Monday 14 November 2016

Misi Tawan Hati Ex - Bab 17

Hey everybody!
Happy Monday! No Monday blues ya...
Jom, aktifkanb hari anda bersama...
Maraton Misi Tawan Hati Ex..
Day - 8
Here we goooo......

                                     ~BuAt MuKa CoMeL~


“MAMA!” Dahlia berlari masuk ke dalam kamar lalu melonjak naik ke atas katil. Dia melompat-lompat di atas katil dengan gembira.
“Hati-hati, Lia!” Aku mengerling Dahlia menerusi cermin sambil menyisir rambut yang masih basah.
Dahlia berhenti melompat dan turun dari katil. Dia berdiri pula di sebelah aku. Kami bertentangan mata sambil tersenyum melalui imbasan cermin.
“Mama, muka Lia ikut papa, kan?” tanya Dahlia.
Tangan aku terhenti daripada menyisir rambut. Aku menarik bibir rapat. Tak tahu sama ada nak menafikan atau nak mengiakan.
“Cikgu Lia kata, tak baik berbohong. Orang yang suka berbohong, lama-lama dia akan jadi pencuri. Mencuri tu kan berdosa. Orang berdosa, dia kawan syaitan.” Tiba-tiba saja Dahlia cakap macam itu. Mungkin dia dapat mengagak yang aku akan berbohong kepadanya.
Aku memusing badan dan memandang Dahlia. Aku tarik bahu Dahlia agar turut pandang ke wajahku.
“Sayang, semua manusia buat dosa. Tapi, kita boleh bertaubat kalau tak mahu jadi kawan syaitan,” kataku.
“Hurm, betul! Cikgu pun cakap macam tu.”
“Lia rasa mama nak bohong dengan Lia?” Walaupun aku sentiasa memberi alasan dan menyembunyikan kebenaran, namun untuk membohongi Dahlia bukanlah sikap aku. Aku yakin, setiap perbuatan pasti ada balasannya. Aku tak mahu jika Dahlia membohongiku suatu hari nanti.
Dahlia menunduk memandang ke lantai seketika lalu menggeleng kepala.
“Lia satu-satuya anak mama.” Aku memusing tubuhnya agar memandang cermin.
Aku memandang wajah kami berdua di situ. Aku lekapkan pipi aku ke pipi Dahlia. Mata kami bertentang melalui cermin.
“Lia rasa, muka Lia macam muka mama?” tanya aku.
Dahlia menggeleng.
“Sebab, muka Lia ikut muka papa. Rambut Lia, mata Lia, hidung Lia, semua yang ada pada Lia, Lia dapat daripada papa. Lia cantik, sama segak macam papa. Cuma, kulit Lia putih sikit, ikut mama. Papa Lia gelap sikit.” Saat itu aku bagai bisa melihat wajah Arraz di dalam cermin sedang tersenyum kepada aku.
Aku cuba mengukirkan senyuman walaupun air mata hampir menitis. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terusiknya perasaan aku ketika berkata begini. Arraz! Aku rindukan dia.
Dahlia terus memandang aku.
“Tapi, bila mama nak bawa Lia jumpa dengan papa?” Ada nada sayu daripada suaranya.
Nafas panjang ku tarik dalam-dalam. “Mama tengah usahakan. Lia sabar ya? Lia percayakan mama tak?”
Aku merenung mata Dahlia memohon agar dia tidak terus mendesak aku bercakap tentang papanya.
“Lia dah tak sabar nak jumpa papa. Papa tak nak jumpa Lia ke, mama? Papa tak pernah ingatkan Lia ke?”
Aku menongkat dahi dengan tangan di meja solek. Aku tak tahu apa yang perlu aku katakan kepada Dahlia. Aku tak nak Dahlia bencikan Arraz. Tapi dalam masa yang sama, terlalu banyak perkara yang aku takutkan.
Aku takut Arraz tak percayakan aku. Aku takut Arraz akan bencikan aku dan menuduh aku sengaja nak pisahkan dia dan Dahlia. Aku takut jika Arraz tak boleh terima Dahlia. Aku takut jika Arraz terima Dahlia, dia akan rampas Dahlia daripada aku. Yang paling aku takutkan, aku akan kehilangan mereka berdua. Aku mahu Dahlia terus bersama aku dan aku juga mahu dapatkan Arraz kembali.
“Mama?” Suara Dahlia mematikan monolog aku sendiri.
“Ya, sayang?” Aku duduk di lantai dan bertentangan dengan Dahlia.
Aku usap pipi Dahlia dengan kedua-dua tanganku. Anak aku yang baru berusia tujuh tahun ini dah semakin bijak. Entah apa lagi yang akan ditanya olehnya nanti.
“Kenapa papa tak tinggal dengan kita?” Sayu pandangan mata Dahlia menikam kalbu.
Aku mengangkat pandangan dan memandang Dahlia. Apa yang harus aku katakan? Belum pun sempat aku berfikir, telefon yang aku campakkan ke atas katil bergegar lagi. Sejak tadi, telefon itu tak berhenti berbunyi. Kejap-kejap panggilan daripada Yasmin. Kejap-kejap panggilan daripada Rania. Ada juga panggilan daripada nombor yang tak dikenali. Barangkali, itu adalah nombor telefon Dayana.
Bukan aku tak ingat hari ini adalah majlis sambutan ulang tahun orang tua Dayana. Tapi aku memang takkan pergi. Aku belum bersedia. Salah aku juga kerana tak beritahu Yasmin dan Rania yang aku takkan hadir.
“Kenapa mama tak jawab telefon? Siapa yang telefon?” Dahlia mencapai telefon yang aku lemparkan tadi. Dia membuka screen lock dan mula melihat game Pou.
Itulah kesukaan Dahlia bila dia bosan bermain dengan mainannya.
“Mama sakit kepala. Mama tak sihat. Hari ni mama tak rasa nak jawab panggilan telefon daripada sesiapa.” Memang terasa sakit kepala walaupun tidaklah teruk. Mungkin kerana aku tak cukup tidur dek asyik memikirkan pasal majlis hari ini.
“Ada orang telefon lagilah mama. Nak Lia angkat?” Kata Dahlia.
“Tak payahlah. Biarkan aje.” Aku mengeluh. Kalau bukan daripada Yasmin dan Rania, mesti daripada nombor yang tak dikenali itu.
“Helo?” Dahlia bersuara.
Aku menoleh ke belakang. Terbeliak biji mata aku apabila melihat telefon sudah melekat di telinga Dahlia.
“Jangan!” Aku menjerit halus sambil tangan aku menggawang agar Dahlia mematikan talian.
“Waalaikumussalam. Ini Seri Dahlia. Nak bercakap dengan mama?” Dahlia tak pedulikan larangan aku dan terus menjawab.
Akhirnya aku hanya mengeluh dan membiarkan sahaja Dahlia bercakap.
“Mama tak sihat.
“Ya.”
“Ya.”
“Darjah satu.”
“Tujuh tahun.”
 “Okay, bye.” Dahlia mematikan talian.
“Lia, pandai-pandai jawab telefon mama ya?” Aku hanya menegur perlahan. Nak marah pun tak ada mood.
“Siapa kawan mama tu?” Dahlia mendekati aku dan menyerahkan telefon.
“Manalah mama tahu. Lia yang cakap tadi, kan?” Aku jeling manja sambil cubit pipi Dahlia.
Aku semak semula panggilan yang baru terima tadi. Eh, kenapa nama Arraz pula yang keluar? Takkan dia yang telefon aku?
“Lia, Lia cakap dengan lelaki ke perempuan?” Jantung aku berdegup laju.
“Lelaki. Papa Lia ke mama?” Lia tenung wajah aku.
“Tadi, ada tak lelaki tu tanya umur Lia?” Kalau tak silap aku, tadi Dahlia ada bercakap tentang umur.
Dahlia mengangguk.
Ting! Ting! Ting! Bagaikan ternampak bintang muncul atas kepala aku. Tentu Arraz akan terfikirkan sesuatu kerana usia Dahlia tujuh tahun. Tentu dia mula tertanya-tanya kemudian, dia akan bertanya pula dengan aku. Mungkin juga dia akan syak Dahlia adalah anak dia. Aku pandang wajah Dahlia.
“Lia, Lia memang anak mama yang terbaik!” Aku peluk tubuh kecil Dahlia erat-erat.
“Memanglah! Mama ada anak lain ke?” Dahlia mengherotkan bibirnya.
Aku mencubit pipi gebu Dahlia dengan gembira. Betul kata mak. Aku kena hadapi sebarang kemungkinan. Aku takkan biarkan Dahlia menderita. Aku tak percaya akan ada wanita lain yang akan menyayangi Dahlia seperti aku. Aku takkan benarkan Arraz mengambil Dahlia daripada aku. Aku akan jadi wanita super! Terasa semangat berkobar-kobar untuk pertahankan hak aku.
“Dayana kena terima kenyataan yang dia bakal ada anak tiri. Kalau dia tak mahu juga terima kenyataan, bersedialah. Aku akan mulakan operasi merampas Arraz daripada dia,” tekad aku.
“Mama cakap apa ni?” Dahlia tertawa kecil.
Cepat-cepat aku tutup mulut. Eh, apasal pula aku boleh terlepas kawalan ni? Depan Dahlia pula tu. “Tak ada apalah. Mama cuma fikirkan Lialah.”
“Kenapa dengan Lia, ma?”
“Kalau Lia jumpa papa nanti, Lia nak ikut papa ke ikut mama?” Aku renung mata Dahlia dalam-dalam.
“Ha? Mama tanya apa ni? Bawalah Lia jumpa papa dulu.” Dahlia menjongketkan kakinya dan mendekatkan wajahnya dengan wajahku.
“Kenapa? Lia dah tak tahu dah nak pilih siapa? Sampai hati Lia.” Aku pura-pura merajuk. Tapi, memang tersentuh juga perasaan aku bila Dahlia macam teragak nak pilih.
“Lia tak faham. Lia perlu pilih ke?” Soal Dahlia dengan muka blur.
Meruntun pilu hati aku mendengar pertanyaannya. Salah aku juga. Dahlah dia baru tahu kewujudan seorang lelaki yang bergelar papa bagi manusia normal. Belum pun dia tahu siapa papanya itu, boleh pula aku minta dia buat pilihan. Dia langsung tak mengerti apa-apa.
“Maafkan mama. Salah mama.” Aku cuba menagih simpati.
“Kawan-kawan Lia ada dua-dua. Ada papa dan mama. Kenapa Lia perlu pilih?” Dahlia bertanya lagi.
Tak sanggup menjawab pertanyaan Dahlia, aku terus peluk tubuh kecilnya dengan erat.
“Maafkan mama. Lia tak perlu pilih. Lia ada mama dan ada papa.” Demi menjaga perasaan Dahlia aku berkata begitu.
Tak tahulah jika dia akan menagih sebagai janji nanti. Kalau demi Dahlia, aku sanggup merampas Arraz daripada Dayana. Tapi sebagai seorang wanita, tegakah aku?


AKU berhentikan kereta di bahu jalan. Aku sendiri tak sangka akhirnya aku akan mengambil keputusan ini. Aku melirik rumah banglo milik keluarga Dayana yang tersergam indah. Macam tak percaya aku datang ke sini. Lebih tak percaya lagi, Dayana tinggal di dalam banglo sebesar ini. Sikapnya yang ramah dan tidak sombong membuatkan aku semakin terasa kerdil.
 Aku merasa tidak enak apabila tidak hadir ke majlis telah berlangsung semalam. Kerana itu aku berada di sini sekarang. Aku rasa lebih manis jika aku menunjukkan muka pada hari ini. Sekadar nak tunjuk muka sajalah. Itu pun setelah fikir baik buruknya dan walaupun aku tak rasa nak mengeratkan silaturahim antara aku dan Dayana.
Aku keluar dari kereta dan mencapai kotak hadiah yang aku beli sebelum datang ke sini ke sini tadi. Loceng dibunyikan. Terjenguk-jenguk aku ke dalam. Maklumlah jarak di antara pintu pagar dan pintu rumah mereka agak jauh. Sempat lagi aku kira beberapa buah kereta yang terparkir di kawasan hadapan rumah itu. Lima buah semuanya. Dan kesemuanya kereta mewah bukan buatan Malaysia.
“Cik cari siapa?” Seorang wanita yang sudah berusia menghampiri pintu pagar.
Dengan hanya memakai anak tudung hitam, baju Kedah dan berkain batik, aku pasti mak cik ini adalah pembantu rumah.
“Assalamualaikum, mak cik.” Aku menunduk hormat.
“Waalaikumussalam. Anak ni cari siapa?” soal mak cik itu sekali lagi sambil memegang gerigi pintu pagar.
“Saya kawan Cik Dayana. Cik Dayana ada di rumah?”
“Oh, nak cari Cik Dayana. Marilah masuk.” Dengan menekan butang pada alat kawalan jauh, pintu pagar automatik itu terbuka.
Agaknya mak cik ini cuma nak pastikan siapa aku sebelum membenarkan aku masuk. Jika tidak, tentu dia dah buka pintu itu dari tadi lagi. Rumah bukan main besar, kereta bukan main banyak, apasal tak guna interkom aje?
“Mak cik ni Mak Ros. Mak Ros kerja di sini.” Sambil berjalan ke dalam, kami bersembang.
Sempat juga aku menjawab dua, tiga soalannya sebelum sampai ke dalam rumah. Yang paling mengejutkan aku, rupa-rupanya Dayana anak kepada seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk!
“Melati!”
Masuk saja ke dalam banglo besar itu, tiba-tiba saja aku dengar suara Dayana memanggil aku. Meliar mata aku mencari kelibat Dayana sehinggalah aku nampak dia sedang menuruni anak tangga dan mendekati aku. Mak Ros sudah menghilang ke belakang.
“Hai Dayana. Maaf sebab tak dapat datang kelmarin. I tak sihat. Satu hari terbaring atas katil.” Aku mengukir wajah ramah. Aduh! Berdosa aku lagi sebab berbohong.
“Tak apa. Arraz dah beritahu I yang you tak sihat.”
“Ni, I ada bawakan hadiah untuk parents you.” Meliar mata aku mencari kelibat keluarga Dayana yang lain.
“La, susah-susah aje. Terima kasih.” Dayana menyambut juga hadiah yang aku bawakan.
“You datang sorang ke?” Dayana mengerling ke luar.
“A’ah. I singgah nak kasi hadiah ni aje. I nak cepat. Ada hal sikit.”
“Eh, nantilah dulu. Jumpa dengan parents I dulu.” Dayana menarik tangan aku dan menyuruh aku duduk di sofa.
Belum sempat aku kata apa-apa, Dayana dah menghilang ke belakang. Aku hanya mampu mengeluh. Rasa macam nak keluar terus dari banglo besar ini. Tapi, akal waras aku menghalang. Tak ada adab sungguh kalau balik tanpa beritahu tuan rumah. Isy! Aku takkan buat macam tu. Teruk mak akan marah kalau mak tahu aku buat perangai macam itu.
“Ha, inilah Melati.” Suara Dayana membuatkan aku mengalihkan pandangan.
“Melati, inilah parents saya.” Dayana memperkenalkan orang tuanya.
Ha? Erk! Terkedu aku melihat mereka yang baru tiba. Bukan terkejut dengan orang tua Dayana. Tapi yang buat aku terkedu, Arraz pun ada. Aku cuba menutup rasa gelabah yang mula terasa. Senyum Melati, senyum!
“Apa khabar Datuk, Datin?” Aku bersalam dengan Datin Murni dan hanya menganggukkan kepala dengan Datuk Ashlan.
“Baik. Melati sihat?” tanya Datin Murni.
“Alhamdulillah.” Aku membalas dengan rasa segan yang menggunung.
Aku dikelilingi oleh orang-orang yang berstatus tinggi. Sedangkan aku hanyalah seorang wanita biasa. Lebih tak selesa lagi apabila Arraz juga berada di situ.
“Melati ni satu tempat kerja dengan Arraz,” beritahu Dayana.
“Oh, satu tempat kerjalah ni? Terima kasih untuk hadiah tu. Susah-susah aje Melati datang sini bawa hadiah.” Ramahnya Datin Murni melayani aku sambil menjemput aku duduk.
“Kenapa tak datang semalam? Kalau datang semalam, lagi meriah.” Datuk Ashlan pula bersuara.
Aku tersenyum kelat. Tak tahu nak bagi alasan apa. Penting sangat ke untuk aku datang? Sejak bila pula aku menjadi rapat dengan keluarga ni?
“Saya tak sihat. Itu yang tak datang semalam. Ini pun saya singgah kejap aje.” Aku menipu lagi.
“Dah sihat betul ke ni?” tanya Dayana.
“Sihat dah.” Kepala aku terangguk-angguk.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara menyapa dari luar.
Muncul dua orang lelaki. Agak kacak juga wajah mereka. Masing-masing sudah memandang aku. Eh, bukankah itu...
“Encik Adam? Encik Edrian?” Terbeliak mata aku melihat mereka.
“Awak kenal ke?” tanya Dayana.
“Dari mana aje kamu berdua ni?” tegur Datin Murni.
“Keluar dengan kawan kejap, mummy. Tak pergi mana pun,” jawab Edrian.
Mummy? Edrian anak Datin Murni? Maknanya, Dayana dan Edrian ni adik-beradik?!
“Melati kenal dengan abang saya?” tanya Dayana.
“Encik Edrian dan Encik Adam ni abang Cik Dayana?” tanyaku yang masih samar-samar.
“Edrian aje abang saya. Adam sepupu saya,” beritahu Dayana.
“Cik Melati terkejut ke? Arraz tak beritahu?” Edrian melirik Arraz sekilas.
Aku ikut memandang Arraz lalu menggelengkan kepala.
“Cik Melati dah okey ke? Cik Yasmin beritahu saya yang Cik Melati tak sihat,” kata Adam, sudah duduk di ruang kosong sebelah kanan aku.
“Sekarang dah okey dah.”
Aip! Jangan dekat-dekat!” Dayana memberi amaran kepada Adam. “Jangan layan sangat Adam ni. Playboy!”
“Amboi! Kutuk depan nampak?” Adam menjegil.
Aku mengerling Arraz. Tiada reaksi daripadanya. Seolah-olah dia tidak kisah langsung yang Adam sedang cuba mendekati aku. Ah, untuk apa dia kisah?
Lepas itu berlangsunglah sesi soal jawab antara aku dan keluarga ini. Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Kalau ada yang perlu dijawab, aku hanya jawab sepatah dua kata. Setelah beberapa ketika, aku cepat-cepat minta diri. Aku dah tak tahan berada di situ lama-lama. Nak-nak dengan adanya Arraz.
Adam pula tak sudah-sudah nak menyakat aku. Aku rasa dia ni memang playboy! Playboy saja yang ada sikap easy going macam Adam. Edrian pun agak ramah orangnya tapi tak sama macam Adam. Dan Arraz? Dia senyap saja. Entah apa yang ada dalam fikirannya.


“ISY! Kenapa pula dengan kereta ni?” Dah berkali-kali aku start enjin, tak hidup juga.
Aku keluar dan buka but enjin. Aku tengok dan belek, mencari apa yang tak kena. Sudahlah kereta buat hal, tersadai pula di depan banglo Dayana.
“Eii, kereta! Kau nak buat pasal pun kat sini.” Argh! Rasa macam nak menjerit saja.
Aku masuk balik dalam kereta. Menyesalnya aku datang sini! Aku tumbuk stereng sebab nak lepaskan geram.
“Tak guna betullah!” Dahi aku sudah melekap di stereng.
Sambil itu aku berfikir siapa yang patut aku telefon. Sudahlah hari ni hari Ahad. Mana ada bengkel yang buka hari ini. Apa aku nak buat? Tiba-tiba sahaja pintu kereta dibuka dari luar. Terus aku mengangkat kepala. Adam? Dia tersengih memandang aku.
“Kenapa ni? Tak sihat ke?” tanya Adam.
“Eh, taklah. Nak balik dah ni.” Aku hanya melangut pandang dia yang berdiri di sisi.
“Dah tu, kenapa tidur kat sini?”
“Kereta buat hal.”
“Tak boleh start ke?”
“A’ah.”
“Habis bateri agaknya,” teka Adam. Adam ke depan dan melihat enjin. Selang beberapa detik dia datang semula ke sisi.
“Awak ada jumper?” tanya Adam.
Aku menggeleng.
“Awak tunggu sini. Saya ada jumper dalam kereta.” Adam masuk semula ke pekarangan banglo keluarga Dayana.
Aku turun dan berdiri di sisi kereta. Alamak! Kelibat Dayana, Arraz dan Edrian pula muncul dari dalam rumah. Mereka menghampiri Adam dan bercakap sesuatu. Dayana pula meneruskan langkah sehingga dia tiba di hadapan aku.
“Tak boleh start ya?” tanya Dayana.
Aku hanya mengangguk. Mungkin dia dah tahu daripada Adam.
Sebuah kereta Nissan keluar dari pekarangan banglo keluarga Dayana. Model jenis apa aku tak pasti. Tapi aku tahu ia kereta mahal. Keretanya kecil dan nampak mewah. Warna merah metalik. Kereta itu melintasi dan Adam yang memandu memarkirkannya betul-betul di hadapan kereta aku. Kereta aku bertentangan dengan kereta yang dipandunya.
Kemudian, keluar Arraz dan Edrian dari dalam kereta. Di tangan Arraz sudah memegang jumper. Aku lihat dia kepitkan klip kabel jumper di bateri kereta aku dan kereta Nissan itu. Dia periksa sikit-sikit lepas itu dia bagi isyarat kepada Adam.
Adam menekan pedal minyak. Dia berhenti sekejap dan kemudian menekan minyak lagi. Agak dalam 20 minit jugalah sesi ‘menyawakan’ semula kereta aku. Lepas itu, Arraz suruh aku hidupkan enjin kereta. Bila aku start enjin kereta, kereta aku bergegar kuat.
“Macam mana ni?” Aku menjerit kepada Arraz. Gelabah biawak aku dibuatnya.
Edrian yang berada paling dekat dengan aku terus matikan enjin.
“Kereta awak ni kena masuk ‘hospital’ ni,” kata Edrian.
Aku mengangguk tanda setuju dengan kata-katanya. Adoi! Melayang lagilah RM aku. Haisy! Terpaksalah aku korek duit simpanan aku. Cadangnya hujung tahun ini nak bercuti satu keluarga di Singapura. Nampak gayanya kena ikat perutlah macam ini.
“Habis tu, ni nak balik macam mana?” tanya Dayana.
“Melati tinggalkan kereta Melati. Esok, saya akan panggil orang datang cek kereta Melati,” cadang Edrian.
“Tak menyusahkan ke? Tak pun, saya panggil orang bengkel datang sendiri ke sini.” Aku terasa bersalah kerana menyusahkan mereka. Aku merasa tak selesa jika termakan budi orang.
“Tak menyusahkan pun. Lagipun saya kenal ramai tauke bengkel dekat area sini. Awak jangan risaulah,” tegas Edrian.
“Betul tu, Melati. Kereta awak biar Edrian yang tolong uruskan. Awak, biar saya uruskan,” kata Adam.
Ternganga aku memandang Adam sebab aku tak faham apa yang dia maksudkan.
“Maksud saya, saya hantarkan awak balik.” Adam membetulkan semula kata-katanya.
“Oh.” Aku blur sekejap.
“Oh, apa? Boleh tak saya hantarkan awak balik?” tanya Adam.
“Urmm... Ah, urm...” Sungguh aku tak tahu nak jawab apa.
“Amboi! Bukan main lagi nak try.” Dayana mengecilkan matanya memandang Adam.
“Alah, apa salahnya? Orang tengah solo, macam tulah gayanya. Pantang ada peluang.” Edrian tersenyum.
Sungguh, aku tak faham apa yang dia orang cakap. Rasanya macam dia orang nak sindir Adam sebab cuba try aku? Takkan kut! Takkanlah Dayana tak beritahu yang aku dah ada anak seorang?
“Sibuklah kau orang ni. Jangan bersangka buruk boleh tak? Aku ni cuma nak membantu Melati,” tegas Adam.
Berlangsunglah sekejap sesi perbahasan antara Dayana dan Edrian dengan Adam. Okey, baik aku diam dan dengar saja apa dia orang merepek. Nak cakap lebih-lebih pun, aku tak kenal mereka siapa.
“Dah, dah! Tak payah nak masuk persidangan Parlimen kat tepi jalan ni. Malu orang tengok!” Tiba-tiba Arraz menyampuk.
Mungkin dia dah tahan melihat mereka. Mereka bertiga terdiam. Aku rasa nak tergelak pun ada. Dalam seriusnya Arraz ada juga kelakarnya.
“Aku nak balik dah. So, biar aku aje hantar dia balik. Melati takkan ikut orang yang dia tak kenal. Kan, Melati?” Arraz memandang aku.
Mata aku terbeliak. Macam tak percaya Arraz cakap macam itu.
“Aku setuju. Arraz dah Melati ni dah lama kenal. Kau tak payah nak ambil kesempatan. Biar Arraz aje yang hantar Melati.” Dayana menyokong.
Kalau tadi Arraz buat mata aku terbeliak, kali ini Dayana pula buat aku menganga. Gila tak?! Takkan dia tak jealous tunang dia nak hantar perempuan lain balik? Siap menyokong pula! Aduh Dayana. Bertimpa-timpa rasa bersalah kepadanya.


---------------@@--------------




So, gaizzz..yang berminat untuk dapatkan Misi Tawan Hati Ex boleh aje follow cara di bawah ni. Senang aje...


MISI TAWAN HATI EX

RM 24 (Semenanjung Malaysia)
RM 27 (Sabah/Sarawak)

Tiada sebarang caj dikenakan untuk penghantaran. PERCUMA. Penghantaran melalui pos laju.

CARA-CARA MELANGGAN NOVEL-NOVEL PENERBITAN FAJAR PAKEER

1. Pembayaran boleh dibuat melalui akaun Maybank Penerbitan Fajar Pakeer - 564212503591. BAKI TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN.

2. Whatsapp 0196128069 slip pembayaran berserta tajuk ~ "MISI TAWAN HATI EX", nama penuh, alamat & nombor telefon anda.

3.Pesanan diproses dalam masa 1-2 hari bekerja.

-----@@---


No comments:

Post a Comment