Friday 11 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 14

Hai dan hai lagi...hehehe
Meh kita teruskan membaca...
Maraton Misi Tawan Hati Ex..
Day - 5..
Here we go...

                                    ~BuAt MuKa CoMeL~


AKU merenung ke hadapan. Saat itu, hanya kedengaran hembusan angin tanpa suara apabila kami memilih untuk berdiam diri. Hazel yang berdiri tidak jauh daripada aku hanya menunduk memandang ke tanah.
Dua hari lepas, aku menghubungi Hazel. Itu pun setelah aku merasa yakin dengan keputusan aku. Dia agak terkejut ketika aku mengenalkan siapa diri aku. Aku mendengar suaranya menahan tangisan. Kerana desakan Hazel yang mahu bertemu, maka aku berada di sini.
“Aku minta maaf, Melati.” Akhirnya Hazel bersuara dengan perlahan.
“Aku yang patut minta maaf. Aku yang tak pernah hubungi kau.” Aku lebih suka jika meletakkan semua kesalahan itu kepada diriku sendiri walaupun sebenarnya kami sama-sama tak pernah menghubungi lagi antara satu sama lain.
“Kau marahkan aku?” tanya Hazel.
“Tak.” Aku menoleh, memandangnya.
“Kau tak salah apa-apa dengan aku. Takdir aku dan Arraz yang membuatkan kita terpisah. Sejak itu...” Aku terdiam. Kehilangan kata untuk seketika.
Arraz beritahu aku yang kau ada hutang dengan aku. Seingat aku, kau tak pernah hutang apa-apa. Kalau ada pun, dah lama aku halalkan.” Aku menukar topik.
“Sebenarnya aku tak sangka yang Arraz akan ikut kehendak aku. Aku ingat dia akan menolak bila aku beritahu dia yang aku nak jumpa kau. Cepat juga dia cari kau,” kata Hazel.
Kata-kata itu menunjukkan yang Arraz tidak pernah memberitahunya bahawa kami berkerja di bawah bumbung yang sama.
“Aku tak pernah ke mana, Hazel. Masih tinggal di rumah yang sama. Cuma, aku tak sangka kau dan keluarga kau yang dah berpindah.”
“Kau pernah mencari kami lagi selepas tu?” Hazel memandang aku dengan riak terkejut.
“Negeri kita ni bukannya besar sangat. Banyak kebetulan yang membuatkan aku lalu di kawasan perumahan kau dulu. Aku nampak orang lain yang tinggal di rumah tu,” kataku.
Hazel terangguk sedikit.
“Kau ingat lagi tak yang kita pernah berjanji, kalau suatu hari nanti kita terpisah tanpa mengambil kira apa jua sebabnya, kita tetap akan berada di sisi pada hari pernikahan masing-masing? Sebenarnya, bukan kau yang berhutang tapi aku. Tapi aku nak jumpa kau sangat-sangat sebab aku nak minta maaf. Aku dah mungkiri janji kita. Masa kau bernikah dengan Arraz, aku tak ada dengan kau.” Hazel menarik nafas panjang.
Terus aku terimbas kenangan lalu. Pinky promise yang pernah terjadi pada hari terakhir kami mengambil peperiksaan SPM. Waktu itu, kami terlalu takut memikirkan masa depan. Mungkin kami akan terpisah kerana menyambung pelajaran di tempat yang berlainan. Mungkin juga kami bermastautin ke negara orang. Mungkin juga kami terpisah kerana kerjaya. Kerana itulah janji ini termetrai.
“Cerita dah lama Hazel. Dah tujuh tahun pun dan aku tak pernah mengharapkan apa-apa. Lagipun, mama dan papa yang tak izinkan kau dekat dengan aku lagi, kan? Aku dah rampas Arraz daripada dia orang dan dia orang tak nak aku rampas kau pula.”
“Memang cerita lama. Tapi bila aku nak tempuh alam perkahwinan, aku terkenangkan semula kisah lama kita. Boleh tak kalau aku nak buat permintaan? Anggaplah ia hadiah perkahwinan untuk aku.”
Apa dia?”
“Tolong hadir majlis pernikahan aku.” Hazel melemparkan wajah yang menaruh harapan.
“Kau gila? Papa dan mama macam mana? Nanti dia orang ingat aku nak rampas Arraz semula.” Aku menggeleng. Aku takkan setuju dengan permintaan begitu.
Please, Melati.” Hazel merayu.
“Mama akan halau aku kalau nampak aku jejakkan kaki ke rumah kau.” Aku masih teringat bagaimana mama dan papa menghalau aku keluar dari rumah mereka ketika aku membawa Dahlia untuk bertemu mereka.
“Mama takkan buat macam tu. Aku janji, Melati. Aku akan pastikan mama dan papa takkan buat macam tu lagi pada kau,” rayunya.
Aku tertunduk lemah. Terasa air mata mula bergenang. “Aku tak kuat, Hazel. Aku takut.”
Aku tetap takkan pergi. Aku tak kuat untuk berhadapan dengan papa dan mama. Hati aku akan semakin lemah jika melihat Arraz bersama Dayana dia majlis itu nanti.
“Mama dan papa pasti terima. Aku akan beritahu mereka yang aku jemput kau atas dasar persahabatan. Bukan kerana kau bekas kakak ipar aku. Tentu mereka akan faham,” kata Hazel.
Aku terus memandang Hazel kerana terkejut dengan kata-katanya. “Atas dasar apa pun, hakikat tak boleh diubah. Aku tetap bekas kakak ipar kau. Bekas isteri Arraz. Bekas menantu mama dan papa. Tolonglah faham!”
“Aku betul-betul rasa bersalah dengan kau.” Hazel menunduk sambil memegang kepalanya.
“Kau tak salah apa-apa pun dengan aku. Semuanya dah takdir aku dan Arraz. Aku cuma minta kau faham situasi sekarang dah tak sama macam dulu. Aku tak boleh datang ke majlis kau nanti. Aku tak sanggup. Lagipun, kau bakal dapat kakak ipar baru. Apa pula kata Dayana nanti kalua dia tahu pasal aku.” Sayu hati aku apabila terkenangkan Dayana yang pastinya akan hadir ke majlis itu nanti.
“Kau tahu pasal Dayana?” Hazel memandang aku dengan rasa terkejut.
“Ya. Dia bakal isteri Arraz, kan?”
“Arraz beritahu kau?” tanya Hazel. Aku mengangguk.
“Aku tak sangka secepat mana dia mencari kau, secepat itu juga dia beritahu pasal Dayana.” Kepala Hazel tergeleng perlahan.
Aku hanya tersenyum sinis. Tentu Hazel menyangka yang Arraz terus berterus terang pada hari pertama kami bersua. “Sekurang-kurangnya aku tahu. Tak adalah aku simpan harapan yang tinggi lagi.”
“Maksud kau? Kau masih cintakan Arraz?”
“Dia tak pernah beritahu kau yang kami bekerja di tempat yang sama? Sekarang ni, Arraz dah jadi bos aku.” Sengaja aku tidak menjawab soalannya dan beralih ke titik yang lain.
“Tapi Arraz tak pernah beritahu apa-apa pun pasal kau. Dia tak pernah sebut langsung tentang kau. Sampai aku merayu-rayu, barulah dia setuju untuk mencari kau.” Wajah Hazel kelihatan terkejut.
“Mungkin sebab dia dah nak move on. Dia dah bertunang, dia akan berkahwin. Aku ni cuma masa silam dia aje. Masa silam yang dia nak hapuskan.” Aku memejam mata dengan rapat untuk menahan gelojak perasaan yang semakin sukar untuk dikawal.
“Tak. Arraz tak pernah lupakan kau,” katanya sehingga membuatkan aku tergelak kecil.
That’s my wish. Tapi, tak. Arraz dah buang aku daripada hatinya.” Aku mengeluh hampa. Aku tidak melihat sinar cinta daripada matanya lagi.
“Kau masih sayangkan Arraz?” Sekali lagi Hazel bertanya.
“Sayang sangat. Sehingga saat ini, tak ada siapa yang dapat menggantikan tempat Arraz di hati aku. Tapi cinta Arraz dah hilang untuk aku. Aku akan belajar untuk terima hakikat itu. Sampai masanya, setelah Arraz tahu tentang Dahlia, aku akan pergi jauh dari sini.” Air mata aku menitis dan cepat-cepat aku menyekanya.
“Dahlia? Anak kau, kan?”
Apabila nama Dahlia disebut, aku mula tersedar akan sesuatu. Aku pandang jauh ke dalam mata Hazel.
“Betulkah Arraz tak tahu yang dia ada anak?” tanyaku.
Hazel melarikan pandangan matanya dan mula menjauhi aku.
“Tolong jujur dengan aku, Hazel. Arraz tak pernah tahu yang dia ada anak, kan?” tanyaku dengan lebih keras.
Hazel berpusing dan membelakangkan aku. Terus aku menarik bahunya agar aku bisa melihat wajahnya. “Hazel?!”
“Mama tak benarkan aku beritahu Arraz!” Hazel mula mengalirkan air matanya. Bahunya sudah terenjut-enjut. “Aku minta maaf. Aku bersalah dengan kau.”
“Kenapa? Sudahlah mama dan papa tak mahu terima Dahlia. Kenapa mama dan papa benci sangat dengan aku? Sampai cucu sendiri pun tak mahu terima.” Aku juga ikut menangis bersama Hazel. Habis basah tudung aku kerana menangis mengenangkan permata hatiku nan seorang itu.
“Mama dan papa tak pernah benci kau.” Hazel bersuara dalam esak tangis.
“Habis tu kenapa mereka tak pernah terima aku sebagai menantu?”
“Mereka dah cuba terima kau. Tapi jodoh kau dan Arraz yang tak panjang. Kau dan Arraz bercerai bukan kerana mereka.”
“Tapi kenapa rahsiakan pasal Dahlia? Mereka takut Arraz kembali kepada aku bila tahu yang kami ada anak, kan?” Aku bertegas.
Hazel terdiam. Dia terduduk di bangku semula.
“Sebab tu, aku minta Arraz cari kau. Aku tak mampu nak beritahu Arraz perkara sebenar. Aku harap bila Arraz jumpa kau, kau akan beritahu dia tentang Dahlia,” katanya dengan lemah.
Aku kembali duduk di sisi Hazel. “Itu memang niat aku. Tapi, Arraz langsung tak beri aku peluang untuk bercakap tentang Dahlia. Dia memang nak lupakan aku.”
“Dia takkan lupakan kau. Dia tak pernah lupakan kau. Dia tak cintakan Dayana. Dia masih cintakan kau,” kata Hazel.
Aku menggeleng, menafikan kata-kata Hazel. Reaksi Arraz tak pernah menunjukkan yang dia masih sayangkan aku. Setiap kali dia memandang aku, aku dapat rasakan kesakitan daripada matanya. Dia cuba membuang aku dan kesakitan yang dirasakan.
“Berilah peluang sekali lagi untuk diri kau dan Arraz. Gunakanlah kesempatan ni sebelum Arraz membuat keputusan untuk berkahwin dengan Dayana. Demi cinta kau, demi anak kau, datanglah ke majlis aku nanti. Mudah-mudahan ada jalan untuk kau beritahu Arraz.”
“Kenapa kau tak tolong aku? Beritahu Arraz yang aku pernah mencari dia dan bawa anak kami berjumpa dengan keluarga kau.”
“Maafkan aku, Melati. Aku tak boleh. Aku dah janji dengan mama dan papa. Kalau aku mungkir janji, mereka takkan percayakan aku lagi.” Hazel menggenggam erat tanganku.
Ya Allah, aku sangkakan bertemu dengan Hazel mungkin dapat membuka jalan dan memberikan ruang agar aku dapat berterus terang dengan Arraz. Tapi harapan aku hancur.
“Tapi aku janji, aku akan bantu kau.” Hazel semakin mengeratkan pegangan tangannya dan mengangguk, seolah-olah memberi harapan kepadaku.


AKU melirik kepada mak apabila mendengar hembusan dari bibirnya. Dia berdiam diri seolah-olah sedang berfikir.
“Mungkin betul kata Hazel. Melati kena pergi majlis tu. Kalau Arraz terlupa nak beri kad jemputan, Melati kena ingatkan. Nanti kita ajak Kak Seroja, Abang Arjuna pergi sekali. Mak takkan biarkan Melati pergi sendiri,” kata mak.
Mungkin mak masih terkenangkan bagaimana aku diusir keluar oleh mama dan papa.
“Semuanya memang salah Melati, kan? Melati yang kurang sabar. Selalu marahkan Arraz.”
“Tak payah nak salahkan diri sendiri saja. Arraz pun salah jugak. Ego. Biasalah orang mengandung. Kadang-kadang pembawakan budak. Tengok suami aje, tak suka. Tapi dah nasib kamu malang, lepas kena cerai baru tahu mengandung.” Mak mendengus, seolah-olah marah dengan takdir aku.
“Apalah mak ni cakap macam tu. Tak percaya rukun iman ke?” Aku cuba mengusik.
“Eh, astaghfirullah...” Mak mengucap panjang sambal mengurutkan dadanya. “Itulah, melalut ikutkan perasaan. Dah takdir, kan? Reda ajelah. Yang penting sekarang ni adalah Dahlia. Lepas tu, mak nak Melati lupa Arraz. Dia dah ada pengganti, Melati pun kena fikirkan masa depan Melati juga. Takkan nak menjanda terus?”
“Eh, mak ni. Masalah yang satu ni pun tak selesai lagi, mak dah ke situ pulak. Kalau single terus apa salahnya? Single and steady.” Aku mengherotkan bibir.
“Mak nak tengok anak mak bahagia. Tenanglah sikit hati mak bila dah sampai ajal nanti.”
“Apa mak merepek ni? Tak sukalah.”
“Mak cakap aje. Bukan mak nak minta mati. Tak salah kan kalau ingatkan mati.”
“Yalah, mak. Melati yang muda ni pun belum tentu lagi nak hidup lama.” Aku terus bangun dari situ.
Malas nak bercakap bila mak mula melalut macam ini. Tak sanggup nak dengar bila mak bercakap soal mati. Aku masih perlukan mak dalam hidup aku. Maklah teman, maklah sahabat, maklah kaunselor yang paling aku percaya.

---------------@@--------------


So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.


-----@@---




No comments:

Post a Comment