Friday 28 September 2012

Itulah Sayang


Ariana melempar beg  galasnya ke kerusi. Bersama dengusan nafas yang sedikit keras, dia mundar mandir di situ. Sesekali dia memicit-micit dahinya. Dunianya kini sedang berputar dengan kelajuan maksimum.

Tingkahnya mendapat perhatian Sakina. Tergeleng-geleng kepala Sakina. “Kau ni, kenapa?” tanya Sakina.

Sekilas pandangan mata Ariana mati pada Sakina. Ariana menghembuskan nafasnya lagi. Dia menarik kerusi dan mengangkat beg galasnya yang dilemparkannya lalu disimpan di dalam laci. Tubuhnya dilabuhkan pula ke kerusinya.

“Tak pernah-pernah aku lihat kau macam ni. Ada masalah?” Sakina sudah memberikan sepenuh perhatian kepada Ariana.

“Masalah besar!” Ariana memegang kepalanya dengan kedua-dua tangannya. Kemudian, dia menunjukkan jari  kanannya yang sudah bersarung dengan cincin.

Terlopong mulut Sakina. “Cincin apa tu?!” terbeliak biji mata Sakina.

Satu hembusan nafas kedengaran dari bibir Ariana. Ariana memandang Sakina. “Cincin tunang.” Perlahan sahaja suaranya, seakan menagih simpati.

“Cincin tunang?!” Macam mana Ariana boleh bertunang dengan tiba-tiba. Tak ada pula dia mendengar berita tentang itu. Malah, bila setiap kali ditanya pada Ariana soal kahwin, mati-mati Ariana pasti menafikan yang dia sudah punya pilihan hati. “Biar betul kau ni!”

“Aku sendiri pun tak tahu tentang ni. Tup-tup, aku balik je rumah kelmarin, abah aku terus beritahu aku yang mereka dah terima pinangan dari Umi.”

Umi yang dimaksudkan adalah saudara dari sebelah ibu Ariana. Ariana memang sering bercerita tentang Umi dan Abi yang merupakan saudara jauh tetapi agak hubungan keluarga mereka agak rapat.

“Macam tu je?” Langsung tak masuk akal!

“Tulah yang aku bengang sangat.” Baharu sahaja pagi kelmarin dia diusik oleh teman-teman kerana masih belum berkahwin walaupun usianya hampir mencecah tiga puluh tahun. Balik sahaja dari pejabat, terus dia dikhabarkan berita tentang pertunangannya dengan anak Umi.

Pagi ni pula, Mak beria-ia mahu dia memakai cincin yang diberikan Umi.

Tiba-tiba sahaja Sakina ketawa. “Agaknya mak dan abah kau dah tak sanggup nak tunggu kau bawakan menantu lelaki. Sebab tulah diorang terima pinangan tanpa pengetahuan kau.” Sakina menyambung kembali gelaknya.

Ariana menjeling Sakina. “Itu tak pe lagi. Yang buat aku paling bengang, lelaki tu, lebih muda dari aku!”

Terus gelak Sakina terhenti. Matanya terbeliak dan mulutnya ternganga luas. Nampak sangat yang dia terkejut dengan berita itu. “Berapa tahun?”

“Kalau setahun dua tak apalah juga. Lelaki tu, muda dari aku lapan tahun!” Nampak jelas riak muka Ariana berubah tatkala berkata tentang itu.

“Lapan tahun?” Berita ini lebih mengejutkan Sakina dari berita pertunangan Ariana.

“Sebab tulah aku tak boleh nak terima,” ujar Ariana dengan perlahan sambil memusing-musing cincin pertunangannya di jari.

Sakina terdiam.

“Yang lelaki tu pulak, takkan dia terima macam tu je? Takkan dia tak tahu aku ni lebih tua lapan tahun dari dia?” Ariana memandang Sakina.

Sakina menjongketkan bahunya. “Ntahlah. Kau tak nak cuba cakap dengan lelaki tu?”

Ariana diam.

“Siapa nama dia?” tanya Sakina.

“Badrul.” Ariana menarik nafas yang panjang. “Aku pernah jumpa dia sekali. Waktu tu, aku masih bersekolah menengah. Kau boleh bayangkan tak? Waktu tu, aku dah tujuh belas tahun dan dia cuma seorang budak lelaki yang baru darjah tiga.” Masih terbayang kenakalan Badrul ketika kali pertama mereka berjumpa dahulu. Kenakalan budak yang baru berusia sembilan tahun!

“Lepas tu, kau tak pernah jumpa dia?”

“Tak pernah. Kalau dengan Umi dan Abi, adalah jugak jumpa banyak kali.”

“Hmmm….” Sakina berfikir seketika. “Tapi itu dulu. Waktu tu dia masih budak. Sekarang ni, dia dah dewasa. Kalau tahun ni usia kau mencecah tiga puluh tahun, maknanya, Badrul dah dua puluh dua tahun.”

“Itulah dia! Dua puluh dua tahun! Sepatutnya dalam usia macam ni, dia masih belajar. Bukannya sibuk nak berkahwin. Dah tu dengan perempuan yang lebih tua dari dia!” Ariana menunjukkan ke dadanya sendiri.

Sakina ketawa mengekek.

“Sukalah tu! Gelakkan aku!” jegil Ariana.

Sakina menarik laci mejanya. Sekeping artikel yang baru disuntingnya di ambil lalu di letakkan di atas meja Ariana. “Usia Bukan Pengukur Tahap Kematangan!” Sakina membaca tajuk artikel itu dengan kuat.

Ariana hanya menjeling artikel itu tanpa mengambilnya. Akhirnya, artikel yang ditulisnya itu memakan dirinya sendiri.

“Kau sendiri yang tulis artikel tu, kan? Kau sendiri yang kata, usia tidak menentukan tahap kematangan seseorang. Yang penting, setiap pengalaman yang diterima termasuk dengan pengalaman orang disekeliling dapat mematangkan pemikiran.”

“Okey! Okey! Memang aku artikel tu ditulis dari pendapat aku. Aku tak mungkin menyangkal pendapat aku sendiri. Tapi…..” Ariana memicit dahinya lagi. “Aku tak boleh terima kalau ia berlaku pada aku. Berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda dari aku.” Ariana menggeleng. “Aku tak pernah terfikir pun perkara macam ni. Kalau boleh, aku mahu lelaki yang lebih jauh usianya dari aku. Lapan hingga sepuluh tahun lebih tua dari aku. Bukan lebih muda!”

“Kalau lelaki tu jauh lebih tua dari kau pun, kalau masih terfikir untuk berseronok, buat apa? Yang penting dalam hidup kita adalah kesedaran tentang tanggungjawab!” ujar Sakina.

“Aku tahu! Itu sebahagian dari artikel yang aku tulis.” Dia tahu kata-kata itu dipetik dari artikel yang ditulisnya.

Sakina hanya ketawa apabila Ariana menyedari tentang itu. “Mungkin inilah masanya untuk kau buktikan apa yang kau tulis.”

“Tapi hidup aku bukan percaturan untuk membuktikan pendapat aku betul atau tak!” Dengan pantas Ariana menyangkal.

“Zaman sekarang ni, perkara macam ni dah biasa. Berapa ramai perempuan yang kahwin dengan lelaki yang lebih muda. Artis kita sendiri, banyak contohnya. Janji bahagia sudahlah.” Sakina cuba memujuk.

Ariana melirik Sakina. “Entahlah….” Hanya itu yang mampu dilafaskan Ariana.

Kedengaran nada dering yang disetkan untuk pesanan ringkas berbunyi. Pantas Ariana melihat telefon bimbitnya. Pesanan dari ibunya.

Ariana diam seketika setelah membaca pesanan yang diberikan. Dia berfikir sejak. “Bagus juga!” tiba-tiba Ariana bersuara.

“Apa yang bagusnya?” tanya Sakina.

“Badrul akan datang dan berjumpa dengan aku.” Ariana memandang Sakina. “Inilah kesempatan untuk aku bersemuka dengan Badrul.”

“Baguslah juga. Sekurang-kurangnya kau akan tahu sama ada dia setuju atau tidak dengan pertunangan korang.” Sakina bersetuju dengan Ariana.


8888888888888888888888888888888888888888


Ariana melirik jam di tangannya. Lagi lima minit jarum jam akan menunjukkan tepat ke angka enam petang. Kata mak menerusi pesanan ringkas yang diterima pagi tadi, Badrul akan datang ke restoran ini dan berjumpa dengan Ariana pada jam enam petang.

Arian melirik jam di tangannya lagi. Tinggal satu minit sahaja lagi untuk ke angka enam. Rasanya Badrul takkan tiba seperti yang dinyatakan. Lebih baik dia pergi dari situ. Menunggu, adalah perkataan yang paling tidak disukainya. Dia tidak suka pada orang yang tidak menepati janji. Baginya, masa adalah lebih berharga dari emas. Masa takkan datang kembali. Menepati masa adalah penting buatnya.

Dia baharu sahaja mahu mengangkat tubuhnya dari kerusi. Namun, suara yang memberi salam dari belakang mematikan tindakannya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam,” balas Ariana sambil kepalanya dipalingkan ke belakang.

Susuk tubuh yang baru menegurnya berjalan dan berdiri di hadapannya. Ariana memandang pada seraut wajah yang mengukirkan senyuman buatnya. “Ariana?” tanya lelaki itu.

Tiba-tiba sahaja Ariana merasa berdebar. Dia mengangguk.

“Saya Badrul.” Badrul mengenalkan dirinya. “Boleh saya duduk?” tanya Badrul apabila melihat Ariana terus membisu.

Pantas Ariana mengangguk.

Sebenarnya, banyak perkara yang mahu dikatakan Ariana. Sudah berpuluh ayat yang dikarangnya di minda untuk ditanyakan pada Badrul. Namun, tiba-tiba sahaja persoalan itu semua hilang dari benaknya. Malah, dia hanya memerhatikan tingkah Badrul yang memanggil salah seorang pelayan di situ dan terus memesan minuman.

“Awak nak makan?” tanya Badrul.

Ariana menggeleng.

Badrul kembali berpaling pada pelayan itu. “Hanya minum,” ujarnya. Pelayan itu mengangguk dan berlalu pergi.Mata Badrul melirik pada jari manis Ariana yang sudah tersarung cincin pemberiannya. Sekali lagi, Badrul tersenyum. Kali ini senyumannya lebih manis dari tadi.

“Terima kasih sebab sudi terima pinangan saya.”

Ariana mengetap bibir. Tanpa bertanya, akhirnya Badrul membuka cerita. “Awak tak menyesal?” tanya Ariana.

“Tentang apa?” Berkerut dahi Badrul.

“Awak lebih muda dari saya!” Kali ini Ariana mula mendapat kekuatan untuk meneruskan perbincangan mereka.

“Sebab itu?” kepala Badrul tergeleng-geleng.

Ariana bagaikan tak percaya dengan soalan Badrul. Sebab itu? Apa, Badrul fikir perkara ini hal yang remeh? Tak fikirkah dia tentang masa depan? Mungkin sekarang Badrul tidak nampak. Bagaimana dengan sepuluh tahun akan datang? Badrul masih muda dan bertenaga sedangkan dia?

“Saya berfikir tentang masa depan. Saya tak nak awak menyesal berkahwin dengan saya.”

“Awak adalah pilihan saya. Bukan pilihan keluarga saya.”

“Lihat! Keluarga awak sendiri tak memilih saya untuk awak.”

“Bukan macam tu!” Pantas Badrul menyangkal. “Awak adalah pilihan saya. Dan pilihan saya adalah pilihan keluarga saya juga.”

“Takkanlah keluarga awak terima saya macam tu saja? Takkanlah diorang tak fikir tentang perbezaan usia kita.”

“Ya, saya akui. Sewaktu saya nyatakan hasrat saya, memang diorang seakan tak percaya. Tapi, bila saya beritahu yang saya yakin dengan pilihan saya, baharulah mereka setuju. Lagipun, keluarga kita dah lama kenal. Abi dan umi saya juga suka pada awak.”

Susah nak percaya kata-kata Badrul. “Macam mana tiba-tiba sahaja awak boleh fikir idea bodoh macam ni?!”

“Idea bodoh?!” Kenapalah Ariana berkata begitu? “Mungkin ia perkara bodoh untuk awak. Tapi, menjadikan awak isteri saya adalah matlamat saya dari dulu.”

“Langsung tak masuk akal!” Ternyata Ariana tidak berpuas hati dengan kenyataan Badrul.

Look, pertama kali dan kali terakhir ketika kita berjumpa. Waktu tu, saya baharu sembilan tahun. Dan awak tahu, waktu itulah saya mula kenal erti cinta. Saya dah mula sukakan awak saat tu dan mula berangan untuk jadikan awak milik saya sampailah ke hari ini.”

Ariana sudah terlopong. “Awak memang dah gila!”

“Apa sahaja yang awak kata. Tapi itulah kebenarannya!” tegas Badrul. Dia tidak pernah berbohong tentang perasaan.

“Awak sedar tak, dengan usia awak yang masih muda ni sepatutnya awak sambung belajar. Bukannya terfikir matlamat gila awak tu!”

“Saya masih belajar. Saya sedang belajar. Pengajian saya akan tamat dua tahun lagi. Awak boleh anggap sahaja yang saya ni gila, bodoh atau apa sahaja. Saya hantarkan pinangan untuk awak sebab mahu mengikat hubungan kita. Awak dah hampir tiga puluh tahun. Saya takut, kalau saya menunggu lebih lama, awak akan jadi milik orang lain.”

Ariana memejam matanya seketika sambil kepalanya dipicit-picit. Kata-kata Badrul memang menyentuh kalbu. Tetapi, semuanya itu langsung tak berasas!

“Awak tak percaya dengan saya? Awak rasa, saya tak mampu bahagiakan awak?” tanya Badrul.

Ariana diam.

“Saya dah baca artikel yang awak tulis,” ujar Badrul lagi.

“Itu hanya pendapat saya. Tapi saya tak berniat agar ia jadi dalam hidup saya.”

Badrul menghembuskan nafasnya. “Jadi, ia adalah pendapat yang awak cuba nak nafikan jika berlaku dalam hidup awak?”

“Okey, saya akui memang dah ramai wanita di Malaysia yang bersuamikan orang yang lebih muda dari mereka. Dan ramai juga yang bahagia. Tapi….”

“Saya tak memaksa awak,” ujar badrul. Dia tak mahu Ariana merasa terpaksa untuk menerimanya. “Kalau awak tak sudi, awak tak perlu terima. Kalau awak rasa saya tak mampu bahagiakan awak, awak boleh tolak pinangan saya.”

Ariana hanya mendiamkan diri. Kalau dia tahu lebih awal, pasti dia akan tolak. Tetapi, dia hanya tahu dari mak dan abah setelah mereka menerima pinangan Badrul.

“Awak fikirlah masak-masak. Apa yang saya harapkan, janganlah dijadikan faktor usia untuk menolak saya. Rasullullah s.a.w sendiri berkahwin dengan Saidatina Khadijah r.a yang lebih lima belas tahun usianya dari Rasulullah s.a.w. Hidup mereka bahagia sehingga ke akhir hayat. Malah sehingga Saidatina khadijah r.a meninggal dunia sekalipun, Rasulullah masih tetap menyayanginya.”

“Takkanlah awak nak samakan kehidupan Rasulullah s.a.w dengan kita?”

“Saya bukan nak samakan. Apatah lagi saya bukan kekasih Allah seperti Rasulullah s.a.w. Tapi Rasulullah s.a.w adalah contoh buat umat. Kita menjadikan Rasulullah s.a.w.sebagai contoh ikutan. Itulah yang sebaik-baiknya.”

Ariana terus terdiam.


88888888888888888888888888888888888888


Ekspresi wajah Sakina berubah. Tampak jelas dia tertarik dengan cerita Ariana. “Wow! Betulkah dia cakap macam tu?” Sakina bertanya.

Ariana mengangguk.

“Nampaknya dia memang lebih matang dari usianya.” Begitu cepat Sakina membuat kesimpulan.

“Tapi, orang lelaki bukannya boleh percaya sangat. Kadang-kadang, manisnya tu hanya di bibir tapi hakikatnya?” Ariana menggelengkan kepala tanpa menerangkan maksudnya dengan jelas.

“Itulah kau. Terlalu negatif tentang lelaki. Sebab tulah kau tak kahwin sampai sekarang,” ujar Sakina. Rata-rata, teman mereka semuanya telah berkahwin dan punya keluarga sendiri. Hanya Ariana sahaja yang masih terus membujang.

“Lelaki sekarang, susah nak percaya. Apa yang ada dalam fikiran diaorang hanya seronok, enjoy, party. Itu aje yang diorang tahu. Tanggungjawab diletakkan di tepi.” Ariana mengalihkan tubuhnya memandang Sakina. “Kau cuba bandingkan lelaki sekarang dengan abah kita dan atuk kita. Sama tak? Memang lelaki dulu garang-garang. Kadang-kadang anak nak bermanja pun takut. Tapi, tanggungjawab dijalankan dengan sempurna. Lelaki sekarang?”

“Kau tak bolehlah nak fikir macam tu.” Sakina menyangkal. “Masih ramai lelaki yang baik dalam dunia ni. Mungkin, kebanyakan lelaki yang pernah kau jumpa masih belum serius untuk pikul tanggungjawab. Bila diorang mula bersedia, mereka akan pikul tanggungjawab tu dengan baik.”

“yelah tu….”

Sakina menghembuskan nafasnya. “Entahlah. Aku pun tak tahu. Kau berdoalah pada Allah agar Dia memberikan calon suami yang baik untuk kau.” Sakina sudah merasa malas mahu berbalah dengan Ariana. Ada sahaja alasan yang Ariana akan beri. “Lagi, apa yang Badrul cakap dengan kau? Ada dia sampai bila korang akan bertunang?”

“Dua tahun lagi. Lepas dia habis belajar saja, dia mahu kami terus berkahwin. Kau boleh bayangkan tak, baru je lepas belajar, dengan tak ada kerja, tak ada pendapatan, macam mana dia nak bina keluarga?”

“Kau dah tanya dia?” tanya Sakina.

Ariana menggeleng lagi.

“Kau tak tanya betul-betul, macam mana kau nak tahu rancangan dia! Mungkin dia dah ada perancangan dia sendiri. Sebab tulah dia mahu korang berkahwin lepas dia habis belajar.” Tergeleng-geleng kepala Sakina.

Ariana terdiam.

“Bercakap dengan kau sekarang, aku rasa kau yang kurang matang dalam hidup berbanding Badrul.”

Ariana terus menoleh memandang Sakina. Mencerlung matanya memandang Sakina.

“Macam nilah, sekarang ni, kau tak payah nak marah-marah dengan aku. Tak payah nak jengil-jengil mata kau yang tak berapa nak besar tu kat aku! Apakata, kau duduk diam-diam dan muhasabah diri sekejap. Fikir tentang pendapat kau tentang setiap artikel yang kau tulis selama ni, dan renungkan hidup kau. Hanya kau saja yang tahu apa yang terbaik dalam hidup kau.” Sakina menarik nafasnya seketika. “Jangan lupa dengan Allah.” Sakina mengemas failnya dan terus berlalu untuk masuk ke dalam bilik editor. Sememangnya, ada banyak lagi urusan yang perlu dibereskan Sakina berbanding melayan Ariana yang tak pernah cuba untuk mengerti tentang pendapatnya sendiri.

88888888888888888888888888888888888


Setelah berfikir masak-masak, Ariana menyatakan keputusannya pada kedua orang tuanya. Dia tidak mungkin menerima Badrul yang terlalu muda darinya. Mulanya, mak dan abah sangat marah dengan keputusan Ariana. Manakan tidak, mereka sendiri yang menerima jodoh buat Ariana. Ariana sepatutnya mendengar kata-kata mereka.

Namun, setelah hampir sebulan Ariana tidak bertegur sapa dengan orang tuanya, baharulah mereka bersetuju untuk membatalkan pertunangan Ariana dengan Badrul yang telah diterima mereka bagi pihak Ariana.

Ariana yang begitu gembira dengan keputusan orang tuanya, terus memberitahu Sakina tentang berita itu. Sakina menyambut berita itu dengan gelengan kepala.

“Kenapa kau tak pernah cuba nak faham aku? Aku tak boleh terima lelaki yang lebih muda dari aku!”

Sakina berhenti dari meneruskan kerjanya lalu memandang Ariana.

“Aku yang tak faham diri kau, atau kau yang tak faham diri kau sendiri?” Sakina melemparkan pandangan kurang senang kepada Ariana lalu meneruskan kerjanya semula.

888888888888888888888888888888888888888

Dua tahun kemudian….

“Ariana,” suara Encik Fauzee membuatkan Ariana mengalihkan perhatiannya dari memandang skrin komputer. “Ini ada undangan dari Syarikat Iman. Mereka akan keluarkan produk baru mereka tak lama lagi. Saya nak kamu buat liputan tentang produk baru mereka. Kemudian, saya mahukan artikel tentang produk ini dalam dua muka surat.”

Ariana mengambil kad itu dan melihatnya.

“Kenapa saya pulak yang kena pergi? Kalau untuk Syarikat Iman, biasanya Abdul yang akan pergikan?”

“Undangan ini adalah undangan peribadi. Dan mereka request nama awak.”

“saya?” Terkejut Ariana. Dia tak pernah ada apa-apa hubungan baik dengan Syarikat Iman. Bagaimana pula syarikat itu boleh memilihnya untuk undangan peribadi? Tapi baguslah juga. Dia sendiri selalu memasang angan-angan untuk ke Syarikat Iman dan mengenali pengasas dan pemilik syarikat itu. Syarikat Iman merupakan salah sebuah syarikat yang mengamalkan konsep halalan toiyiban. Banyak produk yang dikeluarkan syarikat itu, antaranya produk kesihatan, minyak wangi dan buku-buku ilmiah. Syarikat yang baru bertapak dalam dunia perniagaan tiga tahun yang lepas ini sangat mengkagumkan Ariana.

“Baiklah Encik Fauzee, saya akan hadiri undangan peribadi ini.”

“Bagus,” Encik Fauzee tersenyum. Kemudian dia menarik kerusi Ariana dan duduk di situ. Wajah Ariana terus dipandangnya. “Macam mana pulak dengan undangan saya? Awak terima tak?”

Ariana ketawa kecil.

“Tentulah saya terima.” Siapa sangka, sejak dia putuskan pertunangannya dengan Badrul, Encik Fauzee muncul dalam hidupnya. Ketika itu, Encik Fauzee baharu sahaja menyertai syarikat ini.

“Kalau macam tu, jomlah! Kita keluar lunch sama-sama.” Encik Fauzee bangun dan memberi laluan kepada Ariana untuk mengambil barang-barangnya. Kemudian, mereka beriringan keluar dari pejabat.


888888888888888888888888888888888888


Undangan peribadi yang dimaksudkan oleh Syarikat Iman itu, tidaklah seperti yang disangka Ariana. Fikirnya, undangan peribadi itu adalah khusus buat syarikatnya dan Syarikat Iman. Namun, apabila dia tiba di situ, ternyata ada beberapa buah lagi syarikat yang menerima jemputan yang sama.

Ternyata, undangan peribadi itu menunjukkan bahawa undangan itu adalah tidak formal. Syarikat Iman hanya mahu menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan beberapa syarikat. Dalam masa yang sama, mereka mahu membuat pendedahan awal tentang produk terbaru mereka sebelum mereka melancarkan produk itu secara rasmi.

Setelah sesi kenal mesra yang dijalankan sekaligus bersama sesi perkenalan produk, para jemputan di sajikan dengan hidangan istimewa. Ariana senang sekali dengan layanan baik yang diterima dari Syarikat Iman. Malangnya, harapan kebanyakkan tetamu undangan yang mahu bertemu terus dengan pengasas Syarikat Iman tidak dapat dipenuhi.

Tetamu jemputan sudah mula beransur pulang. Hanya tinggal Ariana di situ yang masih cuba memujuk pegawai pemasaran yang dibertugas menguruskan jemputan pada hari itu. Dia mahu bertemu dengan pengasas Syarikat Iman. Tak banyak maklumat yang diperolehi berkenaan produk baru kerana produk itu masih dalam proses pengenalan. Dia mahu berjumpa dan menemuramah pengasas Syarikat Iman. Dapatlah dia menulis serba sedikit tentang latar belakang syarikat itu.

Melihat kesungguhan Ariana, pegawai pemasaran tersebut cuba menghubungi pembantu peribadi Encik Utrujah, pengasas Syarikat Iman. Setelah bercakap dengan pembantu peribadi Encik Utrujah, pegawai pemasaran itu memandang Ariana dengan senyuman.

“Tahniah untuk awak sebab Encik Utrujah bersetuju untuk meluangkan masanya untuk awak.”
Mata Ariana bersinar ceria. Senyumannya sudah melebar.

“Terima kasih!”


88888888888888888888888888888888888


“Cik Ariana tunggu di sini sekejap ya. Sebentar lagi Encik Utrujah akan datang ke sini.”

Ariana hanya mengangguk sambil memandang kelibat pegawai pemasaran itu pergi meninggalkannya sendirian di ruangan tetamu. Tak sabar rasanya mahu bertemu dengan Encik Utrujah. Mendengar namanya sahaja membuatkan Ariana teruja untuk melihat gerangannya.

“Assalamualaikum,” seraya dengan itu, pintu kamar tetamu dibuka dari luar.

Muncul seorang lelaki muda yang segak bersama suit hitamnya. Pandangan mata bertaut agak lama. Masing-masing terpana.

“Badrul?” Walaupun lelaki itu kelihatan bergitu berlainan dari kali terakhir mereka bertemu, namun wajah Badrul tak pernah dilupakannya.

“Ariana?” Ternyata Badrul juga terkejut melihat Ariana di situ.

Ariana melemparkan memek muka yang kurang senang. “Patutlah saya Syarikat Iman request nama saya untuk datang ke sini. Dah tu, dibenarkan berjumpa dengan pengasas syarikat ni pulak!” Ariana menyindir.

Badrul hanya menarik nafas panjang. Salamnya tidak berjawab, namun Ariana terus melamparkan buruk sangkanya. “Jemputlah duduk. Biasakan diri awak di sini,” ujar Badrul dengan sopan.

“Tak apalah. Saya dah tak rasa nak interview awak.”

“jadi, awak nak pulang macam tu saja?” Badrul memandang Ariana. “Tanpa input untuk syarikat awak?”

Ariana terdiam.

“Marilah, kita berkerja secara professional,” sambung Badrul. “Sila duduk.”

Ariana masih membatu di situ. Seketika kemudian, muncul seorang wanita yang ayu bertudung litup datang bersama dulang di tangannya. Dua cawan kopi panas di letakkan di atas meja. Setelah itu, wanita itu meninggalkan ruangan tetamu bersama senyuman manisnya.

“Kalau awak dah tak sudi nak temuramah saya, izinkan saya layan awak sebagai tetamu. Jemput minum.” Sekali lagi Badrul menjemput Ariana.

Akhirnya, Ariana duduk dan mencapai cawan kopinya. Badrul benar. Kalau dia terus pulang, dia takkan dapat apa-apa input. Apatah lagi, Encik Fauzee mahu dia menulis tentang Syarikat Iman dalam dua muka surat. Kalau tentang produk baru syarikat itu, tak banyak maklumat yang dapat ditulisnya kerana produk itu masih belum dilancarkan dan jemputan ini hanya sebagai pengenalan. Untuk menulis tentang produk, hanya separuh muka surat sahaja sudah memadai.

“Baiklah, kita bekerja secara professional,” ujar Ariana.

Badrul mengukirkan senyuman.


888888888888888888888888888888888888888


Terkejut Ariana melihat kelibat Umi dan Abi yang bertandang ke rumahnya. Ariana cuba mengukirkan senyuman bagaikan tiada apa yang berlaku. Lantas, dia bersalam dengan mereka.

Umi memeluk Ariana. Lama. “Dah lama Umi tak jumpa Ariana. Ariana sihat?” tanya Umi.

Ariana mengangguk. “Ariana sihat. Umi dan Abi sihat?” tanya Ariana kembali.

Umi dan Abi mengangguk.

“Dengar kata kamu dah nak bertunang?” tanya Abi tanpa berselindung.

Ariana hanya mengangguk perlahan. Khuatir juga dengan penerimaan mereka tentang berita pertunangannya itu.

“Alhamdulillah…..” Abi tersenyum lebar. “Tak lama lagi dapat menantulah kamu.” Abi berkata pada mak dan abah.

“Akhirnya, baru terbuka hati Ariana ni.” Mak bersuara. Namun Ariana tahu, terkilan di hati mak untuk bermenantukan Badrul masih belum hilang. “Macam mana dengan Badrul?”

“Sekarang ni, Badrul dah habis belajar. Dah buka perniagaan dia sendiri.”

“Wah! Dah jadi orang bisnes ya. Tentu kamu banyak bantu dia.” Telah abah. Tentu sahaja abah akan menyangka begitu kerana Abi sendiri mempunyai sebuah syarikatnya sendiri.

“Memang saya ada bantu. Itupun jika Badrul perlukan bantuan. Selebihnya, dia uruskan sendiri sejak dia masih menuntut.” Ada rasa bangga apabila Abi becerita tentang Badrul. Abi memang berhak merasa begitu. Siapa yang tak bangga punya anak yang telah merancang masa depannya sendiri di saat remaja sebayanya masih sibuk bergelumang dengan buku, Badrul pulak melangkah setapak ke hadapan dengan persediaan masa depannya tanpa mengabaikan pelajarannya.

“Ariana terima jemputan dari Syarikat Iman?” Abah mengalihkan pandangannya pada Ariana.

“Ada,” ujar Ariana. “Minggu lepas, Ariana jumpa dengan Badrul.”

“Sebenarnya, Abi yang minta pegawai di sana request Ariana sebagai wakil dari syarikat penerbitan yang Ariana bekerja. Itupun bila Abi tahu yang Ariana bekerja dengan mereka. Abah Ariana yang beritahu dengan Abi.”

“Bukan Badrul yang request?” soal Ariana. Apakah dia telah berburuk sangka pada Badrul?

Abi ketawa lalu menggelengkan kepalanya. “Badrul pun tak tahu tentang tu,” sambung Abi. “Walaupun Ariana dah tolak pinangan Badrul, tapi keluarga kita tetap perlu bersatu. Abi tak nak Badrul dan Ariana berjauhan. Sekurang-kurangnya, kamu berdua boleh berkawan baik.”

Ariana tertunduk.

“Kamu dah jumpa dengan Badrul?” tanya Umi.

Ariana mengangguk.

“Betulkah? Tapi Badrul tak ada cakap pulak yang dia jumpa dengan Ariana.” Ada nada kehairanan dari nada Umi. “Umi ingat dia tak jumpa dengan Ariana.”

Ariana terus terdiam. Tiba-tiba sahaja dia merasa bersalah apabila mengingatkan layanan buruknya pada Badrul.


88888888888888888888888888888888888888


“Okey, sayang. Nanti balik kerja, saya hantar awak.” Encik Fauzee terus masuk ke dalam ruangan kerja.
Ariana yang tersenyum gembira, kembali melangkah ke mejanya.

Sakina hanya memandang dengan gelengan kepala. Memang dia gembira kerana Ariana telah menemui lelaki yang diidamkannya. Namun, dalam masa yang sama dia merasa kurang senang melihat keakraban Ariana dan Encik Fauzee yang secara terbuka berpacaran di pejabat.

“Bila kau dan Encik Fauzee nak bertunang?”

“Insya-Allah, hujung tahun ni.” Senyuman Ariana masih belum mati.

“Kalau aku bagi cadangan sikit, boleh?” tanya Sakina. “Apa kata kalau korang kahwin je terus. Tak payah nak tunang-tunang semua.”

“Ish! Tak naklah. Bertunang dululah baru best!” ujar Ariana. Dia dan Encik Fauzee sudah pun merancang masa depan mereka.

“Tapi, aku rasa ramai orang kat pejabat ni dah sakit mata tengok kau dan Encik Fauzee tu. Kalau korang kahwin terus, kuranglah sikit gatal tu.” Selama ni, dia dah cuba bertapis apabila bercakap dengan Ariana mengenai hubungannya dengan Encik Fauzee. Namun, Ariana tetap begitu. Jadi, lebih baik dia berterus terang sahaja dengan Ariana.

“Engkau ni kenapa?!” Ariana berang dengan kata-kata Sakina. “Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku? Apa yang kau dengki sangat dengan aku?!” Dia betul-betul tak faham dengan Sakina. Apa, dia tak berhak untuk rasa bahagia? Dia juga mahu bahagia, sama seperti Sakina yang sudah punya keluarga sendiri.

“Apa kau merepek ni Ariana?” sakina bangun dari duduknya dan bertentangan dengan Ariana. “Aku sikit pun tak simpan rasa dengki pada kau.” Sakina memegang bahu Ariana. “Aku minta maaf sebab cakap macam tu. Tapi, pernah kau terfikir apa pandangan orang pada kau dan Encik Fauzee? Kalau korang nak bercinta sekalipun tak payahlah terang-terangan sangat. Ini pejabat, tempat orang bekerja.”

“Aku cuma keluar lunch dengan dia. Salahkah?”

“Tak salah. Tapi, kemesraan korang dah keterlaluan.” Sakina mengeluh. Mungkin Ariana tak menyedari perbuatannya. “Berpegangan tangan, cuit-cuit pipi, aku tak rasa orang suka melihatnya. Apatah lagi korang masih belum kahwin.”

“Orang lain pun bercinta juga, kan? Kau pun pasti bercinta sebelum kahwin juga, kan? Kau pun mesti ada cuit-cuit pipi, pegang-pegang tangan jugak, kan?” Ariana menjeling.

Sakina memecit dahinya. Memang susah untuk nasihat Ariana. Orang tengah dilamun asmara. Cakap apa sahaja takkan di endahkan.

“Entahlah. Suka hati kaulah. Tapi, walau pun aku tak pernah kenal siapa bekas tunang kau dulu, aku rasa, aku lebih hormatkan dia dari Encik Fauzee.”

Kali ini Ariana benar-benar marah apabila Badrul dikaitkan dengannya. Mak dan abah juga masih belum pernah berhenti memuji Badrul. “Kenapa semua orang asyik nak bandingkan Badrul dengan Encik Fauzee. Badrul tu, cuma budak hingusan sahaja tau!”

“Budak hingusan sekali pun, dia lebih tahu menghormati wanita yang dicintainya. Bila dia suka pada kau, ada dia ajak kau keluar dating, pegang tangan kau sesuka hati? Tak, kan?” Sakina memandang Ariana. “Apa yang dia buat, dia ikat kau dengan tali pertunangan, sementara dia sedang belajar. Dia nak kahwin dengan kau sebaik sahaja dia habis belajar. Macam mana dengan Encik Fauzee, belum ada apa-apa ikatan pun, dia sikit pun tak hormatkan kau.”

Hello! Kami tak buat apa-apa. Dia tak buat apa-apa pada aku. Apa yang kami lakukan hanya seperti couple yang lain.”

Come on, Ariana. Umur kau dah lebih dari tiga puluh. Please be mature! Aku tak perlu bersyarah pada kau. Kau tentu tahu dosa pahala, kan?”

“What?!” Ariana benar-benar tak sangka dengan setiap bait patah perkataan yang keluar dari bibir Sakina.
“Kali ni, kau dah buktikan apa yang kau tulis memang benar. Usia bukan factor yang menentukan kematangan!” Sakina terus berlalu. Terkilan hatinya dengan sikap Ariana yang jauh berbeza dari dahulu. Semuanya sejak Ariana tenggelam dalam lautan asmara Encik Fauzee. Kalaulah Ariana sedar siapa sebenarnya Encik Fauzee…


88888888888888888888888888888888


Ariana memakirkan keretanya di pinggir jalan. Lalu, bergerak turun dan memasuki bangunan pejabat Syarikat Iman. Kalau tak kerana mak dan abah yang mengirimkan barang buat Badrul, dia pasti takkan datang ke sini lagi. Bukan sahaja kerana dia malu pada Badrul kerana berburuk sangka padanya tempoh hari, tetapi juga kerana orang di sekelilingnya selalu membandingkan Badrul dengan Encik Fauzee. Termasuklah abah dan mak.

“Selamat pagi,” Ariana melemparkan senyuman manisnya buat seorang penyambut tetamu di situ.

“Selamat pagi!”

“Boleh saya berjumpa dengan Encik Utrujah?” tanya Ariana. Itulah nama Badrul yang dikenali di pejabat ini.
“Assalamualaikum, Ariana,” tegur satu suara.

Lantas Ariana berpaling. Kelihatan Badrul sudah tegak di hadapannya sebelum sempat dia berbual dengan penyambut tetamu yang ayu bertudung itu.

“Waalaikummussalam,” jawab Ariana seraya membalas senyuman Badrul. Entah kenapa hatinya terasa sejuk melihat wajah Badrul yang berseri-seri.

“Ada urusan apa Ariana datang sini?” tanya Badrul.

“Ini, mak minta saya berikan pada awak. Mak minta awak serahkan pada Umi.” Ariana menyerahkan beg kertas yang dipegangnya kepada Badrul.

“Mak dan abah, sihat?” tanya Badrul seraya melihat isinya.

Ariana hanya mengangguk. “Badrul, saya nak minta maaf pada awak,” ujar Ariana perlahan.

Badrul mengangkat wajahnya dari melihat isi beg itu. Ternyata dia terkejut dengan kenyataan Ariana yang tiba-tiba itu. “Untuk apa?” Ariana ada buat salah padanya?

“Tempoh hari, waktu saya datang sini, saya tuduh awak yang rancang jemputan untuk saya dari Syarikat Iman. Tapi, rupanya, awak tak tahu langsung tentang tu.” Ariana memandang Badrul yang lebih tinggi darinya. “Saya dah buruk sangka pada awak.”

“Tak mengapa,” Badrul hanya tersenyum.

“Tak apalah Badrul. Saya minta diri dulu. Nanti lewat pula saya masuk ofis,” Ariana terus bergerak untuk pergi.

“Ariana!” Tiba-tiba sahaja Badrul memanggilnya.

Ariana berpaling dan melihat Badrul sedang menghampirinya.

“Ini kad saya,” Badrul menyerahkan sekeping kad untuk Ariana. “Ada nombor telefon saya. Awak boleh hubungi saya bila-bila sahaja kalau awak perlukan bantuan.”

Ariana mencapai kad Badrul.

“Apa sahaja yang berlaku pada kita dahulu, kita tetap bersaudara,” ujar Badrul. “Anggap saya seperti kawan awak.”

Ariana mengukirkan senyuman buat Badrul. Badrul kelihatan ikhlas dengan kata-katanya. “Saya minta diri dulu,” Ariana berpaling lalu melangkah pergi.


888888888888888888888888888888888888888


“Terima kasih,” Badrul bersalaman dengan wakil dari syarikat itu. Setelah meminta diri, dia melangkah keluar dari pejabat.

Ketika berjalan keluar, matanya menangkap susuk tubuh Ariana yang bersendirian di kafe berhampiran. Langkah Badrul terhenti seketika. Ariana diperhatikan. Sesekali Ariana melirik jam di tangan. Mungkin Ariana sedang menunggu seseorang.

Dia mahu melangkah pergi, namun langkahnya kembali terhenti. Dia memandang Ariana semula. Dia sendiri tak mengerti kenapa dia jatuh cinta dengan Ariana yang ternyata lebih usianya dari dirinya sendiri. Sampai saat ini, tempat Ariana di hatinya masih belum digantikan dengan sesiapa.

Akhirnya, Badrul melangkah mendekati Ariana.

“Assalamualaikum,” sapa Badrul.

“Waalaikummussalam,” jawab Ariana yang ternyata terkejut dengan kehadiran Badrul di situ. Lantas Ariana bangun dan duduknya. “Badrul.”

“Awak tunggu seseorang?” tanya Badrul. Dia khuatir jika kehadirannya mengganggu Ariana.

Ariana melirik jam di tangan. Encik Fauzee sepatutnya datang berjumpa dengannya satu jam setengah yang lalu. Dia tak rasa Encik Fauzee akan datang.

“Tak,” Ariana menggeleng. “Awak nak join saya?”

Badrul sedikit terkejut dengan pelawaan Ariana. Namun, masih terselit rasa gembira di hati. Mungkin inilah peluang untuknya lebih mengenali Ariana. “Boleh juga.” Badrul terus menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Ariana.

“Awak kerja?” tanya Ariana apabila melihat Badrul yang segak dengan kemeja putihnya. Hari minggu begini pun Badrul masih bekerja?

Badrul mengangguk lalu sambil melipat lengan tangan bajunya sehingga ke paras siku. Tali lehernya di buka lalu diletakkan di dalam begnya. Butang leher bajunya dibuka sedikit.

Ariana terus memerhati tingkah Badrul. Memang Badrul lebih muda darinya. Tapi, Badrul yang ada di depannya ini kelihatan lebih matang dari usianya.

“Biasalah Ariana. Kerja sendiri tak sama macam kerja dengan orang. Seronok, kan jadi awak. Hari minggu macam ni dah boleh releks. Saya ni, dua puluh empat jam asyik kerja.”

Ariana hanya tersenyum. Ya, walaupun Badrul selalu sibuk, sekurang-kurangnya dia menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna. Umi juga selalu memuji Badrul yang tak pernah lupa dengan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Badrul mempunyai tiga orang adik yang masih belajar. Mungkin peranannya sebagai anak sulung membuatkan Badrul sentiasa memikirkan soal tanggungjawab.

“Macam mana dengan rutin harian awak? Awak semakin hebat dalam memberi pendapat dan idea,” puji Badrul. Selama ini dia belum pernah ketinggalan membaca setiap artikel yang ditulis Ariana. “Terima kasih untuk pengenalan awak tentang Syarikat Iman.”

“Awak dah tengok majalah?” Memang Syarikat Iman muncul dalam majalah keluaran bulan ini. Tentu Badrul sudah melihatnya.

“Ya!” Badrul mengangguk. “Saya nampak segak.” Memang dia agak terkejut apabila melihat gambarnya juga diselitkan di dalam majalah.

Ariana ketawa kecil.

Badrul tersenyum melihat tawa Ariana. Senyuman dan gelak tawa Ariana yang membuatkannya mula tertarik hati pada Ariana. Memang tak masuk akal bila difikirkan, seorang budak lelaki yang berusia sembilan tahun jatuh cinta pada seorang gadis tujuh belas tahun kerana tertarik dengan gelak tawanya. Dan senyuman dan gelak tawa Ariana terus menghiasi mimpinya hingga ke saat ini.

“Mana awak dapat gambar tu. Sedangkan masa tu, awak datang seorang. Awak tak bawa jurugambar bersama.”

“Saya minta dekat Umi.”

“Hmmm…..Tentu Umi ambil dalam foto album saya.”

Ariana mendiamkan diri. Badrul mengambil kesempatan ini untuk memesan minuman buatnya.

“Berapa lama awak ada di sini?” tanya Badrul setelah pesanannya telah tiba ke meja.

Ariana hanya melepaskan keluhan. Satu jam setengah dia dia di sini menunggu kehadiran Encik Fauzee! Patutkah dia memberi tahu Badrul tentang itu? Tak mungkin! Sejak akhir-akhir ni sikap Encik Fauzee jauh berbeza. Bagai ada sesuatu yang disembunyikan lelaki itu darinya. Sudah beberapakali ketika mereka keluar bersama, tiba-tiba Encik Fauzee akan meninggalkannya. Kononnya, dia punya urusan penting. Tetapi, Ariana tidak percaya tentang itu.

“Tak lama. Saja lepak sorang-sorang,” Ariana berdalih. Ada nada terkilan dari suaranya.

Badrul hanya tersenyum walaupun dia dapat mengesan nada terkilan dari suara Ariana. “Tak apalah. Tak lama lagi awak akan jadi milik orang. Pergi mana-mana pun akan berdua. Takkan keseorangan lagi.”

Ariana diam.

“Saya pasti lelaki yang awak pilih, adalah lelaki yang terbaik. Jika tak, tentu awak takkan tunggu lama macam ni.” Sengaja Badrul berkata begitu kerana mahu tahu apa isi hati Ariana.

 “Uh?” Ariana terkedu dengan kata-kata Badrul. “Awak rasa lelaki itu seorang lelaki yang baik?”

“Tentu!” balas Badrul. “Sebab dia berjaya tawan hati awak.”

“Kalau seorang lelaki dah berkahwin, dia takkan biarkan isteri sendirian lagi, kan?” tanya Ariana lagi. Kenyataan Badrul sebentar tadi menarik perhatiannya.

Badrul memerhatikan Ariana lagi.

“sebenarnya, saya ni tak pandailah nak bagi nasihat atau pandangan. Saya tak macam awak. Awak memang hebat dalam memberi hujah dan pendapat awak,” kata-kata Badrul adalah ikhlas dari hatinya. Ariana memang hebat dalam mengeluarkan setiap pendapatnya. Malah, Ariana sentiasa mendapat perhatian dari pembaca. “Tapi, masa saya masih belajar, pensyarah saya mengatakan, seorang suami tak sepatutnya meninggalkan isteri keseorangan biarpun isterinya itu melakukan kesalahan yang besar sehingga membuatkan suami itu marah padanya. Tidak boleh meninggalkan isteri walaupun untuk sehari!”

“Awak setuju dengan pensyarah awak?” tanya Ariana.

“Setuju! Apa yang dikatakan itu semuanya benar.”

Ariana diam. “Apa makna Utrujah?” Tiba-tiba Ariana bertanya.

Badrul tersenyum. “Utrujah adalah sejenis buah lemon. Atau lebih dikenali dengan nama saintifiknya iaitu buah citrus medica.”

“Jadi nama awak adalah nama buah?” tanya Ariana lagi.

Badrul masih lagi tersenyum. “Badrul Utrujah, itulah nama sebenar saya,” sambung Badrul. “Abi berikan nama Utrujah berdasarkan dari sabda Rasulullah s.a.w. Saya sentiasa ingat hadis itu. ‘Dari Abu Musa Al-‘Asy’ari, nabi s.a.w telah bersabda-‘Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti Utrujah, rasanya lazat dan baunya harum. Manakala mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma, rasanya lazat tetapi tiada bau padanya. Perumpamaan orang fajir yang membaca Al-Quran adalah seperti pohon Raihanah, baunya harum tetapi rasanya pahit. Dan orang fajir yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti peria, rasanya pahit dan juga tidak berbau. (Sahih Bukhari, tafsir Al-Quran,7031)”

“Abi namakan saya dengan nama Utrujah kerana mahu saya menjadi seorang Mukmin yang diibaratkan Rasulullah s.a.w sebagai Utrujah. Iaitu Mukmin yang sentiasa menjadikan Al-Quran itu sebagai tempat rujukan dan sentiasa beramal dengannya.”

Ariana terus terdiam mendengar kata-kata Badrul. Tiba-tiba hatinya terasa sesuatu. Suatu perasaan yang belum pernah dirasakan sebelumnya.

888888888888888888888888888888888888888888888

Siapa dia? Ariana terus memerhati pada pasangan yang sedang melangkah masuk ke dalam klinik ibu mengandung itu. Encik Fauzee sedang memimpin seorang wanita mengandung ke dalam klinik itu.

Jantung Ariana bergetar hebat. Ariana mencapai telefon di dalam begnya lalu menghubungi Encik Fauzee.

“Hello Ariana. Saya tengah sibuk ni.”

“Kenapa awak tak masuk pejabat? Awak ada hal apa?” tanya Ariana sambil matanya tak pernah hilang dari melihat klinik ibu mengandung itu walaupun kelibat Encik Fauzee dan wanita itu telah hilang di dalamnya.

“Saya outstation. Jumpa dengan klien.”

“Klien? Awak tak beritahu saya pun.”

“Saya lupa. Esok kita jumpa ya.” Encik Fauzee terus mematikan talian sebelum sempat Ariana meneruskan kata-katanya.

Siapa wanita itu? dia perlu selidik tentang itu.


8888888888888888888888888888888888888888


Sakina memandang Ariana. Sejak akhir-akhir ini sikap Ariana tempak berbeza. Ariana sering mengelamun seakan sedang berfikir tentang sesuatu perkara yang berat. Mahu ditanya pada Ariana, dia khuatir kerana Ariana masih belum mahu berbicara dengannya sejak dia menegur sikap Ariana dan Encik Fauzee.

“Sakina,” tiba-tiba sahaja memanggil nama Sakina.

Sakina terus memandang padanya. Gembira hatinya tidak terkira kerana Arian sudah mahu bercakap dengannya.

“Aku nak tanya sikit, boleh?”

“Apadia?”

“Encik Fauzee,” Ariana menyebut nama itu. “Dia dah berkahwin?”

Sakina terkejut dengan soalan Ariana. Mulutnya ternganga. “Kenapa kau tanya macam tu?”

“Selama ni, aku tak pernah ambil tahu tentang latar belakang dia. Yang aku tahu, aku cintakan dia dan dia cintakan aku.” Ariana diam. “macam mana kalau dia dah kahwin dan dia bukan lelaki bujang?”

“Kau pernah tanya pada dia?”

Ariana menggeleng. Takkan dia mahu bertanya sedangkan Encik fauzee cintakan dia. Dia tak pernah terfikir yang seorang lelaki yang sudah berkahwin akan jatuh cinta lagi. Tapi sekarang dia sedar yang dia silap dalam mentafsir sesuatu perkara.

“Aku rasa, Encik Fauzee dah berbohong dengan aku,” ujar Ariana.

“Entahlah Ariana. Lebih baik kau siasat sendiri.”

Tiba-tiba sahaja terdetik di hati Ariana untuk menghubungi  Badrul. Setelah talian bersambung, kedengaran ucapan salam dari Badrul. Ariana menyambut salam itu.

“Badrul, boleh saya tanya sesuatu,” tanpa intro dalam berbahasa, Ariana terus ke pokoknya.

“Apadia?”

“Apa pendapat awak tentang jodoh? Masa saya tolak pinangan awak, apa perasaan awak?”

Sakina yang turut berada di situ terlopong dengan tindakan Ariana.

“Jodoh itu ketentuan Allah. Memang saya akui yang saya kecewa bila awak menolak pinangan saya. Tetapi, saya percaya Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Apa sahaja takdir yang ditetapkanNYA adalah yang terbaik untuk kita.”

“Salahkah kalau kita sakit hati dan menangis jika hati kita terluka?” Ariana memang terasa mahu menangis tetapi dalam masa yang sama dia tidak pasti tangisannya itu untuk apa. Tangisan itu akan jadi tangisan yang sia-sia.

“Tak salah sebab hati kita telah dilukai. Tak salah juga untuk kita menangis. Tetapi lebih baik kita meluahkan semua rasa sakit kita itu pada Allah dengan menangis padaNYA. Kalau tangisan itu untuk sesuatu yang sangat menyakiti, untuk apa buang-buang masa menangis untuknya. Hanya padaNYA kita merintih dan menangis.”

“Terima kasih, Badrul.” Ariana terus mematikan talian.

“Itu bekas tunang kau ek?” tanya Sakina.

Ariana mengangguk. Sakina terlopong.

“Aku nak pergi siasat tentang latar belakang Encik Fauzee!”


888888888888888888888888888888888888


Dari balik tirai pintu yang sedikit terbuka Ariana mengintip di dalam kamar pesakit itu. kelihatan Encik Fauzee sedang mendukung seorang bayi comel. Encik Fauzee kelihatan begitu gembira sekali. Begitu juga dengan wanita yang sedang berbaring di atas katil.

“Kau dah sedia?” bisik Sakina.

Ariana menarik nafas yang panjang lalu mengangguk. Memang dia telah bersedia untuk setiap kemungkinan dan setiap penerimaan Encik Fauzee. “Jom!”

Pintu dikuakkan dari luar. Ariana dan Sakina melangkah masuk.

“Assalamualaikum,” sapa mereka berdua.

“Waalaikummussalam,” jawab mereka yang berada di dalam kamar itu.

Pandangan Encik Fauzee mati pada Ariana. Wajahnya pucat. Sungguh dia tidak menyangka Ariana dapat menghidunya di sini.

“Maaflah ganggu. Kami berdua, kakitangan Encik Fauzee,” ujar Ariana lalu bersalam dengan isteri Encik Fauzee. Sakina juga berbuat demikian.

“Kami datang sini nak ucapkan tahniah pada Encik Fauzee dan puan kerana mendapat cahaya mata yang pertama,” sambung Ariana.

“Ini, ada kami bawakan hadiah untuk baby puan,” ujar Sakina pula.

Encik Fauzee hanya diam membisu. Dia hanya memandang pada bayi yang dikendongnya sahaja.
“Terima kasih,” ucap isteri Encik Fauzee.

“Tak apalah puan. Kami datang sini sekejap je. Sekadar nak ucapkan tahniah,” Ariana mengukirkan senyuman. “Kami minta diri dulu.”

“Dah nak balik?” baru sahaja sampai mereka sudah mahu pulang? Isteri Encik Fauzee tercengang.

“Sebenarnya, kami ada urusan lain. Kami hanya singgah di sini,” kata Sakina pula.

Setelah bersalam dengan isteri Encik Fauzee, mereka berdua melangkah keluar.

“Kau okey, Ariana?” tanya Sakina apabila melihat Ariana terus membisu. Namun, Ariana langsung tidak menangis atau mengeluh padanya sejak mendapat tahu tentang status Encik Fauzee.

“Jangan risau. Aku okey.” Ariana mengukirkan senyuman buat Sakina.

“Kenapa aku lihat kau tak pernah menangis? Kau sikit pun tak rasa apa-apakah bila tahu Encik Fauzee itu sebenarnya suami orang?”

Ariana hanya diam membisu. Bohonglah kalau dia tidak menangis. Tapi, seperti pesanan Badrul, dia hanya menangis dan merintih tentang kelukaan hatinya pada Yang Esa. Badrul benar, buang masa jika menangis untuk perkara yang menyakitkan hati.


88888888888888888888888888888888888888


Dua bulan kemudian………

“Badrul, saya nak jumpa awak sekejap.” Berita yang disampaikan Umi dua hari sangat meresahkan jiwa Ariana. Dia tidak tahu kenapa dia perlu merasa begitu. Yang pasti, dia mahu pastikan kesahihan berita ini. Dua malam dia tidak dapat tidur lena kerana memikirkan perkara ini.

“Nak jumpa di mana?” tanya Badrul di hujung talian.

“Saya dah sampai di pejabat awak. Awak boleh jumpa saya di entrance?”

“Okey, saya turun sekarang.” Badrul mematikan talian.

Ariana mundar mandir menunggu kedatangan Badrul. Tak sabar rasanya mahu bertemu Badrul.

Badrul yang tergesa-gesa ke ruang masuk terus menuju pada Ariana apabila melihat susuk tubuh Ariana yang sedang mundar mandir di situ.

“Ariana? Ada apa ni?”

“Badrul!” Ariana memandang Badrul. Namun, tiba-tiba sahaja dia membisu. Perlukah dia bertanya pada Badrul? Apa haknya untuk bertanya begitu?

“Kenapa ni Ariana?” Ariana kelihatan gelisah. Apa yang tak kena?

“Saya….” Ariana menelan air liurnya. Kenapa dengan dia? Kenapa dia perlu datang ke sini dan berjumpa dengan Badrul? Kenapa? “Saya Cuma nak ucapkan tahniah.” Ariana menukar tujuan asalnya. Dia cuba mengukirkan senyuman yang indah buat Badrul.

“Oh….tentang pertunangan saya?” BAdrul sudah tersenyum.

“Ya,” Ariana terus mengukirkan senyuman walaupun jiwanya meruntun hiba.

“Tapi saya masih belum bertunang. Hanya perancangan. Insya-Allah, jika gadis itu setuju, keluarga saya akan ke rumahnya hujung minggu ni.”

Ariana mengangguk sambil menelan setiap kepahitan yang dirasakan.

“Saya tak nak buat kesilapan yang sama. Mengikat gadis tanpa persetujuannya lagi,” sambung Badrul.
“Gadis itu sangat bertuah.”

Badrul tersenyum.

“Saya minta diri dulu Badrul.” Tanpa menunggu lebih lama Ariana terus berlalu pergi.

Airmatanya sudah tidak dapat di tahan lagi. Dia tidak tahu kenapa hatinya terasa sakit saat mengetahui Badrul akan bertunang dengan gadis lain. Kesakitan yang lebih dari kesakitan yang dirasakan saat mengetahui Encik Fauzee adalah suami orang. Apakah selama ini dia ada menyimpan perasaan pada Badrul?
Sampai sahaja di parker, dia bersandar di keretanya. Airmatanya terus tertumpah di situ. Dia menyorokkan diri sedikit dari pandangan orang ramai.

“Ariana?” tiba-tiba kedengaran suara Badrul menyapanya dari belakang.

Dengan pantas Ariana beralih ke belakang. Kelihatan Badrul sedang tegak di situ memerhatikannya.

“Saya yakin dengan keputusan saya sekarang. Hujung minggi ni, saya pasti akan ke rumah gadis itu dan ‘mengikatnya’.” Badrul memandang Ariana.

Kenapa Badrul? Kenapa perlu menyatakan semua ini padanya? Cukuplah jika dia tahu Badrul akan bertunang. Itu sudah cukup mendera perasaannya.

Badrul menghampiri Ariana. Sisa airmata masih kelihatan di pipi Ariana. Lantas, Badrul menyeluk poket dan mengambil sapu tangannya. Dengan perlahan dan kelembutan, Badrul menyapu airmata Ariana. Ariana kelihatan terkejut dengan tindakan itu.

“Awak tahu kenapa awak menangis?” tanya Badrul.

Ariana terkedu. Soalan apa yang ditanyakan Badrul? Bukankah Badrul sepatutnya bertanya kenapa dia menangis?

“Itulah tandanya sayang,” sambung Badrul.

Ariana terpinga.

“Hujung minggu ni, saya mahu awak ada di rumah. Berhias secantiknya. Umi dan Abi akan ke rumah awak. Pastikan kali ini awak tak kecewakan saya sebab….” Badrul memandang Ariana. “saya tak sanggup lihat airmata ini lagi.”

Ariana tercengang. Matanya terus bertaut dengan mata Badrul. Benarkah apa yang sedang terjadi ini? Jadi, gadis yang dimaksudkan Badrul adalah dia? Dia masih mendapat tempat di hati Badrul? Airmata Ariana mengalir lagi. Dia terharu dengan setiap tindakan Badrul.

“Airmata ini adalah bukti yang awak sayangkan saya,” ujar Badrul. “Lepas ni, jangan pertikaikan lagi tentang usia atau apa sahaja perbezaan kita. Saya terima awak seadanya dan saya juga mahu awak menerima saya seadanya.”

Ariana mengangguk.

“Kenapa awak sanggup tunggu saya?” tanya Ariana dengan sedikit sedu dari suaranya.

“Itulah sayang. Tanda sayang saya pada awak.”

Semakin laju airmata Ariana mengalir. Sungguh, dia terharu dengan Badrul.

Badrul, aku janji padamu yang aku akan sentiasa mencintaimu. Aku akan menerimaku seadanya tanpa mempertikaikan perbezaan usia kita. Memang aku silap kerana menganggap kau sebagai budak hingusan sedangkan kau begitu matang dalam setiap tindakanmu. Memang benar pendapat aku selama ini, usia bukan penentu tahap kematangan seseorang. Aku yang tidak pernah mengenali diriku sendiri.
Syukur pada Allah kerana menganugerahkan aku seseorang sepertimu, Badrul.


88888888888888888888888888888888







Tuesday 4 September 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 11








AUDRA melepaskan keluhan. Dia sudah kepenatan. Pejabat Tuan Syed Zikri yang sudah diubah semula kedudukan perabotnya dan dikeluarkan semua barang-barang milik Tuan Syed yang lama sudah selesai. Akhirnya, tugasnya untuk membantu Che Enon sudah berakhir. Dia berjalan keluar dan melihat semula barang-barang lama yang sudah dilonggokkan.
“Che Enon, barang-barang ni nanti jangan dibuang dulu. Tengok-tengoklah dulu mana tahu kalau ada barang yang masih dipakai. Nanti Syed Zikri marah pulak!” ujar Audra pada Che Enon.
“Hah, tahulah Che Enon. Terima kasih ya Audra sebab dah bersusah payah tolong Che Enon!” Che Enon merasa gembira tetapi sedikit rasa bersalah kerana menyusahkan Audra.
“Jangan terima kasih dulu Che Enon! Kang Tuan Syed tak puas hati, Che Enon jugak yang kena marah!” usik Zana yang sedang berehat di sofa sambil menikmati snek.
Audra menghampiri Zana dan duduk di sebelahnya. Kata-kata Zana langsung tidak dihiraukan. Zana menghulurkan snek kepada Audra. Audra menolak.
“Bagus kau ni! Aku kat dalam setengah nak mati dengan Pak Dollah dan Pak Sudin, kau bersenang lenang kat sini!” Audra menjeling. Mujur juga Pak Sudin datang membantu. Kerjanya menjadi mudah dengan bantuan dari Pak Sudin dan Pak Dollah.
Zana ketawa kecil melihat jelingan itu. “Lantaklah! Kau yang pandai-pandai nak sangat buat semua tu!” Zana membidas.
Audra menjeling geram melihat senyuman sinis Zana. Pandangannya beralih pula pada Che Enon yang baru muncul setelah hilang ke dapur. Dulang di tangan diletakkan di depan Audra dan Zana.
"Wah! Sedapnya! Puding susu!” Audra sudah menjilat bibirnya. Terliurnya!
“Ni special buat Audra. Audra suka makan puding, kan?” tanya Che Enon.
“Macam mana Che Enon tahu?” tanya Audra yang sudah bersinar matanya.
“Akulah beritahu Che Enon!” ujar Zana dengan pantas. “Kalau tak, tak merasalah kau puding susu ni!” Zana mengerling. “Aku pun tolong Che Enon siapkan makanan kesukaan kau. Termasuk,” Zana bangun lalu berlari menghilangkan diri ke belakang.
Audra sudah tidak sabar menanti kehadiran Zana. Entah apalah agaknya yang disediakan Zana dan Che Enon lagi?
“Jeng, jeng, jeng!” Zana muncul bersama semangkuk besar speggetti.
“Wah! Speggeti!” Wajah Audra semakin berseri-seri. Semuanya makanan kesukaannya!
“Terima kasih Che Enon! Terima kasih Zana!”
“Sama-sama!” Gembira hati Che Enon melihat wajah ceria Audra. Dia tahu Audra keletihan. Kasihan Audra kerana sudah bersusah payah membantunya menyusun kamar dan pejabat Tuan Syed Zikri. Memang Zana ada menyuarakan niatnya untuk membantu Audra. Tetapi dia memberi alasan yang dia lebih perlukan Zana untuk menyediakan hidangan. Ini semua kerana arahan Tuan Syed Zikri.
Dia melihat Zana dan Audra sudah menyedok spegetti masuk ke dalam mangkuk. Kemudian mereka berdua diam sambil menyuapkan speggeti dengan menggunakan chopstick. Pandai juga budak berdua ni menggunakan chopstick. Satu perkara baru yang dibelajarnya tentang mereka berdua adalah mereka berdua tidak akan bersuara ketika sedang makan!
Usai hidangan petang, Zana mengangkat semua piring-piring dan mangkuk-mangkuk yang sudah digunakan masuk ke dapur dan membersihkannya. Setelah itu, dia kembali semula bersama mereka.
“Che Enon, rumah ni beeeeesar sangat!” ujar Audra sambil matanya meneliti segenap ruang di situ. “Macam mana Che Enon jaga seorang diri?” tanya Audra.
“Sebelum ni, bukan Che Enon seorang sahaja yang bekerja di sini. Ada lagi pembantu lain selain Che Enon tetapi dia balik ke Indonesia!” terang Che Enon.
“Nasib baiklah ketika Che Enon tinggal seorang, Tuan Syed Zikri tak mahu tinggal di sini. Jadi tak susah sangatlah Che Enon nak jaga. Hari ni Che Enon kemaskan bilik yang tu, esok yang lain pulak! Kira tak ‘kalut’ sangatlah!” sambung Che Enon. “Tapi, kalau Tuan Syed dah masuk nanti, bilik dia hari-hari nak kena kemas. Lepas tu nak siapkan makan lagi. Eeii! Entahlah Che Enon! Harap-harap Tuan Syed akan cari pembantu lagi!”
“Hmm, betul Che Enon. Kalau Che Enon seorang, memang tak larat!” ujar Audra mengiakan kata-kata Che Enon.
“Che Enon,” kuis Zana perlahan. “Che Enon dah tengok bilik dan pejabat Tuan Syed? Manalah tahu kalau-kalau nak bagi komen sikit.” Zana mengusik Audra lagi.
“Nanti-nanti ajalah Che Enon tengok. Tak kisahlah macam mana pun. Janji dah berubah!” balas Che Enon. Memang dia tidak takut jika Tuan Syed Zikri tidak berpuas hati sebab Tuan Syed Zikri sendiri mengarahkan agar dia membenarkan Audra menyusun mengikut caranya sendiri.
“Dalam rumah ni, ada gambar Syed Zikri tak? Syed Zikri tu, macam mana orangnya?” Penasaran juga hati Audra untuk mengetahui siapa gerangan pemilik nama Tuan Syed Zikri ini.
“Tuan Syed kan baru nak berpindah ke sini. Manalah ada barang-barang dia!” ujar Zana dengan fahaman sendiri.
“Itu aku tahulah. Tapi kenapa dia tak bawa barang-barang dia? Yang aku nampak kat atas tu cuma satu beg je!” balas Audra.
“Che Enon rasa dia cuma bawa barang-barang yang penting je. Yang lain tu mungkin ditinggalkan di rumah lamanya,” sampuk Che Enon.
“Macam mana rupa Syed Zikri tu, Che Enon? Macam ayah dia atau ibu dia?” tanya Audra lagi.
“A’ah, Tuan Syed tu kacak tak?” Zana juga kelihatan teruja mahu tahu tentang pemilik rumah besar itu.
Che Enon tersenyum melihat keletah mereka berdua. “Kacak! Wajah dia lebih mirip dengan ibunya. Dari semua segi, mata, mulut dan bentuk wajah. Cuma, warna kulit dan hidung sahaja yang mengikut ayahnya. Tuan Syed, kulitnya putih kemerahan dan hidungnya mancung. Macam orang Arab. Rambut dan matanya berwarna perang.”
“Wah! Putera Arab tu! Audra, kau tak nak try ke?” usik Zana yang sudah tersengih-sengih.
"Putera Arab?" Terus Audra terbayangkan pemuda yang ditemuinya di tepi tasik. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia tidak pernah melupakan seraut wajah itu sehingg saat ini.
"Eh, kau ni kenapa?" Zana menyiku Audra yang sudah tenggelam dalam khayalan. "Ni mesti tengah bayangkan wajah Tuan Syed. Nak try-lah tu," usiknya lagi.
“Banyaklah! Kau tak payahlah nak sindir-sindir. Aku sedar diri lagi tau!” Wajah Audra sudah berubah. “Tapi di ruang tamu ni masih banyak gambar-gambar keluarga ni dan perhiasan yang tak sepatutnya ada.” Mata Audra sudah memandang sekeliling.
“Ah sudah! Takkan kau nak kemas jugak?!” Zana bagai sudah dapat dibaca fikiran kawannya itu.
Audra tersengih-sengih memandangnya.
“Apalah yang kau susahkan sangat tentang Tuan Syed ni?!” Zana sudah mencebikkan mukanya.
“Kau nak tahu sesuatu?” tanya Audra.
“Apa?”
“Aku rasakan, Tuan Syed ni pemilik syarikat Warisan Syed!” Audra meneka.
“Mana kau tahu?” tanya Zana. Kata-kata Audra itu menarik minatnya.
“Rumah ni saja bernama Rumah Warisan. Pemilik rumah ni, digelar Tuan Syed dan syarikat yang kita nak pergi temuduga tu Warisan Syed. Kau tak rasa ke ada sangkut paut?” Audra menjungkitkan keningnya. “Betul tak Che Enon?” Kali ini pandangan mereka berdua jatuh pada Che Enon.
Sebenarnya, ketika Audra menyusun pejabat Tuan Syed Zikri dia terlihat beberapa fail yang tertulis nama 'Warisan Syed'. Sengaja dia mahu mendengar dari mulut Che Enon sendiri.
Wajah Che Enon sudah berubah. Apa yang perlu diterangkan? Dia sendiri kurang pasti adakah ini juga perlu dirahsiakan atau tidak. Tapi, seingatnya Tuan Syed Zikri hanya mahu dia dikenali sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri. Tapi dia tak ada minta untuk merahsiakan yang Tuan Syed Zikri adalah Pengarah Warisan Syed.
“Ya, ya, betul!” Akhirnya Che Enon bersuara. “Audra dan Zana ada temuduga dengan Warisan Syed?” Che Enon pura-pura tidak tahu.
“Hmmm,” Zana menganggukkan kepala. “Dah kebetulan hari ini kami berdua banyak membuat jasa di rumah ni, apa kata kalau Che Enon masukkan jarum kat Tuan Syed untuk ambil kami berdua berkerja di sana.”
Audra menyiku Zana. “Banyak sungguhlah jasa kau ek,” Audra mengejek.
Zana sudah tersengih.
“Tak pe, tak pe. Lepas ni aku tolong! Janji!” Zana mengangkat tangannya.
Audra hanya menjeling. “Pukul berapa pembantu Syed Zikri akan datang?” tanya Audra apabila teringat semula tentang itu.
“Encik Zack?” Che Enon menggaru-garukan dagunya. Kata Tuan Syed Zikri dia akan sampai sebelum jam enam petang. Tapi, sekarang sudah jam 5.15 petang.
“Tunggu kejap! Che Enon keluar sekejap. Nak jumpa dengan Pak Sudin. Mungkin Pak Sudin tahu. Nanti Che Enon datang balik.” Che Enon terus bergegas dari situ.
Audra dan Zana berpandangan.
Dup dap! dup dap! Tiba-tiba sahaja jantung Audra bergerak dengan pantas. Audra terdiam. Dia memegang dadanya. Perasaan apakah ini? Tiba-tiba sahaja debaran ini datang?
“Kau agak-agak, apa tujuan Encik Zack datang ke sini dan nak jumpa kita?” tanya Zana.
Memang sebentar tadi, Che Enon ada beritahu yang dia telah memberitahu Tuan Syed Zikri tentang kedatangan Audra dan Zana di sini untuk membantunya. Tapi, perlukah dihantar pembantu ke sini? Untuk apa? Untuk melihat apa yang telah mereka lakukan pada Rumah Warisan? Atau untuk mengucapkan terima kasih?
Zana memandang Audra apabila soalannya dibiarkan sepi. Audra sedang memegang dadanya. “Kau kenapa Audra?” Cemas Zana melihat wajah Audra yang kelihatan tegang.
“Entahlah,” Audra memandang Zana. “Tetiba je aku rasa jantung aku berdebar.” Audra masih lagi memegang dadanya. Perasaan apakah ini?
“Assalamualaikum," Satu suara garau menegur mereka. Pandangan Audra dan Zana serentak beralih memandang pintu utama. Di situ, berdiri tegak susuk tubuh seorang lelaki yang tinggi, bercermin mata hitam dan bertopi. Bahagian depan topi, dipakai agak rendah sehingga wajahnya tidak dapat dilihat. Cermin mata gelapnya menambahkan lagi kesukaran untuk mengecam wajahnya.
Che Enon berdiri di sebelah lelaki itu. Senyuman Che Enon melebar hingga ke telinga.
“Audra, Zana, perkenalkan Encik Zack, orang kanan Tuan Syed.”
Mata Audra terus terancap pada lelaki tinggi yang tidak dapat dilihat wajahnya itu. Lelaki itu terus berjalan mendekati Audra dan berhanti betul-betul di depannya. Mata Audra masih terus memandang. Dia seolah-olah kenal dengan lelaki ini.
“Kamu Audra?” tanya Zack.
Audra hanya mengangguk perlahan. Suara lelaki itu bagai pernah di dengarnya. Pernahkah mereka bersua sebelum ini? Tak mungkin! Dia tak mengenali mana-mana lelaki melainkan jika lelaki itu juga adalah pelajar kolejnya.
“Tuan Syed Zikri sampaikan ucapan terima kasih kerana membantu Che Enon.”
“Sama-sama.” Setelah agak tenang, baharulah Audra dapat mengeluarkan suaranya.
“Saya kenal kamu berdua. Kamu berdua adalah calon pelajar untuk pekerja baru di Warisan Syed. Saya dah siasat latar belakang kamu bila Che Enon beritahu tentang kamu berdua.”
Zack berjalan menuju ke pejabat setelah memberi isyarat kepada mereka agar mengikut langkahnya. Membuka pintu pejabat sahaja, hidung Zack sudah menghidu wangian citrus yang lembut. Zack memerhatikan ruang pejabat itu. Sangat kemas dan selesa. Buku-buku tersusun kemas di rak. Kedudukan perabot telah bertukar tempat. Kebersihannya juga dititik beratkan.
“Siapa yang kemas pejabat ni?” tanya Zack. Sengaja dia bertanya walaupun Che Enon telah maklumkan Audra yang melakukan semuanya, seperti arahannya sendiri. Zana pula, membantu Che Enon sediakan hidangan buat mereka semua.
“Saya,” jawab Audra sambil matanya masih cuba mengintai wajah di sebalik topi dan cermin mata hitam itu. Hatinya penasaran dengan gerangan di depannya kini. Siapa dia? Bagaimana wajahnya?
Zack hanya mengangguk lalu meneruskan langkah menaiki ke tingkat atas, ke kamar utama. Mereka yang lain, masih membontoti langkahnya. Sampai di depan pintu kamar utama, mata Zack terus terpaku pada longgokan barang-barang di situ.
“Barang-barang ni semua untuk apa?”
“Barang-barang ni semua milik Syed Hussin. Saya rasa barang-barang tu semua tak diperlukan oleh Syed Zikri,” jawab Audra. “Hmmm, saya rasalah.” Audra mula menggaru-garu pipinya. Takut tersilap kata.
Zack terus mendekati longgokan barang-barang itu dan perhatikan satu-persatu. Tiba-tiba matanya terpandang pada sehelai kot hitam. Kot hitamnya juga tersadai di sini,\ bersama longgokan barang yang tak diperlukan! Zack biarkan sahaja kot hitam itu dan masuk ke dalam kamar utama. Namun, hatinya sudah tak senang apabila kot hitamnya kelihatan seperti barang buruk yang kotor.
Zack sangat berpuas hati dengan hasil kerja Audra. Walaupun tiada perhiasan yang menarik, namun cara susunannya kemas dan selesa. Memadailah dengan apa yang dilakukan Audra.
Zack berpaling memandang Che Enon. “Berita baik,” Dia tersenyum pada Che Enon. “Saya pasti Tuan Syed dah bersedia untuk masuk ke Rumah Warisan malam ini jugak!”
“Betulkah?!” Wajah Che Enon berseri-seri. Bukankah itu bermakna Tuan Syed Zikri suka dengan kerja Audra? Bertuahlah Audra!
Excuse me, awak yang datang tengok, jadi, macam mana awak tahu Syed Zikri akan datang dan tinggal di sini?” Audra cuba memandang mata yang berselindung di balik cermin mata hitam itu. Saat ini, memang Audra tidak tahu di mana pandangan mata lelaki itu.
“Apa yang saya suka, Tuan Syed pasti suka. Mata saya adalah mata Tuan Syed. Kalau saya kata ya, maka jawapannya juga ya.”
Terkedu Audra dan Zana. Masing-masing sudah berpandangan. Masing-masing menghantar isyarat dengan pandangan mata. Wah! Rapat benar Encik Zack dan Tuan Syed Zikri! Pandangan mata mereka seolah-olah sedang berinteraksi dalam diam.
“Dan saya juga ada berita baik untuk kamu berdua,” sambung Zack. “Saya suka dengan hasil kerja kamu berdua. Mungkin, peratus untuk kamu berdua datang ke temuduga juga tinggi.”
Zana sudah tersenyum lebar. Dia memang bercita-cita untuk bekerja di syarikat ini. Kata-kata Zack itu merupakan satu harapan untuknya.
Berlainan pula dengan Audra. Dia tidak suka dengan cara Zack. Lelaki itu berkata seolah-olah mereka berdua sedang menyogok Tuan Syed Zikri dengan jasa mereka. Patutkah?  Hello Encik Zack, kami bukan kaki bodek, okey!
“Itu memang satu berita yang baik,” Audra mengakuinya. “Tapi, F.Y.I, Encik Zack, waktu kami berdua datang ke sini niat kami hanya mahu membantu Che Enon. Kami langsung tak tahu yang Rumah Warisan ini adalah milik Warisan Syed. Jadi, apa yang kami lakukan ini bukan untuk meminta jasa kami di pulangkan. Biarlah Warisan Syed menilai kelayakan kami melalui perstasi bukan melalui jasa ikhlas kami.”
Zack memusing badannya dan bertentangan dengan Audra lalu memeluk tubuh. Memerhatikan Audra melalui cermin gelapnya. Matanya terus menatap wajah itu tanpa Audra ketahui yang dia sentiasa memandang Audra.
“Tidak! Saya tak kata pun macam tu. Awak ingat dengan menyusun rumah ni dengan tak seberapa macam ni, Tuan Syed akan ambil awak bekerja?” Sengaja Zack berkata begitu. “Awak dan Zana diterima untuk temuduga. Saya ulang, temuduga! Bukan diterima bekerja.” Zack menekankan pada perkataan ‘temuduga’. “Awak dan Zana dipilih untuk temuduga atas kelayakan. Tiada kena mengena dengan jasa ikhlas awak berdua.”
Huh! Audra sudah merasa meluat dengan sikap Zack. Dia menjeling lelaki itu. Syed Zikri memang seseorang yang sangat menyedihkan apabila setiap keputusan hanya bergantung pada orang kanannya! Orang kanan yang berlagak! “Apa? Susunan yang tak seberapa?” Terguris hati Audra dengan kata-kata itu. Sudahlah penat dia menyusun kamar ini, membuang waktu dan tenaga, hanya itu sahaja yang mampu dikatakan Zack? Sangat menyakitkan hati! “Terima kasih atas pujiannya,” sindir Audra.
Zana dan Che Enon hanya menghulurkan pandangan simpati pada Audra. Tahu benar mereka yang perasaan Audra sedang terguris.
Zack berpaling dari memandang Audra. Dia tersenyum. Audra pasti tengah bengang dengan sikapnya. Dia mahu tahu setakat mana tahap kesabaran Audra. Zack berbual-bual dengan Che Enon tanpa memperdulikan Audra dan Zana. Dia dan Che Enon berpusing-pusing dalam kamar utama, melihat pada susunan kamar itu.
Audra hanya memerhati dengan geram.
“Audra, kau dengar tak apa kata Encik Zack tadi?” Zana berbisik di telinga Audra. Audra memandang Zana. “Dia kata, apa yang dia suka, Tuan Syed pasti suka. Matanya adalah mata Tuan Syed.”
Audra mengangguk. Memang Zack ada berkata begitu.
“Kau tak rasakah yang Encik Zack dan Tuan Syed tu, ’gitu-gitu’?” Zana sudah menggoyangkan badannya, kegelian.
Audra tengarnga apabila dapat menangkap maksud Zana. “Diorang berdua tu ada gitu-gitu?” Gitu-gitu yang dimaksudkan Audra adalah hubungan yang istimewa.
Zana sudah terangguk-angguk. Mata Audra pula sudah terbeliak dan mulutnya ternganga luas. Takkanlah!
“Ehemm!” Zack berdehem dengan kuat. Walaupun mereka berdua berbisik, sangat jelas di telinganya perbualan mereka. Adakah patut mereka membuat andaian begitu? Tercabar jiwa maskulinnya!
Audra dan Zana serentak memandang Zack yang sudah terpaku di depan mereka. Macam mana Zack boleh ada di sini? Tadi, lelaki itu sedang berbual dengan Che Enon.
“Saya adalah orang ke-per-ca-ya-an Tuan Syed.” Perkataan ‘kepercayaan’ diucap dengan ketegasan dan lambat-lambat. “Jangan suka simpan prasangka buruk!” Seraya itu Zack berlalu di tengah-tengah antara mereka. Sehingga bahunya melanggar bahu Audra.
Audra sudah membuat muka. Menyampah! Dia menyapu-nyapu bahunya yang bersentuhan dengan Zack. Terasa berdosa walaupun mereka tidak bersentuhan kulit kerana berlapik dengan pakaian.
Che Enon sudah tertawa pada Audra dan Zana apabila Zack sudah keluar dari kamar utama.
Audra dan Zana sudah menjeling Che Enon.
“Apalah kamu berdua ni! boleh pulak syak yang bukan-bukan!” Che Enon ketawa lagi.
“Sudah-sudahlah ketawakan kami Che Enon!” wajah Zana sudah berkerut.
Che Enon menghentikan tawanya walaupun dia masih terasa mahu berbuat begitu. “Tuan Syed tu, lelaki sejati tahu! Apatah lagi Encik Zack.” Che Enon berlalu pergi.
“Dahlah! Jom!” Audra yang sudah kehilangan mood terus menarik tangan Zana agar keluar dari kamar utama. Lalu, mereka berhenti di tempat longgokan barang di mana Zack sedang menanti.
Zack memandang Audra dan Zana yang baru tiba di situ. “Awak yakin semua barang ni tak diperlukan?”
“Saya tak tahu Encik Zack. Sebab tulah saya letakkan semuanya di sini. Manalah tahu kalau ada barang-barang yang Syed Zikri mahukan. Bolehlah dia ambil barang tu dan simpan semula.” Langsung tak ada tanda-tanda mesra dari nada suaranya.
“Okey!” Zack memerhatikan satu persatu barang itu. “Che Enon, nanti Che Enon minta Pak Dollah atau Pak Sudin buangkan semua barang-barang ni.” Dia juga merasakan perkara yang sama. Memang dia tak perlukan semua barang itu. “Cuma," Zack mencapai kot hitam yang sudah kotor kerana bercampur dengan barang-barang yang lain. “Saya tak rasa kot ni kepunyaan Tuan Syed Hussin.”
Che Enon sudah terbeliak matanya apabila Zack mengangkat kot hitam itu. Dia pernah melihat Tuan Syed Zikri membawa kot hitam yang sama ketika datang ke Rumah Warisan tempoh hari. Mampus!
Zack memandang Audra. “Awak rasa ini milik siapa?”
Audra menelan air liurnya. Rasanya, dia sudah tahu siapa pemiliknya. "Syed Zikri?” Dengan rasa bersalah, dia cuba meneka.
Zack mengetatkan senyumannya lalu mengangguk.
Segara Audra mencapai kot hitam itu dari Zack. “Saya akan bersihkannya. Saya janji!” Audra menepuk-nepuk kot itu dengan niat untuk membuang kotoran yang sudah terlekat. Tapi, perbuatannya itu sia-sia sahaja.
“Tak mengapalah, cik Audra. Awak boleh simpan kot itu dan bersihkannya nanti,” ujar Zack. “Jangan rosakkannya! Lagi satu, kenapa awak panggil Tuan Syed hanya dengan panggilan Syed Zikri?” Pada hemat Zack, Audra sepatutnya lebih menghormati panggilan itu memandangkan gadis itu adalah calon pekerja di Warisan Syed.
“Tentang panggilan Syed Zikri, saya rasa sebelum saya jadi pekerja Warisan Syed tak salah saya panggil dia hanya dengan nama.” Audra hanya menjeling. Menyampah!
Zack hanya menjongketkan keningnya. Audra benar!
“Kalau kot ni rosak, saya akan ganti balik!” sambung Audra.
“Awak nak ganti balik? Kot tu sangat mahal tau! Mampukah awak nak bayar?” Zack menunding pada kot hitam itu.
Audra mendengus. Encik Zack ni, memang menyakitkan hati! “In Sha Allah Encik Zack, saya akan jaga kot hitam ni macam saya jaga nyawa saya sendiri.” Sinis sekali senyuman yang diukirkan Audra pada Zack. Senyuman menyindir!
“Hmm, bagus!” Bukan dia tak mengerti senyuman yang penuh dengan rasa meluat diukir Audra itu. Tapi sengaja dia berpura-pura tak tahu. “Tuan Syed tentu akan berterima kasih dengan awak.”
“Sepatutnya macam tu lah. Tapi bila lihat Encik Zack, saya dah jadi tak pasti.” Audra memandang pada cermin hitam itu dengan harapan dapat melihat mata Zack. Memang agak janggal apabila berbual dengan orang tanpa melihat terus ke dalam matanya.
“Apa maksud awak?” Dahi Zack berkerut.
“Orang kepercayaan Syed Zikri pun dah bersikap macam ni. Apatah lagi tuannya, kan?” Audra melemparkan pandangan yang tajam kepada Zack.
“Berani awak cakap macam tu? Awak tak takut saya tarik balik keputusan saya untuk kamu berdua datang temuduga nanti?” ugut Zack. Memang dia tidak menjangka yang Audra akan seberani itu.
Zana pula, sudah menyiku Audra. Hatinya sudah risau dengan sikap Audra.
“Sangatlah tidak professional kalau Encik Zack buat begitu!” Pandangan mereka masih bertaut. “Encik Zack janganlah risau. Kot ni, saya akan bersihkan seperti keadaan asalnya. Kalau tak, saya akan ganti yang lain walaupun memakan masa yang lama untuk saya kumpulkan wang.” Audra ingin bergerak pergi namun pantas tangan Zack mencapai pergelangan tangannya yang ditutupi dengan kemeja panjang.
“Bersihkan kot tu dan,” Zack mengembuskan nafasnya. “Terima kasih untuk apa yang awak dah lakukan.”
Usai Zack berkata begitu, Audra menarik tangannya dan berlalu pergi bersama Zana.
Zack melirik Che Enon. “Dia,” ujar Zack sambil matanya memerhati langkah Audra yang menuruni tangga. “Sangat berani!”
Che Enon hanya mengukirkan senyuman. Hati tuanya menyatakan sesuatu. Pujian yang dilemparkan Zack pada Audra, bukan satu pujian kosong. Hati lelaki itu telah tercuit dengan Audra.