Sunday 13 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 16



Hai uollsss....
Happy Weekend! Feeling crazy today!
Sambil-sambil melepak dengan famili, member dan orang-orang kesayangan, meh kita sambung maraton kita...
Misi Tawan Hati Ex...
Day-7

                                ~BuAt MuKa CoMeL~




AKU pandang kelibat Arraz yang baru melintas keluar. Semakin aku pandang Arraz, semakin sesak jantungku. Nak bernafas macam tak lepas, nak berhenti bernafas pun macam tersangkut. Arraz memang dah buat hidup aku kacau. Dia datang tepat pada masa Dahlia mahu tahu tentang papanya.
Semalam Kak Seroja telefon aku. Dia bertanyakan tentang Arraz. Nampaknya, abah dan mak dah beritahu Kak Seroja pasal Arraz. Aku pasti, Abang Arjuna tentu dah tahu juga pasal hal ni. Kata Kak Seroja, kalau aku susah sangat nak berterus terang dengan Arraz, lebih baik mereka mengambil jalan tengah dan berjumpa dengan keluarga Arraz. Tapi aku tak setuju. Nanti kecoh jadinya!
Apalah yang dirisaukan Kak Seroja tu? Lebih baik dia risaukan diri sendiri yang asyik kena merungut dengan mak sebab tak mahu berkahwin sampai sekarang. Abang Arjuna dan Kak Seroja dah terlajak umur pun tak nak kahwin lagi. Aku pula yang tergedik kahwin muda. Baru lepas SPM, terus dah menikah.
Tak kisahlah, sekurang-kurangnya ada juga cucu untuk mak dan abah. Tapi begini pula nasib aku. Ah... Arraz!
Bila difikirkan balik, tersilapkah aku apabila aku beritahu yang aku seorang ibu tunggal? Aku sangkakan bila aku kata macam itu Arraz akan berjumpa dengan aku dan tanya perihal sebenar. Andaian aku meleset. Dia nampak terkesan dengan status ibu tunggal yang aku miliki. Tapi kenapa dia diam terus? Itu yang aku tak faham!
Sejak hari itu, Arraz tak pernah bercakap dengan aku. Jika ada hal berkaitan dengan kerja pun, Yasmin yang akan jadi orang tengah. Tak profesional betul si Arraz ni! Entah apa yang ada dalam fikirannya yang sebenar. Tidak terlintaskah di fikirannya yang aku dah mempunyai anak bersama dia?
Argh! Aku rasa macam nak hantuk kepala di dinding. Aku menyimpan nota strategi ke dalam laci dan bergerak ke meja Yasmin.
“Bos dah keluar?” tanya aku kepada Yasmin walaupun aku dah nampak Arraz berjalan keluar tadi.
“Dah. Kenapa? Rindu dengan bos?” usik Yasmin dengan senyuman perli.
“Agak-agaklah! Dia kan dah ada tunang.” Aku bersandar di partition sambil berdiri di sisi Yasmin.
“Kau ni kenapa? Kau lain macam aje. Ada apa-apa ke?” soal Yasmin. Wajahnya serius.
Tak tahu nak jawab apa, aku diam saja. Jari telunjuk aku gerak-gerakkan bagai sedang melukis di atas meja Yasmin. Aku tak tahu nak luahkan perasaan aku kepada siapa. Mak dan abah tak sudah-sudah mendesak agar aku cepat berterus terang dengan Arraz.
“Hei, Melati. Kau ni kenapa?” Yasmin memetik jari di depan muka aku.
“Hai Melati, Yasmin.” Tiba-tiba satu suara menyapa kami dengan riang.
“Eh, Dayana.” Tergamam aku melihat kelibat Dayana yang sedang tersenyum menghampiri kami. Aku menjenguk ke belakangnya, mana tahu Arraz ada bersama. Tetapi tidak. Hanya Dayana sendirian.
Sorrylah kalau I mengganggu. Sibuk ke?” tanya Dayana.
“Bolehlah. Taklah sibuk sangat. You buat apa kat sini?” tanya aku.
“Saja, datang jumpa Arraz. Dia dah keluar pula. Dah alang-alang sampai sini, I jumpa kau orang berdua ajelah.” Dayana menyeluk tas tangannya.
“I nak jemput ke majlis ulang tahun perkahwinan mak dan ayah I. Hari tu I ada beritahu, kan? Ini kadnya.” Dayana menghulurkan kad jemputan kepada aku dan Yasmin.
“Cik Dayana, kami tak ada ke?” sampuk Badrul yang sudah menjengukkan mukanya di situ.
“Awak?” Dayana terkedu.
“Kami semua satu team. Satu grup dengan bos,” beritahu Yasmin.
“Saya Badrul. Cik Dayana ni tunang bos, kan?” soal Badrul siap sebut nama Dayana lagi. Mungkin dia dah pasang telinga agaknya. Cepat sungguh si Badrul ni!
“Oh, kalau macam tu, saya jemput semualah. Berapa orang semua?” tanya Dayana.
“Lima!” Rania dan Azroy juga ikut menyampuk.
“Saya Rania dan ini Azroy.” Rania memperkenalkan dirinya.
“Selamat berkenalan.” Dayana yang tampak gembira kerana disambut dengan mesra juga melayan mereka dengan baik.
Bertambah cemburu hati aku melihat situasi itu. Saham Dayana pasti naik bila mereka memuji Dayana di depan Arraz nanti. Bertambah-tambahlah sayang Arraz kepadanya!
“Okey, saya jemput semua. Bawa keluarga sekali ya.” Dayana menyerahkan kad kepada mereka.
Malas melihat layanan mesra mereka terhadap Dayana, aku alihkan fokus pada kad di tangan. Aku buka sampul dan menarik keluar isinya.
“Cantiknya kad ni.” Terpegun aku seketika.
Kad yang bewarna putih dan emas tu memang nampak mewah. Cantik sangat!
“Cantik ke? Arraz yang design kad tu tau,” kata Dayana.
Tak sangka aku, dalam dia melayan mereka yang lain, boleh pula dia mendengar komen aku.
“Arraz yang design?” Aku agak terkejut namun lebih kepada rasa kagum.
Dayana tersenyum megah kerana secara tak langsung aku dah puji tunang dia.
“Nanti kalau you nak buat gift, kad atau design photobook boleh aje tempah dengan Arraz,” kata Dayana.
“Wau! Kami tak tahu pun yang bos ada buka kedai printing.” Mata aku terbuka luas.
Yup! Tapi dia buat kalau ada permintaan aje. Baru nak berjinak-jinak katanya.” Dayana tersenyum sehingga matanya menjadi kecil.
“Hebatlah bos ni. Nanti bila saya nak kahwin, bolehlah saya tempah dengan bos aje,” kata Rania.
“Mestilah boleh,” balas Dayana.
“Boleh dapat special price tak?” Azroy pula menggosok belakang tengkuknya, seakan-akan malu dengan soalannya sendiri.
“Kalau untuk awak semua, I akan pujuk Arraz untuk kasi special price,” janji Dayana.
“Wah! Bestnya!” Mata Yasmin bersinar.
“Lepas ni, bolehlah kau tempah kad jemputan untuk jamuan birthday Danial nanti,” kata aku kepada Yasmin. Dia mengangguk laju. Setiap tahun dia akan menyambut birthday Danial.
“Saya okey aje sebab dia yang akan bayar.” Rania menuding kepada Azroy.
“Oh, kamu berdua? Tahniah! Bila tu?” Dayana terlopong seketika. Namun kemudian wajahnya bertukar ceria setelah dapat mengagak hubungan Rania dan Azroy.
Tapi bukan sahaja dia, kami yang lain juga terlopong sama. Kami tak pernah tahu Rania dan Azroy ada hubungan istimewa. Pandai betul mereka rahsiakan hubungan mereka.
“Insya-Allah, kalau ikut pelan hujung tahun ni.” Wajah Rania berseri-seri.
“Kau orang tak beritahu pun!” Yasmin mencekak pinggang. Matanya mencerlung memandang mereka berdua.
“Patutlah kau seronok sangat bila Azroy balik semula ke sini,” usik Badrul.
“Awak ni.” Azroy mendengus perlahan sambil menggeleng kepala memandang Rania.
“Dah, jom sambung kerja. Lagi banyak sembang, lagi banyak benda yang kita pelan awak beritahu. Tak surpriselah nanti.” Azroy menolak tubuh Rania agar kembali ke meja mereka.
“Rahsialah sangat. Kalau kau orang tak jemput kami nanti, siaplah. Jangan mengaku kawan.” Badrul mendengus. Dia juga kembali ke mejanya.
“Kalau suatu hari nanti you nak berkahwin lagi, I akan minta Arraz designkan yang paling spesial dan percuma untuk you,” ujar Dayana.
Aku tersentap.
“You janganlah salah faham pulak. I ikhlas. Lagipun, anak you perlukan kasih sayang seorang ayah. Tentu dia rindukan ayah dia, kan?” Wajah Dayana menunjukkan dia bersimpati terhadap aku.
“Macam mana you tahu?” Kening aku berkerut. Aku tak pernah cerita pun yang Dahlia rindukan papanya.
Hmm... I guess.” Wajah Dayana berubah. Mungkin dia rasa bersalah kerana berkata begitu.
I’m sorry. I shouldn’t say that.” Dayana tertunduk seperti seorang pesalah.
Nah... It’s okay.” Aku mengukirkan senyuman walaupun hati macam tak rela. Tapi tak sangguplah pula bila tengok muka sedih dia tu.
Thanks, Melati.”
“Tak apa.” Aku semakin mengecilkan mata aku bersama senyuman.
Ah! Pandai juga aku berlakon. Bukan sengaja aku nak berpura-pura. Setakat nak hentikan topik ini saja. Kalau berlarutan, aku yang tak dapat kawal rasa marah nanti. Semakin terlukalah hati aku ini.
“Oh ya, nanti jangan lupa bawa famili you sekali. Boleh kita kenal dengan lebih rapat.” Dayana kembali tersenyum.
“Insya-Allah. I cannot promise. Sebab hari tu I ada hal,” bohong aku.
“Alah, please... Datanglah,” pujuk Dayana. Dia nampak bersungguh mahu aku datang ke majlis itu nanti.
“Insya-Allah. Kalau urusan I habis cepat, I akan pergi.” Aku tipu lagi.
“Okey.” Liyana nampaknya berpuas hati dengan janji aku.
“Kalau boleh, datang jugak-jugak tau. I tak sabar nak jumpa baby you. I tak pernah dukung baby. Adik pun tak ada. Macam manalah agaknya rasa dukung baby. I kena belajar nak jadi ibu sebelum kahwin nanti.” Dayana berkata sambil pandangan matanya sudah terhala entah ke mana. Tangannya pula sedang mengayun-ayun kosong.
Aku yakin saat ini dia sedang terbayangkan dia sedang mendukung bayi. Tapi, kata-katanya itu membuatkan aku ternganga besar. Helo, mana aku ada baby kecil!
“Kejap, kejap!” Aku angkat tangan menyuruh Dayana berhenti berangan.
Dayana terus terpaku. Dengan muka yang nampak terkejut dia memandang aku.
“Siapa beritahu you yang I ada anak kecil macam tu? Yasmin?” Aku menuding pada tangannya yang masih bergaya dengan cara mendukung bayi.
Tangannya terus jatuh ke sisi. Aku pandang Yasmin. Yasmin menggeleng laju.
“Bukan! Arraz,” beritahu Dayana.
“Arraz?” Aku terlopong.
“Arraz kata awak kahwin dua kali. Dia kenal dengan bekas suami awak yang pertama. Dengan bekas suami pertama awak tak ada anak. Jadi, kalau awak ibu tunggal, maknanya anak awak tu dengan bekas suami yang kedua, kan?” soal Dayana.
“Bos kenal bekas suami kau?!” tanya Yasmin dengan terkejut. Kuat suaranya sehingga kawan-kawan yang lain sudah memberi perhatian kepada kami.
What?! Jadi, Arraz ingat aku dah kahwin lain lepas bercerai dengannya? Patutlah dia langsung tak tanya apa-apa. Aku picit dahi aku yang dah mula berdenyut. Aku pandang Yasmin.
Yasmin juga terlopong di situ.
Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon. Dayana mencapai telefonnya di dalam tas tangan. Jari-jemarinya mula menaip sesuatu. Dia kembali memandang aku apabila telefon disimpan semula ke dalam beg.
“Saya balik dulu. Ingat tau!” Sekali lagi dia mengingatkan kami. Kemudian, dia berlalu pergi sambil melambai.
Fuh! Lega bila kelibatnya hilang daripada pandangan.
“Aku dah kahwin dua kali? Macam mana bos kau tu boleh dapat idea gila macam tu?” Dengan bengang aku pandang Yasmin.
Yasmin sudah tertawakan aku. Memang nak kena Si Arraz!

---------------@@--------------





So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---



No comments:

Post a Comment