Saturday 12 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 15

Hai gaizzz...
Bertemu kita lagi hari ini...
Jom teruskan maraton kita..
Misi Tawan Hati Ex..
Day-6...
Here we go...go..go.,..

                                    ~BuAt MuKa CoMeL~




MASUK sahaja dalam gerai makan yang berdekatan di situ, mata kami meliar mencari tempat duduk yang masih kosong. Tiba-tiba sahaja mata aku terpandangkan kelibat pasangan yang sangat aku kenali.
“Jom kita pergi dari sini, Min.”
Belum sempat tangan aku menarik tangan Yasmin agar segera pergi dari situ, Arraz menyedari kehadiran kami. Dia melambai-lambai memanggil kami agar mendekatinya.
“Bos panggil tu.” Yasmin menarik tangan aku.
Malang nasibku kerana Yasmin juga menyedari lambaian Arraz itu.
“Tak payahlah kacau daun. Tak nampak ke dia tengah makan dengan kawan dia?” Aku menarik balik tangan Yasmin.
“Nanti bos marah pulak.” Yasmin memegang tangan aku dengan erat dan menarik aku agar mengikut langkahnya sehingga tiba di meja Arraz dan Dayana yang sedang makan.
Come, join us,” ajak Arraz.
“Tak apalah bos. Sebenarnya kami nak pergi tempat lain.” Dengan cepat aku menolak sebelum Yasmin bersetuju dengan ajakan itu.
“Kalau nak pergi tempat lain, kenapa datang sini?” tanya Arraz sambil memberi arahan dengan lirikan matanya agar kami berdua duduk bersama mereka.
“Eh, you bukan... hmm... Melati!” Dayana terus bangun dan berjabat tangan dengan aku. Wajahnya bertukar ceria melihat wajahku.
Argh! Masalah apakah ini? Aku lebih suka kalau dia tidak suka melihat aku di situ.
“Ya.” Aku mengukirkan senyuman manis dalam keadaan terpaksa. Aku tak sangka dia masih ingat nama aku.
“Ini kawan saya, Yasmin.” Aku perkenalkan Yasmin kepadanya. Aku cuba berlagak selamba walaupun aku sedar sepasang mata milik Arraz sedang memerhatikan aku.
“Hai Yasmin. Saya Dayana.” Dayana terlebih dahulu menghulurkan tangan.
Yasmin dan Dayana bersalaman dan bertegur sapa.
“Duduklah. Join us,” ajak Dayana.
“Nanti mengganggu pula,” balas aku.
Hati aku berkecai melihat mereka berdua walaupun aku tahu aku tak patut rasa macam itu. Kata-kata Hazel tentang Arraz yang tak cintakan Dayana terbang dan hilang. Lenyap. Aku hanya bisa melihat mereka sebagai pasangan yang saling sayang-menyayangi.
“Duduklah. Dayana pun tak kisah,” kata Arraz.
“Terima kasih, bos.” Yasmin terus mengambil tempat di kerusi yang masih kosong.
Nak tak nak aku ikut juga duduk di situ. Arraz memanggil seorang pekerja di situ untuk mengambil pesanan. Setelah pesanan diambil, pekerja itu berlalu pergi.
“Cik Dayana ni kawan bos ya?” tanya Yasmin.
“A’ah.” Ringkas saja jawapan Dayana. Namun senyuman tetap meniti di bibirnya.
“Kawan biasa aje ke kawan luar biasa?” Yasmin cuba berkias dengan nada yang berseloroh.
Isy! Yasmin ni. Busybody betullah. Sibuk pula nak bertanya. Walaupun aku dah tahu hubungan mereka tapi aku tak sanggup nak dengar lagi. Cukuplah, cukuplah... Hati aku dah terlalu terluka untuk menerima hakikat ini.
“Awak tanyalah dengan bos awak.” Dayana mengubah persoalan itu kepada Arraz. Dia mengerling Arraz dengan manja.
“Eh, kenapa pula I yang kena jawab? Dia tanya you, kan?” balas Arraz kembali.
Alahai, romantik pula suara Arraz ketika itu. Nampaknya, Arraz memang betul sayangkan Dayana. Aku hanya tertunduk memandang jari-jemari yang bertaut di atas meja.
“Kalau I beritahu, you marah pula,” kata Dayana.
“Kenapa pula I nak marah? Dia orang dah tahulah,” kata Arraz.
Aku tertunduk menahan menahan perasaan sambil memandang jari-jemariku yang bertaut. Kuelus jari-jemari untuk meredakan gelodak perasaan yang aku rasakan saat ini.
“Aik? Bukan selama ini you rahsiakan...” Ayat Dayana mati di situ. Dia mengerling aku dan Yasmin.
Mungkin kerana kami di situ dia mematikan sahaja apa yang ingin dikatakannya tadi. Namun, aku bisa melihat cahaya di matanya yang sedang bersinar indah.
“Cik Dayana ni mesti queen of your heart. Kan, bos?” usik Yasmin yang seakan-akan bisa menangkap hubungan mereka berdua.
Arraz mencapai tisu lalu menyapu bibirnya. Dayana sudah tersenyum lebar.
“Hmm, inilah tunang saya,” kata Arraz.
“Oh... Inilah tunang bos?! Untungnya bos dapat tunang cantik macam ni,” puji Yasmin.
Yasmin ni, kalau bab membodek memang pandai. Tapi, apa yang dikatakan Yasmin memang betul. Dayana memang cantik orangnya. Siapalah aku nak dibandingkan dengannya.
“Terima kasih. Tapi, saya ni biasa aje. Sebenarnya, semua wanita itu cantik kerana setiap wanita dikurniakan kecantikan yang tersendiri,” kata Dayana.
Kata-katanya kedengaran begitu jujur dan bukan sengaja dibuat-buat. Wanita solehah rupanya Dayana ni. Okey, dia bukan sahaja cantik, tapi humble dan tutur katanya teratur dan sopan. Dayana memang pakej lengkap wanita idaman setiap lelaki. Eh, nanti dulu. Melati, kau terlalu cepat menilai. Mana tahu, dia cuma berpura-pura.
Wow! That’s amazing words.” Arraz merenung sepasang anak mata Dayana sehingga membuatkan Dayana tersenyum malu.
“Encik Arraz Khair!” Dayana memanggil nama Arraz dengan manja dan malu-malu. Seraya dengan itu juga satu cubitan manja melekat di lengan Arraz. “Romantiknya you hari ni. Malu I!”
“Malu? Kenapa pulak you nak malu?” Arraz menjongket-jongketkan keningnya untuk mengusik Dayana.
Wek! Nak muntah hijau aku melihatnya.
“Okey, okey. I tahu, ni mesti pasal staf you ada kat sini tu yang tiba-tiba you jadi romantik semacam aje, kan? Kalau macam tu...” Dayana memandang aku dan Yasmin. “Girls, kamu berdua kena kerap temankan kami berdating lepas ni.”
Aku mengetap bibir. Arraz tak pernah layan Dayana dengan romantik sebelum ni ke? Maknanya, Arraz sedang bermain drama untuk menyakitkan hati aku. Tapi untuk apa? Serius, aku masih samar-samar dengan sikap Arraz yang sebenarnya.
“Sayang, selama ni I tak romantik ke dengan you? Takkanlah kita berdua nak pergi dating kena bawa orang lain? Itu bukan dating namanya, kata Arraz.
“Sayang? Seroiusly, you pernah ke romantik dengan I macam ni?” soal Dayana kembali. Dayana nampak terkejut apabila Arraz memanggilnya sayang.
Of courselah. Tapi you kan jauh di negara orang. You lupalah semua tu? Ke you dah jumpa pengganti I kat sana?” Arraz mengangkat kening dan merenung Dayana.
Pandangan mata itu! Itulah pandangan yang selalu membuatkan aku cair di hadapan Arraz. Pandangan mata itulah yang selalu membuatkan hati aku terpujuk. Tapi sekarang, pandangan mata itu bukan milik aku lagi. Ia dah jadi milik Dayana. Terasa kolam mata mahu bertakung. Sabar, Melati. Sabar!
“Encik Arraz Khair! You ni kan.” Dayana mencubit lagi lengan Arraz. Kali ini dengan lebih manja.
“Makanan dah siap, encik.” Muncul pekerja di situ bersama dulang di tangan membawa pesanan aku dan Yasmin.
Mujurlah dia datang saat ini. Kalau tidak, mahu pengsan aku melihat kemesraan mereka.
Girls, sorry. Hari ni bos you all romantik sangat. Sampai I terasa nak terbang. Makanan dah sampai. Now you can enjoy your meal,” kata Dayana sambil menolak pinggan ke hadapan kami.
“Tak apalah, Cik Dayana. Kami okey aje.” Yasmin ketawa kecil.
You all free tak weekend ni? I nak jemput you all datang rumah. Adalah buat majlis ringkas. Sambut anniversary my parent,” jemput Dayana.
Baiknya hati dia. Kami yang baru dikenali pun dijemput sama.
“Saya tak pasti lagi Cik Dayana. Kalau ikut saya, saya free aje. Tapi kena tanya suami saya dulu,” balas Yasmin.
“Melati?” Dayana berpaling memandang aku.
“Saya pun tak pasti juga.” Aku tersenyum pahit.
Tak mungkin aku akan datang kerana aku pasti keluarga Arraz juga akan ke sana. Nak datang ke majlis Hazel pun aku belum bersedia, apatah lagi majlis di rumah dia.
“Awak kena minta izin mak awak juga ke?” tanya Arraz. Sebelah keningnya tejongket memandang aku.
Dia ni pun dah tersampuk dengan Yasmin ke? Nak buat kening ZZ pula! Semakin geram aku melihatnya.
“Tentulah Encik Arraz Khair. Ibu tunggal macam saya ni perlulah dapat keizinan orang tua. Sebab saya tak macam Yasmin yang ada suami untuk minta izin,” sindir aku dengan mengajuk cara panggilan Dayana tadi. Kerana geram, aku tak sempat nak berfikir sebelum berkata begitu.
“Ibu tunggal?!” Arraz tercengang.
Aku tergamam. Baru aku tersedar apa yang telah aku katakan.
“Melati ni janda. Ada anak seorang.” Yasmin mewakili aku untuk menjelaskan apabila aku dan Arraz terus berpandangan dan kaku begitu.
“Oh, dah ada anak?” Wajah Arraz berubah. Dia pandang ke tempat lain.
Arraz, are you okay?” tanya Dayana.
Daripada pandangan aku, Arraz memang dalam keadaan yang tidak okey. Dia seakan-akan sedang menahan perasaan. Reaksi Arraz tak seperti yang aku harapkan bila dia tahu dia ada anak. Bukankah dia sepatutnya bertanya kepada aku, anak awak dengan siapa? Berapa umur anak awak?
I’m okay. Cuma, tak sangka yang banyak benda I tak tahu pasal staf I sendiri,” kata Arraz dengan kecewa.
“Hmm, takkanlah dia orang nak cerita semua benda dekat you.” Dayana menggelengkan kepala. “Melati, kalau you nak bawa mak you sekalipun boleh. I jemput satu famili you. Siapa saja you nak bawa, you bawalah.”
Baiknya Dayana ni! Siap ajak satu famili aku sekali. Dia tak takut ke janda macam aku rampas tunang dia nanti?
“I tak janji. Tengoklah,” balas aku.
Aku memandang Arraz lagi. Dia memang nampak semakin marah dan bencikan aku? Kenapa? Kalau pasal anak, dia tak boleh fikir ke itu anak siapa?
“Macam ni, you all bagi phone number. Apa-apa nanti, senang kita nak contact.” Dayana mengeluarkan telefon bimbitnya dan meminta nombor telefon aku dan Yasmin.
Walaupun aku agak berat nak serahkan nombor telefon aku, tapi rasa tak manis pula kalau aku menolak. Apatah lagi di hadapan orang lain.
Thank you. Lepas ni bolehlah kita jadi kawan baik.” Dengan gembira Dayana menyimpan semula telefon bimbitnya.
“Eh, Cik Dayana tak ramai kawan ke?” tanya Yasmin.
“Kat Malaysia tak ramai. Tapi di Aussie, ramailah. Abah saya pula buka business kat sana.” Setelah itu, Dayana mula bercerita tentang kisahnya.
Aku pula antara dengar dan tak dengar. Yasmin sahaja yang setia memasang telinga. Aku lihat Arraz juga hanya tertunduk memandang telefonnya dan tidak memberi perhatian kepada kami lagi.



---------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---


No comments:

Post a Comment