Thursday 10 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 13



Hai..hai...Hai...
Kita sambung misi kite ek...
Maraton Misi Tawan Hati Ex...
Day-4...
Here we go....

                                    ~BuAt MuKa CoMeL~  




ATTENTION please!” Tiba-tiba suara Arraz memecah kesunyian, sekali gus membuatkan fokus kami pada skrin komputer bertukar kepadanya.

“Laporan akhir kita bagi sistem Klinik Mawar dah saya present ketika meeting dengan Madam Chuah. Alhamdulillah, grup kita mendapat pujian daripada madam. Tahniah untuk kamu semua.” Arraz yang kelihatan berpuas hati tersenyum megah.

Kami semua bertepuk tangan, gembira mendengar berita itu.

“Kita ada satu lagi berita baik.” Arraz memerhatikan wajah kami seorang demi seorang.

“Berita apa bos?” tanya Azroy.

“Lepas ni, kita dah dapat satu projek lain.”

Wau!” Kami sudah ternganga dengan harapan yang berbunga.

“Cepatnya bos dapat job.” Badrul memuji.

“Rezeki. Kebetulan saya kenal dengan customer kita kali ni. Quite close.

Oh, patutlah.” Kami menganggukkan kepala.

“Saya nak kamu semua bersedia. Kali ni, saya tak nak ikut cara bos lama kamu bekerja. Saya takkan pilih salah seorang daripada kamu untuk mendengar taklimat tentang proses kerja dia orang. I want all of you to come with me. We listen, discuss and learn together,” kata Arraz.

Kali ini Arraz menerima sorakan.

Aku hanya tersenyum. Apa lagi yang boleh aku katakan? Arraz memang bos yang terbaik jika nak dibandingkan dengan kumpulan lain.

“Kamu semua boleh sambung kerja kecuali Melati. Melati, masuk bilik saya sekejap. Bring your phone.” Arraz menuding kepada aku.

“Okey, bos!” Masing-masing sudah berpusing untuk meneruskan kerja masing-masing.

Aku membuntuti langkah Arraz ke dalam pejabatnya setelah mencapai telefon di dalam laci.

“Ada apa, bos?” Aku terus bertanya apabila Arraz sudah duduk di kerusinya.

“Duduklah dulu.” Arraz menghalakan tangan agar aku duduk di kerusi di hadapannya.

Aku menurut sahaja.

Arraz menarik keluar telefon dari dalam kocek. Fokusnya pada skrin telefon tanpa mempedulikan aku yang ada di hadapannya. Tiba-tiba siulan burung berbunyi di telefon aku, menandakan ada pesanan WhatsApp yang masuk.

Check your phone,” arah Arraz.

Terus aku membuka screen lock dan melihat pesanan yang dihantar Arraz.

“Itu nombor telefon Hazel,” kata Arraz.

Aku terpaku memandang skrin telefon. Tak tahu apa yang perlu aku lakukan dengan nombor telefon yang baru aku terima.

“Saya akan berasa sangat berbesar hati jika awak sudi telefon Hazel.”

“Dia boleh telefon saya kalau dia mahu,” kataku dengan perlahan.

Aku tak tahu sama ada aku patut menghubungi Hazel kembali ataupun tidak. Mataku terasa panas. Ada air mata yang mula bertakung. Sekali gus aku terimbas semua kenangan yang pernah aku lalui bersama Hazel ketika di bangku sekolah.

Kedengaran keluhan halus dari bibir Arraz.

“Awak yang menyepikan diri,” katanya.

Aku menggigit bibir bawah. Bukan aku menyepikan diri. Tapi aku tenggelam punca. Tak tahu apa yang patut aku lakukan setelah aku kehilangan Arraz. Papa dan mama Arraz tak benarkan aku berhubung dengan Hazel lagi.

“Hazel tak pernah beritahu yang saya cari bos masa...”

Please, please... Saya tak nak cakap pasal hal-hal lama. Saya nak lupakan semuanya.” Arraz memicit dahinya.

Aku tertunduk. Ah, Arraz! Dia memotong lagi kata-kataku. Macam mana aku nak berterus terang dengan dia apa yang terjadi? Bagaimana aku nak beritahu yang dia ada anak dan keluarganya tahu tentang anak kami? Aku benar-benar penasaran. Apakah keluarga Arraz memang tak pernah beritahu tentang Dahlia atau Arraz yang sengaja pura-pura tidak tahu?

“Saya cuma nak bantu Hazel. Tiba-tiba saja dia sebut pasal awak bila dia terjumpa gambar lama kita dulu.Arraz menyambung kata.

Tentu waktu itu Hazel sedang mengemas bilik bujangnya untuk dijadikan bilik pengantin. Kemudian dia terjumpa gambar-gambar kami. Malah, aku sendiri masih menyimpan kenangan yang pernah kami lalui bersama.

“Dia tak tahu yang kita dah berjumpa?” tanyaku.

Arraz menggeleng. “Saya tak pernah beritahu sesiapa yang kita bertemu semula di sini. Dia minta saya cari awak. Katanya, dia ada hutang dengan awak.”

“Hutang?” Dahiku berkerut.

“Saya tak pastilah hutang apa. Lebih baik awak telefon Hazel dan selesaikan sendiri. Saya tak mahu jadi orang tengah,” kata Arraz.

Aku diam sambil memikirkan hutang yang dimaksudkan Arraz. “Kalau saya telefon Hazel, dia akan tahu yang bos dah jumpa saya.”

“Ya. Tapi dia dah berjanji kalau dia dah bertemu dengan awak dan selesaikan hutang antara kamu berdua, dia takkan ungkit lagi pasal awak di depan saya.”

Ya Allah! Teganya Arraz berkata begitu. Terlalu bencikah dia kepada aku? Kalau benar dia begitu bencikan aku, kenapa dia tak berterus terang saja? Aku boleh mencari kerja di tempat lain. Apatah lagi aku banyak menerima tawaran daripada beberapa syarikat di Singapura. Hanya aku yang tak mampu untuk meninggalkan keluarga dan semua kenangan aku di sini. Termasuklah Arraz kerana aku takut jika aku ke tempat lain, aku takkan ketemu Arraz di sana.

“Melati, saya dah tak ada apa-apa nak cakap. Saya nak sambung kerja,” kata Arraz.

Aku melirik Arraz. Tahu benar yang dia mahu aku keluar dari pejabatnya.

“Bos, saya cuma nak tahu ada tak keluarga bos beritahu apa-apa?”

Melati, please!” Arraz mengangkat menunjuk tapak tangan kanan agar aku tidak meneruskan kata.

Aku menjadi berang bila melihat Arraz yang tidak bersikap terbuka tentang masa silam kami.

“Pasal Seri Dahlia!” Aku terjerit sedikit kerana bengang.

“Apa?” Arraz terkedu.

Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. Pandangan aku dan mula tertumpu ke pintu yang dibuka dari luar. Muncul Madam Chuah di situ. Kami berdua terus terbangun daripada duduk apabila melihat kelibat Madam Chuah.

“Saya mengganggu kamu berdua?” tanya Madam Chuah.

“Tak. Cuma perbincangan biasa,” kata Arraz.

Aku menjemput Madam Chuah agar mengambil tempat duduk di situ.

“Tak mengapalah. Nanti saya datang lain.” Madam Chuah mahu pergi dari situ.

“Nanti, madam.Arraz beralih memandang aku. “Melati, kita sambung nanti.”

Arraz memberi isyarat agar aku keluar dari situ. Tanpa berlengah, aku terus keluar dengan hati yang retak. Tapi bukan retak seribu sebaliknya beribu-ribu.


AKU merenung nota strategi yang aku lakarkan.

Arraz beria-ia mahu menghapuskan kenangan silam kami. Ya, itu memang patut kerana dia sudah bertunang dengan Dayana. Dia akan membina hidup baru bersama Dayana. Jadi, strategi untuk mendapatkan semula hati Arraz, aku pangkah dengan besar. Strategi itu sudah tidak perlu apabila Arraz telah menutup hatinya untuk aku.

Aku tandakan strategi itu hanya sehingga Arraz mengetahui tentang Dahlia. Lepas itu, aku akan berhenti kerja dan mencari kerja di tempat lain. Sebaiknya aku berpindah dan mulakan kehidupan baru dengan suasana yang baru.

 “Melati, kau dah siap?” Yasmin muncul di sisi.

“Nak pergi dah ke?” Aku melihat Yasmin sudah menggalas beg tangannya bersama.

“Dah. Bos kata lepas briefing kita boleh terus balik,beritahu Yasmin.

Terus aku mengemas semua barang-barang aku dan masukkan ke dalam beg tangan. “Kau ikut aku, kan?”

“Bos suruh kita semua pergi satu kereta. Hari ni bos bawa Alza. Sebelum balik bos nak belanja kita semua makan. Nanti bos hantar kita sampai ofis. Lepas tu, kita semua boleh chau.”

“Eh, ya ke? Aku pergi sendirilah. Aku tak rasa nak join. Aku tak nak lewat sampai rumah.” Aku cuba berdalih.

“Janganlah macam tu. Hari tu pun kita dah spoilkan pelan bos nak dinner sama-sama. Lagipun, bos janji kita pergi briefing kali ni tak lama. Sekejap aje.” Yasmin mendesak.

Aku memicitkan kepala. Kalau aku terus-terusan menolak, nanti orang lain terperasan pula ada yang tak kena antara aku dengan Arraz.

“Okeylah.” Aku terus capai beg tangan dan turun ke parkir. Semua teman-teman lain sudah sedia menunggu.

“Kenapa lambat ni?” tanya Rania.

“Ni hah! Nak pujuk Melati ni,” usik Yasmin

Helo, aku baru tahu pasal pelan kau orang yang nak pergi sekali ni.”

“Kau tak tahu ke? Eh, kan bos dah maklumkan dalam grup WhatsApp.” Badrul memandang aku dengan kening yang berkerut.

Aku tercengang seketika. Aku tak tahu langsung pasal grup WhatsApp.

Errr...  Saya belum add awak masuk ke?” Arraz menyampuk lalu menyeluk kocek seluarnya dan mengeluarkan telefon.

“Eh, yalah. Saya tak add awak. Nanti saya add awak,” katanya.

Ya Allah, betapa kecilnya hati aku ketika dia berkata begitu. Sampainya hati dia lupakan aku!

Kami bertolak dengan Alza kepunyaan Arraz yang dipandu oleh Azroy. Dalam perjalanan, mereka yang lain bertanya Arraz serba sedikit tentang kehidupannya yang lebih pada koleksi kereta yang dia ada. Daripada permerhatian aku, aku hanya melihat Arraz membawa dua jenis kereta termasuklah kereta yang sedang dipandu Azroy sekarang.

Namun menurut teman-teman yang lain, mereka beberapa kali bertemu dengan Arraz di luar waktu pejabat dan melihat lelaki itu membawa pelbagai jenis kereta. Mulanya, aku sangkakan Arraz telah berjaya dalam hidupnya. Sangkaan aku meleset apabila mengetahui dua daripada kereta yang pernah dibawanya adalah milik keluarga tunangnya, Dayana.

Betapa kecilnya diri ini jika nak dibandingkan dengan Dayana. Apabila mengetahui pasal Dayana, mulalah teman-teman lain mula mengusik Arraz. Rimas dengan situasi itu, aku hanya memandang ke luar tingkap dan membawa diri ini jauh ke dunia lain sehinggalah kami tiba ke destinasi yang dituju.


LADIES and gentlemen, perkenalkan, ini Adalah Encik Adam dan Encik Edrian. Mereka berdua adalah share partner dan pengasas syarikat ini.Arraz memperkenalkan kami kepada dua orang lelaki yang segak mengenakan vase hitam dan coklat yang baru tiba di bilik mesyuarat itu.

Aisy! Apa berencik-encik ni? Make it simple, bro.” Lelaki yang memakai vase coklat menepuk belakang Arraz.

“Hai semua. Nama saya Adam dan ini Edrian.Lelaki itu mengenalkan dirinya.      

“Yang itu, Badrul, Azroy, Rania, Yasmin dan Melati.” Arraz memperkenalkan kami seorang demi seorang.

“Melati?” Pandangan mata Adam melekat ke wajahku sehingga aku merasa tak betah membalas pandangan itu.

“Rasanya kita tak perlu membuang masa. Arraz, you can continue with your system. Lepas tu, baru kami akan terangkan aliran kerja kami.” Adam yang lebih nampak berkarisma itu memulakan sesi perbincangan.

Seperti yang dijanjikan Arraz, perbincangan itu memang tidak terlalu mengambil masa yang lama. Kira-kira empat jam, semuanya selesai. Mereka hanya menunggu sebut harga sebelum kontrak dikeluarkan. Mudahnya bila berurusan dengan orang yang dikenali.

Selepas itu, kami menuju ke Rockstarz Burger. Adam dan Edrian juga turut serta setelah diajak Arraz.

Bukan main riuh restoran burger itu apabila kami melangkah masuk. Walaupun aku tersenyum dan sesekali ketawa dengan gurauan mereka, namun hati aku tidak begitu. Bukan hanya kerana kecewa dengan sikap Arraz, tetapi juga tidak suka dengan pandangan mata Adam yang sering kali mencuri memandang aku.

Ketika di meja makan, Adam duduk di sebelah kanan aku dan Yasmin di sebelah kiri. Arraz pula duduk bertentangan aku. Aku sangat rimas dengan situasi itu. Namun aku cuba sebaik mungkin untuk mengawal rasa tidak selesa yang aku rasakan.

“Awak tak tahu nak makan apa ke?” Tiba-tiba Adam bersuara di tepi telinga aku.

Aku memandangnya seketika sebelum menjatuhkan semula pandangan mata pada menu-menu yang tersenarai di situ.

I suggest The Carbonara Romance. I suka sangat burger tu. Or you can try The Santanaz or....”

“The Rockstarz.” Aku memotong kata-katanya. The Rockstarz for me, please.”

“Okey.” Adam menarik senyuman.

Tiba-tiba aku terpandang Arraz yang ketika itu sedang memandang aku dan Adam. Terus dia mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Aku berdoa agar hari ini segera berlalu pergi.


---------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---





No comments:

Post a Comment