Wednesday 23 September 2015

Takkan Pernah Hilang - Excerpt

Assalamualaikum...
Semoga awaks semua sihat dan jaga kesihatan sebab tak lama lagi kita nak sambut Hari Raya Aidiladha pulak. Tentu ada yang sedang sibukkan?
Dalam kesibukan tu mai lah baca sikit sedutan daripada novel Takkan Pernah Hilang ni.
Sape yang tak pernah baca novel ni lagi. Bolehlah baca sikit sedutannya di bawah ni. Kalau nak baca dari bab awal sampai bab 10, boleh klik link ini - Link Novel
Kalau berminat nak beli buku ni boleh order dengan Fajar Pakeer atau hubungi ER di link ini - hubungi saya dan pilih medium yang paling senang untuk hubungi.
Jom baca.

Jemput naaaa....



---------------@@--------------
“Sara!” Satu suara garau menegurnya. Tersenyap Maisara seketika kerana terkejut. Dia cukup kenal suara itu. Apa lelaki itu buat di sini? Maisara menoleh ke belakang. “Awak belum keluar makan lagi?” suara itu bertanya.
Maisara mengetap bibirnya. Kelihatan Fariz sedang tegak berdiri sambil memegang briefcasenya. Di satu sudut lain kelihatan Mr. Lim sedang berbual dengan seseorang. “Awak buat apa kat sini?” tanya Maisara kembali.
“Saya dan Mr. Lim ada meeting dengan klien,” jawap Fariz sambil matanya melirik Mr. Lim sekejap. “Awak tunggu siapa?” tanya Fariz lagi.
Maisara mengetap bibir. Lidahnya mula terasa kelu. Macam mana Fariz boleh berada di sini. Sedangkan apa yang dia tahu, lelaki itu telah pun memohon cuti selama seminggu. Apa yang perlu dikatakan kepada Fariz? Mana mungkin dia memberitahu dia sedang menunggu Encik Zack untuk makan tengahari bersama.
Fariz masih lagi menunggu jawapan Maisara. Perasaannya dapat meneka sesuatu yang tidak enak. Kerana itulah dia mengambil keputusan untuk datang ke Nusmefa Emas. Kebetulan ketika dia berjumpa Mr. Lim, lelaki itu memberitahu dia akan menghadiri mesyuarat dengan wakil dari syarikat penjualan hartanah. Mungkin ini kesempatannya untuk mendapatkan maklumat tentang tanah-tanah yang bernilai untuk dimajukan.
“Encik Fariz!” Satu suara menegur.
Fariz dan Maisara beralih kepada suara itu. Melihatkan kelibat Zack yang sedang berjalan menghampiri mereka jantung Maisara semakin pantas berdegup. Dia melirik Fariz yang masih lagi memandang Encik Zack.
Zack menghampiri Fariz lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Fariz menyambut. “Lama tak jumpa Encik Fariz! Apa khabar?” Zack cuba bermesra. Sejak dia tahu, Maisara adalah adik ipar Encik Fariz, dia telah bertekad untuk menjalinkan hubungan baik dengan Encik Fariz. Mungkin dengan cara itu, Encik Fariz akan menerimanya bersama dengan Maisara.
“Alhamdulillah........” Fariz membalas dengan senyuman.
Zack melirik Maisara sebentar. “Sebenarnya, kami nak keluar lunch.” Dia tersenyum pada Fariz.  “Kalau tak keberatan, marilah ikut kami.”
Pandangan mata Fariz beralih kepada Maisara. Maisara tertunduk apabila mendapat renungan tajam dari lelaki itu. “Tak pelah, saya ada meeting dengan Mr. Lim,” ujar Fariz.
“What’s up? Why everyone is gathering? Is there any important discussion is going on?” Mr. Lim menghampiri mereka.
Fariz menoleh memandang Mr. Lim yang menghampiri. “No! Nothing! Jom Mr. Lim!” Fariz terus berlalu. Sempat dia melemparkan pandangan kurang senang pada Zack.
 Zack mengangkat keningnya sambil matanya masih terus memerhatikan kelibat Mr. Lim dan Encik Fariz yang berlalu pergi. “Wow!! Abang ipar awak tu, macam tak suka dengan saya je!” Zack kembali memandang Maisara.
Maisara hanya tersenyum kelat.


-----------@@------------
TERIMA KASIH - ER
-----------@@------------



No comments:

Post a Comment