Monday 7 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 10


Hai gaiz!!

Mohon maaf ya, perancangan ER nak share bab 10-20 bermula Jumaat lepas tak kesampaian.
Untuk Prolog sehingga bab 9, korang boleh terjah aje wattpad Penerbitan Dearnovel. So, here we go....


~BuAt MuKa CoMeL~



----------@@---------

LAMA aku merenung lakaran strategi yang pertama. Poin pertama aku gariskan pangkah dengan besar. Sudah beberapa hari berlalu, namun aku masih belum berjaya berterus terang dengan Arraz tentang Dahlia. Aku bulatkan pula pada poin kedua iaitu mengatur pertemuan tanpa sengaja antara Arraz dan Dahlia.

Tapi, macam mana caranya? Buntu.

Aku menyimpan semula buku nota itu ke dalam beg tangan. Beg itu aku lempar di atas katil. Melantun beg itu sebelum jatuh ke lantai. Malas nak kutip, terus aku jatuhkan badan aku di atas tilam. Melantun-lantun juga tubuh aku sebelum kaku di situ.

Aku tak suka apa yang sedang jadi sekarang. Kehadiran Arraz mengganggu ketenangan aku. Setiap masa aku akan ingatkan Arraz. Lebih-lebih lagi apabila melihat Dahlia. Rasa bersalah sangat sebab dah pisahkan Dahlia daripada papanya.

Eh, tapi sejak bila aku tenang? Sebelum ini pun aku tak pernah lupa dengan Arraz sebab wajah Dahlia sering mengingatkan aku kepada Arraz.

“Macam mana aku nak tahu Arraz dah ada girlfriend ke tidak?” Terus aku bangun dan duduk bersila.

“Macam mana pun, Arraz mesti tahu yang dia ada anak. Tapi aku kena cari jalan macam mana nak beritahu Arraz. Kang, tak pasal-pasal dia ingat aku tipu dia. Kalau dia masih solo, mungkin tak ada masalah. Kalau dia dah ada yang punya, macam mana? Silap-silap dia tak nak mengaku Dahlia tu anak dia.” Terangguk-angguk kepala aku dengan kesimpulan sendiri.

“Kalau dia dah nak kahwin, lagi parah. Dahlia akan ada mak tiri.” Tergeleng-geleng kepala aku. Tak dapat aku nak bayangkan penerimaan mereka nanti.

“Mama?” Dahlia muncul depan pintu. Tangannya yang kecil sedang pegang tombol pintu dan kakinya sedikit menjongket. Dahlia datang dekat dengan aku lalu duduk di sebelah.

“Anak mama.” Aku angkat Dahlia dan riba atas pahaku. Tubuhnya yang kecil aku peluk.

Dia membalas pelukanku dengan erat. Aku mengusap rambut Dahlia. Kalau Dahlia datang peluk aku macam ini, memang ada yang tak kena. “Kenapa ni sayang?”

“Darwin kata Lia kena ada papa. Kalau tak ada papa, Lia tak boleh beranak.” Walaupun kata-kata Dahlia agak tak betul, tapi aku faham apa yang dimaksudkannya bahawa dia tak boleh lahir ke dunia ini jika dia tak ada papa.

“Mana papa Lia, mama?” Dahlia melangut memandang aku dengan mata yang sayu.

Aku memeluk Dahlia erat. Bibir aku terkunci.

“Lia kata, Lia cuma ada mama, tok abah, tok mak, pak long dan mak ngah. Tapi Darwin tak percaya. Dia kata, Lia kena ada papa jugak.”

“Betul cakap Darwin tu. Lia ada papa.” Aku tak tergamak dan membohongi Dahlia pasal hal begini. Apatah lagi bila Arraz muncul kembali.

“Betulkah mama?” Dahlia merelaikan pelukan dan memandang aku dengan wajah yang ceria.

Ini bukan kali pertama aku beritahu yang dia ada orang lain dalam hidupnya selain kami. Dia pernah bertanya dan aku pernah beritahu ketika dia masih di tabika. Mungkin dia dah lupa.

“Tapi sekarang ni, mama tak tahu papa Lia kat mana. Bila mama dah jumpa papa Lia, mama akan bawa Lia jumpa dengan papa. Okey sayang?” Bukan kehendak aku, tapi aku terpaksa berbohong agar Dahlia tidak mendesak untuk berjumpa dengan papanya.

“Papa ke mana, mama?” tanya Dahlia.

Alamak! Dahlia ni kalau jawab sekali mesti ada lagi soalannya.

“Eh, Lia dah mandi ke belum?” Aku ubah topik.

“Lia dah mandilah, mama. Lia dah wangi ni. Mama tak bau ke?” Dahlia menarik muncung panjang dengan muka rajuk.

Hehehe! Aku suka bila dia buat muka macam tu. Sebijik macam Arraz! Ops... “Lia nak ikut mama pergi jalan-jalan tak?”

Yea!” Dahlia bersorak.

“Mama nak belanja Lia, tok abah dan tok mak makan.”

“Seronoknya mama!” Dahlia melompat-lompat atas katil.

“Mama nak mandi dulu. Lia beritahu tok mak ya,” suruh aku.

Dahlia mengangguk dan terus cium pipi aku. “Terima kasih, mama.”

Dahlia berlari keluar dari bilik. Walaupun dah sering aku bawa Dahlia makan di luar setiap kali dapat gaji, Dahlia tetap akan bersorak gembira. Kadang-kadang aku cuma bawa makan KFC atau Pizza Huts sahaja pun. Dahlia tetap gembira dan akan ucapkan terima kasih. Aku merasa sangat dihargai.


“COMOTNYA anak mama.” Aku menyapu bibir Dahlia yang comot dengan tisu. “Dah sudah makan, Lia pergi cuci tangan.”

Dahlia bangun dari kerusi lalu berlari anak ke tempat basuh tangan yang tak jauh dari tempat kami duduk. Mata aku tak lepas daripada melihat Dahlia. Tak sedetik pun aku lepaskan pandangan aku daripadanya sampailah dia kembali semula ke sisi aku.

“Mari sini cucu tok mak.” Mak mengangkat Dahlia duduk atas kerusi di sebelahnya. Baki air yang masih ada disuakan mak ke mulut Dahlia.

Mak memang selalu memanjakan Dahlia. Semua orang manjakan Dahlia sebab tak mahu dia merasa kekurangan kasih sayang.

“Dah sudah makan, jom kita balik,” ajak abah.

Kami bergerak untuk keluar dari mall. Mak pegang erat tangan Dahlia, aku pula jalan beriringan dengan abah. Sambil-sambil itu, mata aku meliar melihat baju-baju yang tergantung di butik-butik mewah. Nak beli, mahal sangat. Kalau teringin sangat nak baju baru, biasanya aku ke pasar malam saja.

“Melati dah beritahu Arraz?” Tiba-tiba abah bertanya.

“Mak dah beritahu abah?” tanya aku balik.

Dah tentulah mak akan beritahu abah yang aku dah bertemu Arraz. Mana ada rahsia antara mak dan abah.

“Dah dapat tahu Arraz masih solo atau dah bernikah lain?” tanya abah lagi.

Gulp! Aku telan air liur. Soalan abah rasa tak mampu aku nak menjawabnya.

“Sama ada Arraz dah kahwin lain atau belum, Dahlia dan Arraz berhak tahu,” sambung abah.
“Melati tahu, abah. Tapi, Melati tak tahu macam mana nak beritahu Arraz.” Aku menghela nafas panjang.

“Jangan berlengah-lengah, Melati. Kita tak tahu apa yang akan jadi di masa depan nanti. Lebih baik kita berterus terang daripada Arraz tahu daripada orang lain. Takut nanti dia tuduh macam-macam pada Melati,” pesan abah.

Sedar tak sedar kami dah sampai di tempat letak kereta. Aku gagau dan menarik kunci kereta. Aku terasa pelik kerana terlalu mudah untuk aku mencapai kunci kereta. Seolah-olah ada barang yang tiada dalam beg tangan itu. Alamak! Terus aku ngangakan mulut beg dengan lebih besar. Telefon aku tak ada!

“Abah, mak, Melati dah tertinggal handphone.” Muka aku bertukar pucat.

Telefon itu baru saja aku hantar ke kedai untuk menukar skrin. Beratus juga aku habis. Tapi nak buat macam mana, aku yang jatuhkan sendiri.

“Isy! Macam mana boleh lupa ni?” Mak dah mendengus.

Abah dah menggelengkan kepala.

“Alah, Lia dah mengantuklah mama.” Dahlia sudah merengek.

“Kejap ya sayang. Lia tunggu dalam kereta dulu ya.” Aku serahkan kunci kereta kepada abah.
Berlari-lari anak aku ke Restoran Nasi Ayam yang kami pergi tadi. Aku lihat meja yang kami duduk tadi sudah ada pengunjung lain. Terus aku ke kaunter.

“Dik, tadi akak ada tertinggal telefon.” Aku bertanya kepada seorang gadis ayu bertudung merah yang berada di kaunter.

“Telefon jenis apa tu, kak?” tanya si gadis.

Aku pun beritahulah jenis telefon yang aku pakai, warna cover dan gambar skrin depan.

“Okey, akak bagi nombor telefon.” Si gadis keluarkan telefon bimbitnya.

Aku beritahu nombor dan si gadis mendail. Aku rasa dia cuba hubungi telefon aku apabila aku lihat dia melekapkan telefonnya di telinga. Tiba-tiba saja aku terdengar nada dering lagu See You Again yang aku setkan pada telefon aku. Gadis itu mematikan talian dan tersenyum kepada aku. Dia keluarkan telefon bimbit aku dari bawah kaunter.

“Nah! Ini memang telefon akak. Minta maaf ya, saya perlu pastikan telefon ni betul-betul milik akak baru saya boleh pulangkan,” katanya dengan sopan.

“Eh, tak apa. Akak faham. Terima kasih, dik. Terima kasih banyak-banyak.” Aku menarik nafas lega.

“Sama-sama.”

Aku pun berlalu keluar dari restoran itu. Kagum aku dengan kejujuran gadis itu. Telefon dalam genggaman aku bawakan ke dada. Walaupun harga telefon ini tidak mencecah ribuan ringgit, tapi ia sangat berharga untuk aku. Sedang berjalan sambil memikirkan kebaikan gadis tadi, tiba-tiba bahu aku berlaga dengan seseorang.

“Maaf, saya tak sengaja.” Aku meminta maaf lalu melangut memandang empunya diri.

“Arraz?! Eh, bos.” Tersembul biji mata aku melihat Arraz di situ.

“Eh, Melati. Awak buat apa kat sini?” tanya Arraz. Dia pun kelihatan terkejut melihat aku.

Tiba-tiba fikiran aku melayang kepada strategi aku yang kedua, ketemukan Arraz dan Dahlia tanpa sengaja. Eh, alamak! Dahlia pula ada di kereta bersama abah dan mak. Hampa aku rasakan.

“Saya makan di restoran nasi ayam tu tadi.” Aku menuding ke arah restoran yang aku maksudkan.

“Bos buat apa kat sini?” tanya aku pula.

“Saya nak ke kios Celcom kat atas ni. Line saya problem,” kata Arraz.

“Awak seorang diri saja ke?” Meliar mata Arraz memandang sekeliling.

“Sekarang ni memang sendirilah. Tadi ada mak dan abah,” kataku.

“Mana dia orang?” tanya Arraz.

“Dia orang dah tunggu kat kereta. Saya tertinggal telefon tadi. Tu yang patah balik nak ambil telefon saya.” Aku tunjukkan telefon di tangan.

“Awak ni tak berubah jugak. Cuai.” Arraz menggelengkan kepala.

Aku tertunduk malu. Terasa wajahku merona merah.

“Mak dan abah sihat?” tanya Arraz.

“Sihat. Papa dan mama sihat?” Aku bertanya tentang bekas mertuaku pula.

“Dia orang sihat. Nak-nak tak lama lagi dia orang nak dapat menantu baru.” Arraz menyeluk tangannya ke dalam poket.

Aku tercengang memandang Arraz.

“Siapa yang nak kahwin?” Dada aku bergetar kencang. Arraz ke yang akan berkahwin?

“Hazel.”

“Oh!” Aku menarik nafas lega. Dah lama aku tak berjumpa dengan Hazel, adik Arraz dan juga kawan baik aku.

“Hazel sihat ke? Dah lama saya tak jumpa dia.” Tiba-tiba aku terkenang kenangan kami dahulu. Betapa indahnya persahabatan aku dan Hazel.

“Dia sihat. Orang dah nak jadi isteri orang, tentulah makin sihat dan makin bahagia.”

“Alhamdulillah.” Aku hanya tersenyum kelat.

Saat ini aku terasa bagai ada batu besar yang menghempap kepalaku. Kerana hubungan aku dan Arraz terputus, persahabatan antara aku dan Hazel juga terputus.

“Kalau awak senang, jemputlah datang masa hari pertunangan Hazel nanti. Seminggu lepas tu, hari akad nikah dan majlis resepsi,” jemput Arraz.

“Arrr...” Aku tak tahu mahu menjawab apa. Kalau dijemput, pasti aku akan datang. Tapi macam mana dengan papa dan mama Arraz?

“Saya tak paksa. Saya kata kalau awak senang. Awak masih ingat rumah keluarga saya di mana?” Arraz menduga aku.

Aku mengangguk perlahan.

“Jangan ke sana. Kami dah berpindah. Kalau awak nak datang, beritahu saya dan saya akan bagi alamat.”

“Oh...” Aku tak sangka yang mereka telah berpindah. Pernah aku lalu di kawasan perumahan keluarga Arraz beberapa kali. Patutlah aku lihat ada orang lain yang menginap di situ.

“Dah lamakah pindah?” tanyaku.

“Tak lama lepas saya pulang semula ke rumah keluarga saya. Saya perlukan suasana baru untuk membina semula kehidupan baru.” Masih ada nada sindiran di situ.

“Bos, mama dan papa pernah tak beritahu apa-apa pasal saya?” Aku bertanya sambil tertunduk.
“Pasal apa?” soal Arraz.

“Saya pernah ke rumah bos dan bawa...”

“Kisah lama ke? Saya dah malas nak ungkit kisah lama.”

Arraz memotong kata-kataku. Terkunci terus mulut aku. Langsung dah tak ada peluang untuk aku betulkan keadaan ke? Hampanya!

“Ni, nak saya temankan awak sampai kereta ke?” pelawa Arraz.

“Tak apalah. Saya park kereta depan pintu masuk aje. Tak jauh pun.” Kalau ikutkan hati memang aku mahu mengangguk. Mana tahu, dapatlah Arraz bertemu dengan Dahlia. Tapi, hati aku dah menjadi tawar dengan pelawaan itu.

“Tak apalah kalau macam tu. Hati-hati. Saya pergi dulu. Kirim salam pada mak dan abah.” Arraz terus berpaling dan melangkah pergi.


Kenapa awak tak beri peluang pada saya? Saya cuma nak tahu, mama dan papa tak pernah beritahu awak ke yang saya ada mencari awak? Saya bawa anak kita ke rumah mereka untuk mencari awak? Mereka tak beritahu awak ke yang kita ada anak bersama? Arraz...


----------------@@-----------------

MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---





No comments:

Post a Comment