab saya dah janji.” Zehra mengambil ketupat Makcik Zainab dan beriringan dengan Safiyyah.

Sampai sahaja di rumah Makcik Zainab, Zehra terus ke pintu belakang manakala Safiyyah sudah masuk melalui pintu depan.

“Makcik, ini ketupat makcik,” ujar Zehra usai memberi salam dan beraya dengan Zainab.

“Zehra dah jumpa Abang Fattah?” tanya Zainab.

Zehra menggeleng. Kemudian, dia membantu Zainab menyediakan hidangan.

“Makcik, Zehra balik dululah.” Zehra memintya diri sebaik sahaja dia selesai membantu Zainab.

“Dah nak balik?”

“Zehra nak tolong mak pulak. Lagipun, Abang Fattah dengan safiyyah kan ada.” Zehra mengukirkan senyuman.

“Kiram salam dengan mak ya. Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa, nanti makcik sekeluarga datang melawat.”

“Zehra balik dulu, ya.” Zehra bersalam dengan Zainab lalu melangkah keluar. Bukan dia tidak sudi berada lebih lama di rumah itu. namun, dia tidak sangka Fattah akan pulang bersama dengan Safiyyah. Kepulangan Fattah yang dinanti sudah berubah. Memang dia gembira dengan kepulangan Fattah. Tetapi dalam masa yang sama hatinya turut berduka.

“Zehra,” satu suara menegurnya. Fattah!

Zehra pantas menoleh memandang Fattah. Namun kemudian dia tertunduk memandang tanah.
“Zehra tak gembira abang dah pulang?” tanya Fattah.

Zehra mengukirkan senyuman. Dia memandang Fattah. “Tentulah Zehra gembira.” Fattah yang berbaju Melayu hitam kelihatan begitu segak di matanya. Tentu Fattah baharu pulang dari menunaikan sembahyang raya.

“Tentulah Zehra gembira.” Ringkas sahaja jawapan Zehra. “Abang Fattah, maafkan semua kesalahan Zehra. Zehra banyak buat salah dengan abang.”

“Tak, Zehra,” ujar Fattah. “Zehra tak salah apa-apa dengan abang. Cuma, kalau boleh abang nak minta tolong dengan Zehra.”

“Tolong apa?”

“Tolong terima abang semula.”

Zehra sudah ternganga. Betulkah apa yang didengarnya.

“Zehra boleh terima abang semula, kan?” tanya Fattah sekali lagi.

“Tapi…. Safiyyah….” Lidah Zehra kelu.

“Safiyyah?” Fattah ketawa kecil. “Sejak kita bertemu di pecan tempoh hari, abang yakin Zehra masih sayangkan abang. Betulkan?”

Zehra tidak menjawab. Dia hanya menundukkan wajahnya.

“Sebenarnya, Safiyyah tu saudara susuan abang. Waktu abang kecil, mak Safiyyah yang menjaga dan menyusukan abang sehingga abang berusia dua tahun. Waktu tu, mak abang sakit sebab tulah dia serahkan abang pada mak Safiyyah.”

“Makcik sakit apa?”

“Entahlah. Tapi dari cerita abah, mak terkena perbuatan orang. Siapa, abang tak tahu sebab mak dan abah tak beritahu apa-apa pada abang,” cerita Fattah. “Ketika abang keluar dari kampung ni, abang tinggal bersama keluarga Safiyyah,” sambung Fattah. “Jadi, Zehra boleh terima abang semula?”

Dengan rasa malu, Zehra megangguk perlahan. Fattah sudah mengukirkan senyuman.

“Tapi kali ni, abang tak nak bertunang lagi. Kita kahwin terus. Dugaan masa bertunang ni….” Fattah menggeleng. “Abang takut kita tak mampu hadapinya lagi. Abang tak nak kita terputus lagi! Abang nak Zehra jadi milik abang yang sah. Nanti abang akan minta mak dan abah berbincang dengan mak dan ayah Zehra.”

“Assalamualaikum….” Sapa satu suara.

Zehra dan Fattah berpaling memandang empunya suara sambil menjawab salam.

“Abang Kamal?” Terkedua Zehra melihat kelibat itu. “Bukan Abang Kamal….”

Kamal sudah tersengih-sengih melihat Zehra. Tentu sahaja Zehra terkejut dengan kehadirannya.

“Begini, Zehra. Sebenarnya, abang yang minta pertolongan Abang Kamal untuk mencari siapa yang cuba perangkap abang. Tapi, tak sangka pulak Zehra yang berjaya bongkarkan rahsia tu sebelum Abang Kamal bertindak.” Memang Fattah berbangga apabila diberitahu tentang tindakkan Zehra itu.

“Patutlah!” Zehra hanya tersenyum. Baharulah dia tahu perkara yang sebenar. Memang dia langsung tak dapat percaya bila melihat Kamal bersama Ain ketika di hutan.

“Zehra memang berani!” puji Kamal.

“Abang Kamal lagi berani!” balas Zehra.

“Demi untuk sahabat dan sepupu abang, Fattah, abang akan lakukan apa sahaja untuk membersihkan namanya!”

Zehra tertunduk. Abang Kamal sangat percaya pada Fattah. Dia membela Fattah apabila nama Fattah tercalar. Sedangkan dia? Dia sebagai tunang Fattah pun tidak percayakan Fattah.

“Maafkan Zehra sebab tak percayakan Abang Fattah sebagaimana Abang Kamal percayakan Abang Fattah.”

“Tak mengapalah Zehra. Zehra patut curiga pada abang. Itu membuktikan cinta Zehra pada abang bukan cinta yang membabi buta sehingga keburukkan juga dianggap baik. mungkin kerana itu, Allah menyatukan kita semula.”

Kamal yang berdiri di sisi Fattah sudah terangguk-angguk.

Zehra hanya tersenyum. Mungkin, tak keterlaluan jika dia katakan inilah Syawal yang paling bermakna dalam hidupnya. Fattah sudah pulang. Bukan sahaja pulang ke kampung, malah pulang kepadanya. Syukur, Ya Rabb atas segala pertolongMU.

-tamat-

------------------------------------------------------------

Terima kasih buat semua pembaca blog dan followers. Ini adalah N3 yang terakhir sehingga cuti raya nanti, ya. Insya-Allah, bila pulang dari cuti raya nanti saya akan postkan N3 baru utk Ilham Hati dan Putera Arab. Untuk pengetahuan semua, saya sedang mencari tajuk baru bagi menggantikan Ilham Hati kerana tajuk itu sama dengan karya penulis Damya Hanna dan novel itu telah ada di pasaran.
Selamat menyambut Lebaran. Saya mohon berjuta kemaafan jika ada salah dan silap saya sepanjang saya membuka blog ini. Buat teman Fb, terima kasih kerana sudi menjadi teman saya walaupun saya hanyalah seorang penulis biasa………

SaLaM aIdiLfItRi
MaAf ZaHiR dAn BaTiN

-dari saya sekeluarga-

----------------------------------------------------------------------