Friday 29 March 2013

Lucky Hana-episod 2








Aku terus memerhatikan wajah yang tidak jauh dari aku. Hanya jarak 100 meter yang memisahkan kami. Namun, dari kejauhan ini aku sudah bisa mengagak siapakah gerangan yang sedang tersenyum padaku.

Huh! Patutlah dia ada kat sini dua hari lepas. Rupanya, dialah penyewa baru yang akan menyewa di rumah yang betul-betul bertentangan dengan banglo kami sekeluarga.

Dengan rasa berat hati aku menghampirinya. Kenapalah aku perlu berjumpa dengannya lagi? Ini semua pasal pakcik Naza lah! Sejak aku ungkit tentang semua harta yang menjadi hak aku termasuk rumah sewa dan tanahnya, terus dia lepas tangan dalam urusan sewa rumah.

Bukan aku tak tahu, dia sengaaja nak ambil simpati mak. Kononnya semua harta aku, biarlah aku yang uruskan. Tapi, urusan wang mahu pulak dia pegang. semua wang sewa akan dimasukkan ke dalam akaun mak. Akaun mak pula, ada di tangan Pakcik Naza. 

Ikut hati, mahu sahaja aku mengungkit hal tu. Mana taknya, setiap bulan aku hanya diberi gaji kerana bekerja di restoran. Dah tu, untung sewa rumah sikit pun aku tak dapat. kalau bertul semuanya masuk ke dalam akuan mak, aku tak kisah. tapi, kenapa pulak kad bank Pakcik Naza yang pegang?

Tapi, kalau aku ungkit hal tu pada mak, mak mesti tak suka. Mesti mak akan kata aku berkira dengan keluarga sendiri. Tak boleh jadi ni, aku mesti cari jalan minta mak buka buku laporan tentang wang masuk dan keluar sewa rumah. Alasan yang tepat adalah untuk memantau keluar masuk wang dengan lebih teratur. Aku pun nak tahu juga, di mana mengalir setiap hasil sewa rumah tu.

“Assalamualaikum cik puan rumah,” sapanya sambil tersengih-sengih. Ni lagi satu, menyampah aku tengok pemuda ni lagi. Sah! Ni mesti kes rasa bersalah sebab langgar tuan rumah sendiri.

“Waalaikumsalam!” sikit pun aku tak menunjukkan keramahan. Hello, kaki aku masih sakit, okey!

“Kaki cik puan rumah masih belum baik?” Macam tahu-tahu aje dia ni! Mungkin dia menyedari cara jalan aku yang masih capik sedikit.

“Nah! Ini perjanjian untuk sewa rumah.” Malas aku mahu menjawab soalannya.

Dia mencapai kertas perjanjian itu. Dia membaca setiap butir, kemudian barulah dia mengeluarkan pen dan tandatangan perjanjian itu. Lalu diserahkan semula kepada aku.

“Terima kasih cik Hana. Hari tu, yang jumpa dengan saya tu, bapa cik Hana ek?”

Tercengang aku sekejap. “Macam mana awak tahu nama saya?”

“Tu! Dalam perjanjian tu ada tulis.”

Oh, betul jugak! Termalu aku.

“Nama saya Shahureen. Cik Hana boleh pangguil saya Ayen. Semua kawan-kawan panggil saya dengan nama tu.”

Dia tersenyum. Aku hanya menjeling. Macamlah aku tak tahu. Namanya juga ada di dalam perjanjian itu.

“Itu adik cik Hana ek?” dia menunding ke belakang. Aku menoleh. Susuk tubuh Nabila sedang berdiri di depan pintu pagar sedang tersengih-sengih memandang pemuda itu. Tangannya pula, sedang menggulung-gulung rambutnya.

Hei! Geram aku dengan Bella! Gatal!

“Bella! Masuk dalam!” Terus aku bertempik.

Mungkin kerana terkejut dengan tempikan aku, Nabila terus melangkah ke dalam. Sempat lagi dia melambai kepada penyewa baru itu. Eeii...mamang dasar playgirl adik aku ni! apa nak jadi pun tak tahu!

Masalah betullah! Sudahlah yang menyewa itu pemuda bujang. Si Bella ni pulak miang! Pantang nampak lelaki handsome sikit. Mulalah gatalnya nak ‘try’. Mentang-mentanglah dia cantik, semua lelaki nak dipikatnya.

“Awak jangan cuba-cuba nak kacau adik saya!” Jari telunjuk aku sudah naik ke mukanya.

“Mana ada!” pantas lelaki itu menahan diri. “Saya senyum je.”

“Sebagai orang baru di sini, saya nak ingatkan awak. Jangan sesekali awak ambil kesempatan untuk mendekati adik saya. Dan ingat! Jangan pernah ambil tahu urusan keluarga saya!” Aku memang patut memberi arahan itu.  Rumah yang disewa Ayen itu sangat dekat dengan rumah aku.

Keluarga aku pula selalu huru-hara. Tentu saja Ayen akan tahu apa yang terjadi di dalam rumah itu. Jadi, biarlah aku memberi arahan terlebih dahulu. Penyewa sebelum ini juga aku lakukan perkara yang sama.

“Okey!” Ayen mengangkat keningnya.

By the way, jangan panggil saya Hana. Panggil saya Lucky.”

"Lucky? Kenapa Lucky?"

Ish! banyak tanya pula si Ayen ni. "Jangan sibuk boleh tak?"

Ayen mengangkat bahunya.

"Cik Lucky ni garang, tak macam bapa Cik Lucky ya."

"Amboi sedapnya cakap!" Berterus terang sungguhlah si Ayen ni. Aku garang pun bersebab. Sebab dia, pada hari pertama kami bertemu, dia dah bersalah pada aku.

"Betul apa!"

"Dia bukan bapa saya!"

"Habis tu?"

"Bapa tiri!"

"Oh, patutlah sikap Cik Lucky dengan adik Cik Lucky lain ya. Mungkin, dia anak bapa tiri Cik Lucky kot."

Berkerut dahi aku memandang Ayen. 

"Ye lah, dia macam merpati yang senang di dekati dan CIk Lucky, macam harimau. Nak dekat pun takut!"

mungkin dia membuat telahan berdasarkan perhatian yang diberikan Nabila tadi.

"Tapi, ini harimau bukan sebarang harimau. Harimau ni akan jaga seluruh keluarga dia. Bapa merpati yang ada dalam rumah tu pulak tak boleh harap! Jadi, jangan sesekali rapat dengan adik saya dan ambil kesempatan atas dia! Ingat!"

Dalam aku memberi arahan agar jangan ikut campur urusan keluarga aku, secara tak langsung aku dah 'ter'bagi klu kepada Ayen yang keluarga aku sememangnya bermasalah.

Hmmm....


-------------@@---------

“Nah!” dengan pantas aku menyerahkan design terbaru aku kepada Lin. Dengan itu juga mata aku meliar memandang sekeliling. Takut jika ada orang yang mengenali tahu aku di sini.

Manalah tahu kalau Pakcik Naza menghantar pengintip untuk ekori aku. Bukan aku nak menuduh, sekadar berhati-hati. Mak mungkin percaya bila aku kata yang aku sudah tidak meneruskan minatku kepada fesyen. Namun, Pakcik Naza belum tentu percaya. Hanya musuh yang akan mengenali musuh dengan baik.

Walaupun selama ini aku berjaya menjaga rahsia aku. Tapi aku tetap perlu memastikannya selamat sehingga aku punya memujuk mak untuk membenarkan aku meneruskan minat ku ini.

“Aku dah dapat tukang jahit.”

“Betul?” Bagai nak tersembul biji mata aku. Ni yang buat aku sayang sangat dengan Lin. Cekap sekali dia membuat kerja.

“Tapi bukan profesionallah. Diorang ni pun belajar menjahit dengan tukang jahit biasa. Ada masa kalau, kau kena datang sini. Beri tunjuk ajar sikit. Kang lingkup design kau nanti!”

Aku sudah menggaru kepala.

“Tengoklah macam mana. Aku try curi-curi datang sini lah.” Aku perlu mencari jalan dan mencuri waktu ke kedai. Jika tidak, bagaimana butik online ‘Lucky Hana’ akan beroperasi? Nama butik Lucky Hana ini baru saja aku tukar. Sebelum ini, bisnes online ku menggunakan nama sebenar aku iaitu Hana Zarra.

“Bila kau nak berterus terang dengan mak kau?” Lin sudah meletakkan lembaran design terbaru aku di tepi. Perhatiannya sudah tertumpu kepada ku. Sejak dari awal Lin memang tahu masalah aku.

Aku hanya menjongketkan bahu aku.

“Suatu hari nanti mak kau tentu dapat tahu juga. Lebih baik kau berterus terang dari sekarang.”

“Belum masanya lagi Lin. Masa tak sesuai.”

“Cik Lucky!”

Alamak, suara itu macam aku kenal je. Dengan lambat-lambat dan penuh debaran di dada aku berpaling memandang je belakang. Sah! Terjegil muka Ayen di situ. Mati aku!

Lidah aku terus kelu. Tercengang aku memandang dia.

“Awak buat apa kat sini? Kedai ni tak terbuka untuk orang luar. Awak tak boleh masuk sini.” Lin sudah mendekati Ayen.

“Eh, tak! Saya bukan nak beli baju.” Mata Ayen meliar memandang seluruh kedai itu. “Saya nampak Cik Lucky kat luar tadi. Sebab tu saya datang sini.”

Patutlah aku terasa macam diri diekori. Tapi aku tak nampak bayang Ayen pun. Aku terus mendekati Ayen.

“Kenapa awak ikut saya?”

“Eh, tak!” Pantas dia menggawang-gawang tangannya ke kanan dan ke kiri. “Saya ke restoran tadi. Kecoh orang kat sana cari Cik Lucky. Masa saya kat pintu masuk tadi, saya nampak cik Lucky. Sebab tu saya ada kat sini. Saya cuma nak beritahu yang dia orang semua cari Cik Lucky.”

Dengan pantas aku menyelongkar porch bag aku. Terus aku menarik keluar handphone. Tak de bateri! Patutlah tak berbunyi. Mungkin mereka dah banyak kali menghubungi aku.

“Lin aku kena balik dulu!” Tanpa menunggu kata-kata Lin yang mulutnya sudah terbuka aku terus berlari keluar ke parkir motorsikal.

Aku meraba-raba kunci motorsikal di poket. Porch bag? Tak de! Alamak, jatuh kat mana pulak? Aku mencari di lantai.

“Ni!” Tiba-tiba segugusan kunci muncul di depan mataku. Aku terus mengangkat wajah dan melangutkan pandangan mataku.

Ayen sudah tersenyum kepada ku. Aku terus merampas gugusan kunci dari tangannya. Tentu aku dah tertinggal di kedai tadi. Agaknya itulah yang mahu dikatakan Lin, iaitu kunci motorsikal aku tertinggal.

“Cik Lucky tertinggal..”

“Saya tahu!” Aku terus memotong kata-katanya.

Ada keluhan di bibirnya dengan sikap dingin aku.

“Cik Lucky ni jauh beza dengan Bella. Bella dahlah cantik. Di tambahkan lagi dengan keramahannya yang murah dengan senyuman, semakin cantiklah dia.”

Pang! Bagai satu tamparan hinggap di pipi aku bila dia menyebut nama Nabila.

“Berapa kali saya perlu beritahu awak? Jangan dekati Bella! Dia adik saya. Dia masih belajar, saya tak nak awak mainkan perasaan adik saya. Dia masih muda.”

Bengang betul aku dengan Ayen. Terus aku memulas handle dan berlalu pergi. Bella pun satu! Budak ni memang nak kena! Tahulah aku nak mengajar dia.

--------------------@@--------------

Lepas aku hantar peti-peti ikan ke restoran, aku pulang ke rumah kejap. Rasa malas pula nak makan di luar. Kadang-kadang mak masak juga di rumah. Kalau langkah kanan aku hari ni, adalah lauk untuk dimakan.

“Alah mak, Bella nak beli buku lah,” Belum pun aku melangkah ke dapur aku dah dengar suara rengekan Nabila. Ni mesti nak minta duit dari mak lagilah tu!

“Minggu lepas kan kau dah minta duit dekat mak nak beli buku?” Terus aku menyergah.

Terkejut beruk Bella bila dia lihat muka aku di situ.

“Itu buku lain lah kak. Ni buku lain.” Nampak sangat dia tak suka dengan kemunculan aku.

“Kau boleh tipu mak tapi bukan akak. Akak dulu pun pernah belajar jugak tau!”

“Akak lain. Akak tak habis belajar. Bella dah tahun tiga sekarang!”

Menyirap darah aku bila Nabila mengungkit hal itu.

“Aku tak dapat belajar pun sebab bapa kau lah!” Tatkala itu aku memang terlupa dengan kehadiran mak.

“Hana!!” Terus nama sebenar aku diseru mak. Macam biasalah, mana boleh disentuh nama suami kesayangannya itu. “Kalau kau marah dengan adik kau, tak payahlah babitkan pakcik kau sekali!”

Aku hanya mencebik. Aku pandang Bella semula.

“Kau tunjuk dulu dekat akak buku apa kau beli minggu lepas.”

Bella dah melirik mak. Nak tagih simpati dari mak lah tu.

“Dia minta duit mak, yang kau marah-marah sangat ni kenapa?” tanya mak.

“Bella adik Lucky. Lucky berhak perhatikan dia! Mak nakkan masa depan anak manja mak ni terjamin, kan?”

Mak diam. Sungguh, aku bertegas dengan Bella kerana Bella telah rosak kerana kemahuannya sentiasa dituruti. Setiap kata-kata aku untuk kebaikan Bella, mak tak pernah nak dengar. Tapi, sejak aku dapat tahu yang rumah dan tanah-tanah ini adalah kepunyaan aku, mak banyak beralah bila aku memarahi Bella. Cuma, dia sangat pantang bila aku babitkan pakcik Naza.

Melihat mak diam, aku terus menarik tangan Bella dan membawanya masuk ke dalam bilik tidur Bella.

“Sakitlah akak ni!” Nabila mengurut pergelangan tangannya sebaik sahaja aku melepaskan genggaman.

“Mana buku yang kau beli?”

Lambat-lambat dia mengeluarkan buku dari beg galasnya. Tiga buah buku di susun di depan aku. Matanya tak sudah-sudah menjeling geram.

“Buku ni?!”

Nabila mengangguk.

“Kau jangan nak tipu akak. Dengan mak kau boleh tipu. Buku-buku ni akak dah nampak sejak bulan lepas!”

“Bella tak tipu!”

“Mana resit?”

“Mana ada! Bella dah buang!”

Nak menipu lagi. Sebenarnya, aku memang dah pernah lihat buku tu dalam billik Nabila. kalau tak silap, sejak tiga minggu lepas dah ada.

“Tak apa, kali ni Bella lepas. Bella nak duit beli buku?” Aku cuba mengalah sebab aku sendiri tak punya bukti.

Nabila mengangguk.

“Bagi senarai buku yang Bella nak beli, biar akak yang pergi beli.”

Wajah Nabila semakin mencuka.

“Akak mana ada duit. Tengok!” Dia menunjuk pada aku. “Baju pun tak bertukar. Ada hati nak beli buku kat Bella!”

Budak ni memang melampau. Kalau ikut hati, memang dah kena penampar dah!

“Aku tak de duit pun sebab bapa kau yang bolot semua harta benda aku. Tapi kau kena ingat, semua harta ni termasuk rumah banglo yang kau duduk ni, semuanya harta aku. Kalau aku tak fikirkan mak, dah lama aku halau bapa kau tu dari rumah ni”

Bella menarik muka lebih masam. Bukan niat aku nak bermengah atau nak riak. Jauh sekali mengungkit. Namun, kadang-kadang untuk mengajar Bella erti ‘penghargaan’, ‘penghormatan’, aku perlu guna kata-kata kasar begini.

“Dahlah tu, aku kena pula tolong dia dekat restoran. Gaji pun serupa kuli punya gaji.” Aku mendengus.

Bella hanya diam.

Tiba-tiba aku teringatkan Ayen.

“Bella, akak dah pesan dengan kau jangan rapat dengan Ayen, kan?”

Bella mengalih pandangannya. Cuba melarikan anak matanya dari aku.

“Dia tu, masih baru kat sini. Baik buruk dia, kita tak tahu. Kalau dia ambil kesempatan macam mana?”

Bella sudah menggaru-garu telinganya. Bengang agaknya mendengar omelan aku.

“Tak baiklah buruk sangka dengan orang. Ayen tu baiklah. Lagipun dia handsome tau!”

“Eeiii.....gatalnya kau! Ayen lah, Shah lah, Azmi lah. Apa nak jadi dengan kau ni? Belajar pun tak habis, asyik berkepit dengan jantan je!”

Terbeliak biji mata Bella pandang aku. Barangkali dia terkejut bila aku menyebut koleksi teman lelakinya.

“Dia orang tu semua kawan Bella je lah. Ayen tu pun, kawan je.”

“Kawan tu kawan lah. Aku pun kawan jugak dengan lelaki. Tapi tak de lah macam kau. Ke sana berkepit, ke sini berkepit. Itu kau kata kawan. Agaknya kalau teman lelaki betul, lebih dari tu kau buat apa!”

“Akak ni!” Bella bangun dan bertentang mata dengan ku. Terasa sekali api sedang marak di dalam pandangan matanya.

“Apa?”

“Bella tak keluar dengan Ayen lah. Bella terserempak je dengan dia pagi tadi. Tu pun dekat depan rumah je.”

“Akak bukan apa. Akak Cuma nak ingatkan je. Jangan bebas sangat. Kang tergadai maruah kau pula!”

“Hei!” Tiba-tiba je pekikan suara Pakcik Naza bergema. Toleh-toleh je, dia dah ada belakang aku. “Kau ingat anak aku ni apa? Bohsia?!”

“Saya cuma nasihatkan dia je.” Aku pandang Pakcik Naza.

“Sudah! Sudah! Tak payah nak nasihat anak aku. Pandai-pandailah aku jaga dia. Dia anak aku!”

“Saya peduli apa dia anak Pakcik. Saya cuma nasihat adik saya. Bella ni adik saya!”

Kalau dah bertembung aku dengan Pakcik Naza, memang suara padu kami berdua boleh di dengar satu kawasan perumahan. Sebab tulah dari awal, aku akan beri nasihat atau lebih tepat lagi beri amaran kepada penyewa terdekat agar jangan ikut campur dalam urusan keluarga kami.

“Baik kau berambus dari sini sebelum tangan aku naik kat muka kau!” tempelak Pakcik Naza.

Huh! Dia ingat aku takut. Memang aku dah buka mulut nak balas kata-kata Pakcik Naza, namun tiba-tiba sahaja wajah mak terjengul kat muka pintu kamar Bella. Terus mulut aku terkunci rapat.

Melihat wajah mak, aku tak nak panjangkan cerita. Terus aku keluar dari bilik Bella dan ke halaman rumah.

Perut aku berbunyi. Memang dari tadi aku lapar. Niat balik rumah nak isi perut dengan air tangan mak. Akhirnya, perut aku terisi dengan perkara begini. Aku terus keluar dari pintu pagar.

Tiba-tiba sahaja Ayen muncul di situ.

“Kenapa Cik Lucky?” Ni mesti dia dengar paduan suara aku dengan Pakcik Naza.

“Jangan menyibuk boleh tak?”

“Saya bukan nak menyibuk. Tapi, sebagai orang yang paling dekat dengan keluarga cik Lucky, saya berhak tahu apa yang terjadi.”

“Awak bukan ‘orang yang paling dekat dengan keluarga saya’!” aku betulkan kembali kenyataannya. “Cuma, rumah sewa awak je yang paling dekat dengan rumah kami sekeluarga.”

“Itulah maksud saya.”

Aku menjeling dan berjalan pergi. Aku ingat nak singgah di gerai dekat jalan keluar.

“Cik Lucky marahkan Bella pasal saya kah?”

Terus langkah aku terhenti dan menoleh ke belakang. Ayen mengekori aku? Aku mencekak pinggang.
“Sejak hari pertama awak kat sini, saya dah nasihatkan awak jangan masuk campur urusan keluarga saya.”

“Cik Lucky ni garang sangat.”

“Apa?” Beraninya dia!

“Kalau nak nasihatkan orang, janganlah marah-marah. Bella tu dah besar. Dia bukan nak dengar cakap Cik Lucky.”

Aku mengeluh. “Memang susah nak nasihatkan Bella. Cakap dengan dia, macam cakap dengan tembok. Tambah-tambah bila ada Pakcik Naza.”

“Bella tu masih remaja. Memang susah nak nasihatkan remaja. Dia orang takkan dengar cakap kita. Kalau budak kecik, senang lah. Dengan remaja ni Cik Lucky, kita kena buat dia orang faham, bukan buat dia orang dengar cakap.”

Aku pandang Ayen. “Maksud awak?”

“Yelah...remaja ni, dia orang akan fikir yang dia orang dah besar. Tak perlukan nasihat orang lain. Dia orang fikir, dia orang tahu apa yang dia orang buat. Sebab tulah dia orang tak nak dengar cakap kita. Kita perlu nasihatkan mereka dengan cara lain. Dengan cara yang boleh buat dia orang faham dengan nasihat kita bukan minta dengar cakap dari kita.”

Makin aku keliru dengan nasihat dia.

“Maksud saya, kita kena buat mereka faham dengan nasihat kita bukan minta dia orang dengar dan ikut cakap kita secara paksa.”

Hmmm....Ada betulnya juga kata Ayen. Lama juga aku pandang wajah dia. Dan kemudian....Eh, apasal aku kena bincang semua hal ini dengan dia? Gila kah apa aku ni!

“Eh dah lah. Saya nak gi makan. Awak jangan ikut saya!”

“Cik Lucky! Kita belum habis bincang.”

“Hal keluarga saya tak ada kena mengena dengan awak. Saya tak perlukan nasihat awak!”

“Tapi...”

“jangan masuk campur urusan saya!”

Aku terus melangkah dan langsung tak ambil peduli dengan panggilannya.



bersambung............


----------------------@@--------------

Friday 22 March 2013

Senyumlah Sayang 12









Sampai sahaja di IIham Hati, Tania terus menuju ke Syurga Ilham Hati. Ketika dia melintasi halaman untuk ke rumah, kelihatan Zaiton bergegas menghampirinya. Tania sudah terpaku di situ. Pasti Makcik Zaiton sedang mencari Amani. Tania sudah menelan air liurnya.

"Assalamualaikum Tania." Zaiton menegur Tania dengan ramah bersama senyuman yang lebar. Sedari tadi dia mengingatkan dirinya, apabila bertemu dengan kedua beranak ini, iaitu Tuan Helmi dan Tania, dia perlu memberi salam terlebih dahulu.

"Waalaikummussalam, makcik." Tania membalas senyuman yang dihulurkan Zaiton. Senyuman Makcik Zaiton memang mempesonakan. Senyuman itu mengingatkan dia pada arwah ibunya. Melihat Zaiton, rindunya pada Sufi semakin meluap-luap. Jauh benar sikap Amani dan Makcik Zaiton. Makcik Zaiton murah dengan senyuman.

"Macam mana dengan sekolah hari ni?" tanya Zaiton lalu mencapai kedua-dua tangan Tania dan menggenggamnya erat. Amani tiada bersama Tania. Sudah tentu Amani sudah menuju ke kamarnya atau ke ruang makan. Dia perlu menggunakan kesempatan ini berbaik dengan Tania tanpa kehadiran Amani. Jika tidak, pasti hanya jelingan tajam Amani yang bakal diterimanya.

Pertanyaan Zaiton membuatkan Tania tersenyum lebar. Saat ini dia sudah terlupa tentang Amani. “Baik!”Senyuman Tania semakin lebar dengan perhatian Zaiton. "Semuanya okey!”

"Tania tentu letihkan? Pergilah berehat, lepas tu pergi makan."

"Hmmm!" laju Tania mengangguk. "Makcik dah makan?"

"Belum lagi. Makcik ingat nak tunggu Tania dan Amani pulang sekolah dulu. Boleh kita makan sekali."

Saat ini baharulah dia teringat tentang Amani. Dia tertunduk. Tania tertunduk. "Makcik, Tania minta maaf."

Senyuman di wajah Zaiton bertukar dengan kerutan di dahinya.

Tania melirik Zaiton seketika lalu menunduk kembali. "Sebenarnya, masa balik tadi, Kak Amani tak nak beli barang sekolah yang baru. Dia bertengkar dengan Abang Izz. Lepas tu, Abang Izz tinggalkan Kak Amani di tepi tasik, dekat lorong masuk ke Setia Sentosa." Dengan nada yang perlahan dan lambat-lambat, Tania menuturkan kata.

Zaiton mengherotkan bibirnya. Amani tak nak beli barang baru? Kenapakah anaknya itu terlalu bodoh menolak pemberian orang yang mahu membantunya? Kesal dia dengan sikap Amani. Amani langsung tak mewarisi sikapnya tetapi anaknya itu lebih banyak mewarisi sikap arwah ayahnya. Suaminya dulu juga sangat tidak suka menerima bantuan orang. Kalau boleh, apa saja mahu dilakukan dengan sendiri. Sebab itulah mereka terus hidup dalam kemiskinan.

"Makcik marahnya?" Soal Tania takut-takut.

Fikiran Zaiton kembali kepada Tania. Dia terus memandang Tania. Satu senyuman diukirnya. "Mana ada makcik marah. Kalau makcik marah pun, makcik marah pada Amani!" ujar Zaiton. Sungguh! Dia tahu benar sikap Amani. Kalau bukan kerana sikap Amani sendiri, tak mungkin Izz dan Tania meninggalkan dia begitu. "Biarkanlah, kejap lagi dia baliklah tu!"

Dia tidak pernah risau tentang Amani. Dia tahu Amani boleh menjaga dirinya sendiri. Itulah yang berlaku selama ini.

“Tak apalah. Tania pergi masuk dalam. Berehat, bersihkan diri, lepas tu kita makan sama-sama. Makcik ada di depan Kamar Ilhan. Makcik nak bersihkan kolam ikan.”

“Hmmm,” Amani menangguk sambil matanya menyoroti langkahnya Zaiton. Satu keluhan dilepaskan. Dia bernasib baik apabila Zaiton tidak memarahinya. Tetapi dalam masa yang sama dia agak keliru dengan sikap Zaiton yang seakan tidak mengambil kisah tentang Amani. Dia berfikir sejenak dan kemudian dia menggelengkan kepala. Tak mungkin Zaiton tak pedulikan Amani. Amani itu kan anaknya. Tentu Zaiton lebih mengerti sikap Amani kerana itulah dia tidak khuatir dengan Amani yang ditinggalkan itu.

Mungkin kata Izz benar. Amani pandai menjada diri. Kerana itulah Zaiton juga tidak khuatir tentang dirinya.

Tania kembali tersenyum. Hari ni, mereka akan berkumpul bagaikan atau keluarga. Tuan Helmi, Tania, Zaiton dan Izz. Amani? Bagaimana dengan Amani? Fikiran Tania melayang mengingati Amani lagi.

SEBAIK sahaja usai menyudahkan makanan, Zaiton meminta diri untuk menyambung semula tugasnya. Tania pula, dalam diam masih menunggu kepulangan Amani. Entah berapa kali dia menghubungi Ilham Hati dan bertanya dengan mereka di sana tentang kepulangan Amani. Adakah mereka melihat kelibat Amani masuk ke dalam kawasan Ilham Hati?Namun, hanya jawapan hampa yang diterimanya.

Setelah berfikir panjang, Tania mengambil keputusan untuk berjumpa Izz dan meminta lelaki itu mencari Amani. Setelah yakin dengan keputusannya, dia terus bergegas ke pondok kecil Izz.

Sampai sahaja di sana, langkah kaki Amani terhenti. Dia melihat susuk tubuh Izz sedang duduk bersendirian di anak tangga. Izz kelihatannya sedang mengelamun. Atau, mungkin sedang berfikir, barangkali. Mungkinkah lelaki itu sedang memikirkan tentang Amani. perasaan cemburu mula berputik di hati Tania.

Dengan perlahan Tania mengatur langkah menghampiri Izz yang terus hanyut dalam dunianya sendiri. Dia duduk di sisi Izz. Saat ini Izz sudah mula sedar dengan kehadiran Tania. Dia hanya menoleh Tania sekilas lalu kembali ke posisi asalnya.
"Abang Izz tak risaukan Amani?" soal Tania memecahkan kesunyian antara mereka. Sungguh, hati Tania diburu rasa bersalah pada Amani walaupun seketika tadi perasaan cemburu sudah terselit di dalam hatinya.

Soalan Tania itu menyebabkan Izz kembali melirik padanya. Mana mungkin dia tidak risaukan Amani. Sedari tadi, dia hanya memikirkan Amani. Namun, sikap Amani sangat menjengkelkan.

Satu hembusan nafas dilepaskan Izz. Perlukah dia risau tentang Amani? Tak perlu! Dia memang tak perlu khuatirkan Amani. Namun kenapa hanya persoalan Amani yang berlegar di mindanya? Apa yang tak kena dengan Amani? Kenapa Amani bersikap begini?

"Macam mana Kalau Amani melarikan diri?" Tania khuatir tentang itu. Bagaimana dengan hidup Amani jika dia pergi dari Ilham Hati?

"Dia takkan lari!" ujar Izz dengan yakin. Dia tak tahu tentang itu. Tapi dia yakin, Amani tak mungkin melarikan diri.

"Macam mana Abang Izz tahu?" Tak mungkin Izz tahu begitu banyak tentang Amani. Apatah lagi Amani masih baru di sini. Tapi, setiap kali berbicara tentang Amani, dia seperti merasakan bahawa Izz sangat mengenali Amani. Apakah mereka telah lama mengenali antara satu sama lain namun sengaja mereka merahsiakan perkara itu? Mereka berdua mempunyai hubungan yang istimewa? Tak mungkin!

Izz diam. Mungkin mereka di Ilham Hati baru mengenali Amani, begitu juga dengannya. Namun, tak susah untuk mengenali sikap dingin dan keegoan gadis itu. Apa yang sukar adalah isi hatinya yang tersirat itu. Gadis seperti Amani tak mungkin memungkiri janjinya. Apatah lagi bila keegoannya itu bagai mendesak agar dia melangsaikan semua hutangnya pada Tuan Helmi. Amani takkan pergi selagi hutangnya tidak selesai.

Tania hanya menghembuskan nafas perlahan apabila soalannya tidak bersambut. Dia melirik jam di tangan. "Sekarang dah pukul empat petang. Amani masih belum pulang. Masih belum makan. Tentu perut dia dah masuk angin." Ada nada kerisauan dari suara Tania. Dia menongkat dagunya dengan kedua-dua belah tangan.

Izz menggelengkan kepalanya. Amani sangat bertuah kerana terdampar di Ilham Hati. Bagaimana jika dia terperangkap di tempat lain setelah dihalau dari rumahnya? Tak mungkin akan ada orang sebaik Tuan Helmi dan Tania yang sanggup menjaganya seperti mereka. Barangkali, Amani telah dijual.

"Tania risaukan Amani?" Izz tetap bertanya walaupun raut wajah Tania telah menunjukkannya.

Tania menarik nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia perlu memikirkan soal Amani. Yang pasti, dia memang khuatir tentang gadis itu. "Tak mengapalah, biar Tania cari Amani." Akhirnya Tania mengambil keputusan begitu apabila melihat keengganan Izz untuk mencari Tania.

"Kenapa?" tanya Izz. Kenapa Tania perlu mencari Amani setelah apa yang telah dilakukan Amani padanya?

"Entah." Tania menjungkitkan bahunya. "Lagipun…” Tania berhenti dari menuturkan kata. Apa yang mahu dikatakannya ialah, dia kasihan pada Amani kerana Zaiton kelihatan tidak memperdulikan anaknya itu. Jika dia berkata begitu, apa pula kata Izz nanti? “Tak apalah Abang Izz. Tania pergi dulu!” Tania terus bergegas pergi dari situ tanpa mengunggu balasan kata dari Izz.

Tercengang Izz melihat langkah Amani yang berlalu pergi. Tak sempat dia bertanya sama ada Zaiton sudah mengetahui tentang perkara ini. Makcik Zaiton tak mencari Amani? Sepatutnya Makcik Zaiton sedar Amani masih belum pulang sejak jam satu tengahari tadi!" Izz melangkah pergi.

Izz mengatur langkah menyelusuri segenap Syurga Ilham Hati untuk mencari Zaiton. Apa agaknya yang dilakukan Zaiton sehingga dia lupa tentang Amani? Sampai sahaja di belakang kawasan ruang makan, kedengaran suara gelak tawa Puan Zaiton dan Tuan Helmi.

Perlahan-lahan Izz mendekatkan dirinya dengan dinding ruang makan. Di sebalik dinding itu, dia mengintai susuk tubuh pasangan yang sedang asyik berbual dengan mesra. Lama dia memerhatikan tingkah mereka berdua.

Tuan Helmi tertawa besar apabila ada perbualan di antara mereka yang mencuit hatinya. Izz yang sedang memerhatikan merasa terpegun. Tuan Helmi tidak pernah kelihatan begitu gembira seperti saat ini. Tawa Tuan Helmi sudah lama tidak kedengaran di Ilaham Hati sejak pemergian Puan Sufi. Apakah kehadiaran Puan Zaiton telah mengembalikan semula gelak tawa itu?

Izz berhenti dari mengintai. Dia bersandar di dinding. Apa yang dilihatnya adalah satu perkara yang menggembirakan. Namun, ia juga bisa menjadi satu perkara yang menakutkan.

"KAKAK!" Dari jauh Tania menjerit apabila dia melihat kelibat Amani yang terpaku di depan tasik. Dengan pantas Tania menghayun langkah ke situ. Lega hatinya melihat Amani di situ.

            Sayup-sayup Amani mendengar panggilan namanya. Kenal benar dia dengan pemilik suara itu. Kalau tidak menjerit seperti anak kecil begitu bukan Tania, siapa lagi? Sengaja dia memekakkan telinga.

"Kakak!" Kini Tania sudah berdiri di sisi Amani. Namun kehadirannya langsung tak dipedulikan oleh Amani. "Apa kakak buat di sini? Jomlah kita balik!" Tania cuba memujuk Amani.

Amani tetap membisu seperti tadi. Sambil memeluk tubuhnya dan membuang jauh pandangannya ke tasik, dia membiarkan kata-kata Tania berlalu di telinganya.

"Kakak! Jomlah balik! Nanti semua orang risau!" Tania meninggikan nada suaranya.

Kata-kata Tania itu membuatkan Amani berpaling memandangnya. Risau? Siapa yang akan risaukannya? Satu jelingan tajam dilemparkan kepada Tania, lalu dia bergerak menyusuri lalang-lalang yang semakin meninggi untuk ke lorong kecil.

Sikap Amani membuatkan Tania mengetap bibirnya menahan marah. Sudahlah dia kepenatan mencari Amani di sini, tetapi langsung tak dipedulikan! Boleh pula Amani meninggalkannya begitu sahaja?!

" Hei! Amani!" teriak Tania dengan kuat.

Amani menghentikan langkahnya. Tania menjerit memanggilnya? Baru pertama kali Tania bersikap begitu. Barangkali kesabarannya sudah hilang! Amani berpaling memandang Tania. Sinis sekali wajah comel didepannya dipandang.

"Kalau kau tak suka tinggal di sini, baik kau berambus saja dari sini! Aku dah bosan dengan sikap kau yang sombong dan tak sedar diri! Dahlah menumpang rumah orang! Berlagak macam anak raja!" Tania meluahkan segala amaran yang terbuku dalam dirinya. Dadanya yang berombak bila dilihat dengan jelas dari turun naik nafasnya.

Nampaknya gadis manja ini sudah menunjukkan sikapnya yang sebenar! Amani menjeling sinis dan kemudian mendekati Tania. "Kau siapa nak halau aku pergi dari sini!" Amani menolak bahu kanan Tania.

Tania terkedu seketika dengan tindakan Amani. Tiba-tiba rasa marahnya bertukar menjadi takut dengan sikap Amani.

"Kau ingat aku suka tinggal kat sini?" Amani menolak lagi bahu Tania. "Papa kau yang buat aku tersadai di tempat ni! Apa kata kau minta papa kau halau aku dan mak aku dari sini. Senang sikit! Tak payahlah aku dan mak aku bersusah payah nak bayar hutang tiga puluh ribu tu dengan papa kau!"

"Tiga puluh ribu?" tergamam Tania. Amani dan Makcik Zaiton berhutang tiga puluh ribu dengan papa?

"Kau tak tahu?" Amani memeluk tubuh sambil memandang wajah Tania dengan reaksi yang mudah dibaca. Tentu sahaja Tania tak tahu! Rasanya banyak perkara di Ilham Hati tidak diketahui Tania. "Itu baru tiga puluh ribu. Belum sampai sebulan aku dan mak aku di sini, kita orang dah kikis duit papa kau sebanyak tu. Cuba kau bayangkan kalau aku dan mak aku terus tinggal lebih lama di sini?" sengaja Amani cuba memprovok minda Tania.

Tania terdiam, memikirkan rasionalnya kata-kata Amani.

"Kenapa? Kau tak percaya?" Amani memeluk tubuh dan memandang Tania dengan sinis. Gadis seperti Tania memang polos. Senang diperdayakan!

"Aku tak percaya!" tegas Tania. Terbayang raut wajah Zaiton yang sangat baik melayaninya. "Makcik Zaiton orang yang baik!" Tania membalas pandangan mata Amani. "Kenapa kau suka memburukkan ibu kau sendiri? Aku tak pernah jumpa seorang anak yang suka memburukkan ibunya seperti kau!”

Seperti yang dirangkanya! Tania sudah diperbodohkan dengan kebaikan pura-pura Zaiton. "Kuah akan tumpah ke nasi. Kalau kau rasa aku ni orang jahat. Dari mana agak-agaknya aku waris sikap jahat aku ni?” Mata Amani terus menikan maata Tania. "Aku memang jahat dan mak aku lebih jahat dari aku!"

Tania menggeleng-gelengkan kepalanya. "Kau ni memang anak derhaka! Aku tak pernah jumpa anak macam kau yang suka memburukkan ibunya sendiri!" Tania sudah menutup telinganya dari mendengar kenyataan Amani yang begitu berbisa untuknya.

“Kau terlalu naif Tania. Mudah sungguh nak perbodohkan kau!”

Tania diam, memikirkan kata-kata Amani. Namun, pesan papa agar tidak menyimpan prasangka buruk pada orang lain kembali terngiang di mindanya. Kata papa, apa sahaja yang kita terdengar atau terlihat, jangan melulu membuat hukuman ke atasnya tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Kerana penglihatan dan pendengaran boleh saja tersilap tafsirannya.

Tanpa banyak bicara lagi, Tania terus mencapai tangan Amani lalu digenggamnya dnegan kemas. Dia menarik tangan Amani agar mengikut langkahnya.

Tidak semudah itu Amani menuruti kemahuan Tania. Dia terus berdiri kaku di situ walaupun Tania terus menarik tangannya dengan kuat. Amani mendengus. "Kau nak bawa aku ke mana?" tanya Amani.

"Aku nak bawa kau balik!" Tania menarik lagi tangan Amani.

Amani menarik dari genggaman Tania dengan kasar. Sangat mudah dia melepaskan tangannya dari Tania. "Kau ingat aku nak lari? Kalau aku nak lari, aku dah lari dari tadi. Tak perlu aku tunggu kau datang sini dan cari aku." Amani menjeling Tania lagi. "Kau tak payahlah susah hati kalau aku lari dari sini. Sebab, aku takkan pergi dari sini melainkan papa kau yang halau aku keluar." Amani memeluk tubuhnya. "Bodohlah kalau aku pergi dari sini. Sedangkan Ilham Hati adalah lombong emas bagi aku dan mak aku. Kau jangan menyesal kalau satu hari nanti Ilham Hati akan jadi milik aku. Bukan kau!" Sinis sekali Amani melemparkan pandangan pada Tania sebelum melangkah pergi. Sengaja dia menyakitkan hati Tania dengan kata-kata sebegitu agar Tania sedar dari kebodohannya.

Dengan langkah yang perlahan, Tania membontoti dari belakang. Tania menarik nafas yang panjang dan melepaskannya perlahan. Biar apa pun kata Amani, dia tidak boleh terus menjatuhkan hukum. Dia belum kenal siapa Amani. Kalau benar Amani berniat jahat pada keluarga mereka, tentu sahaja dari awal lagi Amani sudah berbaik-baik dengan mereka.

Ini, bukan sahaja dengan Tania, malah dengan Izz dan Tuan Helmi juga menerima layanan yang buruk dari Amani. Jadi, dasar apakah dia bisa melihat kejahatan yang tersimpan dalam diri Amani? Mungkin Amani hanya mempunyai masalan dengan Zaiton.

Tentang hutang Amani dan Zaiton yang berjumlah tiga puluh ribu ringgit itu, dia perlu mendapatkan penjelasan Tuan Helmi. Tentu ada alasan yang kukuh mengapa Tuan Helmi memberi mereka pinjaman sebanyak itu.

Namun, jauh di sudut hati Tania, dia tetap merasa lega melihat Amani yang sudah melangkah masuk ke dalam Gerbang Ilham Hati.

USAI membersihkannya diri, Amani bergerak ke ruang makan apabila perutnya mula terasa sakit. Barangkali perutnya sudah masuk angin. Di ruang makan, Amani membuka pintu kabinet lalu mencapai minyak angin yang ada di situ. Dia menyapu perutnya dengan minyak angin. Lalu, dia bergerak ke ruang dapur, mencari-cari jika masih ada sisa lauk yang ditinggalkan untuknya.

"Kau buat apa?" tiba-tiba Min muncul di situ. Mungkin bunyi dentingan yang dilakukan Amani saat menyelongkar ruang dapur, kedengaran di telinga Min sehingga menyebabkan dia datang ke situ. "Baru ingat nak makan?" Min menutup semula lauk puak yang dibuka Amani.

           Amani menjeling Min.

"Apa jeling-jeling? Kau ingat aku takut dengan kau?!" Kali ini memang jelingan Amani tidak berbekas di hati Min. Hanya yang ada dalam hati Min, adalah rasa sakitnya pada Zaiton yang mahu dilemparkan kepada Amani.

"Kau dengan mak kau memang bawa malang dalam rumah ni!" Min menjegil biji matanya memandang Amani. Pandangan mata Amani, cuba di lawannya. "Kau orang berdua memang dari keturunan yang jahat. Kau orang ingat, kau orang layak jadi ahli keluarga ni?" Hati Min semakin sakit dengan pandangan mata Amani yang tajam menikam tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya.

"Eh, kau cakap dengan mak kau, jangan pernah mimpi nak jadi puan besar dalam rumah ni. Tuan Helmi, hak aku! Mak engkau tu yang tak tahu malu! Dasar perempuan tepi jalan! Entah datang dari mana, terus ambil kesempatan goda Tuan Helmi!" Nafas Min tercungap-cungap seketika kerana penat berteriak pada Amani.

Namun, Amani hanya membisu dan memandangnya.

"Kau ni pekak ke apa? Kau dengar tak pesanan aku pada mak kau?"

"Kau tu yang lembap!"Amani yang lama membisu terus bersuara.

Min ternganga seketika dengan bahasa yang digunakan Amani. "Kurang ajar! Macam ni kau cakap dengan aku. Kau tak ‘reti’kah nak bersopan dengan orang yang lebih tua dari kau?"

Amani hanya mendengus. Malas mahu melayan caci maki Min. "Dah berapa lama kau tinggal di sini? Kenapa kau buang saja kesempatan yang ada untuk jadikan Tuan Helmi milik kau? Patutkah kau tunggu sampai mak aku datang sini? Bila ada saingan baru kau nak melatah?"

Min terdiam dengan dada yang berombak. Dia tidak pernah membuang waktu untuk memikat Tuan Helmi. Dah hampir lima tahun dia di sini. Selama itu jugalah dia menghantar isyarat hatinya pada Tuan Helmi. Namun, Tuan Helmi hanya bersikap tidak ambil peduli. Atau mungkin, Tuan Helmi tidak menyedarinya.

"Kalau kau betul kau mahu Tuan Helmi jadi milik kau, cepat bertindak!"

"Hei!" Min menolak bahu Amani. Semakin berang dengan kata-kata Amani. "Semuanya punca kau! Kalau kau tak datang sini, mak kau pun takkan datang sini! Semuanya rosak sebab kau!"

Amani menjeling. Kata-kata Min langsung tak berbekas di padanya. Jiwanya sudah terlalu keras, hatinya sudah terlalu tebal untuk merasa disakiti.

"Kau tu pembawa malang dalam keluarga ni! Aku dapat rasakan, kehadiran kau dan mak kau, akan memburukkan keadaan di sini!" Min terus melampiaskan amarahnya.

"Baguslah Kalau kau ada firasat macam tu. Jadi, cepat-cepatlah bertindak agar hidup Tuan Helmi dan Tania tidak musnah dengan kehadiran kami." Amani berlalu keluar dari situ.

Min yang ditinggalkan, ternganga di situ. Siapa Amani? Jahat atau baikkah dia? Atau, mungkin dia lebih merbahaya dari Zaiton?

Sampai di halaman, Amani duduk di bangku panjang lalu memegang perutnya. Dia menekan perutnya yang semakin sakit. Amani memejam matanya untuk menenangkan diri. Lalu, setelah agak lama dalam keadaan begitu, Amani bangun dan masuk ke dalam kamar. Beg galasnya di buka. Dia mencapai dompetnya. Habis satu dompet diselongkar, namun tiada sebarang wang atau syiling ditemui. Amani menekan lagi perutnya. Mungkin, dia patut berjumpa dengan Zaiton dan meminta sedikit wang.

Lantas, dengan langkah yang perlahan Amani berjalan keluar semula dari rumah kayu itu. Di mana agaknya Zaiton? Sedari tadi dia tidak melihat ibunya itu.

"Amani," Izz yang kebetulan lalu di situ, memanggil nama Amani. Amani kelihatan tidak bermaya. "Awak sakit?" Pandangan matanya terhala kepada tangan Kanan Amani yang sedang memegang perutnya. "Awak dah makan?" Izz menjadi risau melihat keadaan Amani. Pasti Amani masih belum makan dan perutnya telah masuk angin.

Amani duduk di anak tangga. Rasanya dia tak mampu untuk menjawab soalan Izz itu.

Izz bergegas meninggalkan Amani dan menuju ke pondok kecilnya. Dia terus mencapai sebotol ubat angin yang disimpannya. Dengan pantas, dia mendapatkan Amani semula. Sebiji pil angin diambilnya lalu diletakkan di tapak tangan kiri Amani.

Amani memandang Izz.

"Ubat tu tak perlu ditelan. Cuma dihisap. Awak akan rasa okey lepas tu." Izz cuba menyakinkan Amani yang kelihatan ragu-ragu. "Baca basmallah dulu, Amani." Izz mengingatkan.

"Bismillah," Dengan ucapan perlahan itu, Amani memasukkan ubat bili sebesar wang lima puluh sen itu ke dalam mulutnya.

"Awak berehat dulu di sini. Nanti saya datang." Izz terus hilang.

Amani menyandarkan tubuhnya pada palang kayu di tangga itu. Ubat itu dibiarkan terus di dalam mulutnya. Mujurlah ubat itu tidak pahit.

Seperti yang dijanjikan Izz, setengah jam kemudian Izz muncul. "Awak dah okey?"

        Amani mengangguk. Benar, perutnya sudah tidak sakit lagi. Cepat betul ubat itu bertindak dengan tubuhnya.

Izz tersenyum lebar melihat anggukan Amani. "Baguslah! Mari, saya dah siapkan makan untuk awak. Izz memegang lengan Amani yang berlapik kan baju kemeja berlengan panjang, lalu memimpinnya masuk ke ruang makan.

Di ruang makan, Wajah Min yang bengis kelihatan di situ. Min menjeling Amani dengan tajam. Mujurlah, Izz ada dan sediakan semua lauk ni untuk Amani. Jika tidak, dia tak akan memberi kesempatan pada Amani naik menjamah walaupun sebutir nasi! Min berlalu dari situ dengan berang.

"Makanlah," Wajah Izz yang masih tersenyum itu terus memandang Amani sambil tangannya mencedokkan lauk buat Amani.

Tanpa banyak bicara, Amani bersimpuh di depan meja Jepun itu dan mula menjamah hidangannya.

Izz terus tersenyum memerhatikan Amani yang asyik dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Sejak dari tadi, setelah Tania hilang untuk mencari Amani dia mula rasa bersalah kerana meninggalkan Amani sendirian. Namun, ketika itu perasaan marahnya sedang menguasai diri.

“Saya minta maaf,” ujar Izz.

Amani mengerling Izz. Kemudian, dia menunduk semula dan menyambung suapannya.

Izz hanya tersenyum melihat Amani. Dia sudah terbiasa dengan sikap dingin Amani. Sedikit pun dia tidak berkecil hati apabila Amani tidak member reaksi dengan ucapan maafnya itu.

Sesekali dalam menikmati hidangannya, Amani mengerling Izz yang tak sudah-sudah memandangnya. Saat ini dia merasakan sesuatu. Sesuatu yang asing sedang menyelinap masuk ke dalam hatinya.

Dia melihat Izz lagi. Saat ini mata mereka bertentangan agak lama. Melihat ke wajah Izz yang tak pernah kurang dengan senyuman membuatkan Amani merasa damai dan tenang. 


------------@@-----