Friday 30 October 2015

Senyum Tanda Suka (Bab 4)




Hai awaks!
ER post-kan sambungan STS ya. 
Untuk dapatkan novel ini boleh hubungi PFP di :- Penerbitan Fajar Pakeer
Untuk dapatkan semua novel ER, boleh klik sini :- NOVEL EMMA RUSDI
INshaAllah, minggu depan ER akan mula post deleted scene ya!
Salam ceria!

------------@@-----------


PAK BAKAR pemandu Tuan Idrus telah sedia menunggu Izz di dalam kereta. Melihat kelibat Izz, lantas Pak Bakar menghidupkan enjin kereta. Sebentar tadi, Izz telah menghantar pesanan ringkas kepada Pak Bakar agar menunggunya di Gerbang Ilham Hati. Kata Izz, dia telah memperolehi alamat tempat tinggal Amani daripada Tania.

“Macam mana?” soal Pak Bakar sebaik sahaja Izz masuk ke dalam kereta.

“Ini alamat dia.” Izz menunjukkan kepingan kertas itu kepada Pak Bakar.

Pasti ini alamatnya?” Pak Bakar meminta kepastian.

Kita siasat dulu. Saya pun tak pasti sama ada itu alamat Amani ataupun tidak. Sekurang-kurangnya kita ada petunjuk.” Izz memakai tali pinggang keledar.

“Tak perlu ke balai polis dulu?” Pak Bakar bertanya lagi kerana pada asalnya, mereka berdua sudah merancang untuk ke balai polis bagi mendapatkan sedikit info berkenaan Amani. Kebetulan salah seorang pegawai polis di balai yang terdekat merupakan kenalan Tuan Idrus.

“Tak perlulah, Pak Bakar. Kita terus ke alamat ni dulu. Manalah tahu kalau alamat ni memang betul tempat tinggal Amani.”

Pak Bakar mengangguk setuju. Lantas, kereta Perodua Kembara yang telah diamanahkan kepada Pak Bakar dipandu keluar dari kawasan Setia Sentosa menuju ke pusat bandar dan terus ke jalan yang tertera pada kertas yang ditulis Tania.

Sampai sahaja tiba di hadapan pekarangan sebuah rumah pangsa kos rendah, Pak Bakar menghentikan keretanya. Dia membaca kembali alamat rumah Amani.

“Pak Bakar rasa flat ni dah betul. Jalan pun jalan yang sama,” ujar Pak Bakar sambil matanya memerhatikan nama jalan yang terdapat di pintu pagar kawasan rumah pangsa itu.

“Jalan Selubung. Hmm, nama jalan pun memang dah sesuai dengan tempatnya.” Izz memerhatikan rumah pangsa yang kelihatan suram dan kusam.

Pak Bakar hanya ketawa kecil.

“Mari.” Izz sudah keluar dari perut kereta.

Pak Bakar mengekori langkahnya. Mereka terus menuju ke lif dan naik ke tingkat lima. Sampai sahaja di depan pintu kuning yang tertulis nombor tujuh, mereka menghentikan langkah.

“Inilah rumahnya,tunjuk Izz pada daun pintu.

Pak Bakar mengangguk.

“Assalamualaikum!” Izz memberi salam seraya mengetuk pintu. Tidak kedengaran suara yang menyambut salamnya.

“Assalamualaikum!” Sekali lagi Izz memberi salam dan mengetuk pintu. Kali ini, suaranya lebih kuat daripada tadi.

Pak Bakar sudah mengintai di balik tingkap nako yang sedikit terbuka.

“Kau nak apa?!” Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang membuka pintu dengan kasar dari dalam. Dia kelihatan kusut dengan rambut yang tidak bersikat dan tanpa pakaian. Hanya berkain pelekat. Wajah bengisnya terus memandang tajam kepada Izz.

Izz memandang lelaki itu dari atas dan ke bawah, kemudian ke atas semula. Lelaki di hadapannya ini kelihatan mencurigakan.

“Boleh saya jumpa dengan Amani?” Sebelum dia menerangkan yang Amani ada dengannya, adalah lebih baik dia pura-pura mencari Amani.

“Kau siapa?” tanya lelaki itu.

“Saya kawan Amani. Boleh saya jumpa dia?”

“Kau kawan Amani? Budak tak guna tu mana ada kawan.” Jelas sekali lelaki itu tidak mempercayai kata-kata Izz.

Terkejut Izz mendengar kata-kata kesat lelaki itu kepada Amani.

“Saya memang kawan dia!” Izz bertegas dan terus memainkan peranannya.

“Kau jangan nak kelentong aku. Aku kenal dia sejak dia keluar dari perut mak dia, tahu? Orang macam dia tak ada kawan. Tambah-tambah lagi, kawan lelaki macam kau ni!” Jari telunjuknya menuding ke dada Izz.

Dia mengerling pula Pak Bakar yang berdiri di sisi Izz. “Nak-nak orang tua macam kau pula.”

Pak Bakar sudah mengetatkan bibirnya.

Pak cik, saya memang kawan dia.” Izz cuba berlembut.

“Sejak bila aku jadi pak cik kau ni, hah? Kau datang sini nak apa? Kau ni siapa?”

“Saya kawan Amani.”

“Amani?!” Tiba-tiba kedengaran suara seorang wanita mencelah.

Pandangan mereka tertoleh. Kelihatan seorang wanita cantik yang sedang berdiri di koridor sambil menjinjit beg plastik yang berisi sayur-sayuran.

“Kamu kawan Amani?” Wanita yang baru tiba di situ itu bertanya lagi. Matanya sudah melekat pada wajah Izz.

Izz menganggukkan kepalanya. Wanita itu mungkin ibu Amani. Wajahnya mempunyai iras wajah Amani.

“Kamu jumpa Amani? Di mana dia? Saya mak Amani.” Mata wanita itu tersimpan seribu harapan. Dia mendekati Izz.

Izz dan Pak Bakar berpandangan. Mereka kini berbelah bahagi sama ada mahu berterus terang ataupun tidak.

“Kamu jumpa Amani tak? Amani dah banyak hari tak balik. Entah apa jadi dengan dia.” Riak kerisauan terlukis pada wajahnya.

“Kau jangan pandai-pandai nak bawa budak tu balik sini lagi. Aku dah halau budak tu keluar. Aku tak benarkan dia datang sini lagi!” Semakin bengis wajah yang ditunjukkan lelaki itu sambil nafasnya kedengaran begitu kuat kerana menahan rasa marah.

“Kau memang kejam!” Wanita itu pula membentak sambil berbalas pandang dengan lelaki itu. Kemudian, wajah wanita itu bertukar muram pula. 

“Entah mana Amani tinggal sekarang.” Dia memejam matanya seketika.

“Yang kau ambil berat sangat pasal dia kenapa? Kau pun bukan sayang sangat dengan dia!” ujar lelaki itu kepada wanita itu.

“Aku suka ke, aku benci ke dekat dia, dia tetap anak aku!”

“Peduli apa aku! Kalau kau nak bawa Amani tinggal di sini, kau minta dia bayar balik duit aku. Kau ingat senangkah nombor aku nak naik?! Boleh pulak budak tu koyakkan tiket aku! Jahanam betul budak tu!” Dia mendengus geram dan dengan itu satu tumbukan dilepaskan pada pintu rumahnya.

Pak Bakar dan Izz sempat beristighfar mendengar kata-kata lelaki itu. Mereka berdua langsung tidak mempedulikan kelibat Izz dan Pak Bakar yang tegak di situ sambil memerhatikan setiap tindak-tanduk dan perbualan mereka.

“Eh, yang kau orang berdua tunggu apa lagi? Amani tak ada di sini. Dia dah berambus pergi mampus!” bentak lelaki itu lalu menutup pintunya dengan kuat.

Dentuman yang kuat itu menyebabkan bahu mereka terjongket.

“Maaf ya, encik. Encik berdua ada jumpa Amani?” Lembut suara wanita itu menuturkan kata.

“Puan ni ibu Amani?” tanya Izz.

“Ya. Nama saya Zaiton. Amani tak beritahu tentang saya kepada encik berdua?”

Izz menggeleng.

“Lelaki tadi, ayah Amani?” Izz mengerling pintu kuning yang telah tertutup itu.

“Bukan. Dia abang saya, pak cik Amani.” Zaiton menggeleng perlahan.

“Puan nak jumpa dengan Amani?”

“Saya tak boleh.” Zaiton tertunduk hampa.

“Kenapa?” tanya Izz.

Pak cik Amani dah halau Amani keluar dari rumah sebab Amani koyakkan tiket nombornya. Nombor tu menang 10 ribu ringgit. Kalau Amani nak pulang semula ke sini, kami berdua perlu bayar kepada dia 10 ribu ringgit dulu. Selagi saya tak dapat bayar harga tiket tu, saya tak boleh jumpa Amani,” terang Puan Zaiton.

Pak Bakar dan Izz berpandangan. Timbul perasaan kurang senang dengan keluarga ini.

“Begini, encik tinggalkan alamat rumah encik. Esok pagi, waktu saya keluar ke pasar saya akan ke sana,” ujar Zaiton dengan nada berbisik. “Bukan apa, abang saya larang saya mencari Amani. Kalau tak, teruk saya kena pukul nanti.”

Izz sudah menjongketkan keningnya. Kalau wanita itu takut dipukul abangnya, mengapa dia tidak mengikut Amani keluar dari rumah ini? Mengapa dibiarkan Amani keluar dari rumah ini sendirian? Tidak takutkah wanita itu jika sesuatu yang buruk menimpa Amani?

“Macam nilah, puan. Puan bagi nombor telefon yang boleh saya hubungi.” Izz mengeluarkan telefonnya lalu mereka saling bertukar nombor. “Kalau ada apa-apa, puan boleh hubungi saya.”

“Jadi, betullah Amani ada dengan encik?” tanya Zaiton sekali lagi.

“Ya.” Izz mengangguk.

Tolong jagakan Amani, ya. Katakan pada dia, kalau saya dapat kumpul wang untuk bayar kepada pak cik dia, saya akan bawa dia balik. Kalau boleh, minta dia hubungi saya, ya,” pinta Zaiton. Wajahnya kelihatan mengharap.

Amani tak hubungi puan? tanya Izz pula.

Zaiton menggeleng. Boleh saya tahu macam mana Amani boleh ada dengan encik berdua?

Izz menarik nafas panjang. Berat hatinya untuk menerangkan perkara yang sebenarnya.

“Amani kemalangan. Saya tak sengaja terlanggar dia,” beritahu Izz.

“Apa? Kemalangan? Macam mana keadaan dia?” Wajah Zaiton berubah. Dia sudah tak tentu arah mengenangkan keadaan Amani.

“Puan jangan risau. Amani tak apa-apa. Dia sihat.”

“Dia tak apa-apa?” Zaiton merenung Izz dengan resah. Dia mahu melihat Amani dengan matanya sendiri. Jiwanya resah memikirkan keadaan Amani.

“Amani tak apa-apa. Dia tak cedera dan dia sihat.”

Zaiton menghembus nafas kelegaan. Tangan kanannya sudah mengurut dada. Namun dia masih belum puas jika tidak melihat keadaan Amani dengan matanya sendiri.

“Menurut doktor, Amani pengsan bukan sebab kemalangan tetapi kerana tidak makan selama beberapa hari,sambung Izz lagi.

Amani tak makan? Zaiton menahan sebak.

Puan tak perlu risau. Amani dah sihat. Sekarang dia sedang berehat di penginapan Tuan Idrus. Kami akan menjaganya dengan baik,” janji Izz.

Tuan Idrus? Kening Zaiton berkerut. Mendengar begitu, tahulah Zaiton bahawa mereka berdua hanyalah pekerja kepada lelaki itu.

Izz mengangguk.

Saya nak minta tolong dengan Tuan Idrus. Boleh sampaikan kepada dia? tanya Zaiton.

“Insya-Allah. Tolong apa?

Minta dia jaga Amani. Tolong jangan halau Amani. Saya akan cari kerja dan kumpul duit. Berapa saja yang Tuan Idrus minta upah untuk jaga Amani, saya akan usahakan. Sekurang-kurangnya sehingga saya bayar duit pak cik dia. Kasihanlah kepada Amani. Kalau Tuan Idrus halau dia, ke mana lagi dia harus pergi?”Air mata Zaiton mengalir di pipi.

Simpati melihat air mata itu, Pak Bakar menghulurkan sapu tangannya kepada Zaiton. Sejak tadi, lelaki itu hanya mendiamkan diri. Dia lebih suka membiarkan Izz menguruskan hal itu. Izz lebih tahu apa yang patut dilakukan.

“Terima kasih.” Zaiton menyapu air mata yang mengalir.

“Sabarlah puan,” kata Pak Bakar.

Kalau Amani dihalau, saya tak akan tahu di mana anak saya lagi. Sejak Amani pergi, hati saya tidak pernah tenang. Biarlah Amani jauh asalkan saya tahu dia selamat. Kedatangan encik berdua benar-benar melegakan hati saya.” Memang benar, sejak Amani dihalau keluar Zaiton tidak pernah tenang. Malamnya sering terganggu mengenangkan Amani.

“Insya-Allah, saya akan sampaikan kepada Tuan Idrus. Tuan Idrus pasti akan bantu Amani. Puan jangan risau.” Izz mengukirkan senyuman.

Terima kasih.” Zaiton menundukkan sedikit kepalanya kepada Izz dan Pak Bakar.

Kami minta diri dulu, puan. Assalamualaikum,” kata Izz.

Waalaikumussalam.”

Izz dan Pak Bakar turun semula ke kereta yang diparkir di tepi jalan. Mereka tidak terus masuk ke dalam kereta dan hanya berdiri di sisi.

Izz, pak cik tak rasa yang keluarga mereka ni orang baik-baik. Pak Bakar meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Mungkin pak cik Amani saja yang kurang baik. Saya rasa Amani dan Puan Zaiton sekadar mangsa. Begitulah yang difikirkan Izz.

Kalau Puan Zaiton seorang ibu yang mengambil berat tentang anaknya, mesti dia dah ikut Amani keluar sekali dari rumah tu.”

Izz membatu seketika. Pak Bakar tidak salah. Dia juga sependapat dengan Pak Bakar.

“Mungkin juga Puan Zaiton telah diugut oleh lelaki tu. Atau, mungkin juga Puan Zaiton ada anak yang lain sebab itulah dia tak dapat ikut Amani.” Izz membuat kesimpulan.

Pak Bakar menjongketkan bahunya.

Saya rasa lebih baik kita siasat latar belakang keluarga mereka,” cadang Izz.

Pak cik setuju.”

“Jom!” Mereka kembali masuk ke dalam kawasan rumah pangsa kos rendah itu.














-------@@-------
EMMA RUSDI
-------@@-------



No comments:

Post a Comment