Friday 6 November 2015

Senyum Tanda Suka (Bab 5)






Dapatkan novel SENYUM TANDA SUKA
Klik link ini > (Novel ER)

HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00

Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya

Jom ikuti sambungan STS



SAAT dia menolak daun pintu, terus matanya terpaku pada susuk tubuh kecil yang sedang beradu di atas lantai. Tergamam dia seketika. Kenapa dia tidur di lantai sedangkan di hadapannya sudah terbentang katil yang empuk? Tiba-tiba sahaja hati Tuan Idrus terdetik perasaan simpati melihat situasi itu.

“Amani.” Tania menepuk lembut bahu Amani yang sedang nyenyak tidur.


Amani membuka matanya perlahan-lahan setelah merasakan bahunya ditepuk. Sayup-sayup kedengaran namanya dipanggil. Semakin lama semakin matanya terbuka, kelihatan susuk tubuh seorang gadis manis sedang bersimpuh di sebelahnya.

Setelah matanya terbuka luas, seraut wajah Tania yang sedang tersenyum menyapa pandangan. Kemudian, dia terpandang wajah Tuan Idrus yang sedang berdiri di muka pintu yang terbuka luas. Terus dia bangun dan duduk di situ.

Dah malam ni. Jom, kita makan malam,” ajak Tania dengan mesra sekali.

Amani menggeleng, menandakan dia tidak mahu makan. Ketika itu juga dia melihat Tuan Idrus melangkah masuk ke dalam kemudian duduk di hadapannya. Terus dia melemparkan jelingan kepada Tuan Idrus dan berpaling ke tempat lain.

Mari makan. Lepas tu, Amani perlu makan ubat yang Doktor Iwan beri,” kata Tuan Idrus seakan-akan memujuk.

Tak nak. Kalau saya banyak makan, saya takut saya tak mampu bayar,” balas Amani.


Hutangnya sudah terlalu banyak dengan Tuan Idrus dan Tania. Itu belum masuk lagi hutang budi yang dihulurkan mereka. Dia pasti dia takkan mampu untuk membayar, kerana itu dia merasa berat untuk menerima bantuan daripada orang lain.

Tuan Idrus hanya tersenyum mendengar jawapan itu. Amani masih risaukan perkara yang sama. Kamu perlu makan ubat. Nanti kamu sakit lagi. Nak makan ubat, kamu kena isi perut dulu. Macam mana kalau kamu sakit balik? Duit rawatan lebih mahal daripada apa yang kamu makan. Mungkin hanya dengan berkata begini dapat mengumpan agar Amani mahu mengisi perutnya.

Amani terdiam. Lama juga dia berfikir baik buruk yang bakal diterimanya. Mungkin wang boleh dibayarnya, tapi budi mereka? Namun ada benarnya kata Tuan Idrus, dia perlu sihat untuk bekerja dan membayar hutangnya. Untuk itu, dia perlu mengisi perutnya.

Marilah makan dengan saya. Kamu perlu kuatkan badan kamu. Esok kamu perlu bekerja keras.Tuan Idrus sudah berdiri tegak. Sengaja dia berkata begitu untuk membuatkan Amani tidak merasa terhutang budi.

Dalam keadaan terpaksa, Amani bangun juga. Dia menjeling Tuan Idrus lagi. Tanpa berkata apa-apa dia terus keluar mendahului mereka.

Tuan Idrus memandang Tania. Tania menjongketkan kening dan bahunya serentak. Tuan Idrus memeluk bahu Tania.

“Marilah, sayang.” Lalu mereka beriringan jalan menuju ke ruang makan.

Sampai di sana, Mak Eton dan Min sudah siap menghidangkan makan malam. Amani sudah sedia bersimpuh di depan meja makan ala Jepun yang memerlukan mereka duduk di atas alas yang disediakan.

Jemput makan tuan, Tania. Dengan penuh rasa hormat Mak Eton menjemput mereka berdua makan.
Sekilas dia menjeling Amani dengan tajam. Rimas dia melihat sikap gadis muda itu yang tak tahu menghormati pemilik tempat ini. Semakin sebal dirasakan apabila Amani langsung tidak mempedulikan jelingannya. Malah, jelingannya dibalas juga dengan jelingan.

Tuan Idrus mengambil tempat di hadapan. Manakala Tania pula sudah bersimpuh di hadapan Amani setelah tempatnya diambil alih oleh gadis itu. Tuan Idrus tersenyum senang. Tiba-tiba dia merasakan seolah-olah dia mempunyai dua orang anak gadis. Dia mengerling Amani yang duduk di kanannya dan Tania yang duduk di kirinya.

Mak Eton dan Min dah makan?” tanya Tuan Idrus. Perhatiannya beralih kepada Mak Eton dan Min.
“Sudah, tuan.” Mak Eton dan Min menganggukkan kepala.

Izz dah pulang?

Belum lagi, tuan,” jawab Mak Eton.

Kalau Izz dan Pak Bakar pulang, minta Izz datang jumpa saya di Kamar Ilham.”

Baik, tuan. Mak Eton mengangguk.

“Jemput makan semua,” pelawa Min.

Kemudian, Mak Eton dan Min hilang di belakang setelah semua hidangan telah diletakkan di atas meja.

Kamar Ilham? Amani berfikir sendiri. Dia seakan-akan pernah melihat tulisan yang tertulis perkataan itu. Dia cuba mengingati di mana dia melihat perkataan itu. Oh, baru dia teringat. Ada papan tanda yang tertulis Kamar Ilham yang besar pada dinding atas rumah yang terletak di bahagian tengah. Mungkin itulah tempatnya.

Amani, panggil Tuan Idrus.

Sekilas pandangan Amani beralih kepada Tuan Idrus.

Jemput makan.” Tuan Idrus mempersilakan tetamunya untuk makan.

Amani membasuh tangannya dan mula makan tanpa mempedulikan mereka. Sempat dilemparkan satu jelingan kepada Tania yang sedari tadi memandangnya.

Tania menelan air liurnya apabila menerima jelingan tajam daripada Amani. Terus dia membuang pandangannya kepada Tuan Idrus.

Tuan Idrus memberi isyarat kepada Tania untuk menadah tangan membaca doa. Tuan Idrus membaca doa makan dan diaminkan oleh Tania.

Amani pura-pura tidak mengambil peduli apa yang dilakukan mereka sedangkan hati kecilnya sudah terasa sesuatu sejak dia masuk ke dalam Syurga Ilham Hati ini. Tempat ini memberi ketenangan dan satu perasaan asing dalam hatinya. Tempat ini bagaikan sebuah syurga, sama seperti namanya, Syurga Ilham Hati.

Usai menyudahkan makan malamnya, Amani bangun mengangkat pinggan dan cawannya. Seperti tadi, dia membasuh dan menyimpan pinggan dan cawan yang digunakan. Tanpa berkata apa-apa dia terus meluru keluar.

Tuan Idrus dan Tania hanya memandang tanpa berkata apa-apa. Kemudian, Tuan Idrus memberi isyarat kepada Tania untuk meneruskan hidangannya.


Amani terus berpusing-pusing di halaman depan. Melihat pada landskap Syurga Ilham Hati yang cantik dan menenangkan. Tenang hatinya mendengar suara alam, cengkerik dan sesekali kedengaran suara katak. Keharuman daripada wangian bunga-bunga yang segar dan tiupan angin yang menyegarkan membelah tubuh, sangat mendamaikan. Semuanya sangat indah di sini.

Sambil memeluk tubuh kerana kesejukan dibelah angin malam, Amani berjalan-jalan di kawasan sekitar. Sesekali dia memandang langit yang kelam tanpa kehadiran bulan dan bintang yang menandakan hari akan hujan.

Sampai sahaja di rumah yang tengah, langkah Amani terhenti. Dia memandang pada sebuah papan tanda yang tertulis Kamar Ilham di bahagian atas rumah itu. Telahannya benar. Ruang rumah ini tidak tertutup sepenuhnya. Ia terbahagi pada dua bahagian. Bahagian kanan mempunyai ruang tertutup seakan-akan pejabat atau ruang peribadi. Di bahagian kiri pula ditutupi dengan cermin kaca. Hingga mereka yang ada di luar juga bisa memandang terus ke dalam. Hanya dinding belakang dan pintunya sahaja yang menggunakan kayu. Reka cipta Kamar Ilham ini hampir menyamai ruang makan dan ruang dapur.

Hati Amani mendesah untuk melangkah masuk ke dalam Kamar Ilham. Bagai terpanggil-panggil dirinya agar melihat pada kanvas yang yang terlukis indah. Pada kertas-kertas yang bercorak cantik.

Seni! Seni yang sangat digemarinya.

Satu per satu langkah Amani bawa hingga dia tidak menyedari yang kini dia sudah berada di depan pintu Kamar Ilham. Tangannya diangkat lalu tombol pintu dibuka. Pintu itu tidak berkunci. Dia melangkah masuk dan berdiri di tengah-tengah ruang itu. Di sekelilingnya dan di setiap sudut ruang itu penuh dengan lukisan yang indah. Dia terbuai dengan setiap lukisan yang cantik di sekelilingnya itu.

Tiba-tiba sahaja dia terpandangkan sebuah lukisan bercorak bunga yang masih belum siap sepenuhnya. Dia menghampiri lukisan itu. Lukisan itu sangat cantik. Desakan hatinya bagai menyuruh dia menyiapkan lukisan tersebut. Amani terpandangkan berus dan palet di tepi lukisan tersebut. Lantas dicapainya berus lukisan itu.

Kebetulan, Izz yang baru pulang bersama Pak Bakar mahu berjumpa dengan Tuan Idrus. Dia mahu terus menuju ke ruang makan untuk bertemu dengan Tuan Idrus kerana dia pasti pada waktu begini, Tuan Idrus dan Tania tentu sedang menikmati makan malam mereka. Ketika melalui Kamar Ilham, terus matanya melihat susuk tubuh Amani yang sedang melukiskan sesuatu di atas kanvas milik Tuan Idrus di situ.

Memang dia terkejut melihat keberanian Amani. Tiada siapa yang pernah masuk ke dalam Kamar Ilham tanpa izin Tuan Idrus. Ruangan itu bagaikan sebuah tempat larangan. Apatah lagi orang baru seperti Amani. Tambahan pula, Amani bukan sahaja masuk ke dalam Kamar Ilham, tetapi telah merosakkan ilham Tuan Idrus. Bagaimana jika Tuan Idrus marah?

Izz menyuruh Pak Bakar ke ruang makan dahulu sedangkan dia sendiri sudah melangkah untuk mendekati Amani. Dia mahu menyelamatkan Amani daripada kemarahan Tuan Idrus. Hampir sahaja dia sampai di depan ruang masuk Kamar Ilham, namun seseorang telah menghalangnya daripada masuk. Terus sahaja Izz berpaling ke kanan. Terkejut dia melihat Tuan Idrus yang telah menghalang dan menarik lengannya.

Biarkan dia,” bisik Tuan Idrus perlahan. Tuan Idrus terus memerhatikan Amani.

Ada sesuatu dalam diri Amani,” sambungnya.

Dia pasti, Amani tidak berniat jahat. Seperti apa yang dipercayai olehnya, bukan semua perkara bisa dinyatakan secara lahiriah. Ada sesetengah perkara diluahkan secara seni. Amani punya keistimewaan itu. Daripada caranya melukis, gadis itu telah meluahkan perasaannya. Anak ini punya sesuatu yang tersimpan dalam lubuk hatinya.

Dia telah menyambung ilham yang saya tinggalkan dengan baik sekali. Tuan Idrus ternyata menyukai hasil seni Amani. Bibirnya menguntumkan senyuman.

Kamu dapat apa-apa maklumat? Dia berpaling memandang Izz.

Izz mengangguk.

Pergi makan dulu. Lepas tu datang jumpa saya.”

“Baik, tuan.” Izz menghilangkan diri. Sempat dia melirik Amani seketika sebelum berjalan pergi.

Dari jauh Tania memerhatikan Tuan Idrus yang sedang asyik memerhatikan Amani secara sembunyi. Apa keistimewaan Amani sehingga Tuan Idrus tidak marah Amani mengganggu Kamar Ilham? Dia sendiri hanya dibenarkan masuk ke dalam Kamar Ilham jika diizinkan. Dengan rasa kurang senang, Tania berlalu dari situ.

Tuan Idrus yang masih memandang Amani melangkah perlahan-lahan masuk ke Kamar Ilham. Amani telah hilang di dalam dunianya sendiri hingga dia tidak menyedari Tuan Idrus sudah berada di belakangnya. Sikapnya sama seperti Tuan Idrus. Setiap kali Tuan Idrus melakarkan ilham, dia juga akan hilang dalam dunianya sendiri.

Kamu sangat berbakat. Dari mana kamu belajarlah untuk melukis?

Suara Tuan Idrus telah mengembalikan Amani ke alam nyata. Pantas dia berpaling dan meletakkan palet dan berus ke tempat asalnya. Dia berdiri berhadapan dengan Tuan Idrus. Dia tahu dia sudah melakukan kesalahan. Dia tidak gentar untuk menerima akibat daripada kesalahannya. Matanya bertentang dan berbalas pandang dengan Tuan Idrus tanpa gentar.

Kamu pernah melukis? Tuan Idrus membalas panahan mata Amani. Panahan mata yang ditunjukkan Amani menunjukkan dia seorang gadis yang berani. Begitulah telahan Tuan Idrus.

Saya akan bayar ganti rugi sebab dah rosakkan lukisan tuan.”

Tuan Idrus tertawa kecil sambil kepalanya tergeleng.

Tak semua perkara boleh dinilai dengan wang, Amani. Kamu punya sesuatu dalam diri kamu yang lebih bernilai daripada itu,” katanya dengan jujur.

Amani tertawa sinis.

Dalam hidup saya, saya belajar wang adalah segala-galanya. Tuan jangan risau, saya akan bayar hutang tuan dengan bekerja untuk tuan sehingga semua hutang saya selesai.Sebaik sahaja berkata begitu, Amani terus meninggalkan Tuan Idrus.

Tuan Idrus hanya mengekori langkah Amani dengan sorotan matanya. Dia yakin dengan perasaannya. Ada sesuatu tentang Amani.

Tuan Idrus memandang lukisan yang telah disambung Amani. Lukisan ini menyatakan Amani inginkan kebebasan, Amani inginkan perlindungan, Amani perlukan kasih sayang. Apa yang diperlukan Amani adalah kebahagiaan. Amani tidak sama seperti apa yang dikatakan iaitu wang adalah segala-galanya dalam kehidupan.

Tuan. Suara Izz membuatkan Tuan Idrus berpaling memandangnya.

Izz yang sedang berdiri di muka pintu memandang sekitar ruang itu. Kelibat Amani sudah tiada.

Masuklah, Izz. Tuan Idrus membuka pintu ruang yang tertutup.

Ruang tertutup itu merupakan pejabat peribadi Tuan Idrus. Di sinilah dia menguruskan Ilham Hati. Namun pejabat utama Ilham Hati terletak bersebelahan dengan pondok melukis. Para pekerjanya termasuk Izz menguruskan hal-hal yang berkaitan di sana.

Izz membuntuti Tuan Idrus ke dalam pejabat peribadinya.

Macam mana? soal Tuan Idrus sebaik sahaja punggungnya mencecah kerusi. Tuan Idrus memberi isyarat agar Izz duduk.

Izz menurut dengan arahan itu.

Saya dah selidik latar belakang Amani. Amani mempunyai seorang ibu, seorang pak cik iaitu abang kepada ibunya dan anak tiri pak ciknya. Ibunya bernama Zaiton, pak ciknya bernama Jalil. Tiada siapa yang tahu siapa ayah Amani. Tapi, ada juga ura-ura yang mengatakan Amani itu anak tak sah taraf,” cerita Izz.

Jalil merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak lelaki yang masih bersekolah rendah. Budak tu bukan anak kandung tetapi anak tiri. Anak arwah isterinya dengan suami yang lain. Jalil bekerja sebagai seorang buruh. Dia seorang kaki botol dan kaki judi,” kata Izz lagi.

Terangguk-angguk kepala Tuan Idrus menerima laporan daripada Izz.

Jalil seorang kaki ekor. Baru-baru ini, nombornya naik. Tapi, tiket itu telah dikoyakkan Amani. Sebab itulah Amani dihalau dari rumahnya,sambung Izz.

Dihalau? Kening Tuan Idrus terjongket.

Izz mengangguk.

“Kalau begitu, Amani tidak lari dari rumah. Macam mana pula dengan ibu Amani?”

Puan Zaiton bekerja di pasar. Dia membantu seorang peniaga menjual sayur. Puan Zaiton dan Amani perlu membayar ganti rugi Jalil, barulah Jalil membenarkan Amani pulang ke rumah. Jika hutang Jalil tidak dibayar, Puan Zaiton tidak dibenarkan keluar dari rumah itu dan bertemu Amani dan Amani juga tidak boleh pulang untuk bertemu dengan Puan Zaiton.”

Tergeleng-geleng kepala Tuan Idrus mendengar cerita Izz.

Tak sangka, ada juga manusia yang sanggup bertindak kejam kepada keluarganya sendiri. Apa yang boleh dilakukan oleh remaja seperti Amani? Untuk menguruskan makannya sendiri pun dia tidak mampu. Tuan Idrus mendengus geram.

“Menurut jiran-jiran mereka, Amani telah berhenti belajar sejak tamat tingkatan tiga. Usianya sekarang sudah 17 tahun. Ketika Zaiton keluar bekerja, Amani yang akan menguruskan rumah dan memasak untuk mereka.”

Tuan Idrus menghembuskan nafas kesal. Kasihan Amani, dalam usia yang begitu muda telah diberikan tugas seberat itu. Usianya dan Tania hanya berbeza satu tahun. Tania kini berusia 16 tahun. Sepatutnya, Amani menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Apa yang perlu dilakukan Amani adalah belajar. Amani tak sepatutnya diberikan tanggungjawab yang berat begitu, bisik hati kecil Tuan Idrus.

“Izz, saya mahu kamu mengawasi setiap pergerakan Amani. Saya tak mahu Amani lari dari sini.”

“Tuan takut jika Amani tidak bayar hutang?” Kening Izz sudah terjongket.

Tuan Idrus ketawa mendengar soalan Izz. Tuan Idrus menggeleng.

“Saya tak kisah soal hutang. Saya cuma khuatirkan Amani. Amani bukan Tania. Saya percaya, jika kita kurang awasi Amani, dia akan lari dari sini,” kata Tuan Idrus dengan yakin.

“Oh.” Izz mengukir senyuman malu.

“Mulai esok, biarlah Pak Bakar saja yang hantar dan menjemput Tania. Saya mahu awak uruskan soal Amani. Berikan dia kerja dan jaga dia.”

“Baik, tuan.”

Saya mahu Amani terus tinggal di sini. Beritahu keluarganya, kalau mereka tak perlukan Amani, saya yang akan menjaga dia. Hati Tuan Idrus terpanggil untuk bertanggungjawab ke atas diri Amani.

Bagaimana pula dengan Puan Zaiton?”

Mata mereka bertentang.

KELUAR sahaja dari Kamar Ilham, Izz mahu terus ke Pondok Kecil. Namun di pertengahan jalan, dia terlihat kelibat Amani yang sedang berdiri di hadapan Rumah Utama sambil memandang jauh ke angkasa. Izz mengikut langkah Amani dengan memandang ke atas.

Rupanya, Amani sedang memandang pada bulan dan ribuan bintang yang bertaburan di angkasa. Malam ini memang indah. Sebentar tadi, langit begitu kelam seakan-akan mahu hujan. Namun, tanpa disangka muncul bulan dan bintang. Izz mendekati Amani dan berdiri di sebelahnya.

Amani yang menyedari kehadiran Izz membuang pandangannya kepada lelaki itu seketika. Dia merasa terganggu dengan kehadiran Izz di situ. Dia berpusing dan melangkah untuk pergi.

Saya dah jumpa keluarga awak,” kata Izz tanpa memandang Amani dan masih mendongak ke langit.

Terus sahaja langkah Amani terhenti. Dia berpaling dan memandang Izz yang membelakangkannya dengan tajam. Sungguh, dia terkejut dengan berita itu.

Insya-Allah, jika tiada aral melintang, Puan Zaiton akan ke sini menemui awak.” Saat itu dia sudah menoleh memandang Amani.

“Kan saya dah janji, setelah hutang saya selesai saya akan pergi dari sini!” tegas Amani.

Ia. Tapi hutang awak takkan dapat selesai dalam masa yang singkat. Puan Zaiton nak berjumpa dengan awak.”

Saya tak nak jumpa dengan dia!

Kenapa? Saya fikir awak akan gembira dengan berita ni.” Izz tergaman.

Awak akan menyesal!” Amani berpaling semula, mahu berlalu pergi.

Tunggu! Dengan pantas Izz menghalang dan berdiri di hadapan Amani.

Menikam mata Amani memandang Izz.

Kenapa dengan awak ni? Kami di sini cuma nak bantu awak.

Saya dah beritahu, saya akan bekerja sehingga hutang saya dengan Tuan Idrus selesai. Lepas tu saya akan pergi dari sini. Saya takkan menyusahkan sesiapa. Perlukah saya ulang kata-kata saya?”

Macam mana pula hutang awak dengan Pak Cik Jalil?”

Amani tidak menunjukkan reaksi terkejut apabila Izz menyebut tentang Jalil. Gadis itu hanya memandang tepat kepadanya. Saya tiada hutang dengan sesiapa selain Tuan Idrus.”

Izz sudah ketawa sinis. Saya tahu, awak tak berhutang dengan pak cik awak. Tapi awak dah buat dia kerugian. 10 ribu ringgit! Selagi awak tak bayar kerugian dia awak takkan jumpa mak awak.”

“Awak fikir awak hebat bila berjaya jejaki keluarga saya dalam masa yang singkat? Awak fikir awak dah tahu segala-galanya? Awak tak kenal siapa mereka. Awak tak kenal bagaimana keluarga kami.” Sinis sekali Amani menuturkan kata.

“Huh?” Ternyata Izz semakin terkejut dengan kata-kata Amani.

“Lebih baik awak jauhkan diri daripada mereka.”

Jadi, awak memang tak nak jumpa dengan mak awak? Izz bagaikan tidak percaya Amani berkata begitu.

Saya memang tak nak jumpa dia.

Anak jenis apa awak ni? Akhirnya, terkeluar kata-kata itu dari bibir Izz tanpa sengaja.

Amani hanya membalas kata-kata Izz dengan jelingannya. Lalu dia berpusing untuk pergi. Untuk apa dia membuang masa bertekak dengan orang asing yang langsung tiada kaitan dalam hidupnya?

Jangan sesekali awak terfikir untuk larikan diri dari sini. Izz mengugut.

Mendengar kata-kata Izz, Amani berpaling semula memandang lelaki itu. Satu pandangan yang tajam menikam ke dalam mata Izz. Izz juga membalas pandangan matanya.

“Ilham Hati dikelilingi dengan tembok yang tinggi. Satu-satunya pintu keluar dari Syurga Ilham Hati adalah pintu yang menuju ke Ilham Hati. Untuk keluar dari Ilham Hati, hanya ada satu pintu gerbang sahaja. Pintu gerbang itu juga dah tertutup rapat sejak jam 9.00 malam tadi. Izz menerangkan satu fakta tentang keselamatan di situ.

Amani hanya membisu. Kata-kata Izz memang benar kerana tadi dia telah berkesempatan mengelilingi kawasan Syurga Ilham Hati dan Ilham Hati. Gerbang Ilham Hati telah pun ditutup pintunya pada jam 9.00 malam ketika semua pekerja selesai menjalankan tugas pada malam itu. Sekuriti juga telah menutup pintu gerbang dengan rapat dan mula mengawal. Keselamatan di sini memang ketat. Ditambah lagi dengan tembok tinggi yang mempunyai kawat duri di bahagian belakang dan dua bahagian sisi.

Saya takkan larikan diri selagi hutang saya belum selesai. Amani menghadiahkan satu jelingan tajam lalu meneruskan langkahnya semula.


Izz menarik senyum melihat Amani. Benar kata Tuan Idrus, Amani sangat berbeza dengan Tania. Amani ada sesuatu dalam dirinya. Sesuatu yang mungkin akan menjadikannya istimewa ataupun sebaliknya.





----------------



No comments:

Post a Comment