Wednesday 9 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 12


Hai readers!
Jemput baca Maraton Misi Tawan Hati Ex
Day-3...
Here we go...

                                  ~BuAt MuKa CoMeL~

-------@@@---------

AKU pandang kertas kerja yang berhimpun atas meja. Aku cuba teliti huruf demi huruf tapi aku buntu. Rasa kosong. Aku pandang pula skrin komputer. Kosong. Aku tarik fail yang tersusun di tepi. Kosong. Aku capai jadual aktiviti aku. Kosong.

“Argh!” Aku melempar jadual itu ke tepi. Semuanya aku nampak kosong. Aku tak tahu apa yang perlu aku buat sekarang. Aku letak kedua-dua tangan atas meja dan lekapkan muka aku di situ.

“Melati, kau okey ke?” Badrul yang duduk di sebelah aku menjengulkan wajahnya di sebalik partition.

“Sibuklah kau ni. Buatlah kerja sendiri.” Aku menjeling Badrul.

“Orang tanya pun nak marah.” Badrul mencebik.

“Tak payah busybody hal orang boleh tak?”

“Sebab aku kisahlah aku tanya. Kalau tak, hado aku nak tanya kau?” kata Badrul kembali.

Kalau bercakap dengan Badrul memang kadang-kadang aku suka meninggikan suara. Tapi itu bukan tanda aku bencikannya. Itulah tanda persahabatan kami. Kalau orang tak tahu, memang mereka akan ingat kami suka bertengkar.

“Sana, sana... Pergi buat kerja.” Aku goyangkan tangan seperti orang menghalau ayam.

“Yalah, yalah. Kalau ada apa-apa, jangan cari aku.” Dia memberi amaran.

“Siapa nak cari kau?” Aku buat muka menyampah.

“Kau kalau nak layan perasaan tu, layan ajelah. Tapi, pukul 12.00 nanti jangan lupa bagi kat aku laporan semalam tu. Aku nak compile sekali dalam meeting nanti.”

Kring! Tiba-tiba ada bunyi siren atas kepala aku. Alamak! Matilah aku. Aku belum siap lagi laporan untuk sistem yang baru habis kontrak maintenance dengan syarikat kami. Satu per satu dokumen dan kertas-kertas kerja yang ada atas meja aku selak sebab nak cari penyata kewangan untuk setiap penyelenggaraan.

“Kau cari apa?” Badrul dah berdiri di sisi sambil siku kirinya diletakkan atas partition.

“Sibuklah kau ni!” Aku semakin bengang apabila melihat jam dah pukul 10.00 pagi.

“Kalau kau dah hilangkan salinan quotation yang Yasmin hantar semalam tu, carilah kat e-mel. Dia dah e-melkan sekali,” kata Badrul seakan-akan mengejek.

“Aku tahulah.” Termalu aku dengan Badrul.

“Cuba bersyukur sikit kau ada kawan macam aku.” Badrul duduk kembali di tempatnya.

“Mulut kau ni macam pompuan tau tak?” Aku mendengus.

“Helo! Cakap baik-baik sikit. Aku lelaki sejati, hokey! Anak dah tiga. Setahun seorang!” katanya dengan bangga.

“Eleh, kira dah anak tiga tu sejati sangatlah? Tanggungjawab, dude. Tanggungjawab! Yang tu yang tentukan lelaki tu sejati atau tak.” Aku mendengus. Menyampah betul aku dengan lelaki yang berfikiran macam ini.

Of courselah aku ni jenis lelaki yang bertanggungjawab.” Badrul dah mula memuji dirinya sendiri.

“Sudahlah! Malas aku nak layan kau.” Pantas jari-jemari aku buka e-mel syarikat. E-mel yang Yasmin hantar kelmarin aku buka kembali.

“Bagus! Siapkan kerja kau tu. Nanti dengan aku sangkut sekali. Apa aku nak jawab dengan bos?” Badrul masih belum mahu mengalah.

Menyampah betul aku kalau berlawan kata dengan Badrul. Memang selalu dia yang akan menang.

“Ada orang cakap pasal saya ke?” Tiba-tiba suara Arraz menyapa kami. Aku dan Badrul sama-sama menoleh ke belakang.

“Eh, mana ada bos. Saya cuma suruh Melati siapkan laporan sebelum pukul 12.00 nanti.” Cepat saja Badrul menjawab.

Aku hanya mampu ternganga. Cis! Tak reti nak cover kawan sendiri.

“Kenapa? Awak lupa pasal laporan yang saya minta tu ke?” Arraz memandang aku.

“Pagi ni Melati diserang penyakit senggugut, bos.” Badrul kenakan aku.

Semakin luas mulut aku ternganga. Tak sangka aku Badrul akan cakap macam itu.

“Melati, tutup mulut awak. Nanti masuk lalat.” Arraz menegur dengan selamba. Pantas tangan aku menutup mulut.

“Lalat tak ada, bos. Tapi bakteria banyak,” gurau Badrul.

Aku menjeling geram. Bro, tak lawak, bro. Pick-up line kau tak menjadi.

“Awak senggugut ke?” tanya Arraz tanpa segan-silu.

Terasa bahang di muka aku. Dia siapa nak tanya aku macam tu? Dia lupakah yang aku ni bukan isteri dia lagi? Dulu, memang dialah yang selalu jaga aku bila aku sakit senggugut. Waktu itu aku akan dimanjakan. Makan pun disuap. Aku menjeling Badrul yang sedang menahan gelak.

“Mana ada,” jawab aku perlahan namun dengan nada kurang senang.

“Betul?” Arraz bertanya lagi.

Aku mengangguk.

“Siapkan semua laporan yang saya minta. Lepas tu compile dan serahkan kepada Yasmin. Kalau tak siap, saya panggil awak mengadap Madam Chuah.” Arraz terus pergi dari situ.

“Tak guna kau, Bad!” Aku membaling bantal empat segi yang aku letakkan di kerusi sebagai pengalas belakang.

Aku rasa macam nak menjerit kepada Badrul. Tapi aku masih sedar yang aku berada di pejabat. Badrul pula sudah tergelak besar.

“Memandai aje kau ni, kan?” Jari telunjuk dah aku tuding-tuding ke mukanya.

Sikit pun aku tak takut dengan Badrul. Dia lebih kurang sama tinggi aku saja. Kalau dalam ketegori lelaki, dia boleh dikira pendek. Senang aku nak ketuk kepalanya.

“Bukan kau selalu period macam tu ke? Duduk sambil pegang perut, pegang pinggang. Dah tu, mesti bau minyak angin bagai. Kejap-kejap letak kepala atas meja. Kejap bersandar. Macam orang hilang anak.”

Gulp! Terkedu aku sekejap. Apa yang Badrul cakap memang betul. Tapi aku tak sangka pula dia perasan semua itu. Apatah lagi aku tak pernah nak tunjuk sangat bila aku senggugut. Cuma bila di tempat duduk saja, aku lepaskan semua rasa sakit itu.

“Mulut engkau ni macam puaka. Kau skodeng aku ke selama ni?” Aku mencekak pinggang.

“Tak ada maknanya aku nak skodeng kau. Aku ni dah kahwin. Tengok engkau tak tentu arah macam tu pun aku dah tahu dah. Isteri aku pun kalau senggugut, macam tulah. Nasib baik dia suri rumah. Boleh gak dia golek-golek atas katil. Nasib kaulah.” Kepala Badrul tergeleng-geleng.

“Tapi, aku tak periodlah hari ni!” Aku ketap bibir. Eii, rasa nak tumbuk saja muka Badrul.

“Oh, ya? Tak ya? Tak apalah. Aku nak pergi pantri kejap. Haus.” Dia terus pergi tanpa rasa bersalah.

Ek-eh dia ni. Memang kurang asam betul!” Aku henyak kerusi dengan kasar. Geram aku dengan Badrul. Dengan Arraz pun aku geram. Dua-dua sama saja. “Tak guna punya jantan!”


SEDANG aku mengemas kertas laporan yang telah aku siapkan, hidung aku terbau air koko panas yang menyelerakan. Panjang nafas aku hidu bau yang harum itu. Spontan tangan aku memegang ke perut. Terasa lapar dengan bauan semerbak itu.

“Sedapnya bau hot chocolate ni.” Aku menggosok-gosokkan perut.

Tara!” Tiba-tiba muncul Yasmin di depan aku.

“Wah! Untuk aku?” Rasa macam mimpi saja Yasmin suakan secawan hot chocolate di depan muka lalu meletaknya di atas meja.

“Spesial untuk kau,” katanya.

“Mimpi apa kau bawakan hot chocolate untuk aku ni?” Dalam rasa ragu dengan kebaikan Yasmin, aku mencapai koko panas itu dan menghirupnya sedikit.

“Sedapnya!” Terasa nikmat dunia yang sedang mengalir di anak tekak.

“Sedap? Tak baca bismillah memanglah sedap, minum dengan setan.” Yasmin mencekak pinggang.

Termalu aku dengan teguran itu. Aku membaca basmallah dan menghirup lagi koko panas.

“Dah lepas minum, makan pain killer ni.” Yasmin serahkan dua biji Panadol untuk aku.

“Buat apa?” Berkerut kening aku.

“Kau kan senggugut.” Kening Yasmin pulak berkerut.

“Mana ada? Siapa yang cakap? Bad?” Aku jengulkan kepala aku di balik partition untuk mengintai Badrul yang duduk di sebelah aku.

Kosong. Badrul tak ada di tempatnya.

“Bukan Bad tapi bos. Bos yang bancuhkan hot chocolate ni untuk kau dan pesan supaya kau makan ubat tu,” beritahu Yasmin.

Rasa nak tersembur air koko dalam mulut aku. Tapi nasib baik aku sempat mencapai tisu dan menutup mulut.

“Bos?!” Terbeliak biji mata aku memandang Yasmin.

Yup!” Muka Yasmin berubah ceria. Yasmin semakin mendekati dan duduk di tempat letak tangan di kerusi yang aku duduk. Bahu aku dipicit-picitnya.

“Untunglah orang tu. Ada orang ambil berat.” Yasmin berkias.

“Apa pulak kau ni?” Aku tak tahu perasaan aku sekarang. Terkejut ada, termalu pun ada, tersuka pun ada, tergembira pun ada, terkeliru pun ada.

Stop! Kat keliru tu memang sangat besar perasaan itu.

Kenapa Arraz lakukan semua ni? Aku ni cuma bekas isteri dia. Dia dah bertunang dengan Dayana. Dayana tu sudahlah cantik, nampak pun macam orang yang bijak pandai. Eh, memang bijak pun. Orang tengah further study kat overseas kut!

“Aku rasakan, bos tu suka dekat kau,” kata Yasmin.

“Merepek aje kau ni.” Terus aku terbayangkan pula wajah mesra Dayana. Bagaikan ada skrin depan mata. Dayana senyum dan melambai-lambai kepada aku.

“Merepek?! Dia siap bancuhkan kau air, bagi ubat untuk kau lagi. Itu maknanya dia caring pasal kau.” Yasmin menepuk perlahan bahu aku yang dipeluknya.

“Helo kawan. Aku ni janda ada anak satu. Kau ingat lelaki maco macam bos tu nak ke dekat aku ni?” Aku menongkat dagu dengan tangan di atas meja. Memikirkan masa depan yang semakin kelam. Harapan cinta yang tak kesampaian.

“Eh, jangan-jangan bos tak tahu yang kau ni janda tak? Mungkin dia ingat kau ni isteri orang,” kata Yasmin.

“Entahlah. Dahlah, aku tengah sibuk ni.” Aku menolak tubuh Yasmin lalu mencapai tetikus dan mula menghalakan pandangan aku pada skrin komputer.

“Kau ni kenapa Melati? Aku nampak kau lain macam aje sejak akhir-akhir ni. Kau stres ke?” tanya Yasmin dengan lembut.

Tiba-tiba sahaja hati aku terasa sejuk mendengar suara lembutnya. “Entahlah Yasmin. Aku tengah serabutlah sekarang ni.”

“Kau stres pasal kerja ke? Bos minta kau buat apa? Kau tak siapkan lagi ke laporan tu?”

“Bukan pasal kerja. Pasal Dahlia. Dia dah mula sibuk tanya pasal papa dia.” Aku memberikan alasan walaupun bukan itu punca utama masalah aku sekarang.

“Kenapa dengan Dahlia?”

“Kau tahulah. Dia dah bersekolah sekarang. Dah ramai kawan. Dah tahu yang dia sepatutnya ada papa. Aku janji dengan dia yang aku akan cari papa dia.” Saat itu aku terasa ada air yang mula bertakung dalam kolam mataku kerana megenangkan Arraz yang sudah bertunang.

“Kau tak cuba cari bekas suami kau?”

“Sebenarnya, aku dah jumpa papa Dahlia tapi aku tak dapat dia bawa pulang semula ke pangkuan kami.”

“Kau dah jumpa?” Yasmin terkejut.

Aku hanya mengangguk lemah.

“Bila? Kau tak beritahu aku pun,” katanya lagi.

“Dia dah bertunang. Dah ada kehidupan baru. Aku tak berani nak beritahu pasal Dahlia.”

“Berani tak berani, dia kena tahu yang dia ada anak,” tegas Yasmin.

“Aku takut aku akan ganggu kebahagiaan dia dengan tunang dia.”

“Kau masih sayangkan dia?” tanya Yasmin.

Aku hanya membisu. Bukan Yasmin tak tahu. Sebelum ini aku pernah beritahunya yang aku masih sayangkan bekas suami aku.

“Kalau kau masih sayangkan dia, beritahu pasal Dahlia dan rampas dia daripada tunang dia.”

“Kau gila?!” Terkejut aku dengan cadangan Yasmin.

“Dia orang baru bertunang, belum kahwin lagi.”

No, no. Aku bukan perampas!” Aku menggawangkan tangan kananku tanda aku tidak bersetuju dengan cadangannya.

Fine! Tapi kau tak berhak rampas hak Dahlia dan bekas suami kau. Mereka perlu tahu perkara yang sebenar.”

“Aku tengah cari jalan untuk beritahulah ni.” Aku mengeluh.

Cakap memang senang tapi nak buat tu, bukan kerja mudah. Dah berapa kali aku cuba untuk berterus terang dengan Arraz tapi semuanya tak menjadi.

“Kau tak pernah beritahu aku pun siapa bekas suami kau.”

“Nanti kau akan tahu juga.” Bertahun lamanya aku rahsiakan identiti Arraz. Aku tak mahu sesiapa tahu dia bekas suami aku. Aku mahu kenalkan Arraz kepada orang lain sebagai suami, bukan bekas suami!

“Itu aje jawapan kau. Okeylah. Aku pergi dulu. Nanti pukul 1.00 aku cari kau.” Yasmin kembali semula ke mejanya.

Aku mengerling Panadol dan koko panas yang dibawakan Yasmin. Aku tak tahu sama ada aku perlu bersorak gembira ataupun tidak. Kalau tanya pada hati, memang terasa nak bersorak gembira kerana Arraz masih mengambil berat tentang aku. Tapi, kalau tanya pada akal, rasa macam sedang dipermainkan. Aku rasa Arraz sedang cuba membalas dendam kepada aku.

Aku tongkat dagu sambil berfikir rasionalnya tuduhan aku. Tiba-tiba bunyi siulan burung bergema. Mesej daripada WhatsApp.

Awak dah telan Panadol tu? – Arraz

Apa aku nak jawab? Kalau cakap ya, tentu dia ingat tuduhan Badrul itu betul. Kalau cakap tak, kang dia datang sini dan paksa aku telan Panadol tu depan dia pula. Terasa malas nak fikir, aku campakkan saja telefon dalam laci. Aku tarik beberapa helai tisu untuk ke tandas. Dah beberapa langkah aku tinggal tempat duduk aku, aku terdengar suara Arraz.

“Mana Melati?” tanya Arraz.

“Entah bos. Tadi ada. Mungkin ke tandas.” Aku terdengar suara Yasmin menjawab pertanyaannya.

Terus aku bersembunyi di balik partition untuk mengelak Arraz daripada melihat aku. Aku mengintai dia dari situ. Bila dia palingkan wajahnya ke tempat lain, bergegas aku memboloskan diri dari situ dan terus ke tandas. Entah apa-apa Arraz ni. Takkan sebab Panadol sebiji dia cari aku?

Aku memandang wajahku di cermin.

“Ah! Biarkanlah. Ni semua game dia aje ni. Kau jangan terpedaya.” Aku menuding kepada diri aku di cermin.

---------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---



No comments:

Post a Comment