Thursday 12 November 2015

Senyum Tanda Suka (Bab 6)




“ALLAHUAKBAR... Allahuakbar...

Suara azan mula bergema memecah kesunyian subuh yang dingin. Mendengar suara azan yang mendayu itu membuatkan mata Amani terbuka luas. Jiwanya meruntun hiba.

Amani bingkas bangun dan duduk di atas lantai, tempat perbaringannya sambil memeluk lututnya. Dia memejam matanya rapat sambil meletakkan dahinya di atas kepala lutut. Pertama kali dalam hidupnya, dia mendengar suara azan sebegini jelas dan kuat. Suatu perasaan yang tenang dan damai dirasakan. Sebaik sahaja azan habis berkumandang, Amani bingkas bangun daripada duduknya.

Pagi ini adalah pagi pertama Amani di Syurga Ilham Hati. Pagi-pagi lagi dia sudah terbangun seperti selalu. Namun, suasana pagi ini begitu berlainan sekali. Biasanya setiap pagi dia akan terjaga apabila mendengar suara Jalil yang sedang mabuk baru pulang ke rumah. Kemudian, akan kedengaran suara Zaiton yang memarahi abangnya. Dan seperti biasa, mereka berdua akan bertengkar.

-------@@------


Dapatkan novel SENYUM TANDA SUKA
Klik link ini ==> (Novel ER)

HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00

Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya


Jom ikuti sambungan STS

-------@@-------


Setelah Zaiton ke pasar, barulah suasana akan tenang seketika. Waktu itu akan kedengaran suara Jalil yang masih mabuk itu akan menengking anak tirinya, Hafiz agar bangun untuk ke sekolah. Kasihan Hafiz. Dalam usia yang begitu muda dia sudah perlu menguruskan dirinya sendiri. Tapi Hafiz seorang kanak-kanak yang cekal. Dalam usianya yang baru menjangkau 12 tahun, Hafiz sudah pandai mencari wang. Malah, ada kalanya dia yang perlu menguruskan ayah tirinyanya yang kaki botol itu.

Walaupun dia sudah tidak bisa berkongsi suka dukanya dengan Hafiz, namun dia yakin Hafiz akan mampu untuk hidup berdikari tanpanya. Suatu hari nanti, mereka pasti berjumpa semula. Hafiz telah berjanji kepadanya sebelum dia meninggalkan rumah Jalil bahawa apabila dia dewasa kelak, dia akan mencari Amani.

Amani bangun dan menuju ke jendela. Malam tadi, dia ada membasuh bajunya dan menjemur di situ. Harap-harap bajunya sudah kering. Tak banyak pakaian yang dibawa, hanya tiga persalinan. Ada keluhan dilepaskan apabila memegang pakaian yang dijemur masih lagi lembap dan basah. Amani membuka beg galasnya dan mengambil pakaian yang terakhir lalu menuju ke kamar mandi.

Usai membersihkan diri dan membasuh pakaian yang dipakainya malam tadi, dia menjemur di sebelah pakaian yang satu lagi. Kemudian, dia berjalan keluar dari rumah besar itu. Rumah itu sudah terang-benderang walaupun baru jam 6.30 minit pagi. Amani mencari-cari kelibat orang lain yang mungkin berada di sekitarnya.

Aneh! Tiada satu kelibat pun yang kelihatan. Tiada Tania, Izz mahupun Tuan Idrus. Amani membawa diri ke halaman, mendongak ke dada langit yang kelam. Bulan dan bintang malam tadi masih ada di angkasa.

Amani.” Kedengaran suara Tania menegurnya.

Amani menoleh. Kelihatan kelibat Tania yang sudah bersiap dengan pakaian seragam sekolahnya. Tania beruntung kerana masih bersekolah, sedangkan dia? Alam persekolahan sudah hilang daripada kamus hidupnya. Namun itu semua tidak penting buat masa ini. Yang penting sekarang, dia perlu melunaskan hutangnya kepada Tuan Idrus dahulu. Perkara yang lain akan difikirkan kemudian.

Awak dah bangun? Tania membuka bicara.

Amani menjeling kepada Tania lalu berpaling ke tempat lain. Budak perempuan ini ke sekolah, tapi ilmu apa yang dipelajarinya sehingga bertanya soalan yang tidak sepatutnya? getus hati kecil Amani.

Awak nak bersarapan?” tanya Tania lagi.

Soalan itu juga dibiarkan berlalu sepi oleh Amani. Amani berlagak seolah-olah dia hanya bersendirian di situ.

Tania mula merasa kesal. Namun, sedaya upaya dibiarkan sahaja perlakuan Amani agar tidak masuk ke hatinya.

Awak nak solat?” tanya Tania lagi.

Solat? Pantas Amani memandang Tania. Kali ini Tania sudah mendapat perhatiannya. Dia tidak pernah bersolat. Dia tidak tahu bagaimana untuk bersolat. Azan yang berkumandang bagaikan terngiang-ngiang di telinganya. Dia ingin mendengar suara azan yang mendayu-dayu itu lagi. Dia merasa terpanggil untuk bersolat. Tapi, bagaimana caranya?

Tania mengukirkan senyuman.

Kalau Amani nak bersolat, Amani boleh ke ruang depan. Ruang depan tu adalah ruang solat. Kalau Amani nak solat di bilik saja pun boleh.” Jari telunjuk Tania menuding ke arah ruang yang dimaksudkan.

Tania, Abang Izz dan papa baru sahaja lepas bersolat. Biasanya, kalau papa dan Abang Izz tak ke surau di kampung, Tania akan berjemaah dengan mereka.” Tania cuba mengajak Amani berbicara. Sayangnya, Amani masih juga membisu.

“Pergilah. Di sana ada telekung. Amani boleh guna.”

Siapa yang azan tadi?

Azan?

“Ya. Saya dengar suara orang azan dalam rumah ni.”

Biasanya kalau laungan azan dari surau di kampung, jarang sampai ke sini. Kalau awak ada dengar suara azan, mungkin itu suara Abang Izz. Pagi tadi, Abang Izz yang laungkan azan. Tak sangka pulak boleh dengar sampai ke bilik awak. Senyuman Tania semakin melebar apabila Amani sudah mahu bersuara. Nada yang digunakan Amani juga tidak meninggi. Tidak seperti kelmarin, di mana dia hanya menerima jelingan yang tajam dan kata-kata yang kasar.

Ini satu permulaan yang baik.

“Izz?”

Tania mengangguk. “Merdu kan suara Abang Izz?”

Tania sudah tersengih. Terasa seperti Amani sedang memuji suara Izz daripada soalannya.

Amani tidak membalas soalan Tania. Dia berpaling semula ke tempat lain.

Awak nak bersolat? Tania bertanya soalan itu kembali apabila Amani sudah membuka langkah untuk pergi. Tanpa menjawab apa-apa Amani terus berlalu.

Tania hanya memandang langkah Amani dengan keluhan bersama gelengan kepala. Mungkin dia terlalu awal membuat penilaian terhadap Amani. Tania bergerak pergi. Pagi ini dia akan ke sekolah bersama Pak Bakar. Pak Bakar tentu sudah siap menunggunya di Gerbang Ilham Hati.

Amani menghentikan langkahnya apabila tiba di depan Kamar Ilham. Kamar Ilham masih gelap. Bermakna, Tuan Idrus tiada di situ. Di mana harus dia mencari Tuan Idrus! Hari ini, dia perlu mula bekerja untuk membayar hutangnya. Dia mahu membayar hutangnya dengan segera dan terus meninggalkan tempat ini.

Assalamualaikum,” sapa satu suara.

Mendengar suara itu, Amani telah tahu gerangannya. Amani berpaling memandang Izz yang sudah berdiri di belakangnya bersama senyuman yang terukir di bibir. Senyuman yang dihulurkan Izz dibalas dengan jelingan oleh Amani. Dia menoleh ke depan semula, memandang pada Kamar Ilham.

Kepala Izz tergeleng melihat sikap Amani. Awak tunggu Tuan Idrus? Tuan Idrus masih di dalam ruang solat. Bila dia selesai menyudahkan hubungannya dengan Allah, dia akan berjumpa dengan awak.”

Amani menoleh kepada Izz semula. Wajah lelaki itu dipandang. Wajah Izz kelihatan bersih dan berseri. Dengan memakai kopiah putih, baju Melayu putih bersama kain pelekat, lelaki itu nampak tenang jika dipandang terus begitu. Satu perasaan damai memutik dalam hati Amani.

Apa yang awak nampak?

Amani terkaku dengan soalan Izz. Dia berpaling semula ke tempat lain. Terasa wajahnya panas dan memerah. Mujurlah langit masih kelam. Jika tidak, pasti wajahnya yang merah dapat dilihat dengan jelas.

Awak pandang saya seolah-olah awak dapat membaca perasaan saya. Apa yang awak nampak?Izz bertanya lagi sekadar untuk mengusik gadis di depannya.

Amani mendengus halus. Dia berpusing mahu pergi namun langkahnya terhenti semula. Dia memandang Izz kembali.

Saya tak larikan diri, kan? Sinis sekali dia menuturkan kata.

Terima kasih sebab awak kotakan janji awak.” Izz ketawa kecil.

Amani memusing semula tubuhnya untuk meneruskan langkah.

Awak nak ke mana? Izz berjalan mendekati Amani dan berdiri di hadapannya. Jadual awak yang pertama untuk hari ini ialah sarapan bersama Tuan Idrus dan saya. Awak pergi dan tunggu kami di ruang makan. Sekejap lagi saya dan Tuan Idrus akan menyusul.”

Siapa awak nak mengarah saya?

“Kenapa? Awak tak mahu terima arahan daripada saya?” Izz agak terkejut dengan soalan itu.

Saya hanya terima arahan daripada Tuan Idrus.”

Saya juga terima arahan daripada Tuan Idrus.”

Kening Amani terjongket sedikit. Bibirnya semakin ditarik kelat.

Saya diberi tugas oleh Tuan Idrus untuk menguruskan awak. Satu senyuman dilemparkan Izz buat Amani.

Seperti biasa, Amani membalasnya dengan jelingan.

Jaga-jaga. Saya akan sentiasa perhatikan awak! ugut Izz. Tapi itu hanyalah gurauan. Entah kenapa dia merasa sangat suka untuk mengusik gadis yang sentiasa tegang dan dingin ini.

Amani mengerling Izz dengan tajam. Izz masih terus tersenyum sehingga membuatkan Amani berpaling ke tempat lain. Ada sesuatu yang mula terasa dalam hatinya. Kenapa pandangan tajammya dibalas dengan senyuman oleh Izz? Sepatutnya lelaki itu menunjukkan kebencian kepadanya. Dek merasa tidak betah untuk berhadapan dengan lelaki itu, sekali lagi Amani memusingkan tubuhnya untuk pergi. Namun, tiba-tiba sahaja lengannya dipegang Izz. Sepantas kilat matanya menikam wajah Izz.

“Berani awak?!” Wajah Amani berubah.

Awak marah sebab saya pegang awak? Jangan risau, wuduk saya tidak batal. Awak kan berlengan panjang.” Matanya dilirikkan pada lengan baju Amani yang panjang. Gadis ini tahukah tentang halal haram? Sedangkan menjawab salamnya sahaja tidak.

“Lepaskan!”

Awak nak pergi? Baiklah. Assalamualaikum.”

Amani menarik lengannya dengan kasar. Semakin kasar cuba dia menarik lengannya, semakin kuat Izz menggenggam lengannya sehingga sakit dirasakan.

Assalamualaikum. Awak tahu tak yang memberi salam itu sunat, tetapi menjawabnya adalah wajib? Kalau awak tak tahu, anggap saja ini pelajaran awak yang pertama untuk hari ini. Kalau awak nak saya lepaskan awak, jawab salam saya!tegas Izz dan kali ini dia tidak main-main.

Amani cuba menarik tangannya lagi. Setelah merasakan dia tidak berupaya melawan kekuatan Izz, lantas dia berhenti daripada memberontak. Dengan rasa berat hati, akhirnya dia menunaikan keinginan Izz.

Waalaikumussalam,” jawabnya dengan perlahan tanpa memandang wajah Izz.

Izz tersenyum puas. Lengan Amani dilepaskan. Amani memang degil. Mungkin dengan cara yang kasar begini sahaja mampu melembutkannya.

Amani memegang lengannya yang sakit.

“Lepas ni, saya harap awak akan belajar menjawab salam dengan lebih ikhlas daripada hati awak,tegas Izz.

Amani hanya menjeling sambil mengurut lengannya.

“Pergi ke ruang makan. Mak Eton dan Kak Min dah siapkan sarapan untuk kita. Sekejap lagi saya datang. Izz berlalu pergi.

Amani menghantar langkah Izz dengan jelingannya. Lengan kanannya yang sakit dipicit-picit. Dia berjalan dan duduk di bangku yang terdapat di tengah taman kecil yang terletak di hadapan Kamar Ilham.

Amani menyelak lengan bajunya yang panjang. Ada kesan lebam pada lengannya.

Amani, kenapa ni? Kebetulan, ketika Tuan Idrus keluar dari rumah dia melihat Amani sedang memicit tangannya.

Dengan pantas Amani menurunkan kembali lengan bajunya dan menutup semula lengannya yang terdedah.

Tangan kamu sakit? Ada riak kerisauan terlukis pada wajah itu.

Tiada reaksi yang diterima daripada Amani. Tuan Idrus menarik nafas panjang apabila soalannya tidak bersambut. Satu dengusan kehampaan kedengaran.

Marilah. Kita sarapan bersama.” Tuan Idrus bergerak pergi dan Amani mengekori di belakang.

Hidangan sudah siap terhidang di atas meja. Melihat kelibat Tuan Idrus, lantas Mak Eton dan Min terus mencedok nasi dan menuang secawan kopi panas buatnya. Amani dibiarkan mengambil hidangannya sendiri.

Tania dah sarapan sebelum ke sekolah?” tanya Tuan Idrus.

Dah, tuan. Hari ni Tania ke sekolah lebih awal sebab dia bertugas untuk membersihkan bilik darjah,” terang Mak Eton.

Terangguk-angguk kepala Tuan Idrus. Sekilas dia melirik kepada Amani yang telah pun menjamah hidangannya. Kasihan Amani, sepatutnya dia juga ke sekolah seperti Tania.

Seketika kemudian, kelibat Izz pula muncul.

“Assalamualaikum.” Izz menyapa.

“Waalaikumussalam. Mari duduk Izz.” Tuan Idrus memanggil dengan anggukan kepala.

Izz mengambil tempat duduk bertentangan dengan Amani. Walaupun sudah bertahun lamanya Izz tinggal di Syurga Ilham Hati, namun layanan Tuan Idrus tidak pernah berkurang. Ada kalanya dia terasa malu apabila dilayan terlalu baik.

Izz mengerling Amani yang tidak menjawab salamnya. Malah, gadis itu mendahului mereka bersarapan tanpa menunggu untuk berdoa. Ternyata, Amani juga sedang mengerling kepadanya. Mungkin Amani sengaja mahu melihat reaksinya apabila salam yang diberikan tidak bersambut.

Tuan Idrus memberi isyarat kepada Izz untuk membacakan doa. Mereka menadah tangan dan doa pun dibaca oleh Izz.


Dengan tak semena-mena Amani terhenti daripada mengunyah roti bakarnya apabila mendengar doa yang dibacakan Izz. Walaupun dia tidak ikut menadah tangan, namun dia menunggu sehingga mereka selesai berdoa barulah dia kembali menjamah semula hidangannya.



--------------@@--------------
SALAM CERIA - EMMA RUSDI
--------------@@--------------


No comments:

Post a Comment