Friday 4 December 2015

Senyum Tanda Suka (Bab 8)









Dapatkan novel SENYUM TANDA SUKA            
Klik link ini  (Novel ER)

HARGA
SEMENANJUNG : RM 27.00
SABAH/SARAWAK : RM 30.00

Nak baca dulu novel-novel ER, boleh klik sini ya

jangan lupa follow ER di wattpad...ngeengee..

Jom ikuti sambungan STS


----------@@---------------


IZZ masuk ke dalam kawasan Syurga Ilham Hati. Dia mencari Amani di kawasan sekitar tetapi kelibat Amani tak kelihatan di mana-mana. Izz kembali semula ke Ilham Hati. Setelah berpusing-pusing di sekitarnya, Izz menegur Hasyim, salah seorang pekerja di situ yang sudah beusia lebih 40 tahun. Dia bertanyakan tentang Amani.

Menurut Hashim, dia melihat kelibat Amani berjalan keluar dari Gerbang Ilham Hati. Lantas Izz ke pondok pengawal dan bertanya kepada Badri yang mengawal tempat itu pada siang hari. “Pak cik, nampak Amani?”

“Amani?” Dahi Badri berkerut.

“Budak perempuan semalam yang saya dan tuan bawa balik sini.” Izz mengingatkan.

“Oh. Ada. Tadi pak cik nampak dia keluar dari sini. Mungkin dia ke kampung agaknya.”


“Dia ada bawa beg?” Izz mula khuatir jika Amani melarikan diri dari sini.

“Tak ada pula. Nampak dia jalan melenggang tak bawa apa-apa pun.”

“Saya pergi cari dia dulu.” Izz menarik nafas lega.

“Kenapa ni? Ada hal apa?” Wajah gelisah Izz mudah dibaca oleh Badri.

“Tak ada apa, pak cik. Tak apalah. Saya pergi dulu.” Dia melangkah keluar dari Gerbang Ilham Hati.

Sepanjang perjalanan di Kampung Indah Mentari, kelibat Amani tidak juga kelihatan. Habis setiap orang kampung yang berselisih dengannya ditanya. Hatinya dilanda kerisauan apabila tiada maklumat tentang Amani. Dia mula kembali khuatir jika Amani benar-benar melarikan diri.

Kini, langkah kaki Izz sudah tiba di tasik yang terletak di hujung Kampung Indah Mentari. Di pertengahan tasik, dia terlihat kelibat Amani sedang berdiri di situ sambil merenung jauh ke tasik yang tenang. Akhirnya, dia menemui juga gadis itu. Satu nafas lega dilepaskan. Izz mengeluarkan telefon, lalu menghubungi Zaiton. Kemudian, dia berjalan mendekati Amani.

Amani yang sedang tenggelam bersama perasaannya terus menoleh sebaik sahaja merasakan ada jejak-jejak yang semakin menghampirinya. Melihat sahaja kelibat Izz, dia terus berpusing untuk meninggalkan tasik itu.

Amani, mak awak nak bercakap dengan awak!” panggil Izz dengan kuat sambil langkah kakinya masih diayun untuk menghampiri gadis itu.

Langkah kaki Amani terhenti. Dia menoleh dan memandang Izz yang semakin menghampiri. Sampai di depannya, Izz menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada Amani. Amani memandang lama telefon ditangan Izz sebelum dia mencapainya. Lalu, telefon itu diletakkan di telinganya.

“Helo?” sapa Amani.

Amani. Mak ni. Kedengaran suara Zaiton di hujung talian.

Amani melirik Izz sekilas lalu berjalan menjauhinya.

Ada apa? soal Amani.

Kau macam mana? Kau bekerja dengan Tuan Idrus? Ada cemas daripada nada suaranya. Setiap soalannya tiada balasan daripada Amani.

Nasib baiklah kau dapat kerja. Satu hembusan kelegaan kedengaran. Kalau tak, macam mana dengan makan minum kau? Mak dengar kau tinggal dengan Tuan Idrus. Tuan Idrus tu tentu baik orangnya, kan?

Izz yang sedang memerhatikan Amani yang telah menjauhkan diri daripadanya mula merasakan keanehan. Suara Amani tidak kedengaran, malah tiada reaksi langsung daripadanya. Amani seakan-akan model patung yang sedang memegang telefon di tangan.

Kau dengar sini, Amani. Kau kerja elok-elok dengan Tuan Idrus. Kita kumpul duit untuk bayar duit pak cik kau tu. Lepas hutang kita selesai dengan Jalil, kau tolong minta kerja untuk mak kepada Tuan Idrus. Mak dah tak sanggup nak tinggal dengan pak cik kau. Pak cik kau dah makin teruk perangai dia! Satu dengusan kasar daripada Zaiton kedengaran.

Tak, mak.” Setelah lama mendiamkan diri, barulah Amani mencelah. “Saya takkan lama di sini. Saya hanya bekerja sehingga hutang saya kepada Tuan Idrus langsai. Lepas tu, saya akan pergi. Kita tak perlu langsaikan hutang dengan Pak Cik Jalil sebab saya tak nak balik sana lagi.

Hah?! Apa kau cakap? Kalau kita tak bayar, macam mana aku nak pergi dari sini? Kau dah gila? Inilah masanya kita ubah hidup kita. Selama ni kita terpaksa bergantung hidup dengan pak cik kau,” ujar Zaiton.

Amani terus membisu. Hanya kedengaran nafas halusnya.

Kau nak tinggalkan mak?!” Bagaikan dapat meneka apa yang tersirat di hati kecil Amani, Zaiton terus bertanya.

Amani masih terus membisu. Zaiton sudah tahu tentang rancangannya. Bukan niatnya untuk meninggalkan Zaiton. Namun, dia telah lama memikirkan tentang itu. Dia tak sanggup lagi untuk terus berada di sisi Zaiton. Sedangkan, setiap detik, setiap hari dia akan terbayangkan kehidupan lalunya. Setelah berpisah daripada Zaiton, barulah dia merasakan dadanya bisa bernafas sedikit daripada terus dibelenggu dengan keperitan hidup yang masih kekal di benaknya.

Amani! Kau dengar sini. Kau nak tinggalkan mak? Selama ni mak yang jaga kau. Anak tak mengenang budi!” Zaiton terus memarahi Amani.

Amani menarik telefon dari telinganya dan menyerahkannya kepada Izz.

Izz yang baru menyambut telefon daripada Amani terus membawa telefon itu ke telinganya apabila mendengar suara Zaiton yang terjerit-jerit di hujung talian. Talian masih belum terputus, jadi mengapa Amani sudah tak mahu berbicara dengan ibunya?

Amani berlalu ke tepi tasik. Dia berdiri seperti tadi. Sekilas dia melirik kepada Izz yang sedang berbual di telefon bersama Zaiton. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Dia tidak boleh biarkan Zaiton mendekati keluarga ini. Dia tahu bagaimana sikap ibunya.

Kata Zaiton ada benarnya. Memang mereka sudah tidak sanggup hidup bersama Jalil. Tapi dalam masa yang sama, mereka berdua perlu akui Jalil telah menjadi orang yang penting dalam hidup mereka. Namun, ada perkara lain yang membuatkan Amani menjadi kurang senang jika Zaiton menjejakkan kakinya di Ilham Hati.

Amani, awak okey?” soal Izz yang sudah ada di belakang Amani.

Jangan benarkan mak saya datang ke sini, tegas Amani.

Izz mengeluh. Memang dia tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga Amani. Tapi permintaan Amani terlalu pelik kepadanya. Seorang anak tak mahu menemui ibunya? Kenapa Amani mahu menjauhi ibunya? Dia terus tertanya sendiri.

Dia tidak pasti bagaimana hubungan Amani dan Zaiton. Namun sebentar tadi, dia ada mendengar kata-kata amarah berhambur daripada Zaiton sewaktu Amani menyerahkan semula telefon kepadanya. Walau bagaimana sekalipun hubungan mereka, Amani tidak sepatutnya menjauhi ibunya. Air dicincang tidak akan putus.

Mak awak mahu bekerja dengan Tuan Idrus. Saya akan beritahu tentang itu kepada Tuan Idrus.”

Amani memejam matanya seketika. Awak akan menyesal kalau mak saya datang ke sini!

Amani terus berlalu pergi. Izz mengekorinya dari belakang.

“Kenapa saya perlu menyesal? Awak tak sayangkan mak awak? Kan bagus kalau Tuan Idrus dapat bebaskan awak dan mak awak daripada pak cik awak? Awak tak nak jumpa dengan mak awak? Bertalu-talu persoalan dihambur.

Amani menghentikan langkahnya. Banyak perkara yang lebih baik daripada hubungan kasih sayang. Awak tak kenal keluarga saya.

Dengan rasa marah Amani terus melangkah pergi. Sempat dia menghadiahkan satu jelingan yang penuh dengan kemarahan buat Izz. Dia tidak mahu Zaiton bertemu dengan Tuan Idrus.

Izz menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan. Dia menggelengkan-gelengkan kepala apabila mengingatkan sikap Amani. Izz berjalan semula menuju ke Ilham Hati setelah berdiri di situ agak lama. Di hadapannya, dalam jarak 50 meter kelihatan Amani yang juga sedang melangkah pulang ke Ilham Hati.

“Siapa Amani yang sebenarnya?” Izz tertanya sendiri.

Dia tak pernah jumpa gadis seperti itu yang sangat keras hatinya. Bagaimana pula hubungan Amani dan ibunya? Zaiton kelihatan begitu mengambil berat tentang Amani tetapi kenapa Amani bagaikan tidak mempedulikan ibunya?

Mereka sudah masuk ke dalam Ilham Hati. Terus Izz mengekori langkah Amani yang membawa diri ke Syurga Ilham Hati. Ketika Amani berdiri di tangga rumah, dia menoleh ke arah Izz yang sudah berada di depan Kamar Ilham. Izz juga sedang memerhatikannya. Pandangan mereka bertaut seketika. Kemudian, satu jelingan dilemparkan buat Izz lalu Amani menghilangkan diri ke dalam.

Izz ketawa kecil sambil menggeleng. Amani memang aneh. Namun Amani mempunyai satu daya tarikan. Ya, memang Amani cantik orangnya. Tapi dia tidak pandai berhias dan berpakaian kemas seperti Tania. Pakaiannya hanya baju-T longgar dan jean lusuh. Tiada apa yang menarik tentang gadis itu. Tapi gadis itu seakan-akan punya aura yang membuatkan dia mahu mendekatinya. Seperti kata Tuan Idrus, ada sesuatu dalam diri Amani.

SAAT dia membuka jendela, terus sahaja aroma wangian melur menyapa hidungnya. Terus dia merasa tenang dan damai. Hatinya mula terdetik untuk memetik bunga melur yang tumbuh segar bersebelahan Pondok Kecil. Niatnya diteruskan apabila melihat Pondok Kecil yang tidak bercahaya menandakan tiada penghuni di dalamnya.

Amani berjalan keluar dari Rumah Utama dan menuju ke halaman belakang. Dia mendekati pokok bunga melur lalu memetik beberapa kuntum bunganya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya untuk menikmati kesegaran aroma bunga itu.

Tuan Idrus dah setuju. Satu suara menyapa dari belakang.

Amani terus menoleh.

“Awak terkejut? Kalau saya beri salam pun, belum tentu awak akan jawab, kan?” kata Izz dengan sinis. Matanya melirik kuntuman bunga melur di tapak tangan Amani. “Awak suka bunga jasmine?”

Amani berjalan ke pangkin lalu duduk di situ. Dia memandang pada tiang lampu klasik yang menerangi kawasan itu sambil melur di tangannya dibawa dekat ke hidung untuk menikmati aromanya. Tiang lampu klasik itu menarik perhatiannya. Dia suka pada seni reka klasik yang kreatif dan mempunyai lebih nilai seni.

“Amani?” Izz duduk di sebelahnya.

Amani menyepi. Kehadiran Izz tidak dipedulikannya.

“Mak awak akan diberikan kerja,” kata Izz.

Kan saya dah beritahu, saya akan langsaikan hutang Tuan Idrus secepat mungkin. Lepas tu saya akan pergi dari sini. Tak guna kalau Tuan Idrus ambil dia bekerja. Amani menarik bibirnya rapat.

Tapi Tuan Idrus dah bersetuju.”

Bertahun masa yang diperlukan untuk melangsaikan hutang Pak Cik Jalil. Dia takkan benarkan mak saya pergi selagi hutangnya tak dibayar. Saya akan pergi dari sini sebelum waktu itu tiba.”

Siapa kata? Hutang pak cik awak akan terlangsai esok hari.” Izz tersenyum nipis.

Terus mata Amani terpaku pada wajah Izz yang masih memandangnya. Bagaikan mimpi kata-kata itu menyapa ditelingnya.

Esok, saya akan bawa Tuan Idrus bertemu dengan pak cik awak,” kata Izz. Tidak perlu untuk dia menerangkan keputusan Tuan Idrus dengan lebih terperinci. Amani pasti akan tahu sendiri.

Kamu semua memang bodoh.” Tajam matanya memandang Izz.

“Apa?!” Izz memusing tubuhnya memandang Amani. “Kami semua sedaya upaya membantu awak dan mak awak. Tapi niat baik kami dibalas dengan ucapan bodoh?”

Saya dah beri amaran. Jangan libatkan diri dengan keluarga saya. Amani terjerit sedikit.

Huh! Awak tahu tak? Awak ni perempuan pertama saya jumpa yang penuh dengan sikap sombong. Awak lihat Tania. Awak lihat dia! Dia kehilangan ibu ketika usianya lapan tahun. Dia membesar tanpa kasih seorang ibu. Awak yang ada ibu langsung tak hargai ibu awak,” marah Izz.

Amani menoleh ke tempat lain. Patutlah dia tidak melihat kehadiran wanita lain selain Tania dan tukang masak dan anaknya.

Saya menjadi yatim piatu sejak umur saya 10 tahun. Sejak itu, Tuan Idrus yang menjaga saya.” Suara Izz sudah bertukar sayu. Ibu dan ayah saya adalah pekerja Tuan Idrus. Sebelum mereka meninggal, Tuan Idrus sendiri dah banyak membantu keluarga kami. Kami bukan orang senang. Segala perbelanjaan sekolah, Tuan Idrus dan Puan Sufi yang uruskan. Sampailah kedua-dua orang tua saya meninggal dunia pun saya tak mampu membayar budi mereka.”

Suasana sunyi seketika.

Awak masih ada ibu. Sepatutnya awak hargai ibu awak selagi ada hayatnya. Izz bersuara semula.

Awak beruntung. Awak dan Tania beruntung kerana pernah merasa kasih sayang orang tua. Amani bangun daripada duduknya.

Apa maksud awak Amani?

Amani menoleh memandang Izz. Kalau awak dan keluarga awak berhutang budi dengan Tuan Idrus, itu tiada kaitan dengan saya. Kalau saya berada di tempat orang tua awak, saya takkan biarkan keluarga saya berhutang budi dan mengharap bantuan daripada orang lain.

Amani melangkah.

Amani! Terus sahaja Izz bangun dan menggenggam bahu kanan Amani dengan kuat. Awak memang melampau. Sudahlah awak tak hargai mak awak, awak hina pula orang tua saya.

Hanya dia sahaja yang tahu kesusahan dan keperitan yang dialami keluarga mereka. Hanya dia saja yang tahu bagaimana usaha yang dilakukan untuk meneruskan kehidupan. Ditambahkan lagi dengan kesihatan arwahnya ayah yang menghidap sakit jantung dan arwah emaknya yang menghidap asma.

Saya memang kejam.Amani mengakuinya dengan sinis. Tangan Izz ditepis kasar. Tak guna awak bersyarah kepada saya tentang menghargai kasih sayang. Saya tak perlu menghargai sesiapa sebab saya memang yatim piatu sejak lahir ke dunia.”

“Huh? Apa maksud awak?” Kali ini lengan kanan Amani yang dipegangnya untuk menghalang Amani daripada pergi.

Auuu!” Amani mengerang perlahan.

Awak sakit? Dengan pantas Izz menarik tangannya. Dia terlupa tentang lengan Amani yang lebam.

Biar saya tengok.” Izz cuba mencapai tangan Amani.

Amani mengelak. Saya tak suka terhutang budi dengan orang.

Amani terus melangkah pergi. Izz mengeluh.

Abang Izz.” Tania memanggil Izz apabila melihat kelibat Amani telah pergi dari situ. Baru beberapa minit dia berada di situ dan mengintai mereka dari balik dinding Pondok Kecil.

“Tania?” Izz agak terkejut melihat Tania. Dia kembali duduk di pangkin.   
  
Apa yang berlaku?” soal Tania sambil menoleh ke belakang walaupun kelibat Amani telah hilang dari situ.

“Kenapa Tania ke sini?” Izz menepuk lantai pangkin di sebelahnya, mengajak Tania duduk di situ.

“Ada apa?” soal Izz. Persoalan Tania sebentar tadi tidak dijawabnya.

Saja Tania datang sini.” Tania menarik zip baju sejuknya ke atas untuk menutup tubuhnya yang kesejukan dihembus angin malam.

“Ada apa-apa yang Tania nak beritahu saya?”

Tania menggeleng. Namun, wajah masamnya mudah dibaca Izz.

“Kenapa Tania tak masuk tidur lagi ni? Esok kan sekolah?

Kejap lagilah Tania tidur. Lagipun, Tania tak mengantuk lagi ni. Tania rasa sunyi. Semua orang asyik bercakap tentang Amani. Semua orang ambil berat tentang Amani. Abang Izz pun sama. Tania rasa diri Tania ni dah tak dipedulikan. Tania meluahkan apa yang tersimpan dalam hatinya.

Baru dua hari lepas Amani datang ke dunia kita. Macam mana pulak dia boleh buatkan Tania tak dipedulikan? Izz ketawa. Namun di sebaliknya, Izz turut merasakan begitu.

Entahlah. Tiba-tiba saja Tania rasa cemburu dengan Amani. Papa pun sibuk tentang Amani.Muncung Tania sudah panjang.

Izz hanya tersenyum. Begitulah sikap Tania, kalau terasa hati muncungnya akan panjang sedepa. Tuan Idrus cuma nak bantu Amani. Cuba Tania beritahu saya, siapa dalam dunia ni yang Tuan Idrus kenal, tapi dia tak bantu? Ada?

Tania menggeleng. Kalau nak dihitung, hampir semua orang yang dalam kesusahan ditolong Tuan Idrus. Termasuklah orang Kampung Indah Mentari. Ilham Hati terletak di dalam perkampungan Indah Mentari. Keluasan Ilham Hati adalah hampir separuh daripada Kampung Indah Mentari. Kebanyakan pekerja di Ilham Hati adalah penduduk kampung itu sendiri.

Sebelum ini, Ilham Hati dikenali sebagai Husin Kraf. Setelah Husin Kraf jatuh muflis, Tuan Idrus dan arwah Puan Suri membangunkan semula Ilham Hati untuk membantu orang kampung dengan memberi pekerjaan kepada mereka.

Macam mana Tuan Idrus bantu orang lain dan keluarga saya, macam tu jugaklah dia mahu bantu Amani.

Senyuman sudah terukir semula di bibir Tania. Hatinya sudah terpujuk. Dia bersetuju dengan kata-kata Izz itu.

Macam mana dengan sekolah? Tania ada masalah dengan Faiz lagi? Izz mengubah topik bicara.

Tania dengan Faiz, okey. Cuma, sejak akhir-akhir ni Faiz selalu sibuk dengan kelas tambahan. Tania dah jarang jumpa dia. Kalau ada pun, kita orang cuma SMS aje. Senyuman Tania semakin lebar apabila mendengar nama Faiz.

Izz terangguk-angguk perlahan. Faiz kan nak ambil SPM tahun ni. Tania kenalah faham situasi dia. Tania kena contohi Faiz.”

Hmm, Tania nak belajar rajin-rajin macam Faiz. Macam Abang Izz. Tania nak masuk universiti.” Terasa semangat yang membara dalam diri Tania.

Baguslah kalau macam tu. Tania beruntung sebab Tania tak perlu bersusah payah cari duit nak sambung belajar. Saya pun beruntung jugak. Walaupun dah yatim piatu, Tuan Idrus ambil dan jaga saya. Segala perbelanjaan di universiti, Tuan Idrus yang tanggung. Cuba bandingkan nasib kita berdua dengan Amani. Bagaimana hidup dia dengan kita? Walaupun dia masih muda tapi dia terpaksa bertungkus lumus untuk hidup. Dah tu, terpaksa berhenti sekolah lepas ambil PMR.

Betulkah ni Abang Izz? Tania tak tahu,” tuturnya perlahan. Hatinyan diruntun rasa sayu.

Mungkin kerana kesusahan dan penderitaan dalam hidup dia, Amani jadi begitu. Kasar, sombong. Izz menoleh kepada Tania. Tania tak rasa yang kita patut bantu dia?

Tania diam lama.

Kita perlu bantu dia.” Kemudian dia mengangguk.

Kalau macam tu, Tania jangan ambil hati sangat bila tuan ambil berat pasal Amani.”

Abang Izz betul. Tania pun akan bantu papa untuk bantu Amani.” Tania tersenyum lebar sehingga matanya yang besar menjadi kecil.

Izz hanya tersenyum. Dah lewat ni. Tania pergilah masuk tidur. Saya pun nak masuk tidur.”

“Tania pun dah rasa mengantuk. Tania masuk dulu. Selamat malam, Abang Izz.”

 “Selamat malam, Tania.”

“Assalamualaikum.

“Waalaikumussalam.” Tania melangkah masuk ke dalam rumah.

Izz menunggu sehingga kelibat Tania hilang. Kemudian, dia melirik jendela kamar Amani.

“Selamat malam, Amani.” Izz bergerak masuk ke dalam Pondok Kecil.








No comments:

Post a Comment