Tuesday 8 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 11


Hai everybody!

Okie, Maraton Misi Tawan Hati Ex Day-2
Here we go....

~BuAt MuKa CoMeL~


------@@------


“EH, Melati! Itu bukan bos ke?” Yasmin menghalang aku daripada meneruskan langkah.

Pandangan aku terus tertoleh ke arah sorotan mata Yasmin. Kelihatan seorang gadis cantik yang bertudung litup bersama Arraz. Gayanya begitu anggun. Ketinggiannya hampir menyamai ketinggian Arraz biarpun dia tidak memakai kasut tumit tinggi. Gadis itu bagaikan seorang model. Siapakah dia?

“Eh, dia orang masuk butik pengantinlah!” Yasmin tercengang di situ.

Langkah kaki aku juga mati melihat mereka. Mereka akan berkahwin ke? Tiba-tiba aku terasa menyesal kerana bersetuju menemani Yasmin untuk mencari dulang hantaran untuk temannya yang akan melangsungkan pernikahan.

“Jomlah, Melati!” Yasmin menarik tangan aku.

“Kau pergilah sendiri. Aku rasa tak sedap badanlah. Aku nak balik.” Hilang mood aku nak masuk ke dalam butik yang sama.

“Janganlah. Tadi okey aje. Tolonglah aku. Dahlah aku nak tumpang kau balik. Kan kau dah janji nak temankan aku. Lepas tu kau janji nak hantar aku balik.” Yasmin mengukir muka kasihan untuk meraih simpati aku.

“Yalah, yalah.” Aku menghela nafas panjang. Tak sampai hati melihat wajah Yasmin mencuka begitu.

Suaminya ke Singapura selama seminggu. Aku dah berjanji selama seminggu ini akan mengambil dan menghantar Yasmin pulang.

“Jom!” Yasmin menarik tangan aku kembali.

“Nanti!” Aku menarik tangan Yasmin pula. Aku tahu sangat persis apa sikap kawan baik aku yang seorang ini.

“Kau nak intip bos, kan?” Aku mengecilkan mata memandangnya.

“Yalah. Aku nak tahu jugak siapa perempuan cantik dengan bos tu?” Sikap busybody memang tak dapat dipisahkan daripada Yasmin.

“Malaslah aku nak kacau daun. Kita cari hadiah kat tempat lain. Ada dua butik lagi kat tingkat atas.” Aku tak bersetuju.

“Alah...”

Nope! Kalau tak, aku tinggalkan kau kat sini aje.” Aku mengugut.

“Kau tak nak tahu ke siapa perempuan cantik tu?” Yasmin cuba memancing aku lagi.

“Perlu ke aku tahu?”

“Nanti kau jugak tertanya sendiri.” Yasmin menyindir.

“Sekarang ni, aku tak rasa nak ambil tahu. Kita pergi tempat lain,” tegasku.

“Kau cemburu ya?” Yasmin menggoyang-goyangkan jari telunjuk di depan mukaku.

“Tak ada maknanya aku nak cemburu. Aku cuma malas nak menyibuk hal orang lain.” Aku melangkah menaiki eskalator dengan geram. Memanglah aku cemburu!

Yasmin membuntuti langkahku dari belakang. Kami menuju ke butik pengantin yang terletak di tingkat satu.

“Melati, aku nak te tandas kejaplah,” kata Yasmin.

“Dah sampai depan ni kau nak pergi tandas pulak.” Aku menghela nafas. Kami telah pun sampai di depan butik yang mahu dituju.

“Kejap aje. Kau nak ikut tak?”

“Tak naklah. Aku tunggu sini.”

“Aku pergi dulu.” Yasmin terus berlalu pergi.

Aku menuju ke bangku panjang yang terletak berhadapan dengan butik pengantin itu. Aku mengeluarkan telefon dari dalam tas tangan, membuka WhatsApp dan merenung gambar profil Arraz. Bagaimana kalau hati Arraz sudah dimilik?

“Melati?” Seseorang menegurku. Suara yang amat aku kenali dan sentiasa terlintas dalam fikiranku.

“Bos?” Aku melangut memandangnya. Dia bersendirian. Wanita yang bersamanya tadi tidak kelihatan di sisinya.

“Awak tak balik rumah lagi? Awak buat apa kat sini?” tanya Arraz lalu duduk bersebelahanku dengan jarak yang agak jauh. Aku di hujung kiri dan dia di hujung kanan bangku itu.

“Saya temankan Yasmin cari barang untuk perkahwinan kawan dia.”

“Mana Yasmin?”Arraz mencari kelibat Yasmin.

“Dia pergi tandas. Bos seorang aje ke?” Sengaja aku bertanya walaupun aku nampak dia berteman tadi. Namun aku penasaran di mana wanita itu kini.

“Tak. Saya datang berdua. Dia baru aje masuk butik tu.” Arraz menjuihkan bibirnya ke arah butik di hadapan kami.

Aku langsung tak perasan sedangkan aku berada di situ sejak tadi. “Bos tak ikut masuk dalam sekali ke?”

“Malaslah.”

“Cari barang untuk kahwin ke bos?” Dalam rasa tertekan aku bertanya untuk mengambil tahu.

“Ya.”

“Bos nak kahwin ke?” Aku bertanya tanpa berselindung. Aku memandang Arraz. Arraz membalas pandangan mataku.

Lama dia merenung wajahku sehingga aku terpaksa mengalihkan pandangan kerana tidak tahan melihat panahan matanya. Untuk sekian kalinya, aku jatuh cinta dengan bekas suamiku.

“Untuk Hazel,” kata Arraz setelah berdiam diri seketika.

“Oh. Kenapa Hazel tak ikut sekali?” Penasaran juga aku. Kalau untuk Hazel, kenapa dia dan orang lain pula yang datang ke butik itu?

“Hai!”

Belum sempat Arraz mejawab, wanita yang bersama Arraz tadi muncul di situ. Dia tersenyum memandang aku.

“Siapa ni? Kawan you?” Suara halus menyapa antara kami.

My officemate, Melati.” Dengan tenang Arraz memperkenalkan aku kepada gadis cantik itu.

“Hai Melati. I Dayana, tunang Arraz.” Dayana hulurkan salam perkenalan.

Tunang?! Jantung aku bagaikan nak tercabut. Pucat lesi wajah aku. Rasa macam nak pitam. Bergelen-gelen air liur aku telan. Perasaan aku hampa. Dengan perlahan aku sambut huluran tangan Dayana dan cuba mengawal semangat yang hampir merudum. Aku memandang Arraz, mencari kebenaran daripada kata-kata Dayana. Tiada penafian daripada Arraz.

Bermakna, Dayana memang tunangnya. Tanpa berselindung Dayana terus memberitahu hubungannya dengan Arraz. Firasat aku menyatakan wanita ini sedang memberi amaran bahawa Arraz adalah miliknya dan dia tidak mahu ada wanita lain yang mengganggu hubungan mereka.

“Selamat berkenalan, Melati.” Dayana tersenyum manis kepada aku. Matanya yang besar jadi kecil kerana senyumannya.

“Selamat berkenalan, Cik Dayana.” Tergagap-gagap aku menyebut namanya. Aku hadiahkan senyuman juga untuknya. Tapi tak tahulah macam mana rupa senyuman yang aku berikan itu.

“Eh, tak payahlah pangil cik. Panggil Dayana cukuplah.” Dayana melayan aku dengan mesra.

“Melati ni sebenarnya schoolmate I dulu. Satu kelas dengan Hazel. I pun dah lama tak jumpa dia. Tak sangka pula I jumpa dia masa I transfer datang sini,” cerita Arraz kepada Dayana.

Kenapa dia tak beritahu saja yang aku ini janda dia? Aku mengetap bibir, menahan perasaan hati.

“Oh, ya ke?” Dayana tampak gembira mendengar berita itu.

“Nanti saya beri kad untuk awak. Ajaklah mak dan abah datang sekali. Dah lama tak jumpa mak dan abah.” Arraz memandang aku pula.

“Insha-Allah.” Hanya itu yang mampu aku katakan walaupun aku sendiri takkan kuat untuk datang ke majlis mereka. Takdir apakah ini?

“You kenal ke dengan famili Melati?” tanya Dayana. Air mukanya tampak berubah. Aku dapat membaca api cemburu yang mula berasap di wajah itu.

“Kenal sangat. Melati ni bestfriend Hazel. Macam belangkas. Tu yang I kenal dengan famili Melati. Melati pun kenal dengan famili I. Sebab Melati selalu datang rumah I dan I selalu kena cari Hazel di rumah Melati,” kata Arraz.

Arraz nampak tenang. Dia tak rasa ke apa yang aku rasa? Rasa menyampahlah pula aku dengan sikap selambanya itu. Entah-entah dia dah lupuskan semua kisah cinta kami dan kehidupan rumah tangga kami daripada memori dia tak?

“Oh, ya ke?” Wajah Dayana ceria semula.

Aku pula yang rasa nak menangis.

“Bos dengan Cik Dayana bila nak kahwin?” tanya aku walaupun aku terasa nak menyumpah dengan soalan aku sendiri.

“Lambat lagilah. I masih studi di Aussie. I nak concentrate dengan studi I dulu. Lagipun, Arraz pun asyik sibuk memanjang. Bila cakap bab kahwin, cepat aje dia ubah topik.” Dayana menjeling Arraz.

Arraz mengelus lehernya sambil menarik senyuman kelat.

“Ni tengah cuti ke ni?” soal aku.

Yup. Saja balik sini sebab nak sambut majlis Hazel nanti. Tapi majlis tunang ajelah. Masa majlis nikah resepsi, mungkin I dah fly balik sana.”

“Kalau ada jodoh, tak ke mana.” Aku memaksa diri untuk tersenyum lebih manis.

“Betul tu,” kata Dayana.

“Tak apalah. Kami minta diri dulu. Datang butik ni pun sebab nak ambil barang yang Hazel pesan tu. Nanti saya send nombor telefon Hazel. Bila awak senang, awak calllah dia,” kata Arraz.

“Errr... ” Aku ragu-ragu. Tak tahulah sama ada Hazel masih kenal dengan aku ataupun tidak.

“Dia ada tanya pasal awak. Saya rasa dia rindukan awak. Awak patut telefon dia. Itu pun kalau awak bersedia,” kata Arraz bagai dapat meneka apa yang ada dalam kepala otak aku.

Aku hanya tertunduk lalu mengangguk perlahan. Ya, aku juga rindukan sahabat aku. Kerana persahabatan kamilah, cinta aku dan Arraz bersatu. Namun, kerana perpisahan cinta aku dan Arraz, persahabatan kami turut musnah.

“Baiklah. Jumpa kat ofis esok. Hati-hati,” pesan Arraz.

“Assalamualaikum.” Dayana memberi salam lalu berjalan beriringan dengan Arraz.

Aku menjawab salam. Dayana melambai kepada aku. Aku hadiahkan senyuman kepadanya. Perasaan aku tatkala ini? Kalau boleh divisualkan, hati aku ibarat kaca berbentuk hati yang berwarna merah. Kaca hati itu terjatuh dan berserakan di lantai. Mata aku terasa panas. Sebak rasanya bila tahu yang Arraz dah jumpa pengganti aku. Mungkin inilah maksud Arraz tempoh hari, solo but not available.


Bagaimana dengan straregi aku untuk mendapatkan cinta Arraz semula? Terhapus begitu sahaja? Ya Allah, andai inilah takdir untuk aku, biarlah selamanya hidup aku hanya tertumpu buat Dahlia kerana hati ini sudah tak mampu dimiliki oleh lelaki lain selain Arraz Khair.

---------------@@--------------





So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...

MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---

No comments:

Post a Comment