Thursday 17 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 20


Salam sayang semua!!
Hari ni hari terakhir Marathon untuk Misi Tawan Hati Ex. Hopefully, selama 11 hari ni, korang puas hati membaca N3 untuk novel Misi Tawan Hati Ex. ER mohon maaf ya jika ada kekurangan sepanjang marathon MTHE ini. Selepas N3 ini, mungkin tak ada lagi N3 tentang novel sehinggalah ER mengeluarkan novel baru.

Kalau ada N3 selepas ini pun, pasal hal-hal merapu ER aje! hikhikhik....Korang bolehlah abaikan ek..

Insha Allah, 2 Manuskrip sedang berjalan serentak untuk projek 2017. Doakan semoga impian ER berjaya keluarkan 2 novel untuk tahun depan ya!

Jangan lupa dapatkan senaskah novel ini dalam simpanan korang ya!
Kalau korang rindukan Melati dan Arraz...jom! Milikinya!

                                ~BuAt MuKa CoMeL~



DARI balik dinding, aku mengintai pasangan tua yang sedang berjalan berpegangan tangan. Aku akui, aku sangat cemburu dengan hubungan setia begitu. Walaupun dah tua, cinta tetap menyala di hati mereka. Aku melirik Dahlia yang sedang bersembunyi di belakang aku.
“Lia dah ready?” tanyaku.
Dahlia mengangguk.
Aku dapat melihat semangat yang berkobar-kobar di matanya. Aku memandang semula pasangan itu lalu membetulkan niqab yang aku kenakan di muka.
Ini semua idea mak. Tapi, aku rasa idea ini bagus juga. Aku juga mendapat pertolongan daripada Hazel. Sebab itulah aku berada di sini. Kalau bukan atas pertolongan Hazel, bagaimana aku nak tahu aktiviti bekas mertua aku?
Aku pegang tangan Dahlia. Kami bergerak mendekati pasangan itu. Dada aku bergetar kencang. Tak tahulah sama ada aku mampu mengawal penyamaran aku yang berjubah dan berniqab untuk menyembunyikan identiti aku. Dahlia sudah kusiapkan secantik dan secomel yang mungkin untuk menambat hati mereka.
Keadaan berpihak kepada aku apabila pasangan itu duduk di bangku panjang bertentangan dengan sebuah kedai pakaian.
“Lia, kita tengok baju sekejap,” kataku ketika kami melintasi pasangan itu. Aku berjalan ke kedai dan membelek-belek pakaian yang tergantung.
Dahlia masih ada di sisi aku.
“Lia pergi sana. Mama tunggu sini,” ujarku dengan nada berbisik. Aku memilih untuk melihat-lihat di bahagian depan kedai sahaja tanpa masuk ke dalam untuk mengawasi Dahlia.
Dahlia berjalan mendekati pasangan yang sedang mesra berbual itu. Dia berdiri berdekatan mereka sambil memerhatikan tingkat bawah.
“Wah! Ramainya orang,” kata Dahlia dengan agak kuat untuk mencuri perhatian mereka.
“Hati-hati, cu. Nanti jatuh.” Mama mula menegur Dahlia.
Dahlia mengalihkan pandangan kepada mereka bersama dengan senyuman.
“Tak apa, tok. Ada cermin ni. Lia cuma nak tengok bawah aje,” kata Dahlia.
“Tak gayat ke?” tanya papa pula.
“Lia okey aje. Tok takut ke?” Dahlia sudah berdiri di hadapan mereka.
Aku mengerling mereka. Mama memberikan senyuman kepadaku. Aku membalas dengan anggukan kepala kerana mereka pasti tidak bisa melihat senyuman aku di sebalik niqab ini.
“Datang dengan mama berdua aje?” tanya papa.
“Lia datang dengan mama,” beritahu Dahlia.
“Nama sayang ni, Lia ke?” Mama memegang dendan lipan di rambut Dahlia.
“Seri Dahlia. Tapi nama manja Lia,” kata Lia sambil buat muka comel.
Papa dan mama ketawa. Mereka nampak terusik dengan sikap Dahlia.
“Nama manja ya?” Agaknya papa geli hati dengan kata-kata Dahlia.
 “Tok papa dan tok mama penat berjalan ke?” Dahlia cuba merapatkan diri dengan mereka.
Well done, sayang!
Mama dan papa berpandangan seketika. Mungkin kerana tidak menyangka Dahlia menggunakan panggilan itu kepada mereka. Tetapi kemudian, mereka tersenyum.
Comelnya.” Mama mencubit pipi Dahlia dengan mesra. Matanya menjadi kecil kerana tersenyum.
Dahlia ketawa manja.
“Tok papa dan tok mama dah tua, mestilah penat,” kata papa.
“Tapi tok papa dengan tok mama handsome dan cantik. Dah tua pun tetap handsome dan cantik.”
Papa dan mama ketawa besar. Papa mengusap kepala Dahlia. Aku yang melihatnya juga tersenyum sendiri.
“Sayang, kalaulah kita ada cucu, agaknya besar nilah cucu kita, kan?” Papa menoleh, memandang mama.
Mama menganggukkan kepala.
Terpempan aku seketika. Lupakah mereka yang mereka memang dah ada cucu? Lupakah mereka kepada menantu dan cucu yang dihalau tujuh tahun lalu?
“Tok papa nak Lia picitkan bahu?” Tanpa menunggu jawapan, terus Dahlia ke belakang papa dan memicit bahunya.
“Ya Allah, baiknya cucu tok papa ni.” Tok papa memuji. Matanya terpejam seolah-olah menikmati urutan tangan kecil Dahlia.
“Seronoknya tok papa ada orang urutkan.” Mama menarik muncung panjang, pura-pura merajuk dengan Dahlia.
Aku tersenyum melihat mama begitu.
“Okey, okey. Lia urut tok mama pulak.” Dahlia menukar tempat dan mengurut belakang mama.
“Sedapnya Lia urut,” puji mama.
Apalah yang mereka dapat rasakan dengan urutan Dahlia? Kadang-kadang sengaja aku menyuruh Dahlia mengurut walaupun aku tahu urutannya tidak dapat melegakan lenguh badan. Tapi aku tetap memujinya. Aku bisa merasakan kasih sayang daripada urutannya. Aku harap mereka juga merasakan begitu. Kasih sayang Dahlia, melenyapkan segala kesakitan.
Tiba-tiba aku terdengar mereka ketawa. Aku mengintai lagi. Papa sedang menggeletek Dahlia. Lalu dia mengangkat Dahlia ke atas ribanya. Begitu cepat mereka mesra? Aku memang tak menyangka Dahlia berjaya mencuri hati mereka secepat ini.
Mama menghulurkan sekeping waffle coklat lalu menyuap Dahlia. Dahlia yang mulanya malu-malu tapi akhirnya menganga dan makan. Kemudian, dia mengambil waffle itu dan menyuap pula kepada papa dan mama. Papa dan mama mengusap kepala Dahlia dengan gembira. Tiba-tiba aku menjadi cemburu melihat kemesraan mereka.
Bukan apa, Dahlia tak pernah manja begitu dengan orang lain selain daripada aku, tok mak dan tok abahnya. Sekarang, terasa lain pula apabila melihat dia bermesra dengan orang lain. Eh, astaghfirullah... Itu kan tok mama dan tok papanya, Melati! Wake up Melati! Inilah yang sepatutnya dan kasih sayang inilah yang akan menjadi penentu pada matlamat kau.
Aku menarik nafas, menghalau bisikan syaitan yang tak mahu aku satukan kasih sayang ini. Kemudian, aku mendekati mereka.
“Assalamualaikum.Aku menyapa.
Waalaikumussalam,” jawab papa dan mama serentak.
“Inilah mama saya,” kata Dahlia.
“Anak saya mengganggu pak cik dan mak cik ke?” tanyaku.
“Eh, mana ada. Langsung tak ganggu. Namanya Lia?” tanya mama sambil memandang aku. Tangannya erat memeluk tubuh Dahlia.
“Ya, Dahlia,” beritahu aku.
“Mak Lia ni nama apa?” tanya Papa.
“Nama saya Seri. Minta maaflah ya kalau anak saya mengganggu. Dia ni nakal sikit,” kataku lagi. Sengaja aku beritahu nama pangkal depan tanpa nama penuh.
“Tak ada nakalnya. Terhibur kami di sini dengan dia. Maklumlah, dah tua-tua macam ni belum ada cucu. Anak tak ramai. Sepasang aje. Yang sulung belum kahwin lagi. Ni, yang bongsu baru nak kahwin. Harap-harap esok lepas nikah, cepatlah dapat cucu. Dah tak sabar nak main dengan cucu,” kata papa.
Yang sulung belum kahwin? Aku mengetap bibir. Maknanya, memang papa dan mama tak pernah iktiraf aku sebagai menantu. Pernikahan aku dengan Arraz terus dibuang daripada ingatan mereka. Sebaknya hati hanya Allah sahaja yang tahu.
Amin... Mudah-mudahan pak cik dan mak cik cepat dapat cucu.” Aku menadah tangan dan mendoakan untuk mereka.
Tak mengapa, mereka boleh buang aku. Tapi aku akan buat mereka sayangkan Dahlia sehingga mereka tak mampu nak tolak Dahlia daripada hidup mereka. Dan waktu itu, aku akan bawa Dahlia jauh dari sini dan mulakan lehidupan baru.
“Seri datang berdua aje dengan Lia? Suami tak ikut sekali ke?” tanya mama.
“Saya ibu tunggal,” jawab aku lalu tertunduk.
Setiap kali orang bertanya tentang itu, aku pasti tertunduk malu. Aku tahu, tak semua orang akan berfikir secara positif. Apabila dikatakan ibu tunggal, pasti ada reaksi negatif yang aku terima. Namun, lama-kelamaan aku cuba biasakan diri dengan situasi itu. Namun saat ini, terasa janggal apabila aku berterus terang yang aku adalah ibu tunggal kepada kedua-dua bekas mertuaku sendiri.
“Maaf ya, pak cik, mak cik. Kami berdua minta diri dulu. Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi.” Aku mencapai tangan Dahlia lalu melangkah pergi.
Dahlia menoleh ke belakang sambil melambai kepada mereka.


SETAKAT ini rancangan aku berjalan dengan lancar. Bermula dengan pertemuan yang dirancang di mall, terus aku aturkan pertemuan demi pertemuan antara aku, Dahlia dan orang tua Arraz. Itu semua atas bantuan Hazel dan kami melakukannya seakan-akan satu kebetulan.
Aku tak tahu apa motif Hazel sebenarnya melakukan semua ini untuk aku. Namun katanya, dia rasa bersalah kerana telah berjanji dengan papa dan mama untuk merahsiakan perkara sebenar daripada Arraz. Aku katakan sahaja yang dia sepatutnya beritahu Arraz perkara sebenar kerana Arraz langsung tak percayakan aku.
Tapi dia enggan kerana telah berjanji dengan papa dan mama. Malah, dengan Arraz juga dia telah berjanji yang dia tidak akan menyebut namaku lagi.
Semakin lama, papa dan mama semakin rapat dengan Dahlia. Takkanlah sukar untuk mereka jatuh kasih. Dahlia kan darah daging mereka. Tambahan pula wajahnya mirip sekali dengan Arraz.
Hari ini, aku akan pergi berkelah dengan keluarga Arraz. Tak sangka mereka terlalu sayangkan Dahlia sehingga kami dijemput sekali. Mulanya aku menolak. Tapi mama beria-ia mahu Dahlia ada bersama. Katanya, kalau Dahlia tak ada, sunyi. Aku pun setuju sajalah. Inilah peluang untuk aku pertemukan Dahlia dengan Arraz.
Aku kemaskan rambut Dahlia. Aku buatkan dendan lipan halus-halus agar dia nampak comel. Tapi kalau aku tak dandankan Dahlia sebegitu rapi pun, aku pasti mereka tetap akan jatuh kasih kepadanya.
“Lia...” Aku tarik bahu Dahlia, merapatkan wajahnya dengan wajahku. Aku renung wajah Dahlia dengan penuh kasih sayang.
“Lia tahu kan yang papa Lia tak ingat Lia?” tanyaku.
Dahlia mengangguk.
“Jadi, mama tak nak Lia panggil papa dengan panggilan papa. Mama nak, bila Lia jumpa papa nanti, Lia panggil uncle,” pesanku.
“Tapi, Lia tak tahu muka papa macam mana,” katanya dengan sedih.
Aku keluarkan dompet lalu menarik keluar sekeping gambar Arraz. Aku serahkan kepada Dahlia.
“Itu papa Lia. Bila Lia lihat dia, Lia pasti kenal. Buatkan papa jadi sayang pada Lia,” kataku.
“Baik, mama.” Dahlia tersenyum dengan semangat.
Dia memang tak sabar mahu bertemu papanya. Sejak semalam dia asyik sebut pasal itu saja.
“Janji dengan mama, tau.”
Ya, mama. Lia janji.” Dahlia mengangkat tangan tanda berjanji.
“Papa, Lia rindukan papa.” Dahlia bercakap dengan gambar Arraz lalu mencium gambar itu.

Hampir menitis air mata aku. Arraz... awak tak pernah merasai kerinduan kami ke?


--------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...




MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---


Wednesday 16 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 19

Hai semua...
Maraton kita cuma tinggal sehari je...sob..sob...
Jomlah, kita teruskan misi kita..
Maraton Misi Tawan Hati Ex..
Day - 10

                                   ~BuAt MuKa CoMeL~



HARI ini adalah hari pertama kumpulan kami akan mula ‘berkampung’ di Adam & Edrian Partnership. Mengikut penjelasan Arraz tempoh hari, kesemua sistem Adam & Edrian akan menggunakan khidmat kami. Kesemuanya akan diperbaharui.
Maka, Arraz mengarahkan kami semua terlibat secara langsung di sana. Tidak ada yang berkecuali kerana dia mahu kesemua sistem siap dengan sempurna dalam tempoh setahun. Walaupun kami telah mengetahui tentang itu lebih awal, namun hati aku tetap berdebar-debar untuk berada di sana. Apatah lagi mengingatkan Adam yang cuba mendekati aku.
Kami telah pun dibahagi kerja masing-masing. Aku dan Badrul akan kendalikan Sistem Informasi Pasaran.
Welcome, brother-in-law... going to be,” usik Edrian ketika menyambut ketibaan kami.
Adam sudah berada di sisinya. Melihat sahaja aku di situ, Adam cuba berdiri dekat dengan aku. Namun aku lebih pantas dan melarikan diri dan berdiri di tepi Badrul. Rasa macam nak lari berdiri sebelah Arraz tapi lain pula jadinya nanti.
“Abang Cik Dayana ke?” Yasmin berbisik di telinga.
Aku hanya mengangkat bahu. Malas mahu menjawab. Sakit hati saja.
So, guys, tak payah nak buat kenduri untuk sambut kedatangan kami. We will straight away do our job. Cuma nak tahu, kau orang nak campak kami ke mana?” tanya Arraz dengan serius walaupun kami yakin itu hanyalah satu gurauan.
Edrian sudah ketawa. Setelah itu, Edrian dan Adam membawa kami ke ruangan tetamu. Setelah mendapat tugasan daripada Arraz, kami dipisahkan mengikut bahagian yang akan dikendalikan. Aku dan Badrul dibawa ke bahagian pemasaran. Dua buah tempat kerja telah disediakan untuk kami gunakan.
“Hebat syarikat ni, kan? Serba-serbi canggih.” Badrul memandang sekeliling.
“Bolehlah,” balas aku dengan nada tidak berminat. Terus aku membuka suis komputer.
“Tak rasa bertuah ke kita dapat peluang ada di sini?”
Helo, kita ni cuma vendor. Sampai masanya nanti kita pulang ke tempat asal. Kenapa? Kau dah teringin nak tukar bidang ke?”
“Eh, taklah. Tapi, aku takut kau tu yang akan tukar bidang.” Badrul sudah tersenyum sinis.
Apa hal aku pulak?”
“Eleh, macamlah aku tak nampak tadi. Encik Adam tu bukan main usyar kau rapat.”
Usyar apa?” Aku pura-pura tak mengerti walaupun aku tahu maksud Badrul.
“Jangan duk buat lurus bendul sangatlah. Jangan berlagak innocent macam tak tahu apa. Takkanlah kau tak nampak mata dia asyik melekat kat muka kau?” kata Badrul.
Aku menarik nafas panjang.
Hai... tulah pasal. Baru first day kat sini aku dah rasa macam nak berhenti kerja.” Aku berterus terang tentang perasaan aku.
Aisy! Takkan sampai nak berhenti kerja? Apa salahnya? Kau pun dah lama solo.
“Tak ada maknanya! Stay single doesn’t mean stay lonely.
 Hello, wake up my friend. Encik Adam salah seorang pemilik syarikat ni. Bertuah kalau dapat dia, tahu! Aku tengok dia okey apa. Rupa ada, gaya ada. ” Badrul memetik jari di depan muka aku.
“Kalau aku nak cari yang handsome, dah lama dah aku pindah ke KL dan mengurat Shahrul Ridzwan tu, tau! Kalau aku nak kaya-raya, aku sanggup jadi bini nombor dua Datuk Aliff Syukri.”
Handsome ke Sharul Ridzwan tu?” tanya Badrul sekadar mengusik.
Handsomelah kalau nak dibandingkan dengan kau.” Aku ketawa dengan kata-kataku sendiri.
Badrul merungut melihat aku ketawakannya.
So, kau tak berminatlah?” tanya lagi.
“Tak nak. Langsung tak ada impian ke situ.”
Ya, memang aku akui duit memang penting. Sangat penting! Kalau orang tak faham amksud aku, tentu dia akan kata aku mata duitan. Duit bukan segala-galanya, tapi segala-galanya perlukan duit. Allah dah janji, rezeki sentiasa ada apabila kita rajin berusaha. Yang salahnya, bila kita tak berusaha. Usaha, tawakal dan doa, itu adalah janji Allah.
“Dah tu, kriteria apa yang kau nak?” tanya Badrul.
Entah kenapa mamat itu bertanya tentang hal begini hari ini. Yang peliknya, aku pula terasa nak bercerita. Memang aku perlukan seseorang untuk meluahkan perasaan aku sekarang. Malangnya, Yasmin bertugas di bahagian lain.
“Aku cuma nak cari ayah untuk anak aku.” Aku pandang Badrul. Lama. Harap dia mengerti perasaan aku.
“Yang tu masalah! Memang masalah!” Badrul menggosok dagunya.
“Eh, dah alang-alang kau cerita pasal hal ni, aku nak tanya. Anak kau tu pernah tak jumpa dengan ayah dia?” tanya Badrul.
Aku menggeleng.
“Kau tak bawa jumpa atau dia yang tak nak jumpa?”
“Masalahnya, bekas suami aku tu tak tahu langsung yang kami ada anak. Lepas aku dengan dia bercerai, dia hilang entah ke mana. Famili dia pula dah buang aku dengan anak aku. Dia orang langsung tak nak pandang cucu dia orang. Lepas tu, mereka pindah. Baru sekarang aku jumpa bekas suami aku balik.” Laju saja aku bercerita tentang kisah hidup aku secara ringkas.
So? Kau tak beritahu dia yang dia ada anak?”
“Dah, tapi dia tak percaya sebab masa aku bercerai dengan dia, aku sendiri tak tahu yang aku tengah mengandung masa tu,” terangku.
Isy! Payah macam ni.” Badrul mendengus seolah-olah sedang memikirkan masalah aku.
“Kalau kau jadi aku, apa kau nak buat?” tanya aku.
“Kalau aku? Kalau aku... Isy! Beratlah masalah kau ni. Tak pun, kau lupakan ajelah bekas suami kau tu. Encik Adam kan ada. Dia tu nampak berminat sangat dengan kau.”
“Eh, apa hal masuk Encik Adam pula ni? Memanglah aku nak teruskan hidup. Cuma, anak aku tu perempuan. Aku nak papa dia tahu yang dia ada anak. Bukannya aku nak balik dengan dia pun.” Aku pula menjadi emosi apabila Badrul mengungkit nama Adam lagi.
“Tapi, kalau bekas suami kau nak dekat kau balik, macam mana?”
“Mustahillah. Dia dah bencikan aku. Lagipun, dia dah bertunang. Dah nak kahwin dah pun.”
Ya ke? Kesian kat kau kan. Tapi tak apalah. Kau cantik, bijak. Kau boleh cari orang lain.”
“Kau puji aku ke?” Aku ubah keadaan serius itu dengan mengusik Badrul. Bukan senang nak dengar Badrul puji orang.
“Eh, kau ni. Perasan!”
Yalah. Aku kan cantik, nak siapa pun boleh. Kalau aku nak Pangeran Brunei, agak-agak kau dapat tak?” usik aku. Sebelah kening aku berjongket sambil memandang Badrul.
“Weh! Ada hati nak dengan anak raja.” Badrul menggeleng.
Aku ketawa.
“Kalau saya nak awak, awak nak saya tak?” Tiba-tiba ada suara menyampuk.
Aku menoleh ke belakang.
“Eh, Encik Adam.” Aku tergamam. Bukan sahaja dia, Arraz juga ada bersamanya.
“Tinggi cita-cita awak nak dapat anak sultan. Kalau orang biasa macam saya awak tak pandang ke?” Adam merenung aku.
“Saya bergurau aje Encik Adam,” kataku.
“Kalau macam tu, saya ada peluang, kan?” tanya Adam dengan nada playboy. Siap bersandar di meja aku lagi.
“Encik Adam mungkin tak tahu yang saya dah ada anak seorang.”
“Saya tahu dan saya juga tahu yang awak ni ibu tunggal,” balas Adam.
Tak sangka pula dia tahu pasal aku. Nak tak nak, mesti Dayana yang beritahu dia. Menyibuk sajalah! Aku mengerling Arraz. Dia menjeling lalu melarikan pandangan ke tempat lain. Aku nampak cemuhan pada jelingan itu. Sungguh! Aku benar-benar rasa terhina.
“Macam nilah, Encik Adam. Saya datang sini untuk berkerja. Untuk sara anak saya. Untuk sara kehidupan kami berdua yang papa dia tak tahu pun kewujudan dia. Yang mana, papa dia kata saya curang dan lahirkan anak orang lain tanpa beri peluang saya jelaskan semuanya. Jadi, saya rasa untuk saat ni tak ada orang yang layak untuk jadi papa bagi anak saya.” Kerana kecewa dengan sikap Arraz, aku lepaskan semuanya kepada Adam. Biar dia dengar, biar dia tahu yang aku sedang marah kepadanya.
Suasana sunyi seketika. Mungkin tiada siapa menyangka aku akan berkata begitu. Ya, aku juga tak sangka aku akan berkata begitu. Baru aku tersedar yang aku telah terlepas kata. Bergegas aku pergi dari situ. Semasa aku melintasi Arraz, sempat aku lagakan bahu aku di lengannya, tanda kecewa dengan sikapnya.
“Melati!” Aku terdengar suara Adam memanggil. Terdengar ada langkah kaki yang sedang mengekori aku.
Aduh! Kenapalah Adam ikut aku?
Sampai sahaja di lobi bangunan itu, terus aku berhenti. Aku menoleh untuk memberitahu Adam yang aku tak mahu dia mengekori aku lagi. Pusing sahaja belakang, bukan wajah Adam yang ada tapi wajah Arraz yang masam. Tergamam aku memandang wajah itu.
“Tahu berhenti?” tanya Arraz dengan nada menyindir.
Hmm, bos ikut saya kenapa?” aku bertanya kembali.
Arraz mendengus perlahan. “Apa yang awak buat ni?”
“Buat apa?” Tiba-tiba saja aku menjadi takut dengan Arraz. Tentu dia akan marahkan aku kerana tak bersikap profesional.
“Baru hari pertama kat sini awak dah buat pasal.”
“Encik Adam yang cari pasal dengan saya dulu.”
“Adam? Awak salahkan Adam? Awak belum pun mulakan kerja awak dah cari pasal dengan dia.”
“Saya cuma beritahu perkara yang betul. Bos perasan tak yang Encik Adam cuba dekat dengan saya. Saya cuma nak dia tahu saya ni janda. Takut dia tersilap ‘mengurat’ orang.”
“Dia cuba nasib. Apa salahnya? Kalau tak suka, cakap aje. Tak payah buat perangai budak-budak.”
“Apa yang saya dah buat?” tanyaku.
Arraz mendengus kuat. Tangan dikeluarkan dari poket seluar. Dia mendekati aku dengan wajah menyinga.
“Apa yang awak cuba katakan?” Dia bertanya.
“Saya cuma beritahu apa yang bos tak nak dengar.”
“Berapa kali saya nak beritahu. Saya tak nak ingat benda-benda lama. Saya dah kata, saya nak lupakan semua. Saya baru saja kenal awak.” Arraz sudah memulakan lakonan yang penuh kepura-puraan.
Baru kenal konon! Agak-agaklah kalau ya pun nak lupakan kisah silam.
See?!” Aku kembali berjalan untuk masuk ke pejabat semula. Tak tahu dah nak cakap apa dengan Arraz.
“Melati!” Dengan pantas tangan aku disentap. “Okay, I give you a last chance. Lepas ni, saya tak nak awak ungkit dah semua kisah silam kita. Lepas ni, saya akan anggap yang saya tak pernah kenal awak sebelum ni dan awak juga perlu buat macam tu.”
Mata kami bertentang seketika. Aku cuba mencari dan membaca apa yang tersirat di hatinya. Sungguh! Aku lihat Arraz benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya.
“Sekarang, apa yang awak nak katakan?” tanya Arraz.
“Seri Dahlia binti Arraz Khair. Dia anak awak,” kataku dengan tegas sambil merenung tepat ke dalam matanya.
Nonsense! Saya tak pernah tahu pun awak mengandung.” Dia ketawa sinis dan kepalanya tergeleng perlahan.
“Saya sendiri pun tak tahu saya mengandung.”
“Bahasa apa awak cakap ni? Awak jangan main-mainkan saya. Apa bukti budak tu anak saya?”
“Saya dah mengandung masa ketika kita bercerai.”
“Saya tahu sebab budak tu sekarang dah tujuh tahun. Tapi, kenapa awak tak beritahu saya yang awak mengandung masa tu? Awak minta cerai dengan saya sebab awak nak kahwin lain, kan?”
“Bukan macam tu. Bagilah peluang saya jelaskan dulu.”
“Okey.” Arraz yang kelihatan tak berpuas hati memberi isyarat agar aku bercakap.
“Saya tak tahu langsung yang saya mengandung. Sebab masa tu, saya datang bulan macam biasa. Saya pun tak ada morning sickness. Lepas aje kita bercerai, saya tak datang period. Saya pergi klinik nak minta ubat. Tapi bila buat urine test, baru saya tahu yang saya pregnant. Saya ke rumah mama dan papa nak cari awak. Tapi awak tak balik. Dia orang tak nak terima saya lepas tahu yang kita dah bercerai.” Aku matikan cerita di situ.
Tak sampai hati untuk menceritakan tentang sikap mama dan papa yang menghalau aku ketika aku membawa Dahlia bertemu mereka.
“Wau! Hebatlah cerita awak ni.” Arraz bertepuk tangan. Wajahnya terukir dengan senyum sinis.
Kecewanya aku!
“Lepas bercerai dengan saya. Kekasih gelap awak tak nak kahwin dengan awak, jadi gunakan saya untuk bintikan anak awak?”
“Apa awak merepek ni?”
“Seri Melati, saya langsung tak termakan dengan kata-kata awak. Macam mana dah enam bulan mengandung tapi awak masih datang bulan? Awak ingat saya bodoh?”
“Saya tak tipu!” Mata aku mula berkaca-kaca.
“Simpanlah cerita awak tu. Sekarang, saya nak awak masuk pejabat dan jalankan kerja awak sebagai staf saya.” Arraz berpusing dan terus pergi.
Awak, saya tak tipu awak. Dahlia anak kita. Saya tak pernah curang. Saya setia dengan awak sampai sekarang. Kalau awak tak percaya, awak pergi tanya doktor. Memang ada ibu yang mengandung tapi masih datang bulan. Kita buat ujian DNA. Tolonglah percaya, awak! Aku merintih dan terus merintih walaupun semuanya sia-sia.
Susah sangat ke Arraz nak percayakan aku? Selama aku jadi isterinya, selalu ke aku menipu dia? Aku memang salah kerana tak tahu mengawal emosi masa itu. Sedangkan aku langsung tak ada niat nak berpisah dengannya.
“Melati?” Bahu aku disentuh.
Aku berpaling.
“Dayana.” Aku menyebut nama empunya diri.
“Kenapa awak berdiri kat tengah-tengah ni?”
“Tak ada apa. Cuma saya rasa penat. Jadi, saya berhenti sekejap kat sini.”
“Awak okey ke?” tanya Dayana. Kedua-dua tangannya sudah memegang bahu aku.
“Saya tak okey. Tapi, saya akan okey kalau awak yang tak okey,” kataku.
“Huh?” Dahi Dayana berkerut.

Tanpa berkata apa-apa, aku terus pergi meninggalkan tanda tanya di hatinya. Kalau ikutkan perasaan aku saat ini, aku mahu hancurkan sahaja hubungan Arraz dan Dayana. Biar mereka berpisah. Baru puas hati aku. Tapi aku takkan buat begitu. Aku akan pastikan Arraz tahu kebenaran. Itu sahaja. Itu sahaja yang aku mahukan. Setelah itu, aku akan bawa luka hati ini bersama Dahlia. Biar Arraz pula menderita kerana berpisah dengan anaknya.

---------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.


-----@@---



Tuesday 15 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 18

Gaizz....gaiz...Hai..hai...
Ni dah Bab 18 nih...
Tinggal lagi dua bab aje lagi..
Teruskan maraton ya!
Misi Tawan Hati Ex..
Day-9
Here we go!

                                       ~BuAt MuKa CoMeL~



AKU diam membisu. Sesekali aku kerling Arraz di sebelah dengan ekor mata. Sejak tadi pun dia hanya mendiamkan diri. Hanya kedengaran suara DJ radio yang berkata-kata. Sesekali aku tersenyum mendengar celoteh penyampai dan pendengar yang menghubungi siaran radio itu.
“Terimalah lagu permintaan daripada pemanggil kita tadi. Flora Cinta nyanyian Min Malik. Lagu lama yang kembali diputarkan kembali.”
Berkumandanglah lagu Flora Cinta. Perasaan aku bercampur baur. Kenapalah lagu ini perlu berkumandang saat ini? Ketika aku bersama Arraz, lagu ini pernah menjadi sebahagian daripadakisah cinta kami. Lagu yang pernah dinyanyikan Arraz dengan petikan gitarnya pada hari hubungan kami terjalin. Lagu itu dinyanyikannya di atas pentas.
Kebetulan hari itu adalah hari lahir aku dan sambutan Hari Guru. Maka, hari itu kami semua mendapat kelonggaran setengah hari untuk menyambut Hari Guru di dewan. Setiap tahun, akulah orang paling gembira menyambut Hari Guru kerana merasakan yang satu dunia sedang menyambut hari lahir aku.
Aku terus tertunduk dan memandang jari-jemari aku yang bertaut. Sebak. Kolam mata aku semakin penuh. Aku pejam mata dengan rapat agar air mata tidak menitis. Genggaman tangan aku eratkan untuk mengumpul kekuatan. Apakah Arraz dapat merasa apa yang aku rasakan saat ini?
Tiba-tiba, lagu yang baru separuh dimainkan terus hilang dan digantikan dengan lagu lain. Arraz mengubah siaran tadi. Aku menoleh, memandang Arraz. Arraz langsung tidak pedulikan pandangan aku. Mungkin, Arraz sudah tidak mahu mendengar lagu ini lagi. Hati yang sebak semakin terusik.
Arraz menghentikan kereta di bahu jalan. Sebuah tasik terdampar indah di tepi.
Kenapa dia berhenti di sini? Aku tertanya sendiri namun tak berani untuk bertanya kepada Arraz.
“Kenapa pakai cincin tu lagi?”
“Huh?” Mata aku sedikit terbeliak dan bibir aku terbuka sedikit. Terkebil-kebil mata aku memandang Arraz.
“Jangan buat mata comel macam tu boleh tak?” Dia mendengus.
“Huh?” Lagilah aku tak faham.
“Dah, dah! Pandang depan,” arah Arraz.
Macam orang dungu aku ikut arahan Arraz dan pandang semula ke hadapan.
“Tutup mulut rapat-rapat,” arahnya lagi.
Aku mengikut saja apa yang disuruh.
“Saya tanya, kenapa pakai cincin tu lagi?” Kali ini soalan Arraz lebih jelas di telinga aku.
Dengan pantas jari manis kanan kututup dengan tangan kiri untuk sembunyikan cincin yang aku pakai daripadapandangan Arraz.
“Tak payah tutuplah. Saya dah nampak.”
Gulp! Aku telan air liur. Salah aku sebab tak berhati-hati. Aku tak pernah tanggalkan cincin pernikahan kami. Tak pernah! Cincin ini dah sebati dengan aku. Pernah aku cuba tanggalkan, tapi tak sampai lima minit aku sarungkan kembali. Aku tak betah bila cincin ini tak ada di jari aku dan aku tak sanggup nak gantikan cincin lain di jari ini.
“Saya dah perasan sejak hari pertama saya datang ke ofis tu. Cuma, saya nak tahu kenapa awak masih pakai cincin tu.”
“Saya...” Hanya itu sahaja perkataan yang terkeluar.
“Cukuplah hidup saya menderita selama ni. Saya nak bina hidup baru. Tapi kenapa awak muncul depan saya? Pakai cincin tu pulak! Pakai dompet yang saya hadiahkan. Pakai shawl yang saya beli. Apa yang awak nak daripadasaya?” Suara Arraz sudah meninggi.
Tatkala ini aku hati aku benar-benar tersentuh. Akukah yang menyebabkan Arraz menderita? Ya, tentulah aku! Mendengar pengakuan Arraz, hati aku pula terasa menderita. Aku tak pernah berniat untuk menyakiti hatinya. Aku selalu ingin membahagiakan dia. Sayangnya, aku cuma buat hidup dia menderita.
“Awak minta saya ceraikan awak. Awak tinggalkan saya. Awak tak pernah nak keluar, hilang daripadahidup saya. Saya cuba lupakan awak. Saya nak lupakan awak! Tapi awak selalu ada setiap masa. Tak bolehkah awak tinggalkan saya dengan aman? Saya bertunang dengan Dayana dan harapkan awak hilang dan Dayana akan muncul dalam setiap detik hidup saya. Tup-tup! Bila saya ditukarkan ke sini, awak pula ada kat ofis tu!”
Air mata yang menitis perlahan semakin laju. Tap, tap, tap! Air mata jatuh ke belakang tanganku. Bahu aku terhinggut-hinggut kerana menangis. Maafkan aku... maafkan aku...
“Siapa Seri Dahlia?!”
Aku tergamam. Arraz bertanya tentang Dahlia? Fikiran aku mula berpusing kembali pada saat Dahlia sedang menjawab panggilan telefon. Memang tak syak lagi. Arraz yang telefon aku pada waktu tu.
“Awak curang dengan saya? Patutlah awak beria-ia minta cerai.”
“Hah?!” Aku ternganga mendengar tuduhan itu. Belum sempat aku jelaskan siapa Dahlia, Arraz dah membuat kesimpulan sendiri.
“Dia anak siapa? Waktu awak jadi isteri saya lagi awak dah ada hubungan dengan orang lain, kan?!” Arraz menggeleng-gelengkan kepala. Terlihat dadanya berombak.
“Awak tuduh saya curang?” Demi Allah, aku tak pernah menyangka Arraz akan berprasangka begitu.
Arraz memejam matanya dengan rapat.
“Siapa pun Seri Dahlia, saya tak nak tahu. Apa sahaja tentang awak, saya tak nak tahu. Apa yang dah lepas, semuanya dah lepas. Saya akan maafkan awak untuk semua yang awak dah lakukan kepada saya,” tegas Arraz.
Aku terus tergamam. Tak tahu nak cakap apa. Otak aku tak mampu nak berfikir. Semuanya tersekat apabila Arraz menuduh aku curang ketika aku menjadi isterinya. Lain yang aku harapkan, lain yang jadi.
“Mulai hari ini, saya akan anggap yang saya tak pernah mengenali awak sebelum ni. Saya dan awak cuma berkenalan pada hari pertama saya jejakkan kaki ke ofis tu. Awak faham?!”


MAK mundar-mandir di hadapan aku dan Dahlia. Dahlia perhatikan sahaja tingkah tok maknya. Sesekali dia akan ketawa halus.
“Mama, tok mak buat apa tu?” Dahlia berbisik di telinga.
Aku hanya mengangkat kedua-dua bahu.
“Mak fikir apa?” tanyaku.
Mak berhenti dan memandang aku.
“Mak tak puas hati! Berani dia tuduh kau curang. Berani dia tak mengaku yang Lia...” Mak terhenti daripadameneruskan kata. Dia memandang Dahlia. “Kita kena buat sesuatu.”
“Melati pun fikir macam tu. Tapi macam mana?” Aku mula terfikir strategi seterusnya yang pernah terlintas di fikiran aku.
“Kita serang?” tanya mak.
“Isy! Macam tak best aje nak serang. Nak satukan semula hubungan tapi nanti jadi lagi teruk. Kita tak apa. Tapi kesian...” Aku memberi isyarat dengan mata kepada Dahlia.
Aku dah pasrah tentang jodoh aku dengan Arraz Tapi, aku mahu Arraz tahu Dahlia anaknya. Kemudian, aku akan pergi dari sini dan bina hidup baru. Itulah tekad aku.
“Kesiankan siapa mama?” Dahlia menyampuk.
“Kesian dengan kawan mama.” Tiba-tiba aku jawab macam itu tanpa sempat berfikir.
“Kenapa dengan kawan mama?” tanya Dahlia lagi.
“Kawan mama ni tak pernah jumpa anak dia.” Mak pula berkata.
“Ia ke, mama? Macam Lialah. Lia tak pernah jumpa papa Lia. Bila Lia nak jumpa papa, mama?” Suara Dahlia sudah bertukar sendu.
“Tapi papa Lia sakit,” kata mak.
“Sakit?” Dahlia tercengang.
Aku pun tercengang juga. Sakit? Apa mak merepek ni?
“Papa Lia hilang ingatan. Dia lupa yang Lia ni anak dia,” balas mak.
“Maksud tok mak, papa tak kenal Lia?” tanya Dahlia.
“Apa kata, Melati bawa Dahlia jumpa Arraz,” cadang mak. Soalan Dahlia tidak dijawabnya.
“Ya, nak bawa. Tapi bila? Waktu bila yang Melati nak bawa Dahlia jumpa dengan Arraz?” Sampai sekarang aku tak tahu bila masa yang sesuai untuk aku temukan mereka.
“Secapat mungkin. Sebelum majlis Hazel,” kata mak.
Aku memikirkan cadangan mak seketika. Macam-macam kemungkinan yang terlintas di fikiran aku.
“Lia, Lia kena jumpa papa dan tok mama, tok papa. Tapi dia orang tu semua dah lupakan Lia sebab dia orang sakit. Lia kena buat dia orang sayangkan Lia. Boleh?” tanya mak.
“Semua sekali sakit?” Terbeliak mata Dahlia.
Aku semakin ternganga. Mak pula mengangguk dengan yakin.
“Tok mama dan tok papa tu siapa?” tanya Dahlia.
“Mereka tu atuk dan nenek Lia juga. Boleh Lia buat apa yang tok mak suruh?” tanya mak lagi.
“Boleh!” Dengan yakin Dahlia bersetuju. Dia nampak bersemangat mahu bertemu dengan mereka yang belum pernah dikenalinya itu.
“Tapi macam mana? Kalau Melati terus bawa Dahlia, takut dia orang tak nak terima kami nanti.”
“Bukan dengan cara macam tu. Kita buat cara lain. Kasi dia orang jatuh sayang dengan Lia. Kita buat cara halus.”
“Cara halus? Isy! Tak baik tu mak.” Terus aku tak bersetuju.
“Isy! Fikir bukan-bukanlah tu.” Mak mendengus. Sempat dia menampar bahu aku.
“Habis tu apa?”
“Macam ni...” Mak terus berbisik di telinga aku dan menerangkan rancangannya.
Untuk apa tak tahu sebab hanya aku dan Dahlia saja yang ada di situ. Tapi, cadangan mak dah buat aku ternganga.
“Macam mana?” tanya mak.
“Terbaiklah mak!” Aku tunjukkan tanda bagus.
“Apa dia mama?” tanya Dahlia yang semakin teruja.
“Dalam cerita ni, Lia adalah watak utama. Tok mak adalah pengarah dan mama adalah penolong pengarah. Lia kena buat apa yang kami suruh. Boleh?” tanya aku dengan semangat.
“Boleh, mama!”



--------------@@--------------





So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.


-----@@---